Pertengahan
tahun 2000an, ambe pernah menulis artikel ‘MENANGANI ISU POLITIK DAN KONFLIK
POLITIK KEPARTAIAN’ (lihat juga laman web ummahonline: http://www.oocities.org/ummahonline/suratpembaca/050929ridwan-partai.htm
bertarikh 29 Sept 2005) yang menganjurkan kita melihat politik merentasi
politik kepartian dan politik sepakat demi perpaduan ummah. Jika tidak silap,
Pak Sutung Umar pernah menyiarkan artikel tersebut dalam majalah MASA (bukan
MASSA).
Sebagai
peneliti dan simpatis gerakan Islam, ambe lebih mendekati pandangan Imam Hassan
al Banna berbanding Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi dalam bab politik kepartian.
Politik kepartian tidak cocok dengan diri. Dunia pendidikan dan dunia penulisan
lebih ambe dambakan. Buatlah amalan untuk ke syurga melalui pelbagai jalan
pilihan masing-masing dimana-mana posisi dalam kehidupan.
Ambe dibesarkan dalam lingkungan politik UMNO dan PAS. Ibubapa ambe
terlibat dengan persatuan belia, JKKK dan UMNO. Zaman itu zaman Dato Man Bakar,
Dato Yusuf Musa dan Dato Muda Binjai Rendah. Punbegitu, ibubapa ambe hantar
ambe ke TASKI (nama lama PASTI) dan moyang ambe sering ajak ambe ke Masjid
Rusila zaman Masjid Rusila tak siap lagi. Ambe sejak zaman kanak-kanak suka
baca Harakah di rumah pak saudara yang kuat PAS dan membandingkan ia dengan
akhbar Berita Harian yang ayah ambe beli setiap hari.
Di Universiti Malaya, ambe terlibat dengan aktivisme persatuan mahasiswa
yang ‘rasmi’ dan tidak dikaderkan mana-mana pihak (tak berminat terikat dengan
mana-mana pihak). Punbegitu ambe suka menghadiri semua aktiviti dan majlis ilmu
yang dianjurkan oleh PMIUM, PBMUM dan mana-mana persatuan dan badan di
Universiti Malaya. Percampuran dengan pemimpin mahasiswa membolehkan kita kenal
pandangan, sikap dan amal mereka.
Ambe menolak politik ekstrem. Setiap pihak mempunyai kelompok ekstrim
atau jalur keras-radikal yang fanatik tak kira dalam UMNO, PAS, PKR, DAP, PMIUM
dan lain-lain. Ia disebabkan oleh perbezaan ilmu dan pengalaman masing-masing
seperti lingkungan keluarga dan pendidikan. Ia juga disebabkan oleh semangat
membuak-buak dan kejahilan diri. Banyak keadaan sifat ‘syadid’ dan warak
dilihat menyumbang kepada budaya ektrem (pada ambe ia sifat terpuji kerana
tegas dalam berprinsip dan beramal). Masalah ‘ekstrem’ pada ambe bukanlah
masalah besar kerana ia satu proses kematangan dan pendewasaan yang akan hilang
diulit usia dan zaman. Dan kebanyakan yang ekstrem pada zaman muda dan
mahasiswa menjilat ludahan mereka dan memakan diri mereka sendiri ketika
berusia jika tiada dimentori dengan ilmu dan istiqamah.
Ambe menolak politik berdasarkan emosi dan kebencian. Ambe dokong politik
berdasarkan ilmu dan iman. Keterikatan dengan politik kepartian banyak
membelenggu pemimpin, ilmuwan dan penulis daripada menyampaikan kebenaran ilmu
mereka sehingga mereka terkulai dengan kehendak politik kepartian. Ambe lihat
sendiri sahabat yang kuat PAS zaman kampus dan anti Mahathir dan ke mana arah
mereka pada hari ini.
Ambe mendokong politik berasaskan akhlak, adab dan ukhwah. Walaupun
ayahanda ambe sangat anti Tun Mahathir (jika membenci Tun M ketika itu, benci
sebenci-bencinya. Kini beliau tak hirau politik kepartian) pada zaman pasca
1998, ambe memilih menghormati beliau sebagai pemimpin negara. Bahkan semasa
Pembantu Mahasiswa (PM) mencula tokoh yang kita kagumi. Ambe tulis Dr Mahathir.
Barangkali itu antara sebab tidak terpilih diLAKIUMkan oleh JIK. kikiki.
Ambe mendokong politik damai, politik sepakat dan politik perpaduan ummah
sama ada sesama Islam, sesama Melayu atau berlainan kaum. Dokongi persepakatan
dan perpaduan ummah bukannya perbalahan dan perpecahan ummah. Bersatu demi
kepentingan ummah dan negara dengan meninggalkan seketika perbalahan politik
kepartian.
Ambe mendokong politik Masjid, politik ‘aqidah’ dan politik akhirat.
Seseorang tokoh atau pemimpin baik daripada golongan agamawan atau profesional
atau aktivis mesti melazimi masjid yakni solat berjemaah serta menekuni,
mengamal dan istiqamah dengan ajaran al-Quran dan as Sunnah secara menyeluruh
dalam aspek kehidupan, Islam sebagai Jalan Penyelesaian dalam semua perkara dan
Islam sesuai sepanjang zaman. Berpolitik biar pemimpin kita memimpin kita ke
syurga bukannya neraka. Politik untuk menambah pahala bukannya dosa. Berpolitik
biar fikir nasib kita di akhirat bukannya membuta-tuli mengikut pandangan
pemimpin kita di dunia yang membawa kita ke arah dosa walaupun pemimpin kita
berjubah dan berketayap.
Setiap orang berhak memilih pendekatan berbeza dalam menangani masalah
negara dan setiap orang ada pandangan masing-masing dalam memilih pemimpin dan
parti politik untuk memerintah negara. Selesaikan dengan pertimbangan ilmu dan
iman bukannya emosi dan kebencian. Perbezaan jangan diakhiri dengan perbalahan
dan kebencian. Politik itu untuk menyelesai masalah negara bukannya untuk
menghuru-harakan negara.
Mengundilah atas pertimbangan ilmu dan iman.
24/2/2018
No comments:
Post a Comment