Sunday, August 03, 2025

Ulama dan Politik Kepartian

 Tentang politik kepartian, ulama berpecah kepada 3 kelompok:


  1. Ada ulama setuju dengan politik tetapi tidak setuju dengan politik kepartian

  2. Ada ulama setuju dengan politik dan politik kepartian

  3. Ada ulama menolak politik dan politik kepartian


Kita menghormati pandangan ulama. Sudah tentu mereka ada hujah-hujah yang tersendiri. Ulama yang berada dalam kelompok 1, 2 dan 3 bukanlah ulama sebarangan.


Kebanyakan ulama tidak menolak politik tetapi menolak politik yang diasaskan oleh para penjajah melalui politik kepartian. Ulama menolak politik kepartian yang dilihat memecah belah umat. Mereka mendambakan politik Nabawi. Politik sebagaimana zaman Rasulullah SAW.


Antara ulama  kelompok 1 ialah Sheikh Hassan al Banna dan Dr Ali Ju’maah.


Antara ulama kelompok 2 ialah Dr Yusuf al Qaradhawi dan Dr Abdul Karim Zaidan.


Antara ulama kelompok 3 ialah Habib Umar, Badiuzaman Said Nursi, Maulana Zakariyya (dan kebanyakan ulama Jemaah Tabligh) dan Dr Muhammad Said Ramadan al Buti.


Keutamaan dan kewibawaan serta keabsahan pandangan ulama terletak pada nas-dalil-hujah seseorang ulama atau institusi ulama bukannya pada diri individu seseorang ulama, nama beliau, aliran pemikiran, tempat belajar, pakaian dan institusi yang beliau sokong. Pandangan ulama yang terbaik ialah pandangan yang boleh memberi manfaat kepada ummah.


Bagi kita, pandangan ulama diterima berdasarkan konteks-situasi yang kita alami dan kemampuan yang kita ada.


Agamawan yang menolak politik kepartian atau gerakan politik Islam seringkali mengkritik dan memberi ulasan tentang politik termasuk mengkritik gerakan Islam. Bahkan banyak keadaan mereka menyokong parti yang menjadi kerajaan. Paling menarik mereka menyokong dan mempertahan rejim sekular dan rejim tentera-diktator yang memerintah negara.


Apabila ulama atau kelompok ulama yang seringkali mengatakan mereka sebagai kelompok neutral tetapi mesra kerajaan atau parti pemerintah, ia membawa fitnah kepada umat kerana mereka memarakkan api permusuhan dalam masyarakat Islam. Paling kesian, mereka menuduh gerakan Islam sebagai ekstrem, radikal dan khawarij. Mereka menuduh gerakan Islam mengamal takfiri pada masa yang sama mereka menuduh gerakan Islam sebagai khawarij. Adakah mereka menempelak perbuatan sendiri?



II


Tahu tetapi buat buat tahu. Begitulah sesetengah perangai cendikiawan. Mereka mempunyai agenda seperti dibawah:

1. Sahaja provokasi. Test market untuk membangkitkan kemarahan.

2. Ada agenda tersembunyi

3. Proksi

Lurus niat. Orang Agama perlu berpada pada semasa meluahkan api kemarahan dan kebencian secara terbuka kepada Ulama, Jemaah dan perjuangan Islam kelompok lain kerana ia boleh makan diri sendiri. Hilang kesufian dan ketasawufan anda.

PAS tak sempurna. Pemimpin PAS ada kelemahan dan kekurangan.

Dalam kes Barua atau Tuhan Samseng, TGNA ditegur dalam mesyuarat. Di luar, TGNA masih pertahankan kenyataan beliau kerana beliau ada kefahaman tersendiri.

Pandangan ada dua, pandangan rasmi organisasi dan pandangan peribadi pemimpin.

Pandangan peribadi pemimpin sukar nak dikawal. Organisasi yang beradab sudah tentu nasihat dan tegur melalui kaedah dalaman bukan dalam media dan terbuka. Ada pemimpin mendengar kata nasihat dan akur teguran organisasi. Ada pemimpin kekal dengan pendirian sendiri.


Dalam PAS, keputusan Majlis Syura Ulama PAS wajib diakuri. Keputusan MSU bukanlah yang terbaik atau terpaling sempurna tetapi keakuran itu menunjukkan disiplin atau adab berjemaah. Isu besar seperti kalimah nama Allah dibawa ke MSU. Tuan Guru Dr Haron Din (Timbalan Mursyidul Aam) dan TG Harun Taib (Ketua Dewan Ulama PAS Pusat) tidak bersetuju penggunaan kalimah nama Allah bagi orang bukan Islam manakala TG Abdul Hadi Awang (Presiden PAS)  dan TG Nik Abdul Aziz  (Mursyidul Aam PAS) bersetuju penggunaan kalimah nama dalam kalangan bukan Islam.


Isu konsert MAWI pula, pertembungan pandangan TG Nik Abdul Aziz dengan TG Harun Taib, akhirnya PAS mengakuri pandangan TG Nik Abdul Aziz.


Dalam politik kepartian, baik dan buruk, kejayaan dan kegagalan, betul atau salah, itulah semua satu proses yang memerlukan islah sepanjang masa. Semoga pengakhirannya dengan iman dan taqwa.


III

Kebanyakan kenyataan dan pandangan ekstrem seseorang pemimpin dapat dikendurkan melalui

1. Perubahan usia

2. Teguran dan nasihat

3. Peningkatan ilmu.

4. Keluasan pengaulan.


Kebanyakan pemimpin yang ekstrem dan celupar mulut terkeluar sendiri daripada PAS hatta dalam kalangan ulama dan tok guru pondok sendiri.



IV


Gerakan Islam melalui pendekatan politik kepartian tidak bertembung dengan institusi ilmu Islam. Ya, usrah bukan medan pengajian ilmu Islam. Usrah adalah gelanggang memahamkan ahli usrah tentang Islam, pengkongsian ilmu dan merapatkan ukhwah. 


Jangan lupa, PAS adalah 3 tungku utama sebagai parti politik, dakwah dan tarbiyyah. Banyak institusi pengajian ilmu Islam dalam PAS. PAS mempunyai dua institusi ulama iaitu Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama yang menghimpun para ulama pelbagai aliran pemikiran.


Kehadiran PAS sebagai politik kepartian, penyertaan dalam pilihan raya dan amalan demokrasi untuk memenuhi ruang politik umat agar tidak diambil oleh kelompok Sekular, Pluralis dan Liberalis (SEPILIS).


No comments: