“Kalau memang saudara merasa tidak perlu ikut berpolitik,
biar tak usah berpolitik. Tetapi saudara jangan BUTA Politik. Kalau saudara buta politik, saudara akan dimakan oleh
(orang) politik”- Mohammad Natsir, Mantan Perdana Menteri Indonesia.
Bismillah. Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah SWT, Selawat dan Salam kepada Nabi Muhammad SAW. Jutaan
terima kasih kepada Saudara Rahman Imuda kerana memberi peluang kepada hamba
Allah yang faqir ini menulis pembuka kata buku ini.
Pertama, sebetulnya penulis
tidak layak memberi pembuka kata buku ini disebabkan penulis hanyalah seorang
pemerhati politik kampus dan hanya berjawatan kecil sebagai EXCO Persatuan
Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan EXCO Persatuan Sejarah Universiti
Malaya. Secangkir pengalaman yang lain tentang Gerakan Mahasiswa ialah penulis
pernah membuat kajian tentang Gerakan Mahasiswa di Universiti Malaya pada
peringkat Latihan Ilmiah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya dibawah seliaan
Professor Dr. Mohamad Redzuan Othman.
Falsafah Perjuangan Mahasiswa
Menurut pengarang buku Mahasiswa Menggugat, Dr. Mohamad Abu
Bakar, falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka
sebagai pelajar universiti, fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan
situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada dunia
semasa. Tiga elemen dalam falsafah perjuangan mahasiswa ini membentuk watak
seorang mahasiswa dalam interaksi mereka dengan kerajaan, pentadbiran
universiti dan masyarakat.
Mahasiswa mesti sedar bahawa
mereka berstatus sebagai pelajar universiti bukan lagi pelajar sekolah. Beza
antara pelajar universiti dengan pelajar sekolah adalah pemikiran dan budaya.
Pelajar universiti mesti berdikari dan tidak diharap disuap dengan ilmu oleh
guru tetapi meneroka ilmu secara kendiri. Di universiti, mahasiswa adalah anak
muda yang merdeka bebas daripada pengawasan ibubapa. Mereka bertindak mengikut
akal dan hati nurani sendiri. Risiko dan tanggungjawab atas diri mereka
sendiri. Kecenderungan ini membuka ruang mencari identiti tersendiri melalui
intelektualisme.
Mahasiswa juga perlu sedar bahawa
fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa. Usia mereka yang rata-ratanya
berusia 21 tahun menjadikan mereka sebagai
warganegara yang berhak untuk
mengundi dan terlibat dalam proses demokrasi di negara ini. Dalam proses kematangan para mahasiswa ini,
adalah sukar untuk menghalang mereka cakna politik atau celik politik terutamanya dalam suatu isu berkaitan politik
negara dan kesejahteraan rakyat. Tidak hairan sejarah membuktikan berlaku
pertembungan pandangan antara gerakan mahasiswa dengan pihak berkuasa.
Anak muda adalah pemilik
zaman. Sebagai anak muda yang berpendidikan dan terdedah dengan lambakan
maklumat melalui media sosial, para mahasiswa pantas mendapat maklumat tentang
isu-isu semasa. Pendedahan isu semasa memerlukan mahasiswa menjadi progresif
dan kritis dalam isu masyarakat. Menurut Professor Diraja Ungku Aziz, “Mahasiswa bukan sahaja berhak mengeluarkan
suara-intelek mereka tetapi boleh dikatakan mereka wajib memberi syor serta
teguran oleh kerana merekalah di antara ribuan pemuda-pemudi yang lain, dari
desa dan kota, yang bernasib baik berpeluang mencapai pelajaran tinggi”.
Pokok pangkal kepada falsafah
perjuangan mahasiswa ialah intelektualisme. Menurut kamus dewan,
intelektualisme ialah pengabdian kepada penggunaan intelek atau daya fikir. Manakala
satu lagi maksud ialah doktrin yang menekankan bahawa pengetahuan terhasil
dengan penaakulan tulen.
Bermulanya pengupayaan
intelektualisme watak pemimpin mahasiswa ialah mereka mesti dibebaskan daripada
konsep watak tertawan seperti disaran oleh Dr. Syed Husein Alatas. Watak
tertawan yang ada dalam diri seorang pemimpin mahasiswa yang perlu dibebaskan ialah
[1] watak yang suka meniru tanpa pertimbangan yang kritis iaitu menerima ilmu,
maklumat dan berita secara membuta-tuli. [2] Watak tertawan tidak mampu
menimbulkan persoalan baru yang diperlukan dalam lingkungannya. Mereka
mengambil berat dalam suatu permasalahan tetapi tiada idea dan gagal mencari
solusi dalam masalah tersebut. [3] Watak tertawan terikut-ikut dengan pengaruh
luar terutamanya dari Barat. [4] Watak tertawan tidak mempersoalkan sumber ilmu
luar. [5] Watak tertawan tidak menyedari bahawa mereka adalah watak tertawan.
Dalam konteks Islam,
intelektualisme diupayakan oleh Pandangan Alam Islam atau Islamic Worldview yang benar dan sahih. Pandangan Alam Islam adalah suatu pandangan terhadap sesuatu
perkara atau isu melalui kaca mata Islam dan iman berdasarkan sumber rujukan
ilmu Islam iaitu al Quran dan al Sunnah. Al Quran sarat dengan pelbagai
konsep-konsep tentang kehidupan yang tersendiri melalui pengistilahan kata
dasar yang yang tersendiri. Konsep-konsep yang datang dan difahami dalam perspektif
Quranik menghasilkan framework atau
kerangka pemikiran yang tersendiri yang jelas berbeza daripada worldview dan framework bukan Islam terutamanya dari Barat. Pemimpin mahasiswa
yang mempunyai pengupayaan intelektualisme bukan sahaja mampu membebaskan diri
mereka daripada sikap watak tertawan tetapi paling penting mempunyai Pandangan
Alam Islam yang sahih dan benar.
Pengupayaan intelektualisme
dari segi pengislahan Pandangan Alam Islam dan pembebasan daripada sikap Watak
Tertawan perlu disusuli dengan pembudayaan ilmu melalui amalan membaca buku
secara berterusan, pembudayaan diskusi ilmiah dan menulis ulasan artikel atau
bab buku.
Pengupayaan intelektualisme
dalam falsafah perjuangan mahasiswa menghasilkan watak mahasiswa sebagai
pemimpin sebuah pergerakan yang akan mengemudikan pelbagai aspek perjuangan
mahasiswa termasuklah dalam politik kampus dan politik nasional.
Dalam konteks politik
kampus, Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah medan latihan bagi mahasiswa menambah
pengalaman politik mereka sebagai watak pemimpin. Bekalan ‘modal’ pengupayaan
intelektualisme membolehkan watak pemimpin mahasiswa menghasilkan gagasan
pemikiran, alternatif dan manifesto dalam menyelesaikan masalah kampus dan
nasional.
Selain pengupayaan
intelektualisme, watak pemimpin mahasiswa perlu mengambil peluang meredah masuk
dalam tiga perkara iaitu [1] mencari pengalaman dalam organisasi dan
kepimpinan, [2] membina jaringan persahabatan dan pengaruh didalam atau diluar
kampus, dan [3] meningkatkan kemahiran komunikasi.
Mahasiswa Buta Politik
Penulis menolak pandangan
mengatakan politik itu kotor. Politik itu mulia kerana melalui politik kita
boleh menegakkan Islam dan memakmurkan dunia. Yang kotor adalah pelaku politik.
Kita tidak boleh menolak
politik. Berorganisasi secara automatiknya membawa kita dalam penglibatan
politik sama ada politik tempat kerja, politik kampung mahupun politik
kepartian. Setiap inci kehidupan kita bergantung kepada keputusan politik dan
kebodohan kita dalam politik memberi natijah buruk kepada kehidupan kita dan
anggota masyarakat yang lain.
Menurut Berthold Brecht
(1898 – 1956), seorang penyair Jerman, sutradara teater, dan marxis telah menyatakan
“buta yang paling buruk adalah buta
politik. Dia tidak tahu bahawa kos hidup, harga kacang, harga ikan, harga tepung,
kos sewa, harga kasut dan ubat, semua bergantung
pada keputusan politik. Orang yang buta politik begitu bodoh sehingga ia
bangga mengatakan bahawa ia membenci politik. Si dungu itu tidak tahu bahawa dari kebodohan politiknya lahir
pelacur, anak miskin, dan pencuri paling jahat daripada segala pencuri, politikus
jahat. Dengan adanya politikus jahat, rosaklah perkilangan nasional dan
multinasional yang mengurangkan kekayaan negara."(dengan olahan dan
tambahan penulis)
Mantan Perdana Menteri
Indonesia dan pemimpin utama MASYUMI, Mohammad Natsir menyatakan “Kalau memang saudara merasa tidak perlu
ikut berpolitik, biar tak usah berpolitik. Tetapi saudara jangan BUTA Politik. Kalau saudara buta politik, saudara akan
dimakan oleh (orang) politik”. Jika kita tidak menyertai politik kepartian
sekalipun, kita perlu celik politik agar tidak tertipu dengan kelicikkan
politikus jahat.
Di kampus, mahasiswa
dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu [1] kelompok belajar tanpa aktif
berorganisasi, [2] kelompok terpengaruh dengan hedonisme dan [3] kelompok
belajar dan aktif berorganisasi. Kelompok mahasiswa [3] inilah yang dimaksudkan
oleh Ungku Aziz dalam tulisan, ‘belajar sambil mencabar, pengetahuan
tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak maju tanpa pemimpin pengalaman(mencabar)
dan terpelajar’. Berpengalaman dalam kepimpinan di kampus dan berpendidikan
boleh menghasilkan pemimpin pelapis bagi negara ini.
Politik kampus meliputi PRK,
pengurusan organisasi mahasiswa (termasuk Majlis Perwakilan Pelajar-MPP) dan pengucapan
awam memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa terlibat dalam politik. Ia juga
memberi kesedaran politik dan mengupayakan sikap bertanggungjawab para
mahasiswa terhadap isu-isu politik kampus, nasional atau antarabangsa. Ini
selari dengan pandangan Almarhum Sultan Azlan Syah, “mahasiswa harus bertanggungjawab terhadap masyarakat dan perlu
melakukan sesuatu untuk rakyat”.
Model Baru Mahasiswa
Progresif
Sifat progresif dan radikal
sesetengah pemimpin mahasiswa tidak perlu dibimbangi oleh pemerintah dan
pentadbiran universiti. Ia selari dengan ucapan Perdana Menteri Malaysia Kedua,
Tun Abdul Razak menyatakan, “Jikalau kita
tinjau belakang semasa kita masih menuntut, tentulah kita dapat melihat perkara
itu dari sudut yang betul”. Anak muda dan mahasiswa senantiasa merasakan
pendirian mereka adalah betul dan bersedia mempertahankannya.
Sejarah membuktikan bahawa
ramai pemimpin progresif dan radikal yang melawan arus ketika usia muda
akhirnya kembali mengikut arus. Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang ultra
nasionalis Melayu akhirnya menjadi Perdana Menteri Keempat. Dato Seri Anwar
Ibrahim, pemimpin belia dan mahasiswa radikal yang mengerakkan banyak
demonstrasi termasuk demonstrasi Baling pada tahun 1974 telah menyertai UMNO-BN
dan berkesempatan menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan
Perdana Menteri Malaysia.
Gerakan mahasiswa dan
pemimpin mahasiswa progresif seringkali dipalitkan dengan hubungan dengan pihak
pembangkang. Jujurnya, sebahagian mereka bersama-sama pihak pembangkang sama
ada sebagai kader parti tertentu atau kebersamaan dalam sesuatu isu. Pengaruh
luar dalam gerakan mahasiswa sukar untuk dielakkan.
Model Baru Mahasiswa
Progresif cuba memecah tembok yang mengatakan gerakan mahasiswa yang progresif
dan radikal mesti menentang kerajaan, bersama pembangkang dan berdemonstrasi di
jalanan. Ia selaras dengan kenyataan mantan Presiden PAS, Dato Fadzil Mohd Nor
menyatakan, "Gerakan Pelajar mahupun
politik pelajar seharusnya mempunyai orientasi
tersendiri dan tidak seharusnya serba sama dengan politik kepartian".
Antara ciri Model Baru
Mahasiswa Progresif ialah
1. Politik
Santun ialah politik berasaskan ilmu dan akhlak yang mulia. Mengutamakan
politik penyatuan ummah dan kesejahteraan rakyat-mahasiswa merentasi politik
kepartian, politik perkauman, politik keagamaan yang sempit dan kepentingan
peribadi. Politik santun itu berpolitik kerana prinsip, berkonflik bukan kerana
orangnya tetapi pemikiran dan sikap mereka. Politik santun membolehkan
mahasiswa bersolidariti dan bersama serta bekerjasama dengan pihak lawan
politik dalam sesuatu isu demi kepentingan negara dan rakyat.
2. Pembinaan
tradisi gerakan mahasiswa berakarkan intelektualisme dimana sedia belajar dan
manfaat segala sumber ilmu yang relevan termasuk sumber ilmu dari luar negara
tetapi masih berpaut dengan realiti tempatan dan bersikap kritis terhadap
sumber ilmu tersebut. Tradisi gerakan mahasiswa berakarkan intelektualisme juga
mengabung-jalinkan antara kekuatan ilmu turath dan ilmu semasa.
3. Mahasiswa
Berkebajikan. Antara kegiatan yang dilakukan ialah dapur kampus, program
kesedaran kesihatan dan kelas tambahan percuma.
Pendekatan Model Baru
Mahasiswa Progresif ialah:
1. Penubuhan
sebuah grup diskusi dan pentarbiahan yang boleh dinamakan Grup Pemikir Muda
yang bebas daripada kongkongan mana-mana parti politik diluar kampus.
2. Grup
ini mesti mengadakan 2 wacana mingguan (wajib) di kampus. Wacana pertama
berdasarkan kitab turath dan moden dimentori oleh intelek-sarjana berautoriti
untuk membina dan mengukuhkan Pandangan Alam Islam Mahasiswa. Kitab-kitab Ulama
Melayu Patani, buku-buku Syed Muhammad Naquib al-Attas dan para muridnya, dan
tulisan Dr. Ismail al-Faruqi boleh dikaji. Wacana kedua berkaitan dengan kajian
terhadap pemikiran dan isu semasa. Antara pemikiran yang boleh dikupas ialah
pemikiran Syed Husein Alatas, Joseph E.
Stiglitz, Robert D. Kaplan, John L Esposito, Noam Chomsky, Slavoj Žižek,
Montgomomerry Watt, Syed Husin Ali dan lain-lain.
3. Grup
ini akan menubuhkan sayap ‘parti politik kampus’ untuk menghadapi PRK dalam
mengaplikasikan ilmu-ilmu ke dalam lapangan politik kampus.
4. Sayap
politik kampus Grup Pemikir Muda hanya fokus politik kampus dan PRK. Ahli Grup
Pemikir Muda yang mahu terlibat dalam politik nasional dan organisasi politik
luar kampus perlu mewakili diri sendiri bukannya atas nama Grup Pemikir Muda.
5. Mengutamakan
pembentukan kualiti diri Watak Pemimpin Mahasiswa bukannya menonjolkan gerakan
mahasiswa anti-kerajaan.
6. Mengutamakan
pendekatan serampang dua mata dan politik damai bukannya politik kebencian,
permusuhan dan konflik. Mengutamakan kerjasama politik, hubungan mesra,
pengkongsian kuasa, penglibatan dan penyertaan dalam mana-mana program kemahasiswaan
sama ada dianjurkan oleh organisasi mahasiswa, HEP, pihak kerajaan atau parti
pembangkang.
7. Mengkritik
dan menegur pihak tertentu (termasuk pihak kerajaan dan pembangkang) dengan
hujah dan dalil sama ada dalam forum dan penulisan. Kritikan mesti membina
disertakan dengan alternatif penyelesaian.
Jujurnya, penulis tertarik
dengan Model The Thinkers (di
Universiti Malaya) sebagai sel diskusi ilmu yang mempunyai sayap politik kampus
dikenali sebagai Mahasiswa Hybrid
atau Neo Siswa UM. Antara sel diskusi lain yang wajar dicontohi ialah
Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM). Diharapkan sel-sel diskusi ilmu yang bebas
daripada kongkongan politik luar kampus lebih banyak bercambah dan bergerak
dalam politik kampus untuk mengaplikasikan ilmu di lapangan.
No comments:
Post a Comment