FIKRAH MERENTASI JAMAAH
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أما بعد:
Tuan Pengerusi, hadirin dan hadirat sekelian,
Tidak ada siapa yang dapat menafikan sumbangan gerakan Islam dalam memberikan kesedaran umat dalam bidang-bidang yang mereka fokuskan. Sumbangan itu tidak hanya bersumberkan sebuah gerakan tertentu semata. Bahkan ia datang dari keperbagaian gerakan, organisasi dan jamaah. Tidak wajar mana-mana jamaah atau organisasi mendakwa hanya mereka yang berfungsi menyedarkan umat dan penyelesai segala krisis, lantas menafikan peranan gerakan atau jamaah yang lain.
Arus tajdid berterima kasih kepada semua gerakan yang menyelusuri perjalanan mereka bermanhajkan al-Quran dan al-Sunnah dan bersendikan kefahaman al-Salaf al-Saleh. Arus tajdid wajar menghargai apa yang telah mereka sumbangkan selama ini, selagi mana sumbangan itu positif untuk umat. Arus tajdid menolak sikap ekstrimis yang hanya menganggap jamaah dan kumpulan mereka sahaja yang syar’I, manakala selain mereka secara langsung atau tidak, dianggap tertolak. Jamaah atau organisasi yang ditubuhkan hanyalah wasilah (jalan) bukan ghayah (matlamat) bagi Islam itu sendiri. Matlamat Islam lebih agung dan syumul dari sebarang jamaah atau harakah. Fikrah Islam yang tulen merentasi kesempitan jamaah. Melebar luas menyeberangi pagar sebarang organisasi.
Arus tajdid juga harus berterima kasih kepada individu-individu yang memberikan sumbangan kepada kesedaran Islam; sama ada mereka terlibat dengan mana-mana jamaah, orginasasi atau tidak terlibat. Bukan syarat sah sesuatu amalan saleh atau dakwah kepada al-Kitab dan al-Sunnah seseorang mesti terlibat dengan organisasi atau jamaah tertentu. Bahkan amalan saleh itu sah apabila memenuhi rukun dan syarat seperti yang dijelaskan oleh nas-nas Islam iaitu; aqidah yang murni, niat yang ikhlas dan menepati petunjuk al-Sunnah dalam mempraktikkan amalan tersebut. Maka dakwaan sesetengah kelompok yang menganggap sesiapa yang tidak menyertai organisasi atau jamaah dengan istilah ‘tidak masuk jamaah’ sebagai tidak berpendirian dan tidak diiktiraf, adalah perlambangan suatu sikap ghulu atau melampau.
Hadirin & Hadirat!
Terima kasih ini merangkumi individu atau tokoh yang berada di setiap pelusuk dan penjuru, yang bergerak menyumbang kepada umat ini. Sama ada mereka berada di dalam organisasi kerajaan atau di luar dari daerah percaturan politik. Selagi mereka menyumbang kepada umat ini dan memperlihatkan kejujuran mereka, maka mereka berada dalam perjuangan umat. Dakwaan yang menganggap golongan agama yang mendekati pemerintah kesemuanya mencari kepentingan dunia adalah dakwaan yang tidak seimbang dan bersikap tidak adil. Walaupun ramai bersikap demikian, tapi bukan kesemuanya. Menghukum mereka secara keseluruhan bercanggahan dengan sikap yang ditunjukkan oleh RasululLah s.a.w terhadap Najasyi, Raja Habsyah yang menganut Islam pada zaman baginda. Baginda percaya kepada keadilannya dan menghantar para sahabah berhijrah ke negaranya.
Apabila Najasyi menganut Islam, Nabi s.a.w tidak memerintahkan Najasyi meninggalkan kedudukannya sebagai Raja Habsyah, sekalipun kerajaan yang dipimpinnya bukan kerajaan Islam dan beliau tidak berhijrah mendapatkan RasululLah s.a.w. Namun RasululLah s.a.w pula tidak memerintahkan hal itu kepadanya. Kedudukan Najasyi sebagai raja membolehkan dia melindungi para sahabah yang berhijrah ke negara dan melaksanakan keadilan dengan ruang kemampuan yang dimilikinya. Apabila Najasyi meninggal, RasululLah s.a.w bersabda:
عَنْ جَابِرٍ رَضِي اللَّه عَنْه قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ مَاتَ النَّجَاشِيُّ مَاتَ الْيَوْمَ رَجُلٌ صَالِحٌ فَقُومُوا فَصَلُّوا عَلَى أَخِيكُمْ أَصْحَمَةَ
Daripada Jabir r.a: Nabi s.a.w bersabda -ketika kematian Najasyi-: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)”.
Baginda menyifatkan Najasyi sebagai seorang yang soleh. Baginda menyebut ungkapan ‘akhukum’ (saudara kamu) yang bermaksud saudara seislam kamu. Bahkan baginda menyuruh para sahabah mengadakan solat ghaib untuk jenazah tanda persaudaraan sekalipun berjauhan. Baginda tidak mengatakan Najasyi berkepentingan atau enggan menyertai gerakan Islam, atau tidak berprinsip. Bahkan baginda menghargainya kerana telah zahir dari dirinya iman, keikhlasan dan keadilan sikap.
Maka kita wajar mencontohi hal ini. Sesiapa yang menyatakan pendirian menyokong usaha kembali kepada al-Kitab dan al-Sunnah seperti yang difahami oleh generasi awal Islam, kurun-kurun yang diberkati, golongan al-salaf al-salih serta berusaha memperbaharui pendekatan al-din dalam wajah kemodenan yang ada bertunjangkan prinsip salaf maka kita menganggapnya berjuang bersama dengan arus tajdid ini. Sama ada dia berada dalam kerajaan atau pembangkang, sama ada dia berjamaah atau bersendirian.
Arus dengan ini menyeru dijauhi sikap ghulu atau melampaui batasan dalam beragama termasuk dalam urusan dakwah. Firman ALLAH:
(maksudnya): Katakanlah: “Wahai ahli Kitab! janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan Yang betul”
Dalam sebuah hadith:
عَنْ ابْنُ عَبَّاسٍ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم غَدَاةَ الْعَقَبَةِ وَهُوَ عَلَى رَاحِلَتِهِ هَاتِ الْقُطْ لِي فَلَقَطْتُ لَهُ حَصَيَاتٍ هُنَّ حَصَى الْخَذْفِ فَلَمَّا وَضَعْتُهُنَّ فِي يَدِهِ قَالَ بِأَمْثَالِ هَؤُلَاءِ وَإِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ
Daripada Ibn `Abbas, katanya: Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-`Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: “(Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu melampau dalam agama (al-Ghulu), kerana sesungguhnya al-Ghulu telah membinasakan mereka yang sebelum kamu.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah (m. 728H) berkata: “Sesungguhnya agama ALLAH ini adalah pertengahan antara yang melampau dan yang meninggalkannya. ALLAH Ta`ala tidak memerintahkan hamba-hamba-NYA sesuatu melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu sama ada secara ifrat إفراط (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit تفريط (cuai terhadap agama). Justeru, Islam adalah agama ALLAH yang tidak boleh diambil ajarannya daripada sesiapapun selain-NYA. Maka syaitan mengganggu kebanyakan mereka yang mengaku mengikut ajaran Islam. Sehingga syaitan berjaya mengeluarkan mereka daripada syariat. Bahkan syaitan berjaya mengeluarkan banyak puak umat ini yang terdiri daripada mereka yang kuat beribadah dan warak. Sehingga menjadikan mereka keluar daripada agama seperti mana melurunya anak panah daripada busarnya.”
Penyalahgunaan Nama Salafi
Maka Arus Tajdid wajar membantah kelompok yang menyalahgunakan nama ‘salafi’ sedangkan dalam masa yang sama kerja mereka ialah mencerca secara tidak seimbang tokoh-tokoh penyumbang kepada kebangkitan tajdid; seperti Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, al-Qaradawi, Salman ‘Audah dan berbagai lagi. Kita tidak menganggap kemaksuman tokoh-tokoh tersebut, namun mengfokus aktiviti untuk menyerangkan tokoh-tokoh berkenaan dengan cara yang menyimpang dari metodologi ilmiah adalah sesuatu yang tidak dapat diterima. Cara sebegini mendekati manhaj khawarij melebihi manhaj Ahl al-Sunnah.
Al-Syeikh Ibn Jibrin salah seorang tokoh salafi semasa Arab Saudi ketika ditanya hal ini menjawab: Sesungguhnya Sayyid Qutb dan Hasan al-Banna adalah dari kalangan ulama kaum Muslimin dan ahli dakwah. Sesungguhnya Allah telah memanfaatkan dengan mereka berdua dan memberi petunjuk dengan dakwah mereka ramai manusia. Bagi mereka berdua ada sumbangan yang tidak dapat dinafikan. Kerana itu, ketika keputusan hukuman mati dikenakan ke atas Sayyid Qutb dibuat, al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz memohon diberi pengampunan kepadanya dan beliau merayu dalam pemohonan itu. Namun ia tidak diterima oleh Presiden Jamal (Abdul Naser). Allah akan menghukum Jamal apa layak untuknya. Ketika mana keduanya (Sayyid Qutb dan al-Banna) dibunuh, keduanya digelar syahid, kerana mereka berdua dibunuh secara zalim. Dan syahid itu ada yang khas dan yang ‘am. Tersebar perkara ini (syahidnya mereka berdua) di dalam akhbar dan buku-buku tanpa ada orang yang mengingkarinya. Kemudian para ulama menerima buku-buku mereka, dan Allah memberi manfaat kepada mereka dengan buku-buku tersebut, tiada seorang yang mencela mereka berdua semenjak lebih 20 tahun yang lalu. Jika ada pada mereka berdua kesilapan yang sedikit pada takwilan atau yang seumpama dengannya, perkara itu tidak sampai kepada tahap untuk dikafirkan mereka. Sesungguhnya para ulama yang awal juga ada kesilapan seperti itu juga, seperti al-Nawawi, al-Suyuthi, Ibn Jauzi, Ibn ‘Atiyyah, al-Khattabi, al-Qastalani dan ramai yang lain”.
Ancaman Hizbiyyah
Dengan menyedari hakikat yang disebutkan tadi, maka kita menghargai setiap organisasi dan individu serta tidak menghalang individu muslim untuk menyertai mana-mana organisasi atau jamaah. Namun, dalam masa yang sama Arus Tajdid menyeru agar dihapuskan sebarang sikap hizbiyyah yang dilarang oleh agama. Sikap hizbiyyah ialah sikap kepuakan atau kepartian yang menilai sesuatu amal islami atau perjuangan berbakti kepada al-din dengan penilaian kumpulan, atau jamaah atau organisasi yang didokong. Sikap hizbiyyah ini mengukur betul atau salah sesuatu perkara dengan pandangan jamaah atau organisasi, bukan dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah akan ditafsirkan agar seiras dengan kehendak organisasi. Mana-mana dalil yang menyanggahi jamaah dan organisasi akan diulas agar seiras dengan tafsiran jamaah, bukan tafsiran ‘ilmiyyah. Hal ini pernah dibidas oleh Al-Imam Ibn Qaiyyim al-Jauziyyah (w. 751H) terhadap golongan ektremis mazhab dengan katanya: “Yang lebih pelik dari semua itu ialah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadith yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadith sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun satu hadith..” .
Maka ada sesetengah individu dalam jamaah tertentu menentang slogan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam ibadah khususiah, dan mereka juga membantah penentangan terhadap unsur syirik, tahyul, khurafat dan kebodohan dalam cara beragama, atas alasan ia menyebabkan perpecahan umat. Walaupun mereka dalam masa yang sama sanggup berbalahan sesama umat ketika berkempen kepada soal-soal ekonomi, atau politik yang mereka sifatkan sebagai lebih islamik. Mereka menghalalkan untuk mereka dan mengharamkan untuk orang lain. Apakah ibadah khususiah, akidah dan kejelasan fikrah itu lebih lekeh dari ekonomi dan politik gagasan mereka?!!
Sikap hizbiyyah juga menjadikan seseorang individu membutakan mata ketika melihat kesalahan kelompoknya dan berkeras menghukum jika perkara yang sama dilakukan oleh kelompok lain. Ini jelas dalam sikap kelompok yang menghukum sebahagian masalah sebagai masalah khilafiyyah tetapi dalam masa yang sama dia membantah pihak yang berbeza dengannya.
Hizbiyyah ini menjadikan seseorang taksub kepada jamaah sehingga tidak mahu menilai sesuatu keputusan yang dikeluarkan oleh jamaahnya, betul atau salah dengan nas-nas agama. Hanya bersandarkan falsafah ‘keputusan jamaah’ atau ‘keputusan syura’ , sekalipun menyanggahi nas, diterima juga.
Ini sikap hizbiyyah atau ‘asabiyyah yang dicela. Di sebut dalam hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ خَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ ُ
(maksudnya) Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah lalu dia mati, maka dia mati jahiliyyah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah.
Kata al-Sindi (meninggal 1138H) dalam mensyarahkan hadith-hadith Sunan Ibn Majah: “Lafaz رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ (bendera kebutaan) ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil” .
Dalam riwayat Abu Daud:
عَنْ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّة ٍ
Daripada Jubair bin Mut‘im: Bahawa RasululLah s.a.w bersabda: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah.
Dalam menjelaskan maksud ‘asabiyyah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’:
يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْعَصَبِيَّةُ قَالَ أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْم ِ
(maksudnya): Wahai RasululLah! Apakah al-‘asabiyyat? Sabda baginda: “Kamu menolong kaummu atas kezaliman”
Maka sikap hizbiyyah akan menjadikan seseorang memandang lekeh atau cacat individu yang tidak terlibat dengan jamaah atau organisasi yang dia sertai. Dia akan menganggap tidak mencukupi syarat perjuangan. Sekalipun individu berkenaan kelihatan telah melaksanakan tanggungjawab dan tuntutan Islam. Sikap hizbiyyah melebelkannya sebagai ‘wala tidak jelas’, tidak berani berjuang, ada kepentingan dan seumpamanya.
Firman Allah:
(maksudnya) 10. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. 11. Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Sikap inilah yang menyelewengkan banyak pihak dari berdakwah kepada inti al-Quran dan al-Sunnah, bertukar menjadi dakwah menyertai jamaah. Golongan yang terkena angin hizbiyyah sukar menerima amal islami yang tidak di bawah arahan jamaahnya. Inilah yang telah menyebabkan sekian lama organisasi-organisasi Islam berbalah merebut mad’u atau kerusi pilihanraya kampus. Padahal jika difikirkan secara lurus, apa perlunya kita berebut mad’u?! Tidakkah jika sudah ada yang berdakwah maka tugasan kita menjadi ringan?! Tidakkah jika sudah ada yang ingin memikul amanah, maka kita lebih selamat. Apa yang penting adalah misi dakwah iaitu kembalinya umat kepada Islam yang tulen, tanpa mengambil pusing siapa pun yang melaksanakannya. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): “Sesungguhnya al-Amr bi al-Ma’ruf Dan al-Nahy ‘an al-Munkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah setiap yang mampu melakukannya dengan tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan munkar atau mengurangi makruf” .
Namun sikap hizbiyyah menjadikan sebahagian manusia lebih mementingkan lebel dan jenama kumpulan lebih dari isi kandungan seruan Islam yang dibawa. Tahap ukhuwwah islamiyyah diukur dengan jenama berkenaan, apabila berbeza jemaah maka berbezalah tahap ukhuwwah. Sehingga ada yang bermasam muka kerana berbeza jamaah atau kumpulan.
Bah hingga ada yang sanggup menyelewengkan maksud hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ خَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
“Sesiapa yang keluar dari ketaatan, dan memisahkan diri dari jamaah, mati dalam jahiliyyah”
juga hadith-hadith yang menunjukkan mereka yang meninggalkan jamaah diperangi, dihukum menanggalkan Islam dan seumpamanya, lantas mereka merasakan jamaah yang dimaksudkan dalam hadith-hadith tersebut ialah jamaah mereka lalu mereka berfikir negatif terhadap sesiapa yang bukan ahli mereka.
Dukacita golongan ini tidak membawa ulasan para ulama terhadap maksud sebenar jamaah yang terkandung dalam hadith-hadith tersebut. Maka, atas ketaksuban kumpulan atau aliran perkataan jamaah ini telah disalahgunakan. Saya bersetuju dengan perkataan tokoh al-Ikhwan al-Muslimin, Jordan, iaitu Dr. Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris dalam bukunya Mafahim Islamiyyah. Kata beliau: “Sesungguhnya istilah Jamaah al-Muslimin adalah istilah islami. Rasulullah s.a.w telah menggunakannya. Ia termaktub dalam kitab-kitab hadith dan sunnah. Para penghurai hadith membincangkannya. Ulama dan fuqaha muslimin menggunakan istilah ini sejak dahulu dengan penggunaan yang teliti. Istilah ini masih disebut oleh kebanyakan ulama semasa dan para pendakwah yang beramal. Ia masih dibincangkan dalam buku-buku ulama kurun kedua puluh. Bahkan, kadang-kala ia dibincangkan oleh orang yang kurang bekalan fekahnya. Dari kalangan mereka yang tidak berkemampuan memahami agama dan tidak mengambil berat menuntut dan memperolehi ilmu syarak tergopoh gapah menggunakan istilah ini secara salah. Tujuannya untuk mencapai natijah yang mereka kehendaki iaitu menganggap diri mereka ialah jamaah yang syar’I, sementara jamaah-jamaah lain dipertikaikan kesyar’iannya dan perlu ditentang…sebenarnya, maksud ‘jamaah al-muslimin’yang diperkatakan oleh al-Sunnah ialah jamaah yang .beriman dengan Islam sebagai akidah, syariat, peraturan hidup dan mengakui hukum-hakamnya. Ia melaksanakan syariat ALLAH dalam kehidupan. Memiliki kekuasaan politik yang berasingan. Ia dipimpin oleh khalifah yang menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Ini semua berlaku apabila muslimin memiliki daulah islamiyyah yang menghimpunkan dan menyatukan mereka. Ditegakkan dalamnya hukum-hukum Islam. Maka, istilah ‘jamaah al-muslimin’ di sini bermaksud masyarakat Islami yang dipimpin oleh hukum Islam dan terbentuk semua badan kekuasaannya di atas petunjuk al-Quran dan al-Sunnah…adapun sekiranya tiada daulah islamiyyah yang menyatupadukan orang Islam…tidak mungkin mana-mana jamaah mendakwa dirinya sebagai jamaah al-muslimin. Samada mereka itu Ikhwan, atau tabligh, atau salafiyyah, atau sufiah, atau jamaat islami Pakistan dan selainnya. Ini kerana dakwaan tersebut bererti menghukum gerakan-gerakan lain sebagai murtad atau sesat atau kufur, dan menuduh mereka dengan jenayah yang memboleh dijatuhkan hukuman yang keras..” .
Maka, arus tajdid menyeru agar dipecahkan benteng-benteng hizbiyyah ini dan mengukurkan muslim dengan kadar pegangan serta fikrahnya dalam memahami al-Quran dan al-Sunnah tanpa mengira dari mana organisasi atau jamaah pun dia. Arus tajdid menyeru semua pihak berpegang kepada fikrah sahihah lebih utama dari jamaah. Seseorang boleh memilih mana-mana jamaah selagi tidak menyanggahi al-Kitab dan al-Sunnah. Jamaah hanyalah alat, bukan matlamat. Bahkan seseorang mungkin sahaja untuk tidak menyertai mana-mana jamaah berdaftar, sebaliknya bersama kaum muslimin secara keseluruhan, tolong-menolong dalam urusan agama. Penyertaan ke dalam mana-mana jamaah hanya soal ijtihad. Tiada sebarang dalil sarih tentang kewajipan menyertai jamaah tertentu. Entah berapa ramai para ulama besar pada zaman ini pun, tidak menyertai mana-mana jamaah. Namun sumbangan mereka lebih besar dari sebarang jamaah dan umat berada di balakang mereka.
Mungkin ada benarnya rumusan seorang penulis Syria, al-Buti yang menulis tentang الفرق بين الحركة الإسلامية والدعوة إلى الله (Perbezaan antara gerakan Islam dan dakwah kepada ALLAH), antaranya beliau menyebut: “sesungguhnya dakwah yang difahami dan diamalkan oleh kebanyakan jemaah islamiah hari ini tidak lebih dari sekadar aktiviti yang berkisar sekadar anggota kumpulan mereka semata” .
Seruan Tajdid
Arus Tajdid mengajak penyertaan saudara-saudari ke dalam satu gerak kerja yang lebih besar daripada sebarang jamaah dan organisasi. Penyertaan ke dalam arus ini tidak menuntut untuk saudara-saudari meninggalkan jamaah atau organisasi yang telah disertai. Saudara-saudari boleh kekal dalam organisasi masing-masing, dengan syarat organisasi itu tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, serta saudara-saudari pula bekerja ke tajdid dan islah, PEMBAHARUAN DAN PEMBAIKIAN.
Pembaharuan itu ialah dengan kembali melihat keserasian segala pegangan dan amalan Islam berdasarkan fakta al-Quran dan al-Sunnah, lantas mengeluarkan umat dari daerah kejumudan, agama rekaan, khurafat, kebodohan fikiran dan kesempitan mazhab dan hukum kepada kemudahan dan keluasannya. Ini bersesuaian dengan ruh Islam tulen dan tuntutan zaman. Seru atau dakwah setiap muslim ke arah ini di mana sahaja saudara-saudari berada. Tidak menjadi syarat menyertai aliran tajdid berdaftar atau berkenalan dengan mereka yang aktif. Fahami fikrah tajdid, dan serulah kepadanya di mana sahaja saudara berada.
Ini selaras dengan tanggungjawab yang al-Rasul letakkan di atas bahu golongan terpilih, dengan sabda baginda:
يَحْمِلُ هَذَا الْعِلمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُوْلُه: يَنْفَوْنَ عَنْهُ تَحْرِيْفَ الْغَالِيْنَ، وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِيْنَ، وَتَأْوِيْلَ الْجَاهِلِيْنَ
Maksudnya:Sentiasa membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi). Mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang bathil (sesat) dan takwilan golongan jahil.
Inilah tiga tanggungjawab tajdid dan islah yang mesti dipikul dalam usaha kembali membawa Islam yang tulen dan tepat. Arus Tajdid mengajak saudara-saudari menyokong usaha ini. Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h pernah menyebut: “Bilamana menjadi sesuatu yang putus bahawa “Sesungguhnya al-Din di sisi Allah ialah Islam”, maka sesungguhnya tidak mungkin dapat difahami apa yang dikehendaki Allah melainkan dengan perantaraan RasululLah. Sesungguhnya tiada jalan kita sampai kepada baginda melainkan melalui pengetahuan mengenai sunnah baginda. Pula tiada jalan kepada sunnah baginda melainkan dengan ilmu hadith. Justeru itu menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin, samada pemerintah atau rakyat, pendakwah atau yang didakwah, beriman bersama kita bahawa tiada jalan terlaksananya apa yang kita seru kepadanya iaitu perlaksanaan keadilan dan keamanan, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi kecuali dengan berdakwah kepada sunnah dan mengamalkannya, juga mentarbiah kaum muslimin dengannya. Bukan dengan hukum-hakam dunia, undang-undang ciptaan manusia, pandangan-pandangan individu dan pegangan-pegangan kepartian. Itu semua menjadikan umat semakin berpecah dan jauh dari matlamat yang dituju” .
Semoga ALLAH merahmati kita dan membantu usah ini. Pengerusi dan hadirin terima kasih atas kesudian menyertai.
sumber: Dr MAZA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment