Thursday, April 15, 2010

Wan Norhayati

Rahsia di sebalik Pengakuan Bersumpah Wan Norhayati Wan Alias



sumber-Akhbar Mahasiswa

Prakata

Pengakuan bersumpah Wan Norhayati Wan Alias, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terkandas dalam pelajaran amat menarik dikupas. Gadis yang berasal dari Kelantan, yatim piatu itu mendedahkan secara terperinci bagaimanakah modus operandi Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), Universiti Teknologi Malaysia beroperasi dalam pengakuannya yang dibuat pada 1 Januari 2001. Pengakuannya itu diperakukan oleh Yang Dipertua Mahkamah Tengah, Pengadil atau Pesuruhjaya Sumpah Malaysia Cawangan Johor Bharu pada tahun yang sama.

Dalam surat sumpah yang bertandatangan oleh pengakunya itu beliau mengaku dengan tulus ikhlas, dengan penuh kepercayaan dan sedar apa-apa keterangan yang terkandung di dalamnya adalah benar serta menurut Undang-undang Sumpah Akuan, 1960.

Pengakuan gadis yatim piatu

Apa yang paling menarik dalam pengakuan ini adalah dibuat oleh seorang gadis yang telah kematian ibu bapa, menyertai gerakan PMI sehingga terkorban diri sendiri. Sekiranya pengakuan ini dibuat oleh seorang lelaki nilai pengakuan itu dianggap kurang berkesan kerana jiwa lelaki lebih kental untuk mengharungi kehidupan ini. Lagipun femomena lelaki yang terkandas dalam pelajaran kerana terlalu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum di kampus sering didengari dan menjadi perkara biasa.

Wan Norhayati adalah simbol anak gadis Melayu-Islam yang sedang mencari arah tujuan, berasal dari kampung, merantau ke ibu kota, mendiami kampus untuk melanjutkan pelajaran bagi memenuhi tuntutan masa depannya. Rupa-rupanya di dalam kampus, terdapat banyak godaan sampingan dan bukannya menumpukan kepada pelajaran sepertimana hasrat awal kemasukan gadis itu ke menara gading. Godaan yang paling kencang bertiup adalah ‘ arus kebangkitan dakwah’ yang digerakkan oleh persatuan Islam kampus.

Tambah menarik lagi PMIUTM adalah simbolik kepada seluruh PMI tempatan kerana sistem dan modul untuk melatih ahli adalah sama cuma berbeza dari segi waqib(tempat) dan individu-individu yang terlibat di dalamnya sahaja.

Ingin mendalami agama - terjebak dalam usrah

Anak gadis yang baru kematian ibu ketika mula-mula menjejaki kampus benar-benar rasa kesunyian dan hilang tempat bergantung. Hidupnya sebatang kara, meninggalkan sanak saudara yang tidak lagi mempedulikan dirinya. Tambahan pula, tiada bantuan kewangan daripada keluarga membuatkan anak gadis itu benar-benar tertekan.

Hilang tempat bergantung, kesunyian dan menghadapi masalah kewangan membuatkan Wan Norhayati memilih eskapisme baru sebagai jalan keluar iaitu memasuki Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) dengan matlamat untuk mengisi kekosongan diri dan mendalami ilmu-ilmu agama.

Pada tanggapan luaran, gadis itu memandang PMIUTM sebagai badan dakwah yang semata-mata untuk meningkatkan pengetahuan agama di kalangan ahli-ahlinya atau paling tinggi sebagai badan yang memperjuangkan agama Islam, tanpa dipengaruhi oleh anasir-anasir luar khususnya yang berkaitan dengan politik. Sebagai orang luar, dia melihat PMIUTM sebagai intan permata yang boleh memberi manfaat kepadanya dan bergerak secara sendirian tanpa mempunyai hubungan dengan pihak luar.

Kemasukan dalam PMIUTM dan penerimaan sebagai anak usrah sebagai bukti pengesahan ahli pada semester 1, 1998/1999 benar-benar telah mencorak kehidupannya selama mana dia masih bertahan dalam kampus. Sebagai sebuah pertubuhan Islam kampus yang sudah tersohor, yang telah masak dalam arena latihan pelajar, secara berkala dari tahun ke tahun, modul yang terancang dan sistematik telah direncana bermula dari kemasukan seseorang itu menjadi ahli usrah, hinggalah tamat pengajian seseorang itu di kampus. Sukatannya telah disusun dengan rapi yang mengandungi persoalan asas agama, membina diri, membina fikrah politik, membina semangat juang dan mempertahankan fikrah serta membina daya berkhidmat dengan organisasi dan akhirnya berkhidmat sebagai mata rantai organisasi, penaung organisasi dan parti politik organisasi yang menaungi persatuan tersebut. Perkara ini tidak disedarinya ketika mula diasuh dalam modul usrah.

Boleh disimpulkan, dengan menjejaknya kaki Norhayati ke alam usrah, membuatkan kehidupannya telah diatur dan dia tidak mampu untuk keluar daripada kitaran maut yang telah dimodulkan itu, kecuali dia mampu menghabiskan pelajaran dengan baik atau kandas dalam pelajarannya. Kebiasaannya, orang-orang seperti Norhayati tidak mampu untuk mencapai keputusan cemerlang kerana terdapat bebanan sampingan yang terpaksa dipikul di samping bebanan asal yang amat rumit, iaitu akademik.

Malangnya bagi Norhayati, beliau ditakdirkan tidak mampu membuat imbangan dan telah termasuk dalam kitaran maut iaitu terkandas dalam pelajaran.

Tiga Tamrin pemantapan kader

Setelah mengenali dunia usrah, Wan Norhayati telah dibawa mengembara ke alam pemantapan fikrah dan kepimpinan organisasi iaitu melalui tiga kem asas. Pertama “Kem Tamrin Jelas Fikrah”(Membentuk pemikiran jelas sokong parti). Kedua, “Kem Tamrin Walaq” (Membentuk kesetiaan) dan ketiga, “Kem Tamrin Nuqaba”(Latihan pemantapan bagi kepimpinan).

Peringkat pertama - Tamrin Jelas Fikrah, hanya terbuka kepada orang-orang tertentu yang dikenalpasti daripada kumpulan usrah. Matlamatnya untuk membersihkan pegangan pemikiran dan pendirian dalam politik. Ahli akan didedahkan mengenai pengenalan gerakan Islam dan dibuat perbandingan antara satu sama lain iaitu perbandingan di antara JIM, ABIM, JAM, UMNO dan PAS.

Peringkat kedua adalah perbandingan antara UMNO dan PAS dan kesimpulan akhir, para peserta diyakinkan bahawa hanya PAS yang menepati Al Quran dan Sunnah. Semasa dalam latihan para peserta dikehendaki berbaiah (sumpah) kali pertama untuk memastikan peneguhan fikrah dan memastikan rahsia tidak dibocorkan kepada pihak lain yang tidak bertanggungjawab (universiti/kerajaan).

Peringkat kedua - Tamrin Walaq,tertutup kepada orang-orang tertentu yang dikenalpasti dipilih daripada Tamrin Jelas Fikrah. Matlamatnya untuk melatih kesetiaan dan latihan menyimpan rahsia organisasi. Latihan ala komando dikenakan ke atas para peserta untuk memastikan matlamat itu tercapai. Antaranya berjalan secara berkumpulan dengan menghadapi rintangan demi rintangan dari satu ‘check point’ ke satu ‘check point’.

Pada tempat ‘check point’ setiap kumpulan diwajibkan memilih salah satu individu iaitu AJK UMNO (dilabel sebagai orang jahat) atau AJK PAS (dilabel sebagai orang baik). Kedua-dua AJK itu adalah penyamaran yang sengaja dibuat.. Sekiranya setiap kumpulan tersalah memilih AJK UMNO, perjalanannya akan terbantut dan terpaksa berpatah balik ke check point sebelumnya, tetapi sekiranya setiap kumpulan berjaya memilih AJK PAS, perjalanannya boleh diteruskan dengan selamat ke check point seterusnya.

Para peserta juga dibawa berjalan malam dan ditempatkan keseorangan di dalam gelap untuk menguji daya ketakutan. Semasa latihan diadakan para peserta sekali lagi disuruh berbaih (sumpah) kali kedua di hadapan amir (ketua lelaki) dan amirah (ketua perempuan) untuk taat setia tanpa berbelah bahagi.

Peringkat ketiga-Tamrin Nuqaba, tertutup hanya kepada orang-orang tertentu yang dikenalpasti daripada Tamrin Walaq. Matlamatnya untuk melatih para ketua lelaki (naqib) dan ketua perempuan (naqibah) menjadi ketua-ketua usrah bagi mengantikan naqib dan naqibah yang telah tamat pengajian. Dalam tamrin ini, para peserta diajar berdasarkan modul yang telah ditetapkan oleh pihak PMI dan modul itu adalah sama digunakan untuk setiap orang.

Modul ini adalah dokumen sulit hanya dimiliki oleh naqib dan naqibah dan tidak boleh didedahkan kepada pihak lain termasuk anak usrah. Naqib dan naqibah diwajibkan menjaga anak usrah baru (pelajar-pelajar baru) kebiasaanya di antara lima hingga sepuluh orang bagi satu kumpulan. Menurut pengakuan Norhayati, setiap kolej disyaratkan mempunyai 12 orang naqib dan naqibah.

Baiah (sumpah) dengan nama Allah

Setiap peserta yang mengikuti Tamrin Jelas Fikrah dan Tamrin Walaq, wajib melalui proses pengukuhan diri dan kesetiaan kepada organisasi yang dinamakan baiah (sumpah). Tujuannya adalah untuk memastikan setiap peserta benar-benar ikhlas, tidak membocorkan rahsia dan berkorban apa sahaja , serta patuh dengan arahan ketua, organisasi dan parti.

Baiah dimulakan dengan lafaz "bismillahi rahmani rahim, bersumpah dengan nama Allah, akan taat setia dalam perjuangan menegakkan agama Allah, sanggup berkorban jiwa dan raga, patuh dengan arahan ketua, organisasi dan parti dan tidak akan membocorkan rahsia pergerakan kepada pihak lain".

Setiap ahli yang berbaiah akan diperteguhkan dengan sepotong ayat Al Quran “ Barangsiapa yang berjuang di jalan Allah, Allah akan pasti menolongnya kembali” [Surah al Hajj (22) : 40]

Setiap ahli ditanam dengan pegangan bahawa sesiapa yang tidak taat kepada arahan, tidak ikut berjuang dan tidak menjaga hazar (rahsia) akan ditimpa oleh bala kerana sebelum ini telah bersumpah menggunakan nama Allah.

Menjadi naqibah dan pemegang jawatan

Untuk memantapkan seseorang itu sebagi naqibah, bengkel susulan naqibah akan dilakukan secara berkala setiap hujung minggu, di dalam atau di luar kampus

Semasa bengkel, para naqibah diajar bagaimanakah cara untuk memikat ahli usrah baru dan mengenalpasti ciri-ciri anak usrah baru untuk dimasukkan ke dalam usrah. Sasaran utama adalah pelajar tahun satu yang masih mentah dalam alam kampus. Antara ciri-ciri untuk memikat anak usrah adalah pertama pelajar yang bermasalah dan memerlukan pergantungan, pelajar yang tidak mempunyai ideologi politik atau pelajar yang telah mempunyai ideologi politik sama yang diperjuangkan oleh PMI iaitu PAS.

Menjadi naqibah bermakna seseorang itu telah melepasi tiga kem tamrin asas yang dinyatakan di atas dan seseorang itu sudah layak untuk memegang amanah sebagai naqib/naqibah dan memegang jawatan-jawatan lain yang diputuskan oleh organisasi.

Menurut pengakuan Wan Norhayati semasa dia menjadi naqibah, tiga jawatan lain telah diwajibkan untuk dipegang serentak iaitu, Bendahari dalam Lujnah Ekonomi Hizbi Islami, Timbalan Pengerusi Forum Tamparan Wanita, anjuran PMI dan Exco Biro Pelapis Markaz Siswazah Kelantan (MSK).

Kesimpulan

Secara umumnya dapat disimpulkan Wan Norhayati Wan Alias terperangkap antara cita-cita memperbaiki diri dan memahami tuntutan agama. Pada awalnya, dia hanya berhasrat untuk menambahkan ilmu-ilmu agama dengan harapan apabila agama penuh di dada akan menjadikan dirinya lebih sempurna sebagai seorang muslim.

Tanpa diduga, PMIUTM hanyalah jaringan untuk memerangkap mahasiswa-mahasiswi yang berniat ikhlas sepertinya. Tersirat di sebaliknya, badan organisasi , PMIUTM, yang berdaftar di bawah Hal Ehwal Pelajar adalah flatform untuk membawa orang-orang sepertimya mengenali pertubuhan haram Hizbul Muslimin (HI) yang merupakan lembaga sebenar pengawal PMIUTM.

Versi awal gadis itu memahami Islam, sebelum memasuki dan terlibat secara serius dalam badan itu adalah agama yang mementingkan pembangunan diri dan mengamalkan persaudaraan Islam. Tambahan pula, impian awalnya PMIUTM dilihat sebagai badan dakwah yang berusaha untuk mengadakan dailog kefahaman Islam dengan bukan Islam. Tetapi setelah dia diprogramkan dengan modul yang telah disediakan, versi Islam yang sampai ke dalam dirinya adalah versi politik, mementingkan semangat kepuakan melampau, dibebani dengan pelbagai tanggungjawab, terpaksa berkorban jiwa dan raga untuk organisasi dan politik serta penuh dengan prasangka yang memecah belahkan antara sesama Islam.

PMIUTM adalah pertubuhan berdaftar tetapi tidak berkuasa, tetapi HI adalah pertubuhan tidak berdaftar tetapi lebih berkuasa. Sebab itu, orang-orang seperti Norhayati akan berasa berbangga dapat memegang apa-apa jawatan dalam HI.

PMIUTM adalah mata rantai HI untuk mencapai cita-cita yang lebih besar sebagai mata rantai PAS. Maknanya Wan Norhayati hanya diprogram untuk menjadi kader-kader PAS melalui jaringan sulit HI dan PMIUTM.

Soalnya berapa ramai lagi mahasiswa/i Melayu akan dikorbankan selepas ini seperti Wan Norhayati Wan Alias, semata-mata mencapai matlamat parti PAS memenangi pilihan raya?

sumber: idealismahasiswa

1 comment:

Budak UTM said...

Kalau benar penglibatan dalam PMI boleh menyebabkan seseorang pelajar itu terkandas pelajarannya, bermaksud sepanjang sejarah UTM yang dah hampir 30 tahun, beratus-ratuslah pemimpin PMI yang pernah dibuang universiti kerana gagal dalam pelajaran. Student lain lagi aktif dari dia ini, ada di antaranya yang menjawat jawatan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Presiden Persatuan, Pengerusi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa dan sebagainya, takde pula terganggu pelajaran. Kalau ada kemerosotan,
pandai-pandai sendirilah perbaiki. Bukannya dah terkandas baru merengek menuding jari pada orang lain.

Hakikatnya, PMI dan cerita-cerita tentang gerakan bawah tanah cumalah smoke screen atau kambing hitam yang dia paparkan bagi mengaburi mata masyarakat dari kes sebenar Wan Noorhayati, di samping cuba meraih simpati kerajaan agar dapat tiket percuma mengulang pelajaran di UTM.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...