Sunday, May 31, 2015

Mahasiswa Keadilan Malaysia

 PKR dilihat lebih menghargai anak muda dan mahasiswa berbanding PAS. Ramai anak muda mendaki naik ke pun dalam politik bikinan PKR. Terbaru Siti Aisyah Sheikh Ahmad, Ketua Srikandi PKR dilantik sebagai senator. kalau dalam PAS, sukar nak jumpa kejadian seumpama ini.

Front mahasiswa pada mula diletakkan di bawah AMK iaitu Biro Mahasiiswa AMK. Kini mereka telah menjadi entiti sendiri yang dikenali sebagai Mahasiswa Keadilan Malaysia(MKM).

Beranikah PAS menubuhkan entiti tanpa sebalik tabir di kampus?

Meraikan anak muda dan mahasiswa menjadikan sesebuah organisasi semakin menarik 

 

TENTANG MKM

PENGENALAN

Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandang serius dan mengiktiraf penglibatan golongan anak muda dalam menggerakkan parti secara aktif untuk menyampaikan mesej dan dasar parti dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Idea dan pandangan yang disumbangkan oleh anak muda adalah sangat penting kerana hal ini merupakan gambaran kepada impian mereka terhadap masa depan negara.
Penubuhan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) memfokuskan golongan mahasiswa. Golongan mahasiswa adalah satu golongan yang penting kerana mereka adalah pelapis kepada kepemimpinan negara pada masa akan datang.

Melengkapkan mahasiswa dengan pengetahuan yang meluas dan kemahiran yang tepat akan memastikan mahasiswa terus ke hadapan dalam membawakan isu-isu nasional dan pada masa yang sama menyumbang idea kepada pembangunan negara.

Oleh yang demikian, Mahasiswa Keadilan Malaysia berhasrat untuk menyediakan sebuah platform kepada mahasiswa untuk menyumbang kepada negara dengan idea-idea baru dan bersama-sama melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran agar mahasiswa menjadi insan yang serba boleh dan terus cemerlang.

MATLAMAT ORGANISASI

Mahasiswa Keadilan Malaysia berhasrat untuk melibatkan golongan mahasiswa secara aktif dan matang dalam membincangkan isu-isu nasional terutamanya yang membabitkan mahasiwa.

Kebelakangan ini, pelbagai isu telah timbul yang membabitkan mahasiswa seperti isu PTPTN, pendidikan percuma, pembabitan mahasiswa dalam politik, mahasiswa yang kurang kemahiran, kurang peluang pekerjaan dan sebagainya.

Isu-isu ini harus ditangani secara bersama dan bijak. Suara yang kuat dalam membawakan isu-isu besar ini harus datang daripada mahasiswa sendiri. Maka, Mahasiswa Keadilan Malaysia berhasrat untuk memperjuangkan isu-isu ini dengan matang dan rasional.

Anak Pimpinan PAS Hijrah Jemaah lain

Anak-anak para pimpinan PAS tak semestinya PAS terutamanya pemimpin PAS yang terbuka dan memberi kebebasan memilih kepada anak-anak mereka dalam menentukan jemaah yang mereka sukai.. Ada juga anak pimpinan mempunyai pemikiran dan pendekatan berlainan dengan ibubapa mereka.

Adakah mereka melihat kesibukan ibubapa mereka dan kehilangan kasih sayang ekoran keaktifan ibubapa mereka sehingga mencetuskan protes dengan menyertai jemaah Islam selain PAS.

Paling ramai mereka menyertai JIM dan ISMA.

Contoh anak TGNA, Ustaz Nik Rahim adalah pimpinan ISMA manakala Ustaz Nik Omar adalah aktif bersama JIM semasa buat MA di Jordan.

Sebenarnya bukanlah masalah besar jika mereka masih menganggotai jemaah Islam cuma keberkesanan PAS menarik anak pimpinan ke dalam PAS boleh dipersoalkan.

Lampiran 1 menunjukkan ada program PAS untuk menarik anak pimpinan ke dalam PAS


Lampiran 1

Arkitek Tarbiyyah Remaja, Us Hakim Mohd Nor dan Akademi Kepimpinan Remaja (AKR)
Penghujung 2013, beberapa bulan selepas Muktamar Pemuda PAS di Petaling Jaya, saya dihubungi oleh individu yang tidak pernah saya kenal secara dekat kecuali melalui buku laporan muktamar. Beliau perkenalkan diri sebagai Pengarah Akademi Kepimpinan Remaja (AKR) Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Hakim panggilannya.
Agak lama berbual melalui telefon, beliau tawarkan saya bantu beliau di AKR. Hasratnya besar. Ingin wujudkan timbalan pengarah III AKR yang akan menguruskan sebuah Ngo yang mendekati remaja-remaja di Malaysia. Beberapa hari kemudian baru saya maklumkan penerimaan terhadap tawaran tugas tersebut atas nasihat dari beberapa teman. Berat untuk pikul amanah ini memandangkan saya waktu itu sudah terpilih sebagai Ajk DPPWP dan diamanahkan di AKR DPPWP.
Sekitar 1 tahun setengah (akhir 2013 sehingga Mei 2015) mengenali beliau, sekian banyak perkara berkaitan dakwah dan tarbiyyah remaja saya pelajari darinya. Kepercayaan teman-teman menyebabkan beliau terus diberi amanah sebagai pengarah AKR DPP Negeri Perak dan Pemuda PAS Malaysia sejak 2011-2015.
Misi dan visi beliau untuk AKR dijelaskan kepada kami pada mesyuarat Ajk kali pertama. Target 10,000 remaja menjadi ahli ngo remaja dibawah Akr kami gerakkan bersama. Anggaran saya, dalam tempoh setahun setengah ini, lebih 3000 remaja menerima sentuhan AKR melalui pelbagai program dan aktiviti baik di peringkat pusat atau negeri, didalam sekolah, mahupun diluar sekolah kami tempuhi, serta anak ahli PAS atau bukan, kami dekati.
Nama lama AKR ialah Jabatan Perkaderan Pelajar (JPP). Ia ditukar atas permintaan beliau supaya gerak kerja mendekati pelajar atau remaja tidak lagi dilihat terlalu 'kedalam', ia mesti dimunculkan secara segar dengan jiwa remaja. Sehingga 2014, 90% DPP Negeri-Negeri mula memisahkan antara Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) dengan Jabatan Perkaderan Pelajar (JPP) yang sebelum ini disatukan. Ini sebuah penghormatan dan pengiktirafan kepada penggerak AKR seluruh negara supaya lebih proaktif bergerak. Dibeberapa negeri, AKR mula diwujudkan diperingkat kawasan-kawasan.
Kegagalan proses tarbiyyah untuk anak ahli Pas secara sistematik mula diperbaiki dan kekurangan yang ada ditampung. Modul Program Tarbiyyah Anak Ahli PAS (Protapas) yang merangkumi tamrin peringkat Ta'rif, Takwin dan Tanfiz berjaya dilancarkan dan mula dilaksanakan diperingkat negeri dan kawasan.
Manhaj tarbiyyah pelajar yang meliputi usrah, tamrin, liqa' dan sebagainya berjaya dikemaskini dengan lebih baik dan mula diguna pakai disekian banyak sekolah-sekolah. Ia hasil gerak kerja pasukan dibawah Timbalan Pengarah I AKR DPPM.
Guru-guru yang merupakan aktivis PAS berjaya dihimpunkan di dalam sebuah wadah yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah II AKR DPPM. Beberapa himpunan guru-guru yang dikenali sebagai Murabbi ini digerakkan.
Ngo remaja Malaysia dibawah kendalian saya sebagai Timbalan Pengarah III AKR DPPM dilancarkan. 100 ahli pertama didaftarkan dalam Himpunan Remaja bersama PU Rahmat (ikon remaja) pada Ogos 2014.
Dari satu negeri ke satu negeri termasuk Sabah dan Sarawak beliau turun bertanya khabar dan memberi bimbingan sehingga gerak kerja AKR di peringkat negeri-negeri berjaya dihidupkan.
Saya tidak mampu mencoret lebih panjang dari itu tentang usaha dan kejayaan AKR DPPM dibawah kendalian Al-Fadhil Ust.Hakim Mohd Nor yang juga merupakan Pengarah Urusan Suria Horizon Training Consultancy selama kami bersama.
Andai berlaku peralihan kepimpinan DPPM pasca muktamar Jun ini dan jawatan Pengarah AKR yang berikutnya diserahkan kepada individu lain, harapan saya hanya satu, iaitu teruskan kejayaan yang ada ini dan tingkatkan dengan lebih baik. Hati kecil saya masih mengharap, teman yang banyak membimbing saya dalam urusan dakwah dan tarbiyyah remaja ini diberi peluang untuk terus memimpin AKR DPPM.
Terima kasih.
Mohd Fadhlullah bin Ismail
31 Mei 2015

Kelemahan Kepimpinan dan organisasi berlaku ekoran:



+ dinasihati oleh penasihat yang salah
+ kemunculan Kronisme, Korupsi dan Nepotisme (KKN). Segalanya sekitar sahabat dan keluarga mereka. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa berleluasa.
+ Usia pemerintahan yang terlalu lama melahirkan pemerintahan terpimpin dimana diperintah oleh seorang atau sekumpulan sahaja.
+ hilang komunikasi antara pengikut dengan pemimpin
+ Budaya musyawarah berkurangan dan keputusan syura dilanggar
+ Budaya fitnah berleluasa. Kemunculan sang penfitnah: kelompok sang mandeliar
+ Muncul unsur-unsur pengkhianatan. Kemunculan sang pengkhianat: kelompok sang kitol

Saturday, May 30, 2015

Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN)

Front Nasional bagi gerakan mahasiswa kelihat sunyi selepas kemalapan Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM).

Awal 1990an, gerakan mahasiswa Malaysia bergabung di bawah Barisan Bertindak Mahasiswa Nasional(BBMN). Keaktifan BBMN ini sangat bergantung kemenangan proksi Islam di setiap kampus.

SMM aktif pada awal tahun 2000an, kemudiaan akhir tahun 2000 an, SMM telah dikuasai oleh sesetengah kelompok sahaja sehinga mereka menidakkan anggota gabungan SMM. Kini, sebuah organisasi ala SMM kembali ditubuhkan.

Kenali apa itu KESATUAN.

Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN) adalah sebuah koalisi atau gabungan persatuan terdiri daripada Gerakan-Gerakan Mahasiswa dan Anak Muda Malaysia yang ditubuhkan pada 9 Mei 2015 semasa Konvensyen Mahasiswa Nasional 2015 di Hotel Armada, Petaling Jaya. KESATUAN dibina atas semangat Deklarasi Mahasiswa Nasional 2015 yang dipersetujui bersama. Gabungan ini sebagai medium mengumpul dan menyatukan kekuatan seluruh gerakan mahasiswa dan berjuang mengangkat suara dan kebajikan mahasiswa dan rakyat.
3 isu utama yang diperjuangkan oleh KESATUAN ialah:
1. Kebebasan Akademik: Menuntut agar mahasiswa bebas bersuara dan bebas berprogram tanpa ada sekatan dan cengkaman dari mana-mana pihak serta universiti bebas dari tangan2 orang politik.
2. Pendidikan Percuma: Memperjuangkan agar seluruh anak Malaysia diberi hak pendidikan secara percuma bermula pra-sekolah sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda.
3. Isu-isu Nasional: Berjuang ke arah mewujudkan Malaysia yang lebih baik, menjadi pasukan paling hadapan dalam mengangkat suara mahasiswa dan rakyat, serta menjadi kuasa ketiga (third force) kepada kerajaan dan pembangkang dalam memajukan negara.
KESATUAN semasa penubuhannya pada 9 Mei 2015 terdiri dari gabungan 15 gerakan mahasiswa dan anak muda iaitu:
1. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
2. Persatuan Mahasiwa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
3. Ikram Siswa
4. Pro Mahasiswa Nasional
5. LENSA Kampus, LENSA Anak Muda Malaysia
6. Serikat Mahasiswa USM
7. We Unite For Islam (WUFI) UIA
8. Sisters In Movememt (SIM)
9. Anak Muda Harapan Malaysia
10. Gerakan Mahasiswa UKM (GMUKM)
11. Mahasiswa Keadilan Malaysia(MKM)
12. Gerakan Demokratik Belia dan Mahasiswa Malaysia (DEMA)
13. Pemuda Sosialis Malaysia
14. Student Progressive Front UiTM
15. Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
Tambahan 4 lagi front pada mesyuarat pada 14 Mei 2015:
1. Siswa Progresif USIM (SISPRO)
2. Gerakan Cakna Mahasiswa (GCM)
3. Siswa Bersatu Perak
4. Komuniti Anak Negeri Sembilan (KOMNAS)

Memahami Sekularisme Dalam Gerakan Islam?



Kerdil diri hendak menulis persoalan ini ekoran bukannya ahli dalam bidangnya. Lagipun penulis masih belajar dan tidak banyak membaca buku sebagaimana orang lain. Anggap sahaja tulisan ini daripada orang ‘jahil’ ilmu dan amal.  Penulisan ini dari ‘sekularis’ untuk ‘sekularis’ dan Islamis.

Penulis merumuskan, penilaian sekularisme dari dua segi iaitu
+ Sekularisme dari segi akidah
+ Sekularisme dari segi cita+rasa.

Dalam sesebuah gerakan Islam, agak mustahil ia dianggotai oleh sekularis totok, paling kurang sekularis yang jinak mahukan Islam mentadbir. Justeru, persoalan sekularisme dari segi akidah tidak ada masalah dan ia bukanlah modal untuk kafir-mengkafir satu sama lain.

Sekularisme dari segi cita+rasa datang daripada nafsu dan akal yang menjadi dominan mengatasi wahyu. Fenomena sebegini ada dalam gerakan Islam tetapi ia bukanlah dominan. Apabila ia bersifat kecil, ia dianggap sebagai pendapat peribadi bukannya pendapat jemaah. Persoalan yang timbul, bagaimana jika  pendapat ini menjadi pendapat jemaah?.  Penulis tertarik dengan ucapan  TGHH bagaimana parti Al Istiqlal Maghribi, yang dahulunya berpegang dengan dasar ISLAM, sekarang bertukar menjadi sekular Liberal.

Pendapat yang penulis maksudkan ialah pendapat orientalis yang dibawa masuk ke dalam jemaah Islam dan cuba didakwahi sebagai pembaharuan dalam jemaah Islam. Jiwa anak muda yang memberontak mudah terpengaruh. Tuawan yang namanya kurang disebut orang mula mengambil kesempatan atas jiwa memberontak anak muda dan idea pembaharuan sang intelek memimpin pemberontakan terhadap kepimpinan sedia ada.

Ciri kedua kelompok ‘sekularis cita+rasa’ adalah menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara tanpa bermaksud melaksanakan hukum-hukumnya. Menurut Tuan Guru Yusuf Rawa, ‘...satu kekeliruan yang penuh putar belit dan padat dengan kepalsuan. Nilai-nilai Islam tidak terbentuk melainkan menerusi pelaksanaan hukum-hukumnya.  Penulis tidak menafikan, AKP di Turki berjaya menerapkan nilai-nilai Islam dalam kenegaraan mereka sedikit demi sedikit dengan jaya tetapi AKP bukanlah gerakan Islam tetapi mereka terdiri daripada  individu-individu mukmin yang mahu melaksanakan Islam.  Penulis tidak pasti sejauh manakah, Islam dimaktubkan dalam Perlembagaan AKP. Jika tidak, penerapan nilai-nilai Islam ini sangat bergantung tahap kemahuan Islam seseorang individu bukannya kehendak Perlembagaan Parti AKP.

Ciri ketiga ialah Gerakan Islam sebagai Parti Politik bukannya Jemaah Islam. Kejayaan AKP dan kebangkitan semula Rashid Ghannosuhi di Tunisia menyebabkan sebahagian tokoh gerakan Islam terangsang mencuba eksperimentasikan pendekatan sebegini di negara mereka.  Jemaah Islam sebagai parti atau jemaah Islam mempunyai sayap politik melalui parti politik. Mereka menubuhkan sayap-sayap parti umpamanya Parti Keadilan dan Pembangunan Maghribi.  Penyelutan dalam sebuah parti menyebabkan gerakan Islam terkena lumpur-lumpurnya seperti konflik dalaman.  Jika Islamis berjaya mengalahkan Sekularis-Islamis,  sayap parti atau parti sendiri menjadi semakin liberal dan mementingkan kemenangan politik melebihi dakwah.

Menurut Abdullah bin Kiran, Setiausaha Agung Parti Keadilan dan Pembangunan Maghribi menyatakan  parti mereka  akan memimpin Maghribi sebagai parti politik bukannya sebagai institusi keagamaan. Mereka menerima sekularisme,  wacana agama dan anjuran keagamaan hanya di masjid bukannya dalam parti politik. Pengutamaan gerakan Islam sebagai parti berbanding jemaah Islam membolehkan gerakan Islam terlibat dalam pendekatan matlamat menghalalkan cara. Unsur ini tidak baik bagi sesebuah gerakan Islam.

Keempat, Islam Sebagai Ideologi. Sudah tentu al Quran dan hadith sudah termaktub dalam sesebuah gerakan Islam. Segala aspek kehidupan akhirat dan dunia diatur oleh ajaran-ajaran Islam yang mengikut prinsip al Quran dan hadith. Jika Islam bukan sebagai ideologi, peranan Islam akan dibatasi dalam politik atau parti politik.

Islam bukan sebagai ideologi, satu perjuangan berasaskan isu  populis. Dengan isu popular, parti Islam boleh menang. Tetapi kemenangan ini mudah sekali diambil kembali oleh pihak lawan jika isu tersebut sudah malap.

Kelima, mengesan pragmatis dan modenis dalam gerakan Islam. Imej umum mereka kelihatan dengan sifat progresif, reformis, realistik dan liberal. Mereka tetap kuat berjuang untuk Islam tetapi menggunakan pendekatan dan buah pemikiran yang kebanyakannya datang daripada tokoh-tokoh pemikir Barat dan orang bukan Islam. Ada juga kebaikan daripada tokoh pemikir tersebut, cuma kebanyakan idea mereka diisi dengan sifat keingkaran dalam bertuhan.

Kelima-lima ciri ini antara elemen sekularisme yang berlaku dalam gerakan Islam pada hari ini. Bukanlah mereka tidak bagus atau tidak berprestatif tetapi kehadiran elemen sekularisme akan menggugat keutuhan tunjang Islam dalam gerakan Islam itu sendiri. Bukanlah juga mereka tidak berjasa atau peribadi mereka buruk, pertentangan ini penulis simpulkan sebagai pertentangan cara berfikir dan cara bertindak. Jangan sampai cara berfikir dan bertindak kita merugikan perjuangan Islam dikala mendamba keuntungan palsu.

Akhir kalam, saya menukilkan tulisan Imam Ibnu Qayyim;

“ingatlah akan manisnya pertemuan, maka mudah bagi anda menahan pahitnya perjuangan. Anda telah tahu di mana singgah, maka segeralah berjalan ke sana”

Maaf atas kejahilan diri.

Thursday, May 28, 2015

Mengikut Kaedah Jemaah



Kaedah jemaah barang yang diputuskan oleh  MSU atau JKPP apatah lagi sidang muktamar PAS. badan  yang mampu mengubah Perlembagaan PAS. Ia wajib diikuti oleh anggota PAS tanpa mengira siapa secara tertib.

Dalam pemilihan PAS, kaedah jemaah adalah menerusi ruang demokrasi. Ia mesti digunakan sebaik mungkin dalam menentukan kepimpinan PAS. (secara peribadi saya menyukai kaedah syura)

Tak kira kamu Mursyidul Aam ke, Presiden atau sesiapa jua, kaedah jemaah wajib digunakan bukannya bebas menggunakan selera akal-nafsu sendiri.

Ijitihad sendiri boleh membawa risiko kepada jemaah. Tuan Guru Fadzil Noor pernah mengambil risiko dengan mengunakan ijtihad sendiri tanpa restu jemaah dalam kehadiran beliau ke rumah DSAI semasa pemecatan dan penubuhan GERAK. Beliau bernasib baik kerena memiliki pasukan pembantu yang penuh berukhwah, bersangka baik, wala’,dan beradab jemaah. Ia diselesaikan secara baik.

Tokoh Lagenda Gerakan Islam, Dato Seri Anwar Ibrahim telah memberi contoh yang tidak baik kepada gerakan Islam apabila menolak keputusan Syura Jemaah dan meneruskan ijtihad sendiri menyertai UMNO pada tahun 1982. ia dianggap ‘dosa besar haraki’ dalam perjuangan gerakan Islam.

Dalam perihal lain juga, kaedah jemaah wajib digunakan sebagaimana pendapat Tuan Guru Yahya Othman;

“anggota jemaah mestilah patuh kepada kaedah atau cara yang ditentukan oleh parti ataupun jemaah. tidak boleh sama sekali mereka membuat kerja menurut selera masing-masing. jemaahlah yang ‘membentuk’ cara itu, ahli mestilah mematuhi tanpa ragu dan waswas. Ijtihad sendiri(diri sendiri) mestilah dihapuskan kerana ia hanya mencelarukan jemaah dan tidak dapat menyatukan fikrah al jamaah dan amal al jamaah”

Antara sebab kehancuran sesebuah jemaah Islam apabila anggotanya tidak mengikut kaedah yang disediakan oleh jemaah.

Mat Sabu Presiden PAS Baru?





Sesiapa juga layak memimpin PAS selagi mereka mendapat wala’ daripada anggota PAS. Tak kiralah sama ada Tuan Guru Ahmad Awang(TGAA), TGHH, YB Dato Husam Musa ke atau Tuan Haji Muhammad Sabu sekalipun. Semua mereka kelompok berjasa dan mampu mentadbir jika anggota menyokong kepimpinan beliau.

Keputusan muktamar yang dijalankan oleh elitis PAS akan menentukan kedudukan Presiden PAS dan dasar-dasar serta pendekatan PAS.

Kata orang pandai-pandai, dalam politik tiada istilah atas pagar. Semua anggota perlu membuat pendirian menyokong atau tidak terhadap seseorang pemimpin itu. Namun, ada juga yang bermain selamat atau selamat diri daripada berpihak. Pemimpin selamat diri dan bermain selamat inilah akan kekal dalam politik parti.

Pada saya, pertembungan kali dikaburi oleh pertembungan calon-calon Presiden, padahal paling penting ialah mencari pelapis kepimpinan iaitu siapakah timbalan Presiden.

Persamaan antara Mat Sabu dan ustaz Tuan Ibrahim adalah keramahan. Kekuatan Mat sabu secara peribadi adalah pengalaman yang luas dalam politik, hubungan yang baik dengan pelbagai pimpin  berideologi dan kaum. Manakala kekuatan Ustaz Tuan Ibrahim dari segi keilmuan dan mampu bertindak sebagai rausyanfikr sebagaimana beliau mengubah masyarakat sekitarnya.

Adakah orang PAS mahu Mat Sabu atau Ustaz Tuan Ibrahim?. Bergantung kepada muktamar.

TGAA dan TGHH dikejar oleh usia mereka. TGAA umpamanya cuba mengejar misi bukannya visi. Misi merapatkan hubungan dengan PR sebelum pilihanraya umum ke 14.

Oleh itu PAS perlu memilih Timbalan Presiden yang boleh membawa PAS yang bukan setakat jeneral tetapi pemimpin utama PAS.

Tuesday, May 26, 2015

Pemimpin Islam yang Quranik



Pada penulis, orang seperti TGHH, Tuan Guru Yahya Othman, TGNA, Tuan Guru Fadzil Noor  manusia yang sangat rapat dengan penghayatan al Quran dari segi pemikiran dan tindakan. Mereka hidup dengan hujah al Quran dan hadith. Mereka tidak maksum tetapi cuba sebaiknya menjadikan al Quran dan hadith sebagai panduan utama kehidupan mereka. Kehidupan mereka bernafas hujah. Hujah al Quran dan hadith. Jarang sekali hujah mereka bersandarkan kepada pemikiran sendiri,  tokoh-tokoh bukan Islam dan orientalis.

Jika perkara-perkara yang tidak menguntungkan Islam dan mengetepikan syarak serta menidakkan hujah-hujah al Quran dan hadith berlaku, mereka akan terus menolaknya. Sebagai ‘Insan Quranik’ , pemimpin Islam sudah tentu berprinsip menolak dan tawar hati dengan apa keputusan atau tindakan sesetengah para pemimpin  yang dikatakan ‘sekular’ dan tidak menguntungkan Islam.

Politikus Islam  yang mementingkan politik melebihi dakwah, mengutamakan kekuasaan Putrajaya daripada kekuasaan Allah, matlamat menghalalkan cara hanya mahu keuntungan politik sehingga Islam kurang nampak berupaya. Perkara ini sudah tentu menguris hati-hati yang mahukan Islam mentadbir.

Dalam gerakan Islam dunia sekarang, terdapat tiga kelompok utama yang perlu berhati-hati:

+ tokoh Islam yang banyak mengauli pemikiran manusia dengan wahyu sehingga pemikiran manusia melebihi keutamaannya daripada wahyu sendiri.

+ Para  Ulama yang bermudah-mudahan dengan ijitihad mereka. Mereka bukannya berhikmah untuk melaksanakan tetapi berhikmah untuk tidak melaksanakan apa yang terkandung dalam al Quran dan hadith.

+ Para ulama yang terlalu ‘ekstrem’’ sehingga menghilang hikmah dalam tindakan.

 Saya mempercayai manusia boleh berubah ke arah kebaikan atau sebaliknya. Siapa diri seseorang pada hari ini belum menentu siapa diri pada hari-hari mendatang. Begitulah kelemahan seseorang manusia.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...