Friday, August 08, 2008

Mahasiswa Muak Pada Pak Lah

Mahasiswa sudah muak dengan kepimpinan Abdullah Badawi
Intan Abdullah Fri Aug 08, 08 5:22:58 pm MYT
Sumber harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Hrkh) - Sekumpulan mahasiswa melalui satu memorandum mengutuk kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang didakwa gagal mentadbir negara sehingga mengakibatkan senario politik Malaysia hari ini adalah dalam keadaan gawat dan bankrap.


Menurut jurucakapnya, Sheikh Omar Ali, hal tersebut telah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kepimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri.
"Tinjauan terkini Merdeka Centre jelas menunjukkan hanya 42 peratus sahaja daripada lebih 2,000,000 rakyat Malaysia memberi sokongan kepada pentadbiran Paklah Ahmad Badawi," ujarnya dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily oleh sekumpulan pemimpin mahasiswa Universiti Malaya sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya berhubung pelbagai isu-isu semasa dalam negara.

Tambahnya, kenaikan harga minyak dunia yang dipropagandakan Abdullah, putar belit berkaitan subsidi, janji manis peningkatan taraf hidup rakyat melalui pembiayaan projek-projek, semua ini merupakan tipu-helah rutin Abdullah serta kabinetnya kepada rakyat.
"Oleh itu, kami mendesak agar Abdullah bertanggungjawab penuh terhadap keseluruhan permasalahan yang berlaku ini.
"Kami aktivis mahasiswa sudah muak dan tidak sanggup dipimpin oleh Abdullah walaupun untuk 24 jam lagi sekalipun dan beliau mesti berundur serta meletakkan jawatan dengan segera," tegasnya.

Dalam pada itu, kumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka aktivis UM ini turut melihat suasana politik Malaysia yang huru-hara, kepimpinan yang lemah, keadaan ekonomi yang tidak menentu dan isu sosial yang membarah, mendorong mereka menguatkan tekad menggerakkan mahasiswa dari seluruh negara ke Permatang Pauh sebagai tanda penglibatan mahasiswa dalam agenda penentuan untung nasib masa depan negara.
Dengan ini mereka mengisytiharkan pendiriran tegas dan deklarasi tergempar mahasiswa pada hari ini bahawa mereka tidak akan berganjak malah akan memanfaatkan pilihan raya kecil Permatang Pauh.

"Ia turut berperanan sebagai medan kepada pentas mahasiswa bagi menyatakan kebenaran dan membongkar segala kegawatan yang berlaku dalam negara hari ini kepada rakyat Malaysia.
"Kami nyatakan disini, mahasiswa adalah agen perubahan, mewakili jiwa dan raga seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, dalam membicarakan isu politik kebangsaan pihak Aktivis Mahasiswa UM juga melihat dasar ultra-perkauman yang dijulang oleh Umno sebenarnya memberikan kesan negatif kepada bangsa Melayu sendiri.
Keadaan ini bertambah jelas apabila Umno yang berselindung disebalik Barisan Nasional yang kononnya mampu berpadu bersama kaum India dari MIC dan Cina dari MCA akhirnya mendedahkan identiti sebenar Umno sebagai parti ultra-perkauman apabila melihat ketidak stabilan sokongan India dan Cina itu sendiri sejurus selepas kekalahan besar parti komponennya itu pada Piliharaya umum ke-12.

"Tanpa disedari, Umno terus membangkitkan isu-isu kaum Melayu semata-mata tanpa mengambil kira perasaan kaum India dan Cina lagi.
"Mereka juga mengheret sama politik perkauman ini ke dalam kampus dengan membenarkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengukuhkan kedudukan dengan mebawa misi dan modus operandi perkauman yang sama di dalam kampus sepertimana Umno di luar sana.

"Politik perkauman ini hanyalah merupakan satu langkah kebelakang daripada arus politik tanah air hari ini," ujarnya lagi.
Justeru tegasnya, hanya mahasiswa yang bebal sahaja yang akan terus bersama-sama Umno dan GPMS di dalam kampus!
Selain itu, Aktivis mahasiswa melahirkan kekesalan berhubung keterlibatan Saiful Bukhari berhubung isu liwat dalam konpirasi menjatuhkan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang sekaligus mencalar serta mencemarkan imej mahasiswa.

"Dengan keputusan akademik beliau yang sangat memalukan (under view) dalam akademik Saiful yang merupakan mantan Timbalan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tajaan Aspirasi di Universiti Tenaga Nasional ternyata menjadi dalil kukuh bahawa Aspirasi hanyalah akan merosakkan masa depan mahasiswa dan juga menjadi sampah kepada negara semata-mata," katanya lagi.

Tegas kenyataan tersebut, Saiful Bukhari tidak layak sama sekali digelar mahasiswa yang berpelajaran.
"Kami menyeru seluruh mahasiswa nasional menolak kumpulan mahasiswa pro Aspirasi secara total pada Pilihan raya Kampus (PRK) yang akan datang," ujarnya lagi.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh Pengerusi penaja Parti Mahasiswa Negara, Mohd Azlan Zainal, mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Sheikh Omar Ali, Mantan Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa (Pro Mahasiswa) Universiti Malaya, Ahmad Shahir Mohd Shah, Presiden Gamis, Mohd Dzulkhairi Mohd Noor, Setiausaha Agung Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK), Husaini Roslin, Pengerusi Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Universiti Malaya, Norsyuhada Mustafa, Mantan Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Mohd Khairul Naim Che Nordin dan Pengerusi University Malaya of New Youth - UMANY, Hong Keat. - mr/mks. _

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...