Model
Parti Politik ‘Islam’ Generasi Kedua Gerakan Islam (Gen 2.0) umumnya digerakkan
oleh Tayyib Erdogan dan Abdullah Gul di Turki melalui AKP. Erdogan dan Abdullah
Gul lebih terpengaruh dengan idea hizmet-Gulen daripada Erbakan dalam
merealisasikan Gen 2.0. Kemudian Parti Keadilan Nasional (kemudian Parti
Keadilan Rakyat) pimpinan Anwar Ibrahim di Malaysia. Kebanyakan Gen 2.0 di
Timur Tengah muncul seiring dengan Arab Springs. Parti an-Nahdah pimpinan Rasid
Ghannousshi sendiri bermula lambat.
PKS Indonesia bukanlah Gen 2.0
walaupun ia mula popular pada awal tahun 2000an. Baru-baru ini, Muhammad Anis
Matta bersama rakan-rakannya telah menubuhkan Partai Gelombang Rakyat (GELORA)
Indonesia. Parti Gelora Indonesia memenuhi ciri-ciri generasi 2.0. Di Malaysia,
antara Parti AMANAH dengan PKR, PKR lebih tepat memenuhi ciri-cir Gen 2.0.
Akar kepada Gen 2.0 ialah
memenuhi kehendak nilai-nilai kesejagatan dimana nilai-nilai Islam diserapkan
dalam urus tadbir negara dan kehidupan politik. Nilai-nilai Islam tanpa syariat
lebih mudah diterima oleh masyarakat bukan Islam. Tiada perjuangan menegakkan
Negara Islam dan perundangan Islam. Nilai-nilai sejagat Islam dapat diserasikan
dengan demokrasi dan sekularisme.
Dr. Dzulkefly Ahmad mendefinisikan bukan sahaja dari segi gagasan
pemikiran dan idea tetapi bersekali ‘satu
penampilan baru entiti politik’ yang mengalami evolusi hasil interaksi
dengan dinamika sosio politik negara
masing-masing. Ia dilakarkan dengan anjakan generasi dalam pemikiran dan
pengurusan idea yang melahirkan gerak kerja yang mempunyai kelainan dan berbeza
dengan yang lama. Hakikatnya terbit dari kelainan pengolahan pemikiran dan
dasar, cita-cita dan penghayatan perjuangan mendepani realiti baru.
Ciri-ciri Generasi Kedua Politikal Islam ialah:
- Negara yang bersifat sivil dan tidak kudus, mengiktiraf kedaulatan
rakyat berbanding hakimiyyah lillah.
- Negara yang bersifat sivil dimana segala sesuatu akan
diundang-undangkan melalui perbahasan di parlimen. Tiada yang layak mewakili
Tuhan atau bercakap atas nama Tuhan. Tiada amalan teokrasi.
- Undang-undang boleh yang dibahaskan di perlimen boleh ditolak
walaupun bersandarkan nas dan dalil syarak kerana wujud pelbagai
interprestasi dan fahaman tentang kesesuaian, ketepatan, pelaksanaan dan
keberkesanan penyelesaian.
- Mengiktiraf mesyuarat sebagai kaedah membuat keputusan serta
menerima keputusan pilihanraya dalam mengangkat sebuah kerajaan.
- Peranan agama dalam konstruk politik lebih jelas suatu yang
bersifat sivil dan demokratik serta berpaksi ijtihad bukan bersandar hak
kudus yang dimainkan oleh para ulama sahaja.
- Memahami dan menerima pluralisme politik dalam amalan sistem multi
parti.
- Mengungkap ayat al-Quran dan hadith atau pandangan ulama dari
kitab turath yang sesuai dengan konteks dan relevan dengan realiti dan
keperluan rakyat masa kini.
- Mampu menerima kritikan walaupun mengunakan sumber perundangan
Tuhan dan tidak mendakwa mewakili ‘kebenaran’.
- Mengutamakan kepentingan urus tadbir yang baik
- Pengasingan kuasa
- Menolak retorik anti-barat dan sedia berdialog serta wacana dengan
Barat.
Khabarnya Ahmet Davoitoglu dan Abdullah Gul berura-ura
menubuhkan parti baru menentang Erdogan dan AKP. Adakah kemunculan semula Ahmad
dan Abdullah dikira politik Islam sudah memasuki era Gen 3.0? Adakah Parti
Gelombang Rakyat (GELORA) pimpinan Anis Matta memenuhi ciri-ciri Gen 3.0? Jika
betul, apakah ciri-ciri politik Islam Gen 3.0?
Ciri-ciri Generasi Ketiga Politikal Islam ialah
1.
Negara sekular selaras dengan
Perlembagaan Negara dan akur kepada Deklarasi Hak Asasi Manusia peringkat
antarabangsa
2.
Hidup dalam semangat dialog
peradaban. Kebenaran bukan lagi milik Islam tetapi milik semua kaum dan agama.
3.
Menerima Islam melalui penerapan
nilai-nilai kesejagatan Islam bukannya syariat Islam dalam kehidupan.
4.
Republikisme. Menolak feudalisme.
5.
Anarkisme. Walaupun ditarbiah dan
dikader oleh jemaah, individu tidak lagi terikat dengan arahan jemaah.
6.
Sekularisasi Islam dan deIslamisme
7.
Sintesis antara rasionalisme Barat
dengan universalisme Islam
8.
Kesalahan moral-akhlak menjadi
persoalan peribadi. Kesalahan moral-akhlak tidak dimasukkan dalam pertimbangan
semasa membuat keputusan.
9.
Parti tidak terikat dengan Islam.
Islam menjadi sebahagian kecil dalam politik. Islam hanya berstatus ‘biro’ sahaja.
Islam bukan lagi tunjang perjuangan. Tunjang perjuangan adalah kemanusiaan dan
kesejagatan. Keadilan mendahului kebenaran.
Gen 3.0 adalah kesinambungan Gen 2.0. Islam telah
dipisahkan daripada politik. ‘Islam suku. Politik suku’ direalisasikan. Jika
ada politik dan Islam, ia disifatkan sebagai menunggang dan memperalatkan agama.
Mereka mencintai Islam dengan cara ‘menikam’ Islam. Islam dilihat tidak lagi
mampu memimpin umat ke arah lebih baik.
Gerakan Islam tidak perlu melayani pembahagian yang
seringkali dilakukan oleh para pengkaji atau orientalis Barat. Pemimpin dan
anggota gerakan Islam mesti muhasabah diri agar perjuangan dapat diteruskan
dengan lebih tersusun dan bertahap-tahap dalam mewujudkan masyarakat Islam yang
diredhai Allah dan kemakmuran negara.
Rahsia kejayaan sesebuah gerakan Islam ialah iman dan
taqwa, akhlak dan disiplin, syura dan wala’, tsiqah dan pengorbanan, ikhlas dan
faham, bijak dan saleh para pemimpin dan anggota gerakan Islam. Sebuah gerakan
Islam mesti dimentori oleh ulama. Ulama yang memimpin melalui Syura Ulama atau
ulama yang mengetuai gerakan Islam. Dan ulama menjadi penasihat utama seseorang
pemimpin.
Jika kita menelusuri perjalanan PAS, kepimpinan ulamanya
terletak pada Majlis Syura Ulama diikuti oleh Presiden dan Timbalan dipegang
secara tradisi oleh ulama serta keunggulan Dewan Ulama. Kegagalan utama PAS
ialah masih gagal mencari Profesional/Teknokrat untuk dijadikan sebagai
Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Presiden dan Timbalan Presiden PAS bukan
kalangan ulama ini mesti AKUR kepada MSU. Individu yang TERBAIK dan sesuai dalam konteks zaman hari ini dalam memimpin
PAS ialah seorang daripada kalangan Profesional Ustaz (PROTAZ) atau Ustaz Profesional
(USPRO). PAS mesti tarbiah para pimpinan mereka sehingga melahirkan PROTAZ/USPRO.
Pemimpin dan anggota PAS pelbagai peringkat mesti sudi menerima pada suatu masa
nanti Presiden dan Timbalan Presiden dalam kalangan PROTAZ atau bukan lagi
kalangan ulama.
Ustaz Fadzil Nor sering melaungkan slogan
‘memprofesionalkan ulama, mengulamakkan profesional’. Beliau cuba membawa
contoh yang terbaik bagi model kepimpinan ini iaitu Ustaz Dato Dr Nasharudin
Mat Isa yang dilantik sebagai Setiausaha Agong. Malangnya Ustaz Nasha tersilap
langkah dalam gerak politiknya. Pemimpin PAS seperti Dr Ahmad Samsuri, Ustaz
Nazri Chik, Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah perlu diketengah sebagai pemimpin
utama untuk generasi akan datang.
Kita mahu pemimpin seorang Islamis yang bijak dan saleh
serta berkemampuan memahami dunia dan konteks dengan faham Islam. Maka, seorang
pemimpin Islam mesti banyak membaca buku tentang pelbagai mazhab dalam Islam
dan pelbagai ideologi seperti nasionalisme, liberalisme, sosialisme dan
pluralisme. Seorang pemimpin Islam mesti mempunyai sifat mahu “mengetahui apa orang lain kata tentang
dunia ini”. Tiada cara lain selain
MEMBACA dan MENGEMBARA. Sebelum menjadi pemimpin dan ulama, seorang Islamis
mesti banyak membaca dan mengembara untuk memahami dunia. Kemudian, barulah
menjadi pemimpin dan ulama Islam.
Pemimpin Islamis yang bijak dan saleh perlu mengemukakan
idea-idea yang bernas untuk menyelesaikan masalah umat dengan Islam. Pemimpin
Islam mesti menangani permasalahan rakyat dan negara – peningkatan kos hidup, pengurusan
ekonomi dan urus tadbir negara. PAS umpamanya mesti memperbanyakkan perbicaraan
dengan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS). Pertarungan politik biarlah dalam
lingkungan perang idea dalam pembentukan polisi awam dan pembangunan negara
bukanlah lagi pertandingan siapa lebih Islam, perundangan Islam dan negara
Islam.