BINGKISAN WASIAT SULTAN AZLAN SHAH (SULTAN PERAK): PERINGATAN UNTUK RAJA PERINTAH, POLITIKUS DAN RAKYAT AGAR CAKNA PERLEMBAGAAN
1.Majlis pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980.
"Sebenarnya, penasihat istana ini adalah terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara."
"Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat. Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata."
"Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya".
2.Titah Sultan Azlan Shah Sempena Hari Keputeraan ke 80 tahun
“Walaupun Raja bertindak atas nasihat ketua kerajaan, tetapi Raja tidak wajar memberi perkenan jika nasihat yang diberikan itu tidak mencerminkan keadilan”
“Berasaskan semangat Raja Berperlembagaan, seseorang Raja mempunyai peranan untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, memberi galakan dan dorongan serta memberikan sesuatu peringatan dan teguran”
"Raja sewajarnya menggunakan akal bicara, menggunakan hikmah mempertimbangkan secara arif lagi bijaksana dalam memberikan sesuatu perkenan terutama dalam perkara berhubung kepentingan negeri dan rakyat,"
“institusi Raja perlu bijaksana memberi tafsiran kepada semangat yang terkandung dalam konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kedua-duanya tidak seharusnya dijadikan instrumen menghalalkan cara jika perkara yang dinasihatkan itu sama sekali bertentangan dengan undang-undang dan bercanggah dengan prinsip Perlembagaan”
“kerajaan negeri yang baru hendaklah meneruskan usaha pembangunan lebih pesat dan melaksanakan urus tadbir secara adil dengan setiap rakyat wajib diberikan perhatian yang saksama tanpa mengira agama, kaum, jantina dan fahaman politik”
“kepentingan negeri dan rakyat hendaklah mengatasi kepentingan politik kepartian”
"Masa berkempen telah berakhir. Kini adalah masa bekerja. Berkempen dan bekerja sangat berbeza. Segala janji hendaklah dipenuhi, segala kata perlu dikota.
"Segala fikiran, tenaga dan sumber hendaklah dijuruskan untuk memajukan negeri, terutama usaha menambah baik prasarana, menarik pelaburan, merapatkan jurang pendapatan, menyediakan perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah, membasmi kemiskinan, membangunkan modal insan dan mewujudkan peluang pekerjaan,"
3.Seminar khas Perlembagaan Persekutuan Tahun 2009
“satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan. Peranan sebenar raja pemerintah, jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan”
“Pengekalan institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa. Sebaliknya, Raja mempunyai peranan untuk memastikan keberkesanan mekanisme semak dan imbang yang dapat membantu memperkukuh institusi demokrasi.
"Selaku ketua negara, Raja berperanan sebagi tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa.”
"(Ini merupakan) peranan, tugas dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (dan) demikian juga Raja-raja Melayu yang digariskan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan.
"Ini bermakna Raja-raja ada kuasa dan tanggungjawab kenegaraan yang berlandaskan undang-undang namun Beta pernah mengingkatkan bahawa Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara berperlembagaan,"
“Perbezaan antara yang satu tidak memiliki batasan kuasa, sedangkan kuasa yang satu lagi berpandukan perlembagaan, tetapi adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan Presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan.
"Peranan sebenar seorang Raja Pemerintah itu jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan,"
“Semangat utama yang tersirat di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan adalah untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang stabil, aman, bersatu padu dan makmur, yang akan dicapai melalui ikatan perpaduan dan penyatuan di antara warga yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa”
"Perlembagaan itu digubal sedemikian rupa bagi menjamin berlakunya keadilan, memberikan perlindungan secara saksama baik kepada yang kuat mahupun yang lemah, baik kepada kumpulan majoriti mahupun kepada kumpulan minoriti, baik kepada orang yang memerintah mahu yang diperintah, baik yang melindungi Raja begitu juga yang melindungi rakyat,"
“Telah tercapai kata muafakat bahawa setiap warga Malaysia itu terjamin diberikan perlindungan secara adil - secara saksama, terpahat kesediaan mengakui hakikat bahawa anak peribumi itu amat jauh ketinggalan daripada segi pencapaian sosio ekonomi, kekayaan, penguasaan harta dan kemahiran”
“Bahawa kebimbangan peribumi perlu difahami dan untuk itu orang Melayu demikian juga bumiputera diberikan jaminan melalui peruntukan-peruntukan tertentu yang memberikan mereka keistimewaan”
"Pada masa yang sama orang bukan Melayu yang telah berhijrah ke bumi ini, yang memperlihatkan kesetiaan kepada Raja dan negara, yang mengamalkan sikap ,"di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung", diberikan perkenan untuk diterima sebagai rakyat Malaysia,"
“Perlembagaan Persekutuan dihasilkan atas semangat rundingan, persefahaman, hasrat untuk membina penyatuan rakyat, dengan matlamat membina sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat.
“Demi keamanan dan kesejahteraan negara, rakyat hendaklah disemaikan dengan budaya kehidupan yang berlandaskan kepada semangat Perlembagaan - semangat yang menghormati undang-undang serta institusi penguatkuasa undang-undang”
“Jika prinsip asas itu tidak dipatuhi lagi dan mahu diketepikan kerana pengaruh budaya luar yang cuba diserapkan, dikhuatiri negara akan terheret kepada satu anarki”
"Akhirnya kelangsungan sejarah negara bangsa, keamanan dan kesejahteraan akan tinggal sejarah,"
3.“The Role of Constitutional Rulers”
oleh Raja Azlan Shah, Ketua Hakim Negara
“walaupun Raja mempunyai budi bicara dalam melantik Menteri Besar, bila parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan salah seorang Ahli Dewan Undangannya sebagai Menteri Besar, Raja tidak mempunyai pilihan lain selain untuk melantik beliau”
“jika seseorang Raja mengenepikan hasrat parti dan melantik Ahli Dewan Undangan lain yang tidak mampu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan itu, ini boleh membawa kepada timbulnya undi tidak percaya ke atas beliau yang akan menyebabkan Raja itu sama ada melantik ahli lain atau membubarkan Dewan Undangan”
Baginda (Sultan Azlan Shah) selaku Yang di-Pertuan Agong IX bersama-sama Raja-Raja Melayu lain sebenarnya telah membuat perisytiharan mengenai perkara ini, bersama-sama 9 perkara lain, “untuk mengelakkan sebarang salah tafsiran mengenai kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa”, dalam Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan bertarikh 4 Julai 1992.
4.Majlis Kesyukuran 30 tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah
Peringatan Sultan Azlan Shah ialah
(1)Berpegang kepada prinsip ketuhanan, (2) menginsafi kebesaran Yang Maha Mencipta,(3) berbanding kedaifan insan bertaraf hamba dengan memperlihatkan (4) sifat tawaduk, (5) kemanusiaan serta kasih sayang sesama insan, (6) di samping tidak melakukan kezaliman sesama makhluk dan (7) tidak melakukan kemusnahan kepada alam ciptaan Ilahi.
(8)Menyedari bahawa setiap nikmat adalah anugerah Ilahi. (9)Setiap insan wajib mengamalkan sifat bersyukur agar dikurniakan nikmat lebih besar, (10) disamping menerima ujian dengan penuh ketabahan
5.Majlis Wacana Ilmu sempena ulang tahun baginda yang ke-81 di Institut Tadbiran Islam Perak.
”Sebarang gerakan mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan bumiputera bukan sahaja melanggar peruntukan asas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Perkara yang termaktub dalam kedua-dua perlembagaan itu adalah persetujuan yang dicapai secara bersama ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan”
“Ia dicapai dalam semangat memberi dan menerima serta memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum”
''Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu.”
''Oleh itu, apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan perkara ini, bukan sahaja melanggar peruntukan asas di dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri malah mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong begitu juga kedaulatan Raja-Raja Melayu,"
''Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka,''
”penyimpangan daripada semangat asal yang dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.”
”Pada masa sama, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan sehingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.
''Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum lain yang sah dari segi undang-undang turut dilindungi,"
”malah yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku kerana setiap warganegara yang sah adalah rakyat yang harus diberikan keadilan yang setimpal.
”Rasa bimbang mengenai perubahan sikap terhadap insan berilmu, cerdik pandai dan profesional yang jumlahnya makin bertambah tetapi tidak mempunyai sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang merupakan elemen penting mewujudkan kestabilan.
''Hari ini institusi ilmu tumbuh bercambah tetapi aspek kesopanan dan kesusilaan bagaikan tidak diutamakan lagi. Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi negara bukan sahaja tidak dihormati malah dipersenda secara terbuka.”
''Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian.
''Atau kemungkinan sedang berlakunya satu keadaan tidak seimbang di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga alpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan,"
”ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment