Mahasiswa Dahulu Dan Sekarang
oleh Hishamuddin Rais
Sejarah gerakan dan perjuangan pelajar dan mahasiswa di tanah air kita adalah sebahagian dari sejarah negara ini. Walau pun sejarah ini tidak terperinci tetapi hakikatnya pelajar dan mahasiswa telah memainkan peranan yang penting di dalam mencetuskan kesedaran sosial. Dari zaman penjajah lagi pelajar-pelajar dari sekolah pondok, dari sekolah-sekolah agama dan dari maktab perguruan telah sebaris bersama-sama rakyat untuk menuntut kemerdekaan. Nama seperti Gunung Semangul dan Maktab Perguruan Sultan Idris telah menjadi ingatan kolektif umum.
Masyarakat akan terus berkembang dan berubah. Ada yang berubah mengundur ke belakang untuk mara ke hadapan dan ada yang berubah untuk lebih maju. Ini adalah hukum sosial yang tidak mungkin dapat dielakkan. Semua tamadun bercita-cita untuk membawa kebaikan. Justeru semua cita-cita perubahan yang dibawa oleh falsafah negara ialah untuk melahirkan sebuah masyarakat yang lebih adil dan lebih makmur.
Keadilan sosial telah menjadi tuntutan oleh setiap anggota masyarakat. Dan di sinilah munculnya cita-cita untuk melahir, mendiri dan mengembangkan konsep sebuah masyarakat madani. Kelahiran masyarakat ini adalah idealisma semua falsafah, semua fahaman agama dan semua ideologi politik. Tidak mungkin sesiapa pun berani melanggar cita-cita dan idealisma kelahiran sebuah masyarakat yang lebih adil dari apa yang ada pada kita hari ini.
Justeru kita mesti melihat tunggak asas untuk melahirkan konsep dan idealisma masyarakat madani ini. Untuk ini, tidak dapat tidak kita akan bertembung dengan hukum ekonomi yang menjadi asas dan basis peraturan masyarakat. Pengagihan ekonomi akan mencerminkan sama ada sesebuah masyarakat itu adil atau tidak. Struktur-struktur pengagihan ekonomi ini mestilah berlandaskan keadilan. Hukum rimba siapa kuat siapa mendapat tidak boleh dipakai sebagai landasan sebuah masyarakat yang adil.
Punca-punca ekonomi tidak seharusnya dimiliki cuma oleh sekumpulan yang berpengaruh. Pembulatan punca-punca pengeluaran yang asas jika dimiliki oleh satu kumpulan yang kecil tidak dapat tidak akan melahirkan sebuah masyarakat yang tidak madani dan tidak demokratik. Punca-punca asas ekonomi juga wajib didemokratikkan. Ini bermakna satu struktur pengagihan ekonomi yang lebih adil, telus dan bertanggungjawab mesti menjadi cita-cita dan slogan perjuangan untuk sesiapa saja yang ingin melihat keadilan muncul.
Di sini pelajar dan mahasiswa wajib memainkan peranan yang penting. Sebagai kumpulan yang terdidik, berilmu dan penuh kesedaran, pelajar dan mahasiswa wajib menilai kembali peranan mereka sebagai anggota masyarakat. Apakah sebenarnya peranan pelajar? Di manakah seharusnya 'orang-orang muda' hari ini berdiri? Apakah berdiri di pihak yang benar? Apakah membiarkan ketidakadilan berterusan? Apakah sanggup melihat kebatilan berterusan? Atau bersama rakyat terbanyak memerah otak untuk menunda arah perjalanan masyarakat kita.
Tidak dapat disangkal bahawa hari ini pelbagai hukum, akta, undang-undang yang dianggap 'sahih' , 'halal', 'kosheer' atau 'legit' yang telah diluluskan oleh parliament yang kelihatan menjerat bukan saja para pelajar dan mahasiswa tetapi sesiapa saja yang cuba mengubah pradigma berfikir. Jika pandangan, pendapat, kelakuan, sikap dan pandangan politik berseliseh dengan kuasa dan penguatkuasa, maka tidak dapat tidak 'hukum dan akta' akan dipergunakan.
Di sinilah perbezaaan seorang pelajar dan siswa yang berilmu dengan seorang pelajar dan siswa yang cuma datang ke kampus untuk mendapatkan ijazah. Ini bukan bermakna yang ijazah dan diploma tidak penting. Masa dan ruang yang diwujudkan di gedung ilmu itu wajiblah digunakan untuk mencari kebenaran dan bukan untuk menimbun tambah kejahilan. Kebenaran yang ditemui digedung ilmu ini seharusnya bukan hanya untuk kepentingan sendiri. Ilmu pengetahuan juga wajib didemokerasikan. Ilmu pengetahuan adalah pencapaian satu-satu tamadun. Ilmu dan keilmuan tidak seharusnya menjadi bahan jual beli.
Pendemokrasian ilmu sama seperti pendemokrasian ekonomi akan memperlihatkan kedudukan satu satu tamadun. Apa yang berlaku hari ini ialah kesongsangan pandangan di dalam pentakrifan apa yang dipanggil sebagai 'kemajuan'. Semua ini muncul dan timbul dari suasana sosial dan politik yang tidak menjana dan menggalakkan ruang budaya toleransi dan ruang demokrasi.
Ruang demokrasi ini terlalu penting untuk dijual beli. Ruang ini adalah hak asasi setiap individu yang dilahirkan di dunia ini. Tidak mungkin akan lahir satu masyarakat yang maju walau pun bangunan di negara itu telah sampai ke tepi langit. Tidak dianggap satu kejayaan oleh mana-mana tamadun dari lima benua hanya dengan menunjukan yang kita telah sanggup membuat bendera terbesar atau roti canai terbesar. Kesongsangan pandangan ini lahir kerana perdebatan dan ruang demokrasi yang semakin menyempit.
Merampas kembali ruang demokrasi inilah yang seharunya menjadi cita-cita perjuangan para pelajar dan mahsiswa hari ini. Di sinilah permulaan perjalanan kesedaran seseorang individu. Pelajar harus sedar yang ruang demokrasinya telah diinjak-injak dan disempitkan oleh pelbagai rukun, undang-undang dan akta. Ruang demokrasi ini tidak akan datang dengan menggolek. Ruang ini tidak akan diberikan tanpa perjuangan. Ruang ini akan menilai di mana letaknya kesedaran para pelajar dan mahasiswa hari ini.
Pelajar, mahasiswa dan orang muda adalah pemangkin setiap perubahan. Perhatikan di semua gerakan sosial yang mengubah sejarah. Kita akan bertemu dengan generasi anak muda. Anak muda di mana-mana pun mahukan perubahan. Anak mudalah perubah zaman.. Hanya orang muda yang berani mengubah sejarah. Setiap hari, setiap dekad, setiap kurun rakyat menunggu apakah yang akan dilakukan oleh anak muda. Terpulanglah kepada anak-anak muda di UPM. Dalam hidup ada pilihan. Hidup cuma untuk bernafas atau hidup untuk bersama mengukir sejarah. Dunia akhirnya akan jatuh ke tangan anak muda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment