Tanggal 9 Mei 2018,
Pilihan Raya Umum kali ke 14 akan berlangsung. Seperti biasa laungan ‘pilihan
raya paling kotor’ dan ‘ibu segala pilihan raya’ sudah kedengaran. Apabila
menang di Selangor dan Pulau Pinang, isu pilihan raya kotor tidak timbul pula.
Parti-parti yang
bertanding ialah PAS-GAGASAN SEJAHTERA, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
GS diketuai oleh
PAS dan disertai oleh BERJASA, IKATAN, NGO-NGO dan individu. Peranan PAS
sebagai ‘abang long’ dapat menjaga perjuangan Islam tanpa digugat oleh pihak
lain yang sekular dalam GS.
PH didalamnya ada
para pemimpin yang menganuti pelbagai ideologi termasuklah nasionalisme,
sekularisme, liberalisme dan pluralisme. Ada yang pro-hak asasi manusia
termasuk LGBT. Ada juga Evangelis Kristian. Pemimpin yang berpengaruh dalam PH
ialah DS Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir. Mantan pemimpin PH dalam BN pernah
melakukan korupsi, kronisme dan nepotisme.
BN didalamnya ada ideologi termasuk sekularisme, materialisme
dan nasionalisme. Rekod urus tadbir BN dilihat ‘teruk’.
Untuk muhasabah
diri dan para pengundi, surat terbuka ini ditulis agar seluruh rakyat mengundi
dapat melaksanakan tanggungjawab tanpa merugikan Islam, rakyat dan negara kita.
A. Setiap Orang,
Satu Undi.
Ada yang daripada
awal sudah bertekad menentu parti mana
yang akan dipilih dalam PRU akan datang. Ada juga yang memilih berdasarkan
TAWARAN sehingga saat akhir membuat keputusan.
Setiap undi sangat
berharga kerana ia ‘tiket’ kita memilih pemimpin dan parti yang akan memerintah
negara tercinta. Daripada tangan kita inilah akan melahirkan pemimpin yang
memerintah negara. Kita kena pastikan pemimpin dan parti yang dipilih memenuhi
aspirasi Islam dan rakyat Malaysia.
Mengundi, jangan
sampai kita tersalah pilih pemimpin yang mengheretkan diri kita ke lembah
maksiat dan kemungkaran.
Apapun pilihan
pengundi, dalam demokrasi kita mesti menghormati dan meraikan pilihan setiap
pengundi.
B. Membaca Politik
Dalam setiap
perkara, kita mesti melihat dan memikirkan kedudukan Islam. Dalam politik,
penulis meletakkan keutamaan ini iaitu [1] kedudukan Islam dari segi faham,
usaha melaksanakan Islam dan amalan yang istiqamah. Sejauh mana sesuatu
keputusan pilihan raya boleh memberi keuntungan atau rugi kepada Islam?. [2]
Kestabilan politik umat Islam, rakyat dan negara. [3] Kebajikan dan
kesejahteraan rakyat dan negara.
Bukanlah perkara
lain dianggap sepele (remeh/tidak penting) tetapi ada lagi perkara paling
penting, paling besar dan paling asas yang mesti kita tanggani terlebih dahulu.
Politik [M1] bukan setakat turunkan Najib, benci Mahathir, benci Haji Hadi, kes
liwat Anwar dan bagai. Politik [M2] juga bukan sekadar isu salah urus tadbir
kerajaan, rasuah-korupsi, kronisme, nepotisme, 1 MDB, PERWAJA, FOREX dan bagai.
Bukanlah menafikan kepentingan M2 yang
jelek, jijik dan hina tetapi perkara [1], [2] dan [3] lebih utama dan lebih
penting daripada M1 dan M2. Perkara M2 adalah masalah/isu yang normal/biasa dalam
mana-mana kerajaan dan ia perlu diselesaikan dengan cara yang tidak mengadai
perkara [1], [2] dan [3] di atas.
Pada pandangan
penulis, isu ‘faham’ (termasuk ideologi) yang membentuk keyakinan, kefahaman
dan amalan seseorang INDIVIDU yang memimpin negara lebih utama daripada isu
beban hidup rakyat kerana segala masalah/isu berpunca daripada ‘faham’ seorang
pemimpin yang kurang sifat TAQWA . Jika ‘faham’ dalam kalangan pemimpin dirawat
dengan ISLAM, maka pemimpin bertaqwa dapat dihasilkan dan negara diperintah
dengan kaedah Islam. Insya Allah, isu beban hidup diselesaikan dengan kaedah
Islam yang adil dan memenuhi kehendak syarak.
Kita mesti FAHAM
bahawa Islam adalah jalan penyelesaian masalah manusia. Selama ini, kita
memilih pemimpin yang tidak FAHAM Islam dan kurang merujuk al-Quran, as Sunnah,
Ijma’ Ulamak dan Qiyas. Hanya pemimpin FAHAM Islam sahaja yang dapat mengurus
tadbir negara dengan baik berdasarkan syarak dan akhlak Islam. Pemimpin FAHAM
Islam akan membebaskan negara kita daripada Rasuah-Korupsi, Kronisme dan
Nepotisme melalui kaedah Islam. Pemimpin FAHAM Islam meletakkan Islam
mendahului segalanya. Dengan sifat taqwanya dan akhlaknya, permasalahan negara
dapat diselesaikan dengan kaedah Islam.
Di Malaysia, antara
Menteri Besar lama memerintah negeri yang boleh dicontohi ialah Nik Aziz Nik
Mat. Nik Aziz Nik Mat dan penerus beliau, Ahmad Yaakob telah membuktikan pemimpin
FAHAM Islam mampu memerintah Kelantan tanpa kes rasuah!. Walaupun mempunyai
kekangan dari segi pembangunan dan masalah sosial yang telah menimpa Negeri
Kelantan, urus tadbir yang baik dan bersih masih berjaya dipertahankan sehingga
kini.
Kita menghormati
para ulama dan pemimpin bertaqwa yang ada dalam pelbagai parti dalam komponen
PH dan BN. Mereka tiada pengaruh besar dalam parti mereka. Mereka kurang tegas
menegakkan Islam dalam PH dan BN. Justeru, agar sukar kita nak mengharapkan
mereka menegakkan Islam dalam Kerajaan BN atau PH nanti. Dalam PAS, memang ada
struktur Dewan Ulamak dan Majlis Syura Ulamak yang banyak mengawal PAS daripada
terbabas ke lembah maksiat dan kemungkaran.
C. Keinsafan dan
‘Taubat’ Mahathir
Kita tidak
menafikan keinsafan, kesedaran dan ‘taubat’ Tun Dr Mahathir ke atas kesalahan
dan dosa beliau lakukan sepanjang pentadbiran yang lalu. Kita juga menghormati
usaha ‘baik’ beliau membaiki kembali kesalahan yang beliau lakukan dan cuba
membina kembali negara Malaysia. Siapa kita untuk menghukum Tun M apatah lagi
membaca atau mengetahui niat sebenar beliau. Kita tidak tahu. Kita berserah
kepada Allah SWT.
Ada yang menerima
Tun M dengan berjiwa besar. Ada yang menerima dengan bersyarat dan waspada. Ada
yang menolak Tun M apabila melihat sejarah dan rekod beliau sepanjang
pemerintahan yang teruk dari segi nilai dan hak asasi manusia.
Penulis menolak Tun
M disebabkan kefahaman Tun M terhadap perkara [1] dan faham Demokrasi beliau sangat
mendukacitakan. Sekularisme mencengkam kuat dalam pemikiran Tun M. Kita boleh membaca tulisan Tun M iaitu ISLAM SAYA yang ditulis 31 Mac 2018 dalam
blognya. Pemikiran beliau yang mempunyai persamaan dengan Pak Dr Kassim Ahmad
menjelaskan bahawa Tun M tidak pernah berubah.
Tun Mahathir memang
terbukti bijaksana dan berjasa. Tidak dinafikan. Tetapi kenapa Rasuah, Kronisme
dan Nepotisme rancak berlaku pada zamannya?. Saddam Husein, Muammar Ghadafi,
Hosni Mubarak, Suharto dan ramai pemimpin lain sangat bijaksana dan berjasa
dalam pemerintahan mereka. Tetapi kenapa mereka bersifat diktator dan zalim?
Mereka semua tidak berpegang kepada konsep ‘taqwa’ dan ‘adil’ yang dikemukakan
oleh Islam. Mereka jauh daripada Islam dan mengetepikan ulamak. Ini persamaan
antara Tun Mahathir dengan mereka. Dan perbezaan Tun Mahathir dan mereka dengan
Nik Aziz Nik Mat.
Pada pandangan penulis,
tanpa Islam sebagai jalan penyelesaian, masalah negara ini tidak selesai secara
tuntas. Perkara [1] adalah perkara yang adipenting, Tun M telah pun gagal. ‘Taqwa’
dan akhlak Islam tidak menyerlah dalam pemikiran dan keputusan politik beliau. Tiada
harapan untuk berubah melalui beliau. Pohon kemajuan yang ditanam oleh Tun M
mempunyai akar yang rapuh. Najib antara buah ‘tak berapa menjadi’ yang berjaya
dihasilkan oleh Tun M.
Jika tuan-puan dan
saudara-saudari bersetuju dengan Tun M, sila teruskan. Tiada masalah. Cuma
nasihat penulis, ‘jilat sayang’ jangan lebih-lebih. Kutuk-benci juga jangan
lebih-lebih. Dibimbangi makan diri pada masa depan.
D. Anak Muda
Jiwa muda penuh
bersemangat melawan, keberanian dan mahu perubahan perlu dialirkan melalui
laluan yang betul.
Media sosial dan
gajet mengubah cara berfikir dan sikap anak muda. Sifat populis dan pragmatis
dalam sesuatu perkara sehingga melangkaui perkara [1], [2] dan [3] di atas
boleh menjerumuskan Islam dan rakyat ke dalam kerugian.
Selain media sosial
dan gajet, kaum muda terpelajar yang menganggur dan bekerja pada tahap
kelayakan yang bukan sepatutnya membawa semangat kegeraman dan kemarahan ke
dalam peti undi sehingga boleh mengetepikan perkara [1], [2] dan [3].
E. Siapa Lebih
Islam?
PKR ada ulama.
Dalam Parti Amanah ada ulama. Dalam ‘PPBM’ ada sarjana Islam. Dalam DAP ada
lulusan pengajian Islam. Begitu juga dalam PAS dan UMNO, ada ramai ulamak dan
lulusan pengajian Islam.
Setiap orang
termasuk ulamak menyertai politik kepartian dengan niat masing-masing. Pahala-dosa
diatas niat dan perbuatan mereka. Kita tak menafikan kesalehan, kealiman dan
istiqamah mereka dalam beribadah mereka secara individu.
Sememangnya kita
mesti memilih seorang pemimpin Muslim berdasarkan INDIVIDU yang meliputi ilmu,
akhlak, amalan dan prestasi mereka. Satu lagi yang penting perlu dilihat ialah
DASAR dan AGENDA perjuangan sesebuah parti yang disertai oleh INDIVIDU tadi.
Individu bertaqwa
mudah tenggelam dalam DASAR dan AGENDA parti yang tidak bernuasakan Islam.
Akhirnya parti dan kerajaan menjadi haru-biru ekoran percampuran antara yang
haq dan batil.
Secara peribadi,
penulis meletakkan Islam sebagai addin, Islam yang Syumul dan Islam sebagai
jalan menyelesaikan masalah sebagai tanda aras perjuangan sesebuah organisasi
ISLAM dan seseorang pemimpin. Penerimaan seseorang pemimpin dan sebuah parti
terhadap PERUNDANGAN Islam menjadi TITIK perbezaan antara dua kelompok Islam
yang berjuang melalui dua pendekatan yang berbeza.
F. Wahai Pengundi!
Pada zaman Tun
Mahathir, Tun Abdullah dan sesiapa jua, kita sebagai pengundi masih hidup
sederhana. Yang melarat ada terus melarat. Yang kaya terus kaya. Jarang sekali
yang melarat dan miskin menjadi kaya. Kita adalah apa yang kita ditakdirkan.
Jangan jadikan diri
kita bahagia dengan materialistik, kek ekonomi, duit, pangkat dan sebagainya.
Bahagiakan diri kita dengan Islam walaupun siapa jua diri kita. Orang kaya,
orang miskin, pemimpin atau rakyat biasa, berbahagialah dengan Islam. Antara
kebahagiaan disisi Islam adalah berada dalam suasana pemerintahan Islam yakni
dipimpin oleh pemimpin bertaqwa yang MAHU memimpin rakyatnya ke SYURGA. Penulis tidak nampak pemimpin sekular,
liberal, plural, nasionalis, pro-LGBT, pro-hak asasi manusia dan lain-lain
mampu membawa kita ke arah Syurga.
Biarlah undi kita
memberi saham akhirat kepada kita dalam usaha melahirkan pemerintahan Islam di
muka bumi ini. Bukannya undi kita
mengheret diri kita ke neraka. [Surah Ghafir: 47-50. Surah al Ahzab:68-69.
Surah Ibrahim: 21)
Pilihlah yang
kurang mudharat daripada yang banyak mudharat. PAS memang ada mudharat dengan
kelemahan dalam pentadbiran bukannya terlibat dalam rasuah. BN lebih banyak
mudharat dari segi akhlak pemimpin dan urus tadbir negara serta penglibatan
dalam rasuah, kronisme dan nepotisme. PH mempunyai pelbagai agenda dan pelbagai
ideologi yang merapuhkan perpaduan dalam kerajaan. Ada ideologi yang
bertentangan dengan aqidah Islam. Para pengundi boleh menilai dengan mata hati
masing-masing.
Rakyat berhak
menentukan pilihan mereka. Pilihan mereka adalah ketentuan masa depan negara
kita.
Pilihlah ISLAM sebagai pedoman memilih pemimpin dan parti memerintah
negara.
Selamat Mengundi!
No comments:
Post a Comment