Friday, December 30, 2016

Shaykh Nawawi Janggut Merah Mahaguru kepada ramai ulama Perak


Tercatat dalam lipatan sejarah, tokoh ulama yang paling berpengaruh di kalangan pemerintah negeri Perak tidak lain tidak bukan ialah Haji Nawawi bin Haji Mohd Tahir yang dikenali sebagai Tuan Haji Che’ Wi Janggut Merah atau Shaykh Nawawi Janggut Merah. Ini adalah kerana ia berkhidmat sebagai Penasihat Agama kepada lima orang Sultan Perak iaitu DYMM Almarhum Sultan Idris I, Almarhum Sultan Abdul Jalil, Almarhum Sultan Iskandar, Almarhum Sultan Abd Aziz dan Almarhum Sultan Yussuf Izzudin. Beliau dikenali Tuan Haji Che’ Wi Janggut Merah kerana ia selalu menginaikan janggut dan rambutnya.
Latar Belakang
Keturunannya ramai menjadi alim-ulama. Antara yang paling menonjol ialah bapa saudaranya iaitu Tuan Guru Haji Omar Merbok yang sangat terkenal di utara Semenanjung dan Tuan Guru Haji Shafie Losong yang masyhur namanya di sebelah pantai timur. Nasab Shaykh Nawawi adalah seperti berikut;
Haji Nawawi bin Haji Mohd Tahir bin Haji Mohd Amin bin Haji Abdul Rahman (Tok Suboh) bin Shaykh Ahmad al Zabidi al Yamani
Moyangnya, Shaykh Ahmad al Zabidi berhijrah ke Nusantara dari daerah Zabid yang terletak di Utara Yaman, tidak jauh dari Pelabuhan Hodeidah. Dalam satu riwayat lain, dikatakan bahawa Shaykh Ahmad al Zabidi setelah mendapat perintah dari kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mengarahkan anaknya yang bernama Haji Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Tok Suboh agar turun ke negeri Kedah bersama adiknya yang bernama Ismail untuk membantu kerajaan Islam Kedah menentang serangan bala tentera Siam dari arah laut. Tok Suboh dikatakan masuk ke negeri Kedah melalui jalan Nakhon Si Thammarat yang terletak di selatan Thailand pada hari ini. Selepas berjaya membantu kerajaan Kedah, Tok Suboh dikatakan berkahwin dengan gadis tempatan dan terus menetap di Kedah. Perkahwinan mereka menghasilkan anak tunggal yang diberi nama Mohamad Amin. Haji Mohamad Amin menetap di Alor Mengkudu dalam daerah Kota Setar, Kedah kemudiannya dianugerahkan 6 orang anak iaitu Mohamad Long (kemudian berhijrah ke Perak dan menetap di Batu 17 Pantai Remis), Saad (menetap di Jalan Seri, Alor Setar, Kedah), Halimah (menetap di Sungai Kedak, Kuala Muda), Mohd Tahir (berhijrah ke Perak dan menetap di Sungai Batu, Pantai Remis), Shafie (berhijrah ke Terengganu dan menetap di Losong, Kuala Terengganu) dan Omar (menetap di Merbok, Kedah). Haji Mohd Tahir dan abangnya Haji Mohd Long yang berhijrah ke Pantai Remis memulakan penempatan di dua seberang Sungai Beruas berhampiran pekan Pantai Remis hari ini. Haji Mohd Long membuka penempatan di seberang bahagian utara sungai (Kampung Batu 17 hari ini) dan Haji Mohd Tahir di seberang bahagian selatan sungai (kampung Pantai Remis dan kampung Sungai Batu hari ini). Perkembangan penempatan yang dibangunkan oleh dua beradik ini ditambah pula dengan kedatangan beberapa orang anak Haji Saad dari Lorong Seri, Alor Setar, Kedah (Haji Saad adalah abang Haji Mohd Tahir dan adik kepada Haji Mohd Long). Haji Mohd Tahir dikurniakan 8 orang cahaya mata iaitu Zabidi, Nawawi (tokoh yang dibincangkan dalam penulisan ini), Teh, Ahmad, Mahmud, Maryam, Aishah dan Abdul Hamid. Haji Mohd Long dikurniakan 9 orang cahaya mata iaitu Senawi, Aishah, Aminah, Ali, Taib, Hussain, Som, Saadiah dan Fatimah. Bolehlah dikatakan bahawa ayahanda Shaykh Nawawi iaitu Haji Mohd Tahir dianggap sebagai ayah 'besar' kepada sebahagian besar warga Kampung Sungai Batu, Pantai Remis pada hari ini. Ini adalah kerana semua anak-anak Haji Mohd Tahir menetap di Kampung Sungai Batu dan sekitarnya lalu membentuk sebuah keluarga yang sangat besar sehingga ke hari ini. Jumlah cucu Haji Mohd Tahir hasil perkahwinan anak-anaknya ialah seramai 49 orang manakalanya cicitnya berjumlah 247 orang. Pada masa ini beberapa orang cucu Haji Mohd Tahir masih tinggal di Kampung Sungai Batu dan telah lahir generasi ke 5 selepasnya (satu generasi selepas anak, cucu, cicit, piut).
Shaykh Nawawi bagaimanapun dilahirkan di Kampung Kuala Kangkong, Kedah pada tahun 1300 H bersamaan 1882 M iaitu sebelum ayahandanya Haji Mohd Tahir berhijrah ke Pantai Remis, Perak.
Pendidikan
Besar kemungkinan Shaykh Nawawi mendapat pendidikan asasnya di tempat tinggalnya iaitu di Sungai Batu, Pantai Remis. Kemudian ia berhijrah ke Terengganu untuk menimba ilmu kepada bapa saudaranya yang merupakan ulama terkemuka Alam Melayu pada ketika itu khususnya dalam ilmu tasawwuf iaitu Haji Mohd Shafie Losong. Bapa saudaranya itu telah berhijrah ke Terengganu dari Kedah untuk berguru dengan Syed Abdul Rahman Al Idrus (Tokku Paloh). Haji Mohd Shafie kemudiannya mendirikan pengajian pondok di sebuah kampung di Kuala Terengganu yang digelar sempena namanya iaitu Kampung Losong Hj Mohd Shafie. Selain berguru dengan bapa saudaranya, Shaykh Nawawi juga telah berguru dengan seorang lagi ulama tersohor Alam Melayu iaitu Tuan Hussain Kedah Al-Banjari.
Pengasas Madrasah
Tidak diketahui bila bermulanya hubungan Shaykh Nawawi dengan istana Perak namun Shaykh Nawawi telah dititahkan oleh Sultan Idris I Murshidul Adzam Shah untuk merencanakan pembinaan Madrasah Idrisiah. Shaykh Nawawi pada ketika itu menjadi Guru Besar Madrasah Mariah (mengambil nama sempena Permaisuri Uteh Mariah), Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Sultan Idris I Murshidul Adzam Shah mangkat pada tahun 1916 tanpa sempat melihat tertegaknya Idrisiah yang mula dibina dalam tahun 1917. Anakandanya, Sultan Iskandar Shah Kaddasallah meneruskan pembinaan Madrasah Idrisiah hingga Ogos 1921 di atas tanah Lot yang digazet khas seluas 3e.1r. 38pl. Dengan tertubuhnya Madrash Idrisiah, pendidikan Islam telah berkembang pesat pada zaman tersebut. Para ulama dari tanah Arab turut berkhidmat di Madrasah ini, antaranya Shaykh Hassan Yamani dan Shaykh Abdullah Maghribi. Malah Sultan Iskandar sendiri mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu agama sehingga baginda menghasilkan penulisan yang dinamakan Risalah Iskandariah. Risalah ini telah dihantar kepada semua qadhi di seluruh Perak sebagai panduan. Sultan Iskandar mempunyai hubungan yang erat dengan Shaykh Nawawi. Diriwayatkan bahawa Almarhum Sultan Iskandar sering berada di saf hadapan sewaktu pengajian di Masjid Ubudiah yang disampaikan oleh Haji Nawawi. Selain mengajar di Madrasah Idrisiah, Shaykh Nawawi turut mengajar di sekitar daerah Kuala Kangsar, Larut Matang, daerah Perak Tengah dan daerah Manjung. Shaykh bukan sahaja mengajar murid sekolah, tetapi juga orang dewasa. Malah Shaykh turut mengadakan kelas pengajian khusus untuk muslimat pada hari-hari tertentu.
Penubuhan Madrasah Idrisiah yang direncanakan Shaykh berjaya melahirkan ramai alim-ulama. Antaranya ialah seperti berikut;
1. Tuan Haji Ismail bin Haji Hamzah – Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-2
2. Tuan Haji Muhammad Tahir Muhammad Saman - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-3
3. Tuan Haji Sha'aya bin Abdul Majid - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-4
4. Dato' Haji Abu Hassan bin Abdul Majid - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-5
5. Dato' Haji Muhammad Ghazali Abdullah - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-6 dan Selangor ke-3
6. Dato' Seri Haji Abdul Malek bin Haji Nordin - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-7
7. Dato' Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-8
8. Dato' Haji Md. Salleh bin Hassan Farid - Mufti Kerajaan Negeri Selangor ke-4
9. Tuan Haji Abu Bakar bin Mat Yasin - Mufti Kerajaan Negeri Pahang ke-4
10. Dato' Muhammad Yusuf Ismail - Mufti Wilayah Persekutuan ke-5
11. Shaykh Abu Bakar al-Baqir – Pejuang kemerdekaan dan Pengasas Maahad Ehya’ Asy Syarif Gunung Semanggol
12. Dato' Seri Muhammad Asri bin Hj Abdullah - Kadhi Besar dan Ketua Hakim Syarie Perak ke-7
13. Dato' Haji Sulaiman bin Abdul Kadir - Kadhi Besar dan Ketua Hakim Syar'ie Negeri Perak ke-6
14. Tuan Guru Haji Mohd Khair bin Taib - Pakar Ilmu Falak dan tenaga pengajar Madrasah Taufiqiyah
15. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad - Pejuang kemerdekaan dan YDP PAS Tanah Melayu yang Pertama
16. Tuan Guru Haji Muhammad Saman - Khalifah Tasawwuf, Pelopor Tariqat Sammaniah di Tanah Melayu dan Pengasas Madrasah As-Sammaniah Taiping Perak
17. Profesor Zulkifli Muhammad - Pejuang kemerdekaan dan YDP PAS Tanah Melayu yang Kedua
18. Tuan Guru Haji Zakaria bin Haji Sulaiman - Pengasas Madrasah al Hidayah al Islamiyah dan Maahad al Mizan, Manong Perak
Kembali ke Rahmatullah
Shaykh Nawawi meninggal dunia pada 21 Julai 1969 pada usia 88 tahun. Beliau meninggalkan 24 orang zuriat daripada 3 orang isteri. Beliau telah dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Changkat Ning, Batu 8, Bendang Siam, Jalan Trong, Changkat Jering, Perak.
Karamah Shaykh Nawawi
Shaykh pernah ditangkap dan dimasukkan ke dalam guni untuk dibuang ke laut. Apabila semakin hampir ke laut, guni itu menjadi semakin berat. Bila dibuka, isinya bertukar menjadi batu. Dalam riwayat lain, sewaktu pemerintahan Bintang Tiga (selepas pengunduran Jepun) banyak ulama telah dibunuh. Beliau antara yang menjadi sasaran tetapi dipelihara Allah s.w.t.. Satu peristiwa berlaku di mana kebiasaannya komunis Bintang Tiga melarang orang-orang kampung untuk menghadiri pengajian agama di masjid atau surau. Pada suatu hari anak murid beliau ditanya komunis ke majlis siapa (di masjid) yang beliau hendak pergi. Maka dijawabnya; “Majlis Haji Janggut Merah”. Lalu komunis tersebut tidak jadi menghalang orang tersebut. Apabila ditanya mengapa beliau tidak melarang, maka komunis menjawab bahawa mereka pernah menangkap Shaykh dan dimasukkan ke dalam guni untuk dilemparkan ke dalam laut Pantai Remis. Namun akhirnya mereka mendapati beliau tidak ada, dan yang ada hanyalah batu (padahal pada waktu itu Shaykh berada di rumah). Peristiwa tersebut menimbulkan rasa gerun di hati mereka dan mereka tidak berani mengganggu lagi.
Pernah satu ketika askar Jepun menunggu ia habis kuliah agama dengan tujuan hendak membunuhnya. Malangnya askar Jepun tidak dapat melihatnya padahal ia dengan bersahaja berbasikal melintas askar-askar tersebut.
Daun pokok pisang dimana batangnya digunakan untuk melapik jenazahnya ketika proses mandi jenazah tidak layu hampir sebulan lamanya. Dalam versi lain, di hari kematian beliau, pelepah pisang yang dipotong untuk menutup kawah nasi tidak kering selama lebih kurang 40 hari, walaupun ketika itu musim kemarau
Ketika Shaykh sakit, tong beras sentiasa penuh bagi membolehkan beras dimasak untuk dihidang kepada tetamu yang menziarahinya.
Ketika ia menyampai kuliah agama dengan tiba-tiba ia berhenti memberi kuliah dan memaklumkan kepada hadirin bahawa isterinya telah selamat melahirkan anaknya. Bila ditanya bagaimana ia tahu, ia menjawab, “Burung yang hinggap di jendela masjid telah memberitahunya”.
Seorang penjual ikan membuat pengakuan kepada penulis bahawa beliau sewaktu kecil sangat nakal dan pernah menuang ikan dari raga (hasil menjala ikan Shaykh) ke atas pasir. Apa yang menghairankan beliau adalah ikan tersebut telah melompat masuk balik ke dalam raga tersebut. Peristiwa itu sedikit sebanyak telah menginsafkan penjual ikan tersebut
Menjadi kelaziman peniaga berebut-rebut ia memasuki kedai mereka apabila mendengar Shaykh berkunjung ke tempat mereka kerana menurut mereka perniagaan menjadi laris setelah dikunjungi Shaykh.
Peribadinya dikagumi masyarakat
Shaykh dikatakan tidur dengan beralaskan buah kelapa leper yang agak bujur. Tujuan ia menggunakan buah kelapa tersebut ialah supaya apabila buah itu bergolek ia akan mengejutkan Shaykh itu mengerjakan ibadah dan zikir pada malam itu.
Shaykh tidak pernah cerewet tentang makanan. Seandainya, kopi yang dihidangkan kepadanya itu terlalu pahit atau terlalu manis, ia tetap akan meminumnya tanpa mengadu tentangnya. Begitu juga jika sesuatu makanan itu terlalu masin atau tidak sedap, ia terus sahaja memakan yang dihidangkan kepadanya tanpa berkata apa-apa tentang hidangan tersebut. Prinsipnya ialah semua rezeki datang dari Allah dan kita perlu mensyukuri setiap rezeki yang dikurnia-Nya tanpa perlu banyak soal.
Shaykh hanya memiliki beberapa kain pelekat yang dipakainya saban hari. Jika ada yang terkoyak, ia akan menjahitnya dan memakainya semula.
Shaykh suka menggembirakan orang lain khususnya kanak-kanak. Tetapi dalam hal-hal yang melibatkan hukum-hakam agama, ia bertindak tegas tanpa mengira kedudukan atau pangkat orang yang berhadapan dengannya. Antara kisah tentang ketegasan Shaykh adalah seperti berikut;
Fatwa mengenai tegahan berkabung dengan melilit kain putih di kepala yang diamalkan oleh para kerabat di raja. Segolongan masyarakat telah mengadukan kepada Sultan Perak mengenai tegahan beliau terhadap perbuatan tersebut. Beliau dipanggil mengadap Sultan. Umum menganggap beliau akan dimurkai Sultan. Beliau telah datang ke istana dengan membawa kain putih (kain kafan) lalu ditanya Sultan untuk apa kain tersebut. Jawab beliau: “Kalau patik dihukum pancung pada hari ini kerana fatwa tersebut maka inilah kain kafannya”.
Sultan Perak (Sultan Iskandar) telah memanggil para ulama Perak untuk berbuka puasa di istana. Belum pun tiba waktu berbuka Sultan Iskandar menyeru kepada semua yang hadir supaya menjamah makanan. Semua mereka terdiam tidak berani membantah lalu Shaykh Nawawi bangun memberitahu Sultan dengan kata-kata: “Kalau tuanku hendak masuk neraka masuklah seorang”. Akhirnya Sultan memuji keberanian beliau menegur Sultan dan Baginda memarahi ulama-ulama yang membisu dengan kata-kata, “Nasib baiklah di negeri Perak masih ada orang yang berani menegur beta”.
Beliau pernah menunggu di tempat yang pernah dijadikan tempat semah jin dengan kepala kerbau secara tahunan. Bagi menghapuskan amalan tersebut beliau telah menunggu di tempat dan waktu yang pada tiap-tiap tahun diadakan acara menjamu kepala kerbau. Apabila tiba masanya jin tersebut telah datang dan menggegarkan suasana sekeliling. Keesokannya bomoh yang meminta supaya dijamu kepala kerbau telah meninggal dunia.
Shaykh Nawawi juga ulama yang pertama di Tanah Melayu yang telah mengeluarkan fatwa, bahawa orang perempuan haram memakai gincu bibir. Ada dua alasan yang telah dikemukakannya, iaitu:
i. Gincu bibir (yang baik pada zaman itu) dibuat di Itali, England dan negara-negara kuffar adalah dibuat dari lemak babi
ii. Perempuan yang memakai gincu bibir, selain daripada menarik nafsu berahi lelaki, mereka memperlihatkan gambaran bentuk bibir faraj mereka dan mengikut perempuan-perempuan kuffar yang termasuk dalam hukum tasyabbuh.
Shaykh tidak suka bercerita tentang hal orang malah beliau amat berhati-hati apabila berbicara agar tidak melukakan hati orang lain.
Beliau menguasai pelbagai bahasa seperti Arab, Urdu, Tamil, Cina, Inggeris, Aceh dan lain-lain.
Beliau juga mendalami ilmu perubatan Arab-Yunani (Greco-Arabic Medicine) dan berjaya menghasilkan beberapa jenis formulasi ubat berasas herba termasuk ma’jun.
Selain dari mempunyai ilmu pengetahuan agama Islam yang luas, Shaykh Nawawi mempunyai kebolehan menanam berbagai jenis pokok buah-buahan. Dia telah menanam berbagai jenis anak pokok buah-buahan atas tanahnya yang luasnya kira-kira lima ekar. Di antara pokok-pokok itu, ialah delima, arang para atau pulasan, duku, laici, mata kucing, ciku dan berbagai-bagai jenis limau yang berasal dari benua China.
(Artikel ini dan gambar - gambar, saya telah ambil dari Wikipedia, Insiklopedia bebas)

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...