Ada yang berpendapat ‘IM itu pada fikrahnya bukannya pada organisasinya’. Ada berpendapat fikrah dan manhaj amal perlu bersekali. Itu lebih tulen. Kita lihat petikan tulisan Ustaz Abdullah Zaik, mantan Presiden ISMA yang ada pengalaman dalam konflik dalaman ‘IM Malaysia’.
Ustaz Abdullah Zaid
menulis “Setiap orang boleh menilai fikrah dan manhaj amal organisasi tersebut
melalui undang-undang tubuhnya. Sesiapa yang meyakini manhaj tersebut sebagai
manhaj yang hampir dengan sunnah rasul s.a.w dan memilih menyertai organisasi
tersebut sayugia menghormati peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam
organisasi tersebut yang telah ditetapkan oleh pengasasnya”
Ustaz Abdullah Zaik
menulis, “Namun sekiranya berlaku penggabungan antara dua organisasi; perkara
utama dalam proses penyatuan saf adalah penyatuan fikrah dan manhaj berfikir
dalam melaksanakan perlembagaan organisasi. Penyatuan fikrah memerlukan satu
usaha yang amat berat sebab semua manhaj berfikir sebelum ini perlu
dibincangkan satu-persatu sehingga wujud kesepakatan dalam perkara-perkara asas
dan utama.
Kecualilah satu pihak
bersetuju untuk meleburkan fikrahnya, manhaj dan budaya amal sebelum ini dan
menyerap secara total ke dalam organisasi barunya dan mencairkan segala
idealisma yang dimilikinya sebelum ini.
Namun secara tabie
setiap orang akan membawa bersamanya nostalgia organisasi asalnya, fikrahnya
dalam memahami sesuatu isu dan keutamaan langkah kerja, malah disiplin dan
budaya kerja mereka. Perbezaan ini tetap menghasilkan perasaan ketidakserasian
untuk beramal, hilang perasaan manis yang pernah dirasainya sebelum ini.
Jika sampai satu
ketika penyatuan fikrah, manhaj berfikir dalam menentukan keutamaan, budaya
kerja dan perasaan tidak berjaya disatukan dan masing-masing merasa tidak
serasi dengan pihak satu lagi. Atau satu pihak tidak sanggup idea yang
diyakininya dan didokong oleh mereka sebelum ini lambat laun ditelan dan cair
kepihak satu lagi.
Atau mereka merasakan
penggabungan ini lambat laun menuju kegagalan maka mereka patut memilih untuk
menamatkan penggabungan ini secara baik bukan dengan memburuk-burukkan
mana-mana pihak sebab asalnya mereka adalah dua organisasi yang bergabung.
Apabila penggabungan tidak dapat diteruskan dan membawa kepada kegagalan
disebabkan perkara yang tidak boleh dielakkan ia hendaklah ditamatkan secara
berakhlak.
Sikap
memburuk-burukkan seorang individu mungkin ada logiknya jika individu itu
ternyata takbur dan gagal akur dengan keputusan mahkamah yang dijatuhkan ke
atasnya setelah terbukti wujud dalil bukti kesalahannya dan dia gagal dalam
membela dirinya.
Tetapi
memburuk-burukkan satu kumpulan manusia, satu organisasi atau satu tanzim yang
dahulunya dijemput untuk bergabung secara musyawarah adalah tidak masuk akal
sama sekali.
Malah syarak juga
menegaskan bahawa sekumpulan orang yang beriman tidak mungkin berpakat di atas
perkara kesesatan.
Kecualilah semasa
penggabungan itu semua organisasi yang mereka asaskan sebelumnya dibubarkan dan
mereka benar-benar mencipta tanzim baru dan bergabung semua sekali,
berinteraksi dan bertukar-tukar fikrah dan manhaj tarbiyyah bersama-sama dan
melupakan segala perbezaan lama; ketika itu jika ada pihak cuba menghidupkan
tanzim lama beliau perlulah disekat dan dimahkamahkan.
Sebaliknya jika
penggabungan hanya dilakukan terhadap beberapa orang tertentu sebaliknya
majoriti ahli tanzimnya yang dianggotainya tidak tahu dan tanzim tidak
dibubarkan, malah dibiarkan bergerak mengikut manhaj amal terdahulu bukan
manhaj amal baru yang disepakati maka ia bukan penggabungan yang sebenarnya dan
kegagalannya tidak patut dipertanggungjawabkan kepada sebelah pihak sahaja,
diburuk-burukkan dan dipersalahkan.
Apatah lagi jika
kesalahan itu dicipta, direka, dipaksakan atau disengajakan oleh konspirator
dan diada-adakan tanpa bukti yang meyakinkan lalu hukuman dijatuhkan tanpa
memberi hak langsung untuk membela diri di mahkamah yang adil.
Sebaliknya jika hati
mereka sama-sama ikhlas, saling menghormati tetapi fikrah mereka berbeza maka
mereka perlu memilih jalan masing-masing dengan baik dan meraikan adab
perselisihan dengan baik, sehingga fikrah mereka dapat disatukan semula setelah
melalui pengalaman, bertambah ilmu dan proses-proses perbincangan.
Bagi saya sikap ini
lebih manis, lebih adil dan ‘gentlemen’ dan membuka ruang penyatuan di
masa-masa hadapan. Mungkin generasi berikutnya boleh bersatu dan mereka akan
merasa bangga dengan sejarah kematangan harakah yang mereka lalui daripada
warisan yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Kalau tidak sejarah hitam itu
tetap akan terukir dalam lipatan sejarah.
Seseorang mungkin
boleh menipu seorang pada satu-satu masa tetapi mereka tidak mungkin menipu
semua orang di setiap masa.”
No comments:
Post a Comment