KEGANASAN GLOBAL:
PUNCA, IMPAK DAN LANGKAH MENGATASINYA
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias *
PENDAHULUAN
Sejak zaman nabi Adam, dunia telah mengalami pelbagai peristiwa keganasan dan kekejaman manusia. Kisah Habil dengan Qabil yang berbunuhan demi seorang perempuan cukup mashyur untuk kita menjadikan satu iktibar ketika kita merentasi zaman depan yang belum tentu gelap atau cerah. Selepas perang dunia, zaman orde baru telah muncul dimana Amerika Syarikat telah menjadi kekuatan adiperkasa yang menguasai ekonomi, politik dan sosial dunia. Berakhirnya perang dingin di antara Soviet Union dengan Amerika Syarikat dan blok Barat, China dan Islam dianggap musuh utama dunia. Maka muncul negara musuh baru dunia seperti Cuba, Iran, Syria, Libya, Sudan dan Iraq.
Episod kedajalan ini bertambah teruk apabila berlakunya peristiwa pengeboman bangunan World Trade Centre (WTC) pada 11 September 2001. Bermula keganasan global tanpa institusi konkrit seperti negara dan pertubuhan berdaftar. Yang ada adalah al Qaeda dan Osama yang penuh misteri dan kabur dalam kabus kekeliruan. Semua fakta boleh diragui telah dijadikan alasan untuk membalas keganasan dan kekerasan dengan kekerasan. Inilah fasa baru keganasan global yang akan menggugat kedamaian dunia.
KEKERASAN DALAM SEJARAH: PERKEMBANGAN TEORI
Peperangan dan keganasan dalam sejarah boleh dirangkumi dalam beberapa teori contoh, teori kepincangan oleh Charles Tilly. Teori ini mendakwa bahawa rakyat merusuh (tertindas) apabila mereka mengalami sesuatu kepincangan atau perubahan besar dan mendadak dalam kehidupan mereka. G. Rude menyatakan pencetusan Revolusi Perancis akibat keperitan pihak yang ditindas semakin bertambah. Dalam fahaman Marxis, pihak berkuasa memang dianggap dianggap alat pemerasan atau penindasan golongan yang berkuasa ke atas rakyat biasa.
Kekuasaan pihak kuat ke atas pihak yang lemah menyebabkan rasa dendam yang membara di kalangan yang ditindas. Ia akan mewujudkan satu gerakan protes. Menurut Tilly, gerakan protes adalah satu tindakan bagi menyaingi kuasa pihak yang lebih berkuasa. D. G. H. Cole dan R. Postgate juga memberi contoh peristiwa rusuhan di England sebagai ‘jawapan daripada orang-orang yang sudah ditiadakan cara-cara lain untuk melawan’. Rusuhan atau unsur kekerasan terpaksa digunakan kerana alternatif yang bersifat aman dan harmonis telah ditiadakan oleh pihak yang lebih berkuasa.
Para revolusioner yang berpandukan sesuatu fahaman politik mungkin menganggap kekerasan yang mereka gunakan sebagai hasil daripada tuntutan ideologi yang mereka anuti. Pejuang agama sebagai contoh menggunakan alasan agama untuk mengiyakan tindakan ekstrem mereka. Jika dunia selalu diulit dengan mitos bahawa hanya Islam mengalakkan keganasan global tetapi dunia harus juga melihat tindakan ganas gerakan IRA di Ireland Utara dan pejuang Tamil Ealam di Utara Sri Lanka.
Kekerasan atau keganasan selalu dianggap sebagai ‘pelunjuran politik dengan cara lain’, kita mengandaikan bahawa mereka yang melaksanakan kekerasan itu telah membuat perhitungan secara rasional. Mereka telah bosan menggunakan pendekatan yang tertakluk dengan perundangan tetapi gagal memperolehi sesuatu, maka langkah terakhir mereka adalah menggunakan kekerasan. Bicara Anwar Ibrahim ‘jangan bicara tentang perjuangan jika takut mengambil risiko’ ada betulnya. Risiko inilah yang ditanggung oleh pejuang yang komited dengan janji perjuangan tetapi dipersendakan oleh pihak yang lain. Pertimbangan rasional ini menyebabkan mereka redha mengambil risiko walaupun tindakan itu di luar lingkaran sifat kemanusiaan.
Tindakan kekerasan di luar lingkaran rasional ini dianggap adil oleh pendukungnya. Mereka tidak bersedia melihat keadaan sekarang lebih buruk daripada sekarang. Mereka juga mengharapkan sasaran keganasan atau persepsi masyarakat berubah ke arah memahami kerasionalan tindakan mereka. Dengan itu, maka agak wajarlah mereka juga mengharapkan sesuatu reaksi positif daripada kaca mata mereka.
Malangnya, rasional tindakan keganasan atau kekerasan tidak dapat diterima oleh pihak lain. Rasional tersebut dipersoalkan dengan penegasan tindakan mereka adalah tidak bertanggungjawab. Pendeknya, adakah mungkin orang yang tidak rasional melakukan sesuatu yang rasional?. Sebab itulah perusuh makanan pada kurun ke 18 di England digelar pemabuk, sampah masyarakat dan penjenayah. C. Hibbert menyatakan golongan perusuh telah bangkit memprotes tidak tentu arah, tidak bersedia dan tidak menyuarakan kehendak mereka, malah mereka yakin tentang apa yang mereka mahu atau matlamat mereka.
Untuk mengatakan pihak perusuh dipimpin oleh orang tidak berpendidikan atau gila kuasa, kita telah tersilap. Mereka adalah “ahli masyarakat yang dihormati” dalam masyarakat. Gambaran semacam ini dianggap character assasination yakni satu tohmah yang bertujuan menjejaskan peribadi orang. Walaupun imej orang yang dianiayai berjaya dipulihkan, pembelaan in tidak semestinya diterima oleh semua orang. Jadi kita melihat semestinya golongan yang dihormati ini mempunyai alasan konkrit untuk melakukan tindakan keganasan dan kekerasan.
Manakala Max Beloff kesal dengan sikap kepimpinan perusuh, ‘nampaknya tidak pun menerima pandangan bahawa kemudaratan mereka hampir keseluruhannya adalah akibat daripada kelemahan moral mereka sendiri’. Bagi Beloff, mereka tidak layak dibela kerana mereka adalah ‘orang yang mempunyai pemikiran berlegar di atas landasan usang’.
Masalah rasional tindakan kekerasan atau keganasan sangat kompleks. Sukar untuk mencari kebenarannya. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika seseorang itu menerokai sebanyak mungkin persoalan di sebalik pencetusan kekerasan daripada hanya mengkesampingkan femonena tersebut sebagai penghasilan tidak rasional oleh mereka yang tidak rasional. Kajian terperinci harus dilakukan bagi mengetahui punca terjadi gejala ini dan penilaian yang adil perlu dilakukan. Adakah tindakan kekerasan dan keganasan yang dilakukan oleh perusuh (golongan ditindas) merupakan tindakan bermoral atau sebaliknya?.
PUNCA KEBANGKITAN RADIKALISME DALAM MASYARAKAT DUNIA
Setiap sesuatu yang berlaku sewajar ada indikatornya. Indikator terjadinya keradikalan di dunia akan dibicarakan dalam subtopik ini. Sebelum itu, kita harus mengetahui makna radikal. Radikal berasal daripada perkataan radix iaitu akar. Akar yang menguatkan pokoknya. Dalam kamus dewan edisi ketiga, radikal bermaksud menyeluruh manakala radikalisme ialah fahaman radikal dalam politik; fahaman yang menginginkan perubahan mendadak dalam arena politik dan sosial. Menurut Shahnon Ahmad, radikalisme adalah satu gerakan perubahan yang baik untuk masyarakat dan harus dibedakan dengan surealisme yang bersifat destruktif. Oleh sebab itu radikalisme harus difahami dan dihadami falsafahnya. Walau bagaimanapun, dalam konteks perbincangan ini radikalisme mungkin dipandang negatif di kalangan penelaah.
Sekarang kita akan membicarakan tentang punca kebangkitan radikalisme seantero dunia. Antara punca kebangkitan radikalisme:
a. Politik
Politik adalah sumber utama kepada kekacauan dunia. Jika bicara tentang politik, ia selalunya melibatkan percubaan kuasa dan gila kuasa sehingga berlaku keganasan. Perkara ini telah terjadi apabila gerakan Islam seperti Barisan Penyelamat Islam (FIS) telah memenangi pilihanraya Algeria telah dinafikan kemenangannya apabila pihak tentera membatalkan keputusan pilihanraya. Natijahnya, FIS bangkit menentang secara bersenjata dan pengemboman. Di Chechenya, Rusia telah menyerang kerajaan Chechenya di bawah pimpinan Dzokhtar Dudayev untuk telah menuntut kemerdekaan. Sekali lagi trajedi berdarah berlaku. Tindakan keras pemerintah atau penjajah menyebabkan kebangkitan radikalisme di kalangan rakyat lokal. Akibat kurang sifat demokratik dan toleransi, rakyat telah mengambil tindakan drastik dengan melakukan aktiviti keganasan.
b. Agama
Agama juga menjadi sumber aspirasi kepada tindakan kekerasan. Sebenarnya, semua agama mengajar erti kedamaian bergantung kepada persepsi masing-masing. Tindakan kekerasan terjadi apabila agama digunakan sebagai sumber kekuatan menentang musuh. Sebagai contoh, agama Buddha digunakan oleh Dalai Lama untuk menentang Kerajaan Komunis China di Tibet dan gerila IRA Katolik menentang kerajaan Britain Anglican Protestan di Ireland Utara. Persoalan yang timbul, Islam telah dikambing hitamkan oleh Amerika Syarikat sebagai agama penganjur keganasan.
AS pasca 11 September telah melancarkan new crusade ke atas umat Islam. Penentangan Barat terhadap Islam bermula secara aktif sejak zaman Perang Salib lagi. Akibat pembantaian dan diskriminasi inilah lahirlah Osama Ben Ladin yang mengetuai al Qaeda yang di dakwa melakukan keganasan global. Di peringkat Asia Tenggara, Jamaah Islamiah telah didakwa mendalangi pengeboman di Jakarta dan Bali. Menariknya, pengeboman ini didakwa dirancang oleh Dr.Azahari Husin dan Nordin Mohamed Top, profesional dari Malaysia. Terfikirkah kita kenapa golongan profesional yang mempunyai gaji tinggi dan kehidupan selesa sanggup menyertai aktiviti keganasan?. Bahkan Osama sendiri seorang jutawan.
Semangat keagamaan didorong oleh kezaliman rejim Barat dan sejarah lampau yang mengakibatkan bara dendam senantiasa ada. Barat selalu mencipta musuh, pada mulanya komunisme dan selepas itu Islam. Semangat jihad dalam agama Islam selalu didefinisikan sebagai galakan agama islam terhadap umatnya untuk melakukan keganasan. Dengan semangat jihad inilah Taliban ditubuhkan oleh ejen CIA dan perisikan Pakistan untuk menentang Mujahidin Afghanistan. Bantuan Amerika telah melahirkan Osama yang memainkan semangat jihad melawan balik Amerika. Eksplotasi jihad secara silap oleh gerakan Islam yang mudah terperangkap dengan muslihat musuh menyebabkan jihad disilap tafsir.
c. Ideologi.
Ideologi telah terbukti antara sumber keganasan gobal. Komunisme telah dimulakan dengan ganas semasa Revolusi Rusia oleh Lenin. Komunisme telah mencipta pemerintahan baru di China di bawah pimpinan Mao Zedong. Ideologi ini telah diimport ke negara dunia ketiga. Malaysia juga tidak terlepas daripada pengaruh komunisme sehingga kerajaan mengisytihar darurat. Komunisisme yang dipelopori oleh Parti Komunis Malaya (PKM) telah menggunakan keganasan bagi menubuhkan Republik Soviet Tanah Malaya. Keganasan fahaman komunis juga di lakukan oleh pendokong komunis di Filipina dan Thailand. Ideologi Fasis juga mengalakkan keganasan seperti pemerintahan Hitler di Jerman. Selepas Perang Dunia Kedua, timbul golongan Neo Nazi yang mendukungi fahaman Fasis yang mengagungkan nasionalisme lokal. Golongan ini juga melakukan keganasan dan bersifat perkauman.
d. Ekonomi dan Sosial
Dasar ekonomi dan sosial antara punca kemunculan radikalisme dalam masyarakat dunia. Kebiasaanya dasar ekonomi dan sosial yang tidak adil menyebabkan sifat perkauman semakin menebal dan api dendam mula membara. Perkara ini bertambah hangat apabila digauli dengan faktor agama dan politik. Keganasan di Thailand Selatan disebabkan oleh dasar ekonomi dan sosial Kerajaan Thailand. Kerajaan Thai selalu menganggap penduduk Islam di Selatan Thailand sebagai warganegara kelas dua. Kekayaan ekonomi selalunya diagihkan di kawasan utara negara tersebut. Kemudahan sosial rakyat yang tidak terbela dan dilatari sejarah permusuhan Melayu-Islam dengan Thai-Buddha menyebabkan keadaan semakin tidak terkawal. Akibatnya berlaku demonstrasi berdarah di Tak Bai dan pengeboman di Sungai Golok.
KESAN KEGANASAN GLOBAL
a. Politik
Keganasan dan tindakan kekerasan mengakibatkan pemulihan sistem dan struktur politik sesebuah negara akan terbantut. Lihatlah sistem politik Afghanistan kucar-kacir akibat tiada pemerintahan berpusat selepas kejatuhan Kerajaan pro-Rusia pimpinan Najibullah. Afghanistan dibahagi-bahagikan dan ditadbir oleh panglima perang. Begitu di Somalia dan Iraq. Tindakan kekerasan oleh pejuang terutamanya pengeboman berani mati dan peperangan gerila bandar telah menggugat pilihanraya dan kerajaan baru Iraq.
b. Ekonomi dan Sosial
Ketidakadilan ekonomi dan sosial menyebabkan permusuhan antara kaum akan berlaku secara berpanjangan. Tuntutan Gerakan Aceh Merdeka, Barisan Pembebasan Mindanao dan Pertubuhan Pembebasan Rakyat Patani juga menyatakan hak-hak sosial dan ekonomi ke atas wilayah tuntutan mereka. Tuntutan sukar diterima oleh pihak pemerintah menyebabkan peperangan terus berlaku. Walaubagaimanapun, kes Timor-Timur atau Timor Leste antara contoh kejayaan pihak ‘pemberontak’ dengan bantuan kuasa asing menuntut hak mereka daripada Indonesia.
c. Agama Islam
Agama Islam menghadapi kesan paling teruk dikala keganasan global semakin membiak pesat. Islam melalui seruan jihadnya dianggap punca radikalisme. Media massa Barat selalu menuding setiap keganasan didalangi oleh pejuang Islam. Perkara ini menjejaskan kredibiliti agama Islam di mata dunia.
LANGKAH MENGATASI
Secara realitinya, amat sukar mengatasi masalah keganasan global hatta dengan penangkapan Osama sendiri. Walau bagaimanapun, satu plan alternatif perlu dipapar sekurang-kurangnya membendung kejadian keganasan dan tindakan kekerasan dalam jangka masa pendek dan panjang.
a. Dialog Peradaban
Secara mudahnya, dialog peradaban ialah satu proses pemahaman di antara tamadun yang berlainan bagi memahami dan menjalin ukhwah dengan semangat toleransi. Dalam dialog ini, titik kesepakatan dicari dalam suasana muhibbah dengan bersikap inklusif. Seperti bicara Iman Hasan al Banna “kita boleh bersama dengan perkara yang kita sepakati dan menghormati jika perkara berlainan”. Dialog Peradaban dapat merapat jurang dan membuka peluang untuk mengenali sesuatu bangsa dan agama.
b. Autonomi.
Sebenarnya sukar untuk memperolehi autonomi daripada pihak berkuasa kerana keegoan mereka yang tidak mahu tunduk kepada pihak yang lemah. Autonomi disini bermaksud memberi ruang kepada pihak bertentangan menikmati kemerdekaan dalam politik ekonomi dan sosial di bawah pemerintahan sesebuah negara. Contoh, wilayah autonomi Serb di Bosnia, Kosovo di Serbia dan wilayah Aceh di Indonesia. Sedikit kekuasaan jika dikongsi bersama lebih berharga daripada peperangan.
c. Perkongsian Pintar
Perkongsian pintar adalah satu proses pemuafakatan bagi mewujudkan suasana ‘menang-menang’ di antara yang pihak berinteraksi. Pihak yang mempunyai kekuatan membantu pihak yang lemah begitulah sebaliknya. Perkongsian pintar mewujudkan sifat saling percaya mempercayai dan mengeratkan ukhwah dengan pengurangan persaingan. Contoh, Amerika Syarikat oleh membantu negara miskin daripada segi ekonomi dan sosial.
d. Sukan
Sukan adalah wahana untuk meningkat perpaduan antara sesebuah negara dengan negara lain. Sukan Olimpik sebagai contoh membawa pertemuan antara negara musuh seperti perlawanan bola sepak antara Iran dengan Amerika Syarikat. Perlawanan ini boleh mengeratkan perhubungan positif dengan negara yang bermusuhan.
ANALISA DILEMA KONFLIK
Konflik
Apakah dilemanya?
(sosial, politik, kumpulan, personal)
Pilihan tindakan
Apakah alternatif tindakan yang boleh kita ambil?
Kesan
Apakah akibat yang dihasilkan daripada kesan ini? Apak buktinnya?
Akibat
Pada setiap alternatif, apakah kesan yang mungkin terjadi?
Pertimbangan
Akibat manakah lebih baik?. Apakah kriterianya?
Keputusan
tindakan
Apakah keputusan atas tindakan yang diambil? Adakah perbuatan tersebut benar-benar tepat.
Pendekatan Fraenkel
Pendekatan Fraenkel diasaskan oleh Fraenkel J.R., Dalam pendekatan ini kita akan mengkaji fakta-fakta yang relevan dalam menyelesaikan permasalahan. Kita juga meneliti pro dan kontra atas setiap tindakan yang diambil. Model ini menekankan cara menangani konflik secara analitikal dengan mengesan unsur-unsur nilai dan konflik terlebih dahulu. Bagi mengalakkan penyelesaian konflik, model ini haruslah dilaksanakan. Jika diamalkan oleh pihak yang bertentangan, mereka akan memikir secara logik dan terbuka. Semangat muhibbah akan dapat disemai dalam setiap permasalahan. Nilai moral yang murni harus diterapkan dalam pemikiran, tingkah laku dan emosi manusia agar tiada lagi tindakan kekerasan yang menyebabkan berlakunya lebih banyak tindakan kekerasan dan keganasan daripada pihak yang bertentangan. Semua pihak harus menerima setiap fakta sebagai jalan penyelesaian bukannya berlagak dengan sifat ego masing-masing. Sifat kenapa dan mengapa mereka melakukan keganasan haruslah diselongkar agar setiap penilaian dapat dibuat dengan adil.
KESIMPULAN
Keganasan global adalah isu paling hangat pada ketika ini. Apa yang menjadi persoalan adakah bermoral jika pihak tertindas mengunakan pendekatan kekerasan dan keganasan dalam tindakan mereka?. Adakah bermoral kelakuan ini?. Secara umunnya, kita menganggap tindakan kekerasan adalah tidak relevan dan di luar lingkaran sifat kemanusiaan. Walau bagaimanapun, pihak tertindas menganggap tindakan mereka adalah bermoral kerana mereka tidak dipernah diberi ruang atau alternatif secara aman dan selalu dikotak-katik dan dikhianati. Bahkan pihak pendokong keamanan, keadilan dan demokrasi sendiri yang dikatakan terlalu sakral itu sendiri dilihat tidak bermoral seperti menyerang Iraq dan melakukan pembunuhan pelarian Palestin di Shatila dan Sabra, Lebonan. Penilaian tindakan moral tentang kekerasan dan keganasan terlalu subjektif dan bergantung kepada persepsi seseorang yang menilai.
* Seorang pendidik yang mendapat pendidikan di Universiti Malaya dalam bidang, Sejarah, Sosiologi dan Antropologi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment