Sunday, April 20, 2008

Aku Mahasiswa Bebas atau 'otak usrah'

AKU MAHASISWA BEBAS ATAU ‘OTAK USRAH’
Oleh mamat.com

Aku adalah mahasiswa bebas daripada pengaruh luar. Dalam usrah tiada pun disebut tentang PAS. Aku mahasiswa yang neutral.

Senyum. Subjek belia-anak muda-mahasiswa memang menjadi kesukaanku. Sebagai mantan mahasiswa, penulis amat menyukai jiwa mahasiswa walaupun sudah jauh dengan zaman mahasiswa kini yang canggih-manggih ini. Anggap ini sebagai komentar dari jauh.

Usrah adalah asas kepada pentarbiyahan. Ia tidak perlu menyebut nama gerakan Islam kerana kita telah memaklumi bahawa golongan manusia Islam terbahagi 2 iaitu berjuang dengan Islam atau tidak. Cuma yang dipedulikan ialah pemikiran naqib dan bahan-bahan usrah yang membawa ke mana fikiran dan budi kita.

Satu hari penulis balik dengan bas. Tersenyum melihat anak gadis bertudung labuh, gebu-menggiurkan dan comel membaca buku tulisan Fathy Yakan. Di sini penulis terfikir kenapa PKPIM-ABIM dan KARISMA-JIM bertentangan dengan PMI-GAMIS walaupun membaca bahan yang sama. Mesti otak naqib tersebut yang tidak betul kerana gagal menyatukan sesama gerakan Islam. Macam UMNO dan PAS, baca al Quran dan Hadis tapi lain otak dan nafsu serta hidayah menyebabkan kehendak mereka berlainan.

Penulis tidak peduli, kamu anak usrah atau tidak, tetapi paling penting tindakan kamu kini dan masa depan. Mahu syurga atau neraka.

Siapakah mahasiswa bebas?
Bagi penulis mahasiswa bebas mempunyai ciri-ciri di bawah:

a. Buang Sindrom Kebergantungan

Mahasiswa yang bebas harus membuang sindrom kebergantungan mereka terhadap kuasa-kuasa luar lingkaran kampus. Perawatan sindrom ini sangat sukar kerana ia telah lama mengakari akal-budi kita. Ia juga adalah satu legasi zaman yang kita warisi daripada generasi dan persekitaran lampau. Setakat ini saya kurang yakin terhadap kemampuan GM membuang sifat kebergantungan ini. Sindrom kebergantungan termasuk dalam pakej pemikiran, budaya, tarbiyyah dan kewangan. Bahkan ramai pimpinan bercakap gaya TG haji Hadi dan Anwar Ibrahim.

Legasi perjuangan pimpinan GM bersifat warisan menyukarkan lagi perawatan sindrom ini. Walaupun pimpinan berbeda, bagasinya sama. Pimpinan baru terus dimonitori oleh satu ‘poliburo’ yang berkuasa sakral. Persoalan yang timbul, bilakah sindrom ini akan berakhir?. Ia pasti berakhir apabila berlakunya rampasan kuasa yang diketuai oleh golongan reformasi. Inilah yang berlaku apabila kumpulan pakatan kerinchi atau republik Islam pro PAS telah merampas kuasa daripada mahasiswa pro pkpim-ABIM dalam perebutan kuasa tampuk PMIUM. Begitunya kemenangan golongan sederhana yang diketuai oleh Mahadzir Khir menang dalam rebutan kuasa dengan golongan radikal, proksi Noordin Razak-Anwar Ibrahim dalam PBMUM.

b. Sanggup Berubah

Untuk menjadi mahasiswa yang bebas, kita harus mempunyai ‘jiwa muda-remaja’(walaupun usia dan fizikal dah tua) yang inginkan perubahan dan kemajuan. Kita harus sanggup membuang tradisi lapuk yang diamalkan oleh kita. Apabila kita membaca buku Formula solat sempurna karangan UZAR, macam semua perbuatan solat kita adalah salah. Sebenarnya, paling penting kesanggupan kita menerima perubahan ke arah kebaikan dan kebenaran. Mahasiswa bebas harus berani berubah membuang MOU dengan ‘tuan’ dan abang senior[yang terjajah dengan ideologi tertentu]. Jika sanggup dan berani berubah, baru kebebasan akan terjelma.

c. Tradisi Berhujah dan Berdebat

Mahasiswa sekarang semakin merosot tradisi berhujah dan berdebat. Mereka banyak mencatit dan malu bertanya. Kita tidak boleh menerima sogokan ilmu sahaja tetapi kita perlu mempersoalkan ilmu tersebut. Mahasiswa yang bebas akan mencipta ruang diskusi untuk membolehkan perdebatan ilmiah dilakukan. Pendebat mesti menonjolkan sikap keterbukaan, fakta sahih-pelbagai dan idea yang bernas.

Dalam usrah, kita mestilah membaca bahan yang pelbagai agar berlaku pencapahan minda. Bahan asas usrah yang berteras kumpulan Ikhwanul Muslimin harus digauli dengan dengan pemikiran golongan pemikir dan kumpulan berlainan seperti Said Nursi, Syed Naquib al Attas dan Sheikh Nasrullah. Naqib usrah mesti berani berubah agar tidak terbelenggu dengan arahan dari atas sahaja[buang budaya feudal!]. Perlu ditegaskan usrah bukan mesyuarat politik. Usrah adalah alat tarbiyyah.

Debat dan hujah kita hanya boleh dimuktamadkan dan dihakimi oleh al quran dan hadis sahaja. Jika idea kita berada di luar lingkaran kedua-dua sumber ini, idea yang hebat itu tersendiri terbatal. Jangan sesekali minda kita terjajah dengan pemikiran manusia tetapi biarlah minda kita terjajah dengan al Quran dan hadis.

d. Tradisi Menulis

Mahasiswa harus banyak menulis dengan idea yang bernas tentang isu-isu besar. Kita boleh mengaitkan doraemon dengan permasalahan atau isu-isu besar secara kreatif dan sinis tetapi jangan kita menjadikan diri kita pula macam doraemon. Penulis mahasiswa terutamanya pimpinan GM harus membaca pelbagai ilmu di luar displin kursus masing-masing.

Kepada ‘doeramon-doeramon’ kampus, jadi penulis seumpama Faisal Tehrani yang luas pembacaannya dan Syed Qutb atau SM Mohamad Idris(CAP) yang kritis terhadap isu masyarakat. Jangan kita berotak doraemon yang memikirkan dunia khayali sedangkan kita telah diangkat menjadi ‘rahbar’ kepada GM. Fikir isu-isu yang besar-besar.

Penulisan kita juga haruslah bebas daripada ideologi kuasa luar. Kita harus mencipta mazhab pemikiran sendiri. Jika tidak, mahasiswa bebas akan terus menjadi mitos kerana ia tiada manual dan mazhab pemikiran yang tersendiri. Sesuatu mazhab mesti memiliki sumber ideologinya daripada penulis dan pemikir. Kecelaruan penggerak gerakan reformasi pada tahun 1998 kerana mereka gagal menggagaskan mazhab kuat dan kukuh.

Mahasiswa bebas ini harus distruktur oleh penulis dan pemikir agar ia menjadi satu mazhab pemikiran bagi golongan mahasiswa. Kita mahu penulis-pemikir seperti Ismail al Faruqi dan Syed Naquib al Attas bukannya pemikir-penulis bertaraf doraemon.


e. Minda dan Jiwa Bebas

Cubaan golongan mahasiswa menggerakkan PMN merupakan usaha baik membebaskan minda dan jiwa mahasiswa. Walau bagaimanapun, kita khuatir akan aktivis menggerakkannya yang mungkin terbelenggu dengan ‘otak’ usrah dan sel atau forum blok politik masing-masing. Ketidak-mandirian ini akan menjelaskan lagi bagi kedogolan mahasiswa sendiri. Laksanakan arahan tanpa suara arahan dari atas.

Kelemahan GM adalah ia merupakan satu tempoh masa yang terlalu sempit, ada syaratnya(mesti mahasiswa) dan paling sedih GM adalah alat. Alat mencari jodoh, nama, populariti dan menyemai tanggungjawab. Bergantung kepada niat seseorang. Akibat daripada ini, GM yang mendokong realiti mahasiswa bebas sukar distrukturkan. Suka atau tidak, GM lebih senang menumpang ideologi dan perjuangan proksi daripada luar kampus. Ini seterusnya akan mengikat minda dan jiwa kepada ‘tuan’ pihak atasannya.

Kesimpulan

Proses indoktrinasi kelompok sama ada sel atau usrah telah memacu akal budi seseorang mahasiswa. Sejauhmanakah usrah atau sel mempengaruhi individu, setahap itulah ia mempengaruhi kebebasan mahasiswa?. Adakah mahasiswa bebas akan terus menjadi mitos?. Mahasiswa tolong jawab, mantan mahasiswa senyum.

1 comment:

Unknown said...

sedap bangat ide artikel. ni. benar, saya sevelum ni maseh ragu2 dengan azizi hj abdullah dan faisal tehrani serta bediuzzaman said nursi sendiri. kenapa mereka sama-sama mengkritik partai Islam?

Jawapannya sudah ada dalam kepala saya. tq kerana tolong meleraikan. teruskan menulis;

kritik perlu dibiarkan suapaya ada kematangan

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...