Tuesday, April 12, 2011

PROTAZ Menguasai Masa Depan Kepimpinan Ulama PAS?

Profesional Ustaz atau PROTAZ adalah gabungjalin ulama-profesional yang bakal menghadapi cabaran-cabaran masyarakat akan datang. Saya mengkagumi pemikiran Tuan Guru Yusof Rawa, seorang ulama yang futuristik. Beliau disifatkan sebagai PROTAZ yang digemari oleh pro perubahan berbanding ustaz-ustaz nasionalis pro Dato Asri.

Pada tahun 1983, beliau cuba menjernihkan konsep ulama dengan idea mengubah nama Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Cendikiawan. Tulis TGYR “Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekali gus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing- masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan!”

Memadu dan menghapuskan jurang keilmuan memberi makna ulama dan profesional disatukan di bawah satu unit istilah yang baru iaitu PROTAZ. Maka ulama kembali kembali kepada pendefinisian asal iaitu bertaqwa.

Tuan Guru Fadzil Noor pula menyarankan PAS memprofesionalkan Ulama dan mengulamakan profesional. Amanat TGFN ini adalah gambaran pemimpin yang bakal memimpin PAS pada masa depan iaitu seorang pemimpin yang mempunyai latar belakang agama atau seorang ulama yang menambah ilmu pengetahuan berkaitan keprofesionalan.

TGHH adalah orang kepercayaan TGFN untuk meneruskan perjalanan penyerahan tampuk kepimpinan PAS kepada seorang PROTAZ. TGFN telah memimpin dan mementori jalan politik tokoh yang dikatakan berbakat iaitu Ustaz Nasharudin Mat Isa. Ustaz Nasha adalah pilihan TGFN yang sangat dikagumi oleh pihak pro perubahan dalam PAS.
Ustaz Nasha pernah belajar di ITM kemudian ke Jordan dan pernah menjadi pensyarah dalam bidang perundangan dan syariah di UKM dan UIA. Beliau diasuh oleh TGFN dengan melantik beliau sebagai SUA PAS. Kemudian, Ustaz Nasha dengan dokongan juak profesional dalam PAS berjaya mengalahkan penyandang Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri.

Ustaz Nasha antara alumni murid Dr Yusof al Qaradhawi. Pemikiran dan pendekatan al Qaradhawi bakal digunakan setelah beliau menjawat jawatan Presiden PAS nanti.

Jika dilihat pada prestasi beliau dalam PAS, ia boleh dikatakan tidak menyerlah. Tiada gagasan atau kejayaan yang dihasilkannya. Apapun mungkin kita tidak nampak atau beliau tidak kemuka gagasan beliau untuk menjaga hubungan dengan Presiden PAS. Sejarah membuktikan bahawa Tun Musa Hitam yang bergeliga itu menggugat idea-idea Tun Mahathir, dan Anwar Ibrahim pernah membawa gagasan masyarakat madani yang dirasakan mencabar gagasan wawasan 2020 Tun Dr. Mahathir. Justeru, Timbalan Presiden tugasnya sebagai pembantu bukannya pencetus gagasan kecuali beliau diminta oleh Presiden.

Seorang lagi yang mewakili PROTAZ ialah Dr Mujahid Yusof. Beliau mendapat pendidikan di Mesir dan kemudian, menyambung MA dan PhD di UPM dalam bidang pengurusan. Beliau boleh dianggap ideolog muda PAS yang membawa neo idea dan pendekatan pro perubahan sebaris dengan Dr Dzukifli Ahmad. Kejayaannya dalam merealisasi hubungan erat dengan non muslim boleh dipuji. Pun begitu kebanyakkan idea-idea beliau bersifat akademi, futuris dan utopia. Praktik politik dan rintangan beliau masih kurang. Beliau kurang berpengaruh dalam struktur kuasa PAS dan hanya mendapat undi antara terendah dalam pemilihan muktamar 2009.

Ir Mohamad Nizar telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar. Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England. Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom. Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Dr Dzukifli Ahmad merupakan pakar dalam bidang racun, seorang strategis dan pakar tarbiah JIM/IRC yang setia bersama PAS.

Dato Husam juga merupakan strategis PAS dan pakar perancangan ekonomi. Setelah belajar di UM dan menyambung pengajian Bahasa Arab di Jordan.

Kelemahan Para Pimpinan Pelapis Kepimpinan Ulama

Para pimpinan perlu mencari penasihat dan pembantu yang berfikrah Islam. Jangan sesekali mencari pembantu yang boleh menambahkan glamor pimpinan dalam dada media tetapi akhirnya dikhianati dengan pembocoran rahsia peribadi dan rahsia jemaah.
Idea perubahan yang terlalu idealistik. Idea memang bagus tetapi masa tidak sesuai dilakukan.

Pemimpin jangan hidup dalam kelompok profesional sahaja. Kesusahan rakyat tidak disantuni. Pengaulan mesti diperluaskan. Turun ke medan masyarakat tanpa paksaan.
Pemimpin PROTAZ harus bebas daripada pengaruh luar jemaah. Anak muda gerakan Islam seperti PAS mula mengkagumi pimpinan luar. Tidak salah, cuma ketaatan perlu kepada pemimpin sendiri. Anwarisme dan IRC ini ada walaupun anak muda sekarang percaya perkara ini tidak relevan pada masa sekarang. Sikap berhati-hati perlu dalam menerima pendapat tokoh luar daripada jemaah. Hormati saluran jemaah dan struktur kuasa dalam jemaah.

Pendekatan liberal yang dicanang jangan sampai merosak aqidah dan hidup bersyariat sebagai seorang Islam. Kita boleh bertafakur bagi menginsafi sesuatu perkara tetapi jangan tafakur kita setaraf dengan tafakur ala tugu negara.

Pada zaman keselesaan ini, pimpinan PAS mula melupakan pengalaman susah mereka. Gaya hidup mula berubah kononnya bakal memerintah putrajaya. Impaknya perjuangan rakyat tertindas hanya menjadi umpan politik sahaja.

Para Strategis dan ahli PAS lupa kepada kebijakkan pendekatan pimpinan kerana kebencian peribadi. Dulu orang mengkritik tindakan TGFN semasa berunding dan pidato bersama UMNO. Tapi kini golongan ini memuji TGFN antara pemimpin terbuka dan futuris. Sokongan mereka untuk memenuhi kepentingan peribadi mereka.

Para pencipta perpecahan akan memunculkan kembali isu-isu seperti penguasaan PAS oleh PAS Terengganu, perundingan sulit, Kerajaan Persekutuan, 16 September dan serangan terhadap peribadi seperti TGHH dan Ustaz Nasha. Semasa Ustaz Nasha mencabar Ustaz Hassan Shukri, mereka mengagungkan Ustaz Nasha sebagai tokoh perubahan dan membunuh karekter Ustaz Hassan Shukri. Mereka cipta isu untuk memecahkan parti.

PAS mempunyai ramai pemimpin berpengaruh dalam struktur kuasa tetapi tidak seglamor pihak pro perubahan dalam media massa. Antaranya, Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Idris Ahmad, Ustaz Nasarudin Tantawi, Ustaz Azizan Razak dan Ustaz Abdul Ghani Samsudin. Pilihan pada tangan muktamar.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...