Sunday, February 21, 2016

ASHIK MENARI DALAM ALAM BACA


Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias

Alhamdulillah, saya yang kerdil dan daif ilmu ini cuba menyahut cabaran abang Rosli Ibrahim  yang saya anggap pujangga [intelektual] rakyat dengan menulis sebuah artikel tentang alam baca. Kekaguman saya terhadap usaha keilmuan abang Rosli mengheret saya menulis sebagai tanda dedikasi untuk Bacaan Liar dan para pengasasnya. Penulisan ini cuba memberi gambaran alam baca saya yang bahan bacanya terhad. Ia juga  mengambarkan tujuan saya melakukan pembacaan dan apa yang saya cari. Lima unsur adipenting pada saya ialah kita sebagai Islam, Melayu, berada Alam Nusantara, Manusia dan Rakyat.

Intelektual  Rakyat

Dalam tradisi Melayu, cerdik pandai lebih dikenali sebagai Pujangga manakala dunia hari ini  sebagai sarjana atau intelek. Pujangga ialah pengarang yang agung dan tinggi mutunya dan ia juga dikenali sebagai ahli fikir atau ahli bahasa. Pengarang pula bermaksud pengubah, pencipta dan penyusun.

Pujangga dalam tradisi Melayu adalah tradisi keilmuan dari Istana. Dalam  Alam Melayu ketika itu, pujangga dan ulama merupakan penasihat utama Sultan selain para ‘menteri’ diketuai Bendahara.

Pada hari ini, masyarakat kita dikhayalkan bahawa intelektual ialah manusia berPhD mendapat kelulusan tertinggi di universiti, banyak baca buku dan memiliki kemahiran, pakar dan profesional dalam bidangnya. Oleh itu, intelek menjadi kelompok eksklusif yang bertapa di universiti dan bercakap dalam forum-forum dan sesetengah mereka menjadi popular sebagai selebriti TV.

Anak muda yang mahu berjinak-jinak dengan pembacaan dan diskusi pula dikatakan pseudo-intelektual. Pada hemat saya, tiada konsep pseudo intelektual bagi seorang pencari ilmu atau pembaca kerana setiap individu mempunyai tahap kemampuan intelektual yang tersendiri berdasarkan latarbelakang pendidikan, pembacaan, pengalaman dan interaksi mereka. Pseudo-intelektual yang sebenarnya dalam kalangan terpelajar terutamanya yang berPhD, elitis berbudaya-bangsawan dan pensyarah universiti. Adakah patut kita menghina seorang pembaca muda setelah kita mempunyai kelulusan PhD? Mereka berPhD bermula daripada mana?.

Ali Shariati menyatakan ‘pemikir reformasi celik’ merupakan individu yang mempunyai tanggugjawab dan misi sosial dalam masyarakat. Pemikir celik bertanggungjawab memberi kesedaran kepada masyarakat umum serta memberi kepimpinan intelektual dan sosial kepada mereka.

F. A. Hayek menyatakan Intelektual bukan semestinya orang pintar. Perkara yang dia miliki ialah:
1.    keupayaan untuk bercakap/menulis tentang pelbagai subjek; dan
2.    cara untuk mengenal gagasan-gagasan baru lebih awal daripada khalayaknya.

Menurut Syed Husein Alatas pula, intelektual ialah orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah, bukan kebendaan, dengan menggunakan kemampuan akliahnya.

Dalam buku Intelektual Masyarakat Membangun, karangan Dr Syed Husein Alatas, beliau telah menyatakan 4 ciri sifat intelektual iaitu

1.      dapat mengenal pasti dan mengajukan permasalahan yang timbul dalam masyarakat;
2.      mampu mentakrifkan permasalahan dihadapi masyarakat;
3.      mampu untuk menganalisis permasalahan tersebut;
4.      mereka juga mampu untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat tersebut dengan menganjurkan solusi yang relevan dan berkesan.

Pramoedya Ananta Toer menyatakan kaum intelektual adalah kaum yang menempatkan nalar (pertimbangan akal) sebagai kemampuan pertama yang diutamakan yang melihat tujuan akhir upaya manusia memahami kebenarannya melalui penalarannya.

Menurut Edward Said, orang intelektual adalah ‘pencipta sebuah bahasa yang benar kepada yang berkuasa’. Menurutnya lagi, orang intelektual pada hakikatnya adalah mengenai pengetahuan dan kebebasan. Kebebasan tanpa terikat dengan kehendak dan kepentingan pihak tertentu.

Sasterawan Negara Dato Usman Awang pula menyatakan Orang intelektual boleh dicirikan kepada 4 seperti di bawah;

1.    Orang yang punya ilmu pengetahuan dan otak yang sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan perkembangan ilmu zaman; Ilmunya tidak basi.
2.    Sentiasa berfikir dan menyumbangkan dan mengembangkan ideanya.
3.    Orang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji, menganalisa, merumuskan segala perkara kehidupan manusia- untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran.
4.    Orang yang mengenal kebenaran dan berani memperjuangkan kebenaran, orang yang mengenal kebebasan dan berani memperjuangkan kebebasan meskipun mendapat tekanan dan ancaman.

Jelas, peranan Orang intelektual ialah pengupayaan daya fikir untuk menyediakan alternatif menyelesaikan permasalahan rakyat.

Orang Intelektual sebenar adalah orang intelektual berada bersama masyarakat dengan melakukan pengislahan dan kesedaran kepada mereka.

Orang Intelektual tanpa PhD dan tanpa jawatan sebagai pensyarah perlu diramaikan dalam masyarakat untuk menyedarkan dan mengislah masyarakat.

Orang Intelektual tanpa PhD memerlukan organisasi yang boleh memobilasikan gagasan pemikiran mereka secara praktis dalam menyedarkan dan mentransformasikan pemikiran dan sikap  rakyat jelata. Ia bukan setakat berdiskusi dalam kumpulan diskusi kecil tetapi bergerak dalam masyarakat  secara khidmat masyarakat, kebudayaan dan  berkebajikan di kawasan yang bersifat mikro.

Siapakah orang intelektual pada hari ini yang berada dalam masyarakat dan berjuang isu-isu masyarakat?

Ulama Adalah Intelektual Rakyat

Tradisi Islam, sejak zaman Rasulullah SAW sehingga ke saat ini, para ulama Islam sering berada bersama dalam lingkungan masyarakat. Misi Kenabian untuk peningkatan diri dan orang terdekat  manakala Misi Rasul untuk kaum lingkungannya. Misi Nabi-Rasul ini adalah sebuah gerakan rakyat yang bergerak dalam masyarakat. Menariknya, sebelum Zaman Nabi Muhammad SAW, misi-rasul hanya lingkungan masyarakat atau kaum sahaja berbanding Zaman Rasulullah SAW untuk umat seantero alam sehingga Hari Kiamat.[1]

Pengaruh ulama dalam masyarakat Islam sangat besar setaraf dengan pemimpin politik.

Dalam tradisi Melayu-Islam, kita akan ketemui istilah seperti Makhdum dan Maulana pada pangkal nama seseorang ilmuwan Melayu-Islam. Ilmuwan sangat dihormati dalam kepimpinan Kerajaan Melayu . Keilmuan dipandang tinggi dalam Kepimpinan Melayu, ‘....hendaklah raja itu berilmu. Jika tiada ilmu hendaklah bersahabat dengan orang yang berilmu’. Maksudnya, Raja memerlukan penasihat dalam kalangan ilmuwan jika mereka tidak memiliki ilmu pengetahuan.

Realitinya, para ulama adalah intelektual rakyat. Mereka bukan sahaja menyedarkan rakyat tetapi memimpin perjuangan menentang penjajah seperti Tuan Guru Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut. Ada kalangan mereka menjadi pemerintah seperti Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu.

Agamawan [baca: lulusan agama] boleh menjadi ‘intelektual rakyat’. Permasalahan utama agamawan ialah cara berfikir dan sikap mereka.[2] Paling terkesan apabila sikap mereka terhadap konsep ilmu, sikap mereka terhadap perkara khilaf dan menjadikan agama sebagai modal atau hujah demi kepentingan nafsu diri mereka.

Agamawan muda perlu berusaha mencontohi para ulama terdahulu. Tambahi ilmu dengan banyak membaca pelbagai genre pemikiran kerana zaman ini memerlukan kalian memahiri dan melengkapi dirinya ilmu dan hikmah dalam dakwah Islami. Keterlibatan agamawan muda dalam Alam Khilaf yang tidak  berkesudahan menontonkan kepada kita betapa celaru dan kelirunya perjuangan dakwah Islam pada masa akan datang.

Oleh sebab itu, masyarakat memerlukan para ulama Ulul Albab bersifat Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.[3] Tiga sifat Ulul Albab memerlukan kuncinya iaitu konsep IQRA yang berpaksikan kepada tiga tunjang iaitu

1.    Baca dengan nama Tuhan
2.    Menulis
3.    Mengajar

Konsep IQRA mendidik kita ‘membaca dengan nama tuhan’ iaitu membaca penuh kesedaran tentang keagungan dan kehebatan Tuhan Yang Hak. Membaca bukan untuk menidakkan Tuhan tetapi membaca untuk mendekati Tuhan. Selepas kita tahu, barulah kita tulis dan mengajar.[4]

Tahu belum tentu amal
Amal belum tentu istiqamah.

Dalam krisis iman dan taqwa
iman menjadi tidak menentu dan kacau
iman berbolak balik pada saat pagi dan petang
tanpa pendirian dan istiqamah.

Ulama
Pewaris Nabi
mencontohi Rasulullah
dalam semua aspek.

Pencinta Ilmu Bukannya Pencipta Ilmu

Affandi Hassan dalam Novel Pujangga Melayu mengatakan, ‘beza pencipta ilmu dengan pencinta ilmu ialah pencinta ilmu suka menikmati taman-taman indah bukan pembina taman indah’.

Penulis bukan sekadar memiliki nama yang harum, dikenali dan popular. Penulis memerlukan wibawa. Penulis popular namanya bersifat fenomena tetapi mudah lodoh. Penulis wibawa mencaturi zaman dengan pengaruhnya berpanjangan sepanjang zaman. Penulis popular boleh buat duit dan mencipta nama tetapi penulis wibawa memandaikan pembaca dan mengislah rakyat.

Wibawa hasil daripada keilmuan, pengalaman dan perjuangan seseorang penulis dalam masyarakatnya. Penulis Wibawa sebagaimana Sasterawan Negara, Usman Awang  yang menukilkan, ‘seorang penulis adalah pemikir yang tidak henti-hentinya, seorang pencari yang tidak pernah puas, seorang peneliti yang selalu ingin tahu dan seorang peneroka dan pentafsir zaman’. Penulis Wibawa juga seumpama yang dinyatakan oleh T. Alias Taib, ‘Aku pembeli masalah orang, menyusunnya menjadi kata-kata dan menjualnya kepada pemikir’. Dua gambaran sifat penulis wibawa yang dinukilkan oleh dua tokoh penulis tersohor negara Malaysia.

Menulis adalah anugerah kerana ilham bagaikan unta liar yang sukar ditambat. Buya Hamka berkata, ‘mengarang dulu dengan ilham. Tulis apa yang kau lihat, alami dan rasakan, baru kemudian kau lengkapi dengan bacaan’.

Buku yang baik ditulis sempurna oleh penulis yang mempunyai ilmu mendalam dan berwibawa. Oleh sebab itu, penulis lebih selesa menjadi pencinta ilmu atau pembaca setia kerana tulisan berautoriti sudah ada tuannya.

Mencari HIKMAH: Pendakwah Bukannya Penghukum

Seorang pemuda bertanya kepada Syeikh Muhammad al Ghazali, ‘Apakah HUKUM orang yang meninggalkan solat?’ Syeikh Muhammad al Ghazali menjawab, ‘hukumnya, kamu ajak dan pimpin dia ke masjid!’ [Sumber: Ustazah Maznah Daud, Ketua Wanita IKRAM Malaysia]

Pada hemat penulis, hikmah itu pada meletak sesuatu perkara pada tempat yang betul dan pada saat yang betul. Hikmah itu intinya adalah keadilan. Perkara yang betul dan benar tanpa hikmah, ia akan kelihatan tidak benar dan menjerumuskan kebenaran tersebut ke dalam lubang fitnah. Menurut Syed Muhammad Naquib al Attas, hikmah ialah mengetahui dan mengenali bagaimana cara meletakkan ilmu apa di tempat mana. Hikmat adalah petunjuk hidayah daripada Allah.[5]

Hikmah barang yang hilang dalam kalangan pendakwah Islam. Mereka suka menghukum bukannya menghulurkan kasih sayang kepada pihak musuh.[6] Selagi tiada pencerobohan fizikal atau bersenjata, layanilah musuh dengan pendekatan berhikmah.

Pendakwah Islam, agamawan dan umat Islam perlu menjauhi ketaksuban, fitnah, kebencian, kekasaran dan segala sifat buruk dalam menyelesaikan permasalahan umat Islam dengan masyarakat bukan Islam. Kebencian masyarakat bukan Islam terhadap Islam dan umat Islam jangan dibalas dengan kebencian, namun hulurkan kasih sayang sebagaimana Rasulullah SAW melayani wanita tua Yahudi yang seringkali cuba menyakiti baginda. Kita perlu menjadi sebagaimana buah mempelam yang dilempari batu tetapi mengugurkan buah yang ranum.

Sempadan Akal

‘Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya’ [surah At Tin: 4-6]

Manusia adalah sifatnya yang paling baik apabila dia percayakan Allah[dengan keyakinan sungguh-sungguh][7] dan dengan taat mematuhi suruhanNya dan paling rendah apabila manusia hilang keyakinan kepada Allah SWT.

Manusia merupakan mahkluk Allah yang terbaik kerana diberikan maruah, ilmu dan akal. Tugasnya menjadi hamba Allah dan menjadi khalifah di bumi.[8] Maknanya manusia boleh mengatur kehidupan mereka sendiri selagi mengikuti ajaran dan peraturan yang ditentukan oleh Allah iaitu pencipta manusia dan alam. Ajaran dan peraturan tersebut dikenali syariat.[9]

Affandi Hassan dalam novelnya Pujangga Melayu menukilkan, ‘menggunakan akalmu memikir perkara-perkara yang memberi manfaat, perkara-perkara yang boleh menjadikan kamu LEBIH YAKIN dan lebih bertaqwa. Untuk itu kamu harus mendidik dirimu mengenal sempadan akalmu’.

Jelas Affandi lagi, untuk mengenal sempadan akal[10] kita perlu jelas tentang tiga perkara iaitu teori ilmu [epistemologi] iaitu sumber ilmu, tujuan ilmu dan sempadan ilmu. Dasar epistemologi, bahawa Islam adalah kebenaran mutlak. Sumber ilmu Islam terbahagi empat iaitu al Quran, al Sunnah, pengalaman dan akal. Epistemologi Barat berasaskan keraguan,[11] hipotesis, ramalan, jangkaan, tidak mutlak dan lain-lain.

Kemudian keduanya, mengetahui hakikat insan, hakikat diri kita, asal usul kita, tujuan dan ma’na hidup.[12] Ketiga, hakikat amal[13] iaitu dengan menilai segala tindakan kita sama ada benar atau tidak di sisi Allah SWT. Teliti betul-betul amalan agar tidak menjadikan amalan tersebut sia-sia dan merosakkan diri sendiri.

Penilaian ke atas tindakan supaya tidak menjadi sia-sia dan merosakkan iman dan diri sendiri ialah [1] perbuatan tersebut betul atau salah di sisi agama, [2] niat kerana Allah dan [3] betul mengikut syariat. Sumber penilaian adalah al Quran dan al sunnah dijadikan sebagai hakim dalam menilai betul atau salah tindakan kita.[14]

Kemudian kita akan melihat sejauh mana kita mengakuri keputusan dan penilaian agama Islam terhadap tindakan dan amalan kita. Jika kita salah, adakah kita mengakuri kehendak agama Islam?.

Sempadan akal itu adalah batasan bagi akal agar tidak melepasinya. Ia adalah satu peraturan berfikir atau had berfikir. Kata Imam Shafie, “Akal mempunyai batas tempatnya berhenti sama seperti penglihatan mempunyai batas tempatnya berhenti”.

Tulis Buya Hamka, orang yang berakal merindui tiga perkara iaitu
1.    menyediakan bekal untuk hari kemudian
2.    mencari kelazatan buat jiwa
3.    menyelidik erti kehidupan


Mengendap Kepelbagaian Genre Bacaan

Kamu boleh membaca pelbagai buku selagi kamu mempunyai pandangan sarwajagat Islam yang menapis segala kemungkaran dan anti Tuhan dalam bahan bacaan. Punbegitu, bacaan terbaik ialah bahan bacaan yang paling bermanfaat [sudah tentu al Quran dan hadith serta pengkajian tentangnya][15] dan boleh mengislah diri menjadi insan yang lebih baik.

Pada hemat saya, seorang pembaca yang mahu mencari kebenaran dan berdoa agar dirinya menemui kebenaran[16] boleh membaca pelbagai bahan bacaan walaupun bertentangan dengan Islam. Penulis yakin, mereka seperti ini akan kembali kepada Islam jika mereka meluruskan niat mereka untuk mencari  kebenaran dan akur kepada kebenaran tersebut.

[1]Membaca untuk tahu, [2] membaca untuk perubahan dan [3] terperangkap dalam pemikiran  bahan bacaan. Tiga perkara yang perlu dibezakan. Membaca bahan bacaan sosialisme umpamanya belum tentu menjadi sosialis tetapi peluang untuk terpengaruh dengan sosialisme masih terbuka.

Manusia dididik melalui [1] secara langsung dan [2] melalui acuan yang tersedia. Perkara [2], seseorang boleh terperangkap dalam acuan Kebudayaan Barat melalui pembacaan, filem, muzik dan sebagainya. Kebudayaan Barat bertunjangkan Kebudayaan Kristian-Yahudi, Kebudayaan Yunani Kuno dan Kebudayaan Romawi.

Membaca sebanyak mana hasil karya sarjana Barat  sekalipun, akhirnya kita akan ketemui sifat asasi kerangka pemikiran Kebudayaan Barat iaitu;

1.    Penolakkan kehadiran Tuhan dan campurtangan agama dalam urusan kehidupan manusia seharian [Ekonomi, Politik dan Sosial].
2.    Pemujaan terlampau tinggi terhadap diri manusia – akal, badan, kebolehan dan psikologi.
3.    Materialistik atau kebendaan.
4.    Dualisme dan Dikotomi
5.    Individualistik
6.    Kekeliruan dalam konsep ilmu dan kehilangan keadilan
7.    Kesatuan, Persamaan dan Samarata
8.    Tiada kemutlakkan – ragu meragu, duga-menduga, berubah-ubah, hipotesis, sentiasa berwacana tanpa kesudahan dan hilang ketetapan.
9.    Kebebasan dan pragmatisme
10.                       Trajedi dan mencari kebahagiaan palsu

Kita perlu merenung bahan bacaan atau buku yang bertentangan dengan Islam. Renung-fikir ini membolehkan kita mengkaji dan insaf bahawa manusia mempunyai kelemahan. Tulis Buya Hamka, ‘yang mutlak hanyalah wahyu Allah SWT ‘.

Membaca pelbagai genre pemikiran tidak salah, tetapi yang salahnya ialah terjerumus ke lubang pemikiran tersebut.



Membina Pandangan Sarwajagat Bertunjangkan Tauhidik

Bergantung kepada Yang Satu,
Berpegang kepada Yang Esa
Tuah Hidup sempurna hidup
Hidup Berakal mati beriman
Malang hidup celaka hidup
Hidup tak tahu halal-haram.

Aliran pemikiran ciptaan manusia semakin membiak dan segar dalam masyarakat Malaysia terutamanya kalangan yang terpelajar. Pluralisme Agama, Islam Liberal dan Sosialis membiak pesat dalam kalangan masyarakat terpelajar jika tidak dibanteras akan menjadi anutan yang mengherotkan pemikiran.[17]

Sekelompok orang Islam terperangkap dan terpengaruh dengan aliran-aliran ciptaan manusia. Mereka kalangan kelompok modenis yang bercitrakan Islam. Mereka mencipta alasan untuk menghalalkan pemahaman mereka terhadap aliran pemikiran tersebut. Pluralisme Agama dikatakan Pluraliti, Liberalisme dikatakan hanya Liberalisasi Ekonomi dan Politik bukannya Liberalisme Kepercayaan.[18]

Ciri-ciri kelompok modenis ialah  mereka menentang dan memberontak terhadap agama dan nilai rohani bawaan agama. Dalam konteks modenis Islam, mereka tidak berpuas hati dengan Islam yang diterima umum oleh masyarakat setempat. Mereka mahu Islam mengikut kehendak nafsu[19] dan kepentingan diri serta kelompok mereka sahaja.

Permulaan mereka untuk mengislah umat Islam akhirnya menjerumuskan mereka dalam perangkap pemikiran Barat.

Menurut Wan Mohd Ali,  modenis cuba menundukkan tradisi kepada kemodenan supaya menjadi harmoni dengan kemodenan. Nabih Amin Faris menyatakan ‘mereka cuba mengkaji dan mentafsirkan al Quran berdasarkan kebudayaan Barat yang mereka anuti’. Justeru, mereka mahu Islam mengikut kehendak Barat.

Pandangan sarwajagat Islam lahir daripada pancaran konsep-konsep dasar yang terdapat dalam wahyu. Konsep-konsep dasar perlu dikaji dan digali untuk mendapat rahsianya.

Asas utama pandangan sarwajagat Islam ialah kalimah syahadat. ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ Menurut Ismail al Faruqi, Allah yang bermaksud ‘Tuhan’ yang mengisi tempat utama dalam kehidupan, tindakan serta pemikiran setiap muslim.

Dalam ungkapan Melayu, pandangan sarwajagat Islam juga dititik-beratkan, ‘Bergantung kepada Yang Satu, Berpegang kepada Yang Esa’. Dua baris ungkapan Melayu ini mengambarkan tauhid seorang Melayu-Islam.

Hidup Berakal mati beriman’. Ungkapan Melayu ini mengambarkan tujuan dan ma’na kehidupan seseorang manusia. Kehidupan di dunia memerlukan manusia itu berakal[20] dan kehidupan akhirat dan sesudah mati mesti disudahi dalam keadaan beriman agar kebahagiaan akhirat dikecapi.

Dengan adanya, pandangan sarwajagat Islam membuka ruang untuk kita kepada kepada hakikat penciptaan manusia. Hakikat penciptaan manusia adalah pengabdian diri kepada Allah SWT.[21] Pengabdian diri ini berpandukan al Quran dan al Sunnah [Agama Islam].[22]

Akhir Tulis

Coretan ini diakhiri agar FB Bacaan Liar menjadi wahana pencerahan fikiran melalui pembacaan pelbagai genre pemikiran. Kepelbagaian membolehkan kita merenung tajam akan kebesaran Allah SWT dan kelemahan diri kita sebagai manusia yang kerdil. Penulis dengan rendah diri mendoakan kita ketemui kebahagiaan hakiki dalam alam baca.

‘Bacalah dengan Nama Tuhanmu’.



[1] Surah Ali Imran: 49.
[2] Model Intelektual ISTAC [2015- CASIS, INSIST] zaman Syed Muhammad Naquib al Attas perlu digerakkan semula dalam usaha melahirkan ulama-sarjana Islam yang berkualiti iman dan ilmiah serta berwibawa untuk menangkis serangan pemikiran musuh dan pembaratan.
[3] Sebagaimana konsep Sekolah Menengah IMTIAZ di Terengganu.
[4] Surah al Alaq: 1-5.
[5] Surah al Kahfi: 57
[6] Surah Ali Imran: 159
[7] “Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika tidak, yakinlah bahawa Allah pasti melihatmu” [Riwayat Muslim]
[8] Surah  al Baqarah: 30.
[9] Surah al Jathiyah: 18
[10] Surah al A’raf: 179. ‘Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
[11] Surah Hujurat, 49: 12. ‘Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.’
[12] Surah Fussilat: 53. ‘Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?’
[13] Surah al Isra’: 21. ‘Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.’
[14] Surah al An’am: 114. ‘(Katakanlah wahai Muhammad): "Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?" Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu.’
[15] Mengambil iktibar daripada Surah al Ahqaf: 29-32, Surah al Jin: 1.
[16] Surah al Maidah: 16. Bacaan utama merangkap wajib adalah al Quran dan kitab hadith. Hanyalah al Quran dapat menyuluh kebenaran. Tanpa al Quran, segala bacaan dan tindakan kita bersifat khayali kerana diikat oleh kehendak akal dan emosi yang palsu.
[17] Pembanterasan melalui dialog, muzakarah dan ziarah. Kita boleh mengkaji, membaca atau mengambil unsur-unsur yang tidak menyalahi al Quran dan al Sunnah daripada pemikiran ciptaan manusia tetapi tidak boleh mengambilnya sebagai ideology panutan mengantikan agama Islam atau memcampur adukkan dengan Islam.
[18] Sesungguhnya kita akan melakukan apa yang kita fahami dan yakini. Kefahaman dan keyakinan inilah yang perlu dirujuk kepada al Quran dan al Sunnah kerana ia terhasil daripada ilmu yang membentuk pandangan sarwajagat seseorang manusia seterusnya dipraktiskan dalam tindakan mereka. Jangan sampai kefahaman dan keyakinan ini HANYA bersumberkan akal sahaja dan mengikuti kehendak nafsu semata-mata. Islam tiada masalah dalam pengunaan akal, cuma cara bagaimana akal itu digunakan sehingga ada yang mengunakan akal untuk menidakkan Tuhan dan syariatNya.
[19] Surah an Nisa: 135
[20] Dengan akal, manusia boleh memilih jalan ke syurga atau jalan ke neraka. Sesetengah pihak mempertikai kenapa Tuhan menjadikan manusia jahat yang akan masuk neraka. Disinilah peranan akal yang boleh memilih dan membuat keputusan berdasarkan sumber ilmu yang paling benar iaitu wahyu Allah SWT. Tiada alas an lagi manusia mengatakan bahawa Tuhan tidak adil bagi mereka. Lihat Surah al Mulk: 10.
[21] Surah al Dhariyat: 56, Surah al Mu’minun: 115-116
[22] Surah Ali Imran: 83

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...