Wednesday, June 16, 2021

Ancaman Terhadap Politik Melayu-Islam


Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias

 

Berbicara tentang ancaman terhadap politik Melayu-Islam agak sukar kerana ia berada pada garis hanya sebagai permainan politik oleh politikus yang rakus kuasa dan jawatan atau sememangnya berada pada garis perjuangan umat. Ahli politik seringkali memanipulasi ancaman terhadap politik Melayu-Islam demi kelangsungan dan keuntungan agenda politik peribadi mereka. Slogan ‘demi rakyat, agama, bangsa dan tanah air’, ‘keadilan, persamaan, kebenaran’ dan lain-lain seringkali diperalatkan oleh ahli politik bagi menarik sokongan rakyat kepada diri mereka. Hanya Allah sahaja yang tahu tahap keikhlasan mereka dalam tindakan politik mereka.

 

Awalnya ancaman terhadap politik Melayu bersifat dalaman iaitu disebabkan ketiadaan pemimpin yang berkualiti dalam kalangan kerabat diraja dan elit Melayu. Kelompok elit Melayu mula bersekutu dengan taikun dan kongsi-kongsi gelap Cina. Kedatangan penjajah, elit Melayu mula lemah terpaksa mengikut telunjuk penjajah. Kemudiannya muncul birokrat asuhan penjajah yang mengancam status quo elitis Melayu dalam pentadbiran kerajaan.

 

Selepas kemerdekaan, Parti UMNO memegang kuasa. Parti ini dipenjara oleh konsep majoriti tunduk kepada minoriti. Mereka tidak mampu menghapuskan sekolah vernakular menyebabkan semangat perkauman di Malaysia dipergunakan untuk tujuan politik. Parti UMNO mula dirosakkan oleh politik wang dan budaya komisen sejak tahun 1980an.

 

Pada tahun 2018, UMNO tumbang kerana kelemahan pemimpin dan persepsi rakyat terhadap kleptokrasi para pemimpin UMNO-BN. PH telah dipilih oleh rakyat untuk memerintah. Selama 22 bulan PH memerintah dalam keadaan yang ‘ekstrem’ dan gopoh gapah dilihat mengancam teras politik Malaysia[1]. Pemimpin Melayu dalam PH dikepung oleh kelompok SEPILIS, Evangelis dan kelompok pelampau perkauman[2].

 

Memenuhi Cita Sempurna dan Menolak Cita Bencana

 

Penulis mengenali istilah cita sempurna dan cita bencana daripada tulisan Dr Syed Hussein Alatas, seorang sosiologi Melayu yang terkenal dan lagenda. Pada pandangan Syed Hussein, cita sempurna adalah satu pandangan hidup menyeluruh bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna. Cita sempurna akan menggerakkan usaha hebat untuk menjayakannnya.

 

Menurut Syed Hussein landasan nilai dan gerakan emosi yang dikatakan universal dan tidak relatif walaupun manifestasi dalam budaya dan masyarakat adalah relatif pada waktu dan tempat. Maksudnya budaya tempatan berbeza tetapi intisari cita sempurna itu tetap sama secara  universal. Keuniversalan ini menunjuk bahawa ia adalah suatu fitrah kemanusiaan yang ada dalam diri manusia tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan negara.

 

Pada pandangan penulis pula, fitrah kemanusiaan perlu berhidayah mengikut kehendak al Quran dan as Sunnah. Al Quran dan As Sunnah menjadi sumber rujukan tertinggi yang membentuk pandangan hidup dan mengupayakan sinergi cita sempurna pada diri seseorang individu (baca: untuk menjadi Orang Baik). Maka, hasilnya ialah al insan al-kulliyy atau manusia sempurna iaitu manusia yang bertaqwa dan berakhlak. Daripada manusia bertaqwa dan berakhlak ini, wujudlah keluarga sakinah, masyarakat madani dan daulah Islam. Prof Dr Muhammad Naquib al Attas menyatakan ‘Orang Baik’ sebagai orang yang beradab insan adabi iaitu ‘orang yang insaf sepenuhnya tanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak; yang memahami dan menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan’

 

Cita bencana menurut Syed Hussein Alatas pula ialah jenayah, amalan perseorangan (seperti salah guna dadah dan berjudi) dan berkaitan nilai institusi dan kepercayaan masyarakat. Cita bencana inilah yang merosakkan umat manusia.

 

Faktor Ancaman Terhadap Politik Melayu-Islam

 

a.     Ketiadaan Pemimpin Bertaqwa dan Berakhlak

Masalah terbesar umat Melayu-Islam pada hari ini ialah masalah kepimpinan. Umat Melayu-Islam pada hari ini tidak memiliki pemimpin yang bertaqwa dan berakhlak. Syed Muhammad Naquib al Attas menyifatkan ia sebagai kehilangan adab. Ia berpunca daripada

1.     Kekeliruan dan kesalahan dalam ilmu yang menyebabkan keadaan:

2.     Kehilangan adab di kalangan umat. Keadaan yang timbul dari (1) dan (2) adalah:

3.     Kemunculan pemimpin pemimpin yang tidak layak untuk kepimpinan yang sah bagi umat Islam, yang tidak memiliki taraf moral, intelektual dan spiritual yang tinggi yang disyaratkan untuk kepimpinan Islam, yang  melestarikan keadaan pada (1) di atas dan menjamin penguasaan urusan umat yang berkelanjutan oleh pemimpin-pemimpin seperti mereka yang menguasai semua bidang.

 

Ilmu yang dipelajari dan diyakini tidak mampu melahirkan manusia bertaqwa dan berakhlak. Mereka tidak memikir persoalan syurga atau neraka, pahala atau dosa dan pembalasan alam kubur atau hari akhirat. Akibatnya berlakunya kekeliruan kefahaman dan kekacauan jiwa sehingga melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

 

Contoh tauladan dalam kepimpinan ialah kepimpinan Rasulullah SAW dan khalifah al Rasyidin. Kualiti kepimpinan boleh dirujuk kepada gaya kepimpinan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al Khatab. Zaman Saidina Usman Bin Affan dan Saidina Ali Bin Abi Talib boleh dijadikan ibrah dalam menangani konflik dalaman umat Islam.

 

b.     Kuasa Wang

Kuasa Wang memusnahkan adab dan akhlak pemimpin dan umat Islam. Kuasa wang ini melahirkan Rasuah-Korupsi, penyalah-gunaan kuasa, manipulasi kuasa, kronisme, kleptokrasi dan nepotisme. Rasuah merupakan bala adibesar bagi umat Melayu-Islam.

 

Dalam politik terdapat istilah politik wang. Politik wang menyebabkan rakyat dan ahli parti memilih pemimpin yang kaya bagi membolehkan mereka mendapat habuan. Pemimpin pula menabur duit bagi memancing undi.

 

Budaya komisen dan broker banyak merosak pemimpin dan institusi Melayu. Institusi Beraja umpamanya perlu dielakkan daripada menyertai sektor perniagaan. Ia dijadikan benteng oleh para taikun untuk mengaut keuntungan.

 

Kuasa Wang menyebabkan kelompok Melayu bekerjasama dengan bukan Melayu demi keuntungan bersama. Kerjasama antara kumpulang samseng Melayu dengan kongsi gelap Cina umpamanya adalah satu pengkhianatan terhadap perjuangan Melayu-Islam.

 

c.      Nilai Institusi dan Kepercayaan

Institusi Beraja, para birokrat, parti politik dan institusi penguatkuasaan membuka ruang dan peluang kepada penyalah-gunaan kuasa, penyelewengan, rasuah dan kezaliman ke atas umat Melayu-Islam. Mereka mengutamakan kroni, salah guna kuasa untuk keuntungan diri sendiri dan rasuah. Za’ba meletakkan segala kemunduran dan kekurangan orang Melayu disebabkan kebodohan dan kesombomgan golongan raja dan pembesar Melayu itu sendiri. Jelas, di Malaysia perubahan mesti bermula dengan diri Raja-Raja Melayu dan politikus Melayu yang mentadbir urus kerajaan.

 

Pendeta Za’ba menyatakan kelemahan orang Melayu[3] ialah (1) kemiskinan, (2) keadaan puas  hati, (3) kesederhanaannya, (4) tidak percaya pada kebolehan sendiri, (5) lemah cita-cita, (6) kurang berhemah, (7) terlalu bergantung harap kepada orang lain dan (8) meninggalkan sikap meminta-minta dan mengharapkan bantuan.

 

Orang Melayu mesti mengubah perangai diri mereka sendiri bagi menggelakkan mereka ditindas di tanah air sendiri. Orang Melayu tidak oleh mengharapkan orang lain termasuk Raja-raja Melayu, politikus Melayu dan birokrat Melayu.

 

d.     Kelompok SEPILIS, kelompok Ekstrem Kaum dan Evangelis Kristian

Ketiga-tiga kelompok ini mempunyai agenda sendiri yang bertentangan dengan perlembagaan negara dan tidak menjaga sensitiviti masyarakat tempatan yang majoriti Melayu-Islam.

 

Kelompok ini mahu menerapkan nilai sekular, pluralisme dan liberalisme ke dalam urus tadbir dan sistem negara. Kelompok ini akan menggugat teras politik Malaysia dengan membuat pelbagai acahan-acahan politik sebagai umpan kepada rakyat. Jika rakyat membiarkan acahan mereka berjaya dalam dasar dan polisi negara, jarum halus akan memasuki ke dalam pemikiran dan jiwa anak bangsa sehingga mengancam kestabilan politik negara.

 

Ada kalangan mereka bercita-cita jauh mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Kristian. Keterlampauan yang tidak bertebing.

 

e.     Campurtangan Pelobi Politik dan Orang Asing

Dibelakang parti-parti politik dan NGO ada para taikun dan badan luar negara yang menjadi penyumbang dana mereka. Suka atau tidak, pendirian para pelobi diikuti bagi mengenang budi dan memenuhi janji-janji politik.

 

Ada kalangan NGO dan parti politik mendapat dana dan bantuan daripada pihak asing atas nama demokrasi dan hak asasi manusia. NGO dan parti ini sudah tentu berhutang budi kepada pihak pendana, melaksanakan agenda pendana dan merekrut kader kader berdasarkan gagasan pemikiran yang direstui oleh pendana.

 

NGO-NGO hak asasi manusia inilah yang membuat laporan sehingga status Malaysia dikenali sebagai negara pengamal rasis.

 

 

    d. Kaum Majoriti Berfikir Seperti Kaum Minoriti

 

Di Malaysia, kaum majoriti berfikir seperti kaum minoriti. Kaum majoriti kena akur  kehendak kaum minoriti. UMNO dan PAS tunduk kepada MCA atau MIC. PKR dan Amanah tunduk kepada DAP. Toleransi berlebihan menyebabkan mereka gagal mempertahankan kehendak kaum majoriti. Kaum politikus kita dikotak-kotak  secara mutlak melalui perpecahan mengikut politik kepartian menyebabkan mereka tidak bersatu dalam membuat keputusan yang memerlukan kebersamaan demi kelangsungan nasib umat Melayu-Islam-Bumiputera.

 

Orang Cina pula tanpa mengira parti atau NGO akan memperjuangkan dan mempertahankan isu-isu berkaitan dengan kaum mereka. Isu pendidikan dan kebudayaan, isu media dan isu NGO akan terus dipertahankan oleh MCA dan DAP.

 

Ini kebodohan Orang Melayu berpolitik.

 

Bentuk Ancaman Terhadap Politik Melayu Islam

 

a.     Siapa Yang Menguasai Kerajaan?

Kalau kita berbicara tentang ancaman terhadap politik Melayu-Islam, kita perlu tahu siapa kingmakers yang menguasai kerajaan. Pernah satu ketika, Lim Guan Eng menyatakan daripada 222 anggota parlimen, seramai 140 daripadanya muslim dan hanya 82 orang bukan muslim. Ya, kita tak menafikan kebenaran jumlah itu. Apa yang kita mahu beritahu jumlah anggota parlimen yang menyokong PM dalam membentuk kerajaan.[4]

 

Kebimbangan yang berlaku ialah apabila anggota parlimen Melayu-Islam-Bumiputera berpecah dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan dan kelangsungan politik Melayu-Islam-Bumiputera.

 

Kita mengambil contoh dalam pengundian Belanjawan 2021 yang disediakan oleh Dr Kamarul zaman Yusof, komposisi keagamaan ahli parlimen yang menyokong bajet 2021: 91 ahli parlimen islam (82.0%) berbanding 20 bukan islam (18.0%) manakala komposisi keagamaan ahli parlimen yang menentang bajet 2021: 46 ahli parlimen islam (42.6%) berbanding 62 bukan islam (57.4%). Dalam isu sepenting RUU355 dan ICERD, bagaimana ahli parlimen  muslim mahu membuat keputusan?. Mahu mengikut kehendak parti atau demi kelangsungan umat?

 

Demokrasi perlu digunakan dengan bijak agar tidak melemahkan perpaduan umat. Keputusan yang melibatkan kepentingan orang Melayu-Islam-Bumiputera mesti diutamakan melangkaui kepentingan politik kepartian. Politikus Melayu-Islam-Bumiputera mesti jelas perkara ini. Jangan utamakan kepentingan perut sendiri.

 

b.     Kefahaman Sejarah Alam Melayu dan Malaysian Malaysia

Rumusan ucapan Lee Kuan Yew di Parlimen Malaysia pada bulan Mei 1965. “ Tiada satu daripada kaum besar di Malaysia yang boleh mendakwa sebagai lebih bersifat penduduk asal daripada yang lain. Menurut LKY, kesemua nenek moyang mereka datang ke Malaysia tidak lebih daripada 1000 tahun dahulu. Orang Melayu berhijrah ke Malaysia dalam jumlah yang agak ramai hanya kira-kira 700 tahun dahulu. Daripada jumlah 39% orang Melayu ketika itu, kira-kira satu pertiga boleh dikatakan pendatang baru. Syed Jaafar Albar SUA UMNO berhijrah ke Malaysia daripada Indonesia sebelum Perang Dunia Kedua ketika berusia lebih 30 tahun.”

 

“Silap dan tidak logik untuk satu-satu kaum tertentu memikirkan bahawa mereka lebih layak digelar sebagai Malaysian sedangkan orang lain hanyalah boleh menjadi Orang Malaysia atas ihsan mereka. Dengan kata lain, LKY menolak Orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini dan tidak berhak diberi kedudukan istimewa sebagai warganegara.”

 

Malaysian Malaysia’ merupakan satu konsep multi-racial Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP, kelompok SEPILIS dan kelompok ekstrem kaum boleh mewujudkan ketegangan hubungan kaum dan mencabar dominasi Melayu-Islam-Bumiputera. Ia bukanlah satu konsep yang sesuai bagi sebuah negara majmuk yang majoritinya rakyatnya adalah orang Melayu-Islam-Bumiputera. Kelompok anak muda Melayu urban dan berpendidikan mudah teruja dengan konsep multi-racial Malaysia secara idealisme dan khayalan politik tetapi pada hakikat amalan sehari-harian, ia hanyalah idea yang palsu dan fatamorgana sahaja. Konsep multi-racial ini  hanya sekitar sahabat politik, sahabat satu institusi (sekolah atau NGO) dan perniagaan tetapi dalam masyarakat terbanyak tetap dipenuhi dengan amarah dan dendam berintikan semangat perkauman.

 

Fahami sejarah, barulah kita menemui hujung pangkal dimana suatu perkara bermula.

 

c.      Memperalatkan sentimen wilayah, kaum dan agama

Kebangkitan gerakan anti nasional yang dipenuhi sentimen wilayah secara liar. Gerakan ini mendapat sokongan dan dana daripada luar. Mereka mahu Sarawak dan Sabah merdeka daripada Malaysia.

 

Perjuangan mereka kelihatan benar dan betul kerana apa yang dikatakan mereka kelihatan betul. Adakah keluar daripada Malaysia akan menyelesaikan masalah? Atau akan menimbul masalah yang lebih parah?

 

Pertama, pelajari dan faham sejarah. Kedua, lihat contoh negara lain. Ketiga, muhasabah diri, lihat  kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang kita ada.

 

Gerakan anti nasional bersifat sentimen wilayah ini berselindung disebalik agenda puak-puak tertentu. Mereka bukannya mengambil berat tentang rakyat tetapi mempunyai agenda tertentu.

 

Kelompok ekstrem Cina seringkali memperjuangkan isu pendidikan Cina dengan mengatakan pihak kerajaan majoriti Melayu menganak-tirikan mereka. Melayu rasis. Pada masa yang sama, Melayu yang rasis inilah yang membenarkan kewujudan sekolah vernakular. Kalau betul-betul mahu penyatuan nasional, hapuskan sekolah vernakular.

 

Kelompok esktrem India pula bermain isu keagamaan terutamanya tapak kuil haram. Fahami dan akurlah pada undang-undang. Isu kuil bukanlah berkaitan isu agama tetapi isu undang-undang tanah dan PBT.

 

Disamping itu kita tidak nafi ada kelompok ekstrem Melayu yang kurang sabar dan tenggelam dalam semangat coca-cola dalam memperjuangkan isu ketuanan Melayu yang sempit dengan cara kurang berhikmah. Fahami Perlembagaan Malaysia dan sabar, insya Allah selamat.

 

d.     Penerapan Nilai Sekular, Plural, Liberal dan Nilai Hak Asasi Manusia versi Barat

Dalam visi dan misi DAP termaktub,Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia’.

 

Deklarasi Setapak 1967 menyatakan, ‘memperkukuh pandangan DAP bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip ini lah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang’.

 

Kefahaman SEPILIS yang berada dalam pelbagai organisasi termasuk DAP bahawa Malaysia sebuah negara sekular. DAP jelas mahu mengesahkan dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka sekular sedangkan Raja-Raja Melayu sebagai Pemerintah Kerajaan adalah Melayu dan Islam. Orang politik mentadbir negara bagi pihak Raja-Raja Melayu.

 

 

Kesimpulan

Akhirnya demokrasi sendiri menjadi ancaman terhadap ancaman politik sesebuah negara. Demokrasi adalah ubat pahit yang boleh menjadi penawar atau racun bagi sesebuah negara. Berapa banyak negara yang aman dan stabil di bawah kepimpinan diktator akhirnya huru-hara dan kacau bilau apabila melaksanakan demokrasi.

 

 

Di Malaysia, demokrasi diselamatkan oleh institusi Raja Berpelembagaan, institusi ketenteraan yang taat kepada Yang Dipertuan Agung dan sifat muhibbah orang Melayu. Orang Melayu cukup toleran, muhibbah dan baik jika dibanding dengan kaum majoriti di negara-negara lain. Kewujudan sekolah vernakular antara buktinya.

 

Rakyat mesti mencari dan memilih pemimpin berkualiti yang didahului dengan sifat taqwa dan berakhlak.

 

Bagi meneruskan kestabilan politik Malaysia, teras politik Malaysia tidak boleh diceroboh dan diganggu-gugat. Kita tidak menolak sepenuhnya konsep multi-racial tetapi ia tidak sesuai pada waktu ini.

 

Kita telah melepaskan dua peluang untuk melakukan reformasi terhadap sistem iaitu awal kemerdekaan dan selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kita tak mengambil peluang sebaiknya. Kini, kita mesti melakukan perubahan setakat apa yang mampu dalam lingkungan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Negara dan  mengambil kira keharmonian masyarakat majmuk.



[1] Teras Politik Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga perkara iaitu

1.       Merujuk kepada sejarah, budaya, adat dan tradisi masyarakat Melayu-Islam-Bumiputera, Pemerintahan Beraja dan Perlembagaan Negara.

2.       Politik didominasi oleh masyarakat asal dan majoriti di wilayah ini iaitu Melayu-Islam-Bumiputera.

3.       Mengutamakan kesejahteraan, kemakmuran dan kebajikan rakyat semua bangsa dan negara.

 

[2] Contohnya, Laungan ‘ketuanan Melayu sudah mati’ dan meraikan kelompok LGBT secara berlebihan membangkitkan ketidakselesaan orang Melayu.

[3] Syed Hussein Alatas mengatakan kelemahan Melayu adalah kurang mampu bersaing dalam pasaran kapitalis jika tidak diberikan bantuan daripada kerajaan. Bantuan tersebut sebagai modal untuk menggerakkan ekonomi Melayu. Bagi penulis, Orang Melayu tidak mampu bersaing dalam ekonomi kapitalis kerana ada persoalan dosa-pahala dan syurga-neraka. Ekonomi Kapitalis menghalalkan riba.

[4] Kini (2020), PH mempunyai 92 MP iaitu 59 MP bukan-Islam dan 33 MP Islam.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...