Thursday, June 21, 2018

Politik Islam



“Ya Akhi..bersihkan hati dari syahwatul Khafiyyah ( keinginan yang tersembunyi), jika hak kita, tiada siapa yang dapat merampasnya dan jika sememang hak orang, tidak akan jadi milik kita, walau bagaimana sekalipun kita berusaha untuk memilikinya. Allah bersama dengan orang yang diberi Allah jawatan kepadanya, dan Allah berlepas diri dari orang yang berkehendakkan jawatan untuk dirinya”
Allahyarham Tuan Guru Yahya Osman

Kedaulatan Islam dan Kembali Kepada Fitrah
Rahsia kepimpinan yang sebenar ialah sabar, istiqamah dan taat. Ramai pemimpin hanyut dengan kegeniusan peribadi kononnya aku lebih bijak yang akhirnya memakan diri sendiri dengan perancangan yang terlebih bijak. Sedarlah perancangan Allah dan keredhaan Allah itu lebih utama’

‘Kedaulatan’ Islam adalah keupayaan dan kemampuan seseorang pemerintah mentafsir dan melaksanakan arahan al Quran dan al Sunnah dalam pentadbiran dan pemerintahan kerajaan secara keseluruhan.

Kedaulatan Islam boleh dilakukan secara individu dalam sebuah wilayah minoriti Islam, dimana pemimpin Islam bekerjasama dengan pemimpin bukan Islam tanpa mengadaikan prinsip Islam. Bagi wilayah majoriti Islam, perjuangan menegakkan Islam sebagai asas pemerintahan perlu dilaksanakan secara hikmah dan tegas. Pelaksanaan Islam dilakukan secara berperingkat dan berterusan sehingga Islam benar-benar mentadbir.

Semua manusia mempunyai fitrah kemanusiaan yang sifatnya adalah sama. Ada sifat cinta, sayang, keraguan, kebajikan dan pelbagai. Manusia juga berminat dalam ekonomi, politik dan pelbagai perihal sosial. Dalam diri manusia, secara fitrahnya mempunyai sifat-sifat seorang liberalis, sosialis, komunis, kapitalis, pluralis dan lain-lain. Fitrah kemanusiaan yang sebenar ialah serasi dengan al-Quran dan as-Sunnah. Fitrah kemanusiaan mesti tunduk dan patuh  mengikuti jalan yang ditunjuki oleh suluhan al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan seharian agar tidak tersesat dan hanyut dengan keseronokan khayali ciptaan aqal dan nafsu sendiri. Kemuncak kesesatan fitrah kemanusiaan apabila ia menjadi ‘isme’ atau ‘agama’ bagi sesetengah individu dan kelompok sehingga tidak mengenali Allah SWT dan menolak Islam sebagai  Adden.

Kedaulatan Islam atau lebih tepat kedaulatan Allah (al hakimiyyah) dalam ekonomi, politik dan sosial (lebih tepat dalam kehidupan manusia) adalah pengembalian kepada fitrah kemanusiaan yang sebenar. Pengembalian kepada fitrah kemanusiaan sebenar ini menjadi satu kewajiban dalam penunaian janji  dalam Perjanjian Asali Manusia dengan Allah SWT dalam Alam Roh. Penunaian janji ini melibatkan syariat [Surah al-Jathiah: 18], hakikat dan makrifat.

Kedaulatan Islam (lebih tepat: Allah SWT) atau al-hakimiyyah ialah kekuasaan hukum tertinggi dalam alam semesta ini hanyalah milik Allah SWT. Allah menentukan segala hukum[Surah al-An’aam:57]. Konsep ini menunjukkan kepada manusia bahawa Allah sahaja sebagai sumber hukum. Manusia wajib patuh, taat dan tunduk kepada hukum Allah semata-mata [Surah al-An’aam: 62] bukannya pada pandangan akal dan nafsu manusia.

Isu besar pada hari ini dan sejak zaman berzaman, manusia dikhayalkan dengan kebijaksanaan pandangan akal dan nafsu sendiri.  Mereka merasakan diri mereka benar. Mereka bersifat pragmatis dan selektif dalam pandangan Islam. Sebab itu mereka senang dengan pemikiran pasca Islamisme dan Muslim Demokrat sebagaimana dicanang oleh Barat. Sejarah telah membuktikan bahawa kelompok ini tidak meninggalkan Islam sepenuhnya. Mereka mulanya beralasan dengan pelbagai alasan (termasuk dalil-dalil Islam) tidak melaksanakan Islam. Lama-kelamaan kelompok tidak mahu melaksanakan Islam, kemudian menyokong dan bersama-sama kelompok anti-Islam menyerang kelompok Islam dan akhirnya menjadi penentang Islam.

Politik Islam dan Kepimpinan Islam
Ramai sarjana Islam menyatakan istilah politik bukanlah istilah Islam. Asal usul istilah politik ialah daripada bahasa Yunani, ‘politikos’ atau bahasa Latin, ‘politica’. Dalam bahasa Perancis, ‘politique’ dan bahasa Belanda, ‘politiek’. Asal usul istilah ialah daripada ‘polis’ bermaksud negara kota. ‘Polis’ juga bermaksud kemajuan.

Sebahagian sarjana menyatakan politik dalam Bahasa Arab dinamakan siasah iaitu perintah, tegah, melakukan kebaikan dan mendidik. Dari segi istilah, siasah menurut Ibni Aqil ialah perbuatan yang membawa manusia lebih hampir kepada kebaikan dan menjauhkannya daripada kerosakan sekalipun tidak disyariatkan oleh Rasulullah SAW.

Pada pandangan penulis, siasah ditentukan oleh kualiti seorang pemimpin. Kualiti seorang pemimpin terletak pada akhlaknya yang disaluti oleh iman dan taqwa. Kualiti pemimpin mendahului kelebihan sistem.

Menurut Kamus Dewan, pimpin ialah dibimbing; dipandu; dituntun dan ditunjuk. Kepimpinan pula ialah keupayaan memimpin. Rumusan Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zin menyatakan pimpin bermakna memegang tangan seseorang dengan tidak terlucutnya menuju ke arah yang dipersetujui bersama. Perkara ini menunjukkan seseorang pemimpin perlu memimpin dan memegang ‘tangan’ (kekuasaan-mentadbir) rakyat dengan amanah.
Teori kepimpinan Barat terutamanya Bahasa Inggeris menggunakan perkataan ‘lead’ bermakna menyebabkan (seorang atau seekor haiwan) mengikut seorang yang membawanya dengan tangan (membimbing), bakdul, tali dan lain-lain ketika maju ke hadapan. Lead berasal daripada perkataan Latin iaitu kaedan bermakna ‘menyebabkan perginya seseorang daripada Jermaik, laithan yang bermakna ‘kembara’.
Dalam tradisi peradaban Melayu-Islam, kepimpinan Melayu berasaskan persetujuan bersama antara pemimpin dengan rakyat. Perkara ini menandakan kepimpinan Melayu berasaskan kerjasama kolektif dan penyertaan rakyat dalam kerajaan Melayu.



Sifat Qawiyy-Ameen-Hafeez-Aleem datang Daripada Aqidah dan Akhlaq Islam.
Pemerintahan Islam dan seseorang pemimpin Islam perlu mempunyai ukuran pencapaian mereka dalam melaksanakan amanah Allah. Tanpa prestasi dan pencapaian yang baik dan berprestasi tinggi, pemerintahan dan pemimpin tersebut perlu ditolak dan digantikan dengan pemimpin dan parti politik yang lebih baik.

Penulis tertarik dengan tulisan Ustaz Harizal Jamil,

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang QAWIYY, lagi AMEEN” [al-Qasas 28: 26]

Ayat ini disyarahkan oleh Ustaz Hasrizal Jamil dengan penjelasan begini. “Penjelasan tentang kriteria Musa yang menjadikan beliau sebagai manusia yang paling berkelayakan untuk diupah bekerja diungkapkan sebagai Qawiyy dan Ameen. Pembahagian kualiti Musa kepada dua dimensi Qawiyy dan Ameen ini sangat berguna dalam memahamkan kepada kita apakah yang Allah Subhanahu wa Ta’aala kehendaki dari seorang hamba berkaitan dengan kelayakan dirinya.

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.

QAWIYY itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai KOMPETENSI.

AMEEN pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai INTEGRITI.

Sudah tentulah di dalam suatu pekerjaan, kelayakan tertinggi ialah pada seseorang yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang sama tinggi. Namun realitinya, manusia ada pasang surutnya pada kedua-dua dimensi kelayakan ini. Ada tugasan yang memerlukan keutamaan integriti, ada tugasan yang mesti mengutamakan kompetensi.

Bagi tugasan menguruskan gembala kambing seperti yang bakal dilakukan oleh Musa ‘alayhi al-Salaam, QAWIYY (kompetensi pada kekuatan fizikal dan kemahiran menggembala) disebut dahulu sebagai yang utama, berbanding sifat AMEEN (integriti).

Akan tetapi bagi tugasan yang bersangkutan dengan menguruskan harta dan wang, integriti dan kompetensi sama penting, dengan keutamaan diberikan kepada integriti berbanding kompetensi.”

Tambah Ustaz Hasrizal Jamil lagi, ‘ Lalu tatkala Nabi Yusuf  meminta agar dirinya diposisikan kepada pengurusan perbendaharaan negara, beliau berkata:

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)” [Yusuf 12: 55]”

Pada pandangan penulis, asas kualiti kepimpinan ialah aqidah dan akhlak (pemimpin yang berakhlak). Pemimpin berakhlak yang terbaik ialah akhlaknya mengikut dan tunduk kepada al-Quran dan as-Sunnah. Hanya pemimpin yang beraqidah dan berakhlak sahaja mampu memimpin negara yang sejahtera dan makmur. Dan hanya pemimpin beraqidah dan berakhlak al-Quran dan as-Sunnah sahaja yang mampu melahirkan negara yang sejahtera, makmur dan diredhai oleh Allah SWT.

Nabi Musa AS dan Nabi Yusuf AS, mereka adalah pemimpin beraqidah dan berakhlak beracuankan WAHYU Allah SWT. Mereka memiliki syarat Islam mendahului syarat HAFEEZ, ALEEM, QAWWIY dan AMEEN. Seseorang pemimpin mesti mempunyai akhlak dan iman. Sejarah telah membuktikan bahawa negara yang sejahtera, makmur dan diredhai oleh Allah SWT hanya mampu diperintah oleh orang berakhlak yang beriman dan bertaqwa.

Malaysia  berada dalam era terbaiknya pada zaman Tun Mahathir Mohammad (ketiga menjadi PM Keempat), seorang pemimpin yang genius dan bijak tetapi pada zaman beliau juga rasuah dan penyalahgunaan kuasa berleluasa.  Adakah kebijaksanaan tiada?. Adakah undang-undang tiada?. Adakah rakyat lapar dan kebuluran ketika pemerintahan Tun Mahathir?. Yang tiada ialah ketinggian  iman dan akhlak para pemimpinnya. Tun Mahathir tidak mengutamakan pembinaan iman dan akhlak dalam kalangan para pentadbirnya.

Pengaruh Islam Dalam Parlimen
Suka atau tidak, politik mementingkan kekuasaan, kekuatan dan berpengaruh. Di negara majoriti umat Islam, umat Islam wajib menjadikan mereka sebagai pihak yang berkuasa dan berpengaruh. Di negara minoriti Islam, umat Islam juga mesti menjadikan mereka pihak yang berpengaruh. Berpolitik, jangan sampai pengaruh pihak Islam merosot. Perpaduan ummah merentasi politik kepartian perlu diamalkan supaya pengaruh Islam tidak dihakis.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 13, kerusi yang dimenangi oleh orang Islam ialah hanya 137 orang. Sebanyak 98 kerusi Islam daripada 133 kerusi disumbangkan oleh Barisan Nasional(133) sebanyak  UMNO (88) dan PBB (10) manakala Pakatan Rakyat (89 kerusi: PAS (21); PKR (30): DAP (38) mendapat 39 kerusi Islam iaitu PAS(21), PKR (16) dan DAP (2) daripada 89 kerusi yang diperolehi oleh PR.

Dalam PR sebanyak 39 kerusi Islam manakala 50 kerusi bukan Islam. Dalam BN terdapat 98 kerusi Islam manakala bukan Islam mendapat 35 kerusi. Didalam Parlimen Malaysia, jumlah kerusi Islam ialah 137 kerusi manakala jumlah kerusi bukan Islam ialah 85 buah kerusi.

Jumlah kerusi Islam daripada BN berjumlah 98 kerusi dan PKR+DAP sebanyak 18 kerusi itu boleh disangsikan tahap keIslaman mereka. Sudah tentu kebanyakan mereka bukan menganuti Islam secara adden kerana mereka adalah sekularis-liberalis-nasionalis yang totok dan memilik akhlak yang kurang Islami.

DAP memang tidak mampu memerintah Malaysia tetapi DAP boleh memerintah Malaysia dengan bantuan khadam atau boneka mereka. Dan yang lebih tepat ialah pengekalan kuasa berterusan daripada kelompok sekular nasionalis kepada sekular liberalis. Islam akan terus terpinggir.


Kepimpinan Dalam Islam dengan Kaedah Melantik Bukannya Pertandingan.
Dilantik sebagai pemimpin bukanlah menunjukkan diri kita mempunyai kelebihan atau kehebatan. Kepimpinan hanya taklif; amanah, tanggungjawab, berkemampuan; yang dipinjamkan kepada si pemimpin oleh rakyat. Sifatnya pada istilah pemimpin, ia bukan untuk semua orang. Ia hanya yang terpilih dan jumlahnya tidak ramai – terhad.

Kepimpinan bukanlah secara individu, kepimpinan adalah kolektif – syura rakyat. Pemimpin menunaikan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin dan rakyatlah yang menjadi pembantu dan penasihat-penegur kepada pemimpin.

Syarat ketaatan rakyat kepada pemimpin selagi pemimpin taat kepada Allah dan RasulNya. Sekiranya, mereka tidak taat, maka rakyat boleh menurunkannya dengan pendekatan yang paling baik dan damai.

Kuasa pemimpin yang diberikan oleh Allah SWT melalui rakyat jangan dipergunakan untuk diri, keluarga dan kroni. Kuasa ini dikembalikan kepada rakyat melalui pemerintahan yang adil dan pembangunan dilaksanakan untuk rakyat dengan adil dan telus.

Ucapan Khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq semasa pelantikan sebagai Khalifah,
“Wahai saudara-saudara semua, aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, dan aku bukanlah orang yang paling baik dari kalangan kamu. Sekiranya aku berbuat baik, maka tolonglah aku, sekiranya aku menyeleweng maka perbetulkanlah aku. Bercakap benar ini amanah dan berdusta itu khianat. Orang yang kuat di sisi kamu adalah lemah di sisiku kerana aku akan mengambil semula daripadanya hak yang diambil secara tidak benar. Orang yang lemah dikalangan kamu adalah kuat di sisiku kerana aku akan mengembalikan hak yang dirampas daripadanya. Tidak meninggalkan jihad oleh sesuatu kaum, melainkan Allah akan menimpakan ke atas mereka kemusnahan dan kehinaan. Taatlah kepada aku selagi aku taat kepada Allah dan rasulNya. Sekiranya aku tidak taat pada Allah dan rasulNya maka jangan lagi kamu taat pada aku

Ucapan Khalifah Abu Bakar menunjukkan keperluan penglibatan rakyat dalam mengawasi pemerintahan dan seseorang pemimpin. Pengawasan ini dilakukan dengan menegur dan menasihat kerajaan. Menegur dan menasihat kerajaan memerlukan sifat amanah bukannya mengampu. Perbetulkan kerajaan juga boleh dilakukan dengan menurunkan mereka dalam pilihanraya.

Kedaulatan Islam terlaksana apabila pemimpin istiqamah taat kepada Allah dan RasulNya dengan melaksanakan apa yang dijelaskan oleh al Quran dan  al Sunnah.

Politik Kesultanan Bukan Sekadar Pewarisan Takhta






Antara Urusan Aqidah dan Urus Tadbir Kerajaan Yang Baik
Mana yang lebih utama antara urusan aqidah atau urus tadbir kerajaan yang baik?
Hakikat kepada jawapan soalan ini ialah aqidahlah sumber keupayaan sebenar melahirkan urus tadbir kerajaan yang baik dan diredhai oleh Allah SWT. Urus tadbir kerajaan yang baik tanpa keredhaan Allah SWT adalah usaha yang ‘syok sendiri’. Keredhaan Allah SWT dihasilkan daripada kehambaan manusia yang mengenali, tunduk dan taat kepada Allah SWT dengan melaksanakan apa yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Pemerintahan, pentadbiran dan kepimpinan mesti bertunjangkan kepada kefahaman konsep khalifah (Surah al-Baqarah: 30). Ia bukan sekadar isu pembangunan, kemajuan dan pentadbiran yang baik sahaja.
Pemimpin Bukan Islam yang Adil?
"Sejelek-jelek Muslim, senakal-nakal Muslim, walaupun masuk penjara, akhirnya pasti masuk surga juga. Sebaliknya, seadil-adil kafir, sebaik-baik kafir, pasti akhirnya akan masuk neraka", KH. Hasan Abdullah Sahal
Kita tidak menafikan kebaikan dan prestasi yang dilakukan oleh pemimpin bukan Islam mengatasi pemimpin umat Islam. Cuma mengatakan pemimpin bukan Islam itu adil disisi Islam itu tidak tepat. Mereka mungkin adil dari segi fitrah kemanusiaan tetapi belum tentu adil disisi Allah SWT.
Dalam Islam, syarat Islam itu mendahului syarat keadilan. Pemimpin yang adil mesti beraqidah Islam dan meletakkan Islam pada posisi yang sebenar dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan.
Di Barat, kerajaan mereka nampak adil disisi pandangan fitrah kemanusiaan. Hak asasi manusia dipelihara dengan baik. Tetapi pada masa yang sama, mereka menghalalkan pelacuran dan riba yang diharamkan oleh Allah SWT.

Pemimpin Islam yang Diktator, Korupsi dan Maksiat.
Kita tidak membela pemimpin umat Islam yang melakukan kesalahan, kesilapan dan dosa. Pemimpin Islam yang lemah prestasi, banyak maksiat, terjerumus dalam korupsi, kronisme dan nepotisme, kesilapan dan dosa perlu diturunkan. Pemimpin umat Islam adalah manusia biasa yang imannya berbolak-balik dan kaya dengan kelemahan, kekurangan, kesalahan dan kesilapan. Pemimpin umat Islam seperti ini perlu diganti dengan pemimpin Islam yang lebih Islamik dan berprestasi baik.
Ada pemimpin umat Islam yang kurang layak memimpin umat Islam dan Kerajaan Islam. Ada juga pemimpin umat Islam yang fasiq, sering melakukan maksiat dan melanggari perintah Allah dan Rasul-Nya. Umat Islam boleh menurunkan pemimpin ini atau mengekalkan pemimpin ini atas dasar mengekalkan mudharat kecil untuk mengelakkan mudharat yang lebih besar.
Dalam kitab ketatanegaraan Melayu seperti Kitab Nasihat Segala Raja-Raja menjelaskan bahawa taat setia terhadap raja dan terhadap perintah raja adalah wajib walaupun zalim. Para ulama termasuk Imam al-Ghazali, Imam al Juwaini, al- Asy’ari, al-Baqillani dan al Nawawi menyokong gagasan bahawa Imam (pemimpin) yang fasiq tidak boleh dipecat terutamanya itu boleh membawa kepada huru hara dan fitnah dalam masyarakat dan negara. Suatu hari yang huru-hara dan fitnah adalah lebih buruk daripada kezaliman sepanjang masa.
Dengan sistem demokrasi-pilihan raya, rakyat boleh menurunkan pemimpin umat Islam yang kurang layak, zalim dan fasiq. Jika pemerintahan diktaktor yang berkuasa dan tidak mampu ditewaskan oleh umat Islam, maka bersabar itu lebih baik. Pengalaman di Syria, penentangan umat Islam mengakibatkan musibah dan mudharat yang lebih besar.
Islam tidak ada kompromi dengan pelaku maksiat, rasuah dan penindasan yang dilakukan oleh pemimpin umat Islam. Dosa tetap dosa disisi Allah SWT walaupun pemimpin umat Islam itu seorang berjubah dan berserban. Peranan rakyatlah menilai prestasi pemimpin mereka dan menurun-menaikkan pemimpin mereka. Setiap undi rakyat juga ada nilai dosa dan pahala.
Pemimpin adalah cerminan masyarakatnya.

Politik Islam dan Demokrasi-Pilihanraya
Dalam demokrasi pilihan raya, umat Islam perlu memilih parti politik dan calon pilihan raya yang boleh membawa aspirasi Islam. Aspirasi Islam ialah perjuangan Islam sebagai adden, menegakkan Islam dalam pemerintahan termasuk dalam sosial, ekonomi, perundangan dan perlembagaan, dan menghalang berlakunya dosa-dosa besar dan kecil yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.
Pemilihan parti politik dan calon bukan sekadar sentimen perkauman, kebencian, tawaran manifesto, prestasi kerajaan memerintah dan kelebihan calon sahaja. Lebih daripada itu, persoalan aqidah dari pelaksanaan dan pemeliharaan aqidah daripada dicemari oleh unsur-unsur SEPILIS.
Islam tidak akan ditegakkan tanpa Perlembagaan dan perundangan Islam. Persoalan pembangunan, kemajuan dan urus tadbir yang baik, semua parti politik mesti melakukannya. Persoalan menegakkan Islam, hanya parti yang bertunjangkan Islam sebagai adden sahaja yang mampu melakukannya.

Kitaran Tsunami Politik
Sesebuah parti politik yang terlalu lama berkuasa akan mengalami suasana kondusif dan sukar mengekalkan prestasi. Korupsi, rasuah, kronisme dan nepotisme mula merebak dalam kerajaan. Akibatnya, kerajaan lemah dan rakyat menderita-dizalimi. Justeru, beberapa pendekatan perlu dilaksanakan iaitu [1] penubuhan Suruhanjaya Hisbah yang bebas daripada penguasaan kerajaan dan parti politik, [2] jawatan dihadkan tempohnya, [3] dialog antara rakyat dengan kerajaan perlu diadakan dan [4] penjanaan Ekonomi Kerakyatan.
Jika gagal mendepani kitaran tsunami politik, rakyat yang bosan dengan prestasi sesebuah kerajaan boleh menumbangkan kerajaan dan mengantikan dengan parti politik yang dirasakan baik oleh rakyat.
Memilih Pemimpin Menurut Dr. Hamid Fahmi Zakarsyi
1. Pemimpin Cerminan Masyarakat
Pemimpin itu adalah produk dan cermin dari keadaan suatu masyarakat. Jika masyarakatnya korup maka pemimpinnya akan demikian pula; jika masyarakat tidak religious atau sekuler maka pemimpinnya juga demikian; jika pemimpinnya saleh maka pemimpin yang akan dihasilkan akan berasal dari orang yang saleh. Itu pemahaman saya dari sabda Nabi:"كيف تكون يول عليكم" (bagaimana keadaan kamu begitulah pemimpin yang akan memimpin kamu). Takwilnya: jika umat berpecah belah maka orang non-Muslim yang akan jadi pemimpin; jika umat Islam tidak kuat kaderisasinya maka yang lahir jadi pemimpin adalah kaum lain yang kuat kaderisasinya; jika Muslim tidak tegas dan kompak dalam bersikap terhadap korupsi maka pemimpin yang akan lahir pun demikian. Kalau "anteseden" (jika) itu semua tidak terjadi maka "preseden" nya (maka) boleh jadi salah, karena Allah berkehendak lain. Wallahu a'lam (FB 4 Mei 2016)

2. Pilih Pemimpin
Jika ada pertanyaan "pilih mana pemimpin kafir tapi tidak korupsi, atau Muslim tapi koruptor" maka harus dijawab begini 1) apakah pemimpin kafir itu hanya tidak korupsi, tapi menipu, memeras, menindas, berzina, berkata jorok, arogan, dsb. 2) Apakah pemimpin kafir itu dijamin pasti tidak korupsi atau tidak terbukti korupsi padahal korupsi 3) Apakah di dunia ini tidak pilihan lain, kecuali kedua pilihan itu, apakah tidak mungkin ada pilihan pemimpin Muslim yang bukan koruptor 4) Apakah kita tidak berfikir bahawa korupsi bagi orang kafir itu sah-sah saja asal tidak terjerat hukum, asal tidak ketahuan, asal dibahagi rata, dan asal pandai melobi semua pihak. 5) Kalau anda Muslim, seorang Muslim itu sudah berlaku adil pada diri sendiri, karena mengikuti fitrahnya bertuhan, sedang orang kafir itu sudah zalim pada diri sendiri, karena mencampur kekafirannya dengan fitrahnya. Bagaimana seorang kafir bisa bersikap adil pada orang lain pada diri sendiri saja sudah tidak adil. Jadi pilihan diatas bukan alternatif yang harus dipilih. befikir cerdaslah agar selamat dunia akherat. (FB 29 Mac 2016)

3. Kriteria Pemimpin Islam
Ketika umat Islam memimpin di Andalusia dan Palestina, umat agama lain (Yahudi dan Nasrani) hidup damai tidak diusir, tidak dicaci maki, tidak dipaksa masuk Islam dan bentuk kekerasan lainnya, namun setelah umat Islam tidak memimpin di Andalusia mereka diusir, dibunuh (Palestina), dipaksa masuk agama lain, kekayaan intelektualnya dicuri lalu di bakar; dan istana serta bangunan masjidnya disita, diusir. Ketika Sultan Turkey mendengan peristiwa di Andalusia seperti itu, dia akan membalas mengusir orang Katholik dari Turkey, namun karena kedekatannya dengan Ulama, ia mentaati nasehat ulama untuk tidak melalukan itu.
Jadi pemimpin Muslim itu bukan hanya beragama Islam, tapi memiliki kriteria-krireria Islami dalam berperilaku, berbicara, mengambil kebijakan, mengatur administrasi, dan sebagainya. Dia dikendalikan oleh agama dan dinasehati oleh ulama yang saleh. Jika dia salah dia tetap salah menurut Islam, jika dia korupsi dia tetap salah dalam kriteria Islam, jika ia tidak adil dia dihukumi zalim dalam Islam. Tapi seorang pemimpin kafir tidak punya kriteria itu, dia dapat melakukan apapun asal tidak bisa dijerat hukum. Jika Muslim harus memilih, pilihlah pemimpin Muslim, sebab apapun kekurangannya dia bertanggung jawab pada Allah, mendengar nasehat ulama dan mendengar nurani rakyatnya. (Ali Imran 28) (FB 29 Mac 2016)

Wasiat Syeikh Abdullah Fahim
Teks Nasihat Allamah Abdullah Fahim* kepada seluruh rakyat Melayu Malaya pada masa itu.
Bismilla’hir’Rahmani’r-rahim. Al-hamdulillah, wassolatu wassalam ala sayyidina Muhammadin wa ala alihi wa ashabih (Amma ba’du)
Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang-orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada Mazhab Syafie ijma’an.
Tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie (yahrumu kharqul ijma’)
Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah al-Tullab, dan Matla’ al-Badrain dan lainnya.
Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumid Din dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyar as-Salikin'.
Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.'
*Allamah Abdullah Fahim adalah merupakan datuk kepada Perdana Menteri Malaysia kelima D.S. Abdullah Ahmad Badawi
Menilai PAS
Kekuatan PAS yang sebenarnya terletak kepada:
1. Perlembagaan PAS yang meletakkan Islam sebagai DASAR parti.
2. Peranan Ulamak dalam kepimpinan PAS
3. Cita-cita mendaulatkan Perundangan Islam
4. Semangat anggota dan para simpatis PAS.
Dalam sesebuah organisasi, tidak dapat lari daripada persaingan dalaman termasuk melibatkan perebutan jawatan. Pemenang sebenar dalam perebutan jawatan ialah mereka yang istiqamah dalam perjuangan. Persaingan dalaman muncul apabila berlakunya pertembungan dua kelompok dalam organisasi iaitu kelompok [1] konservatif dan kelompok [2] progresif. Kedua-dua kelompok ini mempunyai penyokong dalam kalangan anak muda. Kemuncak pertembungan ini ialah membiaknya budaya ekstrem sehingga menularkan virus dalam organisasi. Sesiapa yang tidak berjiwa besar, kurang sabar dan mudah merajuk, akan keluar organisasi. Sesiapa yang kuat sabar akan terus melawan dalam gelanggang yang betul. Dan sesiapa yang mencintai kedamaian dan ukhwah, mereka bertawaqquf daripada organisasi. Dalam kelompok konservatif dan progresif sendiri ada juga puak tertentu seperti mengikut alumni universiti, geng talaqi-turath-ruwaq, geng haraki-hizbi-usrah, jemaah-jemaah Islam dan lain-lain.
Sesetengah pihak menilai dan mengkritik kelemahan prestasi Kerajaan PAS Kelantan. Kita menghormati semua pandangan dan jujurnya kita tidak boleh menafikan setiap yang berkaitan dengan manusia ada kelemahannya. Suka atau tidak, gejala Korupsi, Kronisme dan Nepostisme (KKN) akan muncul dalam sesebuah organisasi apabila keselesaan dan kemewahan melanda organisasi tersebut. Wajib kita membanterasnya dan paling kurang berusaha meminimunkan gejala KKN dalam organisasi yang Islami. Walaupun mereka terlepas hukuman di dunia tetapi mereka tidak terlepas di mahkamah akhirat.
Dalam bab alam sekitar, PAS dikritik teruk disebabkan oleh pembalakan dan kes orang Asli. Setiap kerajaan ada kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah dan mempunyai alasan tersendiri dalam proses pembangunan dan kemajuan negeri. Negara Barat dan Jepun yang sangat dibanggakan Urus Tadbir yang Baik juga turut terpalit dengan pelbagai kelemahan termasuk dalam alam sekitar. Greenpeace banyak juga menghalang negara Barat dan Jepun dalam pelbagai kes termasuk isu pemburuan ikan paus dan isu buangan sisa radioaktif. Jika Kerajaan PAS Kelantan mengikut SOP yang betul, mereka perlu berdepan dengan pihak penentang mereka di mahkamah. Ini menunjukkan keterbukaan dan rakyat mempunyai hak bersuara dalam menentang kerajaan.
Aku Lebih Suci
Setiap manusia kaya kelemahan. Manusia tidak mampu menjadi manusia ‘suci’ sebagaimana Rasulullah SAW. Semaksum Rasulullah SAW turut dibenci oleh manusia yang lain. Kebencian dan kezaliman terhadap pendukung perjuangan Islam berlaku sepanjang zaman.
Pada akhir zaman, ikutilah dan pilihlah pemimpin bertaqwa sama ada kalangan ulamak atau pemimpin bertaqwa yang dinasihati dan disokong oleh para ulamak. Lihat siapa ulamak yang menjadi pemimpin ataupun ulamak yang menyokong pemimpin tersebut.
Dibawah dinukil nasihat Imam Syafie diambil daripada sebuah laman web;
Ulama apa yang harus diikuti pada akhir zaman? ini Jawaban Imam Syafi’i — nasehat Ketika murid Imam Syafi’i bertanya. . “Ulama seperti apa yang kami harus ikuti diakhir zaman wahai guru?” . Imam Syafi’i menjawab: “Ikutilah..ulama yang dibenci kaum kafir, kaum munafiq, dan kaum fasik…” . “Dan jauhilah ulama yang disenangi kaum kafir, kaum munafiq, dan kaum fasik…” . وسئل الإمام الشافعي رحمه الله تعالى: كيف تعرف أهل الحق في زمن الفتن؟! فقال: “اتبع سهام العدو فهي ترشدك إليهم. . PESAN IMAM SYAFE’I . Imam Syafe’i pernah berkata, . “Nanti di akhir zaman akan banyak Ulama yang membingungkan Umat, sehingga Umat bingung memilih mana Ulama Warosatul Anbiya dan mana Ulama Suu yang menyesatkan Umat”. . Maka Imam Syafe’i mengatakan, . “Carilah Ulama yang paling di benci oleh orang-orang KAFIR dan orang MUNAFIK, dan jadikanlah Ia sebagai Ulama yang membimbingmu, dan jauhilah Ulama yang dekat dengan orang KAFIR dan MUNAFIK karena ia akan menyesatkan mu, menjauhi mu dari Keridhoan Allah”. . Nah sekarang perkataan Imam Syafei itu terbukti, dan kita boleh MENILAInya sendiri mana Ulama yang di Musuhi oleh orang KAFIR dan MUNAFIK yang harus kita ikuti, dan mana Ulama yang selalu dekat dengan orang KAFIR dan MUNAFIK yang harus kita jauhi.










No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...