Wednesday, June 18, 2008

PERKEMBANGAN PERSATUAN PELAJAR DI MALAYSIA

PERKEMBANGAN PERSATUAN PELAJAR DI MALAYSIA.

Gerakan pelajar bermula seiring dengan perkembangan pendidikan di negara ini. Pada tahun 1816, sekolah pertama dibina oleh British iaitu Penang Free School. Pada tahun 1937, dunia pendidikan Tanah Melayu dikejutkan kelulusan pertama graduan Melayu dalam Senior Cambridge dan beliau adalah Abdul Wahab Mohd. Ariff. Beliau telah dianugerah Penang Free School Centenary Gold Medal pada tahun 1938 atas kecemerlangan pertama anak Melayu. Kejayaan Abdul Wahab mendorong rakan-rakan mendesak beliau memberi nasihat agar mereka turut cemerlang. Hasilnya Abdul Wahab menubuhkan pertubuhan pertama pelajar Melayu iaitu Malay Boys League yang bertujuan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang tetapi terpaksa dibubar kerana larangan pengetua.

Semasa menuntut di Singapura, Abdul Wahab telah menjadi Presiden Mahasiswa Islam Kolej Raffles dan Perubatan Singapura iaitu sebuah pertubuhan Melayu Islam. Pertubuhan pelajar Melayu penting bagi menyatukan pelajar Melayu.[1] Jumlah pelajar yang kecil menyebabkan Abdul Wahab menyeru agar pelajar Melayu bersatu demi pelajaran.[2] Persatuan Mahasiswa Islam Kolej di Singapura juga mendesak agar kerajaan menubuhkan Majlis Pelajaran Tinggi yang diletakkan di bawah penyeliaan seorang pegawai Melayu sebagai Ketua Pengarah Pendidikan.

Pada bulan April 1946, Aminuddin Baki seorang pelajar menengah atas Sekolah Anderson, Ipoh menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf(PERMI). Pada bulan Ogos 1947 PERMI cawangan Perak ditubuhkan. Perkembangan gerakan pelajar semakin pesat dengan penubuhan Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Selangor(KPPMS) pada tahun 1946 dan Kesatuan Penuntut Melayu Pahang pada tahun 1947. Kesatuan Penuntut Melayu berkembang pesat pada tahun 1949 dengan penubuhan cawangan di negeri seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka dan Johor. Abdul Wahab telah mengetuai Jawatankuasa Persiapan Kongres Pelajar bagi menyatukan seluruh gerakan pelajar di Malaya.

Kongres Pelajar Melayu berlangsung di Maktab Teknik, Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1949. Pertubuhan yang hadir dalam kongres ini adalah Persatuan Penuntut-penuntut Muslim Maktab Teknik, PERMI(Perak), Persatuan Penuntut Melayu(Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Kajang) dan Persatuan Penuntut-penuntut Melayu Maktab Tanam-tanaman. Mereka membincangkan permasalahan pelajar Melayu dan bagaimana untuk bekerjasama. Pada jam 12 tengah hari, 15 Ogos 1949, kongres bersetuju menubuhkan Gabungan Penuntut-penuntut Melayu Semenanjung(GPMS) yang diketuai oleh Abdul Wahab.[3] Apabila Universiti Malaya ditubuhkan di Singapura, GPMS mendesak agar Dr. G.V. Allen sebagai Naib Canselor kerana beliau bersimpati dengan orang Melayu. Tampuk pimpinan GPMS dikuasai oleh pelajar Universiti Malaya seperti Lokman Musa, Musa Hitam dan Abdullah Ahmad Badawi.

Kewujudan kampus Universiti Malaya di Kuala Lumpur telah mengalakkan perkembangan gerakan pelajar. Sebenarnya banyak persatuan yang telah ditubuhkan tetapi penulis menumpukan kepada persatuan yang berpengaruh di Universiti Malaya iaitu PMUM, PBMUM dan PMIUM. Semua pelajar di Universiti Malaya bernaung di bawah PMUM atau UMSU mula ditubuh pada 1 Januari 1962 seiring dengan hari penubuhan Universiti Malaya yang ditubuh di bawah Akta Universiti Malaya. Maka Persatuan Mahasiswa yang ditubuh pada 15 Januari 1959 telah berakhir pada penghujung 1961.[4]

Tujuan PMUM ialah memupuk kebajikan am badan mahasiswa, memajukan kegiatan sosial, kebudayaan dan mengadakan hubungan rasmi dengan badan lain.[5] PMUM adalah badan pelajar yang diberikan kuasa untuk mewakili mahasiswa dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan mahasiswa. PMUM[6] diakui sebagai suara rasmi pelajar oleh pihak Universiti Malaya. PMUM adalah pertubuhan yang lantang bersuara memperjuangkan isu kampus, antarabangsa dan nasional.

PMUM mempunyai kuasa menjalinkan hubungan rasmi dengan badan pelajar yang lain sama ada di dalam atau di luar negara. PMUM menyertai Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia(PKPM) yang merupakan wakil badan pelajar Malaysia dalam arena antarabangsa. PKPM telah ditubuhkan pada tahun 1958 dengan nama National Union of Federation Student(PKPPTM) dan ditukar nama kepada PKPM pada tahun 1962.[7] PKPM yang didominasi oleh tokoh PMUM juga bergabung di bawah International Student’ Council yang berpusat di London dan menyambut 17 November setiap tahun sebagai Hari Pelajar Antarabangsa.

PBMUM pula ditubuhkan pada 29 Januari 1955 di Singapura dengan ahli seramai 27 orang semasa tahap awal. Di Singapura, PBMUM dikenali Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan perkataan persekutuan diganti dengan persatuan pada tahun 1969.[8] Penubuhan PBMUM adalah hasil usaha pensyarah dan pelajar fakulti Sastera seperti Lokman Musa, Noh Abdullah, Tahir Abdul Rahman dan Fatimah Hasyim. Walau bagaimanapun, idea penubuhan PBMUM telah dicetuskan oleh Ungku Aziz dan Za’ba sejak tahun 1954 lagi.[9] Pada tahun 1956, keahlian PBMUM seramai 202 meningkat kepada 721 orang pada tahun 1965. Pada sesi 1970/1971, keahlian PBMUM adalah 3123 orang[10] menjadi antara persatuan berpengaruh di Universiti Malaya.

PBMUM tidak bergabung dengan PMUM kerana hala tuju PMUM tidak selaras dengan perjuangan bahasa dan kebudayaan Melayu.[11] Pengabungan akan membatasi peranan PBMUM. Teras perjuangan PBMUM berdasarkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada tahun 1954 yang mendesak Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Hasrat ini bertambah kukuh apabila Majlis Undangan Persekutuan Tanah Melayu yang bersidang pada 31 Mei 1955 bersetuju menjadi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pada tahun 1969, PBMUM meminda perlembagaan dengan menambah isu perjuangan iaitu mengambil berat dan memperjuangkan pelajaran dalam Bahasa Melayu dan berusaha memperjuangkan keadaan bangsa dan negara. PBMUM mendakwa mereka adalah penyambung lidah rakyat bukanlah perjuangan perkauman tetapi perjuangan nasional.[12] Menurut Kochiko Mazilo, pendekatan PBMUM bukan emosional dan radikal tetapi bagi batu timbang setiap pergerakan yang menyeleweng daripada aspirasi nasional. Bahasa Melayu dan dasar pelajaran adalah cita-cita rakyat yang taat kerana bahasa bukan soal politik dan pelajaran bukan persoalan ekonomi.[13]

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM) diwujudkan pada pertengahan tahun 1950an hasil inisiatif Syed Muhamad Naquib al Attas, seorang pelajar Islam di Universiti Malaya, Singapura. Walau bagaimanapun, peranan PMIUM mula menonjol dan rancak apabila Universti Malaya berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein Ahmad berjaya mendapat tanah untuk Masjid ar-Rahman yang dibina pada tahun 1963. Pada tahun 1962, PMIUM bergabung di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia.

Pada tahun 1964, Syed Naquib pulang ke Tanah Air dan menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu. Kepulangan Syed Naquib merancakkan lagi kegiatan PMIUM apabila beliau cuba menyerap idea ‘faham Islam’ ke dalam pemikiran pelajar. Beliau telah berjaya menangkis hujah yang dikemukakan oleh golongan Sosialis dan Nasionalis. PMIUM cuba melahirkan mahasiswa yang memahami al Quran dan Sunnah yang melaksanakan prinsip Islam dan menyatukan persaudaraan Islam. Pejuangan PMIUM tersebar melalui makalah seperti Suara PMIUM dan Jurnal Sejahtera.

[1] Jumlah Pelajar Melayu
Kolej Perubatan 25 orang daripada 312 orang pelajar
Kolej Raffles 33 orang daripada 300 orang pelajar
United Kingdom 38 orang
Maklumat ini dirujuk daripada; M.A. Fawzi Basri, “1948 GPMS Sebagai Badan Pelajar Kebangsaan” dlm. Cenderamata Jubli Perak GPMS, 1973, hlm. 59.
[2] The Sunday Tribune, 30.5.1948. Dirujuk daripada karya; Mohd Tajuddin, Aminuddin Baki, Petaling Jaya: Pelanduk Publication, 1987, hlm. 11.
[3] Mohd Tajuddin, Aminuddin Baki, hlm. 14.
[4] Buku Panduan PMUM 1974, Kuala Lumpur: PMUM, 1974, hlm. 8.
[5] “Satu Pengenalan: Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya”, dlm. Majalah Varsity 1970, hlm. 8.
[6] Sebanyak 32 pertubuhan pelajar yang bergabung dengan PMUM dan 13 lagi pertubuhan pelajar tidak bergabung termasuk sebuah kelab politik pelajar(Kelab Sosialis). Lihat, Laporan Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut di Kampus Universiti Malaya 1971, Kuala Lumpur: MAGERAN, 1971, hlm. 17.
[7] Mariam Lim(ed.), Union Perspective 1969, Kuala Lumpur: PMUM, 1969, hlm. 72.
[8] Noordin Razak, PBMUM: Satu Kajian tentang Perubahan Sikap Mahasiswa Melayu, Latihan Ilmiah, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1971, hlm. 7.
[9] Adnan Nawang, Za’ba: Patriot dan Pendeta Melayu, Kuala Lumpur: Yayasan Penataran Ilmu, 1994, hlm. 167.
[10] Lapuran Tahunan PBMUM 1970/1971. Kenaikan keahlian PBMUM disebabkan peningkatan jumlah kemasukkan pelajar Melayu ke Universiti. Lihat juga Laporan Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut di Kampus Universiti Malaya 1971, hlm. 46-47.
[11] Laporan Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut di Kampus Universiti Malaya 1971, Kuala Lumpur: MAGERAN, 1971, hlm. 16.
[12] Berita PBMUM. 28. Mei. 1971.
[13] Kochiko Mazilo, “Bahasa Bukan Soal Politik, Pelajaran Bukan Soal Ekonomi”, Utusan Malaysia, 23.10.1970.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...