Friday, January 01, 2021

Lee Kuan Yew, DAP dan Kehilangan Jati Diri

 Lee Kuan Yew contoh terbaik dalam pembentukan negara bangsa baru yang melupakan kefahaman sejarah asal-usul sesebuah negara dengan menghilangkan identiti kaum dalam mewujudkan kebudayaan nasional. Beliau menggunakan bahasa dan pendidikan dalam menyatukan kaum-kaum di Singapura menjadi Bangsa Singapura. Beliau juga mengguna-pakai tiga prinsip penting dalam pembentukan negara bangsa Singapura ialah meritokrasi, sekularisme dan kepelbagaian kaum.

 

DAP dan anak muda yang teruja dengan kepalsuan multikultural seringkali berangan-angan dengan meritokrasi, sekularisme dan kepelbagaian. Mereka seringkali memainkan isu sama rata, demokrasi, hak asasi manusia, keadilan dan ketidak-samaan sosial serta pembulian kaum majoriti ke atas kaum minoriti sebagai alasan cita-cita kewujudan Bangsa Malaysia.

 

Sejarah mesti dikorbankan dengan realiti kehidupan semasa. LKS membawa hujah, Dr Mohamed Rafick Khan dalam komen terkininya: “Ini Malaysia, bukan Malaya atau Tanah Melayu”.

 

Penulis membawa hujah Khoo Kay Kim: “Generasi muda di negara ini perlu sedar yang mereka milik sebuah negara bangsa dan dengan itu perlu menghormati sejarahnya.”

 

Kita mesti mengakui bahawa pembentukan negara bangsa Negara Malaysia ada permulaannya iaitu daripada konsep kerajaan ‘adanya Raja maka adanya Kerajaan’, kemudian konsep negeri (NNS, NMTB dan NMB), diikuti Tanah Melayu/Malaya dan Malaysia. Oleh itu, sejarah pembentukan Malaysia mesti difahami dan dihormati bagi mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum.

 

Pada penulis, masalah perpaduan kaum adalah masalah yang tidak akan selesai. Ia sentiasa ada dan tumbuh umpama rumput jahat. Maka, cara kita menghadapinya ialah jalan terus bagaikan menghadapi kemuncup di jalanan. Kita perlu mengurus konflik perkauman berdasarkan kapasiti kita sebagai rakyat atau kerajaan kerana situasi perkauman yang kita hadapi adalah berbeza. Pengaulan kita dengan kaum-kaum lain adalah pengalaman yang berbeza antara satu sama lain.. Ada yang yang berpengalaman dengan orang kuat sifat perkauman. Ada berpengalaman dengan orang yang terbuka dan rasional. Perkauman, ekstrem, taksub dan fanatik itu ada tebal atau nipisnya; ada tinggi atau rendahnya bergantung kepada diri seseorang (taqwa, kesabaran, kerasionalan) dan situasi semasa serta persekitaran.

 

ii

 

Sebagai reaksi seorang Bukan Islam, Lee Kuan Yew merumuskan lonjakan kefahaman Islam menjadikan Islam sebagai masalah dalam keharmonian kaum.

 

Lee Kuan Yew menganggap umat Islam paling sukar disatukan dan diintegrasikan. Umat Islam tidak bercampur gaul dan hidup terasing. Generasi awal bekerja dengan LKY adalah generasi yang bercampur dengan baik. Minum arak dan makan bersama-sama. Lonjakan kefahaman Islam menyebabkan persoalan halal atau  haram menjadi persoalan yang penting.

 

Islam sebagai tunjang kehidupan kerana memerhati (mempercayai) dan dipaksa untuk percaya oleh keluarga dan sebagainya, maka anda terpaksa wajib mengikutinya (mentaati) sahaja. Untuk menyelesaikan masalah ini, umat Islam perlu mengurangkan kepercayaan (ketaatan) mereka terhadap Islam.

 

Ada kelompok orientalis dan ‘barua’ mereka dalam kalangan Islamis membawa gagasan-gagasan idea berdasarkan Islam mengikut kehendak Barat (aqal dan nafsu manusia) atas nama dialog peradaban dan prinsip universal serta fitrah kemanusiaan.

 

Islam adalah satu sistem kehidupan yang tersendiri. Sebagai manusia yang bercakap tentang hak asasi manusia, sewajar kita menghormati pandangan agama Islam yang berbeza dengan pandangan dengan pegangan yang lain. Hormat dan raikan bukannya mendesak umat Islam mengikut pandangan yang kita pegang.

 

iii

 

Singapura kehilangan jati diri dan identiti. Meritokrasi dan kepelbagaian bakal memakan diri sendiri.

 

Penerimaan warga asing sebagai warganegara baru Singapura bakal menenggelamkan orang yang berasal dari Singapura. Meritokrasi menyebabkan warganegara baru kalangan orang bijak bersaing hebat dengan warganegara asal Singapura. Penguasaan warganegara baru boleh menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi.

 

Kebudayaan asal Orang Melayu, Cina dan India Singapura bakal hilang diganti dengan budaya pop yang bersifat universal. LKY sendiri merasai kesan polisi yang dia jalankan sendiri. Katanya, “Rakyat Singapura mesti belajar untuk mengimbangi bahasa Inggeris dan Mandarin". Ini berlaku apabila anak muda Cina tidak lagi berminat menggunakan Bahasa Mandarin.

 

Kelumpuhan perwarisan politik Legasi LKY dan PAP bakal memalapkan Singapura. Sejauhmanakah mereka boleh bertahan apabila masyarakat Singapura dengan warganegara baru semakin meningkat. Warganegara baru hanya memahami Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Mandarin dan bahasa Tamil ditinggalkan. Kelak nanti, Singapura menjadi negara tanpa tuan.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...