Gagasan kepimpinan ulama adalah idea perubahan yang dibawa oleh kelompok ulama dan anak muda dalam PAS. Kelompok ulama dan anak muda menentang polisi rejim nasionalis Dato Asri yang melantik sekutunya yang tewas sebagai pemimpin utama parti, ingin kembali kepada BN dan beberapa lagi masalah rejim Dato Asri. Kemenangan kelompok pejuang rakyat pro ulama di Iran memberi inspirasi menumbang rejim Dato Asri.
Bagi saya, nasionalisme dalam PAS bukanlah bawaan Dato Asri. Nasionalisme dalam PAS adalah warisan pemimpin terdahulu yang berjuang dalam era penjajah. Nasionalisme digunakan dengan hubung-jalin Islam dalam usaha memerdekakan negara. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Malaysia terkena tempias kebangkitan Islam. Amalan kesyumulan Islam dalam kalangan anak muda mula membiak baik. Idea-idea Ikhwanul Muslimin dan Jamaati Islami mula disebar benih. Di sinilah, munculnya ABIM.
Pada era 1970an, gerakan Islam di negara kita masih menunggang wasilah ‘nasionalisme Islam’. PAS, ABIM, PKPIM, PMIUM dan PBMUM serta Majlis Belia Malaysia masih memperjuangkan isu-isu bangsa Melayu dan Islam. Di bawah kepimpinan nasionalis Islam, Dato Asri memimpin PAS dengan baik sehingga ada yang mengatakan PAS adalah Asri, Asri adalah PAS.
Penyertaan PAS dalam kerajaan campuran pada tahun 1972 dan kerajaan BN pada tahun 1974 menyebabkan perbalahan besar dalam PAS. Dalam muktamar 1974, seramai 354 orang yang hadir, 143 menyokong, 19 berkecuali dan 190 menentang. Tetapi Dato Asri memilih untuk kekal bersama dalam kerajaan BN. Ramai pimpinan utama PAS seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah dan Amaludin Darus keluar parti dan ada juga yang bertawaquf daripada PAS.
Pada tahun 1979, era nasionalisme Islam harus ditamatkan. Faktor semerta berakhirnya nasionalisme dalam PAS ialah kemenangan pejuang rakyat pro ulama dalam Revolusi Iran menumbangkan Shah Iran yang pro Amerika. Sebenarnya, pada awal tahun 1970an, kaum ulama dalam PAS merasai gelisah dengan polisi politik dan kelakuan pemimpin nasionalis dalam PAS. Suara ini pernah dinyatakan oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah, mantan Ketua Pemuda PAS apabila mengkritik kepimpinan Dato Asri dengan membangkitkan isu ‘pemimpin buta al Quran’ dalam PAS. Begitu juga pemimpin PAS yang sangat kuat merokok. Kegelisahan ini memuncak apabila Dewan Ulama dipimpin oleh Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Setelah PAS ditendang oleh BN, PAS mengalami kekalahan teruk dalam piliharaya 1978. Pemimpin siasah Islam Indonesia mengirim surat kepada Dato Asri supaya menerima tokoh-tokoh ABIM. Antara tokoh ABIM yang dibawa masuk ialah Ustaz Fadzil Nor(Timbalan Presiden ABIM), Ustaz Nakhaie(Naib Presiden ABIM), Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman (Bendahari ABIM), Ustaz Abdul Hadi(Yang Dipertua ABIM Terengganu) dan Ustaz Yahya Othman(Ahli Majlis Syura ABIM). Dalam masa PAS menunggu kemasukan Presiden ABIM, Anwar Ibrahim ke dalam PAS, tiba-tiba Anwar masuk UMNO.
Kepulangan ulama muda dari luar negara dan pengimportan tokoh-tokoh muda ABIM ke dalam PAS menggerakkan usaha memurnikan kembali PAS dengan wadah Islam yang syumul. Program pentarbiyahan rancak dijalankan. Usrah dan kuliah jumaat diadakan. Menurut Ustaz Yahya Othman, Murabbi PAS dan mantan Ahli Majlis Syura ABIM, usaha pentarbiyahan mempercepatkan kesedaran terhadap keperluan PAS dipimpin oleh ulama.
Apabila tercetus Revolusi Iran, Dewan Pemuda PAS pimpinan Mustafa Ali bersemangat menyokong kaum ulama dan ulama muda. Inspirasi Revolusi Iran ini memberi kekuatan bagi Dewan Pemuda menumbangkan kepimpinan Nasionalis dalam PAS yang bermasalah dan tidak popular. Apabila kem pro nasionalis tewas, Dato Asri meletakkan jawatan.
Kemasukkan Anwar Ibrahim dalam UMNO menyebabkan ramai tokoh ABIM yang pro ulama masuk PAS dan ABIM dipimpin oleh Ustaz Siddiq Fadzil yang berjaya mempercantikkan konsep Nasionalisme Islam. PAS secara rasminya membersihkan unsur nasionalisme daripada batang tubuhnya pada 23 Oktober 1982 dimulakan dengan Dewan Pemuda.
Faktor Kepimpinan Ulama akan tumbang
Prestasi Pemimpin
Prestasi pemimpin menjadi indek dalam menilai kemantapan sebuah organisasi. Pada zaman ICT, ahli parti akan menilai gerak kerja pimpinan, gaya hidup dan pemikiran pemimpin. Oleh itu, pemimpin PAS tidak harus mengharapkan konsep wala’ dan tsiqah melindungi batang tubuh mereka. Mereka harus pantas bersaing menunjukkan kebolehan dalam memimpin, penampilan menarik, idea bernas mendahului zaman dan bersikap ‘fiqh’ realiti semasa. Jika pemimpin pro ulama atau para ulama tidak mahu menunjukkan prestasi tinggi, maka bersiap siaga untuk tidak dilantik dalam muktamar bahkan tidak mustahil konsep kepimpinan ulama menghadapi transformasi atau terus terkubur kerana tiada sinergi menghadapi zaman dengan prestasi yang amat minima.
Kelesuan Tarbiyyah: Zaman Usrah Sudah Berakhir?
Usrah merupakan antara wasilah utama dalam pentarbiyyahan PAS. Impaknya sangat besar. Apabila kebanyakkan pemimpin Ikhwan Mesir dipenjara dan melarikan diri ke luar negara, Ikhwan hidup bernyawakan usrah. Walau bagaimanapun, usrah pada zaman sekarang sangat lesu dan tempang. Orang lebih selesa berusrah di restoran.
Keahlian PAS berasaskan kuantiti ahli dimana PAS memerlukan undi. Hadir atau tidak, ahli PAS tidak akan dipecat!. Tidak seperti jemaah Islam tertentu yang mementingkan kualiti ahli dimana jemaah tersebut akan membuang ahli yang tidak menghadiri usrah.
PAS wajar mencari wasilah baru untuk pentarbiyyahan mereka. Tanpa wasilah pentarbiyyahan, PAS akan mengalami ‘strok’. Saya mencadangkan pimpinan PAS agar melapangkan masanya selama 3 hari dalam sebulan di masjid-masjid seluruh negara.
Dalam masa tiga hari ini, lakukan aktiviti daurah al Quran, daurah hadith, halaqah fardu ain, halaqah sirah dan halaqah kajian rukun baiah. Selepas Asar adakan ziarah pintu ke pintu. Ingat! Jangan bercakap tentang PAS tetapi tentang kesyumulan Islam. Setiap kumpulan disertai 10 orang termasuk seorang pemimpin dan seorang ustaz sebagai pembimbing. Bayangkan TG Nik Aziz ‘berkelana’ selama tiga hari di sebuah masjid. Orang akan tertarik dengan budaya hidup tok guru. Bayangkan rumah anda diziarahi oleh TG Haron Din atau TG Ismail Kamus.
Membuat Keputusan
Pada zaman ICT, komunikasi dan akses informasi terlampau pantas. Kerahsiaan bukan lagi menjadi rahsia. Ia boleh bocor. Oleh itu pemimpin harus membuat keputusan dengan bijak tanpa mengasari hati sahabat yang lain.
Dalam PAS, keputusan paling tinggi ialah keputusan muktamar. Semua pimpinan termasuk Presiden dan Mursyidul Aam wajib mematuhinya. Mungkin berlaku khilaf dalam penafsiran keputusan muktamar. Bermesyuarat sebelum menyatakan pendapat bukannya gila mengeluarkan pendapat. Kebiasaannya dalam sesebuah organisasi, hanya pendapat presiden dan setiausaha agung yang dinyatakan dalam sidang media boleh diterima sebagai pendapat rasmi sesebuah organisasi.
Kaum ‘Jiwa Pemberontak’ Dalam Parti
Kaum ‘jiwa pemberontak’ adalah kemuncup dalam sesebuah gerakan. Mereka bukan musuh, mereka adalah sahabat yang kegatalan dan suka mencuit kepimpinan. Mereka banyak idea, terlampau bersemangat, tak sabar nak menang, tergesa-gesa dalam melangkah dan menjadi ‘bahasa perantaraan kedua’ bagi pihak yang tak berpuas hati keputusan mesyuarat atau pendapat pimpinan lain.
Tuan Guru Fadzil Nor mengelarkan diri mereka sebagai ‘budak nakal’. Tuan Guru Haji Hadi memanggil mereka bersemangat ‘pepsi cola’.
Mereka mudah dikesan dalam tulisan yang tidak puas hati dengan pemimpin, mengkritik parti dan mudah melabel pada seseorang pemimpin. Antara label terkenal ialah ‘ustaz din ayam’, ulama kepala lutut dan pelbagai label[teringat ayat 11 surah al Hujurat]. Mereka cuba mengagaskan perubahan yang dirasakan perlu tetapi tidak dapat sokongan popular. Akhirnya, mereka mabuk dengan akal-budi sendiri sehingga hampir terbabas daripada landasan perjuangan.
Bagi penulis, mereka melakukan ijtihad tetapi tersalah dan menggunakan pendapat minoriti untuk ‘merampas kuasa’ kepimpinan. Mereka mahu majoriti memenuhi hasrat mereka dan mereka tidak berjaya. Sewajarnya, jika pendapat kita minoriti, kita harus akur kepada pendapat majoriti selagi pendapat majoriti tidak melanggari al Quran dan sunnah. Jika tidak, mereka harus keluar parti atau bertawaquf.
Kehadiran Pemimpin Ekspres
Penghijrahan ramai manusia yang pelbagai latar belakang mengusarkan akan niat mereka. Kita tahu orang terbaik pada zaman jahiliah adalah orang terbaik pada zaman Islam. Cuma bersikap berhati-hati sangat perlu.
Mungkin kita tak tahu orang pro Islam secara tersembunyi pada zaman jahiliahnya. Perkara ini berlaku pada Imam Hassan al Hudaybi, anak didik Imam Hassan al Banna secara rahsia. Kehadiran al Hudaybi sebagai seorang pemimpin tertinggi amat mengejutkan. Di Malaysia kita dikejutkan bahawa Prof Ahmad Ibrahim dan Aminuddin Baki adalah pro PAS. Pun begitu, Imam Hudaybi adalah ahli usrah khusus dan menyertai aktiviti khusus bersama al Banna. Beliau juga adalah penasihat dalaman al Banna.
Dulu, siapa yang nak menjadi pemimpin PAS yang bakal menutup pintu rezekinya. Tetapi kini, ramai orang berebut nak jadi pimpinan. Kehadiran pemimpin ekspress harus dibimbangi. Dato Asri pernah melantik mantan tokoh UMNO yang tewas dalam pemilihan parti sebagai Bendahari PAS tahun 1982. Selepas zaman reformasi 1998, ramai profesional dan para pimpinan pro BN masuk PAS. PAS harus berhati-hati memberi kepercayaan kepada orang baru berjinak dengan jemaah kerana bukan daripada asuhan usrah PAS. Pelantikkan Dr. Hassan Ali sebagai YB dan Pesuruhanjaya PAS Negeri [kita akui ia hak presiden] sebagai contoh perlu berhati-hati kerana beliau lain terlalu pantas dalam struktur organisasi ala ‘anwar’. Begitu juga kehadiran, Ir Saari Sungip yang dulunya ahli Parti Keadilan Nasional dan idealog Jemaah Islah Malaysia terus diberi ruang begitu ekspress dalam kepimpinan PAS.
Penghayatan Rukun Ba’iah
Ahli PAS semakin lupa menghayati rukun baiah. Rukun baiah mengandungi ramuan rahsia kejayaan sesebuah gerakan Islam. Ia adalah satu pemurnian terhadap pegangan ahli agar tidak celaru dalam fikrah.
Jika mereka benar-benar ikhlas berjuang untuk jemaah Islam, mereka akan melazimi rukun baiah. Dan mencari titik keikhlasan pada zaman ini memang sukar.
Solusi
Para ulama harus lebih terbuka dalam mendefinisikan konsep ulama agar ulama bukan hanya dalam kalangan agamawan tetapi manusia yang berilmu dan faham Islam serta mengamalkan Islam secara syumul dan istiqamah dengan perasaan takut kepada Allah SWT. Ulama pelapis juga harus dimantapkan lagi pengalaman dalam organisasi dan bidang profesional.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment