SISIPAN KHAS: MAMAT.COM DAN GERAKAN MAHASISWA
Oleh mamat.com
‘sebuah pertemuan pada hujung senja sebuah kehidupan, masih pastikah sinar mentari menerangi alam keesokkan harinya?. Kesempitan waktu ini dihadami dengan pesan-pesan keagamaan agar diri sentiasa insaf dan sedar’
Mohamad Ridhwan Bin Alias
Penulis sangat suka apabila pembaca mengeluarkan kritikan yang lelucon terhadap penulis. Terima kasih. Antara kenyataan popular adalah penyebar fitnah, penulis tidak aktif semasa di kampus, suka melabel seseorang dan pelbagai pertuduhan lagi. Sekali lagi penulis ucapkan terima kasih.
Wahai pembaca budiman, sesungguhnya sudah banyak kali penulis mengatakan penulis adalah pemerhati gerakan mahasiswa. Walaupun pemerhati, tidak bermakna penulis tidak aktif dalam gerakan mahasiswa. Penulis bukanlah pemimpin besar dan tidak suka menonjol serta tidak hebat pun. Penulis bersikap seperti Abu Zar dalam politik dan kepimpinan. Penulis bukan menolak konsep pimpinan tetapi penulis lebih suka memberi jawatan kepada sahabat yang lebih layak. Teringat prinsip politik Tuan Guru Dr Haron Din, cara syura kepimpinan dengan meletak bukan memilih. Jika berlaku perebutan, baik kita undur diri. Penulis juga bukan menolak politik tetapi cuba menghindari politik kepartaian yang menjadi kesukaan ramai itu.
Kenapa tidak aktif dalam PMIUM?
Penulis bukan mencari nama atau teman dalam persatuan. Penulis lebih suka bergelumang dengan buku di Perpustakaan Utama UM, Perpustakaan Fakulti Undang-undang, Perpustakaan Fakulti Perubatan, Perpustakaan Za’ba dan Perpustakaan APIUM(seingat penulis acap kali bertemu dengan Sharulzaman dengan motorsikal Honda dan Mat sabu dengan yamaha di tempat letak motorsikal: jika saya silap jenis motorsikal maaf ye. Seingat saya la..). sesekali berubah angin ke Perpustakaan Tun Sri Lanang UKM dan Perpustakaan Negara. Berkampung dengan buku menyukar saya untuk aktif sepenuhnya seperti orang lain.
Secara rasmi penulis adalah ahli PMIUM, EXCO PBMUM, EXCO Persatuan Sejarah UM, ahli Persatuan Silat Cekak Hanafi UM dan ahli Persatuan Antropologi dan Sosiologi UM. Pernah juga mengikuti aktiviti GAPENA. Penulis hanya terlibat dengan aktiviti persatuan sahaja. Bersifat luaran. Penulis tidak terlibat dengan aktiviti rahsia gerakan siasah di UM. Penulis juga terlibat membantu aktiviti ABIM Daerah Petaling Jaya dan PKPIM-UM.
Penulis juga tahu semasa menjadi penyokong ustaz Hasdi al Hafiz(seorang yang penulis hormati) di kolej 10 UM betapa sukarnya untuk masuk ke dalam lingkaran pimpinan PMIUM yang penuh misteri dan rahsia. Penulis juga tahu modus operandi PMIUM yang mempunyai unit dalaman yang tersembunyi di sebalik batang tubuh PMIUM itu sendiri. Jelas ada bedanya manusia dalam PMIUM yang dinamakan AU itu.
Adakah mamat.com orang PKPIM?
Pernah juga penulis ditohmah sebagai orang PKPIM-UM. Tidak. Penulis bukan orang PKPIM. Penulis cuma membantu aktiviti mereka sahaja atas dasar jawatan EXCO dalam PBMUM.
mamat.com sokong parti pembangkang?
mamat.com bukan penyokong parti pembangkang atau parti kerajaan secara keseluruhan. Penulis cuba menghindari politik kepartaian. Penulis penyokong pihak ingin menegakkan Islam. Jemaah an nur, Ikhwanul Muslimin, Jamaati Ulama, Jamaati Islami, Jamaati Tabligh, gerakan tasawuf, Muslim Care, IRF dan semua gerakan Islam dan tokoh Islam, penulis sokong. Hatta, UMNO-BN pun penulis sokong. Dengan syarat berlandaskan al Quran dan hadis.
Jadi siapakah mamat.com masa zaman mahasiswa?
Saya adalah penulis bebas yang memerhati perjalanan GM. Berwadah Islam. Bebas mengkritik mana-mana pihak selagi dirasakan kebenarannya. Bersedia menyokong mana-mana pihak yang menegakkan Islam. Hobi masa mahasiswa menghadiri seminar, kembara, majlis ilmu(spt raudhah), tonton teater dan menyelinap dalam kelompok-kelompok GM sama ada pro HEP atau PMIUM. Malang mereka tidak kenal penulis sehingga berlaku kecelaruan siapakah penulis.
Banyak masa penulis berada di perpustakaan. Ulat buku :). Tetapi penulis tidak lupa aktiviti luar. Pernah bermalam di kampung orang Asli di Endau-Rompin dan Gombak. Bermotivasi dengan pelajar sekolah/adik universiti. Tempat digemari adalah perpustakaan utama UM dan Masjid ar Rahman, dengar kuliah maghrib. Tempat makan popular, kafe di pejabat keselamatan dan fakulti sains. Tempat studi semasa peperiksaan di APIUM dan perpustakaan Utama UM.
Kenapa penulis berani menulis tentang gerakan mahasiswa?
Guru penulis adalah Ramlah Adam, Ranjit Singh, Khoo Kay Kim dan Abdullah Zakaria Ghazali banyak memberi aspirasi bagi penulis tentang sejarah. Pensyarah Jabatan Sejarah UM sememang berfikiran kritik dan responsif terhadap sesuatu perkara. Khoo Kay Kim antara rakyat Malaysia yang membaca akhbar sejak tahun 1800 an lagi. Begitulah masa penulis bergelumang dengan mikrofilem di perpustakaan Utama UM dan perpustakaan Negara untuk membaca akhbar daripada tahun 1960-1990 bagi mencari maklumat tentang gerakan mahasiswa.
Bidang kajian penulis adalah tentang gerakan mahasiswa. Pertemuan dengan Dr Zulkifli Yusof(wakil mahasiswa 1980an), Zuhdi Marzuki(1990) dan penulis buku mahasiswa menggugat(Muhammad Abu Bakar) menyemarak semangat penulis untuk menulis tentang gerakan mahasiswa. Kebetulan penyelia penulis adalah Dr Redzuan Othman, pakar sejarah Timur Tengah dan gerakan politik Islam. Dr. Redzuan Othman adalah mantan Naib Presiden ABIM dan pimpinan PMIUM proPKPIM-ABIM semasa awal tahun 1980an.[1]
Oleh sebab itu, penulis merasakan penulis layak memberi komentar tentang gerakan mahasiswa dengan sedikit ilmu dan pengalaman kurniaan Allah SWT yang boleh dikongsi oleh penggerak gerakan mahasiswa yang boleh dijadikan iktibar untuk generasi mahasiswa baru.
Penulis penyebar fitnah?
Lucu betul tanggapan penuduh itu. Penulis tidak menyalahkan mereka. Tuduhan sebegini adalah terlalu subjektif. Penulis menulis tanpa ada kepentingan. Tiada upah pun. Penulis tidak kira sama ada GMI atau mahasiswa pro HEP, penulis kritik juga.
Penulis dengan sikap terbuka boleh mengubah tulisan yang tersalah tulis. Penulis menulis berdasarkan tanggapan penulis terhadap sesuatu perkara. Tanggapan ini adalah pandangan peribadi. Jika bersalahan, penulis boleh ubah. Jangan tuduh penulis penyebar fitnah tanpa kalian memberi hujah atau fakta yang sebenar. Tak perlu kita berjumpa di akhirat dalam masalah sekecil ini. Email saja kepada tokawang_sufi@yahoo.com jika rasa nak berbincang atau tidak berpuas hati.[2] Jika betul tersalah fakta, penulis dengan rendah diri memohon kemaafan.
Penulis suka melabel?
Sebenarnya, sejauh mungkin penulis cuba mengelak menggunakan nama seseorang kecuali dalam keadaan terpaksa. Penulis tidak akan melabel kecuali dengan kadar sesuai dengan kejijikan atau kesalahannya. Jika label tertampal pada kalian, sungguh malang nasib kalian. Email pada saya, insyaAllah saya ubah.
Ke mana arah mamat.com selepas ini: dunia mahasiswa selamanya?
Masih di mahasiswamenggugat.blogspot.com, penulis dalam proses menyediakan arkib maklumat tentang gerakan mahasiswa untuk anda. Proses penghujung arkib ini semakin dekat. Penulis mengharapkan arkib ini menjadi wahana pencarian kepada penggemar sejarah gerakan mahasiswa dan pimpinan GMI.
mahasiswamenggugat.blogspot.com untuk siapa?
Kalian terutamanya pengkaji sejarah gerakan mahasiswa dan pimpinan GM. Blog ini adalah wakaf ilmu yang boleh disebarkan. Cuma janganlah mengaku kalian yang tulis.Tulis sumber mana anda dapat maklumat. Itu saja permintaan saya.
Kesimpulan
Diharap pembaca jelas dan faham. Kenali diri penulis yang tidak aktif ini. Pesan Prof Dr. Redzuan Othman ‘jika kamu melakukan kebaikan, jangan harap orang membalasnya, jika tidak kamu akan kecewa’. Saya tidak harap apa-apa pembalasan pun kecuali daripada Allah SWT.
mamat.com
19/3/08
Sandakan, Malaysia Timur.
[1] Sekali dengan Annual Bakri Haron(s/u politik TG Nik Aziz Nik Mat) dan Yazid Othman Presiden Wartawan Melayu yang disebut bakal calon UMNO di Parlimen Pasir Puteh dalam pilihanraya 2008 tetapi tidak dicalonkan.
[2] Terima Kasih saudara Tuan Kamarul yang menghantar respon. Sikap keterbukaan saudara amat saya hargai. Nanti, kalau ada masa kita berdiskusi lebih lanjut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...
No comments:
Post a Comment