Saturday, June 26, 2021

Amanat Haji Hadi Lagi

 Nama Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan berada sebaris dengan nama Tok Janggut, Dato Bahaman, Ibnu Tamiyyah, Syed Qutb, Dr Abdullah Azzam dan lain-lain yang menjadi mangsa fitnah, disalah faham dan dikambing hitam sepanjang zaman.

Bukan mereka tiada kesalahan, kelemahan dan kekurangan tetapi cara kita menanggapi mereka penuh keserongan. Setiap orang ada sisi baik dan buruk, janganlah kita pukul rata.
Kelebihan Haji Hadi, beliau masih hidup dan boleh menjawab tentang apa dakwaan ke atas diri beliau.
Perbincangan dalam tentang Amanat Haji Hadi ini boleh dibuat dalam konteks politik yang penuh emosi dan binari atau konteks ilmu yang memerlukan hujah dan rasional.
Sebenarnya, Haji Hadi dah lama jawab tentang amanat ini dan ada buku tentangnya.
Pada ambe, jika Haji Hadi salah, kenapa 'ayah-ayah' kamu dan tokoh yang kamu bangga dan kagumi dalam PAS tidak 'membuang' Haji Hadi bahkan menyokong pandangan Haji Hadi. Pandangan Haji Hadi mewakili generasi itu yang sesuai dengan zaman dan situasi ketika itu. Jangan bicara Amanat Haji Hadi pada zaman ini, lafaznya dah tak sesuai walaupun maksudnya sesuai sampai bila-bila.
Yang kamu nak bangkit 'hantu' pada tahun 2021 (sekarang) dah kenapa. Orang dah tak hairan fatwa lama itu. Ada atau tidak fatwa, perut rakyat lapar juga (fokus ekonomi dan covid).
Ustaz Fadzil Nor, TG Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Azizan, TG Haji Lah Lubok Tapah, TG Salleh Sik buat apa dalam PAS jika membenarkan kemungkaran yang dilakukan oleh Haji Hadi. Maknanya isu ini ditangani dengan ilmu dan politik secara dalaman dalam PAS (sebagaimana isu Tuhan Mencarut/Sombong oleh TGNA).
Isu Amanat Haji Hadi senasib dengan pandangan-pandangan keras Syed Qutb. Lihatlah situasi dan kontek zaman ketika itu. Kenapa Syed Qutb beri dua pilihan sahaja, Islam atau Jahiliah?. Apa yang kerajaan Mesir buat ketika itu?
Kita tidak nafi banyak kes disebabkan oleh fanatik politik, keterujaan terhadap ilmu secara berlebihan, kekaguman tokoh, terlampau bersemangat dan kejahilan ilmu menyebabkan pengikut PAS memilih jalan keras untuk menentang perbezaan ijtihad ulama luar kelompok mereka dan kejahilan pemimpin ketika itu. Siapa sanggup melihat dan mendengar agama dipermain-main dan diperlekeh oleh orang tertentu ketika zaman itu.
Cukuplah bermain politik. Anda memainkan isu yang boleh menimbul reaksi yang membakar dalam kalangan rakyat terutamanya yang bersemangat luar biasa. Jangan salahkan api apabila membakar, salahkan diri kamu yang mula membakar.
Berbeza dalam konteks ilmu perlu diakhiri dengan adab, ukhwah, raikan perbezaan, hormati pandangan dan setuju untuk tidak bersetuju bukannya mengapi-apikan permusuhan.
Isu ini sudah lapuk daripada konteks zaman dan situasi sekarang. UMNO sejak zaman Tun M lagi dah mahu mewujudkan negara Islam (diumum dalam Persidangan Agung GERAKAN lagi). Tanya UMNO hari ini, mereka nak hudud atau tidak?. Hanya DAP dan khadam mereka tak nak hudud.
Justeru, isu ini tidak perlu dibesarkan oleh seorang genius politik. Banyak lagi isu lain. Jangan ikut sangat telunjuk roket ke langit tu.

Hadi dan Vatican City


1. Perkara yang dinyatakan oleh media sosial Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu adalah suatu perkara yang sudah biasa didengar atau dibaca oleh kebanyakan orang. Itu kefahaman kebanyakan orang.
2. Kenyataan di media sosial dibalas oleh orang ramai yang prihatin dan musuh peribadi haji Hadi yang mengatakan maklumat itu salah. Ini modal politik. Ini peluang memperkudakan ruang wacana ilmu.
3.Secara umumnya, kenyataan haji Hadi itu tidak salah. Pokok asal kenyataan ialah sambutan perayaan kemenangan ke atas Melaka. Tentang sejarah Vatican City, kita boleh google untuk mendapat maklumat. Tanpa nama Vatican sekalipun, institusi pope telah lama wujud. Pandangan haji Hadi itu hanyalah satu kefahaman lama yang dibina atas pengetahuan lama yang tidak dikemas kini dan tidak seiring dengan lambakan maklumat dan pengetahuan baru.
4.Sebaik baik tulisan dan ucapan ialah dengan membiasakan kefahaman baru berdasarkan pengetahuan, hujah, maklumat dan fakta yang baru, tepat dan terkini.
5. Perkembangan ilmu melalui pengkajian, penyelidikan, kuliah ilmu dan pembacaan memberikan kita pengetahuan dan maklumat baru dan lebih tepat. Maka, kita perlu membuat pembetulan, penambah baikkan dan membaiki kefahaman kita dengan pengetahuan dan maklumat baru nan tepat. Maklumat baru dan tepat ( bagi perkara agama kena Sahih) itu penting.
6. Penggunaan pengetahuan baru, maklumat baru dan istilah-konsep baru dan tepat membuat kefahaman baru yang kita miliki selari dengan perkembangan ilmu masa kini.
7. Buat apa marah orang tua. Nak betulkan orang tua, tulislah dengan beradab. Kita yang muda muda ini MESTI banyak membaca dan dengar kuliah ilmu agar pengetahuan kita sentiasa segar, tajdid dan berkembang selari dengan perkembangan ilmu masa kini.

Antara Individu dan Organisasi


Seseorang individu
hebat
bukan kerana usaha dan kekuatan seorang diri. Ia hasil kekuatan, prestasi, pengaruh dan keberkatan usaha berjemaah dalam sesebuah organisasi/jemaah.
Organisasi
hebat
bukan kerana seorang individu. Kehebatan organisasi/jemaah datang daripada usaha kolektif ramai orang, muafakat-syura dan budaya kepengikutan yang baik.
Kehebatan Rasulullah SAW turut dibantu oleh para sahabat baginda yang
hebat
. Lihat pula siapa pengikut Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
Dalam konteks gerakan Islam, lihat siapa pengikut Hassan Al Banna dalam IM. Di Malaysia, kita lihat siapa pengikut DS Anwar Ibrahim dalam ABIM ataú siapa pengikut Ustaz Fadzil Nor dalam PAS?.
Kemudian kita lihat pula situasi dan siapa pengikut Saidina Uthman dan Saidina Ali. Apa situasi dan siapa pengikut TGHH.
Lazimnya, yang menjadi tradisi manusia, setiap organisasi-kumpulan-zaman diangkatkan nama pemimpin yang mengetuai organisasi, kumpulan, masyarakat, kerajaan dan zaman itu. Nama tokoh menjadi simbolik kehebatan organisasi.
Suka atau tidak, kita kena terima tradisi ini walaupun nama kita tak disebut dalam sejarah, mesyuarat dan majlis tertentu serta tidak menjadi bualan orang ramai.
*Permainan Bola Sepak boleh dijadikan contoh dalam persoalan ini

Wednesday, June 16, 2021

Ancaman Terhadap Politik Melayu-Islam


Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias

 

Berbicara tentang ancaman terhadap politik Melayu-Islam agak sukar kerana ia berada pada garis hanya sebagai permainan politik oleh politikus yang rakus kuasa dan jawatan atau sememangnya berada pada garis perjuangan umat. Ahli politik seringkali memanipulasi ancaman terhadap politik Melayu-Islam demi kelangsungan dan keuntungan agenda politik peribadi mereka. Slogan ‘demi rakyat, agama, bangsa dan tanah air’, ‘keadilan, persamaan, kebenaran’ dan lain-lain seringkali diperalatkan oleh ahli politik bagi menarik sokongan rakyat kepada diri mereka. Hanya Allah sahaja yang tahu tahap keikhlasan mereka dalam tindakan politik mereka.

 

Awalnya ancaman terhadap politik Melayu bersifat dalaman iaitu disebabkan ketiadaan pemimpin yang berkualiti dalam kalangan kerabat diraja dan elit Melayu. Kelompok elit Melayu mula bersekutu dengan taikun dan kongsi-kongsi gelap Cina. Kedatangan penjajah, elit Melayu mula lemah terpaksa mengikut telunjuk penjajah. Kemudiannya muncul birokrat asuhan penjajah yang mengancam status quo elitis Melayu dalam pentadbiran kerajaan.

 

Selepas kemerdekaan, Parti UMNO memegang kuasa. Parti ini dipenjara oleh konsep majoriti tunduk kepada minoriti. Mereka tidak mampu menghapuskan sekolah vernakular menyebabkan semangat perkauman di Malaysia dipergunakan untuk tujuan politik. Parti UMNO mula dirosakkan oleh politik wang dan budaya komisen sejak tahun 1980an.

 

Pada tahun 2018, UMNO tumbang kerana kelemahan pemimpin dan persepsi rakyat terhadap kleptokrasi para pemimpin UMNO-BN. PH telah dipilih oleh rakyat untuk memerintah. Selama 22 bulan PH memerintah dalam keadaan yang ‘ekstrem’ dan gopoh gapah dilihat mengancam teras politik Malaysia[1]. Pemimpin Melayu dalam PH dikepung oleh kelompok SEPILIS, Evangelis dan kelompok pelampau perkauman[2].

 

Memenuhi Cita Sempurna dan Menolak Cita Bencana

 

Penulis mengenali istilah cita sempurna dan cita bencana daripada tulisan Dr Syed Hussein Alatas, seorang sosiologi Melayu yang terkenal dan lagenda. Pada pandangan Syed Hussein, cita sempurna adalah satu pandangan hidup menyeluruh bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna. Cita sempurna akan menggerakkan usaha hebat untuk menjayakannnya.

 

Menurut Syed Hussein landasan nilai dan gerakan emosi yang dikatakan universal dan tidak relatif walaupun manifestasi dalam budaya dan masyarakat adalah relatif pada waktu dan tempat. Maksudnya budaya tempatan berbeza tetapi intisari cita sempurna itu tetap sama secara  universal. Keuniversalan ini menunjuk bahawa ia adalah suatu fitrah kemanusiaan yang ada dalam diri manusia tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan negara.

 

Pada pandangan penulis pula, fitrah kemanusiaan perlu berhidayah mengikut kehendak al Quran dan as Sunnah. Al Quran dan As Sunnah menjadi sumber rujukan tertinggi yang membentuk pandangan hidup dan mengupayakan sinergi cita sempurna pada diri seseorang individu (baca: untuk menjadi Orang Baik). Maka, hasilnya ialah al insan al-kulliyy atau manusia sempurna iaitu manusia yang bertaqwa dan berakhlak. Daripada manusia bertaqwa dan berakhlak ini, wujudlah keluarga sakinah, masyarakat madani dan daulah Islam. Prof Dr Muhammad Naquib al Attas menyatakan ‘Orang Baik’ sebagai orang yang beradab insan adabi iaitu ‘orang yang insaf sepenuhnya tanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak; yang memahami dan menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan’

 

Cita bencana menurut Syed Hussein Alatas pula ialah jenayah, amalan perseorangan (seperti salah guna dadah dan berjudi) dan berkaitan nilai institusi dan kepercayaan masyarakat. Cita bencana inilah yang merosakkan umat manusia.

 

Faktor Ancaman Terhadap Politik Melayu-Islam

 

a.     Ketiadaan Pemimpin Bertaqwa dan Berakhlak

Masalah terbesar umat Melayu-Islam pada hari ini ialah masalah kepimpinan. Umat Melayu-Islam pada hari ini tidak memiliki pemimpin yang bertaqwa dan berakhlak. Syed Muhammad Naquib al Attas menyifatkan ia sebagai kehilangan adab. Ia berpunca daripada

1.     Kekeliruan dan kesalahan dalam ilmu yang menyebabkan keadaan:

2.     Kehilangan adab di kalangan umat. Keadaan yang timbul dari (1) dan (2) adalah:

3.     Kemunculan pemimpin pemimpin yang tidak layak untuk kepimpinan yang sah bagi umat Islam, yang tidak memiliki taraf moral, intelektual dan spiritual yang tinggi yang disyaratkan untuk kepimpinan Islam, yang  melestarikan keadaan pada (1) di atas dan menjamin penguasaan urusan umat yang berkelanjutan oleh pemimpin-pemimpin seperti mereka yang menguasai semua bidang.

 

Ilmu yang dipelajari dan diyakini tidak mampu melahirkan manusia bertaqwa dan berakhlak. Mereka tidak memikir persoalan syurga atau neraka, pahala atau dosa dan pembalasan alam kubur atau hari akhirat. Akibatnya berlakunya kekeliruan kefahaman dan kekacauan jiwa sehingga melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

 

Contoh tauladan dalam kepimpinan ialah kepimpinan Rasulullah SAW dan khalifah al Rasyidin. Kualiti kepimpinan boleh dirujuk kepada gaya kepimpinan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al Khatab. Zaman Saidina Usman Bin Affan dan Saidina Ali Bin Abi Talib boleh dijadikan ibrah dalam menangani konflik dalaman umat Islam.

 

b.     Kuasa Wang

Kuasa Wang memusnahkan adab dan akhlak pemimpin dan umat Islam. Kuasa wang ini melahirkan Rasuah-Korupsi, penyalah-gunaan kuasa, manipulasi kuasa, kronisme, kleptokrasi dan nepotisme. Rasuah merupakan bala adibesar bagi umat Melayu-Islam.

 

Dalam politik terdapat istilah politik wang. Politik wang menyebabkan rakyat dan ahli parti memilih pemimpin yang kaya bagi membolehkan mereka mendapat habuan. Pemimpin pula menabur duit bagi memancing undi.

 

Budaya komisen dan broker banyak merosak pemimpin dan institusi Melayu. Institusi Beraja umpamanya perlu dielakkan daripada menyertai sektor perniagaan. Ia dijadikan benteng oleh para taikun untuk mengaut keuntungan.

 

Kuasa Wang menyebabkan kelompok Melayu bekerjasama dengan bukan Melayu demi keuntungan bersama. Kerjasama antara kumpulang samseng Melayu dengan kongsi gelap Cina umpamanya adalah satu pengkhianatan terhadap perjuangan Melayu-Islam.

 

c.      Nilai Institusi dan Kepercayaan

Institusi Beraja, para birokrat, parti politik dan institusi penguatkuasaan membuka ruang dan peluang kepada penyalah-gunaan kuasa, penyelewengan, rasuah dan kezaliman ke atas umat Melayu-Islam. Mereka mengutamakan kroni, salah guna kuasa untuk keuntungan diri sendiri dan rasuah. Za’ba meletakkan segala kemunduran dan kekurangan orang Melayu disebabkan kebodohan dan kesombomgan golongan raja dan pembesar Melayu itu sendiri. Jelas, di Malaysia perubahan mesti bermula dengan diri Raja-Raja Melayu dan politikus Melayu yang mentadbir urus kerajaan.

 

Pendeta Za’ba menyatakan kelemahan orang Melayu[3] ialah (1) kemiskinan, (2) keadaan puas  hati, (3) kesederhanaannya, (4) tidak percaya pada kebolehan sendiri, (5) lemah cita-cita, (6) kurang berhemah, (7) terlalu bergantung harap kepada orang lain dan (8) meninggalkan sikap meminta-minta dan mengharapkan bantuan.

 

Orang Melayu mesti mengubah perangai diri mereka sendiri bagi menggelakkan mereka ditindas di tanah air sendiri. Orang Melayu tidak oleh mengharapkan orang lain termasuk Raja-raja Melayu, politikus Melayu dan birokrat Melayu.

 

d.     Kelompok SEPILIS, kelompok Ekstrem Kaum dan Evangelis Kristian

Ketiga-tiga kelompok ini mempunyai agenda sendiri yang bertentangan dengan perlembagaan negara dan tidak menjaga sensitiviti masyarakat tempatan yang majoriti Melayu-Islam.

 

Kelompok ini mahu menerapkan nilai sekular, pluralisme dan liberalisme ke dalam urus tadbir dan sistem negara. Kelompok ini akan menggugat teras politik Malaysia dengan membuat pelbagai acahan-acahan politik sebagai umpan kepada rakyat. Jika rakyat membiarkan acahan mereka berjaya dalam dasar dan polisi negara, jarum halus akan memasuki ke dalam pemikiran dan jiwa anak bangsa sehingga mengancam kestabilan politik negara.

 

Ada kalangan mereka bercita-cita jauh mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Kristian. Keterlampauan yang tidak bertebing.

 

e.     Campurtangan Pelobi Politik dan Orang Asing

Dibelakang parti-parti politik dan NGO ada para taikun dan badan luar negara yang menjadi penyumbang dana mereka. Suka atau tidak, pendirian para pelobi diikuti bagi mengenang budi dan memenuhi janji-janji politik.

 

Ada kalangan NGO dan parti politik mendapat dana dan bantuan daripada pihak asing atas nama demokrasi dan hak asasi manusia. NGO dan parti ini sudah tentu berhutang budi kepada pihak pendana, melaksanakan agenda pendana dan merekrut kader kader berdasarkan gagasan pemikiran yang direstui oleh pendana.

 

NGO-NGO hak asasi manusia inilah yang membuat laporan sehingga status Malaysia dikenali sebagai negara pengamal rasis.

 

 

    d. Kaum Majoriti Berfikir Seperti Kaum Minoriti

 

Di Malaysia, kaum majoriti berfikir seperti kaum minoriti. Kaum majoriti kena akur  kehendak kaum minoriti. UMNO dan PAS tunduk kepada MCA atau MIC. PKR dan Amanah tunduk kepada DAP. Toleransi berlebihan menyebabkan mereka gagal mempertahankan kehendak kaum majoriti. Kaum politikus kita dikotak-kotak  secara mutlak melalui perpecahan mengikut politik kepartian menyebabkan mereka tidak bersatu dalam membuat keputusan yang memerlukan kebersamaan demi kelangsungan nasib umat Melayu-Islam-Bumiputera.

 

Orang Cina pula tanpa mengira parti atau NGO akan memperjuangkan dan mempertahankan isu-isu berkaitan dengan kaum mereka. Isu pendidikan dan kebudayaan, isu media dan isu NGO akan terus dipertahankan oleh MCA dan DAP.

 

Ini kebodohan Orang Melayu berpolitik.

 

Bentuk Ancaman Terhadap Politik Melayu Islam

 

a.     Siapa Yang Menguasai Kerajaan?

Kalau kita berbicara tentang ancaman terhadap politik Melayu-Islam, kita perlu tahu siapa kingmakers yang menguasai kerajaan. Pernah satu ketika, Lim Guan Eng menyatakan daripada 222 anggota parlimen, seramai 140 daripadanya muslim dan hanya 82 orang bukan muslim. Ya, kita tak menafikan kebenaran jumlah itu. Apa yang kita mahu beritahu jumlah anggota parlimen yang menyokong PM dalam membentuk kerajaan.[4]

 

Kebimbangan yang berlaku ialah apabila anggota parlimen Melayu-Islam-Bumiputera berpecah dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan dan kelangsungan politik Melayu-Islam-Bumiputera.

 

Kita mengambil contoh dalam pengundian Belanjawan 2021 yang disediakan oleh Dr Kamarul zaman Yusof, komposisi keagamaan ahli parlimen yang menyokong bajet 2021: 91 ahli parlimen islam (82.0%) berbanding 20 bukan islam (18.0%) manakala komposisi keagamaan ahli parlimen yang menentang bajet 2021: 46 ahli parlimen islam (42.6%) berbanding 62 bukan islam (57.4%). Dalam isu sepenting RUU355 dan ICERD, bagaimana ahli parlimen  muslim mahu membuat keputusan?. Mahu mengikut kehendak parti atau demi kelangsungan umat?

 

Demokrasi perlu digunakan dengan bijak agar tidak melemahkan perpaduan umat. Keputusan yang melibatkan kepentingan orang Melayu-Islam-Bumiputera mesti diutamakan melangkaui kepentingan politik kepartian. Politikus Melayu-Islam-Bumiputera mesti jelas perkara ini. Jangan utamakan kepentingan perut sendiri.

 

b.     Kefahaman Sejarah Alam Melayu dan Malaysian Malaysia

Rumusan ucapan Lee Kuan Yew di Parlimen Malaysia pada bulan Mei 1965. “ Tiada satu daripada kaum besar di Malaysia yang boleh mendakwa sebagai lebih bersifat penduduk asal daripada yang lain. Menurut LKY, kesemua nenek moyang mereka datang ke Malaysia tidak lebih daripada 1000 tahun dahulu. Orang Melayu berhijrah ke Malaysia dalam jumlah yang agak ramai hanya kira-kira 700 tahun dahulu. Daripada jumlah 39% orang Melayu ketika itu, kira-kira satu pertiga boleh dikatakan pendatang baru. Syed Jaafar Albar SUA UMNO berhijrah ke Malaysia daripada Indonesia sebelum Perang Dunia Kedua ketika berusia lebih 30 tahun.”

 

“Silap dan tidak logik untuk satu-satu kaum tertentu memikirkan bahawa mereka lebih layak digelar sebagai Malaysian sedangkan orang lain hanyalah boleh menjadi Orang Malaysia atas ihsan mereka. Dengan kata lain, LKY menolak Orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini dan tidak berhak diberi kedudukan istimewa sebagai warganegara.”

 

Malaysian Malaysia’ merupakan satu konsep multi-racial Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP, kelompok SEPILIS dan kelompok ekstrem kaum boleh mewujudkan ketegangan hubungan kaum dan mencabar dominasi Melayu-Islam-Bumiputera. Ia bukanlah satu konsep yang sesuai bagi sebuah negara majmuk yang majoritinya rakyatnya adalah orang Melayu-Islam-Bumiputera. Kelompok anak muda Melayu urban dan berpendidikan mudah teruja dengan konsep multi-racial Malaysia secara idealisme dan khayalan politik tetapi pada hakikat amalan sehari-harian, ia hanyalah idea yang palsu dan fatamorgana sahaja. Konsep multi-racial ini  hanya sekitar sahabat politik, sahabat satu institusi (sekolah atau NGO) dan perniagaan tetapi dalam masyarakat terbanyak tetap dipenuhi dengan amarah dan dendam berintikan semangat perkauman.

 

Fahami sejarah, barulah kita menemui hujung pangkal dimana suatu perkara bermula.

 

c.      Memperalatkan sentimen wilayah, kaum dan agama

Kebangkitan gerakan anti nasional yang dipenuhi sentimen wilayah secara liar. Gerakan ini mendapat sokongan dan dana daripada luar. Mereka mahu Sarawak dan Sabah merdeka daripada Malaysia.

 

Perjuangan mereka kelihatan benar dan betul kerana apa yang dikatakan mereka kelihatan betul. Adakah keluar daripada Malaysia akan menyelesaikan masalah? Atau akan menimbul masalah yang lebih parah?

 

Pertama, pelajari dan faham sejarah. Kedua, lihat contoh negara lain. Ketiga, muhasabah diri, lihat  kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang kita ada.

 

Gerakan anti nasional bersifat sentimen wilayah ini berselindung disebalik agenda puak-puak tertentu. Mereka bukannya mengambil berat tentang rakyat tetapi mempunyai agenda tertentu.

 

Kelompok ekstrem Cina seringkali memperjuangkan isu pendidikan Cina dengan mengatakan pihak kerajaan majoriti Melayu menganak-tirikan mereka. Melayu rasis. Pada masa yang sama, Melayu yang rasis inilah yang membenarkan kewujudan sekolah vernakular. Kalau betul-betul mahu penyatuan nasional, hapuskan sekolah vernakular.

 

Kelompok esktrem India pula bermain isu keagamaan terutamanya tapak kuil haram. Fahami dan akurlah pada undang-undang. Isu kuil bukanlah berkaitan isu agama tetapi isu undang-undang tanah dan PBT.

 

Disamping itu kita tidak nafi ada kelompok ekstrem Melayu yang kurang sabar dan tenggelam dalam semangat coca-cola dalam memperjuangkan isu ketuanan Melayu yang sempit dengan cara kurang berhikmah. Fahami Perlembagaan Malaysia dan sabar, insya Allah selamat.

 

d.     Penerapan Nilai Sekular, Plural, Liberal dan Nilai Hak Asasi Manusia versi Barat

Dalam visi dan misi DAP termaktub,Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia’.

 

Deklarasi Setapak 1967 menyatakan, ‘memperkukuh pandangan DAP bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip ini lah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang’.

 

Kefahaman SEPILIS yang berada dalam pelbagai organisasi termasuk DAP bahawa Malaysia sebuah negara sekular. DAP jelas mahu mengesahkan dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka sekular sedangkan Raja-Raja Melayu sebagai Pemerintah Kerajaan adalah Melayu dan Islam. Orang politik mentadbir negara bagi pihak Raja-Raja Melayu.

 

 

Kesimpulan

Akhirnya demokrasi sendiri menjadi ancaman terhadap ancaman politik sesebuah negara. Demokrasi adalah ubat pahit yang boleh menjadi penawar atau racun bagi sesebuah negara. Berapa banyak negara yang aman dan stabil di bawah kepimpinan diktator akhirnya huru-hara dan kacau bilau apabila melaksanakan demokrasi.

 

 

Di Malaysia, demokrasi diselamatkan oleh institusi Raja Berpelembagaan, institusi ketenteraan yang taat kepada Yang Dipertuan Agung dan sifat muhibbah orang Melayu. Orang Melayu cukup toleran, muhibbah dan baik jika dibanding dengan kaum majoriti di negara-negara lain. Kewujudan sekolah vernakular antara buktinya.

 

Rakyat mesti mencari dan memilih pemimpin berkualiti yang didahului dengan sifat taqwa dan berakhlak.

 

Bagi meneruskan kestabilan politik Malaysia, teras politik Malaysia tidak boleh diceroboh dan diganggu-gugat. Kita tidak menolak sepenuhnya konsep multi-racial tetapi ia tidak sesuai pada waktu ini.

 

Kita telah melepaskan dua peluang untuk melakukan reformasi terhadap sistem iaitu awal kemerdekaan dan selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kita tak mengambil peluang sebaiknya. Kini, kita mesti melakukan perubahan setakat apa yang mampu dalam lingkungan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Negara dan  mengambil kira keharmonian masyarakat majmuk.



[1] Teras Politik Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga perkara iaitu

1.       Merujuk kepada sejarah, budaya, adat dan tradisi masyarakat Melayu-Islam-Bumiputera, Pemerintahan Beraja dan Perlembagaan Negara.

2.       Politik didominasi oleh masyarakat asal dan majoriti di wilayah ini iaitu Melayu-Islam-Bumiputera.

3.       Mengutamakan kesejahteraan, kemakmuran dan kebajikan rakyat semua bangsa dan negara.

 

[2] Contohnya, Laungan ‘ketuanan Melayu sudah mati’ dan meraikan kelompok LGBT secara berlebihan membangkitkan ketidakselesaan orang Melayu.

[3] Syed Hussein Alatas mengatakan kelemahan Melayu adalah kurang mampu bersaing dalam pasaran kapitalis jika tidak diberikan bantuan daripada kerajaan. Bantuan tersebut sebagai modal untuk menggerakkan ekonomi Melayu. Bagi penulis, Orang Melayu tidak mampu bersaing dalam ekonomi kapitalis kerana ada persoalan dosa-pahala dan syurga-neraka. Ekonomi Kapitalis menghalalkan riba.

[4] Kini (2020), PH mempunyai 92 MP iaitu 59 MP bukan-Islam dan 33 MP Islam.

Satu Fikrah, Pelbagai Jemaah.

 Ada yang berpendapat ‘IM itu pada fikrahnya bukannya pada organisasinya’. Ada berpendapat fikrah dan manhaj amal perlu bersekali. Itu lebih tulen. Kita lihat petikan tulisan Ustaz Abdullah Zaik, mantan Presiden ISMA yang ada pengalaman dalam konflik dalaman ‘IM Malaysia’.

 

Ustaz Abdullah Zaid menulis “Setiap orang boleh menilai fikrah dan manhaj amal organisasi tersebut melalui undang-undang tubuhnya. Sesiapa yang meyakini manhaj tersebut sebagai manhaj yang hampir dengan sunnah rasul s.a.w dan memilih menyertai organisasi tersebut sayugia menghormati peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam organisasi tersebut yang telah ditetapkan oleh pengasasnya”

 

Ustaz Abdullah Zaik menulis, “Namun sekiranya berlaku penggabungan antara dua organisasi; perkara utama dalam proses penyatuan saf adalah penyatuan fikrah dan manhaj berfikir dalam melaksanakan perlembagaan organisasi. Penyatuan fikrah memerlukan satu usaha yang amat berat sebab semua manhaj berfikir sebelum ini perlu dibincangkan satu-persatu sehingga wujud kesepakatan dalam perkara-perkara asas dan utama.

Kecualilah satu pihak bersetuju untuk meleburkan fikrahnya, manhaj dan budaya amal sebelum ini dan menyerap secara total ke dalam organisasi barunya dan mencairkan segala idealisma yang dimilikinya sebelum ini.

Namun secara tabie setiap orang akan membawa bersamanya nostalgia organisasi asalnya, fikrahnya dalam memahami sesuatu isu dan keutamaan langkah kerja, malah disiplin dan budaya kerja mereka. Perbezaan ini tetap menghasilkan perasaan ketidakserasian untuk beramal, hilang perasaan manis yang pernah dirasainya sebelum ini.

Jika sampai satu ketika penyatuan fikrah, manhaj berfikir dalam menentukan keutamaan, budaya kerja dan perasaan tidak berjaya disatukan dan masing-masing merasa tidak serasi dengan pihak satu lagi. Atau satu pihak tidak sanggup idea yang diyakininya dan didokong oleh mereka sebelum ini lambat laun ditelan dan cair kepihak satu lagi.

Atau mereka merasakan penggabungan ini lambat laun menuju kegagalan maka mereka patut memilih untuk menamatkan penggabungan ini secara baik bukan dengan memburuk-burukkan mana-mana pihak sebab asalnya mereka adalah dua organisasi yang bergabung. Apabila penggabungan tidak dapat diteruskan dan membawa kepada kegagalan disebabkan perkara yang tidak boleh dielakkan ia hendaklah ditamatkan secara berakhlak.

Sikap memburuk-burukkan seorang individu mungkin ada logiknya jika individu itu ternyata takbur dan gagal akur dengan keputusan mahkamah yang dijatuhkan ke atasnya setelah terbukti wujud dalil bukti kesalahannya dan dia gagal dalam membela dirinya.

Tetapi memburuk-burukkan satu kumpulan manusia, satu organisasi atau satu tanzim yang dahulunya dijemput untuk bergabung secara musyawarah adalah tidak masuk akal sama sekali.

Malah syarak juga menegaskan bahawa sekumpulan orang yang beriman tidak mungkin berpakat di atas perkara kesesatan.

Kecualilah semasa penggabungan itu semua organisasi yang mereka asaskan sebelumnya dibubarkan dan mereka benar-benar mencipta tanzim baru dan bergabung semua sekali, berinteraksi dan bertukar-tukar fikrah dan manhaj tarbiyyah bersama-sama dan melupakan segala perbezaan lama; ketika itu jika ada pihak cuba menghidupkan tanzim lama beliau perlulah disekat dan dimahkamahkan.

Sebaliknya jika penggabungan hanya dilakukan terhadap beberapa orang tertentu sebaliknya majoriti ahli tanzimnya yang dianggotainya tidak tahu dan tanzim tidak dibubarkan, malah dibiarkan bergerak mengikut manhaj amal terdahulu bukan manhaj amal baru yang disepakati maka ia bukan penggabungan yang sebenarnya dan kegagalannya tidak patut dipertanggungjawabkan kepada sebelah pihak sahaja, diburuk-burukkan dan dipersalahkan.

Apatah lagi jika kesalahan itu dicipta, direka, dipaksakan atau disengajakan oleh konspirator dan diada-adakan tanpa bukti yang meyakinkan lalu hukuman dijatuhkan tanpa memberi hak langsung untuk membela diri di mahkamah yang adil.

Sebaliknya jika hati mereka sama-sama ikhlas, saling menghormati tetapi fikrah mereka berbeza maka mereka perlu memilih jalan masing-masing dengan baik dan meraikan adab perselisihan dengan baik, sehingga fikrah mereka dapat disatukan semula setelah melalui pengalaman, bertambah ilmu dan proses-proses perbincangan.

Bagi saya sikap ini lebih manis, lebih adil dan ‘gentlemen’ dan membuka ruang penyatuan di masa-masa hadapan. Mungkin generasi berikutnya boleh bersatu dan mereka akan merasa bangga dengan sejarah kematangan harakah yang mereka lalui daripada warisan yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Kalau tidak sejarah hitam itu tetap akan terukir dalam lipatan sejarah.

Seseorang mungkin boleh menipu seorang pada satu-satu masa tetapi mereka tidak mungkin menipu semua orang di setiap masa.”

Monday, June 07, 2021

NASIB

Anda mahu menjadi insan yang berjaya atau kaya?

Kaya dan berjaya mempunyai definisi yang berbeza bergantung kepada diri masing-masing.

Kita menyelongkar apa elemen yang ada pada seseorang yang berjaya:

1. Ilmu 

- ilmu banyak menyedarkan dan memberi pencerahan kepada seseorang.

2. Bakat

3. Minat

4. Usaha

5. Ruang dan peluang

6. Modal

7. Jaringan, kekenalan dan jenama

8. Disiplin

- Dalam pengurusan kewangan dan masa

9. Situasi/keadaan 

10. Nasib

- takdir. Orang Melayu kata rezeki. Ada tuah.


Apapun segalanya bergantung kepada NASIB.


II

Dulu, kami pernah tinggal di Kondo Rakyat Pantai Dalam. Ramai penduduk disitu bekerja 2-3 pekerjaan. Contoh, gerai makanan dan teksi. Mereka kuat bekerja. Tetapi tidak kaya-kaya.


Bill Gates  pakej dengan ilmu, bakat, minat dan usaha. Kenapa dia berjaya? Modal, ruang dan peluang dan nasib.


Tun Mahathir, kenapa boleh berjaya? Beliau ada semua ciri di atas.


Ada orang bijak tetapi tidak berjaya kerana nasib dia tidak baik. Dia tidak kenal sesiapa. Tanpa kenal, dia tak ada kabel. Maka, tidak gagal mendapat jawatan dipohon walaupun dia layak.




PAS Pasca Hadi Awang?

 Dulu orang risau, apa yang akan berlaku jika PAS tanpa Tan Sri Mohd Asri. Akhirnya, kerisauan itu terungkai apabila PAS berada dalam kegemilangan politik semasa era Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat- TG Dato Mohd Fadzil Nor – TG DS Abdul Hadi Awang. Kini, keadaan TGHH tidak sihat. Muncul persoalan, apa yang akan berlaku kepada PAS tanpa TGHH.

 

TGHH merupakan pemimpin terakhir generasi yang dihormati atas taqwa, ilmu, amal, jasa dan kekuatan jaringan antarabangsa. TGHH antara beberapa orang lama yang ditarbiah oleh Ikhwanul al Muslimin yang masih hidup. Dulu ada khabar angin, TGHH anggota Ikhwan sejak tahun 1969. Bahkan ada berita tak sahih menyatakan TGHH adalah SUA Ikhwanul Muslimin Antarabangsa.

 

Kepimpinan adalah persoalan kewibawaan, pengaruh, taat setia dan peluang-ruang. Lazimnya, PAS mempunyai tradisi syura dan wala’ yang tersendiri. Budaya Kepengikutan dalam PAS luar biasa. Peralihan kuasa biasanya berakhir dalam suasana harmoni.

 

Barisan depan PAS dilihat tidak memiliki sepakej TGHH-TGNA-TGFN. Bakal penganti paling kanan bagi jawatan Presiden PAS ialah DS Tuan Ibrahim Tuan Man tidak sama dengan generasi yang dihormati tetapi beliau boleh membawa PAS ke arah landasan baru yang lebih moderat. TITM tidak terpalit dengan bagasi takfiri dan seorang ulama menggunakan pendekatan ‘lembut’, moderat  dan lebih nusantara.

 

Kelemahan TITM mungkin boleh dilihat dari segi ‘kedalaman’ ilmu secara individu berbanding TGHH-TGFN, tidak berapi-api dalam pidato, kurang penulisan dan kurang jaringan antarabangsa. Punbegitu perkara ini boleh diatasi oleh usaha kolektif Majlis Syura Ulamak PAS dan JK PAS Pusat.

 

Cabaran PAS tanpa TGHH, budaya tarbiah dan wala’ cuba dimamah oleh budaya material dan kedudukan. Politik mengatasi tarbiah. Muncul kartel-kem politik yang berdasarkan tokoh dan aliran pemikiran tertentu.

 

Penulis menjangkakan kebangkitan satu puak baru yang selama ini terpinggir ekoran TGHH lebih senang dengan kelompok utama yang mengelilingi TGHH. Penulis menjangka jawatan utama Timbalan Presiden PAS menjadi medan utama perebutan kelompok pinggiran dengan kelompok mengeliling TGHH. Begitu juga jawatan naib presiden dan AJK PAS Pusat. Calon-calon yang menarik bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden ialah Dato Seri Ahmad Samsuri, Dato Ustaz Idris Ahmad dan Ustaz Dato Nik Mohd Amar serta seorang calon tambahan Ustaz Zaharuddin Muhammad. Secara peribadi, penulis lebih menyukai kedudukan Timbalan Presiden PAS dipegang oleh seorang teknorat dan tidak memegang jawatan pentadbiran dalam kerajaan. Cukuplah beliau seorang senator sahaja. Jika nama-nama di atas dicalonkan, penulis lebih cenderung kepada DS Dr Ahmad Samsuri untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS yang baru.

 

Akhir-akhir ini, kita sukar mencari pemimpin yang betul-betul berakhlak dan berdisiplin. Langgar disiplin dan tunjuk kekayaan-kenikmatan hidup ketika rakyat susah adalah perkara yang tidak wajar walaupun tidak berniat sedemikian. Anda figura tontonan masyarakat, bukan perlu beri nasihat sahaja tetapi mesti tunjuk tauladan yang baik kepada orang ramai. Satu lagi cara memberi tazkirah dan menulis. Beri kefahaman agama itu bagus, tetapi pendekatan agamawan memahamkan orang ramai tidak kena pada tempatnya. Cara menyampaikan itu kena betul.  Akhirnya agama terpalit buruk dan hodoh ekoran kesilapan agamawan. Apatah lagi agamawa tersebut merangkap pemimpin.

Wednesday, June 02, 2021

Idea Kebangsaan Melayu

 Dr Burhanuddin al Helmy membawa idea kebangsaan melayu. "tiap-tiap seorang dan pada apa puak atau bangsa pun yang telah

putus atau memutuskan pertalian dan perhubungannya dengan
kebangsaan asalnya, lalu menumpahkan taat setia dan memenuhi syarat dan kehendak kebangsaan Melayu maka seseorang itu Jadilah berkebangsaan Melayu menurut istilah politik".
Kebangsaan Melayu tidak berasaskan kebakaan. Masyarakat Cina dan India juga boleh menjadi 'Melayu'.
Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu. Secara mekanikalnya, tiada disebut tentang kebakaan dan darah.
Bangsa Melayu sangat toleransi menerima konsep Melayu. Lihat bagaimana Usman Awang mendefiniskan Melayu dalam sajaknya,
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Jika Melayu dapat menerima Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan India (DKI) sebagai Melayu, tidak salah Bangsa Cina juga diterima sebagai Melayu.
Syaratnya ialah leraikan daripada kebangsaan asalnya.
Pada penulis, Islam syarat utama penerimaan sepenuhnya orang bukan Melayu dianggap Melayu oleh orang Melayu.
Islam
Melayu tidak melihat warna kulit
Melayu tidak melihat pada darah-baka
Melayu melihat pada Islam
Melayu dan Islam berpisah tiada.

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...