Bab Revolusi Mesir dan Ikhwanul Muslimin
Sama ada Yusuf al Qaradhawi atau Muhammad Said Ramadan al Buti, Hassan al Banna dan Sayyid Qutb atau Usamah dan Ali Jum’aah, Said Hawwa atau Habib Umar, Anwar Ibrahim atau Abdul Hadi Awang, Abul A’la al Maududi atau Muhammad Ilyas, Nik Abdul Aziz atau Syed Muhammad Naquib al Attas, paling penting jangan taksub. Kita semua tak sempurna. Ada kelemahan, kekurangan, kesilapan dan kesalahan. Ambil kebaikan dan manfaat daripada mereka untuk menjadi tauladan.
Tiga perkara penting untuk menangani perbalahan:
Meraikan perbezaan pandangan dengan beradab dan sabar
Mengutamakan ukhwah dan penyatuan ummah
utamakan nas-dalil-hujah bukannya peribadi individu, organisasi, manhaj, tempat belajar dan pakaian mereka.
II
Pandangan Sayyid Qutb boleh ditolak dan dikritik. Tiada masalah. Kita juga tidak menafikan, ada pandangan beliau difahami secara ekstrem dan radikal oleh sesetengah pihak. Ada juga yang taksub pada beliau.
Masalah yang berlaku ialah kita kata Sayyid Qutb pelopor idea takfiri sedangkan pada waktu yang sama kita khawarijkan beliau. Label-melabel itu adalah masalah.
III
Untuk memahami seorang Sayyid Qutb. Kita kena tahu titik paling penting dalam kehidupan beliau iaitu beliau menyertai Ikhwanul Muslimin pada tahun 1953.
Seorang pemimpin tentera Mesir, Abdul Mu’min Abdul Rauf berterusan menghadiri kuliah hadith tsulatha yang dipimpin oleh Ustaz Hassan al Banna. Beliau mengajak Jeneral Jamal Abdun Nasir Husain menyertai kuliah tersebut sekitar bulan oktober 1942.
Sekitar tahun 1944, Ikhwanul Muslimin berjaya membentuk usrah kalangan pemimpin tentera yang pertama. Antara yang terlibat ialah Jamal Abdun Nasir, Abdul Mu’nim Abdul Rauf, Solah Khalifa, Saad Taufiq dan beberapa orang lagi. Naqib mereka ialah Muhammad Labib. Mereka menamakan usrah pegawai tentera sebagai Tanzim al Ikhwan adh Dhubbat ( Organisasi Ikhwan Pegawai Tentera)
Pada tahun 1946, mereka telah berbaiah dengan Abdurrahman as Sanadi Mas’ul yang bertanggungjawab memimpin an Nizam al Khas Ikhwanul Muslimin.
No comments:
Post a Comment