Tuesday, February 21, 2017

Fitrah-Nilai Kemanusiaan




Jika sifat bebas itu adalah liberalisme, semua orang adalah liberalis.
Jika sifat berkebajikan itu  adalah sosialisisme, semua orang adalah sosialis.
Jika sifat hendak sama rata atau tiada pengkelasan dalam masyarakat itu adalah komunisme, semua orang adalah komunis.

Sifat asasi dalam diri manusia itu adalah nilai-fitrah kemanusiaan. Umumnya, ia tidak bertembung dengan Islam kerana Islam adalah ‘agama’ fitrah bagi semua manusia. Cuma apabila sifat asasi manusia menjadi ‘isme’, ideologi, pandangan alam atau aliran pemikiran, ia mula menentang Islam.
Setiap aliran pemikiran atau pandangan alam mempunyai kerangka pemikiran yang sendiri membentuk aqal kita dan mengarahkan diri menjadikan pandangan hidup atau aliran pemikiran itu menjadi satu cara hidup. Akibatnya, berlakulah pertembungan diantara Islam sebagai adden dan syumul dengan isme-isme ciptaan manusia.

Fitrah kemanusiaan yang sebenar adalah kembali kepada Allah SWT dengan sifat kehambaan kepada Allah SWT yakni ketundukan diri kepada Allah dengan merasakan diri dan kehidupan kita berada dalam genggaman Allah. Justeru, cara hidup kita termasuk pandangan alam kita mestilah taat dan patuh kepada Allah SWT.

Manusia pada asalnya mengikut kehendak Allah SWT. Akibat daripada kelemahan dan kesilapan [untuk menjadi pengajaran bagi kita] manusia yang mengikut pandangan akal yang genius [terlebih pandai] dan kehendak nafsu terpesona dengan godaan Iblis, manusia (Nabi Adam dan Hawa) terbuang daripada Syurga.

Manusia dikeluarkan daripada syurga meneruskan pengembaraan mereka di dunia dengan mengikut panduan peta al-Quran dan as Sunnah agar tidak tersesat jalan pulang ke Syurga. Kenderaannya ialah Islam (ikut nas syarak). Lampu penyuluh jalan ialah ilmu tauhid.

Polemik Hukum Hudud




Hukum hudud tidak relevan dilaksanakan pada hari ini dan sampai bila-bila (selama-lamanya)”
“Poligami tidak boleh diamalkan sebagaimana tidak boleh mengamalkan amalan perhambaan”

Menariknya, orang yang menyatakan begini seorang berjubah, berkopiah dan mendapat pendidikan agama. Bahkan paling hangat, mereka yang berkata sedemikian adalah para ustaz atau ulama.
Berlawan hujah dengan kelompok ini adalah membuang masa kerana mereka pintar memanipulasikan hujah-hujah. Kita serah keikhlasan dan usaha mereka pada penilaian Allah SWT.

Ambe pegang kepada
“Islam adalah satu cara hidup atau adden’
“ Islam adalah syumul dan kaffah”
“Islam adalah jalan penyelesaian”
“Islam sesuai sepanjang masa dan sepanjang hayat sampai Hari Kiamat”
“ Tiada alasan untuk tidak beramal dan tidak melaksanakan (apatah lagi menolak) apa yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah”

Pandangan



Dalam sesebuah struktur organisasi, ada 4 pandangan atau pendapat yang utama iaitu
1. Pandangan rasmi organisasi. Biasanya diwakilkan oleh organisasi kepada seseorang seperti Presiden atau Setiausaha Agung. Pandangan organisasi mesti akui dan akur walaupun kita mempunyai pandangan yang lebih baik daripada keputusan mesyuarat organisasi. Jika kita tidak bersetuju, kita boleh keluar organisasi, tawaquf (rehat sementara) atau jalankan apa yang diputuskan.
2. Pandangan peribadi seseorang pemimpin. Pandangan ini jika baik boleh diikuti, jika tidak baik kita boleh tinggalkan.
3. Pandangan peribadi teman seorganisasi.
4. Pandangan peribadi diri sendiri.
Ramai orang berbalah disebabkan oleh nombor 2, 3 dan 4. Perbalahan ini adalah sia-sia kerana ia tidak melibatkan pengubal dasar.

Perundangan Islam




Nak seribu daya, tak nak sejuta dalih’
Dulu, penentang perundangan Islam ialah kelompok sekularis-nasionalis dan kelompok Islamisasi/ Islam Amerika/Anwarisme yang berkarat dalam UMNO-BN dan kelompok Islam pro Anwar Ibrahim dalam NGO seperti ABIM. Kini, ia diganti oleh kelompok SEPILIS yang berada dalam parti politik, NGO dan birokrasi negara. Ia disokong oleh kelompok Islam dalam Parti Amanah Negara, Parti Keadilan Rakyat dan NGO-NGO Islam. 

Cubalah kita lihat kenyataan Tun Dr. Mahathir dan Dato Seri Anwar Ibrahim tentang perundangan Islam semasa zaman UMNO. Begitu juga, carilah kenyataan Tuan Haji Mohamad Sabu dan Tuan Haji Salahuddin Ayub dalam isu yang sama. Ia adalah proses kitaran semula menentang Perundangan Islam yang malangnya dilakukan oleh kelompok yang hanyut dengan sentimen kebencian terhadap seseorang individu atau kelompok tertentu.

Anehnya, didalam kelompok penentang ini bagaikan ada mantan pimpinan PAS yang bagai tak pernah menjadi pemimpin PAS dalam perjuangan menegakkan perundangan Islam.

Antara isu-isu yang seringkali berkumandang dalam pelaksanaan perundangan Islam boleh disimpulkan kepada
1. Keupayaan pelaksana atau kerajaan untuk berlaku adil.
2. Keadilan dalam pelaksanaan termasuk  isu kandungan perundangan Islam.
3. Kelompok yang mengutamakan kesejahteraan, urus tadbir yang baik, kebajikan, maqasid syariah, situasi semasa daripada urusan aqidah dan pelaksanaan perundangan Islam
4. Persoalan teknikal dalam perundangan Islam. Maka, muncullah sindiran hukum hudud PAS atau pentafsiran manusia bukannya undang-undang Allah.
Mencari keadilan disisi manusia hampir mustahil dilakukan kerana manusia mentafsirkan keadilan dengan pelbagai definisi dan kefahaman. Justeru, kita mahu keadilan disisi Allah iaitu dengan meletakkan Perundangan Islam ditempat yang sepatutnya [dengan hak kekuasaan yang ditentukan oleh Allah] dalam Perlembagaan Malaysia. Peletakkan perundangan Islam dalam perlembagaan Malaysia lebih adil bagi Allah daripada pencarian keadilan kita yang palsu itu. Kita cuba memartabatkan ketinggian perundangan Islam.
Jika mahu menunggu seseorang manusia sempurna
Jika mahu menunggu kesejahteraan dan kesempurnaan
Sampai Hari Kiamat tidak ketemui
Kerna pada akhir zaman dosa-pahala bercampur dan hati manusia mudah berbolak balik.

Kelemahan, kesilapan dan kekurangan seseorang pelaksana dan pentadbir tidak boleh disalahkan kepada Islam kerana ia datang daripada kelemahan dan kekurangan seseorang individu. Kelemahan dan kekurangan seseorang individu yang memimpin perlu diselesaikan dengan terus bersabar dengan corak pemerintahan pemimpin tersebut atau menurunkan pemimpin tersebut dengan kaedah yang dibenarkan. Proses pelaksanaan perundangan Islam adalah proses penambahbaikan secara berterusan dari semasa ke semasa dan mustahil untuk mencapai kesempurnaan selagi diurus tadbir oleh manusia. Tugas manusia melaksanakan perundangan Islam berdasarkan kemampuan dan keupayaan diri pemimpin dan kerajaan yang memerintah.
Pembangunan, kebajikan, kesejahteraan rakyat dan membanteras korupsi, kronisme dan nepotisme itu adalah tugas sesebuah kerajaan sama ada Kerajaan Islam atau Kerajaan Kafir atau Kerajaan SEPILIS. Tugas asasi sebuah kerajaan Islam ialah mengembalikan Islam sebagai suatu dasar pemerintahan yang merujuk kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qiyas dalam membangunkan negara. Melaksanakan Islam bukan bermakna meninggalkan isu perjuangan dan kesejahteraan rakyat seperti kenaikan harga barang, 1MDB dan segalanya. Ia dilakukan bersama-sama dengan pelaksanaan perundangan Islam tanpa tangguh.
Parti Islam PAS umpamanya menfokuskan isu perundangan Islam daripada awal penubuhannya. Isu ini dilihat lebih diutamakan sehingga dilihat mengkesampingkan isu-isu lain kerana isu-isu lain diperjuangkan oleh parti lain seperti Parti Amanah, PKR dan DAP. Kita yakin isu perundangan Islam tidak diperjuangkan oleh parti Amanah, PKR dan DAP.
Persoalan teknikal boleh dibahaskan dan diselaraskan oleh pihak yang berkenaan. Asas perundangan Islam ialah isi kandungan dalam Undang-Undang Islam iaitu Hudud yang diwajibkan oleh Allah dan prinsip keadilan. Perbahasan cara atau teknikal adalah proses yang boleh dibincangkan dan dipertingkatkan selagi menurut nas syarak.

Sunday, February 19, 2017

RUU 355 dan Himpunan RUU 355




1. RUU 355 bukanlah hukum hudud. Ia bertujuan memartabatkan kembali sekaligus memperkasakan mahkamah syariah dan dilihat satu fasa yang baik dalam perkembangan perundangan Islam di negara ini. Pengikut UMNO-BN tidak seperti dulu menentang perundangan Islam.
2. Himpunan RUU 355 adalah satu solidariti umat Islam merentasi aliran politik, NGO dan aliran dalam Islam. Ruang dan peluang yang ada dalam memartabatkan perundangan Islam perlu disambut dengan baik dan jangan persia-siakan. Mereka menyimpan jersi parti-NGO, khilaf dan pandangan mereka di rumah dan melaungkan satu suara demi Islam.
3. Ada yang mempersoalkan keikhlasan UMNO. Mempersoalkan keikhlasan UMNO serupa sebagaimana kita mempersoalkan keikhlasan Tun Mahathir dalam perjuangan pembangkang. UMNO dan Tun Mahathir ada muslihat politik dan kepentingan politik. Kita kenal siapa sebenarnya UMNO dan Tun Mahathir tetapi peluang dan ruang untuk memartabatkan perundangan Islam tidak boleh dipersiakan. Kita yakin keselamatan Islam dan wadah Islam bergantung kepada Allah SWT bukannya pada manusia. Penipuan UMNO-BN dan Tun Mahathir biar Allah SWT dan rakyat menghukuminya.
4.PAS mengamalkan pendekatan budaya politik matang secara rasmi merentasi pandangan peribadi para pemimpin mereka. Budaya politik matang adalah serampang dua mata dimana kritikan dan nasihat terhadap pemerintah dan UMNO akan terus berlaku disamping ada usaha merapatkan hubungan PAS dengan UMNO dan lain-lain NGO demi kepentingan Umat Islam-Melayu.
5. Kewujudan masyarakat Islam dan perundangan Islam adalah tugas asasi gerakan Islam di seluruh dunia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Bahkan ia adalah tanggungjawab pemerintah dan rakyat. Bukanlah kita menafikan keutamaan mengamalkan urus tadbir kerajaan yang baik, kerajaan yang amanah, isu MDB, kenaikan harga barang dan sebagainya tetapi kita mengutamakan perjuangan aqidah Islam sebagai keutamaan yang paling utama diikuti dengan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang dilakukan secara serentak. Kembalikan pemikiran kita kepada kerangka ilmu tauhid.
6. Memerintah tanpa kewujudan Negara Islam dan Perundangan Islam umpama pemerintahan UMNO.  Semua parti politik boleh melaksanakan urus tadbir yang baik tetapi bukan semua parti yang ingin memartabatkan perundangan Islam. Tokoh-tokoh pendokong UMNO Zaman Islamisasi/Manhaj Malaysia/Islam Amerika/Anwar Ibrahim kini menjadi ideolog  dalam menghidupkan konsep Maqasid Syariah, Muslim Demokrat dan Rahman Lil Alamin dalam Parti Amanah Negara dan PKR menentang kuat perundangan Islam. Adakah mereka lupa pengalaman dan perjuangan mereka sebagai pemimpin PAS?. Malangnya yang berbau mantan pemimpin PAS yang selama ini berjuang menentang Islam Amerika telah menyokong rancangan seumpama Islam Amerika.
Marilah kita sama-sama mendoakan agar RUU 355 diluluskan dengan mudah dan selamat dalam perhimpunan RUU 355.

Saturday, February 04, 2017

Pilih kemudharatan politik yang lebih kecil



Manusia tidak sempurna. Mencari salah seseorang lebih mudah daripada memuji kebaikan.

Setiap manusia, pemimpin parti politik dan kerajaan yang memerintah mempunyai kelemahan, kesilapan, kekurangan dan kesalahan kerana ia dipimpin oleh pemimpin atau sekelompok pemimpin yang tidak dapat lari daripada ketidak-sempurnaan.

Rasuah, penyelewengan dan  penyalahgunaan kuasa yang seringkali kita label sebagai Korupsi, Kronisme dan Nepotisme akan berlaku dalam mana-mana parti dan kerajaan termasuk dalam parti Islam dan Kerajaan Islam sama ada kita ketahui atau tidak, sama ada kecil atau besar, sama ada bermaharajalela atau tidak. Paling penting kita ada usaha memulih, membaiki dan mencegah daripada berleluasa.

PAS sebagai contoh adalah parti Islam yang menubuhkan Kerajaan Islam Kelantan turut mempunyai banyak kesilapan, kekurangan, kelemahan dan kesalahan dari segi kualiti kepimpinan dan pelaksanaan pentadbiran-pemerintahan.

Cuma, antara PAS dengan UMNO, parti mana yang lebih membawa banyak mudharat, PAS atau UMNO?

Kita pilih parti atau pemerintah yang nak membawa dan menegakkan Dasar Islam dan mengutamakan rakyat walaupun parti tersebut tidak dapat lari daripada kelemahan, kekurangan, kesilapan dan kesalahan.

Kita memilih mudharat kecil untuk mengelakkan mudharat yang lebih besar.

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...