Thursday, September 25, 2008

MAZHAB ISTAC: GELAP DALAM CERAH?

Oleh mamat.com
mahasiswamenggugat.blogspot

‘mereka harus menghapuskan jurang antara teori dan praktik dan menghubungkan kembali golongan intelektual dan massa’
Ali Shariati

Syukur kepada Allah SWT memberi ruang kepada penulis ke blog Tuan Aqil fitri, pengendali ummahonline, antara blog yang sarat dengan rencam ilmu berkualiti. Ulasan tentang Prof Naquib al Attas sangat saya sokong.

Prof Naquib merupakan tokoh yang penulis kagumi. Sebagaimana Tuan Guru Haji Hadi, Tuan Guru Nik Aziz, DS Anwar Ibrahim atau Dr. Siddiq Fadzil yang penulis kagumi juga tetapi tidak sampai penulis membuta-tuli fanatic kepada mereka.

Mungkin penulis hanya berkenalan prof Naquib melalui karyanya.

Pada zaman mahasiswa yang begitu ideal, penulis turut terpengaruh dengan tulisannya. Sebagai ‘ulat ilmu’ dan ‘kaki seminar’, penulis pernah merasai kelazatan ilmu tetapi apabila terjerumus ke alam masyarakat dan reality, praktikal ilmu yang diseminar hanya manisan kata-kata. Kita boleh tambah ilmu tetapi tidak boleh praktik ilmu kecuali yang terpilih. Inilah yang penulis risaukan dengan idea yang sukar dihidup-nyatakan.

Ilmu prof naquib yang penulis kira sebagai mazhab ISTAC adalah khazanah pemikiran yang cukup berharga hanya mampu dijana di ruang kampus-elit sahaja. Mampu mencerah minda dan menyedap halwa telinga tetapi kaku menggerakkannya. Masyarakat marhaen dan professional Malaysia malas membaca bahan ilmiah, mereka tak hirau dan tidak kenal pun prof Naquib apatah lagi bawaan ilmunya atau ilmu yang dicanangkannya.

Pengikut tegar prof naquib sendiri tidak bersinergi. Lihatlah kebanyakan anak murid prof naquib yang kaku di universiti. Keluarlah merakyat ilmu anda yang bergeliga itu. Idea jangan beku tertulis dalam tesis sahaja tetapi biar menggugat dalam reality. Mungkin orang akan bicara bahawa Anwar Ibrahim merupakan anak murid prof yang terkemuka dan praktikal. Persoalannya, adakah Anwar Ibrahim pengikut prof Naquib yang sejati?

Saya nak juga bertanya kepada Anwar Ibrahim, kenapa beliau memilih pendekatan Prof Ismail al Faruqi daripada prof Naquib pada 1980an dahulu? Mitos yang popular ketika itu, surat prof ismail faruqi antara sebab Anwar masuk dalam UMNO padahal surat Pak Natsir, tokoh Islam Indonesia supaya memajukan PAS diketepikan. Akibatnya tokoh-tokoh ABIM yang tertunggu-tunggu beliau seperti Tuan Guru Haji Hadi, Tuan Guru Fadzil Nor dan Ustaz Nakhaie dalam PAS.

Secara realitinya, mazhab ISTAC bergurukan prof Naquib ini bersifat elitis dan sukar direaliti di ‘bumi’ yang dipijak. Ilmunya dihadami oleh orang berlagak bijak-pandai di institusi pengajian tinggi yang malas aktif di medan reality baik dalam politik dan ekonomi. Dalam bidang social ada puak ABIM-PKPIM cuba mengekori ilmu-ilmu yang dihidang oleh Prof Naquib. Persoalannya berapa kerat?

Dalam blog sosialis kanan, saudara Wan Faysal yang penulis selalu berimiginasi bakal Presiden PKPIM(sebagaimana penulis membaca tulisan ilmiah saudara Hilmi Ramli dan Kharul Anuar al Mashor dalam majalah MINDA) cuba meneruskan hidup mazhab ISTAC dalam kalangan anak muda. Penulis cukup menyokong akan usaha saudara wan faysal. Semoga berjaya.

Sebagai orang muda ‘pemabuk’ mazhab istac, penulis mengharapkan saudara wan faisyal mengorak langkah bersama cendikiawan proksi ISTAC mengeluarkan modul-struktur bernegara yang merangkumi aspek hubungan antarabangsa, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Serah modul ini kepada PAS untuk dijadikan ‘AEB’ PAS dan dilaksanakan.

Suka atau tidak, PAS adalah wadah paling berpengaruh dalam masyarakat Melayu-Islam kini berbanding gerakan Islam yang lain termasuk ABIM-PKPIM dan JIM. Dekati mereka dengan semangat membina bukannya meruntuhkan seperti cerita lama ABIM yang suka memperlekehkan kepimpinan ulama PAS yang jumud dan politik kepartian sempit. Dalam masa yang sama, tokoh ABIM-PKPIM lebih ramai suka dan ketagih bersama UMNO berbanding PAS.

Penulis antara manusia yang kecewa apabila UIA ‘membuang’ prof Naquib daripada ISTAC. Satu perbuatan mencemar martabat keilmuan. Penulis mencadangkan agar Prof Naquib(jika beliau masih sihat dan bertenaga, dengar cerita pakai alat pendengaran) dan legasinya membina ‘ISTAC Baru’.

Negara pertama yang boleh diwujudkan ISTAC baru ialah Bosnia. Negara ini merupakan antara negara umat Islam di Eropah. Budaya Mazhab ISTAC amat sesuai untuk pertempuran ilmiah dan pemikiran di Eropah. Sebab itu orang seperti Dr. Tariq Ramadhan, cucu Imam Hasan al Banna berjuang di Eropah yang subur kecerahan fahaman ilmu dan sikap keterbukaan berbanding negara Timur seperti Mesir atau Syria. Negara yang kedua ialah Qatar. Sebuah negara yang semakin terbuka dan suka mengambil tokoh ilmuan yang ‘terbuang’ seperti Yusof Qaradhawi. Pak Sheikh Arab mudah beri sumbangan dana. Negara ketiga ialah Indonesia dimana ramainya anak murid prof Naquib. INSIST boleh diperkasa dengan kehadiran prof naquib. Di Indonesia, mazhab ISTAC sangat sesuai jika bertarung dengan gerakan Islam Liberal di sana.

Saya juga mengharapkan legasi mazhab ISTAC ini menubuhkan badan pemikir. Nasihati pertubuhan dan pemimpin Islam seperti Anwar Ibrahim. Saya nak lihat Anwar pilih IKD yang liberal atau mazhab ISTAC. Adakah peristiwa penolakan idealisme prof Naquib berlaku kembali?. Kalau Anwar lebih seronok dengan agenda peribadinya, serah harapan proksi Istac kepada PAS.

Media massa juga harus digerakkan agar idea prof naquib tersebar luas. Ajaklah Prof Naquib memberi takzirah mingguan umpama beliau lakukan semasa di ISTAC dahulu. Kebetulan anaknya orang kuat IKIM, panggillah bapak tuan bertakzirah, tuan tawfik.

Saya mengakui mazhab ISTAC antara mata rantai Islam yang saling lengkap-melengkapi bagi mentamadunkan umat Islam kembali. Apapun bagi umat terkini, kita lebih utama mencuci akidah umat terlebih dahulu berbanding menyirup mazhab ISTAC yang kelat dan terbelit akal itu.

Akhir kalam, saya mengharapkan mazhab istac ini membumi bukannya menuntun bidadari dalam khayalan. Semoga Prof Naquib sentiasa sihat dan boleh berkhidmat untuk umat sambil menghirup kopi, mengaji al quran dan berfikir dengan hati yang senang.

13/9/08

1 comment:

Tinta Abdullah said...

Tulisan saudara cukup hebat hingga apa saudara tulis saya kurang faham mungkin pemikiran saya masih rendah.

Saya mohon keizinan untuk letak link saudara dalam blog saya. Insyaallah ada manfaatnya.


tintaabdullah.net76.net

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...