Tuesday, March 01, 2011

Kebangkitan Suara Anak Muda Dalam Jemaah Islam: Berubah atau Rebah?







Oleh Agus Salim II
(Peneliti sejarah dan politik amatur)


Anak muda merupakan penggerak utama dalam perubahan-perubahan yang berlaku dalam sesuatu sistem. Tenaga-idea anak muda digunakan untuk menggerakkan massa dalam usaha merealisasikan idealisme yang diperjuangkan. Setiap revolusi, anak muda menjadi pengukir sejarah zamannya. Dan kematian anak muda menjadi pencetus revolusi yang bakal menjatuhkan rejim yang zalim.


Dalam konteks PAS sebagai gerakan Islam digerakkan oleh anak muda. Kepimpinan ulama dalam PAS adalah hasil muafakat anak muda dengan kaum ulama. Kepimpinan ulama mencetuskan ledakan perubahan yang membadai ideologi dan pendekatan PAS lama.
PAS sebagai sebuah organisasi bakal mengalami kitaran ketamadunan dimana fasa kebangkitan, kegemilangan dan kemerosotan dalam sesuatu tamadun dan organisasi akan berulang. Bagi menghalang proses kemerosotan, anak muda perlu dikaderkan agar tenaga pelapis dapat menggerakkan perubahan dalam sesuatu sistem yang didokongi.


Jurang Generasi


Jurang generasi berlaku apabila anak muda cinta perubahan kehilangan suara dalam membuat keputusan tertinggi sesuatu organisasi. Akibatnya, anak muda cinta perubahan terasa terpinggir dan tersisih daripada organisasi. Idea-idea baru tidak dihiraukan dan tidak diwacanakan bahkan ada yang dihentam dan dicantas tanpa hujah dan dalil.


Sebenarnya, struktur organisasi jemaah Islam dikuasai oleh generasi pertama pengasas sesebuah jemaah Islam. Generasi pertama pengasas kebiasaannya terpengaruh dengan latar belakang pemimpin dan situasi ketika itu. Mereka mengamalkan pemikiran konservatif dalam pendekatan politik, ideologi dan agama.


Generasi pertama Ikhwanul Muslimin terpengaruh dengan situasi pertembungan dengan Nasser pada tahun 1950an dan 1960an. Kebanyakan mereka berusia 60 sehingga 80 tahun pada masa sekarang. Mereka bersifat konservatif dalam ideologi, pendekatan politik dan agama. Dalam PAS, golongan ini tegar dalam parti menguasai hampir keseluruhan struktur parti.


Generasi kedua ialah kelompok liberal-pragmatis. Kebanyakkan mereka adalah golongan profesional. Mereka berperanan membantu generasi pertama dalam struktur organisasi jemaah Islam. Golongan ini mahu perubahan dalam pendekatan politik agar sesuai dengan realiti semasa. Dalam politik, mereka mahu gerakan Islam membebaskan diri daripada politik Islam sempit berubah kepada realiti kehidupan politik nasional. Kebanyakan mereka berusia 50 tahun.
Dalam PAS, kelompok liberal pragmatis ini bersama-sama membangun dan mencetus kepimpinan ulama. Mereka sebagai anak muda ketika itu banyak membantu generasi pengasas kepimpinan ulama dalam mengukuhkan dan memantapkan kepimpinan ketika itu. Mereka bukan mendapat tarbiah PAS tulen. Kebanyakan mereka mendapat tarbiah jemaah Islam lain seperti IRC, Suara Islam dan ABIM. Antara pemimpin tersebut ialah YB Dato Husam, YB Ir. Nizar dan YB Ir. Khalid Samad. Tokoh-tokoh terkemudian ialah YB. Ir. Saari Sungip, YB.Dr. Dzulkifli Ahmad dan YB. Dr. Mujahid Yusof.


Generasi yang ketiga ialah neo tradisionalis. Kelompok ini adalah sekelompok anak muda yang mendapat tarbiah tulen daripada generasi pertama pengasas. Mereka juga pendokong tegar kepada kepimpinan yang ada. Kelompok ini bukti kejayaan proses indoktrinisasi dan pentarbiahan PAS di kampus.


Dalam PAS, kelompok ini berusia 35 hingga 40an. Mereka mendapat tarbiah pada tahun 1980an dan 1990an. Pada masa itu, tarbiah PAS telah dimurnikan. Pentarbiahan mereka di kampus secara rahsia dan didoktrinkan dalam usrah-usrah rahsia menyebabkan kader dilahirkan menjadi ‘militan’ dalam perjuangan tetapi ‘tohor’ dalam dunia wacana. Jaluran pemikiran sekelompok ini satu hala dan tidak menerima kepelbagaian idea[termasuk kepelbagaian jemaah]. Mereka terlalu mencandukan konsep wala’, tsiqah dan anti ummatik[pelbagai jemaah] secara terlampau.


Ekoran konflik pentarbiahan antara jemaah Islam yang hebat ketika itu, pengacau dalam dunia pentarbiahan iaitu IRC dihantu-rayakan. Nostalgia ini menjadi azimat dalam cubaan menangkis segala unsur pentarbiahan luar yang cuba masuk dalam PAS. Neo tradisionalis dalam PAS membela hantu raya{isu IRC} bagi menjamin keselamatan ahli PAS daripada dinodai oleh jemaah lain. Mahaguru dalam menghalangi pengaruh IRC ialah Tuan Guru Haron Taib dan Tuan Guru Yahya Othman.


Kelompok neo tradisionalis menguasai hampir keseluruhan Dewan Pemuda PAS melalui alumni Persatuan Mahasiswa Islam dan mahasiswa Islam luar negara terutamanya PMRAM. Antara kelompok ini ialah Ustaz Nasarudin Tantawi,Ustaz Zaharudin Mohamad dan Ustaz Mohd Riduan Mohd Nor.


Generasi keempat ialah anak muda yang berusia 20an dan 30an. Mereka mendapat pelbagai akses maklumat dan suka berwacana menyebabkan mereka perlukan hujah dalam pembuktian. Pemikiran mereka lebih terbuka dan liberal. Mereka menongkah arus dan menentang proses pembodohan dalam pentarbiahan yang terikat dan disempitkan kepada sokongan terhadap aliran pemikiran dan parti tertentu.


Ramai dalam kalangan mereka terlibat dalam proses indoktrinisasi di kampus tetapi bosan dengan kejumudan dan ketutupan sistem tarbiah (baca:naqib dan usrah]. Jiwa mereka memberontak. Generasi Y ini terdedah dengan pelbagai maklumat tetapi cuba disempitkan pemikiran dalam ‘tempurung’ ketutupan. Akibatnya, mereka memprotes.


Secara keseluruhan, generasi anak muda ini mahu pengidentitian dan pemurnian dalam perjuangan. Mereka mahu proses demokrasi dalam jemaah agar lebih telus. Proses muafakat[baca:syura] diubahkan kepada konsep pertandingan jawatan. Sikap tidak peduli pemimpin utama jemaah Islam terutamanya pemimpin neo tradisionalis terhadap suara generasi Y kerana mereka sudah selesa dalam jawatan mereka tanpa dicabar. Jika mereka sering dicabar dalam pemilihan, mereka akan ambil peduli terhadap suara generasi Y yang dipinggirkan. Generasi Y harus mencari ikon-ikon untuk menentang pimpinan neo tradisionalis jika mahu wakil mereka ada dalam mesyuarat tertinggi.


Mereka juga mahu jemaah Islam dikenali sebagai parti siasah daripada organisasi dakwah. Mereka lebih politikal dan mementingkan jumlah undi.


Politik nasional lebih penting daripada politik Islam. Mereka lebih selesa dengan ‘realpolitik’ daripada menonjol politik berasaskan dakwah. Bagi mereka, konsep negara Islam, ia terlalu utopia. Jemaah Islam harus realistik dengan hidup-membina sistem demokrasi dan negara sivil melintasi kepentingan wujudnya negara Islam atau sistem khalifah.


Anak muda juga mahu suara perubahan disalurkan dengan penyertaan mereka dalam membuat keputusan tertinggi jemaah Islam. Mereka mahu letakkan wakil mereka dalam majlis tertinggi jemaah Islam. Mereka juga mahu saluran dialog dalaman diperbanyakkan agar suara mereka diambil perhatian.



Dalam PAS, saya melihat wakil anak muda sememang diberi ruang dalam Majlis Syura Ulama dengan kehadiran wakil Dewan Pemuda PAS. Tetapi suara anak muda di sana diwakili oleh kelompok neo tradisionalis iaitu Ustaz Zaharudin Mohamad dan Ustaz Nasarudin Tantawi. Justeru, tiada suara pro perubahan dalam MSU PAS.


Kelahiran Generasi Net.2


Ketiadaan saluran dalam menyampaikan pendapat dan ketiadaan upaya dalam membuat keputusan tertinggi, anak muda mencari alternatif lain seperti blog, twitters dan facebook. Mereka telah mengkritik jemaah Islam secara terbuka dan bebas. Malah, kritikan mereka ada yang melampaui adab-adab dengan ayat-ayat yang tidak wajar sehingga TGNA menggelarkan mereka blogger celaka.


Kritikan mestilah dengan ilmu dan hujah yang sahih. Spekulasi dan khabar angin tidak boeh dijadikan hujah. Anak muda harus menyelidik dan banyak membaca bahan-bahan agar hujah disampaikan bernas dan berisi. Hujah jangan disaluti dengan kebencian peribadi, sentimen dan emosi.


Anak muda juga mesti tahu perubahan yang diingini. Berilah cadangan yang membina bukannya meruntuhkan.



Pendapat anak muda yang pantas disampaikan telah membentuk pendapat popular sehingga menvariasikan pemikiran politik dan mencelarukan pendirian ramai anak muda. Anak muda yang mencari identiti perjuangan gagal membentuk kekentalan pendapat apabila dibanjir informasi yang pelbagai. Akibatnya, wala’ dan tsiqah yang menjadi rahsia kekuatan jemaah Islam semakin dihakis.


Kelompok pro perubahan terus mengkritik parti dan pemimpin tertentu agar perubahan berlaku. Apa yang dibimbangi ialah tusukan pengaruh kebencian peribadi dan agenda pihak berkepentingan dalam jemaah Islam.


Anak Muda Reformis


Jika pihak konservatif sering bercakap tentang politik Islam, golongan reformis atau pro perubahan dalam parti gemar berwacana tentang prinsip demokrasi seperti kebebasan, kesamaan, keadilan, pembaharuan, nilai sivil dan kewarganegaraan. Selain itu, anak muda ini suka menyertai forum intelektual yang berinteraksi dengan kem intelektual yang lain seperti kelompok sosialis, Hizbut Tahrir, Liberal dan humanis.


Mereka juga gemar politik muafakat antara muslim dan non muslim demi perubahan demokrasi. Anak muda juga condong kepada pendekatan liberal parti berwadah Islam seperti AKP, PKS dan MJDP(Moroko). Mereka percaya kepada percampuran Islam, nasionalisme dan demokrasi. Mereka mahu satu perubahan dalaman jemaah Islam agar menyerupai AKP dan PKS.


Anak muda juga mahu pembahagian peranan antara organisasi dakwah dengan tindakan politik parti siasah. Antaranya, hujah mereka undi pelacur sama nilai dengan undi ulama. Ini adalah permainan politik parti siasah, jika organisasi dakwah kita harus berdakwah kepada pelacur tersebut agar mendekati Islam atau ulama lebih senang menghina pelacur tersebut[kikikikikiki].


Mereka juga mengkritik idea negara Islam. Mereka mahukan penerusan konsep negara bangsa dan kesamaan semua golongan termasuk golongan minoriti. Agama jangan dinegarakan atau dibirokrasikan.


Anak muda tiada pengaruh yang besar dan tidak berkuasa dalam jemaah Islam mendapat simpati daripada kelompok liberal pragmatis. Sokongan ini menimbulkan pakatan ‘idea’. Dan mungkin menjalar ke medan muktamar pemilihan?.


Apa kehendak anak muda?


Anak muda mahu perubahan dalam pendekatan politik agar lebih fleksibel dan sesuai dengan prinsip demokrasi.


Anak muda mahu struktur organisasi jemaah Islam agar lebih demokratik dan telus. Kuasa politik dalam jemaah Islam jangan berada dalam sekelompok elit dan kuasa hanya berlingkaran dalam kelompok tersebut. Mereka juga tidak mahu berlaku proses rutin dimana pihak yang sama tetap berkuasa. Tidak kepada monopoli kuasa.


Anak muda mahu perubahan dalam strategi dan taktik dalam tindakan politik. Tidak kepada autokrasi dalam jemaah Islam.


Anak Muda mahu gaya kepimpinan sesuai dengan realiti zaman. Ulama jangan terpenjara dalam jubah dan serban mereka.


Anak Muda mahu penerapan nilai demokrasi dalam jemaah Islam. Nilai kebebasan bersuara, meruntuh budaya cantas dan kesamaan gender antara nilai yang mesti ada dalam jemaah Islam.


Impak Pada Jemaah Islam


Kritikan para blogger boleh menjatuhkan imej jemaah Islam dan pemimpin gerakan Islam. Pada peringkat awal memang tidak memberi kesan, tetapi lama kelamaan pandangan mula diambil perhatian oleh masyarakat dan media massa arus perdana.


Kritikan para blogger juga menyebabkan kerahsiaan jemaah Islam tergugat. Maklumat yang sepatutnya tidak terdedah kepada orang awam atau ahli biasa mudah tersebar menyebabkan budaya berburuk sangka merebak. Tsiqah kepada pimpinan semakin terhakis.


Ada juga pimpinan generasi Y terutamanya mantan pimpinan kampus tidak mahu terlibat dengan jemaah Islam. Mereka lebih selesa di luar jemaah bahkan ada yang aktif dalam pertubuhan musuh jemaah Islam. Mereka terasa diperbodohkan jika memasuki jemaah Islam. Jemaah Islam jumud, tidak mesra idea, tidak mesra kehendak anak muda dan tidak menarik dalam pendekatan. Ini amat merugikan jemaah Islam. Antara contoh menarik ialah kemasukkan Ustaz Nazree Yunus, mantan Presiden PMIUM yang berbakat besar ke dalam PKR.


Penubuhan parti atau jemaah berasaskan Islam yang baru. Di Mesir, anak muda daripada Ikhwanul Muslimin membentuk parti al Wasat pada tahun 1996. Di Turki, Ketua Pemuda parti Refah, Rascid Erdogan membentuk AKP yang bertentangan pendekatan dengan mentornya, Dr Necmetin Erbakan. Bahkan Mujahid Erbakan sendiri hampir mengalami tsunami politik ekoran serangan anak muda dalam parti Saadet pada tahun 2010.


Cubaan secara bersih golongan anak muda mungkin bekerjasama dengan kelompok liberal pragmatis dalam usaha menumbangkan kepimpinan generasi pengasas kepimpinan ulama dan neo tradisonalis dalam muktamar amat dialu-alukan. Pertandingan ini mengulangi sejarah petembungan anak muda pimpinan saudara Mustafa Ali bersekutu dengan kaum ulama dalam menumbangkan rejim nasionalis Dato Asri. ‘Kamu tumbang sebagaimana kamu menumbangkan pimpinan terdahulu’.[kikikikiki]


Cadangan Penulis


Merapatkan jurang idea dan generasi dalam hierarki kepimpinan organisasi pemuda. Jawatan Naib Ketua mesti ditandingi oleh sesiapa di bawah usia 30 tahun. Beri keutamaan kepada mantan pimpinan kampus. Jawatan Timbalan Ketua ditandingi oleh sesiapa berusia 31-36 tahun manakala ketua Pemuda boleh ditandingi oleh sesiapa berusia 37-42 tahun.


Kemudian organisasi pemuda pilihlah tiga wakil daripada kelompok di atas menjadi wakil dalam mesyuarat tertinggi. Dalam PAS, masukkan mereka sebagai wakil Dewan Pemuda dalam MSU.


Dulu saya tertarik dengan cadangan Tuan Guru Haron Din agar jawatan Majlis Syura Ulama PAS dipertandingkan. Budaya pertandingan tidak subur dalam jawatan tertinggi PAS kecuali dalam Dewan Muslimat dan peringkat kawasan. PAS lebih selesa dengan kaedah muafakat-syura. Akibatnya, budaya pertandingan diantikan manakala wala’ dan tsiqah dicandukan. Justeru, jemaah Islam seperti PAS perlu belajar pimpinan utama parti harus menang melalui pertandingan.


Sesiapa yang ingin perubahan harus mencari ikon-ikon pemimpin supaya mereka bertanding dalam pemilihan parti[baca:muktamar]. Moga ikon tersebut dalam mengubah parti. Dalam PAS, saya kesal apabila tokoh umpama Dr Mujahid Yusof tidak bertanding dalam jawatan tertinggi Dewan Pemuda. Dalam lingkaran kepimpinan Dewan Pemuda PAS, ikon-ikon seperti saudara Abdullah Karim yang bersekutu ‘idea’ dengan blogger anak muda sangat berkurangan.


Saya menyokong cadangan saudara Ali Bukhari agar diperbanyakkan seminar. Dalam seminar ini dinyatakan apa perubahan yang diingini. Kenapa gagasan kepimpinan ulama perlu diislahkan?. Biar kecelaruan dan persoalan perubahan terjawab.

Kesimpulan


Jemaah Islam hendaklah mesra anak muda. Beri ruang dan peluang kepada anak muda dalam kepimpinan tertinggi dan membuat dasar. Dalam konteks PAS, generasi pengasas kepimpinan ulama adalah anak muda ketika menumbangkan Dato Asri. Wajarlah mereka memahami hati nurani anak muda pada zaman ini. Anak muda perlu dilibatkan dalam urusan membuat keputusan agar hasilnya lebih muafakat.


Kejayaan jemaah Islam bergantung kepada kekuatan anak muda. Dan anak muda hendak merasa kemesraan jemaah Islam sebelum mereka berpesta[baca:berjuang].

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...