Monday, December 24, 2007

Kembara Tasek Utara(bahagian 2)

Oleh Hishamuddin Rais


BAHAGIAN 2 ---------- Pelajar dari Universiti Singapura yang datang ke Tasek Utara kebanyakannya rakyat Malaysia. Mereka telah mengetahui kes Tasek Utara lebih awal, berbanding mahasiswa di Kuala Lumpur. Ini kerana ada di antara mereka yang berasal dari Johor Bahru dan telah mendengar berita kawasan setinggan itu dirobohkan. Mereka juga telah membaca berita ini dari akhbar-akhbar Cina. Jadi apabila orang-orang kampung yang berkumpul di sekeliling kami mula bersurah dengan tidak teratur tentang apa yang telah berlaku kepada mereka, saya merasakan ini maklumat baru dan penting. Saya mendengar dengan teliti. Saya juga melihat kemunculan beberapa orang kampung yang mungkin telah dilantik atau muncul tersendiri sebagai pemimpin - kerana umur dan pengalaman - bersurah dengan penuh semangat; antara mereka, Abang Amin dan Pak Majid. Sedang kami berlabon tiba-tiba, kampung menjadi gegak-gempita sekali lagi. Suara jeritan bersimpang siur. Pengganas dari Majlis Perbandaran Johor Bahru, pada awalnya telah berundur, kini datang kembali dengan bantuan polis dan FRU. Mereka terus menyerang dan merobohkan rumah yang masih tegak berdiri. Kami cuba meredakan keadaan tapi pengganas-pengganas jelaslah tidak lagi mempunyai sifat kemanusiaan. Pengganas datang lengkap bersenjatakan tukul besi, gergaji dan besi tajam. Mereka memasuki setiap rumah dan memotong tiang tengah, agar rumah ini runtuh. Tiang dan kayu beluti dipotong pendek. Syed Hamid ditahan polis Papan-papan dinding akan dirobek. Atap-atap zing yang bertaburan akan dicucuk dengan besi tajam agar bocor. Pinggan, mangkuk, tempayan dan tong air dipecahkan. Kawasan kampung menjadi padang jarak padang terkukur, bertaburan dengan tembikar dan kaca. Raungan dan tangisan anak-anak yang ketakutan kedengaran di sana sini. Ibu-ibu cuba melarikan anak-anak jauh dari tempat keganasan. Beberapa orang ayah cuba menghalang si pengganas tapi telah ditangkap polis. Di sebuah rumah, seorang bayi sedang nyenyak tidur dalam buaian. Seorang pengganas telah datang dengan tukul besi dan terus memecahkan dinding rumah. Syed Hamid Ali, bekas presiden PMUM berlari masuk ke dalam rumah ini dan terus memeluk tiang tengah dan enggan keluar walaupun diugut bahawa rumah ini akan diruntuhkan. Anak kecil di dalam buaian sempat diselamatkan oleh ibunya. Akhirnya Syed Hamid bersama lapan orang kampung ditahan. Setelah pengganas-pengganas itu berundur, kami pun berkumpul kembali. Kami memungut kain baju dan pinggan-mangkuk yang bertaburan. Rumah-rumah yang boleh diperbaiki, kami bergotong-royong membetulkannya. Untuk rumah rumah tidak boleh diselamatkan, penghuninya digalakkan menumpang di rumah saudara mara. Di dalam kemelut ini, seorang abang bekas askar telah menawarkan tempat di No 11, Jalan Tarom sebagai tempat penempatan sementara. Rumah di Jalan Tarom hanya langkah sementara dan tidak mungkin berbelas-belas keluarga tinggal di dalam sebuah rumah. Kami berbincang sementara menunggu dan melihat apa yang telah terjadi kepada mereka yang ditahan. Nasib mereka memang baik kerana semua yang ditahan dibebaskan pada sebelah petangnya tanpa apa-apa tuduhan. Lalu kami berkumpul dan mengambil keputusan agar tuntutan para peneroka untuk memiliki rumah wajib diajukan terus kepada Menteri Besar, Osman Saat. Orang-orang kampung juga bersetuju untuk keluar beramai-ramai ke pejabat Menteri Besar. Berita tersebar di UM Saya, yang masih tidak mempunyai mandat dari PMUM enggan untuk mengambil apa-apa keputusan. Saya menerangkan kepada orang kampung bahawa saya perlu membincangkan hal ini terlebih dahulu kepada persatuan untuk mendapat sokongan terhadap apa saja tindakan seterusnya. Untuk itu, saya wajib pulang ke Kuala Lumpur untuk mengadakan mesyuarat dengan Jawatan Kuasa Kerja (JKK) PMUM. Esoknya, sesampai sahaja di kampus dan tanpa melengahkan masa saya memberikan laporan kepada JKK majlis ke-16 PMUM. Keputusan PMUM ialah, menderma 250 ringgit kepada peneroka Tasek Utara dan mengadakan sudut pidato untuk mendemokrasikan berita yang telah berlaku di Tasek Utara. Persatuan Anak-anak Johor Universiti Malaya telah diberitahu tentang apa yang berlaku. Secara spontan, persatuan ini memberikan sokongan. Di sudut pidato ini, telah diumumkan sokongan yang telah diterima oleh peneroka - Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM), Persatuan Mahasiswa Universiti Pertanian Malaysia (PMUPM), Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya dan Kelab Sosialis telah memberikan sokongan. Anak-anak Johor dengan lantang telah bangun menyuarakan kemarahan mereka terhadap Umno dan keganasan yang dilakukan kepada orang Melayu di Tasek Utara. Wang kutipan sebanyak 75 ringgit berjaya dikumpul di sudut pidato, hari itu. Dengan sokongan yang hangat, PMUM tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menghantar satu kumpulan mahasiswa ke Tasek Utara. Selesai saja sudut pidato, sebuah bas berisi 50 orang mahasiswa telah bertolak menuju Johor Bahru. Majoriti di dalam bas ini ialah mahasiswa dari Johor. Beberapa wakil dari persatuan anak negeri lain dan aktivis kampus turut bersama ke Tasek Utara. Turut bersama mereka ialah Omar Osman, Adi Satria, Khoo Soo Wan dan Bhaskaran. Mereka adalah aktivis kampus dan ahli majlis PMUM. Di pertengahan jalan, selepas Yong Peng, bas kami ditahan polis tanpa apa-apa sebab selama dua jam. Kerana ini, kami lewat sampai ke Johor Bahru. Kami gagal berbuka puasa bersama para peneroka seperti yang telah dirancangkan. Kesampaian kami telah disambut dengan hangat. Peneroka cukup berbesar hati kerana para mahasiswa, terutama anak Johor telah datang untuk menyatakan sokongan mereka. Pada malam itu pelajar dari Johor Bahru telah pulang ke rumah masing-masing untuk menyebarkan berita Tasek Utara kepada sudara-mara mereka. Sementara yang lain tidur di dalam rumah-rumah kosong yang masih selamat digunakan. Para peneroka dan mahasiswa telah sebulat suara mengambil keputusan pergi ke Bukit Timbalan pada keesokan pagi untuk bertemu dengan Menteri Besar Johor, Datuk Osaman Saat.

1 comment:

Anonymous said...

thanks for these great articles
www.technodani.tech

visit my page
Gadgets Can Be Friends of Eid Holidays 2019

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...