Sunday, September 26, 2010
Yunus Ali Meninggal Dunia
KEMBALINYA YUNUS ALI : BEKAS TAHANAN ISA OPEERASI LALANG 1988
Semalam 25 hb September 2010 kira-kira jam 4.20 petang seorang sahabat karibku telah meninggal dunia. Dia telah meninggalkan alam fana ini buat selama-lamanya. Namanya ialah Yunus bin Lebai Ali, dan lebih dikenali dengan panggilan Yunus Ali. Mungkin tak ramai orang kenal Yunus Ali kerana low profile yang dibawa oleh tubuh peribadinya. Ramai orang tentu kenal Hishamudin Rais. Yunus Ali adalah rakan karib dan generasi seangkatan Hishamudin Rais dalam kebangkitan pelajar pada era awal tahun 70-an dulu. Nama-nama lain dalam generasi tersebut ialah Ahmad Zahid Hamidi, Ibrahim Ali, Anuar Musa setakat menyebut beberapa nama pemimpin pelajar ketika itu.
DI TAHAN DALAM ISU TASEK UTARA
Tetapi Yunus Ali bukan sekadar bekas pemimpin pelajar. Dia lebih dari itu. Sebagai seorang sahabat karibnya aku berasa bertanggungjawab memperkisahkan secarik lembaran kehidupannya untuk tatapan umum khususnya generasi muda kini. Yunus anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak adalah satu dari sekian ramai anak-anak muda generasi kami yang telah mencuba untuk membawa perubahan ke arah yang lebih sejahtera dan baik bagi rakyat dan tanahair kita ini. Seperti yang lain-lain, Yunus juga telah mengorbankan dirinya untuk membawa perubahan itu sehingga dua kali beliau dipenjara. Semasa menjadi pemimpin mahasiswa di Universiti Malaya, Yunus dipenjara di Penjara Ayer Molek Johor Bahru bersama-sama Hishamuddin Rais dan Syed Hamid Ali kerana terlibat menyokong perjuangan setinggan-setinggan miskin di Tasek Utara, Johor Bahru pada bulan September 1974. Pada tahun 1988, tidak lama selepas pulang dari London, Yunus sekali lagi ditahan. Kali ini dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)di bawah Operasi Lalang. Dia ditahan di Pusat Tahanan Politik di Kamunting, Taiping, Perak. Aku tidak pasti berapa lama Yunus ditahan di sana.
DEMONSTARSI PELAJAR-PELAJAR DI KUALA LUMPUR
Pada 3 Disember 1974 berlaku demonstrasi pelajar secara besar-besaran di Kuala Lumpur. Ketika itu Yunus adalah salah seorang pemimpin penting dalam Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Demonstrasi pelajar-pelajar itu bagi menyokong perjuangan rakyat miskin di Baling, Kedah. Beberapa orang pensyarah, pemimpin pelajar serta belia telah ditahan di bawah ISA lanjutan dari demonstrasi tersebut. Antara yang ditahan ialah Prof Dr Syed Husin Ali dan Anwar Ibrahim. Kemudian Polis Diraja Malaysia telah menggempur kampus Universiti Malaya di bawah satu operasi yang dikenali sebagai Operasi Mayang. Beberapa orang pemimpin pelajar seperti Kamarazaman Yaacob (Presiden PMUM) dan Adi Satria Ahmad (Timbalan Setiausaha Agung PMUM) telah ditahan di bawah ISA dan dihantar ke Penjara Kamunting untuk menyertai Dr Syed Husin Ali dan Anwar Ibrahim. Ibrahim Ali Presiden Perkasa kini, turut sama ditahan waktu itu. Beliau adalah Presiden Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM) ketika itu.
USMAN AWANG TOLONG SELAMATKAN YUNUS
Hishamudin Rais dan Yunus Ali terletak dalam senarai teratas nama-nama pemimpin pelajar yang jadi buruan polis. Kedua-duanya terlepas dari tangkapan polis apabila polis-polis hutan atau Field Force (kini dipanggil PGA) menyerbu kampus Universiti Malaya. Yunus dan Hishamudin dapat meloloskan diri masing-masing. Tahukah di manakah dua pemimpin pelajar ini berlindung dari tangkapan polis untuk beberapa bulan?
Di sinilah hebatnya Sastrawan Negara Usman Awang. Di rumah Usman Awang yang kami panggil dengan mesra sebagai Abang Tongkat tempat Yunus dan Hishamudin Rais berlindung. Usman Awang tidak sahaja bercakap dan berpuisi soal keadilan, hak asasi dan kemanusiaan. Tetapi beliau buktikan dengan perbuatan. Ketika keselamatan diri dua orang pemimpin pelajar yang pro-rakyat ini diancam oleh ISA, Usman tampil secara senyap-senyap memberi perlindungan kepada kedua-dua mereka. Beliau mempertaruhkan nasibnya sendiri demi membela dua orang pemimpin pelajar ini yang menjunjung perjuangan untuk keadilan rakyat.
DI PERSIMPANGAN JALAN
Pada ketika itu aktivis-aktivis pelajar kiri yang belum ditahan dibawah ISA seperti Yunus dan Hishamudian, mereka ada tiga pilihan. Pertama bergerak seperti biasa, meneruskan pengajian di universiti dan bersedia untuk ditahan di bawah ISA, soalnya sama ada cepat atau lambat. Kedua, masuk ke hutan mengangkat senjata dengan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM). Ketiga, melarikan diri ke luar negeri sebagai pelarian politik.
Yunus mengambil pilihan yang ketiga ini. Selepas isu demonstrasi pelajar-pelajar pada Disember 1974 reda, keadaan di kampus beransur tenang. Yunus kemudian menyambung semula pengajiannya di Fakulti Pertanian Universiti Malaya.
KONVENSI HAK ASASI MANUSIA
Pada tahun 1975 Usman Awang dan beberapa orang tokoh lain dari kalangan intelektual telah menganjurkan satu persidangan yang dipanggil Konvensi Hak Asasi Manusia yang bertujuan untuk mendapatkan pembebasan tahanan-tahanan politik ketika itu, antaranya Dr Syed Husin Ali dan Anwar Ibrahim di penjara Kamunting, Perak serta Syed Zahari, bekas ketua Pengarang Utusan Melayu yang telah ditahan selama lebih 12 tahun ketika itu di Penjara Changi, Singapura.Yunuslah orang muda yang banyak menolong Usman Awang dalam menjayakan Konvensi tersebut. Ketika itu kami tidak ada badan-badan NGO hak asasi seperti SUARAM atau HAKAM, seperti sekarang ini.
MELARIKAN DIRI KE HONG KONG
Pada suatu petang Yunus menemuiku di tempat kediaman aku menumpang dan memberitahuku bahawa dia hendak meminjam baju kot. “Hendak buat apa ?” tanyaku. Aku juga aktivis pelajar yang miskin melarat, macam Yunus. Jadi mana aku ada baju kot. “Aku hendak ke Hong Kong,” kata Yunus. “Buat apa ke sana?” Ada persidangan Persatuan Pelajar-Pelajar Asia (ASA) di Hong Kong, jawab Yunus.Aku berasa sedih tidak dapat meminjamkan baju kot kerana akupun tak ada benda itu. Itulah pertemuan terakhir aku dengan Yunus ketika itu.
Pelajar-pelajar lain pulang ke tanahair selepas persidangan di Hong Kong berakhir tetapi Yunus tidak. Mulai saat itu Yunus memulakan kembara panjangnya di beberapa benua sebagai pelarian politik. Ini berlaku sekitar tahun 1976 di mana pada ketika itu terdapat gelombang kedua tangkapan di bawah ISA. Tangkapan ISA pada tahun 1976 ini menyaksikan nama-nama besar seperti A Samad Ismail, Kassim Ahmad, Datuk Abdullah Ahmad dan Datuk Abdullah Majid dipenjarakan di Penjara Kamunting. Perdana Menteri Tun Abd Razak baru sahaja meninggal dunia dan perebutan kuasa berlaku di dalam Umno. Dalam suasana sedemikianlah Yunus yang tidak lagi rasa selamat akan kebebasan dirinya mengambil keputusan meninggalkan tanahair.
MEENYERTAI PERJUANGAN RAKYAT PALESTIN
Aku kemudiannya dihubungi. Sebagai teman dan sahabat karib akulah tempat Yunus berhubung dan menjadi jambatan hubungannya dengan sanak saudaranya. Selepas di Hong Kong aku tidak pasti ke mana Yunus berkelana. Aku hanya diberitahu bahawa dia kemudian berada di Karachi, Paksitan menumpang di rumah Duta PLO (Plaestin) di Paksitan ketika itu, iaitu Abu Yaakub namanya. Ini tidak pelik, Abu Yaakub pernah bertahun-tahun jadi Duta PLO di Kuala Lumpur dan kami pemimpin-pemimpin pelajar khususnya dari Universiti Malaya amat rapat dengannya. Abu Yaakub sama seperti Usman Awang, orang yang baik hati. Dia sanggup membenarkan Yunus menumpang di rumahnya sehinggalah kediaman Duta PLO itu diserang oleh musuh-musuh PLO.
Aku tidak tahu apa yang berlaku terhadap Yunus selepas itu. Tetapi Yunus seorang yang cekap untuk terus hidup, selagi belum sampai ajal. Aleh-aleh aku dengar Yunus sudah berada di Beirut, Lubnan menyertai paskukan bersenjata dalam komando PLO. Yunus yang bersuara perlahan, sederhana tingginya telah mendapat latihan ketenteraan dari pejuang-pejuang PLO.
Aku mula kenal Yunus semasa kami di Fakulti Pertanian Universiti Malaya. Dia pandai ilmu bersilat. Ketika kami sama-sama menjalani latihan praktikal pertanian di sebuah ladang di pinggir hutan di Pucong, Selangor pada tahun 1972, aku sempat belajar silat dengan Yunus dan Yunus pula belajar politik dari buku-buku politik kiri yang aku bawa ke bangsal tempat kami menginap di pinggi hutan Puchong itu.
DARI LUBNAN KE UNITED KINGDOM
Dari Timur Tengah yang bergolak itu, Yunus itu kemudiannya berhijrah ke Eropah dan bermastautin di London. Ketika itu sekitar tahun 1981. Dulu, Yunus tidak tamat pengajiannya sebagai siswa pertanian di Universiti Malaya. Kini, di United Kingdom Yunus menyambung pengajian di salah sebuah universiti di London dalam bidang Sosiologi. Pada tahun 1982 Yunus menjemput aku datang ke London. Ketika itu keadaan Yunus agak selesa dan dia bergerak di dalam Fuemso, iaitu persatuan pelajar-pelajar Malaysia di tanah Inggeris itu.
Aku pun pergi ke London beberapa hari sebelum Hariraya AidilAdha tahun 1982. Aku berhariraya Korban di London. Sekitar dua minggu aku di sana dan Yunus dengan rendah hati bertindak menjadi tourist guide kepadaku. Seperti pelancong-pelancong lain juga, tanpa aku minta Yunus telah membawa aku melawat lokasi-lokasi biasa pelancongan seperti Trafalgar Square untuk melihat burung-burung merpati, Istana Buckingham, London Tower dan banyak lagi. Pada suatu hari Yunus mengajak aku pergi melawat ke pusara Karl Marx di suatu kawasan tanah perkuburaan di London yang namanya mungkin Hillgates. Aku kurang pasti nama itu. Yunus merakamkan dengan kameranya –gambar aku berdiri di sebelah pusara Karl Marx. Gambar itu hilang dalam sibuk-sibuk aku menyelamatkan diri semasa Operasi Lalang 1988.
PULANG KE TANAHAIR
Lebih kurang pada tahun 1986 Yunus pulang ke tanahair selepas pengajiannya selesai dan keadaan politik di Malaysia tidak begitu bergolak. Aku menyambut Yunus di Lapangan Terbang Subang. Untuk beberapa bulan, Yunus tinggal menumpang di Markas Pusat Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) di Kelana Jaya, Selangor. Ketika itu aku menjadi Setiausaha Agung PSRM (kemudian nama PSRM ditukar kepada nama asalnya Parti Rakyat Malaysia (PRM), pada tahun 1990).
Pada suatu pagi beberapa hari selepas kepulangannya dari London,aku menghanatar Yunus ke Universiti Malaya. Dia berjaya mendaftarkan diri di universiti itu untuk menyambung pengajiannya di peringkat sarjana di bidang sosiologi.
OPERASI LALANG:YUNUS DITAHAN
Tetapi dua tahun kemudian tiba-tiba keadaan politik negara bergolak. Ketegangan politik yang melibatkan isu-isu sensitive perkauman muncul, melibatkan UMNO dan MCA sendiri- dua komponen parti perkauman di dalam gabungan Barisan Nasional. Gajah sama gajah berperang, ada pelandok yang mati di tengah-tengah. Ketua Pemuda UMNO waktu itu yang kini Perdana Menteri dan Presiden Umno dengan slogan 1 Malaysia berperang isu perkauman dengan Lee Kim Sai, Ketua Pemuda MCA. Tetapi yang jadi mangsa keadaan dan ditahan dibawah ISA ialah berpuluh-puluh pemimpin politik pembangkang dan aktivis-aktivis NGO. Antara yang ramai ditahan itu termasuk Yunus Ali.
Yunus sempat menyelesaikan ijazah sarjananya walaupun ditahan dibawah ISA. Selepas bebas, Yunus menumpu kepada kerjanya sebagai pensyarah. Kemudian dia berkahwin dan membina keluarganya. Sesekali aku ternampak gambarnya di akhbar atau tv dalam isu-isu yang dia terlibat. Ertinya dia tidak mendiamkan diri. Yunus masih bergerak.
YUNUS SAKIT
Hanya pada bulan Julai 2010 yang lalu Hishamudin Rais memberitahuku Yunus sakit dan terlantar di Hospital Selayang, Selangor. Aku sempat menziarahinya. Aku tidak sangka itulah pertemuan kami yang terakhir. Kami bercakap soal kesihatan, soal anak-anak. Kami tidak cakap soal politik petang itu.Yunus begitu bertenaga untuk hidup dan bertekad melawan penyakitnya. Dia tidak mengeluh, tidak putus asa, tidak minta simpati. Semangat komando Palestin bersama PLO membina jatidiri Yunus yang tabah. Banyak kali dia bercakap bahawa dia redha dengan sakitnya. Perkataan redha yang dilafazkannya itu sarat dengan pengertian tauhid keimanan sebagai seorang Islam.
PULANG KE RAHMATULLAH
Kini Yunus telah kembali menemui Tuhannya, iaitu satu tempat yang sebaik-baik dituju Dia telah menjalani hidupnya dengan berani tanpa menyerah kalah kepada kezaliman dan kemungkaran. Bagaimanapun, dia akhirnya tewas juga apabila ajalnya sampai. Aku berdoa semalam agar Yunus dapat bertahan melawan sakitnya. Tetapi ajal dan maut di tangan Tuhan. Aku percaya Yunus telah bersedia untuk detik perpisahan itu.
Sebagai sahabatnya aku mendoakan Yunus dirahmati Allah dan ditempatkan di syurga. Kepada isteri, anak-anak dan keluarga Yunus aku pohon doa untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka dan berharap mereka tabah menempuh saat yang sedih ini atas pemergian orang yang mereka sayangi. Al-Fatihah, Amin.
Yang benar,
HASSAN KARIM
Saya boleh dihubungi di
No. talian 012-7931148, e-mail:hakarim2001@yahoo.com
Beralamat Hassan Karim & Co.
Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat, 82000 Pontian, Johor
Tel:07-6881839 Fax:07-6882369
Inilah kehidupan. Ada permulaan dan ada titik akhirnya.
Tuesday, September 07, 2010
Mahasiswa Dibenarkan Berpolitik
Suka atau tidak, golongan mahasiswa sebenarnya telah berpolitik. Ini tidak termasuk yang memang hantu politik kepartaian sehingga tugas hakiki tersadai dan memonteng diri. Tiada guna kita beralasan AUKU untuk menidakkan mahasiswa berpolitik. AUKU sepatutnya menjadi azimat kekuatan bagi mahasiswa memperjuangkan misi keadilan dan kebenaran yang dicita-citakan. Bukannya mengharapkan keselesaan dan ruang daripada belas ehsan pemerintah.
Bagi saya, suara dua orang tokoh parti pemerintah itu hanyalah umpanan indah untuk anak muda sempena menunggu kehadiran PRU 13. Jika mahasiswa bebal dengan keseronokan itu, rancangan menumbangkan kezaliman sebenar akan terkubur.
Mitos ini mungkin muncul: kedua-dua ahli parlimen ini perlu diselamatkan kerana mereka pro mahasiswa dan salah seorang bermazhab al attas yang mencintai ilmu. Adakah umpanan palsu ini ditelan enak oleh mahasiswa bebal?. Jangan mitos ini menjadikan cerita benar.
Jangan harapkan mereka. Kamulah mahasiswa yang harus berjuang menegakkan kehendak kebenaran dan keadilan. Jika kamu harapkan mereka, kamu hanyalah mengejar tompokan air di padang pasir. Ingatlah kamu, bahawa mereka pihak yang ada kuasa mengubah tetapi masih bermain ‘sembunyi-sembunyi’ idea sesama mereka. Jangan tertipu dengan helah pihak pemerintah yang selalu membohogi rakyat.
Saya secara peribadi tidak mengemari cadangan mahasiswa dibenarkan terlibat dalam politik kepartaian kecuali dengan syarat:
1. Tugas politik kepartaian tidak menganggu tugas hakiki seorang penuntut ilmu. Menuntut ilmu adalah keutamaan daripada politik kepartaian. Buktikan dalam ijazah kamu yang kamu cemerlang dalam akademik dan kepimpinan.
2. Politik kepartaian seharusnya menyebabkan mahasiswa berpihak, binalah kekuatan politik mahasiswa yang mempunyai kuasa penentu untuk memihak. Mana-mana parti politik yang mengutamakan keadilan untuk rakyat disokong oleh gerombolan mahasiswa bukannya menjadi barua parti tertentu.
3. Jaminan bahawa pimpinan mahasiswa dapat mengawal displin anggota mereka agar tidak berlaku kebocoran ideology yang menyesatkan dan tindakan politik berasaskan emosi.
Jika Berjaya dalam ketiga-tiga syarat di atas. Kamu wahai mahasiswa boleh terlibat dalam politik kepartaian.
Yang pasti kesibukkan sekarang masih tidak mencukupi untukmu?
SATU CERAMAH BOLEH BIKIN GEMPAQ? KHAS UNTUK SISWA
1. Saya sangat teruja dengan usaha beberapa pihak cuba membentang sejarah gerakan mahasiswa dan cuba menghidupkan dasar-dasar duluan yang berasaskan autonomi university pada tahun sebelum 1970an.
2. Cuma kita kena berhati-hati apa agenda mereka. Mereka mencipta satu ikon yang cuba mempengaruhi sekelompok ‘mahasiswa tegar’ yang berasaskan ideologi atau aliran atau faham-budaya tertentu sewajarnya dibimbangi. Mereka menggunakan kaedah tercanggih, perbincangan menarik dan suasana mesra anak muda untuk menodai mahasiswa.
3. Komrad-komrad ini menjemput tokoh-tokoh sealiran untuk menghidupkan agenda mereka. Komrad-komrad ini mengingatkan saya akan satu gerakan mahasiswa ‘unik’ yang digerakkan oleh Jonah melalui Universiti Bangsar Utama. Peringkat kampus UM melahirkan sahabat-sahabat kami seperti ustaz jimadie syah(Malaysiakini) dan Dahri. Mereka tidak berpihak MGMUM (walaupun Dahri wakil MGMUM) atau GMUM.
4. Suruhan terhadap kelompok dimitoskan ‘mahasiswa tegar’ berjuang untuk diri ikon dan faham-budayanya bagaikan memperalatkan mahasiswa. Mahasiswa sewajarnya berjuang dalam kerangka mereka sendiri berdasarkan faham-budaya mereka sendiri. Berkorban untuk satu ceramah dengan mengharapkan keseronokan diri menjadikan ia sekadar ceramah. Adakah perjuangan mahasiswa berakhir dengan ceramah sahaja?.. Bukan di KPS sahaja boleh berceramah, lakukan sahaja di Masjid ar Rahman atau mana-mana dewan di Petaling Jaya. Menyebar ilmu tidak harus disulami lemahnya dengan konflik. Di padang milik kerajaan pakatan rakyat di PJ pun boleh dilaksanakan.
5. Cubalah tanya penulis buku Mahasiswa Menggugat yang berasal dari Terengganu dan berkot coklat merangkap Pengarang akhbar Mahasiswa Negara(Prof Muhammad Abu Bakar) tentang gerakan mahasiswa. Beliau akan mulai dengan tersenyum. Begitu juga Dekan FSSS UM, Prof Mohd Redzuan mantan Timbalan Presiden PMIUM zaman ABIM merangkap ahli MPPUM. (kedua-dua tokoh ini saya pernah wawancara). Beliau juga akan tersenyum. Nasihat saya; Jangan terlalu totok mengimbau sejarah dengan inginkan suasana dulu kerana ia akan menjadi satu kisah komedi atau trajedi tetapi ambillah sejarah sebagai pengajaran untuk membina generasi akan datang walaupun dalam suasana berlainan. Perjuangan perlu diteruskan dalam suasana berbeda tanpa mengharapkan keselesaan pemerintah seperti pada zaman dulu.
6. Perjuangan menghapuskan AUKU adalah perjuangan berterusan. Paling penting ialah apa yang mahasiswa mampu lakukan dalam ‘kongkongan’ AUKU. Universiti adalah wadah perjuangan yang bervariasi isu dan masalah kampus dan negara mengikut keutamaan realiti , memupuk faham-budaya yang benar dan latihan kepimpinan serta mempertajamkan bakat. Jika anda memilih untuk pro pentadbiran kampus ataupun berkonflik dengan mereka, anda mencari kebebalan atau nahas. Carilah kebijakan suasana agar tiada suasana tegang yang berpanjangan. Perjuangan mahasiswa tidak semestinya melalui saluran politik, banyaklah kaedah perlu ditekuni termasuklah aktiviti seni dan budaya.
7. Bagi pihak universiti pula, ketakutan mereka terhadap silang hujah menambahkan lagi kebebalan mereka. Jangan memperbodohkan mahasiswa. Benarkan aktiviti silang hujah di kampus. Mahasiswa bukannya nak rampas kuasa, cuma nak kongsi pendapat dan menghidupkan suasana pendemokrasian ilmu. Mungkin ini sebabnya, Pak Lah (Prof Abdullah Zakaria) tersenyum pada kami (tahun 2003) apabila Persatuan Sejarah UM zaman kami hendak mengembalikan program Debat Agung(DA pernah dipopularkan oleh PSUM dan Persatuan Ekonomi UM).
8. Mahasiswa, bina identiti diri. Pihak pentadbiran kampus berpada-padalah dalam mengampu, jangan nampak kebebalanmu disebalik pakaian akademiamu.
Aku Mahu Jadi Sosialis?
ya !
ada yang jaya, ada yang terhina
ada yang bersenjata, ada yang terluka
ada yang duduk, ada yang diduduki
ada yang berlimpah, ada yang terkuras
dan kita disini bertanya :
"maksud baik saudara untuk siapa ?
saudara berdiri di pihak yang mana ?"
WS Rendra
Zaman anak muda terutamanya zaman mahasiswa merupakan zaman yang kaya dengan idealisme, semangat dan tenaga. Ia penuh keseronokan, kekinian dan kecanggihan. Tanpa iman dan taqwa, zaman anak muda menyebabkan kita terhumbang ke lembah kesesatan pemikiran dan akhlaq.
Zaman anak muda dijadikan zaman perencaman budaya dan pemikiran. Budaya dan pemikiran ini secara automatiknya tersaring apabila sampai waktu serunya dimana anak muda akan cuba memutlakkan budaya dan pemikiran sebelum mencapai kematangan manusia dewasa. Apapun kemutlakkan ini tidak hakiki dan jika tersesat boleh kembali ke pangkal jalan.
Di kampus, ada kumpulan yang unik dalam budaya dan pemikiran mereka. Mereka ada pelbagai nama. Mereka berada dalam wasilah seni, kebajikan, hak asasi manusia, budaya, pemikiran revolusi, pro rakyat marhaen, menentang arus perdana, anti protokol, formaliti dan skema, anti organisasi yang formal, pro kebajikan, liberalis, sosialis hatta mengaku komunis. Mereka ini berada di tengah-tengah pengulatan di antara mahasiswa pro pembangkang dan pro kerajaan. Dan mereka boleh berada di pihak berbeda dalam waktu berbeda.
Jiwa memberontak, pro rakyat marhaen dan jiwa revolusi apatah lagi meminati ikon mahasiswa menggugat seperti Anwar Ibrahim dan Hishamuddin Rais menyebabkan ramai anak muda kampus cuba mengakui diri sebagai sosialis atau Islamis. Kembara diri di kampus menyebabkan aku lebih memilih menjadi sosialis, kononnya. Sosialis yang tidak pasti ketulenannya.
Ada orang melihat sosialis pada fizikalnya, berbaju jean, berbaju dalam baju pagoda atau T shirt ‘peluah rasa hati anak muda’, seluar jean lusuh, selipar jepun tetapi bagi aku menjadi sosialis ini perlu datang daripada fikrah atau paradigma serta pemikiran sosialisme. Oleh kerana aku pencari identiti, aku bukanlah sosialis tulen atau totok.
BUANG BANGSA DAN BUANG AGAMA
Sebagai mahasiswa pencari identiti, aku tidak membuang agama walaupun dalam proses menjadi sosialis. Aku bukanlah golongan menganggap sosialisme itu sebagai cara hidup. walau bagaimanapun, cubaan membuang bangsa dan pro rakyat marhaen masih terlekat dihatiku.
Menjadi kelucuan apabila aku pernah cuba membuang Melayu kononnya apabila beraya menggunakan baju pagoda putih, berkain pelikat dan berselipar jepun. Dan sampai sekarang aku masih tidak bersetuju konsep raja atau sultan walaupun aku seorang Melayu.
Dengan membuang bangsa dan agama, manusia akan bersatu dalam satu ideologi. Kemajmukan kaum dan agama dalam kumpulan ideologi akan mempengaruhi gerak-gaya atau kehidupan seseorang itu.
HEDONIMSE
Kalau komunis atau sosialis, ‘bacaan Quran’ bagi mereka adalah seni. Seni puisi, seni tulis, seni lukis dan seni muzik antaranya. Teringat kisah Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya pada tahun 1970an dimasuki oleh anasir komunis dengan menggunakan seni teater untuk membajai pemikiran mereka.
Sekarang, anak muda memang gila muzik. Medium ini digunakan untuk penyebaran ideologi selain kuliah atau usrah berkala yang dilakukan oleh pengiat ideologi. Ada nama APUKE, ada nama diskusi tek tarik, kuliah revolusi perancis atau pelbagai nama. Pentingnya unsur-unsur minor dapat ditanam dalam pemikiran penghadirnya.
Ia mudah sebagaimana filem-filem barat menusukkan kebebasan seksual melalui sedikit adegan seks dalam kebanyakkan filemnya. Jika selalu dilihat dan didengar, akhirnya ia akan mendaging dalam pemikiran anak muda yang dahaga diskusi, wacana dan kehausan jiwa.
Ditambah lagi, unsur-unsur kebebasan pengaulan bahkan berakhir di tilam disediakan bagi yang berminat dan telah hilang jatidiri bangsa dan agamanya.
disinilah sifat berhat-hati dan ketaatan kepada ajaran serta jatidiri perlu ditanam dalam berinteraksi dengan mereka. Berkawan tanpa dipengaruhi. Inilah baru mahasiswa berjiwa matang.
TAFSIR SURAH YUNUS
Aku masih pro rakyat marhaen dan anti pemerintahan beraja tetapi aku tidak jadi sosialis.
Aku hanya mahasiswa pencari identiti sesekali tersilap langkah kerana tidak berhati-hati dalam memilih.
Pertemuan aku dengan tafsir surah Yunus, satu tafsir syarahan Tuan Guru Nik Aziz mengubati jiwaku bahawa unsur-unsur kebajikan, pro rakyat marhaen memang terdapat dalam Islam. Tidak usah mencari kelainan dengan bergelumang dalam sosialisme.
Sampai tuakah kita nak berasimilasi dalam sosialisme?
Sampai tuakah kita nak berjiwa muda?
Kah..kah..kah.. mengkomedikan peristiwa dengan penuh keinsafan.
Jadi ada yang bertanya, Siapakah aku?
Aku pengikut Muhammad, pencinta Allah dan Islam totok.
Friday, July 23, 2010
Nazree Yunos: Bakal Ketua AMK?
Ustaz Nazree Yunus meupakan mantan Presiden PMIUM. Dia mempunyai bakat kepimpinan dan karisma terutamanya berpidato ala Anwar.
Anak didik PAS ini mempunyai 3 fasa dalam dunia kariernya. Fasa pernah dalam kampus, dididik dengan gaya tarbiah PAS. Walaupun PMIUM zaman mempunyai suara yang keras dan selalu menongkah arus daripada tradisi PMIUM.
Kemudian bersama rakan seANWAR, saudara Ezam dalam GERAK. akhirnya tertipu apabila Ezam masuk UMNO.
Kini suara bergema di belakang Anwar semasa di mahkamah. Beliau memilih bersama sang dipuja daripada PAS.
Dalam pemilihan AMK yang akan datang, Nazree mempunyai peluang cerah untuk menjadi ketua AMK. Saya merasakan calon lain yang mungkin memberi cabaran ialah Jonah, Nik Nazmi, Sdra Amirudin dan sdra hasmi hashim..
Apupun diharap saudara Nazree berpeluang menjadi ketua AMK agar pengaruh liberal tidak mengambil tampuk tersebut
Tuesday, July 20, 2010
Sunday, May 30, 2010
Pimpinan Mahasiswa Terbaik Dekad Ini: Muhtar Suhaili
1. kalaulah saya diberi peluang memilih pimpinan mahasiswa terbaik dekad ini(2000-2010), saya memilih saudara Muhtar Suhaili. Mantan Presiden SRC UIA.
Monday, April 19, 2010
Zaid Ibrahim dan Gerakan Mahasiswa
Ini cerita lama. Tapi baik juga untuk dibuka kembali agar kita semua dapat tahu apa yang berlaku puluhan tahun dahulu. Cerita-cerita ini kalau baik kita jadikan tauladan. Kalau tidak molek dapat kita jadikan sempadan. Kalau tidak pun kita baca untuk ketawa.
Ceritanya bagini:
Saya ingat lagi pada tahun 1972 - ketika itu saya anak mahasiswa yang mengulang tahun satu di Universiti Malaya. Saya telah aktif dalam perjuangan gerakan mahasiswa sejak dari awal tahun pertama lagi. Pada tahun itu, ketika Kongres Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPM ), saya telah dilantik untuk menjadi Setiausaha Agung. Badan yang bernama PKPM ini telah diharamkan pada tahun 1974 - sesudah demo pelajar menyokong warga Baling.
Ketika saya dilantik sebagai SU Agung PKPM – perang Vietnam sedang rancak. Kuasa imperial Amerika sedang melancarkan perang kolonial ke atas Vietnam, Laos dan Kamboja – sama seperti yang sedang berlaku di Iraq dan Afghanistan hari ini.
Justeru dalam Kongres PKPM tahun 1972 itu ada terdapat resolusi yang mengutuk imperialis Amerika Syarikat dan menyokong perjuangan menuntut keadilan oleh rakyat Indo China. Ketetapan yang dibuat dalam kongres akan menjadi dasar persatuan sehingga ke kongres tahun hadapan.
Pada zaman itu gerakan mahasiswa cukup rancak. Saya adalah seorang ahli kelab sosialis yang aktif. Justeru pandangan politik saya adalah kiri. Buku dan akhbar yang saya baca adalah kiri. Negara dan pemimpin negara yang saya hormati adalah dari jalur kiri.
Berdasarkan resolusi PKPM yang anti-Amerika saya telah memasang poster-poster anti-perang Vietnam yang kami terima dari International Union of Students yang berpengkalan di Prague.
Rupa-rupanya ada juga kumpulan mahasiswa, terutama dari PMUKM yang yang tidak bersetuju dengan pemasangan poster ini. Lalu saya dikritik sebagai SU Agung PKPM yang tidak bertanggungjawab. Sebenarnya isu poster anti-perang Vietnam ini hanya alasan. Kritikan ini datang dari pelajar reaksionari bermazhab kanan.
Akhirnya satu persidangan tergempar telah diadakan. Persidangan ini diadakan di Dewan Majlis Persatuan Universiti Malaya. Saya ingat lagi petang itu – delegasi dari PMUKM, dari Serdang College, dari Institut Teknoloji Kebangsaan, KSITM dan tuan rumah PMUM turut hadir.
Saya dapat merasakan seolah-olah telah ada persetujuan untuk menyingkirkan saya dari PKPM. Idris Jusi, dari PMUKM mula bercakap membuka kes tentang saya yang dikatakan tidak mengikut dasar PKPM dan dilihat pro-komunis. Dari KSITM, presidennya Zahari tidak pula bercakap. Yang banyak bercakap ialah Ibrahim Ali.
Pandangan-pandangan kanan dan reaskioner bertaburan pada petang itu.
Sebelum keputusan dibuat untuk menyingkirkan saya dari PKPM - tiba-tiba seorang wakil delegasi dari KSITM mengangkat tangan untuk berucap. Saya masih ingat lagi anak muda itu. Dia kurus lansing dan kacak. Berkulit sawo matang. Anak muda ini memakai seluar hitam dan berbaju biru. Mustahil saya akan melupakan susuk ini. Sampai akhir hayat saya ingat apa yang berlaku pada petang itu. Tidak mungkin saya akan lupa kerana pada petang itu saya sedang disalib.
Masih terngiang di telinga saya hingga ke hari ini apa yang dikatakan oleh anak muda itu:
“Sebelum dia dibuang, dia berhak untuk diberi peluang bersuara. Ini adalah cita-cita demokrasi pelajar… dan ini adalah hak dia.”
Saya terperanjat kerana tidak ada sesiapa dari persatuan lain yang menyokong saya kecuali PMUM. Saya terperanjat kerana anak muda ini berani ‘pecah regu’ untuk menyokong saya. Saya kagum atas keberanian nya.
Saya tidak kenal anak muda ini. Tapi saya tahu anak muda ini datang dari KSITM – satu persatuan pelajar yang saya anggap reaksionari. Bila saya selidiki baru saya sedari anak muda ini ialah Zaid Ibrahim – pelajar jurusan undang-undang Institut Teknoloji Mara. Saya juga difahamkan si Zaid ini datang dari Sekolah Tuanku Abdul rahman (STAR) seteru kuat sekolah saya, MCKK.
Semenjak petang itu saya tidak bertemu dengan Zaid Ibrahim. Kami meneruskan keyakinan diri. Saya difahamkan Zaid telah menjadi seorang peguam yang berjaya. Saya terus menjadi diri saya.
Lima tahun dahulu seorang kawan dari MCKK mengajak saya untuk menjadi ahli Civil Society of Malaysia. Ini badan hak asasi manusia yang cuba diwujudkan oleh Zaid Ibrahim. Cuma ada ‘catch’ - sesiapa yang ingin menjadi ahli wajib membayar RM250. Jumlah ini agak berat untuk saya - lalu saya menolak jemputan ini.
Seminggu sebelum Ngo ini berkumpul dan bersidang saya telah mendapat panggilan telefon mengatakan bahawa RM250 telah dibayar oleh Zaid Ibrahim. Saya hairan kerana seumur hidup saya – saya belum pernah bercakap sepatah pun dengan susuk ini. Dari panggilan talipon - saya telah diberi kebenran untuk datang ke persidangan pertama Civil Society ini di Hotel Renaisance.
Inilah kali kedua saya melihat Zaid Ibrahim. Kali kedua ini agak berbeza. Anak muda kurus yang berbaju biru dan berseluar hitam dahulu telah agak bersisi. Rambutnya telah dicantikan oleh anyaman uban. Baju dan pantalon yang dipakainya kelihatan dari jenis yang baik dan bermutu. Nah! Pastilah dia telah berjaya hinggakan sanggup membayar yuran untuk orang yang tidak dikenalinya.
Dua hari sebelum nama Zaid Ibarahim dimahsyurkan sebagai calon di Hulu Selangor saya telah pergi menemuinya. Rumah kediaman si Zaid ini bukanlah sama seperti bilik sewa tempat saya menginap. Ini kawasan lumayan yang hanya 30 minit dari Serendah Hulu Selangor.
Mata saya memerhati dengan rapi untuk mengetahui lebih dalam lagi manusia yang bernama Zaid Ibrahim ini. Rumahnya tidak mengancam tapi pastilah lebih luas dari bilik sewa saya. Dalaman tidak lucah dan bukan bermotifkan budaya ‘arriviste – horray henry’ yang sering kita temui di wilayah-wilayah mewah.
Tujuan saya datang kerana ingin bertanya apakah dia masih ingat lagi apa yang terjadi di Dewan Majlis PMUM 38 tahun dahulu. Zaid termenong sabentar sebelum mengakui yang dia pernah datang ke PMUM untuk bermesyurat. Tetapi tidak ingat apa tujuan dia hadir. Malah dia juga tidak ingat bahawa pada petang itu yang di salib ialah saya.
Saya tidak merasa kecewa kerana si Zaid tidak mengingati episod itu. Inilah perjalanan hidup kita sebagai manusia . Terpencar pencar - ada yang kita ingati dan ada yang kita lupakan. Untuk kita – pekara yang ini mungkin penting dan untuk orang lain pekara yang sama adalah ‘non event – tidak ada apa apa yang penting’.
Kenapa saya menulis kesah ini? Saya menulis kerana susuk yang bernama Zaid Ibrahim ini sedang berkempen untuk memenangi kerusi di Parlimen. Saya menulis ini kerana saya yakin bahawa manusia yang bernama Zaid Ibrahim ini adalah manusia demokrat. Tiga puluh lapan tahun dahulu – ketika kami masih lagi anak pelajar - si Zaid ini telah memperlihatkan sifat jujur dan demokratnya.
Pada petang itu – 38 tahun dahulu - si Zaid telah tidak terpengaruh dengan tohmah anti-komunis, anti kiri dan anti sosialis. Sifat demokratiknya telah tertanam dalam sebelum dia meletakan jawatan sebagai menteri kabinet kerana menentang ISA. Susuk yang bernama Zaid Ibrahim dapat melihat salah dan benar.
Jika saya warga Hulu Selangor saya merasa senang hati untuk menobatkan Zaid Ibrahim sebagai wakil suara saya di Parlimen. (TT)
sumber : tukartiub
Friday, April 16, 2010
Jernihkan Fikrah Sebelum Berdakwah
Gambar Hiasan
“Saya mahu sertai program PAS, program JIM, program ABIM dan ikut Tabligh keluar sebab saya sudah bosan dengan perpecahan”, kata seorang anak muda kepada saya.
Saya mengangguk.
Kemudian menggelengkan kepala.
Saya bersetuju dengan keluhannya bahawa kita semua sudah bosan dengan perpecahan. Tetapi saya menggelengkan kepala kerana tidak bersetuju dengan formulanya untuk mengatasi perpecahan itu.
“Tentu sahaja idea itu baik dan saya menyokongnya, jika anda meletakkan diri sebagai penyokong dan kekasih Islam”, saya cuba menjelaskan sebab saya menggelengkan kepala pada separuh kedua kenyataan pelajar tersebut.
“Tetapi jika anda seorang pendokong dan kekasih yang berkasih dengan Islam, anda harus lebih teliti, rasional dan realistik”, saya menyambung.
“Maksud ustaz?”, tanyanya kepada saya.
Asalnya saya kurang berminat bercakap tentang hal ini. Terserahlah kepada anak-anak muda ini untuk mencari cara terbaik bagi mereka ‘menolong agama Allah’. Tetapi option yang terlalu terbuka menyebabkan mereka meraba-raba di bawah sinar mentari, bukan purnama.
“Izinkan ustaz membuat satu analogi”, saya cuba memudahkan perbualan.
KOMITMEN KERJA
“Jika kita seorang pengguna ubat gigi, kita bebas untuk memilih ubat gigi yang sesuai dengan keperluan kita. Pilih sahajalah mana-mana ubat gigi yang ada di pasaran kerana semua ubat gigi itu umumnya berkongsi tujuan… memutih dan menyihatkan gigi kita…
… tetapi jika kita bekerja sebagai seorang pegawai penyelidik di sebuah kilang ubat gigi, atau pegawai pemasaran, malah pekerja subordinate di kilang tersebut, adalah mustahil untuk syarikat kilang itu membenarkan anda pada masa yang sama bekerja di syarikat ubat gigi yang lain!”, saya menyudahkan penjelasan.
“Kenapa pula?”, tanyanya dalam kekeliruan.
“Aih… takkan tanya ‘kenapa pula’? Anda akan bertindan waktu kerja, anda akan bertindan strategi pemasaran, anda akan bertindan pelbagai kepentingan dan siapakah yang akan anda berikan keutamaan?”, saya agak terkejut dengan kekaburan fikiran beliau.
“Setiap kumpulan Islam, mempunyai maksud dan tujuan besar yang sama. Tetapi malangnya mereka berbeza jalan dan pendekatan hingga ada yang bertembung dan bertentangan. Ada yang mahu sampai kepada Islam dengan memanfaatkan ruang di dalam demokrasi, ada yang mahu sampai kepada Islam dengan berperang berpatah arang dengan demokrasi… itu contohnya”, saya menyambung.
“Ada kumpulan yang menganggap penglibatan dan keprihatinannya terhadap persoalan siasah dan isu semasa sebagai suatu kelebihan, manakala ada kumpulan yang menganggap pendirian non partisannya sebagai prinsip yang mesti dipertahankan. Maka, anda boleh menghadiri program semua kumpulan ini, jika kehadiran yang anda maksudkan itu adalah sebagai peserta program umum, outreach dan anda hadir sebagai orang yang hanya mahu menerima. Bukan memberi!”, tambah saya.
“Dan ustaz sering mengingatkan kami bahawa penglibatan kita di dalam dakwah harus untuk memberi, bukan menerima, betul tak?”, tanyanya.
“Yang ini ustaz angguk 100%”, saya tersenyum.
MEMBERI DAN MENERIMA DI DALAM DAKWAH
Dalam beragama dan berdakwah untuk menolong agama, apa yang perlu kita fikirkan bukan hanya pada soal apa manfaat yang kita dapat. Jika itu sahaja yang menjadi pertimbangan kita, maka tidak hairanlah kita ini mungkin menjadi orang yang paling banyak tahu, tetapi tidak berguna dan bernilai di sisi Islam, kerana tiada keinginan memberi.
Seronok mengaji tetapi tidak sampai kesedaran tentang tuntutan mengajar.
Kata Nabi SAW:
“Sebaik-baik kamu adalah dia yang paling bermanfaat kepada manusia”
Maka seorang mukmin yang mengikut jalur kenabian akan segera mahu memberi sejurus selepas menerima, apatah lagi dalam soal-soal kebaikan:
“Tidak sempurna iman sesiapa dari kalangan kamu sehingga dia itu suka untuk saudaranya, apa yang disukainya untuk diri sendiri”
Dalam erti kata yang lain, penglibatan seseorang di dalam sebuah gerakan Islam, bukan hanya dengan maksud mahu menjadi penyokong, pengambil manfaat dan penerima semata-mata, tetapi mahu bergerak setapak lagi ke depan dengan menjadi pendokong, penyumbang manfaat dan pemberi pula.
Apabila seseorang itu mahu menjadi pendokong, penyertaannya bersama sebuah gerakan Islam haruslah atas dasar kebersamaan, saling percaya mempercayai, atau dengan bahasa yang lebih kemas, dengan merujuk kepada rukun-rukun komitmen yang disebut sebagai arkaan al-bai’ah yang sepuluh oleh Hasan al-Banna.
Justeru, tidak mungkin di peringkat taaruf menuju takwin, untuk seseorang itu menjadi anggota sebuah kumpulan Islam, dan dalam masa yang sama turut menganggotai kumpulan-kumpulan yang lain, dengan alasan mahu mengambil manfaat sebanyak mungkin.
ANTARA SIYASAH DAN TARBIYAH
Kebarangkalian dari segi strategi bergerak, mungkin ada ruang yang membolehkan. Ramai sahaja ahli JIM yang turut menjadi aktivis PAS. Ada sahaja aktivis PAS yang dipinjamkan ke PKR dalam pilihanraya. Tetapi ini bergerak di dalam kerangka siasah, tidak dalam agenda tarbiyah.
Oleh yang demikian, idea ‘pelik’ sesetengah kita yang memilih JIM supaya boleh menyokong PAS tanpa risiko, harus disemak semula, terutamanya di kalangan warga menara gading. Itu idea politik, bukan idea tarbiyah.
Tarbiyah itu ialah proses mengacu dan membentuk, sebelum diguna pakai di lapangan yang pelbagai termasuk siasah. Maka proses pembentukan fikrah tidak akan berhasil jika tajarrud dalam pemikiran tidak dibentuk. Pemikiran akan lebur dan mencetuskan krisis identiti dan fikri.
Akhirnya kita sendiri tidak tahu apa yang kita tahu dan tidak tahu apa yang kita percaya. Amal bagaimanakah yang boleh terbit dari kekaburan fikrah dan kepercayaan seperti ini?
Era pentarbiyahan itu adalah era pembentukan (takwin). Ia seumpama kilang untuk menghasilkan sesuatu produk. Kilang melahirkan da’ie.
Jika dipinjam analogi ubat gigi itu tadi, maka di atas rak pasar raya, sepuluh jenama ubat gigi boleh duduk sebelah menyebelah dan terpulang kepada pengguna untuk memilih atas pertimbangan masing-masing.
Tetapi semasa ubat gigi itu di kilang masing-masing, tidak mungkin formula ubat gigi Colgate© dicampur dengan formula Sensodyne© lalu dikotakkan dengan pakej Darlie©. Di kilang Colgate©, semuanya harus Colgate©. Campur aduk yang tidak menentu dalam menghasilkan produk ubat gigi, hanya akan menyebabkan pengguna keliru dan membuat kesimpulan mudah bahawa ubat gigi Colgate© berkotakkan Darlie© ini bukanlah kombinasi formula, tetapi ubat gigi palsu semata.
Seorang aktivis JIM itu perlu jelas pada kefahaman dirinya apakah yang menjadikan dirinya itu seorang ahli JIM. Soal komitmen, kepercayaan, menjaga kerahsian, dan tanggungjawab dilaksanakan secara ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’.
Begitu juga dengan aktivis PAS. Penyertaannya di dalam gerakan Islam itu harus atas dasar al-fahmu, memahami dan menghayati fikrah dan perjuangan PAS, serta sama-sama mendokong gerak kerja yang diputuskan bersama. Apakah beza pemikirannya dengan kumpulan lain seperti Hizb al-Tahrir atau ABIM, ia harus jelas dan terbina secara tersusun lagi kemas melalui agenda tarbiyah masing-masing. Mengetahui perbezaan bukan untuk mencetuskan perbalahan, tetapi supaya boleh mendefinisikan diri.
Bagi yang mencelah dengan idea “ana Muslim, full stop“, boleh berehat di tepi padang sehingga dijemput masuk. Saya sedang cuba menyelesaikan sindrom “tepat tetapi tidak jelas”.
TITIK PENYATUAN
Tinggal satu lagi persoalan penting iaitu di manakah soal kerjasama dan penyatuan itu boleh berlaku?
Atas dinamika fikrah masing-masing, sikap (attitude) yang positif, kecenderungan kepada titik persamaan mengatasi perbedaan, di situlah kerjasama harus dibina.
Halangan kerjasama, bukanlah pada berbeza jemaah atau berlainan fikrah. Musuh kerjasama dan perpaduan ialah SIKAP dan SERKAP. Serkap fikiran berupa prasangka dan andaian di zon selesa masing-masing.
Akan tetapi, cabaran akan menjadi lebih kritikal jika cubaan penyatuan dibuat di atas kekaburan dan kekeliruan. Tidak memahami apa yang menjadikan JIM itu JIM, PAS itu PAS, lantas mencadangkan titik yang tidak kena dengan realiti.
Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tentukan dahulu apa yang kamu percaya, siapa diri kamu, dan di situlah bermulanya usaha besar untuk kerjasama dan penyatuan yang diimpikan.
Fikrah saya jelas dan di atas kejelasan itu, saya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk pergi ke mana-mana program, bekerjasama dengan sesiapa sahaja dan seterusnya membantu pada apa yang boleh dibantu. Semuanya harus didahului oleh usaha menentukan apa yang kita percaya lantas menentukan siapa kita.
DALIL
“Tak ada dalil ke ustaz? Main logik akal sahaja?”, tanya pelajar tersebut.
“Ini common sense. Pemikiran yang tidak logik, adalah musuh kepada dalil! Betulkan cara berfikir sebelum meminta dalil.”, itu sahaja yang mampu saya jawab buat masa ini.
Ayuh kemaskan fikrah, untuk kelancaran dakwah.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 K
Thursday, April 15, 2010
Tamrin Dakwah Generasi IPOD
“Mengapa usaha memahamkan generasi muda hari ini tentang dakwah mesti berbeza dengan usaha kepada generasi 10 atau 20 tahun yang lalu?” salah seorang peserta bertanya kepada saya.
Tajuknya adalah berkaitan dengan Penjenamaan Semula Dakwah (Rebranding Dakwah).
Soalan itu tepu dengan isu.
Kepantasan teknologi maklumat, sistem pengangkutan dan serba serbinya, menjadikan perbezaan umur 10 tahun itu cukup besar dan membentuk jurang generasi yang signifikan.
Saya menjawab soalan yang ditanya itu dengan cerita.
15 TAHUN YANG LALU
“Assalamualaikum” saya memberi salam.
“Waalaikum salang. Nok bercakap dengang siapa?” jawab seorang perempuan usia pertengahan dengan loghat Terengganu yang pekat.
“Dengan Shamsuding, mokcik. Anok Pok Amang!” saya membalas.
“Pukul berapa mu nok cakap?” tanya beliau lagi.
“Pukul 4, buleh dok mokcik?” saya cuba mencadangkan masa.
“Insya Allah. Mu telepong balik deh pukul empak!” jawab makcik berkenaan.
“Alhamdulillah. Terima kasih mokcik. Assalamualaikum” saya lega.
Mungkin dialog di atas menimbulkan kehairanan jika dibaca pada tahun 2009. Tetapi itu adalah perkara biasa yang pernah saya alami 15 tahun lalu semasa mahu bercakap dengan seorang rakan yang tinggal di Marang. Hanya ada satu telefon awam sahaja di kampung berkenaan. Makcik yang rumahnya terletak di sebelah telefon ini, menjadi kenalan saya secara tidak langsung semata-mata kerana beliau menjadi orang tengah untuk saya bercakap dengan Syamsuddin.
SALING MEMERLUKAN
Kebanyakan aktiviti, memerlukan kita untuk saling perlu memerlukan, bertolong-tolongan serta berinteraksi antara satu sama lain.
Tetapi suasana itu bukan lagi suasana yang mendominasi kehidupan masyarakat kita di tahun 2009. Khususnya di kalangan remaja.
Jika dahulu, hanya ada satu radio kotak kayu di kampung, justeru untuk mendengar radio, semua orang harus bertemu, dan berkumpul. Interaksi berlaku.
Kini suasana itu digantikan dengan Ipod atau Walkman yang menyumbatkan telinga setiap pemilik untuk berada di dunianya sendiri, terpisah daripada segala yang berada di sekeliling. Ia membunuh interaksi.
Jika dahulu, kebanyakan permainan yang menghibur petang kanak-kanak adalah permainan yang memerlukan mereka untuk bermain bersama-sama. Galah panjang, konda kondi dan banyak lagi. Ia merangsang interaksi.
Tetapi zaman berlalu dan permainan itu digantikan dengan Playstation.
Jika di suatu ketika, Playstation II masih dimainkan sekurang-kurangnya dengan seorang regu, tetapi kini dengan kemunculan PSP, Playstation juga menjadi permainan peribadi yang mengheret pemiliknya masuk ke satu dunia yang terpisah daripada persekitaran. Ia membunuh interaksi.
Interaksi adalah proses yang mengembangkan potensi pemikiran, emosi, fizikal dan spiritual seorang manusia. Kerana itu, bayi amat memerlukan kepada interaksi bersama ibu bapa dan manusia yang ada di sekitarnya. Seorang bayi yang dibesarkan tanpa interaksi yang memenuhi keperluan naluri ini, membesar dengan kecacatan jati diri yang serius.
Malah ketiadaan interaksi akan menghilangkan cermin bagi seseorang untuk meneroka potensi dirinya. Sama ada dirinya sentiasa ‘perasan bagus’ atau tenggelam dalam kelemahan kerana gagal mengeluarkan potensi diri yang sebenar.
“Souls are like athletes who need opponents worthy of them if they are to be tried and extended and pushed to the full use of their powers” – Thomas Merton
Interaksi inilah yang dibunuh oleh cara hidup semasa.
Justeru, Islam mengangkat interaksi dan pergaulan yang menjadi keperluan fisiologi, emosi, mental dan spiritual ini sebagai tuntutan agama. Interaksi dinobatkan sebagai amal yang afdhal bagi setiap Mukmin.
“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”
IMPLIKASINYA
Implikasi kemunduran interaksi dan pergaulan amat melata.
Ia membentuk sikap tidak peduli (Aku Tidak Pedulisma?) dan amat mementingkan diri sendiri (self centered).
Bermula daripada terhakisnya hubungan sesama ahli keluarga, merosotnya kerukunan tetangga, hinggalah menjurus kepada sulitnya seruan dakwah dijadikan agenda kehidupan.
“Usaha untuk menjernihkan fikrah tentang dakwah, bukan lagi soal memberikan kefahaman kepada rakan-rakan kamu tentang dakwah, malah ia memerlukan satu usaha untuk mengubah cara hidup (lifestyle) amilin dakwah GEN-Y ini. Itulah cabaran besarnya!” saya menyimpulkan penjelasan.
Besar isunya.
Tamrin fikrah GENERASI IPOD bukan sekadar menghuraikan maksud dalil-dalil yang bercakap tentang dakwah. Tetapi merancang satu latihan amali yang boleh meyakinkan generasi muda ini untuk keluar daripada kepompong zon selesa mereka, ‘menyusahkan diri’ dengan mengambil peduli terhadap orang lain… iaitu sesuatu yang sangat bertentangan dengan apa yang telah didefinisikan sebagai kehidupan oleh GEN-Y ini.
“Macam mana caranya?” tanya peserta kursus amilin dakwah tersebut kepada saya.
“Saya tiada jawapan mudah. Tetapi apa yang saya lakukan sekarang kepada kalian, itulah sebahagian ikhtiar yang boleh dipertimbangkan,” saya menjawab.
Dakwah bukan semata-mata kewajipan. Ia adalah wasilah memberi yang menghadiahkan makna hidup. Kepuasan.
Dakwah bukan semata-mata akibat tekanan persekitaran dan segala faktor luaran. Tetapi ia adalah dakwah yang inside-out.
Dakwah bukan stress, kerut dahi, bermuram durja, tetapi ia boleh ceria, mendamaikan juga menenangkan.
Dakwah itu bisa menyeronokkan. Lebih seronok daripada mendengar IPOD dan bermain PSP.
Anda mampu menikmatinya.
Mulakan dengan mekanisma Solat Berjemaah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Jenayah Akademik Aktivis Dakwah
“Insya Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita”, kata seorang exco dakwah di sebuah kampus.
Kata-katanya itu sedap didengar, tetapi realitinya separuh benar separuh batil.
DULU-DULU
Dulu-dulu saya pernah membaca majalah sebuah gerakan dakwah yang kini sudah diharamkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang aktif berdakwah hingga tidak sempat membuat persiapan untuk peperiksaannya, telah bertawassul dengan nama mursyid jemaah beliau lalu tertidur di dewan peperiksaan. Sebaik sahaja siswi itu terjaga, kertas peperiksaannya sudah penuh dengan jawapan dan beliau mendapat keputusan yang cemerlang!
Itu kalau versi ‘hikayat menjadi’.
Bagi yang tidak menjadi, pernah di suatu era, ada aktivis dakwah yang menganggap kesanggupan menggagalkan diri dari pengajian atas nama dakwah adalah satu PENGORBANAN yang ditabik rakan sepasukan.
Kita tolong Allah, Allah akan tolong kita… mudah sahaja sifirnya.
Contoh-contoh ekstrim begitu adalah fenomena biasa di era 70′an dan 80′an. Era orang mencampak televisyen ke sungai kerana ‘membenci dunia’.
HARI INI
Namun hari ini, contoh begitu mungkin sudah tidak sebegitu biasa kita dengar. Perbuatan membuang pengajian atau pekerjaan kerana mahu berdakwah sudah jarang-jarang sekali sampai ke telinga kita. Akan tetapi, sikap yang berlegar pada mindset yang sama itu masih sering dilihat dalam catatan aktivis dakwah di kampus hingga ke hari semasa.
Dek kerana kerapnya saya berprogram bersama pelajar universiti, saya terus menerus mengesan masalah ini berlaku di sana sini. Bahawa ramai pelajar yang bersemangat dan aktif dengan dakwah, kecundang di bilik darjah. Kecundang di dewan kuliah.
Apakah golongan yang kecundang akademik hanya dari kelompok dakwah?
Tentu sahaja tidak.
Mereka yang lemah di bidang pengajian atau mungkin terus gagal, terdiri daripada mereka yang beridentitikan pelbagai. Mungkin yang mabuk bercinta, mungkin yang kaki gig, mungkin yang tiada sebab apa-apa sekali pun. Punca kemunduran akademik memang pelbagai. Malah saya tidak terkejut jika ada pelajar yang kecundang pengajian hanya disebabkan oleh cuaca!
Tetapi apa yang ingin diperbahaskan kali ini adalah soal hubung kait aktiviti dakwah dengan aktiviti kuliah.
‘ESCAPISM’
Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?
Di suatu ketika, saya pernah menyeru anak muda aktivis dakwah supaya mencari keseronokan di dalam mengerjakan amal Islami. Cari nilai untuk menyalakan KEINGINAN YANG MEMBARA. Jangan hanya bergantung pada soal kewajipan, tekanan suasana dan mengikut trend semata. Dakwah itu mesti inside-out. Ia harus datang dari kepercayaan diri bahawa setiap satu tugasan dakwah, menambah makna dan nilai dalam hidup.
Tetapi dalam masa yang sama, keseronokan dakwah itu jugalah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab mengapa aktivis dakwah di kampus hilang minat dan tumpuan pada pelajaran. Mereka bertemu dengan kepuasan dan keinginan di dalam dakwah, tetapi tidak di bilik kuliah.
Sama sahaja… sama ada pelajar di bidang pengajian Islam, mahu pun sains atau undang-undang, ia boleh terjadi. Penyakit hilang minat dan keghairahan terhadap mata pelajaran di bilik kuliah sering berlaku.
Dakwah menjadi tempat mahasiswa dan mahasiswi ini melarikan diri dari tekanan, kebosanan dan segala perasaan negatif yang dialami semasa menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan assignment. Segala perasaan yang tidak seronok lagi merimaskan itu, dapat dilupakan seketika semasa hadir ke dalam usrah, tamrin, ceramah, malah demonstrasi.
Bukan sahaja program dakwah harakiyyah, malah sebahagian pelajar lebih konsisten dan hadir dengan penuh minat ke kelas-kelas menadah kitab dan pengajian tidak formal tetapi mengabaikan kelas, peperiksaan dan tidak endah pada kemerosotan keputusan peperiksaan.
ALASAN
Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.
“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!”, kata seorang pelajar.
Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.
Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.
MENOLAK ‘ACUH TIDAK ACUH’
“Abang nak makan ayam masak merah”, kata seorang suami kepada isterinya.
Lalu si isteri ke dapur, digorengnya ayam, ditumisnya sos yang merah, dicampur keduanya dan dihidangkan di dalam pinggan percuma semasa membeli ubat gigi kotak besar.
“Suprani, bapak mahu makan ayam masak merah”, kata lelaki yang sama itu, kepada pembantu rumahnya.
Lalu si Suprani pergi ke dapur, digoreng ayam, dibuat kuahnya seelok mungkin, ditabur pula dengan daun sup, dihias dengan bawang besar, cili belah empat kembang bunga, dan dihidang di dalam pinggan Pyrex bersama nasi panas.
Agak-agaknya, tanpa perlu berbahas dan berdebat, kita sedia maklum yang tentu sahaja si lelaki itu tadi lebih berminat untuk makan ayam masa merah hasil masakan Suprani berbanding isterinya sendiri. Dua-dua ayam masak merah, tetapi ayam masak merah si isteri itu acuh tak acuh. Cincai kata sesetengah orang. Manakala ayam masak merah si pembantu rumah, biar pun yang memasaknya adalah pembantu rumah, tetapi kesungguhannya memasak menyebabkan lelaki itu lebih teruja untuk mencubanya.
Sifirnya mudah.
Tiada manusia yang suka dengan hasil kerja ala kadar, bagai melepaskan batuk di tangga. Dan sebelum kita sesama manusia lebih memilih hasil kerja yang ada nilai kesungguhan, Allah SWT itu sebagai Tuhan lebih Memandang hasil kerja dan ibadah hamba-Nya yang dilakukan secara yang terbaik. Optimum.
Itqan.
Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendak habl min al-naas sesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada habl min Allah!
Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam.
Lupakah kita kepada firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang terbaik yang boleh engkau ambil bekerja adalah orang yang mempunyai kekuatan lagi amanah” [Al-Qasas 28 : 26]
Kesempurnaan pada kelayakan seseorang yang ingin diberi tugasan adalah gabung jalin yang kemas di antara integriti dan kompetensi. Bukan sahaja mempunyai kualiti akhlaq malah memiliki kemahiran, ilmu pengetahuan dan segala kekuatan yang diperlukan untuk sebuah tugasan.
Kita tidak mahu gerakan Islam dan barisan saf perjuangan Islam dipenuhi dengan longgokan sisa manusia yang tidak berkualiti. Membiarkan pencapaian masing-masing di dalam akademik pada tahap atas urat, adalah suatu pengkhianatan kepada ketinggian dan kemuliaan Islam.
KEPUTUSAN PEPERIKSAAN BUKAN SEGALANYA
Setuju. Saya setuju 100%.
Sebab itu saya tidak pernah mengajak kita mengukur kecemerlangan hanya berpandukan keputusan peperiksaan. Ada banyak faktor yang mempengaruhi keputusan peperiksaan, biar pun selalunya ia berpihak kepada yang tekun berusaha.
Kecemerlangan yang diperlukan ialah pada komitmen pelajar yang da’ie, menempuh proses pembelajaran, dan bukan hanya berorientasikan output. Maksud saya, sama ada seorang pelajar itu hadir ke kelas, mengikuti kuliah, membuat kajian, menulis assignment… itulah sebenar-benarnya penentu kecemerlangan. Segala proses itu penting kerana ia merupakan latihan sebenar kepada pemikiran dan daya ilmiah seorang pelajar. Di dalam kelaslah dia belajar berfikiran kritis, belajar bertemu dengan pandangan-pandangan yang berbeza, belajar bersoal jawab, belajar bertanya dan belajar menjawab… iaitu segala-galanya yang di kemudian hari menjadi asas terpenting untuk memimpin dan menerajui masyarakat.
Dan sudah semestinya, jika kelas dihadiri, kajian dibuat, menulis assignment diselesaikan, sedikit sebanyak ia akan menghasilkan natijah yang bagus di akhir musim peperiksaan.
Tetapi kalau kita berhasil menjawab keputusan peperiksaan hanya kerana ‘bernasib baik’ apabila soalan dihafal secara last minute, tetapi tidak ke kelas, tidak mengikuti PROSES pembelajaran, maka segala-galanya tidak ke mana. Lantas segenggam ijazah pun belum tentu ada nilainya!
Pendakwah yang mengkhianati proses pembelajaran semasa di alam menara gading, mereka amat berpotensi untuk masuk ke masyarakat dengan kualiti kepimpinan yang lemah… ekoran pemikiran tumpul yang tidak diasah semasa di alam belajar!
AKIBAT LEMAH AKADEMIK
Kadang-kadang kita menganggap akademik hanya sebagai wasilah. Sekadar tiket untuk memenangi kepercayaan masyarakat. Seumpama lesen.
Tetapi kita sering lupa, lemahnya penguasaan diri terhadap ilmu-ilmu di kelas akan memberikan implikasi yang buruk di masa hadapan… bukan hanya semasa alam pekerjaan bahkan boleh melarat hingga ke Akhirat.
Syariatullah
Pelajar pengajian Islam yang tidak menguasai pengajiannya akibat lemah tahap pembelajaran akan terdedah kepada jenayah di masa depan.
“Ustaz, apa hukumnya zakat KWSP?”, tanya seorang jemaah di surau.
“Alamak… itulah benda yang pensyarah bincangkan tapi aku tak pergi kelas masa tu!” rungut si ustaz di dalam hatinya.
“Err… saya rasa tak payah kot!”, jawab si ustaz ala-ala mujtahid.
Tidakkah perbuatan itu suatu pengkhianatan? Memberikan panduan muamalat yang salah kepada masyarakat, mengingkari Syariat Allah SWT lantaran kecuaian dirinya sendiri semasa di alam pembelajaran. Semasa belajar sudah biasa tak buat homework, bila berceramah pun tak buat homework.
Itu jenayah terhadap Syariatullah.
Sunnatullah
“Err, pesakit diabetik ni nak suntik 1 unit atau 10 unit atau 100 unit insulin ya?”, seorang doktor muda berteka-teki di dalam dirinya.
Akibat kemalasannya terhadap kelas pengajian, atau belajar secara ala kadar, beliau menyuntik pesakitnya dengan 100 unit insulin sedangkan peraturan tubuh badan yang ditentukan Allah SWT hanyalah pada kadar 6 ke 10 unit.
Pesakit mati mengejut akibat hipoglesimik.
Berdosa atau tidak? Jenayah atau tidak?
Dosa terbit bukan hanya kerana melanggar hukum Syariat tetapi juga hukum Sains. Seorang ustaz yang tidak berkompetensi, sama sahaja dengan seorang doktor, jurutera, atau apa sahaja pekerjaan profesional yang tidak berkompetensi.
Mencetus mudarat..
Maka ala kadar dalam menguasai bidang pengajian masing-masing bukan sekadar masalah sikap yang biasa. Ia mampu membunuh!
Ke mana anda mahu membawa dakwah jika duduk di tengah masyarakat sebagai ustaz yang tiada amanah ilmiah atau doktor yang tiada amanah yang sama?
You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video
‘Berdosa’ mengabaikan Bahasa Inggeris?
ALLAH MESTI TOLONG
Akhirnya sampai kita kepada alasan paling biasa.
Kita manusia biasa, tetapi sering mengharapkan benda-benda yang luar biasa.
“Kalau kita tolong agama Allah, mesti Allah akan tolong kita!”, yakin benar seorang aktivis dakwah kampus berkata begitu.
Cuba perhatikan firman Allah SWT:
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]
Allah SWT berjanji akan membantu.
Tetapi syarat asasnya adalah TAQWA.
TAQWA itu adalah kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT… meliputi Syariatullah dan Sunnatullah. Ia telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar semasa memperkatakan tentang kualiti Muslim yang mesti bukan sahaja SYARIATIC (komited dengan Syariatullah) malah SCIENTIFIC (komited dengan Sunnatullah).
Jika kita baca sejarah perjuangan Rasulullah SAW, baginda tidak pernah mengambil jalan mudah memperalatkan statusnya sebagai seorang Rasul dan pejuang kebenaran untuk melengah-lengahkan persediaan. Tidak pernah baginda berkata “kalau Allah yang perintahkan aku berjuang, mesti Allah akan tolong menangkan aku!” Tidak sama sekali.
Biar pun sehimpun janji dikurniakan Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan, Baginda SAW sentiasa mengambil asbab kemenangan secara optimum.
Jika dianalisa peristiwa Hijrah, Baginda SAW telah mengatur sehebat-hebat strategi dan persiapakan untuk menjayakannya. Begitu juga dalam perang-perang yang lain. Strategi yang pada hari ini layak digelar sebagai SAINS KETENTERAAN.
Termasuk juga dalam soal pentadbiran, pengurusan dan kerja seharian. Baginda SAW tidak pernah memalaskan diri dalam ikhtiar dan usaha hanya kerana keyakinan bahawa “Allah bersama kita!”.
Tetapi aktivis dakwah hari ini ramai yang mudah tersasar.
Mereka tanpa segan silu dan malu, merengek-rengek meminta kemenangan sedangkan ikhtiarnya tidak seberapa. Hanya kerana Allah menjanjikan kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan kebenaran, mereka melengahkan usaha, tidak seperti orang tidak berTuhan yang tiada janji kemenangan! Pejuang kebatilan melakukan sepenuh daya upaya mereka untuk perjuangan mereka… kesungguhan yang sepatutnya menjadi isi dan kulit manusia berTuhan seperti kita.
BERLATIH MENGURUSKAN REALITI
Sesungguhnya aktivis dakwah di kampus yang gagal menguruskan pengajian di samping tugasan dakwah… mungkin bakal menjadi aktivis yang turut gagal apabila keluar dari kampus.
Tahun 2 pengajian jauh lebih sibuk dari tahun 1.
Tahun akhir jauh lebih sibuk dari tahun-tahun yang sebelumnya.
Bekerja sebelum pengesahan jawatan jauh lebih sibuk dari tahun akhir pengajian.
Bekerja selepas pengesahan jawatan akan disibukkan pula dengan alam berumahtangga. Dari satu emak satu bapa, menjadi dua emak dua bapa. Dari satu kelompok sepupu menjadi dua kelompok sepupu. Dari 5 jemputan kenduri semasa cuti bertambah menjadi 10… semua itu akan berterusan.
Tatkala komitmen semakin reda, jantung pula sudah lemah, darah sudah bertekanan tinggi, urat dan sendi sudah tidak sihat lagi.
TAMRIN DISIPLIN
Sesungguhnya keupayaan seorang pelajar menguruskan akademiknya adalah TAMRIN yang paling penting untuk menghasilkan kualiti pengurusan realiti yang diperlukan apabila pelajar ini meninggalkan alam pengajian.
TAMRIN itu adalah TAMRIN DISIPLIN. Latihan mendisiplinkan diri iaitu berusaha untuk mengawal diri agar komited melakukan perkara yang kita tidak suka, demi meraih apa yang kita suka, suatu hari nanti. Di samping beroleh keseronokan sebagai momentum di dalam dakwah, jangan lupa bahawa ada perkara tidak seronok yang perlu kita pelihara sebaiknya.
“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [Al-Baqarah 2: 216]
Mungkin di alam TAMRIN akademik, bilik kuliah adalah medan perang yang kamu benci… padahal ia ditentukan Allah sebagai KEBAIKAN buat dirimu.
Berdisiplinlah!
p/s: pelajar yang enggan memikul amanah dakwah dengan alasan kesibukan akademik juga harus banyak berkoreksi dan memuhasabah diri…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
saifulislam.com/?p=2070
TAMPAN lagi
Tamrin Panjang:Satu Dokumentasi di Luar Jamaah 11
Posted in Politik Mahasiswa with tags ABIM Perlis, Ahli Unit, Bai'ah, Hizbut Tahrir, Ikhwan, IRC, Ittiba' As Sunnah, Jemaah Islam Kampus, JIM, Mati Jahiliyyah, PMI, Qiyadi Training Camp, Tabligh, Tahaluf Siyassi, Tamrin Jelas Fikrah, Tamrin Panjang, Tanzim, Ustaz Dahlan, Wan Norhayati Alias on February 1, 2009 by maharajazhouTamrin Panjang(TAMPAN) merupakan rahsia besar dan sulit yang paling besar bagi Jamaah Islam Kampus(JIK) dengan nama rasminya Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di seluruh kampus di Malaysia. TAMPAN mempunyai nama lain mengikut kampus masing-masing. Di UTM seperti pendedahan Wan Norhayati Alias, TAMPAN dikenali sebagai Tamrin Jelas Fikrah(TJF).
Pendedahan Wan Norhayati Alias merupakan satu lagi bentuk dokumentasi TAMPAN. Namun, penulis berpendapat TJF mengikut cerita lisan Wan Norhayati bercampur-baur dengan tamrin setaraf QTC(Qiyadi Training Camp, khusus untuk pimpinan JIK di Universiti Malaya) yang mungkin turut beliau sertai di UTM sebagai pimpinan.
Namun, bagi mereka yang hendak mengetahui TAMPAN dan bai’ah selain dari penulisan penulis, pengkaji ataupun sesiapa yang berminat bolehlah merujuk kepada mukasurat depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh, 2 September 2001 yang bertajuk, “Gerakan Bawah Tanah di IPTA-Bekas Pelajar UTM Dedah Aktiviti Berselindung Di Sebalik Usrah dan Tamrin”.
Hakikatnya, kebocoran TAMPAN, Bai’ah, dan Tanzim (Organisasi) JIK sudah lama berlaku di universiti terutamanya di Universiti Malaya. Ia berlaku di kalangan bukan ahli Jamaah (selepas ini dirujuk sebagai Ahli Unit atau singkatannya AU) tetapi rapat dengan ahli jamaah ataupun surau. Mereka selalunya terdiri daripada ahli surau Kolej yang terlepas daripada mengikuti program TAMPAN tetapi berjaya untuk tinggal di Kolej tanpa menggunakan tiket Balai Islam ataupun satu ketika dulu JKP Kerohanian selepas Tahun Pertama.
Kebocoran juga berlaku jika terdapat bukan AU yang sering bersama dengan kelompok AU. Namun, kebocoran ini “tidak serius” dan tidak membawa masalah kepada Jamaah, tetapi, amaran dan peringatan sering diberikan dalam perjumpaan 2 kali sebulan kesemua AU iaitu Kuliah Ilmu (KI) supaya menjaga kerahsiaan ini dan hadzar(berhati-hati) dalam membicarakan perkara dalaman Jamaah terutamanya jika suasana melibatkan bukan AU.
Selain dari itu, kebocoran maklumat tentang Jamaah (seperti mana yang dipercayai oleh AU) mungkin melalui suluh ataupun risikan Polis. Boleh dikatakan selain dari pendedahan Wan Norhayati Wan Alias, tiada pendedahan serius yang pernah berlaku terutamanya kepada masyarakat di luar yakni ibu bapa, ahli politik bukan PAS dan pegawai-pegawai Universiti samada ahli akademik mahupun bukan akademik.
Perkara ini melegakan JIK/PMI kerana pendedahan ini dianggap sebagai pembohongan apatah lagi jikalau berita tersebut adalah mengenai parti pembangkang di media arus utama. Sepatutnya Persatuan Akademik dan Bukan Akademik perlu menyiasat perkara ini kerana ia melibatkan mahasiswa serta mereka adalah badan yang berkecuali dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak. Namun, disebabkan kehangatan suasana politik yang tidak menyebelahi mana-mana unsur pro-establishment mahupun benar, perkara ini dibiarkan tanpa kajian dan usul periksa daripada mana-mana pihak melainkan politikus mahasiswa.
Pada tahun 2004, tiga tahun selepas pendedahan Wan Norhayati Wan Alias dipandang sepi, isu Bai’ah, Tamrin dan gerakan sirr(underground) PAS di kampus dibangkitkan semula untuk menawan kampus Perdana (UM) selepas beberapa kampus ditawan oleh pihak Anti JIK/PMI. JIK telah lama memegang kuasa dan generasi AU yang terbina sebelum ini tidaklah sekuat di zaman Zanul Azizi Zakaria. Kehebatan Ramadhan Fitri Ilyas sebagai Presiden MPPUM dan PMIUM (Amir Jamaah Islam Kampus) tidak dapat menongkah arus yang dimulakan oleh Wan Norhayati Alias ini.
Kemunculan Laman mahasiswa Anti JIK/PMI seperti Idealis Mahasiswa memangkinkan berita tentang kes Wan Norhayati. Isu ini dijadikan modal untuk pilihanraya kampus (PRK) tahun 2004 yang menjadi salah satu faktor jentera PRK JIK Universiti Malaya mengundurkan diri. Dengan ini, isu TAMPAN merupakan isu penting yang menjadi titik nadi kepada JIK.
Sebenarnya, peri pentingnya TAMPAN, Bai’ah dan Tanzim JIK ini tidak difahami oleh mereka yang berminat dengan politik mahasiswa yang bukan berlatarbelakangkan JIK atau secara luasnya termasuk ahli Jamaah Tanzim JIM/IRC, ABIM Perlis (pimpinan Ustaz Dahlan) dan serpihan-serpihan Ikhwanul Muslimin. Perkara ini juga gagal difahami oleh pegawai Hal Ehwal Pelajar Universiti, Penyelia-penyelia Kolej, Pengetua-Pengetua Kolej, Timbalan-Timbalan Naib Canselor (HEPA), Naib-naib Canselor dan pemegang taruh Universiti di Kementerian Pengajian Tinggi.
Kebanyakan dari mereka menganggap kemenangan pihak Anti JIK/PMI dalam PRK, pembuangan aparat-aparat JIK dari kolej-kolej kediaman dan kesusahan dalam urusan melaksanakan aktiviti PMI(dan aparatnya di Kolej-kolej Kediaman) sudah memadai untuk menghancurkan PMI. Tetapi, hakikatnya, PMI hanya boleh dihancurkan dengan satu mekanisme iaitu menghalang perlaksanaan TAMPAN dan bai’ah dari berlaku samada melalui serbuan oleh pihak Keselamatan ataupun Polis semasa TAMPAN dilaksanakan ataupun halangan sewaktu peserta TAMPAN akan dihantar ke lokasi TAMPAN. Namun, perkara ini tidak pernah diambil tindakan oleh pihak HEP dan pihak Keselamatan Universiti. Pihak Polis hanya boleh bertindak jika ada laporan rasmi ataupun aduan yang meminta agar TAMPAN oleh pihak Universiti ataupun Presiden MPP/MPM dan wakil-wakilnya. Jika pihak Polis Bukit Aman mempunyai maklumat TAMPAN setinggi Bukit Aman pun, tanpa laporan dan aduan, tindakan tidak boleh diambil.
TAMPAN adalah kebanggan dan wajah hitam bagi PMI. Kebanggaan kerana ia menghasilkan tenaga kerja yang patuh, taat dan efisien kepada Jamaah. Keefisienan ahli Jamaah membolehkan orang Melayu-Islam duduk setaraf dengan persatuan-persatuan yang didominasi oleh orang Bukan Melayu di Universiti. PMI adalah antara yang boleh duduk dan berdiri dengan megah sama dengan persatuan-perstauan kaya tersebut (Persatuan Sains Universiti Malaya, Persatuan Kejuruteraan Universiti Malaya dan banyak lagi) tanpa bantuan HEP dan Universiti untuk menjalankan aktiviti. Ini berpunca daripada bai’ah yang mengingatkan AU terhadap perlunya taat dan patuh kepada suruhan Jamaah walaupun terpaksa mengorbankan diri.
Ia juga merupakan wajah hitam kerana ia adalah wajah paksaan dan juga pemisahan kepada ahli-ahlinya setelah mengikatkan diri dengan bai’ah kepada JIK. Ia merupakan paksaan kerana tiada titik untuk pulang sebaik sahaja bai’ah dilafazkan. Apatah lagi ia berlaku kepada individu-individu yang tiada asas agama dari fakulti bukan agama yang tentu sekali tiada fakta ataupun hujah untuk melepaskan diri daripada bai’ah.
Malah, ada dari mereka yang cuba menjadi lebih dari Akademi Islam untuk mencapai taraf thiqah (dipercayai) di dalam jamaah. Oleh itu, biasanya mereka yang bukan API lebih keras percayanya kepada jamaah dan lebih kuat bekerja sebagai jentera dan aparat jamaah samada di kampus ataupun di luar.
Pasca bai’ah mewujudkan pemisahan antara mereka yang berbai’ah dengan tidak berbai’ah. Maka, wujud bukan sahaja isu ras/etnik/suku kaum, agama ataupun warganegara tetapi juga AU dan Bukan AU. Orang yang tidak berbai’ah kepada JIK/PMI/PAS dianggap sebagai mereka yang mendokong panji-panji jahiliyyah. Maka, orang yang mati di luar jamaah dianggap mati di dalam jahiliyyah walaupun ibu bapa mereka sendiri (hatta ibu bapa mereka yang berfikrah PAS tetapi tidak mengikuti tanzim dan tarbiyyah PAS seperti mereka).
Oleh itu, selain dari dua kalimah shahadah, bai’ah dan tarbiyyah JIK juga penentu kepada sejauhmanakah keIslaman mereka. Tidak hairan, kerahsiaan jamaah juga meliputi ibu bapa mereka walaupun ibu bapa mereka itu ahli PAS yang berjawatan di cawangan ataupun bahagian. Pemisahan ini juga jika difahami dengan tajam, meliputi isu mencari pasangan. Maka, ahli yang memahami konsep mati jahiliyyah tadi sudah tentu hanya mencari pasangan yang “halal” dari kalangan jamaah mereka sahaja dan ingin memastikan zuriatnya juga kekal dalam kalangan orang yang tidak mati jahiliyyah.
Oleh itu, segregasi ini mewujudkan juga orang Islam bukan AU (BAU) yang neutral yakni simpati kepada jamaah tetapi bukan ahli jamaah, dan juga BAU yang harbi yakni mengikuti jamaah-jamaah pesaing seperti Jamaat Tabligh, JIM/IRC, Hizbut Tahrir, Ittiba’Us Sunnah dan lain-lain. Jamaah-jamaah lain dianggap sebagai pemanggil-pemanggil kepada seruan jahiliyyah. Ini kerana mereka tidak akan berbai’ah kepada JIK/PMI/PAS dan pimpinannya dan tumpah setia mereka kepada jamaah lain.
Sewaktu perang Jamaah iaitu selepas kemasukan Anwar ke dalam UMNO sehinggalah Tahaluf Siyasi (kerjasama politik) pada tahun 1998, musuh utama jamaah adalah yang bertanzim Ikhwan seperti PKPIM/ABIM dan seterusnya JIM/IRC. Tabligh tidak digemari tetapi kurang diperangi secara serius kerana mereka banyak mencuri anak usrah JIK dari bertamrin untuk mengikuti aktiviti keluar di hujung minggu dan tidak mahu berpolitik.
Mereka yang mengikuti TAMPAN sepatutnya jelas fikrahnya dan mengenali jamaah-jamaah yang berlainan ini dan tidak terjebak dengannya. TAMPAN juga bertanggungjawab menceritakan pengkhianatan Anwar Ibrahim terhadap Jamaah Islam Kampus dan PAS serta salah lakunya terhadap PAS dan kebobrokan pentadbirannya di dalam kerajaan termasuklah tangan-tangannya di HEP setiap Universiti.
Namun, selepas Tahaluf, peperangan terhadap Anwar dikendurkan. pengaruh tabligh berjaya dikurangkan di surau-surau Kolej. Sasarannya difokuskan kepada pimpinan negara yang dianggap sekular berbanding dahulu kepada Anwar dan rakan-rakannya yang berfikrah “Islamik”.
TAMPAN melahirkan ahli yang uniform dan monotonous sebagaimana suatu perekrutan untuk menghasilkan tentera. Kerencaman yang keterlaluan, tidak diraikan. Siswa yang berperawakan sekular yakni tidak berbaju melayu, berjanggut ataupun berkopiah dan seumpamanya dianggap kurang tarbiyyah walaupun dari kalangan orang lama. Namun, setelah berlaku kekalahan dan juga pendedahan program perkaderan PAS di kampus, pimpinan JIK mengurangkan penampilan tradisi mereka untuk membolehkan survival mereka samada untuk merekrut ataupun meneruskan agenda politik mereka di kampus.
JIK yang lama amat meraikan imej-imej PMI lama seperti wujud dalam diri Faisal Mustaffa. Namun, setelah berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi semasa, Ahli Unit yang terhasil dari TAMPAN agak rencam penampilannya dan tidak tertakluk dengan satu imej dan identiti semasa. Wujud watak-watak seperti Zainulfaqar yang lantang dan pelbagai personaliti (penulis percaya dia juga lantang mengkritik jamaah dan polisinya tetapi atas dasar kefahaman, ia tidak diutarakan secara terbuka), Hasbi Muda yang biasa sahaja penampilannya dan tidak menampakkan dirinya seperti pimpinan tradisional JIK/PMI dari segi luarannya. Ataupun seperti Hilman Nordin yang cuba mendekati dunia luar lebih dalam bahasa Inggeris sesuai dengan dirinya sebagai bakal professional.
TAMPAN dan hasilannya mungkin secara tidak sengaja pernah menjadi isi kepada thesis Gerakan Islam di peringkat Sarjana Muda tetapi ia lebih kepada harapan dan fakta tanpa melihat secara langsung kepada hidup mahasiswa yang sudah diTAMPANkan dan interaksi mereka dengan persekitaran mereka. Namun, secara akademik jika tidak kerana faktor hadzar dan sirr, ia boleh menjadi topik menarik untuk kajian sosiologi dan psikologi terutamanya untuk memahami warna-warni yang dibina oleh upacara TAMPAN terhadap hidup mahasiswa yang sepatutnya tidak hanya sekadar berlegar di sebalik AUKU, Demonstrasi dan PRK semata-mata.
Wan Norhayati
sumber-Akhbar Mahasiswa
Prakata
Pengakuan bersumpah Wan Norhayati Wan Alias, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terkandas dalam pelajaran amat menarik dikupas. Gadis yang berasal dari Kelantan, yatim piatu itu mendedahkan secara terperinci bagaimanakah modus operandi Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), Universiti Teknologi Malaysia beroperasi dalam pengakuannya yang dibuat pada 1 Januari 2001. Pengakuannya itu diperakukan oleh Yang Dipertua Mahkamah Tengah, Pengadil atau Pesuruhjaya Sumpah Malaysia Cawangan Johor Bharu pada tahun yang sama.
Dalam surat sumpah yang bertandatangan oleh pengakunya itu beliau mengaku dengan tulus ikhlas, dengan penuh kepercayaan dan sedar apa-apa keterangan yang terkandung di dalamnya adalah benar serta menurut Undang-undang Sumpah Akuan, 1960.
Pengakuan gadis yatim piatu
Apa yang paling menarik dalam pengakuan ini adalah dibuat oleh seorang gadis yang telah kematian ibu bapa, menyertai gerakan PMI sehingga terkorban diri sendiri. Sekiranya pengakuan ini dibuat oleh seorang lelaki nilai pengakuan itu dianggap kurang berkesan kerana jiwa lelaki lebih kental untuk mengharungi kehidupan ini. Lagipun femomena lelaki yang terkandas dalam pelajaran kerana terlalu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum di kampus sering didengari dan menjadi perkara biasa.
Wan Norhayati adalah simbol anak gadis Melayu-Islam yang sedang mencari arah tujuan, berasal dari kampung, merantau ke ibu kota, mendiami kampus untuk melanjutkan pelajaran bagi memenuhi tuntutan masa depannya. Rupa-rupanya di dalam kampus, terdapat banyak godaan sampingan dan bukannya menumpukan kepada pelajaran sepertimana hasrat awal kemasukan gadis itu ke menara gading. Godaan yang paling kencang bertiup adalah ‘ arus kebangkitan dakwah’ yang digerakkan oleh persatuan Islam kampus.
Tambah menarik lagi PMIUTM adalah simbolik kepada seluruh PMI tempatan kerana sistem dan modul untuk melatih ahli adalah sama cuma berbeza dari segi waqib(tempat) dan individu-individu yang terlibat di dalamnya sahaja.
Ingin mendalami agama - terjebak dalam usrah
Anak gadis yang baru kematian ibu ketika mula-mula menjejaki kampus benar-benar rasa kesunyian dan hilang tempat bergantung. Hidupnya sebatang kara, meninggalkan sanak saudara yang tidak lagi mempedulikan dirinya. Tambahan pula, tiada bantuan kewangan daripada keluarga membuatkan anak gadis itu benar-benar tertekan.
Hilang tempat bergantung, kesunyian dan menghadapi masalah kewangan membuatkan Wan Norhayati memilih eskapisme baru sebagai jalan keluar iaitu memasuki Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) dengan matlamat untuk mengisi kekosongan diri dan mendalami ilmu-ilmu agama.
Pada tanggapan luaran, gadis itu memandang PMIUTM sebagai badan dakwah yang semata-mata untuk meningkatkan pengetahuan agama di kalangan ahli-ahlinya atau paling tinggi sebagai badan yang memperjuangkan agama Islam, tanpa dipengaruhi oleh anasir-anasir luar khususnya yang berkaitan dengan politik. Sebagai orang luar, dia melihat PMIUTM sebagai intan permata yang boleh memberi manfaat kepadanya dan bergerak secara sendirian tanpa mempunyai hubungan dengan pihak luar.
Kemasukan dalam PMIUTM dan penerimaan sebagai anak usrah sebagai bukti pengesahan ahli pada semester 1, 1998/1999 benar-benar telah mencorak kehidupannya selama mana dia masih bertahan dalam kampus. Sebagai sebuah pertubuhan Islam kampus yang sudah tersohor, yang telah masak dalam arena latihan pelajar, secara berkala dari tahun ke tahun, modul yang terancang dan sistematik telah direncana bermula dari kemasukan seseorang itu menjadi ahli usrah, hinggalah tamat pengajian seseorang itu di kampus. Sukatannya telah disusun dengan rapi yang mengandungi persoalan asas agama, membina diri, membina fikrah politik, membina semangat juang dan mempertahankan fikrah serta membina daya berkhidmat dengan organisasi dan akhirnya berkhidmat sebagai mata rantai organisasi, penaung organisasi dan parti politik organisasi yang menaungi persatuan tersebut. Perkara ini tidak disedarinya ketika mula diasuh dalam modul usrah.
Boleh disimpulkan, dengan menjejaknya kaki Norhayati ke alam usrah, membuatkan kehidupannya telah diatur dan dia tidak mampu untuk keluar daripada kitaran maut yang telah dimodulkan itu, kecuali dia mampu menghabiskan pelajaran dengan baik atau kandas dalam pelajarannya. Kebiasaannya, orang-orang seperti Norhayati tidak mampu untuk mencapai keputusan cemerlang kerana terdapat bebanan sampingan yang terpaksa dipikul di samping bebanan asal yang amat rumit, iaitu akademik.
Malangnya bagi Norhayati, beliau ditakdirkan tidak mampu membuat imbangan dan telah termasuk dalam kitaran maut iaitu terkandas dalam pelajaran.
Tiga Tamrin pemantapan kader
Setelah mengenali dunia usrah, Wan Norhayati telah dibawa mengembara ke alam pemantapan fikrah dan kepimpinan organisasi iaitu melalui tiga kem asas. Pertama “Kem Tamrin Jelas Fikrah”(Membentuk pemikiran jelas sokong parti). Kedua, “Kem Tamrin Walaq” (Membentuk kesetiaan) dan ketiga, “Kem Tamrin Nuqaba”(Latihan pemantapan bagi kepimpinan).
Peringkat pertama - Tamrin Jelas Fikrah, hanya terbuka kepada orang-orang tertentu yang dikenalpasti daripada kumpulan usrah. Matlamatnya untuk membersihkan pegangan pemikiran dan pendirian dalam politik. Ahli akan didedahkan mengenai pengenalan gerakan Islam dan dibuat perbandingan antara satu sama lain iaitu perbandingan di antara JIM, ABIM, JAM, UMNO dan PAS.
Peringkat kedua adalah perbandingan antara UMNO dan PAS dan kesimpulan akhir, para peserta diyakinkan bahawa hanya PAS yang menepati Al Quran dan Sunnah. Semasa dalam latihan para peserta dikehendaki berbaiah (sumpah) kali pertama untuk memastikan peneguhan fikrah dan memastikan rahsia tidak dibocorkan kepada pihak lain yang tidak bertanggungjawab (universiti/kerajaan).
Peringkat kedua - Tamrin Walaq,tertutup kepada orang-orang tertentu yang dikenalpasti dipilih daripada Tamrin Jelas Fikrah. Matlamatnya untuk melatih kesetiaan dan latihan menyimpan rahsia organisasi. Latihan ala komando dikenakan ke atas para peserta untuk memastikan matlamat itu tercapai. Antaranya berjalan secara berkumpulan dengan menghadapi rintangan demi rintangan dari satu ‘check point’ ke satu ‘check point’.
Pada tempat ‘check point’ setiap kumpulan diwajibkan memilih salah satu individu iaitu AJK UMNO (dilabel sebagai orang jahat) atau AJK PAS (dilabel sebagai orang baik). Kedua-dua AJK itu adalah penyamaran yang sengaja dibuat.. Sekiranya setiap kumpulan tersalah memilih AJK UMNO, perjalanannya akan terbantut dan terpaksa berpatah balik ke check point sebelumnya, tetapi sekiranya setiap kumpulan berjaya memilih AJK PAS, perjalanannya boleh diteruskan dengan selamat ke check point seterusnya.
Para peserta juga dibawa berjalan malam dan ditempatkan keseorangan di dalam gelap untuk menguji daya ketakutan. Semasa latihan diadakan para peserta sekali lagi disuruh berbaih (sumpah) kali kedua di hadapan amir (ketua lelaki) dan amirah (ketua perempuan) untuk taat setia tanpa berbelah bahagi.
Peringkat ketiga-Tamrin Nuqaba, tertutup hanya kepada orang-orang tertentu yang dikenalpasti daripada Tamrin Walaq. Matlamatnya untuk melatih para ketua lelaki (naqib) dan ketua perempuan (naqibah) menjadi ketua-ketua usrah bagi mengantikan naqib dan naqibah yang telah tamat pengajian. Dalam tamrin ini, para peserta diajar berdasarkan modul yang telah ditetapkan oleh pihak PMI dan modul itu adalah sama digunakan untuk setiap orang.
Modul ini adalah dokumen sulit hanya dimiliki oleh naqib dan naqibah dan tidak boleh didedahkan kepada pihak lain termasuk anak usrah. Naqib dan naqibah diwajibkan menjaga anak usrah baru (pelajar-pelajar baru) kebiasaanya di antara lima hingga sepuluh orang bagi satu kumpulan. Menurut pengakuan Norhayati, setiap kolej disyaratkan mempunyai 12 orang naqib dan naqibah.
Baiah (sumpah) dengan nama Allah
Setiap peserta yang mengikuti Tamrin Jelas Fikrah dan Tamrin Walaq, wajib melalui proses pengukuhan diri dan kesetiaan kepada organisasi yang dinamakan baiah (sumpah). Tujuannya adalah untuk memastikan setiap peserta benar-benar ikhlas, tidak membocorkan rahsia dan berkorban apa sahaja , serta patuh dengan arahan ketua, organisasi dan parti.
Baiah dimulakan dengan lafaz "bismillahi rahmani rahim, bersumpah dengan nama Allah, akan taat setia dalam perjuangan menegakkan agama Allah, sanggup berkorban jiwa dan raga, patuh dengan arahan ketua, organisasi dan parti dan tidak akan membocorkan rahsia pergerakan kepada pihak lain".
Setiap ahli yang berbaiah akan diperteguhkan dengan sepotong ayat Al Quran “ Barangsiapa yang berjuang di jalan Allah, Allah akan pasti menolongnya kembali” [Surah al Hajj (22) : 40]
Setiap ahli ditanam dengan pegangan bahawa sesiapa yang tidak taat kepada arahan, tidak ikut berjuang dan tidak menjaga hazar (rahsia) akan ditimpa oleh bala kerana sebelum ini telah bersumpah menggunakan nama Allah.
Menjadi naqibah dan pemegang jawatan
Untuk memantapkan seseorang itu sebagi naqibah, bengkel susulan naqibah akan dilakukan secara berkala setiap hujung minggu, di dalam atau di luar kampus
Semasa bengkel, para naqibah diajar bagaimanakah cara untuk memikat ahli usrah baru dan mengenalpasti ciri-ciri anak usrah baru untuk dimasukkan ke dalam usrah. Sasaran utama adalah pelajar tahun satu yang masih mentah dalam alam kampus. Antara ciri-ciri untuk memikat anak usrah adalah pertama pelajar yang bermasalah dan memerlukan pergantungan, pelajar yang tidak mempunyai ideologi politik atau pelajar yang telah mempunyai ideologi politik sama yang diperjuangkan oleh PMI iaitu PAS.
Menjadi naqibah bermakna seseorang itu telah melepasi tiga kem tamrin asas yang dinyatakan di atas dan seseorang itu sudah layak untuk memegang amanah sebagai naqib/naqibah dan memegang jawatan-jawatan lain yang diputuskan oleh organisasi.
Menurut pengakuan Wan Norhayati semasa dia menjadi naqibah, tiga jawatan lain telah diwajibkan untuk dipegang serentak iaitu, Bendahari dalam Lujnah Ekonomi Hizbi Islami, Timbalan Pengerusi Forum Tamparan Wanita, anjuran PMI dan Exco Biro Pelapis Markaz Siswazah Kelantan (MSK).
Kesimpulan
Secara umumnya dapat disimpulkan Wan Norhayati Wan Alias terperangkap antara cita-cita memperbaiki diri dan memahami tuntutan agama. Pada awalnya, dia hanya berhasrat untuk menambahkan ilmu-ilmu agama dengan harapan apabila agama penuh di dada akan menjadikan dirinya lebih sempurna sebagai seorang muslim.
Tanpa diduga, PMIUTM hanyalah jaringan untuk memerangkap mahasiswa-mahasiswi yang berniat ikhlas sepertinya. Tersirat di sebaliknya, badan organisasi , PMIUTM, yang berdaftar di bawah Hal Ehwal Pelajar adalah flatform untuk membawa orang-orang sepertimya mengenali pertubuhan haram Hizbul Muslimin (HI) yang merupakan lembaga sebenar pengawal PMIUTM.
Versi awal gadis itu memahami Islam, sebelum memasuki dan terlibat secara serius dalam badan itu adalah agama yang mementingkan pembangunan diri dan mengamalkan persaudaraan Islam. Tambahan pula, impian awalnya PMIUTM dilihat sebagai badan dakwah yang berusaha untuk mengadakan dailog kefahaman Islam dengan bukan Islam. Tetapi setelah dia diprogramkan dengan modul yang telah disediakan, versi Islam yang sampai ke dalam dirinya adalah versi politik, mementingkan semangat kepuakan melampau, dibebani dengan pelbagai tanggungjawab, terpaksa berkorban jiwa dan raga untuk organisasi dan politik serta penuh dengan prasangka yang memecah belahkan antara sesama Islam.
PMIUTM adalah pertubuhan berdaftar tetapi tidak berkuasa, tetapi HI adalah pertubuhan tidak berdaftar tetapi lebih berkuasa. Sebab itu, orang-orang seperti Norhayati akan berasa berbangga dapat memegang apa-apa jawatan dalam HI.
PMIUTM adalah mata rantai HI untuk mencapai cita-cita yang lebih besar sebagai mata rantai PAS. Maknanya Wan Norhayati hanya diprogram untuk menjadi kader-kader PAS melalui jaringan sulit HI dan PMIUTM.
Soalnya berapa ramai lagi mahasiswa/i Melayu akan dikorbankan selepas ini seperti Wan Norhayati Wan Alias, semata-mata mencapai matlamat parti PAS memenangi pilihan raya?
sumber: idealismahasiswa
Sebab-Akibat
Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...
-
Parti Islah Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 setahun selepas penyatuan Yaman Utara dengan Yaman Selatan. Kongres Rakyat Umum (GPC) dari U...
-
BAB 2: ROH PERJUANGAN GMI ‘Islam bukan agama teori dan ritual sahaja tetapi Islam adalah agama praktikal yang perlu diterjemah sebagai satu ...
-
Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT yang mempunyai...