Diwaktu Saidina Abu
Bakar menjadi Khalifah Rasulullah saw, dia telah berkata, "Wahai manusia telah dijadikan aku ketua
(Khalifah) bagi kamu tetapi aku tidaklah paling-paling baik daripada kamu".
Beginilah kita pada
hari ini kita telah dipilih rakyat, tetapi itu tidaklah bermakna kita yang paling baik sekali
diantara rakyat semua. Tetapi ini adalah satu nikmat yang diberikan oleh Tuhan
supaya kita fikir ini adalah satu kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh
rakyat kepada kita yang mesti kita pikul dan tunaikan kewajipan-kewajipannya.
Tuan-tuan yang
mulia, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada tuan-tuan atas kejayaan
tuan-tuan mendapat kepercayaan rakyat dan nikmat kepercayaan itu yang akan
membolehkan tuan-tuan berkhidmat pula kepada rakyat, di dalam ertikata
melaksanakan hukum Allah Ta'ala dan menjunjung kedaulatan bangsa kita yang
menjadi bumiputera negeri ini.
Tuan-tuan yang
mulia, kalau kita lihat kepada Quran, maka dia berkata, "Mereka yang menolong Allah itu, ialah apabila mereka Kami menang
mereka dibumi Allah, maka didirikan mereka akan sembahyang, akan agama Allah
diberikan mereka akan zakat, akan khidmat-khidmat masyarakat, yang menyuruh
mereka dengan kebajikan dan mencegah mereka akan kejahatan”.
Dengan ayat-ayat
ini dapatlah tuan-tuan membayangkan, bahawa orang yang ditolong oleh Allah swt
itu tugasnya telah dinyatakan oleh Quran, menjaga kedaulatan Agama, menjaga
perkhidmatan-perkhidmatan masyarakat, melakukan sesuatu yang baik dan mencegah
sesuatu yang jahat. Tidak payah kita belajar jauh, tidak payah kita
mengkaji masalah-masalah yang dalam, cukup sudah empat peranan yang diberikan
oleh Tuhan kepada kita, untuk kita amalkan sebagai seorang yang telah mendapat
nikmat kepercayaan rakyat sebagai wakil rakyat ini.
Tuan-tuan sekelian,
khalifah-khalifah Islam yang dahulu dari kita telah menjalankan tugas-tugas
negara dengan serba payah dan keikhlasan yang patut kita ketahui. Kalau sudah
terluput kita 5 tahun dahulu bagi orang yang telah lama dan kalau telah
terluput bagi mengenalinya bagi ahli-ahli yang baru, maka saya tanamkan satu
kesalahan yang besar kepada kita yang menjadi wakil rakyat Persatuan Islam
SeTanah Melayu ini masih tidak mahu mendekatkan dirinya kepada semangat-semangat
pentadbiran Islam, semangat-semangat negara Islam, semangat-semangat wilayah
Islam yang telah diberikan kepada kita, saya tahu ada diantara kita yang telah
menang dalam tahun 1959 telah tidak sempat mengambil pentadbiran Islam dalam
memahaminya, saya tidak katakan dalam melaksanakannya lagi , tetapi di dalam
memahaminya.
Maka saya minta
tuan-tuan menerima cabaran Tuhan, iaitu jangan dijalan sesuatu kerja, sekiranya
kita tidak tahu apa yang hendak kita dijalankan itu, jadikanlah kewajipan
tuan-tuan mulai dari hari ini, mengkaji
pengajaran Islam supaya tuan-tuan dapat memikul kewajipan tuan-tuan sebagai
seorang yang tahu apa yang diajar oleh Islam.
Jangan ada
seorangpun yang takbur, merasakan dirinya sudah pandai, bahawa dirinya sudah
tahu apa pengajaran Islam, bahawa dirinya tidak perlu diajar oleh sesiapa,
kerana dia telah menjadi Wakil Rakyat. Dia perlu mendekatkan dirinya dengan Al-Quran, dengan buku-buku
Islam, dengan hadis-hadis nabi Muhammad saw, dengan sejarah-sejarah Islam,
supaya kita sentiasa ingat kepada Tuhan.
Tuan-tuan yang
mulia, boleh jadi ada diantara kita yang menyangka bahawa Tuhan tidak menyifat
kita atas kewajipan kita ini, boleh jadi ada diantara kita yang memandang
bahawa masalah yang ada dihadapan kita ini adalah masalah pilihanraya, masalah
menjaga kedudukan kerajaan, masalah menjaga hati rakyat, masalah menjaga lebih
buruk lagi menjaga kepentingan diri sendiri. Maka saya berharap pada hari ini
supaya kita sahut seruan ini, dan kita putuskan dihati kita dan kita jadikan
bahawa kita ini petugas-petugas yang diamanahkan oleh Tuhan untuk melaksanakan
kewajipan yang Maha Suci, kewajipan yang belum di dapat oleh berapa ribu
million manusia peluang untuk berbuat demikian sejak zaman-zaman berzaman
hingga hari ini.
Kita meminta rakyat
mengundi kita, kita meminta mereka mempercayai kita. Bukan dengan janji-janji
khidmat, tetapi dengan janji-janji akan
menjalankan hukum Tuhan. Tuhan yang kita sembah, Tuhan yang merenung apa
yang kita buat tiap-tiap hari, Tuhan yang memerhatikan kesungguhan hati kita,
sebelum kesungguhan perbuatan kita. Inilah saudara-saudara kedudukan kita pada
hari ini satu kedudukan yang sungguh dan benar, suatu kedudukan yang bukan
dibuat-buat, tetapi sesuatu kedudukan yang memang kita kehandaki supaya Tuhan
berikan kepada kita, maka janganlah kita lepaskan peluang ini, dengan
kelengahan dan kelalaian, dengan lupa dengan apa yang ada kepada kita ini dan
menjadikan apa yang kita dapat ini sebagai satu nikmat yang datang dan lalu,
sebab kita ini saudara-saudara akan menghadapi Tuhan.
Marilah kita jadi
kesungguhan perjuangan ini satu Motto bagi kita, marilah kita jadi perjuangan
menegakkan Islam ini tidak kerja main-main, tidak kerja pilihanraya, bahkan
tidak kerja Persatuan Islam SeTanah Melayu, tetapi kerja kita sebagai seorang
Islam yang telah mendapat nikmat dari Tuhan bahawa kita telah dipercayai oleh
rakyat untuk menjalankan tugas-tugas yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
Ya,
saudara-saudara, saya tidak mengingati bahawa hanya kita sahaja yang dapat
menyelamatkan dunia ini, tetapi perlu kita akui hanya kita yang telah mendapat
peluang untuk berbuat demikian.
Orang di Mesir
tidak dapat lagi menjalankan pemerintahan atas nama menjalankan atas cita-cita
Islam, orang di negara Arab masing dikongkong, dan bermillion manusia Islam
masih belum dapat lagi nikmat tegak dengan sokongan rakyat bagi menjalankan
cita-cita Islam. Tetapi kita saudara-saudara telah diberi Tuhan nikmat seperti
itu.
Maka marilah kita
terima cabaran Tuhan ini, memohon kepada Tuhan supaya kita diberiNya taufik dan
hidayat, supaya sentiasa kita diberi inyatNya, bagi menjalankan apa yang
diwajibkanNya kepada kita. Percayalah saudara-saudara, bahawa saya dan
saudara-saudara akan gagal dalam kerja ini kalau kita tidak mahu
memperdampingkan diri kita pada Islam.
Berapa orang
daripada saudara-saudara yang telah menjadi ahli Dewan Negeri dan Dewan Rakyat
(Member Parlimen) sudah membaca buku Islam dan mengatakan bahawa dia ini
penganjur Islam. Berapa orang!!!.
Cuba kita fikir
saudara-saudara, seorang yang telah diamanahkan untuk membelah dan mengubat
orang sakit, tetapi tidak pernah membuka buku berkenaan dengan kesakitan
manusia. Kita diamanahkan untuk menjalankan pentadbiran negara Islam, sudahkah
kita tahu apakah pentadbiran negara Islam itu? Marilah kita dekatkan diri kita
kepada pengajaran Islam, rapatkanlah diri saudara-saudara kepada Quran yang
diturunkan oleh Tuhan, dan rapatkanlah diri saudara-saudara dengan rujukan
hadis nabi, jangan ada orang yang sombong mengatakan aku sudah tahu, jangan ada
orang mengatakan aku sudah luput, kalau dia sudah luput dari mempelajari Islam,
berhentilah ia dari menjadi ketua dari pihak orang Islam ini. Jangan sampai
akhirnya dia dituduh orang, memakai warna-warna Islam, tetapi tidak ada isinya.
Boleh jadi
saudara-saudara, kita ini akan menghadapi dugaan yang lebih banyak, boleh jadi
kita akan berjalan dengan baik, tetapi biarlah apa yang akan terjadi kepada
kita, biarlah dapat kita menghadapi Tuhan kita dengan hati yang suci dengan
mengatakan aku sentiasa berjuang untuk Engkau (Ya Allah) dan aku wakafkan
diriku untuk demikian.
Saudara-saudara
yang mulia, selain daripada itu, perlu kita kenali diri kita pada hari ini,
bahawa kita ini telah dipilih oleh rakyat, rakyat yang sayang kepada kita,
rakyat yang sanggup mengenepikan janji-janji Kerajaan Perikatan yang hendak
dicurahkan nikmat-nikmat besar kepada negeri mereka, kerana kita memberi tahu
mereka bahawa kita ini hendak menjalankan hukum-hukum Tuhan. Bahawa kita ini
hendak menyelamatkan hidup mereka di dunia dan di akhirat. Marilah kita hormati
rakyat ini, dan sentiasalah kita meletakkan kewajipan diri kita, memanjangkan
khidmat-khidmat yang telah kita lakukan demi kepentingan rakyat.
Saya perlu memberi
tahu saudara-saudara, satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu perjuangan
ialah keikhlasan.
Kita mungkin bodoh,
mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat, tetapi kalau
keikhlasan ada kepada kita, maka ada harapan cita-cita kita ini akan dapat kita
laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat
sekiranya kita tidak ikhlas kepada Islam yang kita perjuangankan.
Saudara-saudara
yang mulia, ikhlas adalah bererti, mengikutkan niat kepada sesuatu tujuan
dengan mengenepikan apa yang lain dari itu, kita ikhlas kepada Tuhan, kita
pikulkan niat kepadaNya, kita ketepikan yang lain dari itu. Kita ikhlas kepada
perjuangan Persatuan Islam SeTanah Melayu , kita pikulkan niat terhadap
tujuannya, kita ketepikan yang lain dari itu. Kita ikhlas kepada kepentingan
rakyat, kita pikul niat kita kepada tujuan itu dan kita ketepikan kepentingan
yang lain dari itu. Ini perlu ada kepada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah
baginya lagi, keikhlasan yang tidak mengira yang lain daripada apa yang kita
tuju di dalam perjuangan asal kita.
Saudara yang mulia,
kejayaan orang yang terdahulu dari kita semuanya dengan keikhlasan, harap
sungguh keikhlasan ini kita tanam, kita pikul kepada diri kita sendiri. Banyak
orang menyangka keikhlasan hanya disifatkan kepada hati dan niat, tetapi tidak
pada amal.
Tuan-tuan yang
mulia, amallah yang menunjukkan keikhlasan. Kalau kita pergi ke neraka, seperti
sabda Rasulullah saw. (dibaca hadis oleh beliau ) ertinya. "Neraka penuh dengan kesalahan dan kejahatan, Syurga penuh dengan
perkara-perkara yang dibenci, dia (nafsu) tak mahu kita buat tetapi kita buat,
maka itulah yang akan penuh dalam syurga, tetapi neraka akan penuh dengan
niat-niat yang baik". Pergilah saudara-saudara ke neraka nescaya
saudara akan berjumpa dengan orang-orang yang niatnya baik, tetapi amalnya
jahat. Orang mencuri kerana hendak memberi makan anak isterinya, orang yang
menipu kerana hendak menyelamatkan perniagaannya bahkan orang yang melakukan
apa sahaja yang durjana dengan niat-niat yang baik. Jadi janganlah kita cukup
dengan niat-niat kita sahaja, ...
"niat saya baik tak apa".
Marilah kita
jadikan, segala
amalan kita itu baik, niat kita itu baik, supaya kembaran dari keduanya itu
akan dapat memberikan sesuatu yang berguna kepada kita.
Di dalam
saudara-saudara menjalankan tugas, saudara-saudara akan datang akan berjumpalah
saudara-saudara masalah-masalah yang bersangkut dengan niat yang baik dan
amalan yang jahat, akan banyak saudara terpaksa menghadapi tuduhan niat baik
dalam kerja ini, tetapi kerjanya tidak berapa baik, tetapi saudara-saudara
ingatlah kepada Tuhan, ingatlah kepada nabi Muhammad saw, ingatlah bahawa di
dalam neraka itu penuh dengan niat-niat yang baik belaka.
Saudara yang mulia,
rukun kedua dari kejayaan kita sebagai anggota-anggota yang mendokong kerajaan
ialah perpaduan kita yang
utuh. Perkara inilah yang penting, kita tahu kita mempunyai musuh-musuh,
kita tahu bahawa musuh itu hendak menghancurkan kita, maka keutuhan perpaduan
ini perlu saudara-saudara wujudkan dan salah satu daripada sebab besar saya
ingin berjumpa dengan saudara-saudara hari ini ialah supaya dapat mewujudkan
perpaduan yang kuat di antara saudara-saudara. Syukur saya kepada Tuhan, bahawa
saudara-saudara yang ada ini sudah dicuba 5 tahun dan saudara-saudara sudah
membuktikan perpaduan. Orang Perikatan pernah mengumumkan dengan berkata bahawa
mereka akan membeli saudara-saudara. Saya berkata orang-orang yang berada
dihadapan saya ini, tidak akan dapat dibeli oleh sesiapapun. Mereka tidak akan
merosakkan perpaduan sebab jika kita boleh dibeli, maka sudah lama Persatuan Islam
SeTanah Melayu ini sudah dihancurkan di negeri kita ini. Saya sudah kenal
orang-orang kita, saya sudah tahu hati-hatinya, maka saya yakin bahawa
saudara-saudara dapat mempertahankan diri dalam masalah ini, yang sebenarnya
kebelakangan ini saya sedikit pun tidak merasa was-was, saya mempunyai
kepercayaan penuh kepada saudara-saudara. Cuma saya minta kepada saudara yang
tua dan yang baru lagi masuk golongan mendokong amanah Tuhan ini, supaya terus
saudara-saudara berpegang kuat dengan jawatan-jawatan saudara, hendaklah mengutamakan kepentingan
perjuangan Islam dan mengenepikan apa sahaja, menangi didalam apa yang
akan kita jalankan ini, seribu satu macam akan berlaku, seribu satu daya akan
berlaku semua itu untuk menguji keutuhan kita, untuk mengetahui perpaduan kita
yang kukuh. Saya berharap semuanya ini dapat kita hadapi dengan cara yang baik.
Ada orang minta
supaya kita ini bersumpah, bahawa kita ini bersatu dan berpadu, tetapi
saudara-saudara, apalah gunanya sumpah yang boleh dibatalkan dengan penyembelihan
seekor kambing, apalah guna sumpah kepada orang yang tidak memperdulikan agama
Allah. Sumpah hanya dihormati oleh orang yang taatkan Tuhan, kalau
saudara-saudara sudah taatkan Tuhan, maka tidak perlulah saudara-saudara
bersumpah.
Saya minta satu
sahaja, kita tanamkan di dalam hati kita bahawa Persatuan Islam ini boleh
dihancurkan, bahawa kerajaan negeri Kelantan ini boleh dihancurkan bila-bila,
tetapi saudara-saudara sanggupkah kita menghancurkan Islam di hati kita
sendiri? Sanggupkah kita mengizinkan kerajaan yang mengharamkan pembacaan Quran
berjalan di dalam negeri ini dengan tidak dicabar oleh sesiapapun? Sanggupkah
kita orangyang mahu menukar hukum Islam demi kepentingan diri mereka berdaulat
diatas kita sendiri? Kalau kita rasa kita tidak sanggup marilah kita jadikan
hati-hati kita itu benteng yang kuat, benteng yang boleh menahan sebarang
dugaan jambatan kepada Islam.
Saudara-saudara
yang mulia, kalau kita tidak taat kepada Tuhan, maka Tuhan akan gantikan dengan
satu kaum yang lain, yang mereka itu tidak mengikut kita dalam amal-amalnya,
mereka akan lebih baik daripada kita. Maka saya berharap dalam menjalankan
tugas negara dan negeri ini saudara
utamakanlah seperti yang di utama oleh pemimpin Islam terdahulu, hukum Tuhan
dan pengajaran Tuhan.
Saudara-saudara
yang mulia, satu perkara yang perlu saya sampaikan pada hari ini, ialah bahawa
saudara-saudara yang menang ini, bukan Zulkifli Mohammad, bukan Yusof Abd
Latif, bukan Abdullah Jusoh, yang menang ialah calon Persatuan Islam SeTanah
Melayu. Marilah kita
kukuhkan diri kita dan kita fahamkan bahawa kita ini orang partai ,
boleh jadi diantara saudara-saudara merasakan bahawa dia orang besar, kalau dia
bertanding seorangpun dia menang, tetapi renunglah saudara-saudara beberapa calon-calon
Perikatan yang sudah kalah dengan kebesaran-kebesaran mereka kalau rakyat tidak
mahu, orang yang mempunyai degree, orang yang menjadi loyar, orang yang kuat
habis kalah belaka, mari kita pandang bahawa kita terhutang kepada Persatuan
Islam SeTanah Melayu dan bukannya Persatuan saya bahkan Persatuan
saudara-saudara sendiri. Kita bersama mempelopori Persatuan itu dan sebab kita
wujudkan Persatuan ini adalah kerana cita-cita Islam. Marilah kita jadikan diri
kita ini semuanya sebagai orang-orang
yang bekerja dari Persatuan Islam SeTanah Melayu.
Jadi
saudara-saudara, sebagai ahli Dewan Undangan Negeri janganlah saudara ketepikan
PAS Negeri Kelantan sentiasalah dipandang saudara adalah sebagai petugas
Persatuan Islam SeTanah Melayu dan saluran Persatuan Islam SeTanah Melayu itu
ada di negeri ini untuk memandu dan bekerjasama dengan saudara-saudara
sekelian.
Saya syukur kepada
Tuhan, pada masa yang telah lalu selama 5 tahun tidak terdapat, boleh dikatakan
tidak terdapat langsung pertelagahan antara ahli-ahli Dewan Undangan Negeri
Kelantan dengan PAS Negeri Kelantan dan ini jauh dari bermakna bahawa Persatuan
Islam SeTanah Melayu ini ingin menekan fikiran-fikiran ahli Dewan Undangan
Negeri, tetapi satu kerjasama yang subur diantara kedua pihak perlu dijalankan
mengikut saluran-saluran yang telah kita aturkan.
Saudara-saudara
yang mulia, sungguhpun pada hari ini saya tidak lagi mengemukakan kepada
saudara-saudara apa yang akan kita lakukan selama 5 tahun ini, tetapi saya
memberi ingatan kepada saudara-saudara 5 tahun yang akan datang tidak seperti 5
tahun yang telah lalu. Kita akan mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar
kuat, kerana kita ingin menjalankan perkara-perkara yang besar, manifesto
kepada saudara-saudara akan akan diuji dengan rintangan yang bukan untuk 5
tahun akan datang tetapi dari mula lagi rintangan-rintangan itu akan kita atur
dan akan kita kemukan kepada saudara-saudara. Kita tidak mahu kita menjadi
perahu hanyut, bila terhadang barulah berkayuh, kita tidak mahu itu, kita akan
membukukan kerja-kerja yang akan dijalankan dalam masa 5 tahun ini dan kalau
dapat akan kita tentukan tahun-tahun perlaksanaannya. Dan saya harap kesemuanya
akan dapat kita lakukan dalam masa 3 tahun.
Saudara-saudara,
inilah tujuan besar kita, dan oleh kerana kerajaan PAS yang akan memerintah
dalam masa 5 tahun yang akan datang, akan lebih laju, lebih kuat dan lebih
cekap dalam kerjanya, saya berharap kepada saudara-saudara tolong lupakan
perbalahan, hadapilah tugas kita ini. Rasulullah saw, pernah berkata, "kalau kamu membuat amal dunia,
hendaklah dipandang bahawa kamu akan hidup seribu tahun akan datang, dan kalau
kamu membuat amal akhirat maka pandanglah bahawa itu amal yang akhir bagi kamu."
Kalau sembahyang, itu adalah sembahyang yang terakhir. Ini juga serupa saudara-saudara,
di dalam membuat rancangan mari kita buat seolah akan kekal seribu tahun,
tetapi didalam melaksanakan rancangan marilah kita rasa bahawa seolah 5 tahun
sahaja lagi kita akan hidup. Ini perlu kita jadikan Motto kita di dalam
kerajaan. Dengan anggota yang tinggal sebanyak 18 orang tentulah beban-beban
ini akan memberatkan diatas kepada saudara-saudara sendiri, maka saya tidak
mahu lagi orang yang akan berkata, "saya tidak sanggup membuat kerja ini,
saya mahu jadi jawatankuasa saja, bila mesyuarat panggillah saya, saya akan
menjadi hakim boleh atau tidak boleh, kita tidak mahu orang yang menjadi
jawatankuasa kali ini, kita mahu petugas-petugas yang akan bekerja, jangan kita
saya bersama jawatankuasa, ini bersama jawatankuasa, kerja kita samalah seperti
majistret, orang membawa kertas berbeban-beban, bertimbun-timbun didepan kita
dan kita bacalah penyata-penyata, mengangguk atau menggeleng terpulanglah
kepada kita, nasib kita baik kita angguk, kadang-kadang nasib kita tidak baik
kita geleng, ini tidak ada gunanya.
Kita mahu mereka
yang boleh berkata kepada Menteri Besarnya, "apa kerja yang boleh saya
jalankan?!!. Ini kita mahu, jangan orang yang berkata mahu Jawatankuasa kosong,
saya mahu menjadi jawatankuasa, ini kita tidak mahu. Kita tidak kurang tukang
angguk, kita tidak kurang tukang geleng, tetapi kita kurang yang membuat apa
yang sudah diangguk dan kita kurang orang menghalang apa yang sudah digeleng.
Saudara-saudara
yang mulia, saya yakin bahawa satu perubahan besar akan dapat kita lakukan di
negeri Kelantan, tetapi dimana perubahan itu bermula saudara-saudara?.
Bila mulanya dan
dimana mulanya?
Mulanya pagi
ini!!!, dimana mulanya?, di dalam hati saudara-saudara sekelian!!!.
Kalau ia tidak
berubah di dalam hati saudara-saudara sekelian, tidak akan berubah tidak akan
berjalan sedikit demi sedikit.
Ubahlah!!! cara kita berfikir, ubahlah!!! hati
kita, pandanglah bahawa kita ini adalah orang memasuki
medan yang lebih sengit perjuangan yang lebih hebat yang memerlukan tenaga yang
lebih banyak. Mahu kepada kerja yang lebih banyak, tenaga yang lebih kuat untuk
membolehkan cita-cita Islam, cita-cita Melayu terjalan di negeri kita yang kita
kasihi ini.
Saudara-saudara
yang mulia, perhubungan kita dengan kerajaan pusat akan bercorak dua samada
kerajaan pusat akan baik dengan kita atau ia akan jahat dengan kita. Tunku Abd
Rahman di dalam kenyataannya semalam menyatakan ketika ditanya samada akan
dibiarkan kerajaan Negeri Kelantan ini ia telah menyatakan, "Tidak, kita
akan beri mereka kemajuan-kemajuan supaya mereka dapat sama seperti
negeri-negeri lain, Tun Abd Razak berkata, "bahawa orang Kelantan itu
tidak mahu kepada kemajuan dan dari itu fahamlah saya bahawa dia tidak ingin
menyebarkan kemajuan. Marilah kita sedia untuk menghadap kedua-duanya ini. Saya
belum tahu apa cara yang hendak kita buat, sebab gendangnya belum benar-benar
berbunyi, jangan kita melompat sebelum rentak gendang itu kita ketahui kemana
hendak dilagukan, tetapi saudar-saudara kita fahami sebab kita ini telah tua di
dalam politik bahawa kerajaan Perikatan akan menekan kita walaupun dia mengata
dia tidak akan menekan kita.
Jadi apakah
keselamatan kita? Apakah jaminan bahawa kita akan berjalan terus? Satu saja!
... satu saja! Perpaduan mesti kukuh, perpaduan kita, ini sahaja yang boleh
menjamin kita hidup lama di negeri Kelantan ini. Kalau kita pecah maka akan
hancurlah kita semua, marilah kita semua saudara-saudara memikul beban ini
dengan rasa perpaduan yang kuat, bukan perpaduan diantara 17, .... 18.... 21
orang sahaja, tetapi perpaduan diantara saudara-saudara dengan Perhubungan
Negeri dengan Rakyat dengan saya, dengan Jawatankuasa Agung dengan semua kita
berpadu sehingga tidak celah yang boleh datang keburukan-keburukan yang boleh
menghancurkan kita.
Kita tidak dapat
menghadapi kerjaaan Perikatan ini, dengan kepandaian kita, kita tidak
menghadapi kerajaan Perikatan ini dengan kekuatan kita, tetapi kita hanya akan
dapat menghadapi Perikatan ini dengan berkiblat juara masyarakat, kalau aku
bersifat cuba berpisah dari rakan ku, aku akan dimakan Perikatan dan rakan ku
juga akan dimakan Perikatan dan cita-cita Islam yang aku hebahkan akan
dihancurkan dari negeri ini. Ini perlu kita faham dan ini perlu menjadi motto
kita di dalam negeri kita ini.
Saudara-saudara
yang mulia, esok atau lusa kita akan membentuk kerajaan diantara kita sama
kita. Kita boleh mulakan kerajaan PAS negeri Kelantan ini dengan kucar kacir
dan kita aturkan dengan kehancuran kalau kita dan kita boleh mulakan kerajaan
negeri Kelantan ini dengan berbaik-baik, membina perpaduan yang kukuh, kita
akhirkan kerajaan negeri Kelantan ini dengan kejayaan.
Saya berharap
masalah ini tidak menjadi masalah pertikaian diantara saudara-saudara sekelian,
supaya tidak menjadi masalah pertarungan kepentingan diantara saudara-saudara
sekelian. Yang perlu kita pandang ialah kita memerlukan untuk menghidupkan
sebuah kerajaan yang kuat yang bukan hendak menghadapi orang-orang yang ada
didalam kita ini supaya bercakar diantara satu sama lain tetapi bersedia untuk
menghadapi kerajaan Perikatan yang bersedia untuk mencari peluang menghancurkan
kita di dalam negeri ini.
Jadi
saudara-saudara walaupun musuh mengebom kita, berdentum-dentum dari langit,
maka janganlah kita asyik memikirkan, "dia tersepak kaki saya, saya mesti
sepak dia pula", ini tidak ada gunanya. Ini akan mengakibatkan keruntuhan
kita belaka.
Saudara-saudara
yang mulia, lantikan kerajaan, lantikan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar,
lantikan Speaker, EXCO, Pengerusi-pengerusi jawatankuasa kerajaan akan
dilakukan. Lantikan inilah tempat yang subur dengan kuman-kuman yang membawa
sengketa kepada kita. Apa yang akan kita buat saudara-saudara ketika kita
menghadapi ini semua, yang akan kita buat ialah perpegang kepada keikhlasan
kita. Keikhlasan iaitu menitikan tujuan kita kepada perlaksanaan dasar partai
kita dan mengenepikan sebarang kepentingan yang selain dari itu.
Inilah pegangan
kita dan saya percaya Perhubungan dan kerjasama saudara-saudara dengannya akan
dapat memberikan kejayaan bagi lantikan-lantikan yang akan dilakukan tidak
berapa lama lagi.
Saudara-saudara
yang mulia, kita akan menghadapi kerja besar, dan bagi kerja besar ini marilah
kita wujudkan kekuatan yang besar pula. Kita tahu saudara-saudara bahawa kaedah
menjaga kepentingan perlaksanaan tujuan ini mungkin akan dapat di pengaruhi
oleh penafsiran-penafsiran yang berlainan, sekali lagi saya katakan sebarang
penafsiran terhadap kaedah ini hendaklah juga dikawal dan dipandu oleh rasa
keikhlasan yang mesti ada kepada kita.
Maksud saya dengan
cara yang kasar, kita hendak jadikan Pengerusi Hal Ehwal Agama, ialah
"Encik Majhul" kerana lantikan kita kepada "Encik Majhul"
ini akan dapatlah soal agama ini dibereskan dengan baiknya. Datang seorang lagi
berkata, "saya mencadangkan pula supaya encik Maqbul pula menjadi Pengerusinya,
kerana encik Maqbul inilah orangnya yang layak dengan jawatan ini dan kalau dia
memegang jawatan ini tertentulah terlaksana cita-cita kita. Kedua-duanya
mempunyai penafsiran yang ikhlas, baik belaka itu saudara-saudara. Sebab itulah
pertukaran fikiran mesti kita galakkan, tetapi suka saya menarik pandangan
saudara-saudara kepada pengajaran yang dibawa oleh Imam Ghazali dengan katanya
sekali iaitu, "di dalam
bertukar-tukar fikiran ini, akan berkembanglah pertukaran fikiran itu kepada
perbahasan dan perbalahan dan diketika perbahasan dan perbalahan itu berlaku
maka bertenggeklah syaitan diatas bahu orang yang berbahas itu. Katanya
(syaitan), "Berbalahlah kamu, Fa anta 'ala haqqin... kamulah yang
benar".
Saya tidak tahu
bila syaitan itu melompat di atas bahu saudara-saudara pula dan apa nampaknya
saudara rasa kalau bersungguh-sungguh panas saudara ketika itu, ingatlah bahawa
Imam Ghazali pernah menyebut bahawa waktu perbalahan seperti itu melompat
syaitan ke atas bahu dengan berkata bahawa "anta 'ala haqqin" kamulah
yang benar... kamulah yang benar.
Jadi
saudara-saudara hal ini akan berlaku tidak lama lagi, sehari 2 hari atau 3 hari
yang akan datang. Jadi janganlah kita mulakan kekeruhan dari awal. Apabila
kekeruhan berlaku dari awal tidaklah dapat kita cari kejernihan dengan
mudahnya.
Saudara-saudara
yang mulia, sudah banyak saya bercakap kepada saudara sekelian. Cuma satu
sahaja akan saya akhiri ucapan ini, iaitu hadapilah masalah dihadapan saudara
dimasa akan datang dengan kesungguhan.
Berjuang dengan
kesungguhan!!!
Bekerja dengan
kesungguhan!!!
Bertugas dengan
kesungguhan!!!
Bertutur dengan
kesungguhan!!!
Jangan jadikan
kerja kita walau apa sekali pun kerja asal-asal sahaja.
"Apa boleh buat, oleh kerana saya telah menjadi ahli
Dewan Undangan Negeri, saya pergi mesyuarat".
"Apa boleh buat, oleh kerana saya telah
menjadi ahli Dewan Undangan Negeri saya tolong susun kebesaran-kebesaran".
Yang sungguh, perlu
penolong saya yang cari dan kalau dapat sekarang ini saya akan gunakan
praktis-praktis demi agama, bangsa dan tanah air saya.
Dulu ketika belum
menjadi tuan besar, duduk berehat dikedai-kedai kopi. Kita kata, "alangkah
banyaknya kesalahan orang ini, kamu tahu apa? begini.... begini.
Sekarang kita telah
diletak oleh rakyat ditempat ini, mari kita gunakan peluang ini dengan
kesungguhan.
Kesungguhan,
keikhlasan dan perpaduan akan menjayakan kita.
Assalamualaikum
warahmatullah hi wabarakatuh.