Sunday, February 21, 2016

MENEMUI ADAB DALAM TAMAN PERBUKUAN

MENEMUI ADAB DALAM TAMAN PERBUKUAN
Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias[1]

Aku membaca bukan hanya untuk tahu. Aku juga ingin bahwa apa yang kubaca itu ikut membentuk sebagian dari pandanganku.” – Ahmad Wahib

Sempena ulang tahun ketiga Bacaan Liar, saya selaku insan kerdil yang sedang belajar cuba menulis apa yang ditemui sepanjang 25 tahun kembara baca ini.

Tulisan Ahmad Wahib di atas mengamit akal-budi kita bahawa betapa pentingnya sebuah pembacaan. Tujuan asasi membaca bukan sekadar untuk tahu tetapi medium untuk merenung-fikir agar lebih dekat [taqarrub] dan menambah keyakinan kepada Allah SWT melalui transformasi (perubahan) atau pengislahan (pembaikian) diri supaya pandangan sarwajagat dan amalan  kita menurut Islam.

Kita menolak konsep reformasi (pembaharuan) dalam perjuangan agama. Islam adalah satu cara hidup yang diberkati oleh Allah tidak memerlukan pembaharuan. Umat Islam perlu islah dan pemurnian agar umat Islam kembali kepada asali bertunjang kalimah syahadah.[2]

Pada hemat saya, berguru biarlah ramai dan membaca biarlah pelbagai tema pemikiran. Sebahagian orang bimbang jika terlalu banyak membaca, seseorang akan berorientasikan akal yang akhirnya menjerumus ke lembah kesesatan.[3] Jawapan saya ialah betul. Tanpa niat yang lurus mahu mencari kebenaran dan mengakuri kebenaran,[4] dan berdoa kepada Allah SWT supaya mengurniakan hidayah, kita boleh tersesat ke jalan keiblisan[kesesatan].

Bahaya jalan keiblisan ini tidak harus menjadi alasan untuk menolak membaca pelbagai tema pemikiran. Tema pemikiran datang daripada sumber ilmu.[5] Sumber ilmu mempunyai dua bahagian iaitu [1] sumber mutlak [al Quran dan hadith][6] dan [2] sumber tidak mutlak. Ia juga dinamakan [1] syariat dan [2] feqah dan [1] prinsip dan [2] ranting. Sumber mutlak ini menjadi sempadan atau batasan akal.[7] Jika akal melampaui batasan ini, ia bermakna seseorang itu memilih jalan keiblisan.[8]

Akal adalah makhluk Allah yang istimewa kerana ia adalah alat meletakkan amalan[9] atau tindakan dan berkemampuan menjadi sumber ilmu pada saat tertentu dengan syarat dibatasi oleh wahyu. Akal perlu ditambat oleh wahyu kerana ia makhluk yang cukup liar[10] dan mampu menyesatkan orang melalui jalan keiblisan.

Jalan keiblisan hendaklah diselesaikan dalam kerangka ilmu[11] bukannya emosi, politik, sentimen dan lain-lain. Ia diselesaikan melalui hujah-hujah dengan menggunakan pendekatan seperti muzakarah, ziarah dan lain-lain. Kita tidak perlu mengharamkan atau membakar buku atau menolak kehadiran tokoh tersebut. Kita perlu menghormati pendirian lawan dan diri lawan walaupun memusuhi tema pemikiran lawan tadi.

Pengakhiran seseorang pembaca adalah terhasilnya pandangan sarwajagat yang dibentuk daripada pembacaan dan pengalaman hidup mereka untuk memandu kehidupan yang seterusnya. Usia berbaki memerlukan pandangan sarwajagat yang benar diselimuti oleh hidayah agar kematian kita dan masa depan akhirat kita mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan.[12]  Pandangan sarwajagat Islam melorongkan akal agar mengikuti jalan hidayah[13] yang dijamin keselamatannya untuk sampai ke destinasi dengan selamat.

Bermulanya Anak Muda Gelisah Jiwanya.

XXII
Kepada langit berlipat-ganda kuberseru,
Menanya : '’Ngan pelita apa Kodrat memandu
Anak-anaknya yang sesat dalam kegelapan?'
Maka Langit menjawab : '’Ngan fahaman yang buntu!'

XXIII
Kenapa tiada taufan mengamuk dilautanmu?
Jiwamu terbelenggu—kemanakah imanmu?
Sia-sia kau melaung menuduh tindasan Takdir—
Kenapa tidak kau menjadi Kodrat Tuhanmu?
[Syed Muhammad Naquib al Attas, Rangkaian Ruba'iyat]

Gelisah jiwa[14] berlaku apabila  akal mula memberontak mencabar agama dan nilai rohaniah agama. Kegelisahan ini adalah fitrah anak muda yang masih mencari identiti mereka sendiri. Kadangkala mereka celaru dan keliru mencampuri dosa[15] dan pahala umpama melayani gig dan pada masa yang sama masih berqasidah di dataran merdeka.

Kita mahu membina bangunan yang gah, tetapi tidak mempunyai tiang yang kukuh. Maka, bangunan tersebut akan mudah runtuh. Itulah umpamanya kita menitik berat ilmu fardu kifayah tetapi melupakan ilmu fardu ain. Dikala ini, ilmu mengenal Tuhan iaitu mengenal sifat 20 puluh dan Asmaul Husna -Nama Allah semakin ditinggalkan. Ilmu mengenal Tuhan dapat menenangkan jiwa kacau dan akal terkeliru.

Gelisah jiwa manusia merupakan satu pemberontakan jiwa terhadap sifat Iradat Allah. Iradat bermaksud BERKEHENDAK. Kita tidak boleh menisbahkan keburukan, kejahatan dan kekejian kepada Allah SWT. Melayani kegelisahan jiwa memerlukan pendekatan yang benar agar tidak termasuk dalam golongan yang menyeleweng. Kefahaman terhadap konsep Sifat 20 dan Asmaul Husna perlu dipertingkatkan dengan keyakinan yang tinggi. Keyakinan dapat dihasilkan dengan kepatuhan kepada kehendak al Quran[16] dan al Sunnah.

Gelisah jiwa manusia adalah jalan kebuntuan dan kesesatan  boleh menjadi pembuka hidayah kepada seseorang.[17] Punbegitu, kita sebagai manusia yang sedar dan seorang pembaca-penuntut ilmu tidak seharusnya terperangkap dengan jalan kebuntuan dan kesesatan ini. Justeru, kita perlu mencari hidayah bukannya menambahkan kebuntuan lagi. Cari guru yang benar dan buku yang benar [sudah tentu al Quran dan kitab hadth] sebagai pemula mengubati jalan kebuntuan dan kesesatan.

Selain guru yang benar dan panduan yang benar, kita boleh mengubati kegelisahan jiwa dengan perkara di bawah;
1.    Menjaga solat berjemaah
2.    Bergaul dengan orang-orang baik dan saleh. Peringkat awal boleh mulakan di masjid dan mengikuti jemaah tabligh dan usrah serta halaqah. Dalam jemaah tabligh kita dapat menghidupkan agama dalam hati, fikir dan amalan kita.
3.    Baca al Quran dengan terjemahan satu halaman setiap hari.
4.    Baca  Kitab Hadith Bukhari dan Muslim, satu halaman setiap hari.
5.    Jangan terikut perasaan- sabar dan berdoa mohon petunjuk Ilahi.

Moga kita menemui kembali jalan hidayah daripadaNya.

Manusia Yang Baik

Kita hidup sebagai individu bukannya sebuah organisasi. Individu adalah asas kehidupan. Penilaian Allah terhadap kita secara individu bukannya organisasi yang kita sertai. Islam mendahului kualiti individu mendahului kebaikan sistem.  Justeru, kita perlu menjadi individu[18] yang dikenali Manusia Yang Baik.

Menurut Dr Syed Muhammad Naquib al Attas, “Manusia Baik ialah manusia yang beradab yakni orang yang insaf sepenuhnya bertanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak; memahami dan menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan sebagai insan adabi”

Manusia Yang Baik ialah manusia yang beradab dan berakhlak. Manusia yang berakhlak dan beradab mengambarkan kemuliaan seseorang[19]. Baginda Rasulullah SAW sendiri menjadi model paling utama tauladan insan yang menganuti agama Islam kerana antara tujuan pengutusan baginda adalah menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia[20].

Orang yang insaf sepenuhnya bertanggungjawab[21] dirinya kepada Tuhan Yang Hak menyentuh tentang tanggungjawab akhlakiah seseorang individu atau insan Islam bagi dirinya seterusnya kepada masyarakat. Syarat utama kebertanggungjawaban ini ialah keadaan baligh seseorang. Tanggungjawab terhadap diri dan Tuhan menjadi tugas baru bagi seseorang yang sudah baligh.

Penunaian keadilan terhadap diri dan masyarakat memerikan kehidupan adabi yang bertatasusila yang luhur iaitu kehidupan bermasyarakat yang teratur dalam kawalan hukum dan undang-undang serta kuatkuasa keadilan dan hikmat kewibawaan pemimpin dan ilmuwan.

Meningkat setiap aspek dalam diri ialah meningkatkan kualiti ibadah kita yakni Islam memandu cara hidup kita termasuk budaya hidup, cara berfikir, tindakan dan suasana hidup kita ada setiap saat. Islam mendepani pemerintahan negara, dalam keluarga, pengurusan organisasi, kerjaya, memberi pendapat dan segala aspek kehidupan. Islam dijadikan hakim dalam menentukan tindakan dan cara berfikir kita.

Sememangnya benar, masuk syurga itu dengan rahmat Allah bukannya pada banyaknya amalan  seseorang Manusia Yang Baik. Cuma Allah SWT telah mengambarkan syarat ahli syurga dalam al Quran dan Rasulullah SAW telah memberi tauladan amalan ahli syurga kepada kita. Kita mesti mengikut syarat-syarat[22] dan mengikut tauladan Rasulullah SAW jika mahu masuk ke dalam syurga.
Beradab Dalam Kehidupan.

Adab dan akhlak adalah buah daripada batang pepohon taqwa. Iman pula adalah akar pepohon tersebut dibajai oleh ilmu. Pemahaman terhadap epistemologi Islam yang benar akan menumbuhkan adab dan akhlak yang baik. Ini sekaligus menolak tanggapan bahawa akhlak lebih utama daripada ilmu. Ilmu yang benar menghasilkan iman yang menumbuhkan akhlak dan adab. Bak kata Imam Ibnu Taimiyyah, “Ilmu adalah ketua bagi amal, amal menjadi pengikutnya”.

Menurut Syed Muhammad Naquib al Attas, adab merujuk kepada pengenalan dan pengakuan yang hak akan tempat yang wajar, kedudukan dan keadaan hidup, dan kepada mendisiplinkan diri dalam penyertaannya secara rela dan positif dalam memainkan peranannya selaras dengan pengenalan dan pengakuan itu, maka berlakunya ia didalam diri dan masyarakat secara keseluruhannya memperlihatkan keadaan keadilan.

Menurut Kamus Dewan, adab ialah tingkah laku serta tutur kata yang halus, budi bahasa, budi pekerti yang halus dan kesopanan. Jika beradab, mempunyai atau menunjukkan ciri-ciri dalam masyarakat. Peradaban pula bermaksud keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani masyarakat. Ia berbeza dengan maksud tamadun iaitu keadaan masyarakat yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran yang tinggi.

Kehilangan adab menunjukkan kehilangan keadilan seterusnya pula mengakibatkan kekeliruan dalam ilmu. Keadilan intisari kepada hikmah. Hikmah ialah kepandaian dan kebijaksanaan. Kata Imam Malik, erti hikmah ialah ‘mengetahui agama, memahami dan menuruti ajaran-ajarannya’.

Kehilangan adab berlaku apabila adanya kekeliruan dalam ilmu disebabkan kehilangan keadilan. Umpamanya sebatang pokok, keadilan [adalah tindakan dan sifat] manusia dengan meletakkan baja [ilmu] pada waktu yang betul dan tempat yang betul [keadilan]. Jika bajanya salah atau diberi secara salah, pepohon tersebut akan mati [kehilangan adab].

Dilema yang dihadapi sekarang boleh disebabkan oleh

1.    Kekeliruan dan kesilapan dalam ilmu, mewujudkan keadaan bagi;
2.    Kehilangan adab dalam lingkungan komuniti. Keadaan yang timbul daripada [1] dan [2] ialah;
3.    Munculnya pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai kelayakan untuk mengisi kepimpinan yang sah bagi komuniti Muslim, yang tidak mempunyai akhlak yang mulia, tidak mempunyai tahap intelektual dan rohaniah yang diperlukan untuk mengisi kepimpinan Islam, yang mengekalkan keadaan dalam [1] di atas itu dan menjamin kekuasaan yang berterusan ke atas hal ehwal komuniti oleh pemimpin-pemimpin seperti mereka yang menguasai dalam semua bidang.

Ilmu bukan sekadar sebagai pengetahuan atau untuk tahu sahaja. Menurut Syed Muhammad Naquib al Attas, ilmu adalah “merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia [ilmu] adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan makna diri seseorang kepada makna tentang sesuatu”.

Ilmu itu untuk perubahan iman dan akhlak seseorang agar lebih beriman dan lebih bertaqwa. Ilmu yang melahirkan kefahaman yang kemudian meningkatkan keyakinan bertuhan dalam diri.[23] Peringkat tertinggi keilmuan seseorang ialah tahap kesempurnaan iman iaitu TAQWA[24] dimana keyakinan kepada Allah SWT berada dalam keadaan tertinggi [hidup mati kerana Allah dan senafas dengan zikir-fikir kepada Allah SWT]. Daripada keyakinan tersebut, amalan dan pandangan sarwajagat Islam dibina dengan ilmu yang benar.

Meraikan Pendapat Bukan Tanda Bersetuju

Membaca buku pelbagai aliran pemikiran boleh menajamkan perenungan kita terhadap Allah dan ia juga boleh menjerumuskan kita ke lembah kebuntuan dan kesesatan. Justeru, pembacaan kita hendaklah dimulakan dengan kalimah, ‘bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan’[25]. Membaca perlu dengan memohon doa agar petunjuk dan hidayah Allah sentiasa diperolehi. Membaca bukan sekadar untuk tahu tetapi mendekatkan diri kepadaNya.

Membaca buku beraneka pemikiran seperti sosialisme, liberalisme dan komunisme, bukan bermakna kita bersetuju dengan buku yang dibaca dan penulis buku tersebut. Kita perlu bersedia dengan sikap ‘Bersetuju menghormati dengan perkara yang tidak dipersetujui’ bahkan kita perlu mengkritik segala kemungkaran dalam proses pengilmuan yang anti Tuhan dan dusta.

Penulis sangat bersetuju, membaca buku untuk mendapat manfaat kepada diri seseorang, mengkaji dan mendapat pengetahuan baru. Hasil pembacaan kita terletak pada sejauhmana perubahan yang berlaku dalam amalan dan pandangan sarwajagat kita?.

Membaca pelbagai aliran pemikiran memberi peluang untuk kita merenung kekuasaan Allah melalui perbezaan yang diciptanya. Wahyu Allah disediakan oleh Allah untuk menilai kebenaran atau kepalsuan setiap bahan yang dibaca.[26]

Manusia adalah Pentafsir Agama

Dan biarkanlah tiap orang memahamkan Qur’an dan Sunnah itu menurut dirinya sendiri.” – Ahmad Wahib.

Setiap manusia berhak mentafsir agamanya sendiri tanpa bergantung harap dengan para pentafsir agama dengan syarat mereka berusaha memiliki ilmu-ilmu yang membolehkan mereka tafsir agama mereka sendiri dan ‘iman yang tulen serta utuh’.[27] Islam tidak mempunyai perantara dalam menjalinkan  hubungan manusia dengan Allah. Pentafsir agama juga memerlukan niat yang lurus bukannya mengikut akal dan nafsu[28] mereka sahaja.

Mentafsir agama tidak boleh menggunakan nafsu[29] dan akal sahaja, ia perlu dibuka dengan ilmu yang benar, kelurusan niat dan wahyu. Ilmu yang benar adalah kunci pintu pentafsiran agama manakala wahyu adalah sumber yang bertindak sebagai hakim atau batasannya. Antara ilmu yang diperlukan ialah ilmu ‘alat’ yang membantu seseorang memahami agama Islam seperti Bahasa Arab, Usul Fiqh dan sebagainya.

Saya bersetuju dengan menggunakan pendekatan tafsir saranan Syed Muhammad Naquib al Attas dimana al Quran ditafsir dengan al Quran dan al Sunnah bukannya ikut suka hati. Pendekatan ini perlu digunakan dalam bidang keilmuan yang lain.

Akal pula adalah alat untuk meletakkan sesuatu keputusan [Ijtihad].[30] Akal kadangkala ia menjadi kunci [ilmu] untuk membuka pintu pentafsiran agama, kadangkala ia menurut kehendak nafsu. Untuk menilai dan menghakimi tindakan akal, wahyu perlu bertindak sebagai hakim untuk mevetokan keputusan akal.

Dalam kes pencarian tuhan, akal akan berusaha dengan keras menanyakan, siapakah mencipta Tuhan? atau Siapakah sebelum Tuhan?. Islam agama yang hebat memberi jawapan yang muktamad dan tidak boleh dipersoalkan lagi[31] kecuali penyoal itu sememangnya tidak beragama [ateis] atau orang gila. Al Quran memuktamadkan persoalan berkenaan dalam surah al Ikhlas, ‘Katakanlah! Dia Allah, Yang Maha Esa, Allah tempat memohon perlindungan. Tiada Dia beranak. Tiada Dia diPERANAKkan. Dan tidak Ada bagiNya imbangan sesuatu jua pun’ [Surah al Ikhlas: 1-4].

Akal seringkali dipengaruhi oleh latar belakang kehidupan dan pengalaman pentafsirnya. Kita boleh melihat, para pentafsir agama mentafsirkan perkara yang sama dengan pentafsiran berbeza. Islam menerima perbezaan ini selagi tidak melanggar syariat Islam dan sumber rujukan Islam [al Quran dan al Sunnah], menghormati perbezaan berhujah dan konteks setempat. Sahabat IIIT umpamanya, cuba mempromosikan model mereka untuk melaksanakan Islam mengikut cara IIIT tanpa memahami konteks tempat tersebut dimana idea IIIT mahu dilaksanakan. Penghayatan dan pembudayaan Islam di negara Barat tidak boleh disamakan dengan negara Islam.

Islam tidak boleh dipengaruhi oleh pengalaman peribadi, pengetahuan dan ilham kita, dan kehendak-kehendak pihak tertentu melalui arahan secara langsung, pembacaan dan diasuh secara langsung. Islam perlu dilaksanakan sebagaimana arahan wahyu dan tauladan Rasulullah SAW. Kesilapan besar Barat ialah mahu Islam mengikut kehendak Barat.[32]

Jika seseorang muslim memiliki ilmu yang benar, mereka tidak perlu lagi berharap dengan merujuk kepada para ulama tetapi terus kepada sumber Islam iaitu al Quran dan al Sunnah. Seperti mana hujah Imam Hassan al Banna dalam Prinsip ketujuh Rukun Faham, ‘setiap orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu’ hendaklah mengikut salah satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji’.

Pada akhir zaman, kita berada dalam dunia yang dipenuhi krisis akhlak, krisis taqwa dan krisis iman. Iman berbolak-balik  berpendirian berlainan sebelah pagi dan petang. Sifat manusia pada hari ini sangat pragmatis. Manusia yang mentafsir agama dikenali ulama (ustaz atau agamawan) atau sarjana Islam, ada juga yang terbabas dari segi akhlak dan amal. Mereka hanyalah manusia biasa yang tidak dapat lari daripada dosa. Sesetengah ucapan mereka untuk kepentingan diri [perniagaan] dan bersifat peribadi serta tiada hikmah [kasar, ego dengan ilmu].

Imam al Ghazali membahagikan ulama kepada dua iaitu ulama akhirat dan ulama dunia.

Mengutip Bunga Di Taman Larangan

Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia tercicir,
Budaya Jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.
[Syed Muhammad Naquib al Attas, Risalah]

Keterujaan terhadap Barat dan termakan budi dengan Barat menyebabkan umat Islam terutamanya pemimpin dan sarjana Islam terperangkap dalam agenda Barat. Mereka mahu kebaikan untuk Islam dan umatnya tetapi mengunakan cara yang salah iaitu cara orang yang tidak mahu mentauhidkan Allah SWT dan menyalahi syariat Islam. Ia sebagaimana dilakukan oleh pencipta hadith palsu. Sesetengah mereka mahu orang Islam melakukan kebaikan seperti banyak solat sunat dengan mencipta hadith palsu tentang kebaikan banyak solat tetapi caranya tetap haram dan salah.

Islam bukannya hanya pada kulit tetapi merangkumi isi. Tanpa isi, buah tidak akan berguna walaupun mempunyai kulit yang cantik. Di Barat, kita belajar metodelogi Islam dan pengetahuan bertaraf kulit sahaja kerana guru, silibus dan tempat belajar itu bukan bertujuan menerapkan keimanan dan ketaqwaan kepada pelajarnya. Ia hanya pengkajian Islam tanpa iman dan tidak mahu melahirkan taqwa.

Belajar Islam di Barat tanpa iman yang kuat dan tiada niat yang lurus dan benar, kita akan terperangkap dengan agenda Barat. Pembaharuan Islam yang dicanang menjadi bahan komestik yang cantik tetapi mempunyai ‘merkuri’ dan ‘silikon’ yang tinggi bakal merosakkan Islam dan umat Islam dalam jangka masa yang panjang. Hero-hero Islam yang dihasilkan oleh Kebudayaan Barat banyak merosakkan Umat Islam dengan gagasan pembaharuan Islam yang khayali.

Nurcholish Majid atau Cak Nur seorang yang berjasa kepada perkembangan Islam. Cuma dalam usaha pembaharuan Islam yang dilakukan olehnya, banyak teras Islam yang cuba diherotkannya. Cak Nur adalah pimpinan gerakan mahasiswa Islam iaitu Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), mempunyai jaringan persahabatan dengan para ulama dan NGO Islam antarabangsa, berwatak genius-intelektual dan pengasas Universiti Paramadina.

Di Malaysia, terdapat beberapa tokoh atau hero Islam yang pemikiran mereka diherotkan oleh gagasan yang menuruti kehendak Barat.

Islam bersifat menyeluruh dan saling berkaitan antara satu sama lain. Mengikut sifir Islam, perkara aqidah melibatkan sifir 2-1 = 0 bukannya logik kebiasaan manusia 2-1=1. Justeru, kita masuk Islam secara keseluruhan.

“Nah, diam-diam kita menganut sekularisme, walaupun dengan lantang kita menentang sekularisme!”, tulis Ahmad Wahib. Humanisme, sekularisme, liberalisme, sosialisme hatta komunisme hasil pemikiran manusia. Suka atau tidak, manusia akan terkait dengan pemikiran sedemikian. Tugas kita sekarang ialah berusaha membersihkan pemikiran tersebut daripada kotak pandangan sarwajagat Islam kita atau menjuruskan elemen baik pemikiran tersebut kepada Islam melalui Islamisasi.

Model Ulama Alternatif Nusantara

Kita menghierarkikan kehidupan kita sebagai Islam-Melayu-Nusantara-Rakyat-Manusia. Lima elemen ini banyak mempengaruhi pandangan sarwajagat kita. Tentang ulama, saya mencari ulama Melayu bukannya ‘Ulama Arab’.[33] Bukannya rasis tetapi ulama perlu berusaha memahami hati nurani dan pemikiran setempat.

Kedatangan Islam ke rantau ini melalui pendekatan dakwah bukannya peperangan. Para pedagang Islam menyebar Islam melalui lisan dan tindakan mereka.

Kebanyakan mereka menetap di Alam Melayu [Nusantara] dan menyebarkan Islam berdasarkan Islamisasi kebudayaan tempatan. Para pendakwah Islam meluruskan pandangan sarwajagat Manusia Melayu, Islamisasi Kebudayaan dan menolak-menapis perkara yang syirik dan melanggar syariat Islam.

Akhir Kalam

Kemuliaan disisi manusia terletak pada akhlak-adab. Kemuliaan disisi Allah, sudah tentu akhlak-adab yang ditunjangi iman.[34] Semua orang makan, makan dengan membaca bismillah lain nilainya dengan makan  tanpa bismillah.

Kehebatan manusia pada akalnya yang memberi pengetahuan memandu manusia untuk memilih keputusan dalam kehidupan.

Akal perlu diikat dengan wahyu,[35] barulah manusia boleh diselimuti oleh kebenaran.[36]

“Aku Mahu mentauladani Muhammad bukannya Ahmad Wahib!”



[1] Penulis adalah seorang peminat FB Bacaan Liar, mencintai ilmu dan buku. Berasal dari sebuah kampung di kawasan luar bandar Terengganu. Slogan diri, ‘tiada kesesatan selepas datangnya kebenaran’ dan ‘Islam Adalah Kemanusiaan’. Kini, melayani-didik anak-anak remaja dalam alam pendidikan. Penulis juga pernah mengemudi blog mahasiswamenggugat.blogspot.com Penafian: penulis bukan ustaz.
[2] Surah Ali Imran: 110. ‘Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf, dan menegah sari yang mungkar dan beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik’.
[3] Surah al Sad: 26. ‘Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah[penguasa] di muka bumi, maka berilah keputusan [perkara] di muka bumi di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan’.
[4] As Syuraa: 10. ‘Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka putusannya [terserah] kepada Allah. [Yang mempunyai sifat-sifat demikian] itulah Allah Tuhanku. Kepada-Nyalah aku kembali’.
[5] Dalam Islam, Allah SWT adalah sumber sebenar ilmu dan diri manusia sebagai makhluk aktif dalam usaha mendapatkan ilmu.
[6] Surah al Hadiid: 25
[7] Surah Yusuf: 21
[8] Surah al Baqarah: 208
[9] Alat berfikir untuk membuat pilihan dan keputusan.
[10] Seperti Teori Evolusi
[11] Surah al Rum: 21-24
[12] Surah Yunus: 45-46
[13] Surah Nahl: 89
[14] Surah al Ma’arij: 19-21
[15] Surah al Baqarah: 42
[16] Surah Yunus: 57
[17] Surah As Syams: 7-10
[18] Surah al Nahl: 97
[19] ‘Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia’ [Surah al Qalam: 4]
[20] ‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan-kemuliaan akhlak’ [Riwayat al Baihaqi]
[21] Surah an Anbiya, 21: 23
[22] Surah Muhammad: 33-34
[23] Surah  al Jumu’ah: 5
[24] Surah Luqman: 21, Surah At Taubah: 30. Kedua-duanya ayat ini mengambarkan satu cipta ciri perbandingan dan kritikan dalam kajian ilmu perbandingan.
[25] Surah al Alaq[96]: 1.
[26] Surah al Israa’, 17: 81
[27] Faham kebenaran Islam bertunjangkan al Quran dan al Sunnah. Syarat utama pentafsiran sumber Islam ialah ilmu dan niat yang ikhlas.
[28] Surah an Nisa’: 135
[29] Surah Sad: 26
[30] Sesuatu keputusan yang bersumberkan ilmu yang benar dibenarkan.
[31] Surah al Anbiyaa’: 92
[32] Menurut Darek Hopwood, kemodenan adalah sesuatu yang menuju ke arah kemajuan dan bersifat Eropah [Pembaratan]. Berdasarkan kepercayaan ini, lebih baik Orang Timur tradisional mengikut jejak mereka dengan mengikut budaya Barat. Pada hemat saya, perkara ini akan mewujudkan pertembungan antara Islam sebagai Cara Hidup dengan Budaya Barat.
[33] Ulama yang tidak menetap di kawasan ini tidak memahami pemikiran, kebudayaan dan hati nurani rakyat setempat.
[34] Surah al Baqarah, 2: 34
[35] Surah az Zumar, 39: 41
[36]  Surah al Kahfi, 18: 29

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...