Thursday, March 31, 2011

PAS Zaman Era al Hudaybi

Menangani Perpecahan Dalam Ikhwanul Muslimin Era al Hudaybi: Cerminan Kepada PAS Oleh Agus Salim II Seperti yang kita tahu, Mursyidul Aam kedua Ikhwanul Muslimin, Imam Hassan al Hudaybi merupakan insan yang istimewa apabila beliau dididik khusus oleh al Banna. Hubungan baiknya dengan Ikhwan bermula pada tahun 1942. Hanya pimpinan utama sahaja yang mengetahui keanggotaan beliau dalam Ikhwan. Semasa Ikhwan diharamkan, beliau menyerahkan diri, harta, keluarga, jawatan beliau untuk dakwah. Beliau adalah satu-satu ahli daripada sektor kehakiman yang gigih membebaskan Ikhwan daripada tuduhan palsu. Setelah al banna shahid, Dewan Pendiri telah memilih al Hudaybi sebagai Mursyidul Aam daripada beberapa calon yang dicalonkan. Pada mulanya, pelantikkan beliau diterima oleh ahli senior kerana dianggap kompromi sementara. Al Hudaybi menjalankan tugas sebagai Mursyidul Aam Ikhwan secara rahsia selama 6 bulan pada masa beliau masih menjalankan tugas dalam Jabatan Kehakiman. Ketika Nahhas Pasha mengizinkan Ikhwanul Muslimin dihidupkan kembali, Dewan Pendiri Ikhwan meminta al Hudaybi bertemu pemerintah atas kapasiti Muryidul Aam. Tetapi beliau menolak atas alasan keputusan tersebut dilakukan oleh Dewan Pendiri yang belum disahkan oleh anggota Ikhwan. Beliau juga menolak jawatan Mursyidul Aam. Utusan-utusan dari seluruh wilayah Mesir bergilir-gilir datang ke rumah al Hudaybi mendesak beliau menerima jawatan Mursyidul Aam. Akibat desakan ini, beliau sanggup memegang amanah ini dan meletak jawatan sebagai hakim. Tanggal 17 Oktober 1951, Imam Hassan al Hudaybi dirasmikan sebagai Mursyidul Aam kedua Ikhwanul Muslimin. Kebencian Peribadi Pelantikkan al hudaybi secara rasmi mengundang perasaan tidak puas hati dalam kalangan pimpinan senior. Pelantikkan ini melangkaui beberapa pimpinan senior seperti Saleh Asmawi dan Abdul Rahman al Banna. Abdul Rahman al Banna bukan sahaja adik al Banna tetapi beliau adalah Ketua Pertubuhan Kebudayaan Islam di Kaherah yang memberi laluan agar Ikhwanul Muslimin bergabung dengan pertubuhannya, menggunakan kemudahan prasarana dan laluan kepada Imam Hassan al Banna sebagai ketua pertubuhan yang dinamakan Ikhwanul Muslimin. Jasa, penderitaan, dedikasi, pengorbanan, istiqamah dan kesetiaan para senior terhadap al Banna dan jemaah tidak akan dipersoalkan. Peningkatan mendadak al Hudaybi menimbulkan kekecewaan dan kemarahan mereka kerana melangkaui autoriti mereka sebagai pimpinan senior dan berjasa. Kemarahan ini berkembang menjadi kebencian peribadi yang cukup tajam dan seringkali mewujudkan kubu-kubu tertentu dalam jemaah.Dalam PAS, perkataan ABIM, wala’, tsiqah, IRC, PAS Terengganu dan terbaru Kerajaan Perpaduan menjadi fobia pada sesetengah orang. Kebetulan sungguh apabila PAS seakan-akan dikuasai oleh puak ABIM dan Puak PAS Terengganu. Kedua-dua puak ini menjadi ‘hantu’ kepada golongan berkepentingan, senior berhati batu dan anak muda yang buta sejarah, sementelahan yang masih belum merasai ‘betina’(seperti diucapkan oleh Rahim Kajai kepada Samad Ismail) lagi. Perlu kita ingat, Puak ABIM dan Puak PAS Terengganu antara tenaga penting dalam mencetuskan revolusi kepimpinan ulama dalam PAS. Dan paling penting, mereka telah dilantik dalam muktamar. Dato Mustafa Ali seorang pimpinan muda PAS(walaupun seteruk mana beliau, secara peribadi penulis tidak mengemari beliau), pernah menjawat penting(setiausaha atau timbalan menteri, saya lupa) dalam kementerian semasa PAS dalam BN. Beliau penuh pengalaman dan kesetiaan kepada jemaah serta telah kalis dengan politik berbanding kita yang belum berbapa lagi pada ketika itu. Dato Abu Bakar Chik, penggerak utama kepada sistem pendidikan PAS. TGHH, tokoh pemuda yang menggerakkan semangat anak muda untuk mendaulatkan Islam. Mereka adalah pimpinan utama PAS Terengganu sekarang. Saya lihat terdapat kebencian peribadi terhadap pimpinan PAS tertentu. Ia datang daripada sekelompok pemimpin senior yang menaungi segelintir anak muda yang bersemangat. Pengaruh kelompok ini popular kerana mereka menguasai media alternatif tetapi ia bukanlah suara majoriti ahli PAS. Roh Cinta dan Persaudaraan. Krisis ini berlaku apabila roh cinta dan persaudaraan sesama pimpinan dan anggota semakin berkurangan. Kepimpinan Ikhwan berpecah tiga iaitu grup anti al Hudaybi, grup pro al Hudaybi dan grup neutral. Dalam PAS, pelbagai kubu muncul seperti kubu pro siasah, pro ulama dan pro tokoh-tokoh tertentu.Grup-grup dalam PAS akan muncul kembali apabila musim muktamar pemilihan diadakan. Penggunaan media untuk melakukan pelabelan dan kritikan terbuka bukan sahaja menjatuhkan imej tokoh tetapi juga imej parti. Saleh Asmawi pernah menggunakan Majalah Dakwah untuk menghentam al Hudaybi. Masyarakat awam membaca dan menilai buruk jemaah dan pimpinan. Kenapa para mediawan PAS tidak memikirkan impak ini dan berkhayal untuk memenangkan puak yang mereka pilih?. Formula utama meningkatkan roh cinta dan persaudaraan ialah melalui usrah. Usrah ini haruslah seragam melalui silibus Lajnah Tarbiyyah Pusat. Selain itu, Mursyidul Aam, Presiden atau Ketua Dewan Ulama harus meruang sehari dalam sebulan untuk memberi takzirah kepada para pimpinan mahasiswa dan anak muda.Imej Hassan al BannaAl Hudaybi menolak menyamakan dirinya dengan al Banna dari segi pemikiran, tindakan dan budaya hidup. Pimpinan senior mahukan al Hudaybi mencontohi al Banna. Al Hudaybi masih berhubungan dengan sahabatnya daripada parti pemerintah, Parti Sa’di. Al Hudaybi juga rapat dengan pihak istana dan menteri tertentu. Kehidupan elitis al Hudaybi dijadikan modal untuk memburukkan dirinya.Dalam PAS berulang kali kita membaca agar TGHH mencontohi TG Fadzil Nor atau Anwar Ibrahim. TGHH ada stail kepimpinan tersendiri, agak sukar menerima gaya kepimpinan kedua-dua pemimpin tersebut.Tugas anggota PAS ialah menyokong TGHH dan memberikan kepercayaan kepada beliau dalam memimpin PAS dengan gaya kepimpinan beliau tersendiri. TGHH dilihat orang tarbiah, sarjana dan pemimpin yang tidak suka bermesra di warung kopi berbanding keramahan TG Fadzil Nor di warung kopi. TGHH lebih banyak diam, suka menulis buku dan menyampaikan tazkirah. Al hudaybi bekas hakim adalah orang elit berlainan gaya hidup dengan al Banna. Setiap pemimpin mempunyai gaya hidup yang berbeda dan rencam.Jangan kita inginkan pimpinan mengikut kehendak kita tetapi kitalah yang kena ikut pimpinan yang sudah dibait oleh kita. Masalah Pentadbiran Ikhwan Al Hudaybi dituduh menghina jemaah kerana lambat mengaku beliau adalah Mursyidul Aam Ikhwan dan lambat meletakkan jawatan sebagai hakim. Beliau juga dikatakan mengemukakan syarat agar Abdul Kadir Audah seorang hakim dilantik sebagai timbalan Mursyidul Aam Ikhwan. Syarat ini melangkaui pemimpin senior seperti Saleh Asmawi dan Ahmad Hassan al Baquri.Sangkaan ini dibuat oleh pihak musuh atau muslim yang dengki padanya. Sangkaan bersifat ragu-ragu menandakan hati yang tidak jernih dan penuh dendam serta dengki. Setiap tuduhan harus ada bukti, saksi dan pengakuan sebelum kita menghakimi. Penyakit hati akan menyerang sesiapa sahaja walaupun orang alim.Pelantikan sesuatu jawatan harus kita selidik sama ada jawatan itu bersifat lantikan atau dipilih. Jika jawatan Timbalan Mursyidul Aam bersifat lantikan, adalah hak al Hudaybi untuk melantik orang yang disukainya. Dalam konteks PAS, pelantikkan setiausaha politik Presiden, Setiausaha Agung PAS dan Pesuruhanjaya PAS Negeri adalah kuasa lantikan Presiden PAS. Al Hudaybi Pro ‘Kerajaan Perpaduan’? Di bawah kepimpinan al hudaybi, beliau telah dipersoalkan tentang peranan Ikhwan dalam mengetuai gerakan penentangan secara nasional terhadap kerajaan Mesir. Peristiwa kehadiran beliau ke istana semasa pengangkatan sumpah Hafiz Afifi Pasha sebagai ketua kerajaan di tengah-tengah kemarahan dan kebencian pergerakan nasional terhadap istana. Hubungan baiknya dengan pemimpin pasca parti Wafd iaitu Mahir dan Hilali telah menimbulkan kecurigaan pergerakan nasional bahawa al Hudaybi akan membawa Ikhwan menjadi gerakan pro status quo. Al Hudaybi juga pernah mengadakan pertemuan dengan perwakilan British. Perdebatan tentang hubungan dengan pemerintah memuncak apabila kehadiran Abdul Kadir Audah salah seorang pemimpin kubu pro melunakkan hubungan dengan pemerintah dianggap tanda kesediaan al Hudaybi ke arah itu.Perundingan dan pertemuan dengan pemerintah adalah keperluan bagi setiap jemaah atau organisasi kerana kita mencari suasana yang lebih baik. Al Banna sebelum kematian telah berunding dengan pemerintah. Kematiannya, semasa menunggu untuk berunding dengan pegawai pemerintah di pejabat Syubanul Muslimin. Perundingan dengan pemerintah ada pelbagai sebab, kita sebagai anggota harus memberi kepercayaan kepada pimpinan atas kebijaksanaan mereka. Sebagai ahli bawahan, bukan urusan kita mencampuri urusan rahsia dan urusan tertinggi jemaah. Jemaah ada struktur kuasa yang tersendiri. Malangnya ada dalam kalangan kita ingin bertindak seakan-akan ahli syura jemaah, ingin mengatur parti dan merasakan dirinya lebih baik daripada pemimpin utama.PAS pernah menghalalkan kemasukkan ke dalam BN dengan dalil-dalil khas Dewan Ulama PAS di bawah pimpinan TGNA pada ketika itu. Pertemuan ‘gelap’ wakil-wakil PAS termasuk yang terbaru di Istana Terengganu bukanlah perkara aneh. Berilah kepercayaan kepada pimpinan, insya Allah kita selamat. Sedihnya dengan penuh provokasi dan sangkaan yang boleh membawa fitnah, kita membuat tuduhan dan tidak percaya kepada pimpinan walaupun berbuih mulut pimpinan menafikannya. Jadi, kita percaya kepada siapa? Adakah pimpinan parti lain atau pimpinan sewarung kopi kita yang membelanja kita?.Imam Hassan al Banna syahid semasa berunding, kita pula anti perundingan?. Kita berunding dan bertawakal. Kemungkiran janji musuh walaupun kita dibantai dan tewas, Allah akan membalas sesiapa yang mungkir janji. Layakkah Hassan al Hudaybi Menjadi Mursyidul Aam Ikhwan? Sebelum dilantik secara rasmi, Imam Hassan al Hudaybi sememangnya menolak jawatan Mursyidul Aam. Beliau beberapa kali menolak tetapi tidak diizinkan sama ada oleh Dewan Pendiri atau kemenangan dalam pemilihan dengan sokongan majoriti ahli perwakilan. Al Hudaybi dilihat gagal menyatukan Ikhwan dan mengemudi Ikhwan dalam menghadapi pelbagai mehnah. Menurut Syeikh Muhammad al Ghazali".. .Sebenarnya beliau (al Hudaybi) tidak pernah berupaya untuk memimpin Ikhwanul Muslimin, tetapi Ikhwanlah yang meminta beliau memimpinnya. Ketegasan dan keistiqomahannya berhak untuk diketahui oleh setiap orang. Beliau tidak pernah berkeluh-kesah atau mundur kerana musibah atau ujian.” Bahkan pada tahun 1954, al Hudaybi sendiri pernah menyatakan ‘saya bukan (pilihan) tepat untuk memimpin organisasi ini’. Kehadiran beliau sebagai pimpinan utama melemahkan disiplin dan kekuasaan pimpinan utama terhadap para anggota jemaah.Perihal itu harus difikirkan dalam PAS. Adakah TGHH atau Ustaz Nasharudin Mat Isa layak memimpin PAS?. Adakah ahli tidak risau apabila TGHH dan TGNA sudah tiada dan PAS dipimpin oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa?. Apa yang berlaku pada PAS pada era Ustaz Nasha?.Persoalan ini terjawab pada kekuatan pengaruh Ustaz Nasha dan sokongan majoriti anggota PAS terhadap beliau. Seperti yang kita tahu, TGHH tidak pernah dicabar dalam pertandingan muktamar. Manakala Ustaz Nasha merupakan calon yang menewaskan Timbalan Presiden PAS sebelum ini iaitu Ustaz Hassan Shukri. Ustaz Nasha juga berjaya mempertahankan jawatannya semasa dicabar oleh puak ulama yang mencalonkan Ketua Dewan Ulama Pusat, Tuan Guru Haron Taib. Muktakhir, beliau berjaya menewaskan pencabarnya dari puak pro profesional, Dato Husam Musa dan aktivis PAS tersohor, Muhammad Sabu. Perkara ini menjelaskan bahawa beliau mendapat dokongan majoriti ahli PAS. Kemuncak Penentangan Sejak al Hudaybi menjadi Mursyidul Aam, ketaatan mutlak yang dinamakan wala’ semakin berkurangan. Media digunakan untuk menentang beliau. Jika dianalisis, majoriti ahli Ikhwan bersama al hudaybi. Cuma sekelompok kecil sahaja yang gelisah dan terasa terganggu. Bahkan al Hudaybi berjaya memenangi kembali jawatan Mursyidul Aam pada 8 oktober 1953. Tetapi Al Hudaybi dituduh menyeleweng dalam pengundian ini.Kemenangan al Hudaybi memberi ruang kepada beliau untuk menyelesai kes Biro Rahsia yang berkuasa di luar pengaruhnya. Pada 20 November 1953, Sayyid Fayiz, pemimpin nombor dua Biro Rahsia yang ingin membuka rahsia keahlian dan penempatan ahli biro telah dibunuh. Pada 22 November, 4 anggota Biro Rahsia Ikhwan telah dipecat. Wartawan cuba mengaitkan pemecatan pemimpin tersebut dengan kematian Fayiz. Tetapi Ikhwan menyatakan mereka dipecat kerana masalah disiplin. Masalah ini bertambah buruk apabila pada malam sebelum diumum pemecatan tersebut, al hudaybi bersama beberapa ahli Dewan Pendiri telah makan bersama Natsir dan pemimpin muda angkatan tentera. Pihak anti Hudaybi mula bertindak.Seramai 21 pemimpin menziarahi kediaman Mursyidul Aam untuk menyerahkan memorandum agar al Hudaybi meletakkan jawatan. Kemudian mereka menuju dan berkumpul di pejabat agung ikhwan. Mereka bersama 70 orang ahli telah merampas kuasa pejabat agung ikhwan dan mendesak memorandum mereka diterima. Rampasan kuasa dapat ditamatkan apabila pihak al hudaybi bersetuju menubuhkan suruhanjaya dalam menghakimi semula pemecatan 4 anggota Biro Rahsia. Pada 28 November, satu pertemuan antara pihak bertentangan diadakan. Pada pukul 4.00 petang, al Hudaybi tiba dan disambut meriah oleh majoriti ahli Ikhwan yang berkumpul. Kesempatan ini, baiah terhadap al Hudaybi diadakan semula, dan pemimpin pro al Hudaybi telah mengutuk habis-habisan terhadap pihak anti al hudaybi. Hasilnya, Saleh Asmawi, Muhammad al Ghazali, Sayyid Sabiq dan Abdul Aziz Jalal antara pemimpin anti Hudaybi yang dipecat.[jika tidak silap, Syeikh Yusuf al Qaradawi tergolong dalam kelompok anti Hudaybi]Kita lihat dua nama besar pada dekad kemudian iaitu Sayid Sabiq pengarang Fiqh Sunnah dan Syeikh Muhammad al Ghazali Pemikir Islam ternama telah dipecat!. Adakah mereka tidak alim atau tidak setia kepada Ikhwan?. Ilmu, jasa, pengorbanan, kesetiaan tidak dapat disangkal tetapi mereka terpaksa dipecat kerana masalah disiplin iaitu tidak akur arahan pimpinan utama dan mempunyai pendapat sendiri dengan menolak pendapat jemaah.Syeikh Muhammad al Ghazali pernah menulis hubungan beliau dengan al Hudaybi setelah peristiwa itu berlalu menyatakan “Saya menemuinya setelah berbagai musibah berlalu untuk memperbaiki hubungan dengannya. Semoga Allah Ta'ala mengampuni kita semua." Solusi Kekuatan sesuatu jemaah bergantung kepada kualiti pemimpin utama, sokongan pimpinan tertinggi atau perwakilan dan sokongan majoriti ahli biasa. Tanpa dokongan ketiga-tiga elemen ini, sudah tentu al Hudaybi akan tumbang setelah diasak oleh segelintir anggota senior yang tidak puas hati dengan kepimpinan beliau.Keunggulan PAS melalui 3 rangkai pimpinan yang berpengaruh akan berakhir setelah ketiadaan TGFN, TGNA dan TGHH. Ketiga-tiga orang ini mempunyai pengaruh yang besar dalam puak tarbiah, puak siasah dan majoriti ahli dalam PAS. Mereka adalah pemimpin pengasas kepimpinan ulama paling berpengaruh. Dibawah adalah analisis daif daripada saya tentang masa depan tokoh kepimpinan PAS. a. Ustaz Nasharudin Mat Isa- seorang tokoh yang banyak ilmu tetapi tiada pengaruh besar dalam struktur jemaah. Beliau beruntung mendapat sentuhan tongkat TGFN dan TGHH yang memberi sokongan moral dalam struktur jemaah. Pun begitu, kemenangan dalam pemilihan muktamar boleh menjadi motivasi agar prestasi kepimpinan beliau semakin mantap. Pemilihan yang lepas beliau mendapat dokongan kuat daripada puak tarbiah. Beliau belum teruji tanpa tongkat kepimpinan utama. Secara peribadi, beliau akan jadi Presiden PAS yang lemah jika ahli PAS menolak beliau dan kemungkinan besar untuk dicabar pada jawatan Presiden PAS adalah besar. Keputusan terakhir milik perwakilan muktamar. b. TG Tuan Ibrahim Tuan Man- seorang pimpinan popular, berilmu, mesra rakyat dan mendapat dokongan majoriti perwakilan. Beliau beberapa kali memenangi undi terbanyak dalam muktamar sehingga akhirnya beliau merangkul jawatan Naib Presiden. Bagi saya, beliau antara pimpinan besar untuk mengantikan TGHH sebagai Presiden. c. Dato Husam Musa- tokoh berbakat besar, bijak dan mempunyai jaringan persahabatan yang luas. Pun begitu, beliau bukan pimpinan yang digemari oleh puak tarbiah dalam jemaah. Secara peribadi, beliau boleh melangkah ke jawatan Timbalan Presiden. d. Dato Seri Ir. Nizar- seorang lagi pimpinan berbakat PAS dan mempunyai potensi besar dalam parti dan pakatan rakyat. Tokoh ini boleh sampai ke jawatan Timbalan Presiden PAS. e. Dr Mujahid Yusof- tokoh yang banyak ilmu dan lebih liberal pendekatannya. Beliau tidak mempunyai pengaruh dalam puak tarbiah mungkin akan merencatkan perjalanan ke jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden. Dalam organisasi, beliau hanyalah teoris tanpa pengalaman. Begitu juga dalam aksi jalanan atau pengalaman dipenjara. Jika perwakilan muktamar berubah corak pemikirannya, beliau adalah Presiden PAS pada masa depan. f. Salahuddin Ayub – aktivis PAS yang sudah teruji, berbakat, mesra rakyat berjiwa warung. Boleh pergi jauh sampai ke jawatan Timbalan Presideng. TG Haron Din- ulama berilmu, popular dan mendapat dokongan puak tarbiah. Usia adalah kekangan. h. TG Haron Taib- ulama berilmu, berpengaruh dalam puak tarbiah tetapi tidak popular dalam kalangan ahli biasa PAS. Usia dan kesihatan adalah kekangan. i. Mat Sabu- Mempunyai kekuatan mendaki jawatan Timbalan Presiden tetapi tidak mampu bertahan lama. j. Dato Mahfuz Omar- Paling tinggi tahap Naib Presiden dan mungkin tumbang dalam pemilihan yang akan datang. Dalam PAS, persaingan antara puak tarbiah dengan puak siasah akan terus berlaku. Puak tarbiah lebih menganggap PAS adalah gerakan Islam manakala puak siasah menganggap PAS hanya parti politik. Jika dilihat, puak tarbiah kekurangan pimpinan muda yang boleh ditampilkan sebagai Naib Presiden. Penampilan ulama pelapis yang berkonsep-imej-pemikiran Profesional Ustaz(PROTAZ) harus diusahakan. PROTAZ adalah gambaran ulama masa depan. Ulama bukan ditempatkan di masjid tetapi memasjidkan alam. Para agamawan yang berkerja di sektor perbankan, ekonomi, kewangan dan akauntan diharap menjadi ulama pelapis PAS. Secara peribadi, saya mengidamkan PAS dipimpin oleh para agamawan seperti Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz Mohd Ramadhan Fitri dan Ustaz Nazri Chik. bagi jawatan Timbalan Presiden pada muktamar 2011, dikatakan TG Tuan Ibrahim Tuan Man dan YB Salahudin Ayub tidak mencalonkan diri.. Penulis tidak mencalonkan sesiapa dalam pasukan pilihan.. Apapun tindakan TG Tuan Ibrahim adalah bijak, menanda kesabaran dalam berpolitik..

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...