Saturday, April 28, 2018

Realiti Politik Kepartian dan Menolak PAN




[1]
Kita sering ulangi, “dalam organisasi ‘malaikat’ ada juga ‘syaitan’ dan ‘binatang’”

Kita juga sering ulangi, “dalam mana-mana kumpulan dan organisasi, kelompok opurtunis, pengejar ghanimah, pengkhianat, dan ekstrem tetap ada”

Kita TAHU realiti yang ada dalam  politik organisasi tidak seindah disangka. Apatah lagi dalam politik kepartian. Kita juga ada secangkir pengalaman membantu wadah-wadah Islam. Kita juga FAHAM tentang kegeraman, ketidak-puasan hati, rajuk, dendam, tikam belakang, perasaan idea ditolak, dicantas, dilabel, diperalat dan bagai juga terdapat dalam mana-mana wadah termasuk wadah Islam. Semua ini berlaku disebabkan iman, akhlak dan keperibadian kita berbeza. Kita diuji tahap kesabaran dan istiqamah kita dalam perjuangan berorganisasi.

Berada dalam dunia politik, cabaran dan ujiannya luar biasa. Perpecahan dan konflik, kawan bertukar lawan, lawan bertukar kawan bukanlah luar biasa. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang dididik, ditarbiah dan hidup bersama dengan Rasulullah SAW juga berkonflik sehingga berlaku peperangan ekoran politik kekuasaan, pendekatan yang berbeza dan FITNAH politik. Berbanding dengan iman kita, perpecahan dan pengaduhan politik bukanlah luar biasa.

Penulis seringkali menekankan persoalan:

1. Kita sebagai INDIVIDU yang BAIK. Kita tidak perlu bergayut kepada orang lain. Kita tidak perlu mempertahankan kesalahan atau menyerang orang lain kerana setiap lisan atau tulisan kita adalah TANGGUNGJAWAB kita sendiri di Mahkamah Allah SWT kelak. Jangan sampai kita menfitnah dan memburukkan  orang lain.

2. Kita mesti mendahului Islam, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat merentasi politik kepartian yang sempit. Inilah ibrah besar disebalik perpecahan dan konflik pada zaman Khalifah Uthman, Ali dan Hassan. Kita tidak boleh sempitkan pendirian dan pandangan kita kepada politik kepartian yang sempit. Kita perlu membawa politik damai, politik santun dan politik sepakat untuk mendaulatkan Islam dan kesejahteraan rakyat.

Ada organisasi menghadapi pelbagai cabaran dalaman. Ada anggota yang suka meluahkan perasaan, ada yang membawa rahsia dan isi perasaan sehingga ke alam kubur. Berada dalam organisasi, banyak perkara yang perlu dirahsiakan. Bukanlah menyembunyi kesalahan tetapi mengelakkan mudharat dan fitnah yang lebih besar berlaku dalam organisasi dan terpalit kepada Islam. Cara mengatasi masalah ialah selesai secara dalaman, tidak menyertai perbalahan dalaman dan berdoa agar diampuni oleh Allah SWT. Moga Allah mengampuni kesalahan, kesilapan dan kelemahan kita. Semoga sahabat-sahabat memaafkan kelanjuran, kesalahan dan kesilapan kita.

Awas!!. Jika kita merasakan pengorbanan dan jasa mula rasa tidak dihargai. Kita mula merasakan diri banyak berjasa, rasa lebih mulia dan rasa dia seorang sahaja mahu menyelamat organisasi.

Ada yang mengundur diri dengan benci. Ada mengundur diri dan melawan dengan menyertai kumpulan lain. Ada mengundur diri dengan terus menyokong. Ada mengundur diri untuk tawaquf. Ada mengundur diri terus menyepi.
Berwaspadalah dengan tulisan-lisan kita. Jangan sampai orang yang menuding jari mengatakan orang lain sebagai khawarij, ekstrem, barua, jebon dan pelbagai labelan sendiri dihinggapi dengan apa yang dituding tadi.

[2]
Kita ada beberapa sebab menolak Parti Amanah Negara. Antaranya ialah
1. Pembocoran Rahsia Organisasi/Jemaah. Campurtangan Ir Khalid Samad dalam proses pertemuan PAS-UMNO, orang yang menghebohkan berita itu, pembocoran maklumat mesyuarat dan kenyataan terbuka Tuan Guru Ahmad Awang dalam muktamar dilihat banyak membuka pintu fitnah kepada PAS. Media sosial, orang luar dan ahli biasa serta pemimpin pelbagai peringkat mula berpecah.
2. Langgar Bai’ah merupakan kesalahan besar. Bai’ah, kita sumpah setia dengan nama Allah. Jika bai’ah kita berani langgar, apatah lagi janji lain atau perkara lain. Kes Bai’ah inilah menyebabkan Khalifah Ali bertempur dengan Muawiyyah, Az Zubair, Talhah dan Saidatina Aisyah.

3. Langgar Syarat Tahaluf Siyasi. Ramai bekas pemimpin progresif dalam PAS melanggar syarat Tahaluf Siyasi. Antara syarat yang dilanggar ialah (1)Tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam, (2)Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan dan (3) Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bukan kepada Pakatan Tahaluf. Tindakan Ir Saari Sungip jelas melanggar syarat tahaluf siyasi. Orang seringkali membanding kes Saari Sungip dengan Kes Haji Hadi di Kota Damansara. Saari Sungip adalah pengikut yang  perlu akur arahan jemaah manakala haji hadi adalah ketua yang diberi kuasa untuk mengunakan kebijaksanaan pada saat tertentu yang kritikal dan perlu.
Dalam kes Tuan Guru Ahmad Awang menentang Haji Hadi dalam jawatan Presiden PAS, jelas dalam SinarTV dan buku Ahmad Lutfi, Parti Amanah Negara dinyatakan bahawa TGAA mendapat ‘restu’ Anwar Ibrahim bagi menentang Haji Hadi.

4. Pemikiran Islam Mengunakan Skema Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme. Banyak pemikiran Islam bersifat ‘Islam Amerika’ iaitu Islam dicampur-gaul dengan pemikiran Barat yang jelas bertentangan dengan Islam dari segi aqidah dan merugikan umat Islam. Penulis tertarik dengan komen Tuan Guru Fadzil Mohd Noor tentang Penerapan Islam sangat menarik. Beliau mengemukakan soalan “ … apa matlamatnya, apakah ia bertujuan menjangkau tahap pelaksanaan Islam yang syumul dan lengkap atau ia masih dalam skima sekularisme

5. Pemimpin yang melanggar Prinsip sendiri seperti Haji Mohamad Sabu dan Dr Dzulkefli Ahmad. Jika kita membaca tulisan Dr Dzulkefli berjudul “Autokrasi politik Tun Dr Mahathir” [15/06/2012], kita akan mengambarkan betapa teruknya ‘demokrasi’ dalam rangkulan politik Tun M.

[3]
Kita sendiri tidak mampu berada dalam dunia politik kepartian yang cukup mencabar itu. Kita hanya menyokong dan membantu mana-mana organisasi dan elemen Islam yang mempunyai ciri-ciri iaitu [1] ISLAM yang merujuk al-Quran, as Sunnah, Ijmak’ Ulamak dan Qiyas, [2] pemimpin yang bertaqwa, berakhlak Islami, berilmu dan istiqamah dengan amalan dan pemikiran Islam. Ulamak satu bonus [3] fahaman Islam sebagai Addin, Islam yang Syumul dan Islam sebagai Jalan Penyelesaian Masalah  [4] penubuhan daulah/masyarakat Islam, insan yang baik dan menegakkan perundangan Islam dan [5] menolak pencampuran dan penghujahan ilmu berdasarkan pemikiran atau ideologi manusia yang tidak berasaskan Islam. Konsep-istilah yang bukan Islami mempengaruhi pemikiran, tindakan dan keputusan seseorang manusia atau sesebuah kelompok adalah ditolak.

Kurang sabar, kurang istiqamah dan sukar untuk wala’ menyebabkan diri kita mengendur jiwa untuk menyertai mana-mana wadah Islam.

Maklumlah, kita mudah menjadi ‘HULK’ yang berjiwa kecil mengoyak sijil keahlian dengan menostalgiakan nama presidennya.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...