Sunday, January 14, 2018

Pengkudusan Ulama



Aku sudah kurang percaya pada orang-orang yang disebut “pewaris-pewarisnya”. – Ahmad Wahib

Hassan al Banna menyatakan,

Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak, kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka. Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan.’

Para ulama tidak kudus, tidak sakral, tidak maksum.

Para ulama dan kelompok berpendidikan agama sudah tentu banyak melakukan kesilapan, kelemahan dan banyak kekurangan. Mereka hanya manusia biasa yang ada ilmu dan menyebarkan ilmu yang mereka ada.

Kita tidak menafikan ada sesetengah ulama bersifat jahat dan sesetengah berpendidikan agama yang menyalahgunakan agama Islam dan tidak beramal menurut Islam. Punbegitu kita tidak boleh menyalahkan agama atas kelemahan seorang ulama atau berpendidikan agama Islam.

Kata-kata dan hujah ulama akan diterima jika bertepatan dengan al Quran dan al Sunnah tetapi jika bersalahan dengan kedua-dua sumber utama Islam ini, secara automatiknya kita boleh menolak hujah mereka.

Walaupun para ulama mendidik dan menyuluh jalan kebenaran, kita tidak mestinya mengikuti mereka jika kita sudah tahu jalannya melalui buku peta [al Quran dan al Sunnah] yang ditanzilkan oleh Allah SWT.

Terus rujuk kepada al Quran dan al Sunnah. Beriman seseorang muslim bukan kerana mereka mengikuti ulama tetapi mereka menuruti ajaran Allah SWT dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.

Tidak berkekalan Islam seseorang jika tidak suka segala nas al Quran dan nas hadith serta tidak mengaku keabsahan kedua-dua nas tadi seperti membangkang atau tidak bersetuju dengan al Quran dan hadith dengan mengunakan pemikirannya.[1]

Ingatlah fungsi ulama ialah mendidik, membimbing dan memberi peringatan kepada diri kita. Penghormatan kita terhadap mereka atas dasar mereka bertaqwa kepada Allah, berakhlak, ilmu dan istiqamah dalam amalan saleh mereka. Jika mereka bersalahan dengan al-Quran dan hadith, justeru kita kena menolak mereka. Banyak belajar ilmu al-Quran dan hadith melalui pembacaan dan pembelajaran dengan ramai ulama agar pemikiran kita lebih terbuka dalam menerima perbezaan dan berada dalam landasan ilmu yang benar dan sahih.



[1] Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutalib al Indonesia al Mandili, Perisai Bagi Sekalian Mukallaf.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...