Sunday, August 29, 2021

Diktator, Negara Islam dan Pelaksanaan Undang-undang Syariah


Suka kita katakan bahawa sebelum mengomentari sesuatu isu, sebaiknya kita kembali kepada akar latarbelakang dan pokok isu tersebut iaitu sejarah, geografi, demografi, budaya, tradisi, adat dan realiti semasa/setempat masyarakat.

 

Dalam isu Taliban 2.0, ramai yang mengulas berdasarkan sumber media Barat dan pakar Barat yang cenderung anti Islam dan gerakan Islam. Mereka tidak mengenali Taliban 2.0 di lapangan. Justeru, pandangan mereka terlalu awal dan banyak berbentuk persepsi dan salah sangka.

 

Kemunculan jalur keras, radikal dan ekstrem perlu dilihat daripada akar latarbelakang sesuatu isu. Banyak perkara yang perlu diambil pertimbangan sebelum menghukum mereka sebagai ekstrem, radikal dan jalur keras.

 

ii

 

Suka atau tidak. Dibawah mana-mana pemerintahan, kita sebagai rakyat mesti tunduk dan akur kepada perundangan dan peraturan yang ditentukan oleh kerajaan. Kita tiada pilihan sama ada akur atau berjuang untuk melawan. Setiap pilihan memerlukan kesabaran dan pengorbanan.

 

Rakyat telah memberi amanah kepada individu dan kelompok yang dipanggil pemimpin untuk memimpin organisasi masyarakat dan negara. Rakyat kena akur dan menyokong pemerintah mengikut perkara yang dibenarkan oleh agama dan perundangan sesebuah negara.

 

Setelah memberi amanah kuasa kepada kelompok pemimpin, rakyat akan sibuk bekerja dan menguruskan kehidupan masing-masing. Mereka menganggap tugas pemimpin mengurus-tadbir negara bagi pihak rakyat. Kita teringat ramai isteri (suri rumahtangga) menyerahkan segala urusan kepada sang suami kecuali urusan menjaga anak, mengurus rumah dan masakan. Amanah mengurus-tadbir keluarga diserah sepenuhnya kepada sang suami. Begitu kepercayaan rakyat terhadap kelompok pemimpin.

 

Rakyat masih boleh memerhati dan memantau serta mengkritik pemimpin melalui pelbagai pendekatan termasuk media sosial. Perkara ini penting agar pemimpin terus mendapat peringatan dan tidak melakukan kecuaian dan kesalahan. Dengar atau tidak, bergantunglah kepada pemimpin. Rakyat telah berlepas diri setelah menegur dan menasihati pemimpin.

 

iii

 

Ada pemimpin diangkat melalui demokrasi pilihanraya, sistem monarki, revolusi/peperangan dan sistem organisasi tertentu (seperti parti PKC).

 

Rakyat yang tidak bersetuju kepada pemimpin dan pemerintah perlu meneruskan perjuangan melalui pelbagai pendekatan. Tukar kerajaan melalui pilihanraya dan melakukan revolusi. Tetapi rakyat yang bijak akan melihat kepentingan dan keutamaan serta kemampuan mereka sebelum bertindak.

 

Apa yang penting bagi sesebuah kerajaan ialah kestabilan politik/keamanan, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat. Bentuk pemerintahan dan siapa pemerintah itu bukanlah penting bagi rakyat. Rakyat perlu meneruskan kelangsungan hidup seperti biasa walaupun berlaku pertukaran pemerintah.

 

Sesiapa sahaja yang menaiki takhta kerajaan, mereka akan mempunyai unsur-unsur kleptokrasi, nepotisme, kronisme dan rasuah. Mereka melakukan kesalahan menyeleweng kuasa, manipulasi kuasa dan berpihak. Kemunculan masyarakat elit yang kaya dan berkuasa. Ini semua tak dapat dielakkan. Banyak atau sikit, terdedah atau tidak sahaja. Bagi rakyat biasa, mereka mahu pemimpin sebegitu diadili di mahkamah dunia atau akhirat tetapi mereka tiada kekuasaan dan kemampuan mereka terhad untuk mengubah dan melawan. Maka bersabar dan mengharapkan pembalasan di mahkamah akhirat itu lebih baik daripada pemberontakan dan revolusi yang memburukkan lagi keadaan.

 

 

Ada yang menyalahkan diktator. Apapun selagi diktator tidak menzalimi rakyat dengan kekerasan fizikal dan menyalahgunaan perundangan. Biarlah diktaktor dengan kediktaktoran selagi negara aman, ekonomi baik dan kebajikan rakyat terjaga.

 

Kuasa para diktator tidak boleh diusik. Jika diusik, mereka akan bertindak keras dan zalim.  Maka, seeloknya rakyat berlepas diri daripada politik kekuasaan. Laungan keadilan, demi rakyat, sama rata, kebebasan dan demokrasi boleh mengkhayalkan rakyat. Ia banyak menguntungkan elit politik berbanding keuntungan rakyat. Demokrasi itu sendiri bukanlah ubat yang terbaik. Demokrasi banyak merosakkan negara didunia kerana tiada kestabilan politik. Kebangkitan rakyat atas nama kebebasan dan demokrasi telahbanyak mengharu-birukan negara-negara yang diperintah oleh diktator. Jatuh diktator, negara huru-hara dan kehidupan rakyat semakin teruk. Cukuplah melihat negara seperti Libya dan Iraq.

 

Tabiat diktator tidak boleh dilawan dengan kekerasan jika rakyat lemah dan tidak ada kemampuan. Lawanlah dengan kesabaran dan doa.

 

iv

 

Setiap rakyat mesti akur kepada perundangan selagi perundangan tersebut tidak melanggar ajaran agama Islam. Jika perundangan itu bersifat anti Islam, setiap penganut Islam mesti bijak mendepaninya dengan hikmah dan baik. Kekerasan adalah cara terakhir untuk mendepani masalah.

 

Jika kita bekerja di suatu tempat, kita mesti mematuhi, mengikuti dan menghormati peraturan tempat kerja tersebut walaupun kita tidak suka. Jika kita berada di Singapura, kita mesti mematuhi dan menghormati perundangan di Singapura.

 

Taat, akur dan patuh kepada perundangan/peraturan itu adalah tugas asasi seorang dalam mana-mana jua organisasi.

 

Di negara umat Islam, semua orang kena patuh dan hormati perundangan negara Islam. Jika pelaksanaan undang-undang syariah dilakukan, rakyat perlu patuhi perundangan tersebut. Kenapa takut pada undang-undang jika kita tidak melakukan kesalahan?

 

Jika kita rasa resah, jiwa kacau dan gelisah kerana diri hilang kebebasan dan wanita rasa had mereka dicabuli ekoran pelaksanaan perundangan syariah seperti menutup aurat atau pakai burqa di negara Afghanistan, bagaimana pula nasib wanita Islam yang rasa tertindas dan hilang kebebasan dengan undang-undang anti hijab/burqa/niqab di Barat?

 

Kita tidak perlu meyalahkan negara. Kitalah yang perlu mencari alternatif untuk mengatasi masalah tersebut dengan baik dan damai. Jika kita nak berjuang menuntut hak kita, teruskan selagi tidak menghina agama dan melanggar undang-undang.

 

Jangan menyalahkan Islam kerana kelemahan/kesilapan/kenakalan/kejahatan perangai manusia, kefahaman kelompok ekstrem dan amalan budaya tempatan yang bobrok.

 

 

 

PAS Pasca Haji Hadi dan Zul al Bakri


i

Keadaan kesihatan TGHH semakin merosot. PAS bakal mengalami peralihan kuasa. Peralihan  kuasa menentukan hala tuju  masa depan PAS melalui strategi dan pendekatan yang baru.

 

Melihat kepada situasi kesihatan TGHH, beliau dijangka memberi laluan kepada calon baru di Parlimen Marang. Calon yang sangat sesuai di situ ialah saudara Shahir, setiausaha politik TGHH sendiri. Shahir seorang anak muda dan berbakat wajar diberi peluang membarisi kepimpinan PAS untuk mengurus tadbir negara.

 

Dalam PAS sendiri, TGHH wajar memberi peluang kepada Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memimpin PAS. Kepimpinan TITM boleh menjenamakan semula PAS kerana beliau dilihat tidak terlibat secara langsung dengan zaman pertarungan ideologi yang keras pada tahun 1970-1980an dahulu. Perwatakan dan keperibadian beliau dapat meningkat imej PAS dalam masyarakat.

 

Bagi jawatan Timbalan Presiden PAS, calon yang dilihat sesuai mengikut kekananan ialah Ustaz Idris Ahmad dan Ustaz Dato Nik Mohd Amar Nik Abdullah. Pada pandangan kita, satu tindakan yang boleh PAS ambil ialah menjemput dan meletakkan Ustaz Dato Zulkifli Mohamad al Bakri sebagai Timbalan Presiden PAS. Ini yang berlaku ketika Dr Burhanuddin al Helmy dijemput dan diletakkan sebagai Yang Dipertua PAS. Ilmu, keperibadian dan perwatakan Ustaz Zul dapat menonjolkan imej PAS sebagai parti yang baik.

 

Kehadiran Ustaz Zul pada jawatan Timbalan Presiden PAS dapat mengurangkan ketegangan dalaman bagi menduduki jawatan tersebut. Semua pihak dalam PAS boleh menerima sosok Ustaz Zul.

 

ii

Era Permusuhan dan BPMS

 

Kita mengakui bahawa politik memerlukan sesuatu untuk dimusuhi. Musuh perlu dicipta untuk membentuk sentimen dalam diri penyokong. Dalam kontek parti politik Islam, musuh terbahagi dua iaitu musuh politik dan musuh Islam.

 

Seteruk mana Amanah dan DAP, sudah tiba masa mengendurkan permusuhan terhadap mereka. Ketidaksetujuan PAS terhadap DAP biarlah sekitar kelemahan dasar, polisi dan urus tadbir. Kritiklah ketidakmampuan DAP dalam pentadbiran bukannya soal kafir atau tidak dan memusuhi Islam atau tidak.


Aspek ideologi baik MCA dan DAP bahkan UMNO sendiri tidak boleh dikompromi. Sifat menghormati perkara yang kita tidak setuju.

 

PAS tidak perlu menyucikan UMNO dan MCA. Dulu menyucikan DAP, sekarang menyucikan MCA.


iii

Jaga Iman, Jaga Diri

Kita berada pada zaman langit terbuka dan maklumat di hujung jari. Rakyat memerhatikan tindakan dan perangai pemimpin setiap saat. Setiap pemimpin kena berfikir panjang untuk bercakap, menulis dan bertindak agar tidak membawa fitnah kepada diri, parti dan Islam.

 Segala kenyataan pendirian lama yang bertentangan pendirian sekarang diselongkar dan dicari untuk menempelak para pemimpin. Pemimpin mesti bijak menjawab

 

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...