Wednesday, June 18, 2008

GERAKAN PELAJAR DAN POLITIK

GERAKAN PELAJAR DAN POLITIK

Politik melibatkan satu keadaan perebutan kuasa, satu sistem bagi mengadakan peraturan asas, penglibatan pemerintah dan pembangkang dalam usaha mewujudkan masyarakat yang sempurna.[1] Gerakan protes adalah satu tindakan politik bagi menyaingi kekuasaan kerajaan.[2] Sifat intrinsiknya sukar dinyatakan tetapi ia harus ditangani dengan penuh bijaksana. Walau bagaimanapun, kondisi masyarakat tempatan antara alasan bagi organisasi pelajar mendesak untuk melakukan perlawanan sosial.[3]

Gerakan pelajar dan politik mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain. Keterlibatan gerakan pelajar dalam politik terbahagi dua iaitu tahap dalaman kampus dan politik luar terutamanya politik nasional. Menurut Khong Kim Hoong, pelajar mesti aktif dalam politik supaya terlibat secara langsung dalam proses pembinaan bangsa dimana pelajar perlu berupaya menganalisis tentang persoalan demokrasi, kebebasan dan equality.[4] Beberapa pertubuhan pelajar mempunyai jalinan ideologi yang rapat dengan pertubuhan politik dan pertubuhan bukan kerajaan. Perkara ini terbukti kumpulan Republik Islam yang pro-PAS mengalahkan kumpulan PKPIM-ABIM dalam pemilihan tampuk kuasa PMIUM pada tahun 1983.[5] Politik juga merangsang kematangan para pelajar dalam memperjuangkan permasalahan rakyat dan membentuk bakat kepimpinan.

Isu politik dan penyertaan dalam parti politik merupakan unsur yang berbeza. Bagi mengelakkan para pelajar terlibat secara langsung dalam parti politik, pihak universiti wajar menubuhkan Current Affair Club iaitu kelab perbincangan politik.[6] Dalam kelab perbincangan ini digalakkan perbezaan pendapat. Kritikan dan perbezaan dalam memberi pendapat akan memugarkan demokrasi yang berasaskan kebebasan bersuara dan pengetahuan hak asasi manusia.[7] Secara idealnya, kezahiran Kelab Sosialis boleh mempertingkatkan kesedaran politik di kalangan pelajar tetapi momentum kesedaran politik masih terhad pada lingkaran pelajar berjiwa kiri sahaja.[8]

Kewujudan arena politik kampus mewujudkan fenomena persaingan dalam mencari pengaruh demi kepentingan pertubuhan pelajar yang diwakili. Menurut Maurice Duverger,[9] proses ini dikenali sebagai ideological decentalization. Penyebaran ideologi merangsang suasana diskusi, persaingan intelektual, perdebatan dan kemahiran berpolitik. Pertubuhan pelajar yang berpengaruh sering menghangatkan suasana politik kampus Universiti Malaya ialah Kelab Sosialis(1960an-1974), PBMUM(1960an-1974), PMIUM(1971-2003), Barisan Mahasiswa Bersatu(1990an), Gagasan Mahasiswa(1997-2003).
[1] “Mahasiswa dan Politik”, Kongres Kepimpinan Perdana Kebangsaan, 16-17 Oktober 1996, Jitra: Persatuan Sains Politik UUM.
[2] Qasim Ahmad, Kekerasan Dalam Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm. 9.
[3] Ernest Mandels, “Gerakan Mahasiswa Revolusioner”, http://idealismahasiswa.com.my.
[4] Khong Kim Hoong adalah Presiden PMUM sesi 1969. Lihat Mariam Lim(ed.), Union Perspective 1969, hlm. 4.
[5] Zainah Anwar, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Petaling Jaya: IBS Buku, 1990, hlm. 69.
[6] Laporan Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara Mengkaji Kehidupan Penuntut-penuntut di Kampus Universiti Malaya 1971, hlm. 58.
[7] F. H. T. Rhodes, ‘The University and its Critics’ dlm. W.G. Brow & H.T. Shapiraled(ed.), University and Their Leadership, New Jersey: Princeton University Press, 1998, hlm. 4.
[8] Temuramah Mohamad Abu Bakar, 2.1.2003. Pelajar harus bebas membicarakan tentang ideologi dan mengkritik. Lihat, Majalah Varsity, 1965, hlm. 13.
[9] Maurice Duverger, Political Parties: Their Organization and Activity in the Modern State, London: Methuen, 1967, hlm. 54.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...