Thursday, April 15, 2010

TAMPAN lagi

Tamrin Panjang:Satu Dokumentasi di Luar Jamaah 11

Posted in Politik Mahasiswa with tags , , , , , , , , , , , , , , , , , , on February 1, 2009 by maharajazhou

Tamrin Panjang(TAMPAN) merupakan rahsia besar dan sulit yang paling besar bagi Jamaah Islam Kampus(JIK) dengan nama rasminya Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di seluruh kampus di Malaysia. TAMPAN mempunyai nama lain mengikut kampus masing-masing. Di UTM seperti pendedahan Wan Norhayati Alias, TAMPAN dikenali sebagai Tamrin Jelas Fikrah(TJF).

Pendedahan Wan Norhayati Alias merupakan satu lagi bentuk dokumentasi TAMPAN. Namun, penulis berpendapat TJF mengikut cerita lisan Wan Norhayati bercampur-baur dengan tamrin setaraf QTC(Qiyadi Training Camp, khusus untuk pimpinan JIK di Universiti Malaya) yang mungkin turut beliau sertai di UTM sebagai pimpinan.

Namun, bagi mereka yang hendak mengetahui TAMPAN dan bai’ah selain dari penulisan penulis, pengkaji ataupun sesiapa yang berminat bolehlah merujuk kepada mukasurat depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh, 2 September 2001 yang bertajuk, “Gerakan Bawah Tanah di IPTA-Bekas Pelajar UTM Dedah Aktiviti Berselindung Di Sebalik Usrah dan Tamrin”.

Hakikatnya, kebocoran TAMPAN, Bai’ah, dan Tanzim (Organisasi) JIK sudah lama berlaku di universiti terutamanya di Universiti Malaya. Ia berlaku di kalangan bukan ahli Jamaah (selepas ini dirujuk sebagai Ahli Unit atau singkatannya AU) tetapi rapat dengan ahli jamaah ataupun surau. Mereka selalunya terdiri daripada ahli surau Kolej yang terlepas daripada mengikuti program TAMPAN tetapi berjaya untuk tinggal di Kolej tanpa menggunakan tiket Balai Islam ataupun satu ketika dulu JKP Kerohanian selepas Tahun Pertama.

Kebocoran juga berlaku jika terdapat bukan AU yang sering bersama dengan kelompok AU. Namun, kebocoran ini “tidak serius” dan tidak membawa masalah kepada Jamaah, tetapi, amaran dan peringatan sering diberikan dalam perjumpaan 2 kali sebulan kesemua AU iaitu Kuliah Ilmu (KI) supaya menjaga kerahsiaan ini dan hadzar(berhati-hati) dalam membicarakan perkara dalaman Jamaah terutamanya jika suasana melibatkan bukan AU.

Selain dari itu, kebocoran maklumat tentang Jamaah (seperti mana yang dipercayai oleh AU) mungkin melalui suluh ataupun risikan Polis. Boleh dikatakan selain dari pendedahan Wan Norhayati Wan Alias, tiada pendedahan serius yang pernah berlaku terutamanya kepada masyarakat di luar yakni ibu bapa, ahli politik bukan PAS dan pegawai-pegawai Universiti samada ahli akademik mahupun bukan akademik.

Perkara ini melegakan JIK/PMI kerana pendedahan ini dianggap sebagai pembohongan apatah lagi jikalau berita tersebut adalah mengenai parti pembangkang di media arus utama. Sepatutnya Persatuan Akademik dan Bukan Akademik perlu menyiasat perkara ini kerana ia melibatkan mahasiswa serta mereka adalah badan yang berkecuali dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak. Namun, disebabkan kehangatan suasana politik yang tidak menyebelahi mana-mana unsur pro-establishment mahupun benar, perkara ini dibiarkan tanpa kajian dan usul periksa daripada mana-mana pihak melainkan politikus mahasiswa.

Pada tahun 2004, tiga tahun selepas pendedahan Wan Norhayati Wan Alias dipandang sepi, isu Bai’ah, Tamrin dan gerakan sirr(underground) PAS di kampus dibangkitkan semula untuk menawan kampus Perdana (UM) selepas beberapa kampus ditawan oleh pihak Anti JIK/PMI. JIK telah lama memegang kuasa dan generasi AU yang terbina sebelum ini tidaklah sekuat di zaman Zanul Azizi Zakaria. Kehebatan Ramadhan Fitri Ilyas sebagai Presiden MPPUM dan PMIUM (Amir Jamaah Islam Kampus) tidak dapat menongkah arus yang dimulakan oleh Wan Norhayati Alias ini.

Kemunculan Laman mahasiswa Anti JIK/PMI seperti Idealis Mahasiswa memangkinkan berita tentang kes Wan Norhayati. Isu ini dijadikan modal untuk pilihanraya kampus (PRK) tahun 2004 yang menjadi salah satu faktor jentera PRK JIK Universiti Malaya mengundurkan diri. Dengan ini, isu TAMPAN merupakan isu penting yang menjadi titik nadi kepada JIK.

Sebenarnya, peri pentingnya TAMPAN, Bai’ah dan Tanzim JIK ini tidak difahami oleh mereka yang berminat dengan politik mahasiswa yang bukan berlatarbelakangkan JIK atau secara luasnya termasuk ahli Jamaah Tanzim JIM/IRC, ABIM Perlis (pimpinan Ustaz Dahlan) dan serpihan-serpihan Ikhwanul Muslimin. Perkara ini juga gagal difahami oleh pegawai Hal Ehwal Pelajar Universiti, Penyelia-penyelia Kolej, Pengetua-Pengetua Kolej, Timbalan-Timbalan Naib Canselor (HEPA), Naib-naib Canselor dan pemegang taruh Universiti di Kementerian Pengajian Tinggi.

Kebanyakan dari mereka menganggap kemenangan pihak Anti JIK/PMI dalam PRK, pembuangan aparat-aparat JIK dari kolej-kolej kediaman dan kesusahan dalam urusan melaksanakan aktiviti PMI(dan aparatnya di Kolej-kolej Kediaman) sudah memadai untuk menghancurkan PMI. Tetapi, hakikatnya, PMI hanya boleh dihancurkan dengan satu mekanisme iaitu menghalang perlaksanaan TAMPAN dan bai’ah dari berlaku samada melalui serbuan oleh pihak Keselamatan ataupun Polis semasa TAMPAN dilaksanakan ataupun halangan sewaktu peserta TAMPAN akan dihantar ke lokasi TAMPAN. Namun, perkara ini tidak pernah diambil tindakan oleh pihak HEP dan pihak Keselamatan Universiti. Pihak Polis hanya boleh bertindak jika ada laporan rasmi ataupun aduan yang meminta agar TAMPAN oleh pihak Universiti ataupun Presiden MPP/MPM dan wakil-wakilnya. Jika pihak Polis Bukit Aman mempunyai maklumat TAMPAN setinggi Bukit Aman pun, tanpa laporan dan aduan, tindakan tidak boleh diambil.

TAMPAN adalah kebanggan dan wajah hitam bagi PMI. Kebanggaan kerana ia menghasilkan tenaga kerja yang patuh, taat dan efisien kepada Jamaah. Keefisienan ahli Jamaah membolehkan orang Melayu-Islam duduk setaraf dengan persatuan-persatuan yang didominasi oleh orang Bukan Melayu di Universiti. PMI adalah antara yang boleh duduk dan berdiri dengan megah sama dengan persatuan-perstauan kaya tersebut (Persatuan Sains Universiti Malaya, Persatuan Kejuruteraan Universiti Malaya dan banyak lagi) tanpa bantuan HEP dan Universiti untuk menjalankan aktiviti. Ini berpunca daripada bai’ah yang mengingatkan AU terhadap perlunya taat dan patuh kepada suruhan Jamaah walaupun terpaksa mengorbankan diri.

Ia juga merupakan wajah hitam kerana ia adalah wajah paksaan dan juga pemisahan kepada ahli-ahlinya setelah mengikatkan diri dengan bai’ah kepada JIK. Ia merupakan paksaan kerana tiada titik untuk pulang sebaik sahaja bai’ah dilafazkan. Apatah lagi ia berlaku kepada individu-individu yang tiada asas agama dari fakulti bukan agama yang tentu sekali tiada fakta ataupun hujah untuk melepaskan diri daripada bai’ah.

Malah, ada dari mereka yang cuba menjadi lebih dari Akademi Islam untuk mencapai taraf thiqah (dipercayai) di dalam jamaah. Oleh itu, biasanya mereka yang bukan API lebih keras percayanya kepada jamaah dan lebih kuat bekerja sebagai jentera dan aparat jamaah samada di kampus ataupun di luar.

Pasca bai’ah mewujudkan pemisahan antara mereka yang berbai’ah dengan tidak berbai’ah. Maka, wujud bukan sahaja isu ras/etnik/suku kaum, agama ataupun warganegara tetapi juga AU dan Bukan AU. Orang yang tidak berbai’ah kepada JIK/PMI/PAS dianggap sebagai mereka yang mendokong panji-panji jahiliyyah. Maka, orang yang mati di luar jamaah dianggap mati di dalam jahiliyyah walaupun ibu bapa mereka sendiri (hatta ibu bapa mereka yang berfikrah PAS tetapi tidak mengikuti tanzim dan tarbiyyah PAS seperti mereka).

Oleh itu, selain dari dua kalimah shahadah, bai’ah dan tarbiyyah JIK juga penentu kepada sejauhmanakah keIslaman mereka. Tidak hairan, kerahsiaan jamaah juga meliputi ibu bapa mereka walaupun ibu bapa mereka itu ahli PAS yang berjawatan di cawangan ataupun bahagian. Pemisahan ini juga jika difahami dengan tajam, meliputi isu mencari pasangan. Maka, ahli yang memahami konsep mati jahiliyyah tadi sudah tentu hanya mencari pasangan yang “halal” dari kalangan jamaah mereka sahaja dan ingin memastikan zuriatnya juga kekal dalam kalangan orang yang tidak mati jahiliyyah.

Oleh itu, segregasi ini mewujudkan juga orang Islam bukan AU (BAU) yang neutral yakni simpati kepada jamaah tetapi bukan ahli jamaah, dan juga BAU yang harbi yakni mengikuti jamaah-jamaah pesaing seperti Jamaat Tabligh, JIM/IRC, Hizbut Tahrir, Ittiba’Us Sunnah dan lain-lain. Jamaah-jamaah lain dianggap sebagai pemanggil-pemanggil kepada seruan jahiliyyah. Ini kerana mereka tidak akan berbai’ah kepada JIK/PMI/PAS dan pimpinannya dan tumpah setia mereka kepada jamaah lain.

Sewaktu perang Jamaah iaitu selepas kemasukan Anwar ke dalam UMNO sehinggalah Tahaluf Siyasi (kerjasama politik) pada tahun 1998, musuh utama jamaah adalah yang bertanzim Ikhwan seperti PKPIM/ABIM dan seterusnya JIM/IRC. Tabligh tidak digemari tetapi kurang diperangi secara serius kerana mereka banyak mencuri anak usrah JIK dari bertamrin untuk mengikuti aktiviti keluar di hujung minggu dan tidak mahu berpolitik.

Mereka yang mengikuti TAMPAN sepatutnya jelas fikrahnya dan mengenali jamaah-jamaah yang berlainan ini dan tidak terjebak dengannya. TAMPAN juga bertanggungjawab menceritakan pengkhianatan Anwar Ibrahim terhadap Jamaah Islam Kampus dan PAS serta salah lakunya terhadap PAS dan kebobrokan pentadbirannya di dalam kerajaan termasuklah tangan-tangannya di HEP setiap Universiti.

Namun, selepas Tahaluf, peperangan terhadap Anwar dikendurkan. pengaruh tabligh berjaya dikurangkan di surau-surau Kolej. Sasarannya difokuskan kepada pimpinan negara yang dianggap sekular berbanding dahulu kepada Anwar dan rakan-rakannya yang berfikrah “Islamik”.

TAMPAN melahirkan ahli yang uniform dan monotonous sebagaimana suatu perekrutan untuk menghasilkan tentera. Kerencaman yang keterlaluan, tidak diraikan. Siswa yang berperawakan sekular yakni tidak berbaju melayu, berjanggut ataupun berkopiah dan seumpamanya dianggap kurang tarbiyyah walaupun dari kalangan orang lama. Namun, setelah berlaku kekalahan dan juga pendedahan program perkaderan PAS di kampus, pimpinan JIK mengurangkan penampilan tradisi mereka untuk membolehkan survival mereka samada untuk merekrut ataupun meneruskan agenda politik mereka di kampus.

JIK yang lama amat meraikan imej-imej PMI lama seperti wujud dalam diri Faisal Mustaffa. Namun, setelah berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi semasa, Ahli Unit yang terhasil dari TAMPAN agak rencam penampilannya dan tidak tertakluk dengan satu imej dan identiti semasa. Wujud watak-watak seperti Zainulfaqar yang lantang dan pelbagai personaliti (penulis percaya dia juga lantang mengkritik jamaah dan polisinya tetapi atas dasar kefahaman, ia tidak diutarakan secara terbuka), Hasbi Muda yang biasa sahaja penampilannya dan tidak menampakkan dirinya seperti pimpinan tradisional JIK/PMI dari segi luarannya. Ataupun seperti Hilman Nordin yang cuba mendekati dunia luar lebih dalam bahasa Inggeris sesuai dengan dirinya sebagai bakal professional.

TAMPAN dan hasilannya mungkin secara tidak sengaja pernah menjadi isi kepada thesis Gerakan Islam di peringkat Sarjana Muda tetapi ia lebih kepada harapan dan fakta tanpa melihat secara langsung kepada hidup mahasiswa yang sudah diTAMPANkan dan interaksi mereka dengan persekitaran mereka. Namun, secara akademik jika tidak kerana faktor hadzar dan sirr, ia boleh menjadi topik menarik untuk kajian sosiologi dan psikologi terutamanya untuk memahami warna-warni yang dibina oleh upacara TAMPAN terhadap hidup mahasiswa yang sepatutnya tidak hanya sekadar berlegar di sebalik AUKU, Demonstrasi dan PRK semata-mata.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...