Wednesday, March 18, 2009

Assalamulaikum

Penziarah yang dikasihi....

dengan rasmi blog mahasiswamenggugat akan menjadi sebuah arkib

Segala terlajak harap dimaafkan.. yang baik boleh diambil dan dikongsi

blog baru nanti hanya coretan pengembaraan dan pendapat penulis..

Dan blog ini http://madrasahikhwan81.blogspot.com/search?q=

yang bakal memaparkan analisis terhadap gerakan Islam

jumpa lagi....

Tuesday, March 17, 2009

Haramkan PMIUM: Antara tunggul kayu atau semut api..

1. Penulis setuju benar PMIUM diharamkan.. dari dulu duk cabar nak haram. haramkan. mudah cerita.

2. kalau tunggul kayu, biasa kita nampak agar kita tak tersepak. manakala jika semut api mengigit, terasa pedih baru kita sedari. PMIUM secara organisasi mudah dihadapi berbanding WUFI yang mempunyai ahlinya bertebaran dalam kelab atau persatuan di UIA terutamanya Kelab Ma'aruf dan Persatuan Undang2.

3. Jadi, HEP haramkan PMIUM. Agar ia jadi hantu yang menakutkan...

Kenapalah PMIUM...

1. kelakar, PMIUM cari nahas jemput Anwar Ibrahim.

2.Sepatutnya PMIUM mencari politik damai dengan penguasa kampus.

3. nak lawan mesti bijaksana, tak perlu jemput orang politik. Dr Siddiq Fadzil, Dr. Hasbullah dll boleh dijemput.

4. Tapi jika konflik pilihan PMIUM, teruskan.. zaman ini milikmu

bergerak dengan bijaksana, jangan sampai sejarah mengetawakan kalian........

Banyak Pengetahuan atau beramal?

di sebalik banyak buku yang dibaca..

Mac 2, 2009 in buku, sejarah, tazkirah, umno, wa zakkir | 22 comments

Salam Kamunting,

Mengapa kita sukar memperolehi jawaban yang menenangkan? Atau kita asyik salah membuat kesimpulan? Atau kita terpinga - pinga dan keliru apabila berdepan isu dan persoalan yang melanda di depan mata? Atau paling malang, mengapa kita menyalahkan sesuatu yang sememangnya betul?

Ramai ulama memberikan jawaban bahawa ia sebenarnya berpunca daripada dua faktor yang bertentangan. Pertama, kita tidak atau kurang membaca. Kedua, kita terlalu banyak membaca!

Anda tidak membaca anda jahil. Itu jawaban untuk manusia hari ini. Dunia kini bergerak sepantas ilmu yang dikuasai manusia. Oleh kerana ilmu adalah dengan membaca, anda akan terperuk di belakang dalam kotak jahil jika anda gagal untuk membaca . Anda hanya mengharap jawaban daripada angin yang lalu.

Akhirnya anda hidup tertipu. Ditipu oleh diri sendiri yang buta atau oleh orang lain yang suka mengambil kesempatan memangsakan anda. Pendek kata, tiada yang positif daripada kalimah jahil.

Ubat jahil adalah dengan membaca atau berkawan dengan orang yang membaca. Perhatikan berapa ramai orang yang tidak membaca dan dia pula suka berkawan dengan orang yang juga tidak membaca. Perhatikan juga betapa orang yang membaca tidak gemar berkawan dengan orang yang tidak membaca. Jadi, jika anda ingin berkawan dengan orang alim, anda kenalah juga jadi alim dengan membaca. Jika tidak, anda mungkin hanya boleh mendekatinya tetapi dia tidak pun mendekati anda.

Justeru, anda kekal sebagai murid sampai tua. Jika guru anda itu alim yang baik, anda selamat menumpang ilmunya. Jika dia alim yang jahat, anda tak mungkin selamat. Bagaimana anda yang jahil nak selamat jika anda tak tahu pun dia jahat? Hanya yang berilmu tahu gurunya baik atau tidak.

Itu jika si jahil itu mahu jadi murid. Bagaimana jika dia enggan? Tidakkah hanya orang yang mencintai ilmu sahaja yang suka menjadi murid?

Begitulah kesukaran mengubat kejahilan. Justeru adalah tidak sukar untuk mengatakan bahawa orang yang jahil sentiasa sukar memperolehi jawaban yang benar dalam kehidupan dunianya, apatah untuk akhiratnya.

Tetapi, anda perlulah juga sedar bahawa antara faktor sukarnya memperolehi jawaban yang benar adalah kerana terlalu banyak membaca!

Banyak membaca adalah baik. Tetapi jika anda membaca apa sahaja sedang anda gagal membina asas binaan diri yang kukuh, bacaan anda itu pasti akan memberati anda lalu ia menindih atau menggelincirkan anda sama sekali.

Anda membaca itu dan ini, pandangan itu dan ini, jawaban itu dan ini. Akhirnya kepala anda jadi berat dan bersilang - silang. Anda gagal memilih mana satu pilihan yang tepat. Sebabnya anda tak tahu siapa anda sebenarnya. Anda belum membina diri sendiri sebelum menduduki binaan orang lain.

Apa yang anda baca hari ini?

Ya, Allah berfirman, “Bacalah.” Tetapi tidakkah Dia juga menambah, “Dengan nama tuhanMu.” Ertinya, sebagai seorang muslim, anda perlu membina diri dengan sebagai seorang muslim yang tunduk pada kekuasaan dan keesaaanNya. Jika tidak, anda akan melampaui batas!

Ilmu mencipta keegoan melampau jika ia tidak menundukkan. Anda samada tunduk dan tawadu’ atau jadi sombong takbur kerana banyak membaca. Anda enggan kecuali hanya tunduk pada nafsu sendiri yang merasa tahu dan serba tahu.

Dalam surah yang sama ( al Alaq ), Allah berfirman, “Ketahuilah, sesungguhnya manusia itu pasti melampaui batas tatkala mendapati dirinya cukup!”

Orang alim yang banyak membaca egonya hebat. Dia rasa dia tahu itu dan ini. Soalnya, adakah itu yang Allah mahu daripada arahanNya agar hambaNya membaca? Tidakkan?

Membaca hendaklah dengan nama Allah, keranaNya dan untukNya. Allah berfirman lagi selepas itu, “Sesungguhnya kepada tuhanMulah tempat kembali.” Ubat mengelak takbur adalah menginsafi bahawa kepadaNyalah tempat kembali. KepadaNya kembali segala perkara.

Kebanyakan kita membaca sesuka hati mengikut kehendak dan keseronokan diri. Ini tidak banyak membantu walaupun ia baik.

RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam tidak tahu membaca. Apabila baginda disuruh membaca, baginda membaca dan bacaan awal dan akhirnya adalah al Quran. Baginda kemudian dikurniakan ilmu dan hikmat.

Al Quran penuh ilmu. Malangnya kebanyakan manusia seronok menimba ilmu yang bukan dari al Quran atau bersumberkan al Quran. Dia membaca tetapi dia jauh daripada al Quran. Apakah keyakinannya bahawa dia akan selamat daripada ego nafsunya nanti? Dia mungkin berilmu tetapi ilmunya tidak bermanfaat bahkan merosakkannya.

Al Quran hidup di dada orang berilmu yang bertaqwa. Malangnya kita menjauhi buku - buku karangan ulama yang bertaqwa dan leka pula dengan buku - buku yang penulisnya tiada bukti dan petunjuk taqwa. Kepala dan otak kita dipenuhi pandangan dan jawaban daripada mereka yang kering keinsafan dan kontang rasa takut pada tuhan mereka.

Akhirnya kita gagal memperolehi jawaban yang benar yang menenangkan hati kita yang ingin tunduk pada kebenaran sebagai seorang muslim.

Membina diri hendaklah bermula dengan akidah yang benar. Anda perlu melumati ilmu akidah. Dengannya anda akan rasa tenang sungguh untuk berjalan di bumi ini sebab anda akan memandang secara tepat dan tajam. Anda tidak keliru lagi dengan simpang siur di depan.

Membina diri hendaklah bersumberkan al Quran dan al Sunnah. Anda pula mestilah mendapatkannya melalui jalan yang betul untuk mengenal sesuatu itu adalah benar daripada Allah dan rasulNya. Anda perlu sedar bahawa penafsiran kedua - dua sumber itu dipenuhi kekaburan dan kerumitan kerana jauhnya kita daripada guru pertama iaitu RasuluLlah, juga murid - muridnya yang diredhai tuhan, iaitu para sahabat ridhwanuLlahi alaihim.

Ada talian emas yang menghubungi kita kepada ar Rasul. Ia bersanad dengan kekuatan para ulama muktabar yang lahir sepanjang zaman. Ia sehingga mencipta darjah ‘mutawatir‘ yang kesepakatan antara mereka adalah akidah yang tidak boleh ditinggalkan lagi.

Ia ilmu khas Islam dan tidak mungkin wujud kecuali dalam Islam. Ia ilmu ciptaan sifat amanah dan benar.

Anda perlu memahami betapa sumber ilmu yang anda baca mestilah memakai talian emas ini dan mengambil inspirasi ilmu ini. Jika tidak, kita tidak memperolehi apa - apa kecuali padangan otak manusia yang macam kita juga. Lebih kita hanya pada ilmu. Lebih ilmu hanya pada taqwanya.

Perhatikan, orang menyokong mazhab UMNO yang sekular, kebangsaan dan liberal kerana kekuasaannya, keramaiannya, keduitannya atau mungkin keilmuannya. Jika mereka membaca dan memahami al Quran secara betul, mudah sahaja untuk menolak UMNO dengan kesesatannya. Tetapi, bagaimana mereka menbaca? Atau, adakah mereka membaca?

Perhatikan juga orang yang menyokong aliran yang menghina para sahabat RasuluLlah dan keluarganya. Mereka membaca sejarah tetapi mereka gagal menilai bahawa sejarah memerlukan fakta yang tepat. Sejarah adalah cerita dan sirah. Bayangkan sukarnya kita memfaktakan cerita dan khabar hari ini. Bagaimana dengan cerita dan khabar seribu tahun dulu??

Talian emas Islam menolak sekerasnya aliran yang membunuh karektor para sahabat al Rasul dengan tuduhan sebagai pengkhianat. Ia dibuktikan penuh dengan kebatilan, penipuan dan kekhayalan.

Tetapi dek membaca tanpa panduan yang dimestikan, anda mungkin seronok melihat perayaan Karbala yang penuh cerita batil semata - mata anda ingin menunjuk simpati dengan keluarga Al Rasul. Anda akhirnya menangisi cerita karut sebagaimana anda menangisi filem epik.

Manakan sama antara menangisi filem Hisdustan dan filem Gaza!? Fakta Karbala takkan boleh diadun dengan epik Karbala. Fahami ini jika anda ingin selamat dan diredhaiNya.

Saya nyatakan contoh yang sedikit sedangkan di hadapan kita kesalahan dan kegelinciran yang banyak dek kejahilan dan kecelaruan daripada sumber ilmu yang lemah dan lintang pukang.

Kembalilah membaca al Quran, memahaminya dan dekatilah buku - buku yang muktabar penulisnya dan jernih ilmunya. Kelak kita akan mudah membuat kesimpulan daripada pelbagai jawaban yang dibentangkan di hadapan.

oleh Nik Abduh Nik Aziz

Sunday, March 15, 2009

Fikrah Merentasi Jamaah

FIKRAH MERENTASI JAMAAH
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أما بعد:

Tuan Pengerusi, hadirin dan hadirat sekelian,

Tidak ada siapa yang dapat menafikan sumbangan gerakan Islam dalam memberikan kesedaran umat dalam bidang-bidang yang mereka fokuskan. Sumbangan itu tidak hanya bersumberkan sebuah gerakan tertentu semata. Bahkan ia datang dari keperbagaian gerakan, organisasi dan jamaah. Tidak wajar mana-mana jamaah atau organisasi mendakwa hanya mereka yang berfungsi menyedarkan umat dan penyelesai segala krisis, lantas menafikan peranan gerakan atau jamaah yang lain.

Arus tajdid berterima kasih kepada semua gerakan yang menyelusuri perjalanan mereka bermanhajkan al-Quran dan al-Sunnah dan bersendikan kefahaman al-Salaf al-Saleh. Arus tajdid wajar menghargai apa yang telah mereka sumbangkan selama ini, selagi mana sumbangan itu positif untuk umat. Arus tajdid menolak sikap ekstrimis yang hanya menganggap jamaah dan kumpulan mereka sahaja yang syar’I, manakala selain mereka secara langsung atau tidak, dianggap tertolak. Jamaah atau organisasi yang ditubuhkan hanyalah wasilah (jalan) bukan ghayah (matlamat) bagi Islam itu sendiri. Matlamat Islam lebih agung dan syumul dari sebarang jamaah atau harakah. Fikrah Islam yang tulen merentasi kesempitan jamaah. Melebar luas menyeberangi pagar sebarang organisasi.

Arus tajdid juga harus berterima kasih kepada individu-individu yang memberikan sumbangan kepada kesedaran Islam; sama ada mereka terlibat dengan mana-mana jamaah, orginasasi atau tidak terlibat. Bukan syarat sah sesuatu amalan saleh atau dakwah kepada al-Kitab dan al-Sunnah seseorang mesti terlibat dengan organisasi atau jamaah tertentu. Bahkan amalan saleh itu sah apabila memenuhi rukun dan syarat seperti yang dijelaskan oleh nas-nas Islam iaitu; aqidah yang murni, niat yang ikhlas dan menepati petunjuk al-Sunnah dalam mempraktikkan amalan tersebut. Maka dakwaan sesetengah kelompok yang menganggap sesiapa yang tidak menyertai organisasi atau jamaah dengan istilah ‘tidak masuk jamaah’ sebagai tidak berpendirian dan tidak diiktiraf, adalah perlambangan suatu sikap ghulu atau melampau.

Hadirin & Hadirat!

Terima kasih ini merangkumi individu atau tokoh yang berada di setiap pelusuk dan penjuru, yang bergerak menyumbang kepada umat ini. Sama ada mereka berada di dalam organisasi kerajaan atau di luar dari daerah percaturan politik. Selagi mereka menyumbang kepada umat ini dan memperlihatkan kejujuran mereka, maka mereka berada dalam perjuangan umat. Dakwaan yang menganggap golongan agama yang mendekati pemerintah kesemuanya mencari kepentingan dunia adalah dakwaan yang tidak seimbang dan bersikap tidak adil. Walaupun ramai bersikap demikian, tapi bukan kesemuanya. Menghukum mereka secara keseluruhan bercanggahan dengan sikap yang ditunjukkan oleh RasululLah s.a.w terhadap Najasyi, Raja Habsyah yang menganut Islam pada zaman baginda. Baginda percaya kepada keadilannya dan menghantar para sahabah berhijrah ke negaranya.

Apabila Najasyi menganut Islam, Nabi s.a.w tidak memerintahkan Najasyi meninggalkan kedudukannya sebagai Raja Habsyah, sekalipun kerajaan yang dipimpinnya bukan kerajaan Islam dan beliau tidak berhijrah mendapatkan RasululLah s.a.w. Namun RasululLah s.a.w pula tidak memerintahkan hal itu kepadanya. Kedudukan Najasyi sebagai raja membolehkan dia melindungi para sahabah yang berhijrah ke negara dan melaksanakan keadilan dengan ruang kemampuan yang dimilikinya. Apabila Najasyi meninggal, RasululLah s.a.w bersabda:

عَنْ جَابِرٍ رَضِي اللَّه عَنْه قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ مَاتَ النَّجَاشِيُّ مَاتَ الْيَوْمَ رَجُلٌ صَالِحٌ فَقُومُوا فَصَلُّوا عَلَى أَخِيكُمْ أَصْحَمَةَ
Daripada Jabir r.a: Nabi s.a.w bersabda -ketika kematian Najasyi-: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)”.

Baginda menyifatkan Najasyi sebagai seorang yang soleh. Baginda menyebut ungkapan ‘akhukum’ (saudara kamu) yang bermaksud saudara seislam kamu. Bahkan baginda menyuruh para sahabah mengadakan solat ghaib untuk jenazah tanda persaudaraan sekalipun berjauhan. Baginda tidak mengatakan Najasyi berkepentingan atau enggan menyertai gerakan Islam, atau tidak berprinsip. Bahkan baginda menghargainya kerana telah zahir dari dirinya iman, keikhlasan dan keadilan sikap.

Maka kita wajar mencontohi hal ini. Sesiapa yang menyatakan pendirian menyokong usaha kembali kepada al-Kitab dan al-Sunnah seperti yang difahami oleh generasi awal Islam, kurun-kurun yang diberkati, golongan al-salaf al-salih serta berusaha memperbaharui pendekatan al-din dalam wajah kemodenan yang ada bertunjangkan prinsip salaf maka kita menganggapnya berjuang bersama dengan arus tajdid ini. Sama ada dia berada dalam kerajaan atau pembangkang, sama ada dia berjamaah atau bersendirian.

Arus dengan ini menyeru dijauhi sikap ghulu atau melampaui batasan dalam beragama termasuk dalam urusan dakwah. Firman ALLAH:

(maksudnya): Katakanlah: “Wahai ahli Kitab! janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan Yang betul”

Dalam sebuah hadith:

عَنْ ابْنُ عَبَّاسٍ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم غَدَاةَ الْعَقَبَةِ وَهُوَ عَلَى رَاحِلَتِهِ هَاتِ الْقُطْ لِي فَلَقَطْتُ لَهُ حَصَيَاتٍ هُنَّ حَصَى الْخَذْفِ فَلَمَّا وَضَعْتُهُنَّ فِي يَدِهِ قَالَ بِأَمْثَالِ هَؤُلَاءِ وَإِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ

Daripada Ibn `Abbas, katanya: Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-`Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: “(Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu melampau dalam agama (al-Ghulu), kerana sesungguhnya al-Ghulu telah membinasakan mereka yang sebelum kamu.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah (m. 728H) berkata: “Sesungguhnya agama ALLAH ini adalah pertengahan antara yang melampau dan yang meninggalkannya. ALLAH Ta`ala tidak memerintahkan hamba-hamba-NYA sesuatu melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu sama ada secara ifrat إفراط (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit تفريط (cuai terhadap agama). Justeru, Islam adalah agama ALLAH yang tidak boleh diambil ajarannya daripada sesiapapun selain-NYA. Maka syaitan mengganggu kebanyakan mereka yang mengaku mengikut ajaran Islam. Sehingga syaitan berjaya mengeluarkan mereka daripada syariat. Bahkan syaitan berjaya mengeluarkan banyak puak umat ini yang terdiri daripada mereka yang kuat beribadah dan warak. Sehingga menjadikan mereka keluar daripada agama seperti mana melurunya anak panah daripada busarnya.”

Penyalahgunaan Nama Salafi
Maka Arus Tajdid wajar membantah kelompok yang menyalahgunakan nama ‘salafi’ sedangkan dalam masa yang sama kerja mereka ialah mencerca secara tidak seimbang tokoh-tokoh penyumbang kepada kebangkitan tajdid; seperti Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, al-Qaradawi, Salman ‘Audah dan berbagai lagi. Kita tidak menganggap kemaksuman tokoh-tokoh tersebut, namun mengfokus aktiviti untuk menyerangkan tokoh-tokoh berkenaan dengan cara yang menyimpang dari metodologi ilmiah adalah sesuatu yang tidak dapat diterima. Cara sebegini mendekati manhaj khawarij melebihi manhaj Ahl al-Sunnah.

Al-Syeikh Ibn Jibrin salah seorang tokoh salafi semasa Arab Saudi ketika ditanya hal ini menjawab: Sesungguhnya Sayyid Qutb dan Hasan al-Banna adalah dari kalangan ulama kaum Muslimin dan ahli dakwah. Sesungguhnya Allah telah memanfaatkan dengan mereka berdua dan memberi petunjuk dengan dakwah mereka ramai manusia. Bagi mereka berdua ada sumbangan yang tidak dapat dinafikan. Kerana itu, ketika keputusan hukuman mati dikenakan ke atas Sayyid Qutb dibuat, al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz memohon diberi pengampunan kepadanya dan beliau merayu dalam pemohonan itu. Namun ia tidak diterima oleh Presiden Jamal (Abdul Naser). Allah akan menghukum Jamal apa layak untuknya. Ketika mana keduanya (Sayyid Qutb dan al-Banna) dibunuh, keduanya digelar syahid, kerana mereka berdua dibunuh secara zalim. Dan syahid itu ada yang khas dan yang ‘am. Tersebar perkara ini (syahidnya mereka berdua) di dalam akhbar dan buku-buku tanpa ada orang yang mengingkarinya. Kemudian para ulama menerima buku-buku mereka, dan Allah memberi manfaat kepada mereka dengan buku-buku tersebut, tiada seorang yang mencela mereka berdua semenjak lebih 20 tahun yang lalu. Jika ada pada mereka berdua kesilapan yang sedikit pada takwilan atau yang seumpama dengannya, perkara itu tidak sampai kepada tahap untuk dikafirkan mereka. Sesungguhnya para ulama yang awal juga ada kesilapan seperti itu juga, seperti al-Nawawi, al-Suyuthi, Ibn Jauzi, Ibn ‘Atiyyah, al-Khattabi, al-Qastalani dan ramai yang lain”.

Ancaman Hizbiyyah

Dengan menyedari hakikat yang disebutkan tadi, maka kita menghargai setiap organisasi dan individu serta tidak menghalang individu muslim untuk menyertai mana-mana organisasi atau jamaah. Namun, dalam masa yang sama Arus Tajdid menyeru agar dihapuskan sebarang sikap hizbiyyah yang dilarang oleh agama. Sikap hizbiyyah ialah sikap kepuakan atau kepartian yang menilai sesuatu amal islami atau perjuangan berbakti kepada al-din dengan penilaian kumpulan, atau jamaah atau organisasi yang didokong. Sikap hizbiyyah ini mengukur betul atau salah sesuatu perkara dengan pandangan jamaah atau organisasi, bukan dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah akan ditafsirkan agar seiras dengan kehendak organisasi. Mana-mana dalil yang menyanggahi jamaah dan organisasi akan diulas agar seiras dengan tafsiran jamaah, bukan tafsiran ‘ilmiyyah. Hal ini pernah dibidas oleh Al-Imam Ibn Qaiyyim al-Jauziyyah (w. 751H) terhadap golongan ektremis mazhab dengan katanya: “Yang lebih pelik dari semua itu ialah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadith yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadith sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun satu hadith..” .

Maka ada sesetengah individu dalam jamaah tertentu menentang slogan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam ibadah khususiah, dan mereka juga membantah penentangan terhadap unsur syirik, tahyul, khurafat dan kebodohan dalam cara beragama, atas alasan ia menyebabkan perpecahan umat. Walaupun mereka dalam masa yang sama sanggup berbalahan sesama umat ketika berkempen kepada soal-soal ekonomi, atau politik yang mereka sifatkan sebagai lebih islamik. Mereka menghalalkan untuk mereka dan mengharamkan untuk orang lain. Apakah ibadah khususiah, akidah dan kejelasan fikrah itu lebih lekeh dari ekonomi dan politik gagasan mereka?!!

Sikap hizbiyyah juga menjadikan seseorang individu membutakan mata ketika melihat kesalahan kelompoknya dan berkeras menghukum jika perkara yang sama dilakukan oleh kelompok lain. Ini jelas dalam sikap kelompok yang menghukum sebahagian masalah sebagai masalah khilafiyyah tetapi dalam masa yang sama dia membantah pihak yang berbeza dengannya.

Hizbiyyah ini menjadikan seseorang taksub kepada jamaah sehingga tidak mahu menilai sesuatu keputusan yang dikeluarkan oleh jamaahnya, betul atau salah dengan nas-nas agama. Hanya bersandarkan falsafah ‘keputusan jamaah’ atau ‘keputusan syura’ , sekalipun menyanggahi nas, diterima juga.

Ini sikap hizbiyyah atau ‘asabiyyah yang dicela. Di sebut dalam hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ خَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ ُ

(maksudnya) Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah lalu dia mati, maka dia mati jahiliyyah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah.

Kata al-Sindi (meninggal 1138H) dalam mensyarahkan hadith-hadith Sunan Ibn Majah: “Lafaz رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ (bendera kebutaan) ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil” .

Dalam riwayat Abu Daud:
عَنْ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّة ٍ
Daripada Jubair bin Mut‘im: Bahawa RasululLah s.a.w bersabda: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah.

Dalam menjelaskan maksud ‘asabiyyah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’:
يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْعَصَبِيَّةُ قَالَ أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْم ِ
(maksudnya): Wahai RasululLah! Apakah al-‘asabiyyat? Sabda baginda: “Kamu menolong kaummu atas kezaliman”

Maka sikap hizbiyyah akan menjadikan seseorang memandang lekeh atau cacat individu yang tidak terlibat dengan jamaah atau organisasi yang dia sertai. Dia akan menganggap tidak mencukupi syarat perjuangan. Sekalipun individu berkenaan kelihatan telah melaksanakan tanggungjawab dan tuntutan Islam. Sikap hizbiyyah melebelkannya sebagai ‘wala tidak jelas’, tidak berani berjuang, ada kepentingan dan seumpamanya.

Firman Allah:
(maksudnya) 10. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. 11. Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Sikap inilah yang menyelewengkan banyak pihak dari berdakwah kepada inti al-Quran dan al-Sunnah, bertukar menjadi dakwah menyertai jamaah. Golongan yang terkena angin hizbiyyah sukar menerima amal islami yang tidak di bawah arahan jamaahnya. Inilah yang telah menyebabkan sekian lama organisasi-organisasi Islam berbalah merebut mad’u atau kerusi pilihanraya kampus. Padahal jika difikirkan secara lurus, apa perlunya kita berebut mad’u?! Tidakkah jika sudah ada yang berdakwah maka tugasan kita menjadi ringan?! Tidakkah jika sudah ada yang ingin memikul amanah, maka kita lebih selamat. Apa yang penting adalah misi dakwah iaitu kembalinya umat kepada Islam yang tulen, tanpa mengambil pusing siapa pun yang melaksanakannya. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): “Sesungguhnya al-Amr bi al-Ma’ruf Dan al-Nahy ‘an al-Munkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah setiap yang mampu melakukannya dengan tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan munkar atau mengurangi makruf” .

Namun sikap hizbiyyah menjadikan sebahagian manusia lebih mementingkan lebel dan jenama kumpulan lebih dari isi kandungan seruan Islam yang dibawa. Tahap ukhuwwah islamiyyah diukur dengan jenama berkenaan, apabila berbeza jemaah maka berbezalah tahap ukhuwwah. Sehingga ada yang bermasam muka kerana berbeza jamaah atau kumpulan.

Bah hingga ada yang sanggup menyelewengkan maksud hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ خَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
“Sesiapa yang keluar dari ketaatan, dan memisahkan diri dari jamaah, mati dalam jahiliyyah”

juga hadith-hadith yang menunjukkan mereka yang meninggalkan jamaah diperangi, dihukum menanggalkan Islam dan seumpamanya, lantas mereka merasakan jamaah yang dimaksudkan dalam hadith-hadith tersebut ialah jamaah mereka lalu mereka berfikir negatif terhadap sesiapa yang bukan ahli mereka.

Dukacita golongan ini tidak membawa ulasan para ulama terhadap maksud sebenar jamaah yang terkandung dalam hadith-hadith tersebut. Maka, atas ketaksuban kumpulan atau aliran perkataan jamaah ini telah disalahgunakan. Saya bersetuju dengan perkataan tokoh al-Ikhwan al-Muslimin, Jordan, iaitu Dr. Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris dalam bukunya Mafahim Islamiyyah. Kata beliau: “Sesungguhnya istilah Jamaah al-Muslimin adalah istilah islami. Rasulullah s.a.w telah menggunakannya. Ia termaktub dalam kitab-kitab hadith dan sunnah. Para penghurai hadith membincangkannya. Ulama dan fuqaha muslimin menggunakan istilah ini sejak dahulu dengan penggunaan yang teliti. Istilah ini masih disebut oleh kebanyakan ulama semasa dan para pendakwah yang beramal. Ia masih dibincangkan dalam buku-buku ulama kurun kedua puluh. Bahkan, kadang-kala ia dibincangkan oleh orang yang kurang bekalan fekahnya. Dari kalangan mereka yang tidak berkemampuan memahami agama dan tidak mengambil berat menuntut dan memperolehi ilmu syarak tergopoh gapah menggunakan istilah ini secara salah. Tujuannya untuk mencapai natijah yang mereka kehendaki iaitu menganggap diri mereka ialah jamaah yang syar’I, sementara jamaah-jamaah lain dipertikaikan kesyar’iannya dan perlu ditentang…sebenarnya, maksud ‘jamaah al-muslimin’yang diperkatakan oleh al-Sunnah ialah jamaah yang .beriman dengan Islam sebagai akidah, syariat, peraturan hidup dan mengakui hukum-hakamnya. Ia melaksanakan syariat ALLAH dalam kehidupan. Memiliki kekuasaan politik yang berasingan. Ia dipimpin oleh khalifah yang menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Ini semua berlaku apabila muslimin memiliki daulah islamiyyah yang menghimpunkan dan menyatukan mereka. Ditegakkan dalamnya hukum-hukum Islam. Maka, istilah ‘jamaah al-muslimin’ di sini bermaksud masyarakat Islami yang dipimpin oleh hukum Islam dan terbentuk semua badan kekuasaannya di atas petunjuk al-Quran dan al-Sunnah…adapun sekiranya tiada daulah islamiyyah yang menyatupadukan orang Islam…tidak mungkin mana-mana jamaah mendakwa dirinya sebagai jamaah al-muslimin. Samada mereka itu Ikhwan, atau tabligh, atau salafiyyah, atau sufiah, atau jamaat islami Pakistan dan selainnya. Ini kerana dakwaan tersebut bererti menghukum gerakan-gerakan lain sebagai murtad atau sesat atau kufur, dan menuduh mereka dengan jenayah yang memboleh dijatuhkan hukuman yang keras..” .

Maka, arus tajdid menyeru agar dipecahkan benteng-benteng hizbiyyah ini dan mengukurkan muslim dengan kadar pegangan serta fikrahnya dalam memahami al-Quran dan al-Sunnah tanpa mengira dari mana organisasi atau jamaah pun dia. Arus tajdid menyeru semua pihak berpegang kepada fikrah sahihah lebih utama dari jamaah. Seseorang boleh memilih mana-mana jamaah selagi tidak menyanggahi al-Kitab dan al-Sunnah. Jamaah hanyalah alat, bukan matlamat. Bahkan seseorang mungkin sahaja untuk tidak menyertai mana-mana jamaah berdaftar, sebaliknya bersama kaum muslimin secara keseluruhan, tolong-menolong dalam urusan agama. Penyertaan ke dalam mana-mana jamaah hanya soal ijtihad. Tiada sebarang dalil sarih tentang kewajipan menyertai jamaah tertentu. Entah berapa ramai para ulama besar pada zaman ini pun, tidak menyertai mana-mana jamaah. Namun sumbangan mereka lebih besar dari sebarang jamaah dan umat berada di balakang mereka.

Mungkin ada benarnya rumusan seorang penulis Syria, al-Buti yang menulis tentang الفرق بين الحركة الإسلامية والدعوة إلى الله (Perbezaan antara gerakan Islam dan dakwah kepada ALLAH), antaranya beliau menyebut: “sesungguhnya dakwah yang difahami dan diamalkan oleh kebanyakan jemaah islamiah hari ini tidak lebih dari sekadar aktiviti yang berkisar sekadar anggota kumpulan mereka semata” .

Seruan Tajdid

Arus Tajdid mengajak penyertaan saudara-saudari ke dalam satu gerak kerja yang lebih besar daripada sebarang jamaah dan organisasi. Penyertaan ke dalam arus ini tidak menuntut untuk saudara-saudari meninggalkan jamaah atau organisasi yang telah disertai. Saudara-saudari boleh kekal dalam organisasi masing-masing, dengan syarat organisasi itu tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, serta saudara-saudari pula bekerja ke tajdid dan islah, PEMBAHARUAN DAN PEMBAIKIAN.

Pembaharuan itu ialah dengan kembali melihat keserasian segala pegangan dan amalan Islam berdasarkan fakta al-Quran dan al-Sunnah, lantas mengeluarkan umat dari daerah kejumudan, agama rekaan, khurafat, kebodohan fikiran dan kesempitan mazhab dan hukum kepada kemudahan dan keluasannya. Ini bersesuaian dengan ruh Islam tulen dan tuntutan zaman. Seru atau dakwah setiap muslim ke arah ini di mana sahaja saudara-saudari berada. Tidak menjadi syarat menyertai aliran tajdid berdaftar atau berkenalan dengan mereka yang aktif. Fahami fikrah tajdid, dan serulah kepadanya di mana sahaja saudara berada.

Ini selaras dengan tanggungjawab yang al-Rasul letakkan di atas bahu golongan terpilih, dengan sabda baginda:
يَحْمِلُ هَذَا الْعِلمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُوْلُه: يَنْفَوْنَ عَنْهُ تَحْرِيْفَ الْغَالِيْنَ، وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِيْنَ، وَتَأْوِيْلَ الْجَاهِلِيْنَ
Maksudnya:Sentiasa membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi). Mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang bathil (sesat) dan takwilan golongan jahil.
Inilah tiga tanggungjawab tajdid dan islah yang mesti dipikul dalam usaha kembali membawa Islam yang tulen dan tepat. Arus Tajdid mengajak saudara-saudari menyokong usaha ini. Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h pernah menyebut: “Bilamana menjadi sesuatu yang putus bahawa “Sesungguhnya al-Din di sisi Allah ialah Islam”, maka sesungguhnya tidak mungkin dapat difahami apa yang dikehendaki Allah melainkan dengan perantaraan RasululLah. Sesungguhnya tiada jalan kita sampai kepada baginda melainkan melalui pengetahuan mengenai sunnah baginda. Pula tiada jalan kepada sunnah baginda melainkan dengan ilmu hadith. Justeru itu menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin, samada pemerintah atau rakyat, pendakwah atau yang didakwah, beriman bersama kita bahawa tiada jalan terlaksananya apa yang kita seru kepadanya iaitu perlaksanaan keadilan dan keamanan, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi kecuali dengan berdakwah kepada sunnah dan mengamalkannya, juga mentarbiah kaum muslimin dengannya. Bukan dengan hukum-hakam dunia, undang-undang ciptaan manusia, pandangan-pandangan individu dan pegangan-pegangan kepartian. Itu semua menjadikan umat semakin berpecah dan jauh dari matlamat yang dituju” .

Semoga ALLAH merahmati kita dan membantu usah ini. Pengerusi dan hadirin terima kasih atas kesudian menyertai.

sumber: Dr MAZA

Rahsia Briged al Qassam

Kriteria Anggota Hamas & Brigade As-Syahid Izzuddin Al-Qassam
Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah ( Hamas ) dideklarasikan secara rasmi sekitar bulan Disember 1987 iaitu saat kemuncak permulaan Intifadhah Palestin yang pertama. Namun begitu, idea penubuhannya dikatakan telah muncul sejak pasca perang 1973 lagi kerana Hamas adalah lanjutan dari Ikhwanul Muslimin Mesir yang telah menyumbangkan ribuan para mujahid mereka bagi menghadapi kemaraan penjajah Yahudi yang masuk merampas tanah Palestin pada tahun 1948. Maka Ikhwan menubuhkan cawangan barunya di Palestin dan lahirlah Hamas dari situ.






Qaid Hamas yang pertama sejak 1987 adalah As-Syahid Sheikh Ahmad Yasin yang akhirnya gugur sebagai syahid tanggal 22 Mac 2004 setelah beberapa kali beliau mendekam dipenjara dan beberapa kali cubaan bunuh dilakukan ke atasnya. Jawatan Qa’id Hamas berikutnya digantikan oleh As-Syahid Dr.Abdul Aziz Ar-Rantisi. Namun, beliau hanya sempat berkhidmat sebagai qa’id kurang dari sebulan sahaja kerana dibedil oleh helicopter Apache Israel tanggal 18 April 2004. Akhirnya, Hamas kini mengambil pendekatan tidak menzahirkan lagi siapa qa’id mereka yang sebenar sekarang dan hanya menonjolkan beberapa pimpinan tertentu sahaja seperti Biro Politik Hamas, Sheikh Khalid Mish’al, Abu Marzouq , Sami Abu Zuhri dan lain-lain.





Dalam perjuangan seharian, Hamas menghadapi dua ancaman besar iaitu serangan bersenjata Israel dan perlawanan serta pengkhianatan dari parti kebangsaan dan secular Palestin iaitu FATAH pimpinan Mahmud Abbas. FATAH adalah lanjutan dari Palestin Liberation Organization (PLO) pimpinan Yaser Arafat. Pergerakan Fatah dilndungi sepenuhnya oleh Israel dan Amerika sendiri. Bahkan kerajaan-kerajaan Arab dan pemimpin-pemimpin Negara umat Islam lainnya, sering menghentam Hamas seolah-olah gerakan inilah punca ketidakdamaian yang berlaku. Bantuan-bantuan yang disampaikan oleh Negara-negara umat Islam sering disalurkan kepada Fatah dan tidak akan sampai ketangan Hamas.





Bagi menghadapi situasi ancaman dua musuh ini, Hamas mengambil sikap menghadapi Israel melalui serangan bersenjata dan menghadapi Fatah dengan cara melibatkan diri sebagai parti politik untuk menguasai kerajaan Palestin yang dipegang oleh Fatah. Membunuh anggota Fatah yang memusuhi Hamas adalah sesuatu yang tidak bijak yang hanya akan menambah musuh baru sahaja. Inilah kehebatan pandangan para pimpinan Hamas menghadapi suasana politik di Negara mereka saat ini.





Kriteria Keahlian Brigade As-Syahid Izzuddin Al-Qassam





Menjadi anggota Hamas samada penyokong atau pendokong, sesiapa sahaja rakyat Palestin dibenarkan kerana ianya terbuka kepada umum sebagai ciri-ciri sebuah gerakan Islam yang tidak menghadkan keahlian atau keanggotan kepada kelompok tertentu sahaja. Namun, untuk menjadi anggota sayap ketenteraan Hamas iaitu Brigade Al-Qassam tidak semudah itu kerana ianya memerlukan jiwa-jiwa yang kental dan siap memikul senjata menghadapi Israel.






Selain dari seorang Muslim yang baik, berakhlak, mampu menjaga kerahsiaan dan kewaspadaan ( sir & hazar ) dan berdisiplin tinggi, pimpinan Hamas meletakkan beberapa criteria khusus untuk seseorang itu layak direkrut sebagai anggota Al-Qassam. Antaranya adalah seperti berikut :





1) Mendapatkan keizinan dari ibu bapa – ini tidak rumit kerana rata-rata ibu bapa di Palestin inginkan anak mereka syahid.





2) Mendapatkan keizinan dari ketua masjid di tempat tinggalnya yang mengesahkan bahawa : selama 3 bulan berturut-turut pemuda ini tidak meninggalkan solat Subuh berjama’ah di masjid.





3) Anggota Hamas dan Al-Qassam bukan sahaja tidak bermaksiat, menghisap rokok pun tidak.





4) Setiap anggota wajib mempelajari Tafsir Al-Qur’an.





5) Setiap anggota wajib membaca Al-Qur’an sehari satu juz’.





6) Setiap anggota wajib menghafaz 40 Hadith Arba’in ( Imam Nawawi ).





7) Melazimi puasa sunat dan bertahajud.





8) Kecerdasan yang tinggi – buktinya anggota mereka yang banyak melakukan akis bom syahid semuanya golongan hafaz Al-Qur’an, ilmuwan dan intelektual Palestin.





9) Melazimi hadir di majlis-majlis pengajian dan halaqah ilmu.





10) Melazimi zikir harian.





11) Melazimi olahraga atau beriadhah.





12) Anggota Al-Qassam adalah mereka yang sudah siap untuk syahid bila-bila dan dimana sahaja tempat yang akan ditugaskan.





Catatan pengalaman anggota Misi Kemanusian Indonesia





Ketika, Dr.Joserizal Jurnalis, doctor spesialis bedah tulang (orthopedy) yang merupakan Ketua Presidium Medical Emergency Resque Committee ( MER-C) di Indonesia yang sering terlibat dalam misi kemanusian dipelbagai belahan dunia pulang dari Gaza baru-baru ini, beliau menyebut mengenai pejuang Hamas:





“ paling tidak, setiap pejuang harus boleh menembak tepat sebagai kemampuan standard. Mereka berumur minima 18 tahun “





Untuk menguji sejauhmana, tetamu mereka bukan inteligen Israel, maka Hamas atau Brigade Al-Qassam akan membuat ujian terlebih dahulu. “ saya sempat bertemu anggota Al-Qassam dan apabila tahu saya bukan Hafiz Al-Qur’an, saya ditest dulu oleh mereka. Mereka sempat bertanya saya Muslim atau tidak? Saya jawab “ya”. Setelah itu mereka bertanya saya tentang hafazan Al-Qur’an. Saya pun membaca Surah Al-A’la. Setelah itu mereka langsung memeluk saya. Kemudian mereka pun membuka album foto saat latihan dan membela diri dan saya memberitahu mereka supaya berhati-hati kerana tidak semua doctor baik (tujuannya) “.





“ ketika saya masuk ke Afghanistan dulu, bukan sekadar hafazan Qur’an yang ditanya oleh pejuang-pejuang Afghan. Mereka sangat mahir dalam menghadapi penyusup (intelegen). Kerana agen Mossad( perisikan Israel ) dan agen Russia juga ada yang hafaz Al-Qur’an. Pertanyaan mereka saya tidak duga. Mereka menanya saya siapa bapa saudara Rasulullah? Dihadapan saya senjata M60 sudah terdongak. Padahal pada awal pertemuan, biasa sahaja, tapi lama kelamaan berubah menjadi interogasi (soal selidik). Mereka juga menanya saya siapa anak kesayangan Rasulullah”





“ Ini dibuat kerana mereka tahu agen Soviet, NATO, Amerika atau Britain juga telah menyiapkan hafazan ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi biasanya mereka akan lupa apabila berhadapan pejuang Afghan. Mereka akan gugup apabila ditanya”.






“ hafaz Al-Qur’an adalah standard anggota Al-Qassam. Pada saat menunggu untuk melakukan serangan, mereka menghafaz Al-Qur’an dan menghayati ayat-ayatnya, bukan minum kopi, mereka, apalagi berbual-bual. Dari pelbagai informasi yang saya terima, setiap anggota mereka hanya dibekali dengan sebotol air minum (mineral kecil) 250 ml dan makanan sekadarnya untuk tempoh dua hari. Padahal dalam sebuah front, pertempuran boleh menjadi lebih dari seminggu”.





“ Inteligen Mesir, Israel, Amerika, Negara-negara Eropah dan Negara Timur Tengah lainnya, banyak berkeliaran di Gaza dan Tebing Barat saat perang baru-baru ini. Tapi Hamas pintar menjaga kerahsiaan. Banyak inteligen adalah rakyat Palestin sendiri yang dibayar oleh agen-agen asing. Memang ada sahaja rahsia yang bocor. Contohnya, ada sebuah gudang dibom Israel sampai tembus ke bahagian dalam dan bawah tanah. Ternyata tempat itu adalah tempat perkumpulan pejuang Palestin. Israel telah tahu dari mata-mata bayaran mereka”.





Catatan: Ini bermakna, mempelajari Sirah dan menghafaznya adalah syarat bagi pejuang Afghanistan dan Palestin.





Melihat kepada criteria ini, maka wajarlah kalau Hamas yang dihentam teruk dalam tempoh 22 hari saat serangan Israel ke atas Ghazzah baru-baru ini dan ditambah lagi dengan beberapa hari serangan tambahan, mampu bertahan bahkan menghasilkan korban yang banyak di pihak Israel baik tentera mahupun rakyatnya.





Hamas bukanlah sebuah gerakan jihad yang terlalu mempercayai statistic atau jumlah pihak lawan, namun disudut lain mereka optimis bahawa ‘bantuan dari langit’ adalah penting. Maka bantuan khusus dari Allah dan para Malaikatnya ini tidak mungkin dianugerahkan kepada mereka yang tidak mencukupi syarat sebagai pejuang dan tidak serius. Apatah lagi pejuang yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Allah dalam urusan ibadahnya atau sering membiasakan diri dengan maksiat dan kemungkaran.





Fakta Menarik:





a) Dalam pilihanraya 2006, Hamas berjaya memenangi 74 kerusi dan Fatah hanya 45 sahaja.





b) Di Palestin ada 16 daerah besar iaitu 11 di Tebing Barat dan 5 daerah di Semenanjung Ghazzah.





c) Hamas berjaya menguasai 6 kerusi di Jerusalem, 4 kerusi di Jenin, 3 kerusi di Tulkarem, menang kesemua kerusi di Tubas, berjaya mendominasi di Nablus, 5 kerusi di Ramallah dan Al-Birreh, 4 kerusi di Baitlehem dan berjaya memenangi semua kerusi di Jericho dan Qalqiya.





d) Di Ghazzah semua daerah disapu bersih oleh Hamas seperti Hebron, Gaza Utara, Gaza City, Deir Al-Balla, Khan Yunus dan Rafah.





e) Rakyat Palestin ditarbiyyah dengan budaya keilmuan yang tinggi walaupun berada dalam kondisi pengajian yang terbatas akibat situasi peperangan. Namun, dalam setiap kali konvokesyen di Palestin, terdapat 3500 orang Hafidz yang berjaya dilahirkan. Maka Israel menjadikan anak-anak kecil sebagai sasaran serangan mereka kerana melihat bahayanya anak-anak kecil yang ditarbiyyah sebegini hebat dengan jiwa Al-Qur’an.






f) Sangat menakjubkan dalam tempoh 22 hari serangan Israel ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 1300 orang dan mencederakan ratusan yang lain, Allah menggantikan dengan kelahiran seramai 3150 bayi-bayi baru Palestin dalam tempoh 22 hari itu.





3 Tokoh Yang Menjadi Inspirator Jihad Hamas





1) As-Syahid Yahya Ayyash – nama sebenarnya adalah Yahya Abdul Latif Ayyash, seorang jurutera yang merupakan individu penting dalam membuat bom dan merancang aksi-aksi bom syahid. Kehebatan beliau menyamar menyebabkan Israel menggelarnya “ Lelaki Dengan Seribu Wajah “. Beliau lahir pada 22 Feb 1966 dan syahid pada Jumaat, bulan Jan 1996 apabila telefon tangan yang diangkatnya meletup dan meledakkan dirinya. Rupanya, telefonnya itu telah dipasang bom seberat 50 gram.





2) As-Syahid Sheikh Ahmad Yasin – nama sebenarnya adalah Ahmad Ismail Yasin, lahir tahun 1938 di Utara Gaza dan menjadi sheikh atau murabbi kepada pergerakan Hamas. Dengan tubuh badan yang hampir lumpuh sebahagiannya akibat penderaan didalam penjara Israel dan penjara kerajaan Palestin sendiri, dirinya tetap menjadi kebimbangan yang cukup menakutkan Israel. Arahan beliau dan nasihatnya kepada rakyat Palestin dan pejuang Hamas ibarat malapetaka bagi Israel. Beliau syahid tanggal 22 Mac 2004 selesai Solat Subuh di masjid setelah dibedil 3 peluru dari Apache Israel.





3) As-Syahid Abdul Aziz Ar-Rantisi – nama sebenarnya adalah Abdul Aziz Ali Abdul Hafiz Ar-Rantisi, lahir tanggal 23 Okt 1947 dan syahid dibedil Apache Israel pada 18 April 2004.





Sumber rujukan:

Majalah Sabili, Indonesia – keluaran 12 Feb 2009 – edisi 15.

Majalah Sabili, Indonesia – keluaran 12 Mac 2009 – edisi 17.

Dicatat oleh arruhuljadid di 20:25 0 ulasan

Dari Kepimpinan Ulama ke Kepimpinan Bertaqwa

aku rasa tiba waktunya kita berubah. Aku amat menyetujui artikel ustaz wan ji dibawah. Kita masuk era baru, sewajarnya berlaku perubahan terhadap misi perjuangan gerakan Islam di negara ini.

Sekarang, kepimpinan bertaqwa lebih sesuai mengantikan kepimpinan ulama. logik akal aku, bertaqwa semestinya alim, warak dan baik. Manakala ulama, ada yang bagus dan ada yang tak guna.

Dan sekarang ramai pelajar aliran agama berkejar menjadi ustaz di sekolah sama ada JQAF atau KPLI. mereka segan menjadi orang bertaqwa dan haraki.

jangan susahkan diri memprofesionalkan ulama atau mengulamakan profesional. kita cari saja insan bertaqwa... habis cerita

KEPIMPINAN ULAMA ATAU KEPIMPINAN BERTAQWA

KEPIMPINAN ULAMA ATAU KEPIMPINAN BERTAQWA

Kita mahukan kepimpinan ulama. Itu kata-kata sebilangan pihak. Apabila di tanya, kenapa mahukan kepada kepimpinan ulama. Pasti mereka menjawab, kerana kepimpinan ulama akan menghasilkan keberkatan dalam pemerintahan. ini telah terbukti dengan apa yang telah berlaku di Kelantan.

Susuk insan yang bernama tok Guru Nik Abdul Aziz, sering dilihat dari sudut keulamakannya. Sedangkan, mungkin agak kurang ditonjolkan adalah susuk ketaqwaannya.

Apabila disebut ulama, tidak semestinya ia menjadi taqwa. Tetapi, apabila orang itu taqwa, kadangkala bukan pada ulama sahaja ada, bahkan orang biasa pun ada juga.

Persoalannya, manakah pilihan kita… apakah ketaqwaannya atau keulamakannya???

Susuk ulama ditempelkan dengan ketaqwaan. Ketaqwaan disinonimkan dengan ulama. Tanpa taqwa, apa gunanya ulama. Begitulah sebaliknya.

Firman Allah;

إنَمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Maksudnya;
"sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah adalah Ulama'"

(Surah fatir : 28)

Kita renung dan tadabbur ayat ini. kita akan dapati, Allah sinonimkan takut kepada Allah dengan ulama. Bermakna, apa ertinya ulama kalau tidak taqwa kepada Allah.

Itulah motivasi Allah agar manusia menjadi orang bertaqwa. Apabila mereka pandai agama, bermakna mereka akan menjadi agamawan. Apabila mereka menjadi agamawan, pasti mereka akan takut kepada Allah.

Pun begitu, serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh-musuh islam semakin dahsyat. Akhirnya, Imam Al-Ghazali sendiri telah menyebut dalam kitabnya "ihya ulum Ad-Din", bahawa ulama itu tidak semuanya taqwa, bahkan di sana sudah wujud ulama yang disebut sebagai ulama Su' (baca : ulama jahat).

Bermakna, serangan musuh islam sudah berjaya melahirkan ulama yang tidak taqwa. Kesinoniman yang Allah cipta antara ulama dan taqwa telah berjaya dipisahkan oleh musuh-mush islam. inilah yang disebut sebagai "Islam dalam secular".

Islam adalah ilmu mereka. Islam adalah pandangan zahir mereka. Tetapi hati dan fatwa mereka adalah secular, tidak berasaskan ketaqwaan.

Apa pentingnya kita melebihkan ulama berbanding taqwa. Bahkan, lebih baik kita memilih orang yang tidak ulama, tapi taqwa. Tetapi, lebih baik lagi kalau kita mahu ulama yang bertaqwa.

Pun begitu, ulama yang bertaqwa yang menjadi pemimpin, hendaklah bermindakan haraki. Ulama haraki adalah ulama yang mempunyai minda "bergerak". Ulama yang mempunya minda "bergerak", akan berjaya melahirkan pemandangan terhadap Islam sebagai agama relevan sepanjang zaman dan agama yang bertamadun di semua mata-mata manusia, sama ada muslim ataupun non muslim.

Jika ulama yang tidak haraki memimpin, dibimbangi islam yang universal dilihat seperti jumud. Islam yang menjaga fitrah, dilihat mengongkong. Islam yang indah, dilihat buruk.

Persoalannya, bagaimana mahu kenal ulama yang haraki????

Itulah persoalan yang mempunyai jawapan yang senang diberikan, tetapi agak kurang boleh diluahkan. ianya kerana, bimbang dimarah oleh para ulama sendiri. Pun begitu, kita terpaksa lakukan 'pencerahan' ini, agar ianya tidak menjadi konflik dan politik yang berpanjangan.

Ulama haraki tidak semestinya ulama yang duduk dalam gerakan islam. bahkan, ada ulama yang duduk dalam gerakan Islam, tetapi tidak bermindakan "haraki".

Ulama haraki adalah diumpamakan seperti Doktor yang mempunyai pakar dalam bidang menentukan ubat, dan pakar dalam memastikan penyakit, lalu berjaya memberikan ubat yang sesuai dengan sesuatu penyakit.

Ada doctor yang belajar bidang kedoktoran yang pakar dalam mengenal ubat. Ianya disebut sebagai Farmasi. Ada pula doctor yang belajar dalam bidang kedoktoran yang mendalami kaedah dan cara untuk kenal penyakit.

Dua bidang kedoktoran ini nampaknya dibezakan. Ekoran itu, ada doctor farmasi, dan ada doctor yang tidak farmasi.

Doctor farmasi hanya pakar dalam mengenali ubat, tetapi belum tentu pakar dalam memastikan seseorang itu dihinggapi jenis penyakit.

Begitujuga ada doctor yang pakar bidang mengenali jenis penyakit yang dihinggapi pada seseorang, tetapi tidak pakar dalam mengetahui jenis ubat untuk diberikan kepada pesakit tersebut.

Inilah Doktor yang tidak "ngaji habis". Amat rugi pengajian Doktor sebegitu. Tetapi, Doktor yang hebat adalah, apabila dia mengetahui penyakit disamping dia juga tahu untuk memberikan jenis ubat yang sesuai kepada penyakit tersebut. Inilah doctor yang hebat. Doctor inilah dalam istilah agama disebut sebagai "haraki".

Begitujuga ulama. Ada ulama yang mendalami agama. Dia pakar dalam bidang agama, tetapi belum tentu dia pakar untuk menyesuaikan agama dalam kehidupan manusia yang berbeza-beza.

Lihatlah kepakaran ulama yang wujud pada imam As-Syafii. Fatwanya di Baghdad tidak sama dengan fatwanya di Mesir. Mengapa tidak sama, sedangkan rujukannya adalah dua asas utama, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah juga???

Jawapannya adalah, beliau adalah ulama haraki. Ulama yang tahu kesesuaian fatwa berdasarkan sesuatu tempat, dengan diasaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Inilah kepimpinan ulama yang kita mahu, seperti yang telah dicontohi dari Tok guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat.

Justeru itu, kita mahukan ulama yang bertaqwa juga haraki. Jika ulama itu tidak taqwa, maka lebih baik kita pilih orang yang tidak ulama, tapi bertaqwa. Jika ulama itu bertaqwa, tapi tidak haraki, maka lebih baik memilih orang yang tidak ulama bertaqwa dan bersifat haraki.

Asas kita adalah, taqwa dan haraki. Dengan taqwa dan haraki, Islam pasti akan berjaya mencipta tamadun baru di dunia kini, insya Allah. Apakah perlu dia adalah ulama??? Apabila dia sudah bertaqwa, sesuatu tindakannya pasti akan merujuk kepada ulama…

Sekian

Al-bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com

Saturday, March 14, 2009

Alumni GMI

1. Maaf,saya mencelah urusan kalian. cuma nak beri sedikit pendapat

2. Antara alumni GMI yang telah dizahirkan ialah UKP dan JASA.

3. UKP milik PMIUM dan JASA milik MAMPU UKM. Kebetulan isteri saya ahli UKP dan kawan saya ahli JASA.

4. Bagi saya, semua alumni GMI perlu diperkasakan. Contoh alumni yang aktif sekarang ialah JASA, ISMA dan HALUAN.

5. JASA aktif bersama masyarakat Bangi. Kesukaran utama alumni untuk hidup ialah komitmen ahli dan geografi tempat bertugas yang berbeda..

6. Apapun saya tabik pada AJK alumni yang berusaha menghidupkan alumni masing2. Kalau UKP, istiqamah saudara Radzi dan kawan2 cukup teruji.

7. Moga kalian semua, maju jaya

Lintas Jemaah

Pertama saya terkejut apabila saudara pak alim menyatakan naqibnya sdra mat sabu. bagi saya saudara mat sabu berada dalam puak konservatif semasa zamannya dulu. Teringat saya, persengketaan antara puak konservatif dengan progresif di bawah telunjuk Tuan Kamarul pada ketika itu.

saudara Mat Sabu antara ustaz yang alim dan istiqamah. Bermotorsikal yamaha berwarna merah kalau tak silap. Beliau selalu berjemaah subuh di kolej 10, kolej saya. Sebelum bermula muktamar di DKU APIUM, saya bertanya siapa bakal mengantikan ustaz Izwan. Beliau kata tak tahu. Tengok2, beliau jadi Presiden PMIUM. 'hang tipu saya'.. haha.. Memang wajar beliau rahsiakan. saya faham. masa itu beliau dibaiah dengan seliaan ustaz Mahisan, Timbalan Presiden PMIUM. Cuma kekurangan saudara mat sabu, dari segi ketajaman pemikiran dan kebolehan pidato.

Jika saudara pak alim mengemukakan idea lintas jemaah, tak tahulah pandangan sdra mat sabu. jika pemikiran dulu masih dipusakai, susah sikit naqib pak alim ini nak terima. Apa pun, saya merasakan sdra mat sabu pun sudah mantap sekarang. Bergaul dengan ramai dan mengauli pelbagai pertemuan.

terbaca kisah Murysidul Aam keempat, Imam Muhammad Abu Nashar ketika bersama Imam Hasan al Banna. Ustaz Abu Nashar berkata kepada Ustaz Hasan al Banna:

'bolehkan saya tetap menjadi anggota Syubbanul Muslimin dan mengundang para pemuda itu untuk bertemu ustaz di suatu ruangan kecil di pejabat Syubbanul Muslimin?. Ustaz Hasan menjawab; 'itu sudah cukup! yang penting kita satu fikrah, jangan memerhatikan nama organisasi'

Jawapan ustaz Hasan mengambarkan fikrah perjuangan adi penting. Organisasi bukanlah suatu yang utama.

Lintas jemaah harus diorganisasi dengan berhati-hati dan bersikap muafakat.


bersiagakah mahasiswa Islam kini berlintas jemaah

hang jawablah sendiri!!

Friday, March 13, 2009

Siapa Norza pada Nazree?

1. aku tak tahu. Cuma dulu orang kata Nazree GERAK ada kaitan dengan Norza dan Ezam.

2. kini, Dato Norza dituduh rasuah. Betul atau tidak, itu keputusan mahkamah. Paling maha tahu, Allah SWT sahaja.

3. Mungkin kalian tahu, siapa Norza pada Nazree GERAK?

4. Dan aku masih tidak tahu...

Sunday, March 01, 2009

POLITIK SEPAKAT SEBAGAI ALTERNATIF

MENANGANI ISU POLITIK DAN KONFLIK POLITIK KEPARTAIAN
OLEH M. RIDHWAN BIN ALIAS
tokawang_sufi@yahoo.com

Lebih 5 dekad kita berpolitik dengan menggunakan sistem demokrasi melalui pilihanraya. Kini, tibalah masanya kita menilai semula keberkesanan sistem demokrasi dalam pembentukan agenda umat Melayu-Islam di negara ini. Persoalan ini timbul kerana sistem demokrasi yang kita amalkan semakin mewujudkan golongan bertentangan sehingga berlakunya pertarungan yang merobek perpaduan umat Melayu-Islam. Kehancuran perpaduan umat Melayu-Islam bermakna kehancuran proses pembentukan bangsa Malaysia. Tidak dinafikan kita mempunyai perbezaan pendapat di antara satu sama lain kerana kita mempunyai pengalaman, tahap pendidikan dan kepentingan semasa yang berbeza tetapi biarlah pertarungan ini dalam ruang lingkup yang sihat iaitu bersifat mulia-bestari, beradab dan kondusif.

Pertarungan politik yang mengancam perpaduan diantara umat Melayu-Islam telah mewujudkan politik dendam akan memusnahkan kekuatan umat Melayu-Islam. Natijah daripada sikap pelampau dalam politik ini, umat Melayu-Islam sekarang bertindak dan berfikir dalam kerangka politik parti mereka. Fenomena ini sememangnya menjadi barah dikalangan pengikut bawahan. Sebagai contoh, sembahyang di masjid berlainan tempat dalam kampung yang sama dan pembahagian bantuan berdasarkan parti tertentu. Politik dendam yang menjadi pilihan umat Melayu-Islam disebabkan ketidakfahaman mereka dalam menangani isu politik dan konflik politik kepartaian sehingga memusnahkan nilai kemanusiaan dan Islami yang perlu dipelihara.

Perkataan politik berasal daripada perkatan Greek iaitu polis bermaksud bandar, negara dan bijaksana. Abdul Hamid al Ghazali mendefinisikan politik sebagai keahlian memerintah dan menjalankan negara; kekuatan dan kemampuan untuk meraih tujuan politik. Dalam konteks moden, politik boleh dimaknakan sebagai suatu ilmu memerintah yang diatur dan ditadbir oleh sesebuah pertubuhan politik. Sebenarnya, umat Melayu-Islam baru sahaja mengenali politik bercorak institusional yang berkiblatkan Barat dengan penubuhan pertubuhan bercorak politik seperti Kesatuan Melayu Muda, Partai Kebangsaan Melayu Malaya dan UMNO. Selama ini umat Melayu-Islam telah terbiasa dengan sistem politik naungan yang bergantung harap kepada kepimpinan personal.

Keseluruhan pimpinan umat Melayu-Islam tertakluk kepada idea bertuankan kepada para sultan atau pembesar. Ini bermakna pengikut atau rakyat dalam struktur masyarakat Melayu-Islam dihubungkan dengan konsep hamba tuan kepada kepimpinan personal yang mempunyai daulat, karisma dan wibawa yang diabsahkan melalui tradisi atau melalui undang-undang yang diinstitusikan. Pemimpin politik juga bertindak sebagai protector (pelindung) dan patron (penaung) kepada rakyat atau pengikut. Kedatangan British telah mengubahkan budaya politik pimpinan personal Melayu kepada kepimpinan Melayu bercorak institusi melalui parti politik. Walau bagaimanapun, budaya feudal tersebut tidak diberesi secara lumat oleh British. Impaknya, muncullah ‘orang-orang’ tertentu dalam parti pemerintah yang bercakaran sesama sendiri.

Hadirnya sistem demokrasi berpilihanraya di Tanah Melayu menyebabkan munculnya parti politik seperti PAS dan UMNO yang cukup berpengaruh dalam masyarakat Melayu-Islam. Pertembungan kedua-dua parti Melayu-Islam ini seringkali tidak terkendali sehingga mewujudkan suasana permusuhan di kalangan pendukung kedua-dua parti. Api permusuhan ini semakin marak sehingga isu yang memerlukan kebersamaan sukar dijalinkan kesepakatan. Akibatnya umat Melayu-Islam sendiri akan menanggung kerugian dan ia akan menguntungkan pihak lain yang berkepentingan.

Permusuhan ini disebabkan oleh perebutan kuasa pemerintahan sehingga kedua-dua pihak gagal melihat perbezaan diantara kepentingan politik dan kepentingan politik kepartaian. Berparti bermakna kita berpolitik tetapi berpolitik tidak bermakna kita berparti. Kita boleh melihat insan berjalur bebas seperti aktivis mahasiswa sosialis, Hishamuddin Rais yang memperjuangkan hak kemanusiaan dan keadilan berdasarkan fahaman sosialis beliau tanpa parti. Iman as syahid Hasan al Banna menyifatkan politik tanpa parti adalah politik mutlak dimana ia melihat hal ehwal dalaman umat dan luarannya tanpa mengaitkan dengan kepartaian. Oleh sebab itu, isu-isu seperti isu Anwar, isu hudud dan tahanan ISA perlu dilihat dalam konteks pemaknaan politik yang lebih luas melepasi sempadan parti politik. Isu-isu tersebut melibatkan persoalan hak asasi manusia dan Islami.

Manusia atau organisasi yang bersikap non-partisan boleh berpolitik dengan makna boleh menyatakan pandangan dan isu-isu. Perjuangan politik tanpa parti berdasarkan prinsip dan isu politik bukannya politik kepartaian yang berorientasikan mengejar kekuasaan. Oleh sebab itu, pendukung politik tanpa parti boleh membuat pertimbangan rasional dan adil dalam menilai sesuatu perkara. Segala pertimbangan akan dilakukan berdasarkan nilai keadilan dan kebenaran bukannya meraih undi atau kepentingan parti politik.

Ketidakfahaman tentang politik dan politik kepartaian cukup membarah dipelbagai lapisan umat Melayu-Islam. Paling memilukan apabila para pemimpin parti politik dan cerdik pandai Melayu bagaikan berpesta dengan ketidakfahaman ini bagi mengaut keuntungan perut mereka. Mereka bangga memperbodohkan rakyat dengan mengapi-apikan permusuhan dan meneruskan diskriminasi-diskriminasi agar pihak bertentangan terus memusuhi mereka.

Terasa teramat malang jika kita meneropong suasana politik mahasiswa Melayu di kampus-kampus nasional yang turut terkena tempias politik dendam dan diskriminatif. Suasana permusuhan yang dilebarkan oleh budaya politik kepartaian turut menggugat suasana keintelektualan di universiti yang selama ini dianggap neutral dan berautoriti sifatnya. Kader-kader parti mula bertarung dalam pilihanraya kampus dalam suasana yang tegang. Universiti yang dilihat sebagai taman keilmuan dan diharapkan melahirkan intelek-intelek ‘insan al kamil’ telah menjadi sarang menetaskan benih-benih perpecahan ummah.

Menurut Yusof al Qaradhawi dalam Fiqh Daulah, berbilang parti politik ini perlu berada dalam kerangka kesatuan akidah Islam dimana matlamat utama adalah menegakkan kekuasaan Ilahi tetapi perbezaan yang berlaku hanya pada persoalan pendekatan sahaja. Kekeliruan yang timbul apabila umat Melayu-Islam gagal memprofesionalkan perbezaan pendapat mereka dengan mengimport sistem berparti Barat tetapi bermentaliti dunia ketiga. Di Barat, mereka yang kalah dalam pilihanraya akur kehendak rakyat. Contohnya, Kerry calon presiden USA yang tewas mengucap taniah kepada Bush tetapi di Malaysia, pihak yang menang dicela dan pihak yang kalah didiskriminatif. Akibatnya berlaku perpecahan umat Melayu-Islam yang merugikan.

Perpecahan umat yang merugikan ini perlulah dibanteras melalui pendidikan politik yang sihat. Pertama, tranformasi pemikiran politik perlu diregenerasi, dimana rakyat haruslah dididik bahawa parti hanyalah regalia untuk menyalurkan aspirasi politik berasaskan pertentangan polisi dan pendekatan dalam pentadbiran bukannya sebagai satu cara hidup yang berpaksikan politik dalam segala aspek kehidupan. Suasana kondusif perlu dipupuk dengan memansuhkan amalan yang bersifat diskriminatif. Keadilan dituntut dalam pembahagian bantuan subsidi, kenaikan pangkat dan pembahagian projek dibuat tanpa melihat label parti politik. Suasana kondusif dapat mengurangkan ketegangan politik dan memarginalisasikan politik dendam di kalangan ahli masyarakat.

Kedua, parti politik boleh menangani isu-isu yang memerlukan kesepakatan politik. Menurut Siddiq Fadzil, antara isu yang boleh disepakati adalah isu pelajaran, budaya dan Bahasa Melayu. Syarahan perdana tentang Palestin anjuran ABIM yang menemukan Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan Tun Dr. Mahathir Mohammad haruslah diteruskan secara kerap agar perpaduan umat Melayu-Islam dapat dijalinkan. Kesepakatan yang termeterai boleh membawa parti-parti yang bertentangan ke arah politik persefahaman iaitu bersepakat dalam isu yang memerlukan kebersamaan.

Parti politik Melayu-Islam perlu mengamalkan prinsip politik bermoral yang berasaskan sifat mulia-bestari agar politik dakwah dapat direalisasikan. Menurut Dr. M. Hidayat Nurwahid, mantan Presiden Parti Keadilan Sejahtera Indonesia [PKS], politik dakwah dirumuskan sebagai kebijakan yang disusun dalam upaya mengendalikan dakwah Islam. Politik boleh menjadikan alat dakwah jika pemain-pemain politik mencontohi akhlak dalam urusan politik Rasulullah SAW. Kehidupan politik Rasulullah SAW dilatari dengan kesederhanaan, keadilan, kebenaran, toleransi dan penuh dengan nilai kemanusiaan yang berakar-tunjangkan Islami haruslah ditauladani oleh pendukung parti politik. Di Indonesia, PKS melalui pemimpin utamanya seperti Abdi Sumaithi, Ketua Fraksi PKS di Majlis Permesyuaratan Rakyat dan Anton Apriyantono, Menteri Pertanian menonjolkan kesederhanaan dengan menolak peruntukan yang mewah kepada mereka oleh kerajaan.

Kegagalan Parti Refah Turki dan FIS di Algeria mengambarkan persaingan politik yang sengit boleh menghancurkan niat baik sesebuah parti politik. Perebutan kuasa akan merugikan kedua-dua parti politik yang bermusuhan. Sebagai alternatif, dianjurkan power sharing [perkongsian kuasa] diantara kerajaan dengan parti oposisi. Menurut Rached al Ghannoushi, pemimpin Parti Nahdah Tunisia menyatakan pembangkang boleh bergerak dan bekerja dalam bidang masyarakat awam seperti dalam bidang pendidikan dan kebudayaan. Penyertaan pembangkang dengan kadar kecil akan mengurangkan ketegangan politik membolehkan proses pengislahan masyarakat dilakukan secara lebih berkesan. Di Malaysia, suasana ini boleh direalisasikan kerana semua parti politik umat Melayu-Islam telah menonjolkan elemen Islami seperti Islam Hadhari, Negara Islam dan Masyarakat Madani dalam perjuangan politik mereka. Sungguh indah jika semua parti politik ini mengorak langkah dengan berpakat melaksanakan agenda umat Melayu-Islam yang dicita-citakan bersama.

Umat Melayu Islam perlu berusaha menangani isu politik dan konflik politik kepartaian mereka sebaik mungkin agar agenda umat Melayu-Islam dapat dilaksanakan dalam suasana harmonis. Parti politik Melayu-Islam wajar mengislah diri dan masyarakat dengan proses political socialization [pembudayaan politik] yang sihat, bermoral dan Islami. Teringat pesan Pak Rendra, seniman Indonesia, “kita tidak boleh disatukan oleh masa lalu. Kita hanya boleh disatukan oleh masa depan”. Ini pengharapan tinggi kepada parti umat Melayu-Islam agar bersatu pada masa depan. Berpakatlah.

FALSAFAH PERJUANGAN MAHASISWA: SATU RE-INTERPRESTASI

FALSAFAH PERJUANGAN MAHASISWA: SATU RE-INTERPRESTASI.


OLEH MOHAMAD RIDHWAN BIN ALIAS
(mamat_com)
tokawang_sufi@yahoo.com


“Kau harus tahu saudara! Dunia ini bukan penjara, lapang luang tempat berjuang. Kau pun harus mengerti saudari! Kau pun sakti jika berbakti”.
-Or Mandank


Perjuangan mahasiswa adalah perjuangan anak muda yang ingin mengubah sistem yang telah didukungi oleh persekitaran masyarakat mereka. Mereka mahu perubahan mengikut cita-rasa mereka yang dipelajari daripada idealisme yang teori dan khayali. Ketiadaan ruang untuk menjayakan hasrat mereka menyebabkan mereka mengambil langkah yang radikal dan ekstrem sesuai dengan jiwa mereka yang bersemangat membara. Tetapi yang menjadi persoalan kini adalah sejauh-mana faktor material dan mehnah yang menyelimuti ruang pemikiran masyarakat telah membawa impak besar kepada pemikiran dan tindakan peserta gerakan mahasiswa?.


KONTEKS PERJUANGAN MAHASISWA

Politik kampus adalah satu lapangan yang luwes perlu dibedakan dengan politik mahasiswa tetapi dibaca bersama dengan bacaan politik mahasiswa. Apabila menyebut politik kampus ia juga melibatkan pensyarah, persatuan kakitangan dan juak politik luar yang ingin menyebarkan pengaruh. Bayangkan terdapat pensyarah tekan-menekan di antara satu sama lain untuk mendapat jawatan pentadbiran bukan akademik. Politik mahasiswa pula melibatkan pertentangan antara mahasiswa dengan mahasiswa dan mahasiswa dengan penguasa universiti.

Universiti merupakan tempat menyediakan prasarana dan persekitaran untuk pengembaraan minda dan melontar tesis baru untuk pertimbangan masyarakat berilmu. Menurut Muhammad Abu Bakar, kampus universiti adalah immediate surrounding atau alam sekeliling yang paling hampir kepada mahasiswa dan sehubungan dengan itu mahasiswa boleh dikatakan saban hari berinteraksi dengan lingkungannya. Interaksi ini menimbulkan suasana perkongsian dan konflik di antara warga kampus. Universiti sendiri merupakan sebuah badan politik di mana persoalan kuasa dan membuat keputusan menjadi satu aspek penting dan menerima pelbagai karenah para mahasiswa dan warganya.

Menurut Mohamad Abu Bakar aktiviti mahasiswa boleh menjadi aktivitisme apabila mahasiswa bertindak menyalurkan ketidakpuasan dan penentangan mereka menerusi jalan di luar batasan yang ditetapkan oleh institusi tempat mereka belajar dan bergerak. Peristiwa demonstrasi papan tanda sebagai contoh penentangan mahasiswa terhadap persoalan kedaulatan Bahasa Melayu di Universiti Malaya. Natijahnya, mahasiswa keluar dari bilik kuliah dan dihangatkan di sudut pidato mara ke serata kampus untuk membantai papan-papan tanda berbahasa Inggeris. Kejadian ini adalah transformasi daripada sesuatu aktiviti kebajikan kepada kegiatan aktivisme yang radikal.

Status diri mahasiswa haruslah dibedakan dengan status diri pelajar sekolah. Mahasiswa adalah anak muda yang dipenuh idealisme, semangat membara, romantis dan tergesa-gesa dalam usaha menegakkan apa yang diyakininya. Sebagai mahasiswa, mereka ingin bebas daripada kongkongan ibubapa dan guru-guru. Mereka mahu menjadi orang dewasa yang ingin membuang imej pelajar sekolah. Perbedaan ini cuba ditonjolkan dalam persoalan pemupukan intelektualisme dan personaliti. Proses pembelajaran dan pengajaran yang dialami telah menjadi pencetus kepada kebangkitan kesedaran mahasiswa. Mereka mahu berjuang bersama masyarakat kerana sifat peka dan teransang dengan pengolakan masyarakat sehingga mencetus cita-cita sosial untuk mengatasi masalah dengan keupayaan tenaga-idea mereka.

Isu nasional dan internasional telah meningkat ghairah mereka untuk turun padang dan memperkatakan persoalan tersebut melalui wadah debat dan penulisan. Ketiadaan ruang demokrasi menyebabkan mereka turun ke jalan raya untuk mempamerkan pendapat mereka. Mahasiswa akan terasa seronok dan puas jika dapat membantu masyarakat(Anthony Arblaster, Academic Freedom, 1974).


KESATUAN TEORI DAN AKSI

Dalam gerakan mahasiswa, proses penyatuan teori dan aksi perlu dinamik, kadang kala teori berada di depan aksi, adakala aksi perlu didepan teori. Kini, terdapat satu aliran memisahkan teori dengan aksi. Mereka yang elitis hanya membina teori dalam suasana duduk, belajar dan menulis buku manakala masyarakat mahasiswa massa hanya perlu beraksi. Aksi tanpa teori tidak efisen atau tidak akan berhasil melakukan perubahan mendasar kerana tidak dapat membebaskan manusia tanpa sedar[Ernest Mandels]. Pembebasan manusia tanpa sedar terjadi apabila manusia yang beraksi tidak memahami kenapa mereka perlu beraksi. Pengalaman gerakan reformasi 1998 di Malaysia adalah contoh popular kegagalan intelektualisme akibat tiada teori yang dapat mengukuhkan akar intelektualisme ke dalam minda masyarakat. Natijahnya, semangat perjuangan peserta gerakan reformasi hanya hangat-hangat tahi ayam. Manakala teori tanpa aksi tidak akan dapat watak ilmiah yang sejati kerana tidak ada jalan lain untuk menguji teori kecuali melalui aksi.

Para pimpinan mahasiswa seharusnya mengambil peluang membangun dan memupuk sebuah aliran pemikiran atau School of Thought yang tersendiri semasa di universiti. Menurut Mohamad Abu Bakar, para pemimpin mahasiswa boleh menjalankan aktiviti keilmuan yang membabitkan sebahagian mahasiswa dalam rancangan berfikir, berdiskusi, berdialog dan berseminar secara berkumpulan, kemudian mereka membentang dan menyebarkan fahaman mereka.

Setiap teori atau school of thought terhasil tidak akan teruji jika tidak diterjemahkan ke dalam masyarakat melalui penulisan yang akan membina kekuatan idealisme untuk mengerakkan kekuatan aksi mahasiswa sama ada melalui demonstrasi atau khidmat masyarakat. Ia menjadi satu manifesto yang dijadikan asas dalam perjuangan mahasiswa. Kewujudan kesatuan teori dan aksi yang telah diujikan akan membawa legasi perjuangan para mahasiswa secara terus menerus semasa berada di alam pasca mahasiswa. Ia mempunyai satu kesinambungan perjuangan kecuali di kalangan manusia yang rakus kuasa dan pangkat[idealisme telah dimamah oleh kekuatan materialisme].

RADIKALISME SEBAGAI ANUTAN MAHASISWA REVOLUSIONER.

Radikalisme secara popular menunjuk kepada ekstremisme politik dalam pelbagai bentuk atau usaha mengubah susunan atau orde sosial-politik secara drastik dan ekstrem (Alwi Shihab, 1997). Secara estimologi, radikalisme berasal daripada radix yang bermaksud akar. Seseorang yang radikalisme ialah seseorang yang menginginkan perubahan terhadap situasi yang ada sampai ke akar umbinya. Perubahan yang citakan adalah drastik dan mendasar sehingga memusnahkan idealisme yang berstatus quo.

Radikalisme dianuti oleh mahasiswa berjiwa revolusioner yang mahukan perubahan yang mendadak. Radikalisme yang dianuti oleh mahasiswa berjiwa revolusioner perlu dipandang secara positif. Kefahaman terhadap revolusioner mahasiswa ini perlu difahami sebagai bersuara keras dan bertindak keras meruntuh dan menghancurkan sesuatu itu disertakan pula dengan daya cipta untuk membina yang baru sebagai ganti yang lapuk yang diruntuh dan dirubah (Shahnon Ahmad, 1995). Manakala pemaknaan surealis berbeda dengan revolusioner iaitu bersuara kuat untuk meruntuh dan menghancur tanpa penciptaan dan pembinaan semula.

Radikalisme yang dimiliki oleh mahasiswa berjiwa revolusioner yang maksudkan adalah mahasiswa yang dipandu oleh school of thought dalam setiap aksi radikalismenya. Kawalan aksi adalah kefahaman intelektualisme ke atas isu yang berkaitan dengan nilai demokrasi, keadilan sosial, reformasi ekonomi, politik dan sosial masyarakat dan kebajikan mahasiswa sendiri.





MAHASISWA DAN RUANG DEMOKRASI

Solidariti Mahasiswa Malaysia[SMM], satu front mahasiswa selalu mendakwa pihak kerajaan telah menyekat ruang demokrasi di universiti terutamanya hak kebebasan media dan berpolitik. Antara dakwaan SMM adalah sekatan HEP ke atas calon-calon ‘pro-mahasiswa’. Or Mandank telah menasihatkan kepada para anak muda berbunyi begini “Kau harus tahu saudara! Dunia ini bukan penjara, lapang luang tempat berjuang. Kau pun harus mengerti saudari! Kau pun sakti jika berbakti”. Sebenarnya tiada alasan bagi para mahasiswa untuk tidak meneruskan perjuangan mereka.

Ruang demokrasi ekoran beberapa fasal dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti diakui menjejaskan persekitaran demokrasi politik mahasiswa. Kesempitan ruang demokrasi perlu diambil kesempatan oleh para pimpinan mahasiswa untuk mengamal politik penyatuan yang berasaskan perkongsian kuasa diantara pihak bertentangan dan peluang ini juga boleh digunakan untuk pentarbiyahan dan dakwah untuk sebilangan mahasiswa yang hanyut akhlaknya. Apaguna gerakan mahasiswa terlalu bersifat politikal tetapi tiang-tiang intelektualisme dan tarbiyah pendokongnya sangat rapuh dimakan anai-anai materialisme dan hedonisme.

KARAKTER MAHASISWA

‘belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak maju tanpa pemimpin pengalaman(mencabar) dan terpelajar’.
- Ungku Aziz

Menurut Mohamad Abu Bakar, falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, sebagai rakyat yang dewasa dan situasi mereka sebagai individu yang terdedah dengan pengolakan dunia semasa. Benarlah ucapan Ungku Aziz, ‘belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak maju tanpa pemimpin pengalaman(mencabar) dan terpelajar’. Pemimpin bukan sahaja perlu dipenuhi dengan ilmu tetapi mestilah menimba pengalaman dalam perjuangan. Pemimpin seperti Anwar Ibrahim, Aziz Deraman, Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi adalah leluhur yang dihasilkan oleh pengalaman aktivisme gerakan mahasiswa-belia di universiti atau institusi pendidikan yang mereka menimba ilmu. Ilmu dan pengalaman menjadi satu pautan saling lengkap-melengkapi antara teori dan praktikal.

Ketiga-tiga elemen yang dinyatakan oleh Mohamad Abu Bakar melibatkan karakter mahasiswa sendiri. Karakter mahasiswa yang ditonjolkan melalui keberkesanan kepimpinan dan intelektualisme pimpinan mahasiswa adalah kekuasaan yang sebenar. Ganning menyebut “Jalan saya menuju kepada kekuasaan melalui karakter”. Jika kita menyelinap dalam sejarah gerakan mahasiswa, sudah pasti kita menemui karakter yang menghidupkan suasana api perjuangan mahasiswa sama ada di kampus atau di tengah masyarakat. Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Noordin Razak dan Ahmad Shabery Cheek daripada kelompok Islamis-Nasionalis manakala Sanusi Osman, Abu Zer, Hishamuddin Rais dan Kamarazaman Yaakob daripada kelompok sosialis. Karakter inilah yang boleh menggerakkan mahasiswa untuk melakukan demonstrasi walhal kebanyakan mahasiswa yang berdemonstrasi adalah buta isu dan mengikuti untuk berseronok-seronok.

Mengikut Stiwell, karakter mempengaruhi 80 peratus daripada kekuatan kepimpinan diikuti dengan ketegasan 10 peratus, pengetahuan dan teknik 5 peratus dan pengaruh lain-lain sebanyak 5 peratus. Kualiti karakter dapat dilihat dalam kemampuan memutus keputusan, moral tinggi, berani, tepat dalam bacaan politik, tenang dalam tekanan dan cintakan kebenaran. Karakter yang berkeperibadian tinggi sanggup merebut dan menundukkan dunia agar kedaulatan idealisme dapat ditegakkan.

Pemimpin mahasiswa haruslah dipilih daripada orang berwatak dan karakter terpuji. Teras karakter adalah akhlak Islamiyyah yang murni dan syumul. Apaguna kehebatan karakter pimpinan mahasiswa jika gagal menjalinkan akhlak untuk akhirat dalam urusan dunia. Setiap urusan ada pahala dan dosa boleh menjadi landasan agar gerakan mahasiswa tidak dinodai oleh perbuatan dan pemikiran sesat. Hasan al Banna menyatakan “demi hidupmu, negeri tidak sempit kerana penduduknya tetapi yang menjadikannya sempit ialah akhlak pemimpin-pemimpinnya”.

Akhlak itu bukanlah semata-mata sikap lemah lembut dan baik dalam pengaulan. Akhlak bukan sahaja terbatas pada memelihara diri daripada pengaulan bebas antara lelaki dengan perempuan dan larangan meminum arak. Akhlak mencakupi hal ini dan lebih luwes lagi dalam aspek kehidupan manusia; termasuk pengendalian diri, benar dalam perkataan, amanah, adil dalam memutuskan, tegas dengan kebenaran, menghormati peraturan, bulat nekad untuk kebaikan, menyuruh amal makruf nahi mungkar dan tolong-menolong atas kebaikan dan taqwa. Akhlak adalah penghayatan secara berterusan dalam karakter mahasiswa sendiri.


CABARAN GERAKAN MAHASISWA

Cabaran paling getir gerakan mahasiswa adalah membangkitkan kesedaran massa mahasiswa agar bangun mendepani permasalahan ummat. Tradisi masyarakat yang selesa dan mudah memperolehi sesuatu tanpa perjuangan telah menjangkiti perjuangan mahasiswa. Mahasiswa sangat bimbang mengambil risiko dalam menegakkan suara kebenaran. Kesedaran adalah regalia sebelum sesuatu aksi dan forum mahasiswa diadakan. Tanpa kesedaran mahasiswa tidak berjaya mengerahkan keseluruhan kekuatan gerakan mahasiswa sekaligus menyukarkan rakyat dan NGO menyokong sesuatu isu.

Tradisi kebangkitan rakyat di negara ini yang tersangat bergantung kepada karisma tokoh menyebabkan tidak berupaya menghadapi pemerintah jika tiada pemimpin. Penyakit ini juga menimpa gerakan mahasiswa. Kebangkitan mahasiswa terlalu bergantung kepada tokoh seperti Syed Hamid Ali, Anwar Ibrahim, Nordin Razak, Sanusi Osman, Ibrahim Ali, Idris Jauzi dan Ahmad Shabery Chek. Jika tiada tokoh berkaliber, gerakan mahasiswa akan lesu tanpa aksi. Lihat kebangkitan reformasi pada tahun 1998, momentum kekuatan mahasiswa tidak digunakan secara maksima padahal peluang ini iaitu ketika ramai rakyat bangkit berdemonstrasi sepatutnya diambil untuk mengembalikan kuasa mahasiswa sebagai pendesak semasa zaman kegemilangan gerakan 1970an.


KEMAHIRAN DALAM GERAKAN MAHASISWA

Kemahiran pengurusan Organisasi

Tugas utama golongan mahasiswa/belia di Malaysia adalah menyubur kembali tradisi kecemerlangan gerakan mahasiswa/belia yang semakin lesu dan tidak bermaya. Penularan unsur material ke dalam pemikiran masyarakat telah menumpulkan budaya berpersatuan dan kesukarelawan di kalangan ahli masyarakat terutamanya para mahasiswa/belia. Dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar ini kita perlu membina generasi mahasiswa/belia yang berjiwa besar dengan competitive frame-work of mind dalam mengemudi pengurusan organisasi mahasiswa/belia yang semakin lesu itu. Justeru, bagi menghidupkan kembali organisasi mahasiswa/belia, para mahasiswa/belia perlu dilengkapi dengan kemahiran pengurusan organisasi.

Menurut Louis A. Allen, “....organisasi merupakan satu mekanisma atau struktur yang membolehkan ahli-ahli dalam sesebuah organisasi dan bekerja secara cekap-bersama.” Bagi E. Weight Bakke pula “...organisasi adalah merupakan satu masyarakat yang kecil iaitu terdiri daripada kumpulan-kumpulan individu yang sama-sama bersatu sebagai satu kumpulan untuk mencapai tujuan yang telah ditetapkan oleh sesebuah organisasi itu”. Pemaknaan organisasi ini memberi peluang kepada para mahasiswa/belia mempelajari dan menguji kemahiran dalam pengurusan sesebuah organisasi.

Penglibatan /mahasiswabelia dalam organisasi mahasiswa/belia amat penting dalam mempersiapkan diri untuk masa hadapan. Disinilah kita melihat organisasi mahasiswa/belia memainkan peranan yang cukup penting sebagai medan latihan dan menjadi wahana untuk memenuhi misi negara. Organisasi mahasiswa/belia adalah satu masyarakat kecil terdiri daripada kumpulan individu-individu yang sama-sama bersatu dalam satu kumpulan dan bekerja secara cekap bagi mencapai satu tujuan yang telah ditetapkan oleh sesebuah organisasi mahasiswa/belia. Dalam organisasi inilah para mahasiswa/belia diuji, diolah dan diasuh agar kita berkemampuan membuat perancangan program untuk memperbaiki keadaan.

Mahasiswa/belia adalah waris kepimpinan negara perlu mengetahui kemahiran pengurusan organisasi. Dari segi takrifnya perancangan setiap organisasi adalah satu proses yang melibatkan keputusan-keputusan tentang; apa yang dilakukan, bila akan dilakukan, siapa yang akan melakukannya, dan bagaimana melakukannya sebelum sesuatu tindakan itu dilaksanakan. Perancangan perlu bagi menyediakan rangka matlamat akhir sesuatu tindakan, membantu menyediakan framework penyertaan dalam organisasi, membantu menbongkar peluang dan ancaman-ancaman masa depan, merangka piawaian prestasi (performance standard) serta merangka usaha-usaha pembaikan.

Sebelum program mahasiswa harus melihat prioriti program, kemampuan organisasi dan kewangan. Berdasarkan perkara tersebut kertas projek blue print dirangka. Dengan perancangan yang dirangka akan menyenaraikan utama serta pula menyusunnya mengikut keutamaannya agar ada penyelarasan. Keutamaan program juga banyak bergantung kepada suasana dan bentuk kumpulan sasar serta masalah yang ada.


Kemahiran berfikir

Penyelesaian masalah adalah satu aktiviti harian manusia. Masalah yang dihadapi mungkin mudah atau remeh, ada yang memerlukan pertimbangan yang mendalam dan mungkin ada masalah yang mempunyai jalan penyelesaian yang kabur. Bagi menyelesaikan masalah, manusia memerlukan pemikiran kreatif dan inovatif yang dianggap kunci kepada perubahan dan kemajuan. Kemahiran berfikir adalah antara wahana dalam menjana idea-idea kreatif.

Secara umumnya, kemahiran berfikir adalah satu kemahiran memproses minda untuk mencapai tujuan tertentu. Menurut Ainon dan abdullah Hasan, kemahiran berfikir ialah kemahiran menggunakan maklumat untuk pelbagai kegiatan aktif. John Dewey pula menganggap kemahiran berfikir sebagai satu aktiviti mengawal, menguasai dan menyesuaikan diri kepada persekitaran sukar. Costa pula mengaitkan kemahiran berfikir dengan proses penerimaan rangsangan luar oleh minda melalui deria. Mayer menyifatkan kemahiran berfikir sebagai kemahiran pengolahan mental yang merangkumi pengetahuan, pengamatan dan penghasilan sesuatu.

Apapun definisinya, kemahiran berfikir adalah satu kemahiran menyelesaikan masalah. Ia melibatkan individu mencari dan mengenal pasti makna dan pemahaman terhadap sesuatu perkara, menerbit idea, merekacipta, menerokai pelbagai kemungkinan, merenung nilai, membuat pertimbangan, mentafsir maklumat dan membuat keputusan. Proses berfikir terbahagi dua tahap iaitu tahap persepsi dan tahap pemprosesan. Tahap persepsi, seseorang individu cuba mengenali sesuatu melalui pengecaman dan menterjemahkan sesuatu aktiviti kompleks ke dalam bentuk mudah dan bermakna. Pada tahap pemprosesan pula, kekuatan logik digunakan untuk memproses maklumat yang diterima bagi membuat keputusan, mengambil tindakan dan menyelesaikan masalah.

Penulis melihat kemahiran berfikir menjadi satu elemen teras kecemerlangan belia. Dengan adanya kemahiran berfikir, para belia akan menjadi seorang pemikir. Pemikir yang baik tidak akan terburu-buru mencari jalan penyelesaian masalah. Mereka akan mengambil masa untuk berfikir, merancang strategi dan bertindak balas sebelum keputusan dibuat. Bagi menyelesaikan masalah, seorang pemikir gemar mengkaji punca-punca masalah dan melakukan penilaian kembali pada setiap keputusan yang dibuat.

Pemikir juga melakukan kaji kendiri (introspection) ke atas kelebihan atau kelemahan sebelum melakukan tindak balas terhadap masalah. Kaji kendiri ialah proses ‘melihat ke dalam diri sendiri’ untuk memerhatikan perkara-perkara yang berlaku dalam fikiran dan perasaan. Kaji sendiri membolehkan kita melakukan penilaian terhadap keupayaan diri dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jika tidak berupaya, mungkin bantuan daripada orang dapat diminta.

Belia/mahasiswa sebagai pemikir mestilah bersifat fleksibel dengan menerokai kemungkinan-kemungkinan, alternatif dan pilihan. Setiap masalah diselesaikan dengan pelbagai cara. Seorang pemikir berfikiran terbuka, prihatin tentang adab al-ikhtilaf, reseptif dan dapat menerima cadangan orang lain. Idea yang berbeda dikaji diselidik, dikaji dan dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.


Kemahiran sosial

Jangan bersikap elitis. Pimpinan gerakan mahasiswa/belia harus merakyatkan diri mereka dengan para pengikut dan rakyat sekitar kampus. Begitu juga hubungan dengan pentadbiran universiti, pimpinan mahasiswa harus boleh berinteraksi dalam suasana kondusif dan mesra.

Musuh harus dilayani dengan mesra tanpa diskriminatif dan emotif. Kasih sayang perlu dijalin dalam interaksi dengan pihak berlawanan.

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...