AKTA UNIVERSITI DAN RUANG DEMOKRASI
oleh Hishamuddin Rais
Dari segi sejarah, Akta Universiti dan Kolej
Universiti diluluskan oleh parlimen pada tahun 1971.
Ini berikutan dengan sikap dan aktiviti para pelajar
dan persatuan pelajar terutama PMUM (Persatuan
Mahasiswa Universiti Malaya) yang secara berani dan
tegas telah mengambil bahagian di dalam arus perdana
politik Malaysia. Pada pilihanraya 1969, PMUM telah
mengeluarkan Manifesto Pelajar yang telah mendapat
sambutan hangat daripada rakyat. Manifesto ini adalah
pengumpulan pandangan-pandangan para mahasiswa dan anak-anak muda generasi enam puluhan. Manifesto ini tidak menyebelahi mana-mana parti politik tetapi menyuarakan pandangan pelajar, mahasiswa dan generasi muda untuk apa yang wajib dilakukan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama.
Di bandar-bandar besar seperti Melaka, Seremban dan
Pulau Pinang, PMUM dan pemimpin pelajar telah
mengadakan rapat-rapat umum yang telah menyaingi dan melebihi keupayaan United Malay National Organisation dan Perikatan untuk mengumpul pendengar. Di Pulau Pinang rapat umum PMUM masih menjadi sejarah kerana hingga ke hari ini tidak ada lagi rapat yang dapat menjemput puluhan ribu rakyat datang mendengar seperti rapat PMUM 1969. Rapat ini telah menjadi sebahagian dari ingatan kolektif penduduk pulau itu.
Pandangan dan pendapat pelajar/mahasiswa di waktu itu diberi perhatian yang berat oleh rakyat kerana sikap
pelajar yang tidak menyebelahi mana-mana parti
politik. Orang ramai melihat pelajar/mahasiswa sebagai
satu kumpulan yang tidak mempunyai kepentingan
peribadi. Dasar dan garis polisi persatuan dilahirkan
daripada keikhlasan mereka dalam usaha untuk
menerangkan apa yang seharusnya dilakukan oleh rakyat di dalam memilih perwakilan.
Keberanian pelajar di zaman ini telah menggoncang
kekuatan dan pengaruh United Malay National
Organisation/Perikatan. Banyak pemimpin kerajaan telah 'terbungkus' termasuk kerusi Dr. Mahathir sendiri.
Huru-hara telah dimulakan pada 12 Mei untuk
membolehkan Perikatan terus berkuasa. Bila Parlimen
dipulihkan pada 1971, Akta Universiti telah
dikanunkan.
Dari mula pengenalan Akta ini sehingga ke tahun 1974
tidak ada satu persatuan pelajar yang mengambil endah
tentang akta ini. Persatuan terus bergerak seperti
biasa. Semua aktiviti berjalan terus. Nama akhbar
pelajar seperti Mahasiswa Negara, Gema Siswa, Suara
Siswa terus dicetak dan dijual untuk memberi pandangan alternatif daripada perspektif pelajar. Persatuan pelajar/mahasiswa adalah satu-satu persatuan di dalam negara yang pemilihan pucuk pimpinan dilakukan secara demokratik dan bebas daripada segala bentuk rasuah.
Demokrasi berjalan lancar di kampus-kampus sehingga
tahun 1974 apabila sekali lagi demokrasi
diinjak-injak.
Kegawatan ekonomi pada tahun 1974 telah memaksa
puluhan ribu petani miskin di Kedah untuk bangun
menyuarakan bantahan mereka terhadap dasar pro-barat, pro-kapitalis, pro-orang kaya dan pro-taukeh yang
dijalankan oleh United Malay National Organisation.
Rakyat miskin penoreh getah dan kaum tani miskin telah bangun dan mengadakan demonstrasi. Pelajar dan mahsiswa telah tidak dibenarkan memasuki Kedah
terutama untuk turut sama berdemonstrasi di Baling.
Tetapi pada 3hb December 1974, seluruh ahli-ahli
daripada pelbagai persatuan mahasiswa di bawah badan induk seperti PKPM, PKPIM dan MBM telah mengadakan demonstrasi secara aman di Padang Selangor (nama lama - harus dipanggil Padang Demokrasi) untuk menyatakan sokongan terhadap Demonstrasi Baling. Jawapan daripada
kerajaan sama seperti yang terjadi hari ini. Ramai
yang ditahan di bawah ISA dan Akta Universiti 71
diperketatkan lagi dengan pelbagai pindaan. Dan Akta
yang wujud hari ini adalah membuktikan sejarah
kegemilangan gerakan pelajar/mahasiswa untuk
menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.
Ruang demokrasi memang semakin sempit bukan sahaja di kampus tetapi di seluruh tanah air. Pelbagai
undang-undang dan akta telah dihimpunkan dan
diluluskan melalui parlimen dengan tujuan agar para
kapitalis, pemodal tempatan dan pemodal luar negara
dapat memunggah dan mengaut kekayaan tanpa diganggu, diusik atau dikritik. Malah menteri pelajaran Dato Sri Najib baru-baru ini telah menyatakan secara jujur yang dasar yang dibawanya ialah ' we're pro business'.
Kerana dasar pro-business dan pro-kapitalis inilah
yang telah menyempitkan ruang demokrasi untuk pelajar dan rakyat. Kapitalis ialah sistem ekonomi yang
menggalakkan dan menghalalkan pengumpulan harta
kekayaan dan punca-punca pengeluaran ke dalam tangan segelintir individu. Di dalam sistem kapitalis
semuanya halal dan boleh dilakukan asalkan perbuatan
itu boleh membawa keuntungan. Keuntungan maksimalah yang menjadi dasar utama sistem ekonomi ini.
Sistem ini telah diterima pakai di negara ini kerana
sistem ini telah dipaksakan kepada kita semenjak zaman British lagi. Hari ini kita lihatlah sendiri porak
peranda yang dibawa oleh sistem ekonomi kapitalis ini.
Penswastaan telah menjadi satu tipu muslihat untuk
merompak harta rakyat. Harta yang dahulunya kepunyaan rakyat seperti air, api, keretapi, kapalterbang dan lain kini telah diambil oleh individu. Semasa
syarikat-syarikat ini mendapat untung semuanya masuk
ke dalam saku taukeh-taukeh ini tetapi bila mereka
rugi, hutang mereka wajib dikongsi sama. Inilah dasar
sistem kapitalis yang didukung oleh United Malay
National Organisation dan Barisan Nasional.
Para pelajar/mahasiswa hari ini wajib berfikir dan
meneliti sejarah. Sejarah mendidik kita melihat
perjuangan orang-orang yang terdahulu dari kita. Ruang
demokrasi pernah wujud di dalam kampus dan ianya telah terhakis hasil daripada dasar pro-kapitalis kerajaan. Pada tahap ini perjuangan pelajar/mahasiswa seharusnya untuk mengembalikan dan merampas kembali ruang demokrasi itu. Ruang demokrasi cukup penting kerana hanya dengan ruang demokrasi barulah potensi seorang pelajar, mahasiswa atau seorang individu dapat dicanai untuk melahirkan seorang insan yang berguna untuk kebaikan ramai. Untuk membuktikan cinta kepada ruang demokrasi langkah yang paling awal ialah untuk turut sama di dalam pertubuhan NGO seperti ADIL atau SUARAM
yang sedang berjuang untuk memperluaskan ruang
demokrasi bukan saja untuk pelajar tetapi untuk
seluruh rakyat negara ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment