Tuesday, March 16, 2021

Sempadan Ketuhanan

 Sempadan Ketuhanan

“Aku hanya manusia beridea, bukan manusia berideologi tetapi mahu menjadi manusia beragama. Mencari erti beragama dicelah-celah pengalaman masyarakat.”
Krisis identiti dan persoalan ketuhanan adalah lumrah dalam fasa-fasa kehidupan kita sebagai manusia. Seawal kanak-kanak lagi kita bertanya Allah tinggal di langit ke, mak? Kita sudah lihat bagaimana Pak Dr Kassim Ahmad mencari jalan pulangnya. Ia adalah normal dalam kehidupan. Yang bezanya, bagaimana kita melayani persoalan ini? Apa cara kita nak menyelesaikan persoalan ini?
Krisis identiti dan persoalan ketuhanan berlaku apabila muncul persoalan seperti dibawah:
1.Kenapa aku dilahirkan sebegini? (kes cacat, trangender)
2.Mengapa aku bernasib begini? (miskin, kemalangan)
3.Kenapa Tuhan tidak menolong aku?
4.Siapa pencipta Tuhan?
Perkara ini bertambah berat apabila seseorang itu mempunyai pengalaman gelap dan pahit dengan orang agama, institusi agama, budaya dan penghinaan masyarakat/kelompok yang dilihat menghukum dan tidak menyelamatkan mereka sehingga mereka memberontak dan protes terhadap Tuhan dan agama.
Krisis identiti dan kejiwaan juga berlaku kepada Rasulullah SAW ketika wahyu lama tidak datang sehingga Rasulullah SAW mahu terjun daripada bukit. Nabi Muhammad sendiri keluh kesah dan jiwa kacau. Itu Rasulullah SAW. Kita manusia biasa lagilah lemah sifatnya. Masalah psikologi ini normal bagi manusia. Pada penulis, pertama niat ikhlas untuk berubah dan mencari kebenaran, kedua, panduannya al Quran, ketiga mencontohi sunnah (kehidupan Rasulullah SAW) , keempat pengaulan dengan orang soleh dan kelima berdoa.
Persoalan ketuhanan, fikiran makhluk ada sempadannya. Fikir kita adalah fikiran makhluk, selagi kita berfikir, itulah fikiran makhluk. Persoalan Tuhan tidak mampu terfikir dan difikir oleh makhluk. Maka, ia MESTI ada sempadan. Keluar sempadan, kesesatan itu dekat.
Kita mendengar, Allah Maha Mendengar. Kerana pendengaran kita ada had dan terhad. Sampai di sempadan tertentu, kita sudah tidak dengar bunyi.
Kita melihat, Allah Maha Melihat. Sampai tahap tertentu penglihatan kita kabur dan tidak nampak.
Sempadan fikiran kita ialah surah al Ikhlas. Cukup sampai disitu sahaja sempadan pemikiran kita. Lebih daripada itu, kita tersesat.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...