Monday, July 19, 2021

Dewan Pemuda PAS Lembek?


1.     Antara kelemahan terbesar Dewan Pemuda PAS sekarang ialah dari segi pemasaran politik.

2.     Pemuda PAS kena membezakan fungsi mereka sebagai sebuah parti politik dengan peranan sebahagian daripada kerajaan Bahkan sebagai organisasi pemuda, mereka perlu lebih lantang bersuara walaupun berbeza pandangan dengan PAS Pusat.

3.     Selain usaha dalaman (sebahagian daripada kerajaan), Pemuda PAS mesti lantang bersuara di ‘luar’ kerajaan. Ia menampakkan Pemuda PAS bersama hati nurani rakyat dan menjuarai isu rakyat bawahan. Perkara ini penting bagi pemasaran politik

4.     Dewan Pemuda PAS mesti mencari bakat-bakat anggota mereka untuk dikaderkan sebagai jurubicara isu-isu rakyat. Mereka bukan sahaja berkemahiran dalam pidato tetapi memiliki kepakaran dan pengetahuan mendalam tentang isu yang dibicarakan.  Paling kurang mereka ada sarjana muda dan minat dalam bidang yang diamanahkan.

5.     Antara isu-isu penting yang mesti diperjuangkan ialah isu pendidikan, perundangan, pekerja, alam sekitar, petani-nelayan-penternak, kebajikan, wanita muda, anak muda, geopolitik antarabangsa dan ekonomi/kewangan/pencukaian.

6.     Dalam sebulan, paling kurang dua artikel atau dua isu perlu disentuh. Isu perlu disemarak dalam media sosial.

7.     Tidak perlu Ketua, Timbalan dan Naib Ketua sahaja yang membicarakan tentang isu-isu semasa. Pemuda PAS perlu berani melantik jurubicara rakyat bagi setiap Lujnah. Mereka bercakap dan menulis dalam isu berdasarkan lunjah masing masing.

8.     Manfaatkan anak muda dalam Siswa PAS dan GAMIS

 

 

Petua Seni Muslihat Perang: Fokus Perkara Kecil. Jangan terlepas pandang pergerakan paling kecil. Setiap pergerakan musuh ada nilai tertentu yang ada sebab dan akibat kepada kita. Jika ada, terus cantas.

Gerakan Islam/Islamis Memperalatkan Islam?

 Ramai ulama ternama tidak bersetuju dengan kewujudan dan tindak tanduk gerakan Islam dan para Islamis pada hari ini. Antara yang terkenal ialah Dr Ali Jumaah, Dr Usamah al Azhari, Dr Muhammad Said Ramadhan al Buti, Syeikh Abdullah Benbayyah dan lain-lain (terutamanya Majlis Hukama).

 

Antara kesimpulan pandangan mereka ialah

1.     Jangan memperalatkan Islam demi kepentingan dan keuntungan individu dan jemaah Islam (termasuk parti politik).

2.     Kecenderungan individu dalam jemaah terjerumus dalam budaya ekstrem, radikal, teroris, taksub, fanatik, jumud dan takfir. Jemaah dan parti lebih utama daripada Islam.

3.     Cenderung dengan kebencian, rasa diri lebih baik, kemarahan, dendam, dengki, buruk sangka, mencari salah, suka menghukum, maki memaki dan fitnah.


Pandangan mereka tidak salah, sebahagiannya adalah benar.


Dalam mana-mana organisasi, kelompok opurtunis, kelompok ekstrem dan lain-lain tetap ada. ia tidak dapat dielakkan. Ada yang taksub dan fanatik berdasarkan aliran dan tokoh. Ia sukar dielak.


Jaga niat kita. Jaga iman kita. Jaga akhlak kita. Jaga tindakan kita. Jaga tulisan dan lisan kita. 

Persoalannya, jika Islamis dan gerakan Islam berundur daripada dunia politik, siapakah yang mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan oleh Islamis dan gerakan Islam? Nak harapkan sekularis, pluralis, nasionalis, liberalis dan komunis memperjuangkan agenda Islam dalam politik?

 

Suka atau tidak, sekelompok daripada umat Islam kena menyertai politik kepartian. Ini tugas berat. Tanggungjawab dan amanahnya besar. Silap langkah jatuh ke lubang fitnah dan dosa. Kita wajar berterima kasih kepada mereka kerana mereka sudi dan sanggup masuk ke ruang mudarat ini bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar.

 

Dengan segala bagai masalah, cabaran dan fitnah dalam dunia politik yang mengoncangkan iman dan memburukkan akhlak, kelompok Islamis yang serba kurang, lemah dan tidak dapat lari daripada kesilapan ini terpaksa menceburi ruang politik yang serba tak kena itu. Kita sebagai rakyat kena pantau, tegur, nasihat, beri peringatan dan kritik segala kesilapan, kesalahan dan kealpaan mereka.

 

Secara idealnya, kita mahu Islam memerintah dengan kewujudan kekhalifahan, negara Islam dan pelaksanaan syariat. Kita melaungkan idealisme dan cita-cita serta impian kita sebagai muslim dengan  lantang. Hakikat sebenarnya,  dari segi realiti sekarang, perundangan, teknikal, kefahaman dan kesedaran serta cabaran rakan kongsi kuasa politik, ia bukanlah usaha yang mudah dan memerlukan masa untuk merealisasikan. Kesabaran dalam menghadapi pemeringkatan perubahan mesti ada bagi orang beriman.

 

Fokus sebenarnya politik umat Islam pada hari ini ialah penambah-baik urus tadbir negara, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan/kebajikan rakyat. Tugas terbesar gerakan Islam dan Islamis ialah menunjuk bukti dan prestasi dalam mengurus tadbir negara dengan taqwa dan berakhlak. Kemudian memberi kesedaran dan kefahaman agar pemimpin dan rakyat tentang agenda Islam.

 

Negara Islam dan pelaksanaan syariat Allah bukanlah dapat diselesaikan dalam masa sehari. Ia mesti dilaksanakan dengan bijak berdasarkan pertimbangan dan keutamaan tertentu. Fokus ekonomi dan kebajikan rakyat bukannya perundangan atau perlembagaan. Jangan ulangi kesilapan Presiden Morsi, FJP dan IM di Mesir.

 

Kesimpulan kita.

 

1.     Kita meraikan perbezaan pandangan ulama. Terimalah berdasarkan kemampuan dan konteks kita. Kita boleh cenderung kepada mana-mana pihak selagi dalam suasana beradab dan ilmiah. Betul atau salah kita bergantung kepada ilmu dan akhlak kita menangani perbezaan.

2.     Luruskan niat, patuhi syariat, tidak menyusahkan orang lain, doa dan jalan terus.

3.     Pada zaman ini, ulama dan pendakwah MESTI tunjuk akhlak orang baik yang CAKNA rakyat di lapangan rakyat melalui dialog, teman diskusi, majlis ilmu, ziarah rumah ke rumah, muzakarah dalaman, pertemuan 4 mata dan usaha/amal kebajikan dengan sifat ikhlas, kasih sayang dan tidak mahu menyesatkan saudaranya (al ghirah).

4.     Politik dalam Islam ialah mencari dan mendokong pemimpin adil yang faham agama dan memerintah dengan faham agama. Awalnya, ia tiada kaitan dengan parti atau jemaah. Dalam politik moden, (1)parti mempunyai kuasa mengarahkan pemimpin agar mengakuri keputusan parti dan (2)setiap parti menjadikan perlembagaan dan ideologi sebagai panduan yang perlu difahami dan diikuti oleh anggotanya. Dua perkara menyebabkan parti dain ideologi juga menjadi asas kepada kita dalam memilih pemimpin.

 

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...