Ramai ulama ternama tidak bersetuju dengan kewujudan dan tindak tanduk gerakan Islam dan para Islamis pada hari ini. Antara yang terkenal ialah Dr Ali Jumaah, Dr Usamah al Azhari, Dr Muhammad Said Ramadhan al Buti, Syeikh Abdullah Benbayyah dan lain-lain (terutamanya Majlis Hukama).
Antara kesimpulan pandangan
mereka ialah
1. Jangan
memperalatkan Islam demi kepentingan dan keuntungan individu dan jemaah Islam
(termasuk parti politik).
2. Kecenderungan
individu dalam jemaah terjerumus dalam budaya ekstrem, radikal, teroris,
taksub, fanatik, jumud dan takfir. Jemaah dan parti lebih utama daripada Islam.
3. Cenderung
dengan kebencian, rasa diri lebih baik, kemarahan, dendam, dengki, buruk
sangka, mencari salah, suka menghukum, maki memaki dan fitnah.
Persoalannya, jika Islamis
dan gerakan Islam berundur daripada dunia politik, siapakah yang mengambil alih
kekosongan yang ditinggalkan oleh Islamis dan gerakan Islam? Nak harapkan
sekularis, pluralis, nasionalis, liberalis dan komunis memperjuangkan agenda
Islam dalam politik?
Suka atau tidak, sekelompok
daripada umat Islam kena menyertai politik kepartian. Ini tugas berat.
Tanggungjawab dan amanahnya besar. Silap langkah jatuh ke lubang fitnah dan
dosa. Kita wajar berterima kasih kepada mereka kerana mereka sudi dan sanggup masuk
ke ruang mudarat ini bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar.
Dengan segala bagai masalah,
cabaran dan fitnah dalam dunia politik yang mengoncangkan iman dan memburukkan
akhlak, kelompok Islamis yang serba kurang, lemah dan tidak dapat lari daripada
kesilapan ini terpaksa menceburi ruang politik yang serba tak kena itu. Kita
sebagai rakyat kena pantau, tegur, nasihat, beri peringatan dan kritik segala
kesilapan, kesalahan dan kealpaan mereka.
Secara idealnya, kita mahu
Islam memerintah dengan kewujudan kekhalifahan, negara Islam dan pelaksanaan
syariat. Kita melaungkan idealisme dan cita-cita serta impian kita sebagai
muslim dengan lantang. Hakikat
sebenarnya, dari segi realiti sekarang,
perundangan, teknikal, kefahaman dan kesedaran serta cabaran rakan kongsi kuasa
politik, ia bukanlah usaha yang mudah dan memerlukan masa untuk merealisasikan.
Kesabaran dalam menghadapi pemeringkatan perubahan mesti ada bagi orang
beriman.
Fokus sebenarnya politik
umat Islam pada hari ini ialah penambah-baik urus tadbir negara, kemakmuran
ekonomi dan kesejahteraan/kebajikan rakyat. Tugas terbesar gerakan Islam dan
Islamis ialah menunjuk bukti dan prestasi dalam mengurus tadbir negara dengan
taqwa dan berakhlak. Kemudian memberi kesedaran dan kefahaman agar pemimpin dan
rakyat tentang agenda Islam.
Negara Islam dan pelaksanaan
syariat Allah bukanlah dapat diselesaikan dalam masa sehari. Ia mesti
dilaksanakan dengan bijak berdasarkan pertimbangan dan keutamaan tertentu.
Fokus ekonomi dan kebajikan rakyat bukannya perundangan atau perlembagaan.
Jangan ulangi kesilapan Presiden Morsi, FJP dan IM di Mesir.
Kesimpulan kita.
1. Kita
meraikan perbezaan pandangan ulama. Terimalah berdasarkan kemampuan dan konteks
kita. Kita boleh cenderung kepada mana-mana pihak selagi dalam suasana beradab
dan ilmiah. Betul atau salah kita bergantung kepada ilmu dan akhlak kita
menangani perbezaan.
2. Luruskan
niat, patuhi syariat, tidak menyusahkan orang lain, doa dan jalan terus.
3. Pada
zaman ini, ulama dan pendakwah MESTI tunjuk akhlak orang baik yang CAKNA rakyat
di lapangan rakyat melalui dialog, teman diskusi, majlis ilmu, ziarah rumah ke
rumah, muzakarah dalaman, pertemuan 4 mata dan usaha/amal kebajikan dengan
sifat ikhlas, kasih sayang dan tidak mahu menyesatkan saudaranya (al ghirah).
4. Politik
dalam Islam ialah mencari dan mendokong pemimpin adil yang faham agama dan memerintah
dengan faham agama. Awalnya, ia tiada kaitan dengan parti atau jemaah. Dalam
politik moden, (1)parti mempunyai kuasa mengarahkan pemimpin agar mengakuri
keputusan parti dan (2)setiap parti menjadikan perlembagaan dan ideologi
sebagai panduan yang perlu difahami dan diikuti oleh anggotanya. Dua perkara
menyebabkan parti dain ideologi juga menjadi asas kepada kita dalam memilih
pemimpin.
No comments:
Post a Comment