Saturday, March 31, 2018

Kisah Sebalik Tabir



1.  Kisah disebalik tabir atau sisi gelap dalam organisasi, mesyuarat, menguruskan program dan aktiviti boleh membuat ramai terkedu dan terperanjat disebalik keindahan atau kejayaan. Tidak hairanlah, ramai yang merajuk, menangis, keluar, memberontak, melawan, tawaquf dan khianat. Yang bertahan dengan sabar dan istiqamah, memang kental dan terpuji.
2. Kisah disebalik tabir dan sisi gelap, bukanlah kita menyembunyikan kesalahan, kesilapan, dosa dan kelemahan individu dan kelompok tertentu. Ia juga bukan menandakan kita bersubahat atau menghalalkan kesalahan. Ia tidak didedahkan demi menjaga keaiban seseorang, menjaga maruah-imej Islam (organisasi Islam), mengelakkan fitnah dan menjauhkan berlakunya mudharat yang lebih besar. Kaedah penyelesaian melalui nasihat dan menegur serta meminggirkan mereka sehingga ada yang keluar dan tawaquf.
3. Pertemuan/perundingan PAS-UMNO pasca PRU 2008 umpamanya tidak perlu didedahkan kepada orang ramai. Pertemuan dan perundingan adalah perkara biasa dalam politik. Cuma pendedahan kepada ramai orang telah menimbulkan fitnah, buruk sangka dan persepsi sehingga menimbulkan label-melabel, caci-mencaci dan kutuk mengutuk sesama sendiri. Secara tak langsung mencetuskan perbalahan dalaman.
4.Mana-mana organisasi yang berusia merasai kewujudan kumpulan dalam kumpulan dan mesyuarat dalam mesyuarat. Pada pandangan kita, ia hanya persaingan antara kem-kem bertentangan berdasarkan persamaan dan kesatuan pemikiran-pandangan disamping dengan pengaulan. Sesiapa yang terlibat dengan alumni sekolah dan universiti merasai semangat ke-MAFIA-an mengikut pengaulan ini yang banyak mempengaruhi perjalanan sesebuah organisasi. Masih ingatkah lagi tentang ‘mafia’ MCKK, KISAS, Maktab Mahmud, Maahad Muhammadi dan SMAP Kajang dalam mendominasi tampuk kepimpinan persatuan-persatuan di universiti. Tidak hairanlah muncul kumpulan UM, Kumpulan UIA, JASA, UKP, Grup I, Tora Bora, RTI, MT, IRC , Tanjung Mas dan bagai dalam parti politik. Saluran sebenar mereka ialah gelanggang pemilihan. Kemudian kembali bersatu dengan satu kalimah demi menegakkan Islam. Bukannya cantas mencantas, label melabel dan pulau memulau antara satu sama lain. Buang sifat DENGKI dan mahu keuntungan sesuatu, insya Allah selamat.
5. Kita, menilai-lah apa yang tahu, yang jelas-sahih, yang zahir dan yang nampak. Yang sebalik tabir, kita serahkan kepada Allah untuk menghukum dan menilai mereka. Berjuang, harapkan redha Allah bukannya mencari suatu untuk habuan dunia.

Bocor Rahsia



1. Kes rakaman audio pemimpin PAS memberi ibrah kepada kita bahawa bala dan celaka terbesar dalam berorganisasi ialah BOCOR RAHSIA. Hukuman yang biasa bagi pembocor rahsia adalah hukum mati. Ia satu kesalahan yang amat berat. Keputusan mesyuarat, pertemuan tertutup, perundingan rahsia dan lain-lain tidak boleh didedahkan kepada orang ramai kerana ia boleh menimbulkan fitnah, persepsi, buruk sangka dan mudharat yang besar kerana orang ramai pelbagai latar belakang iman dan ilmu disamping emosi/sentimen yang membuak-buak. Hilang segala AMANAH dan muncullah si PENGKHIANAT.
2. Walaupun rahsia itu melibatkan kepentingan awam, negara dan rakyat, bocor rahsia bukanlah jalan yang terbaik. Jalan terbaik ialah MENYIASAT dan MENDAKWA di mahkamah. Jika ada satu kes melihat kepentingan rakyat, biarlah jawatankuasa penyiasat yang mencari, mengumpul dan mendedahkan rahsia berdasarkan penyiasatan mereka. Jika ada manusia berjaya menyembunyi kejahatan mereka, kita serah segala urusan tersebut kepada Allah di mahkamah Akhirat kelak bagi menghukum para penjahat tersebut. Biar mereka selamat di dunia, di akhirat belum tentu.
3. Si pembocor rahsia adalah pengkhianat yang memang celaka.

Hubungan UMNO-PAS



1. Kita tidak tahu apa motif sebenar rakaman audio seorang yang pemimpin yang didakwa pemimpin PAS diRAKAM dan diSEBARkan. Adakah benar seperti dirakam? Adakah ada manipulasi isu tentang apa yang dirakam? Dan apakah tujuan sebenar atau keuntungan pihak yang merakam dan menyebar-viralkan rakaman audio ini?. Kita sendiri menolak audio ini jika orang yang didakwa menafikan bahawa dirinya dalam audio. Audio-video-gambar bukanlah bukti yang baik pada era pengeditan ini. Punbegitu berdasarkan komentar orang ramai, penulis merumuskan kepada
a. Ingin membuktikan WUJUDnya hubungan antara PAS dengan UMNO. PAS bekerjasama dengan UMNO dalam pilihan raya ke 14 dan PAS didakwa mendapat ‘dedak’ UMNO.
b. Serangan karekter ke atas pemimpin PAS tertentu dan Presiden PAS yang selama ini menjadi bahan kritikan utama.
c. wujudnya kem-kem yang bertentangan dalam PAS.
2. Kita juga tidak tahu sejauhmanakah ‘hukum’ dari segi syarak tentang PAS (seperti yang didakwa) menjalin hubungan dengan UMNO dan apakah hukum PAS mendapat dedak daripada UMNO? Halal atau haramkah? Adakah ia berdosa? Bagaimana pula dari segi prosedur dan moralnya?
3. Secara peribadi setelah mendengar rakaman audio itu (setakat dengar beberapa siri), kita merumuskan kepada
a. Hubungan PAS dengan UMNO
b. Kisah disebalik tabir
c. Bocor Rahsia.
4. Antara faktor  penubuhan gerakan politik Islam ialah [1] Menegakkan kembali Khalifah Islam; [2] Negara Islam;[3] Masyarakat Islam; [4] Perundangan Islam; dan  [5] menegak kebaikan dan mencegah kemungkaran. Faktor2 ini menjadi asas dakwah dalam politik terutamanya dalam politik kenegaraan. Bagi perkara [5], kebersamaan PAS bersama-sama dengan pihak tertentu berdasarkan kesepakatan atas perkara ini.
5. Berbalik kepada hubungan PAS-UMNO, kita melihat dua perkara:
a. Konteks hubungan pada waktu dan isu. Sebagai contoh dalam isu perpaduan ummah, kestabilan politik pasca peristiwa 13 Me 1969 serta persoalan Islam.
b. Menegak kebaikan dan mencegah kemungkaran. PAS bersama UMNO dalam isu RUU 355. Manakala membantah dalam isu arak dan maksiat.
c. Gelanggang politik pilihan raya antara parti. Dalam setiap pilihan raya, UMNO adalah musuh tradisi PAS.
6. Bekerjasama atau bergabung PAS dengan UMNO, adakah ia salah?. Pada pandangan kita, tidak salah selagi perkara yang melibatkan kebersamaan, kerjasama, permuafakatan dan pengabungan itu tidak melanggari syarak. Untuk bergabung atau bekerjasama antara PAS-UMNO, ia bukan suatu yang mudah. Ia melibatkan kelulusan Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa PAS Pusat dan Muktamar. Setakat perundingan, pertemuan dan mesyuarat kecil antara pemimpin atau individu tertentu, ia tidak mengubah pendekatan PAS.
7. Tentang bantuan ‘dedak’. Selagi sumbernya halal, tidak menimbulkan fitnah, kaedahnya betul disisi syarak dan perundangan, niatnya lurus, tiada agenda tersembunyi, maka pandangan kita adalah ia tidak salah. Setuju atau tidak dengan pendekatan ini adalah perkara lain.
8. Sama ada rakaman audio itu benar atau tidak, selagi tidak melanggari syarak hubungan PAS-UMNo ini bukanlah isu yang besar. Ia hanya isu politik antara parti bukannya isu politik kenegaraan yang mahu menyelesaikan masalah rakyat dan negara. Ia hanya dilihat daripada masalah moral dan sifat berprinsip para pimpinan PAS sahaja. Ia melibat persengketaan antara parti politik dan dendam peribadi sesetengah pemimpin parti politik. Motifnya boleh dikatakan keuntungan politik dan pilihan raya sedangkan ia bukanlah suatu isu yang besar bagi rakyat.
9. Politik itu bersifat pragmatis dan dinamik. Ia tidak kaku. Setiap parti perlu berubah disamping berprinsip. Hubungan PAS-UMNO melalui kerjasama atau pengabungan ditentukan oleh konteks waktu dan isu. Jika Tun M, Abang Mat Sabu,Pakcik Kit Siang dan DS Anwar Ibrahim boleh memusingkan prinsip untuk bersama-sama, maka tidak salah  pula PAS bersama UMNO jika UMNO jinak dengan ISLAM.

Aku dan Tuhan


1. Ramai yang suka alihkan kesalahan diri sendiri kepada orang lain untuk menanggung kesalahan mereka. Ini banyak berlaku dalam politik pentadbiran dan pengurusan suatu program.
2. Ingatlah, dalam apa jua perkara, akhirnya kembali pada tanggungjawab individu sendiri kepada Allah SWT. Organisasi, pemimpin, ibubapa dan lain-lain tak dapat menyelamatkan diri kita.
3. Dimana jua kita berada, dalam organisasi Islam, sekular, parti 'malaikat' ke, parti 'ahli neraka' ke, ingatlah bahawa kita adalah INDIVIDU yang bertanggungjawab atas diri sendiri kepada Allah SWT.
4. Kita tak perlu jadi orang lain. Tak perlu jadi Dr MAZA, DR RORA, haji Hadi, Nik Aziz dan bagai, jadi diri sendiri yang ada pandangan dan amalan sendiri. Dengan mereka pemimpin dan ulamak kita, ambil perkara (pandangan dan amalan) yang baik daripada mereka dan tinggalkan apa yang tidak baik yang mereka lakukan.
5. Ikutlah al-Quran dan as Sunnah dengan belajar dengan para ustaz tanpa memilih warna aliran (selagi aqidah yang benar). Tanam dalam diri untuk ikut (pemikiran dan amalan kita) al-Quran tanpa kompromi dengan pemikiran manusia yang ikut kehendak akal-nafsu sahaja. Dalami dengan banyak membaca buku. Pohon kefahaman dan jalan yang lurus daripada Allah.
6. Islam itu pada pemikiran, lisan, tulisan, tindakan, kelakuan kita. Jangan Islam Separuh, 'Menatang' Separuh!!

Tuesday, March 27, 2018

Tidak Setuju


Bukan semua ketidak-setujuan perlu diluahkan secara terbuka. Banyak keadaan DIAM itu lebih baik untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar dan mengaibkan orang lain.
Diam diri bukanlah bermakna merestui kemungkaran, kesalahan dan kesilapan. Nasihat dan teguran dibuat secara dalaman. Dengar atau tidak, tanggungjawab menegur dan menasihat kita sudah selesai, semoga ia baik untuk organisasi kita.
Berulangkali kita menulis, dalam organisasi ‘malaikat’ sudah tentu tidak terlepas melihat, menghadapi dan merasai penangan ujian teman seperjuangan yang tikam belakang, mencantas, memfitnah, mengumpat dan bagai. Begitu juga teman-teman yang suka ambil kesempatan dan peluang. Ini tidak termasuk dengan maksiat dan rembat duit serta harta benda organisasi. Kisah sebalik tabir atau sisi hitam organisasi ‘malaikat’ inilah membuatkan orang tawar hati, memberontak, merajuk, kecewa, lawan ketua, ‘progresif’ dan bagai. Persoalannya, adakah kita dapat menyelesaikan masalah atau menambahkan beban organisasi ‘malaikat’?
Tiada lain, ubatnya al-Quran yang mengajarkan kita dua kepak sayap untuk kita mengapai cita-cita kita menegakkan kalimah Allah SWT iaitu sayap istiqamah dan sayap sabar. Ingatlah setiap ujian itu boleh menambah pahala atau dosa kita. Pilihlah untuk menambah pahala.
Keluar daripada perjuangan atau organisasi ‘malaikat’ juga tidak selesai masalah. Dimana-mana ada masalah apatah lagi organisasi yang tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan. Jalan penyelesaiannya ialah terus bersabar atau tawaquf seketika.

Menyelesaikan Masalah Negara



Zaman MO-M: Pelbagai isu KKN, Perwaja, Forex, syarikat perkapalan MISC, MAS, Renong  dan lain-lain
Zaman MO1 : 1 MDB
Adakah masalah ini berjaya diselesaikan dengan hanya menukar seorang pemimpin atau sebuah parti?
Setiap zaman, masalah salah urus tadbir seperti  di atas akan terus berlaku. Paling penting, usaha kita meminimakan masalah tersebut daripada terus berlaku.
Punca sebenarnya masalah salah urus tadbir (bahkan masalah lain) berlaku disebabkan oleh manusia yang terjerumus dalam krisis iman, krisis akhlak dan krisis nilai. Hilang ‘taqwa’ dan prinsip dalam diri manusia.
Pada akhir zaman, iman berbolak balik, usaha mengatasi krisis iman, akhlak dan nilai semakin sukar. Tiada lain yang dapat menyelesaikan masalah ini kecuali dengan ISLAM.
..........
Islam Sebagai Jalan Penyelesaian
Antara cara mengatasi masalah sakah urus tadbir ialah
1. Memilih pemimpin bertaqwa
2. Memimpin negara dengan Islam
3. Melaksana perundangan Islam
4. Berusaha secara holistik dengan melibatkan ahli keluarga, masyarakat setempat dan negara dalam membentuk ‘Islam sebagai satu cara hidup (budaya)’. Budaya yang dibentuk sebagai kawalan ‘semulajadi’ dalam mendidik dan mengatur rakyat.
......
Pemimpin bertaqwa
Pilihlah pemimpin bertaqwa yang memimpin rakyat ke syurga. Pemimpin bertaqwa sentiasa merujuk al-Quran dan as Sunnah dalam membuat keputusan dan dalam tindakan mereka. Ukuran keputusan dan tindakan mereka ialah Syurga atau Neraka, Pahala atau Dosa, Hari Akhirat dan Alam Kubur serta kepentingan rakyat selagi tidak melanggar syariat.
Hanya pemimpin bertaqwa yang mampu membaiki salah urus tadbir negara ke arah lebih diredhai oleh Allah SWT sekaligus memacu negara dalam kecemerlangan duniawi.

Thursday, March 22, 2018

Forum Tentang Tun Mahathir dan Dr Kamarul ‘diperangkap’



Tak berminat nak menonton forum tersebut kerana ia melibatkan kajian tentang orang tertentu yang memberi ruang untuk mengkritik peribadi orang tersebut. Itu bukan pendekatan ambe.
1) Perangkap atau Tidak?
Kita tak tahu sama ada Dr Kamarul Yusuf diperangkap oleh pihak Sinar/karangkraf atau tidak. Jika benar Dr Kamarul diperangkap, ia melambangkan pihak Sinar/Karangkaraf cuba mengenakan Dr Kamarul. Sudah tentu ia mengambarkan betapa tidak profesional Sinar/Karangkraf. Sinar/Karangkraf hanya mahu mengutip populariti dan keuntungan sahaja.
Sinar/karangkraf wajar muhasabah diri, pihak manakah yang mengharamkan akhbar Eksklusif pada era reformasi dulu?
2) Usia dan Gender Bukan Penentu Layak atau Tidak Memimpin?
Memimpin adalah persoalan kelayakan bukannya persoalan gender atau usia. Syarat kelayakan seorang pemimpin disisi Islam boleh dirujuk dalam kitab para ulamak.
Secara peribadi, tidak bersetuju dengan forum sebegitu yang perbincangan terhad kepada seorang individu.
3) Tentang Tun M.
Sudah tentu beliau layak memerintah jika memenuhi syarat-syarat kelayakan seorang pemimpin.
Cuma nasihat peribadi, sebaiknya Tun Mahathir berada di laman ‘tikar sejadah’ dalam usia sebegini. Sebagai seorang yang sayang kepada pemimpin kita, kita mahu Tun M merapati Allah SWT dikala usia dah masuk lingkungan bonus. Damai dengan banyak ibadah dan muhasabah diri.
Bukanlah menafikan niat beliau nak pulih dan membina kembali negara serta membaiki kembali kesalahan yang dilakukannya, cuma politik kepartian ini membuka lebih ruang menambah dosa jika Tun M menghentam seseorang atau sesuatu termasuk menyentuh tentang Islam. Cukup-cukuplah Tun M.
Selama 22 tahun memerintah (ditambah 12 tahun sebelum itu – 1969 hingg1980 yang dalam itulah adanya pengubalan AUKU umpamanya), orang politik dan anak muda yang buta hati sahaja tak mengenali Tun M.
4) Antara Ilmu dan Kepetahan Berkata-kata
Kepetahan berkata-kata adalah kelebihan seseorang. Ia boleh dilatih tetapi kebolehan semulajadi itu lebih istimewa.
Guru ambe pesan jika mahu belajar tentang ‘petah’ berkata-kata dengan pergi ke pasar lihat bagaimana penjual ubat bercakap dalam memasarkan ubat mereka. Kedua, menonton ceramah politik/agama tokoh tertentu.
Kepetahan berkata-kata penting. Sebab itu Nabi Musa dikirim Nabi Haron untuk membantu baginda. Nabi Haron petah berkata-kata berbanding Nabi Musa. Ilmu jika digabungkan dengan kepetahan berkata-kata, ia akan menjadi luar biasa kerana lebih menarik dan memukau. Lihat sahaja, Ustaz Abdul Somad  dan KH Zainuddin MZ umpamanya.
Punbegitu, kebolehan petah berkata-kata belum tentu mengambarkan kedalaman ilmu seseorang sang pemidato-pembicara. Ramai orang berilmu dan alim tidak petah berkata-kata walaupun mempunyai kepakaran dalam ilmu tersebut. Bahkan ada yang berilmu tergagap-gagap ekoran memang gagap atau berfikir lebih pantas daripada keupayaan bercakap.
Jika kita lihat alim ulamak besar termasuk guru pondok, ‘tak sedap langsung’, ‘boring nak mampus’ dan ‘lena’ semasa mereka menyampaikan kuliah mereka. Disitulah fokus, ketekunan, kerajinan dan kesabaran kita dalam menuntut ilmu diuji.
Yang mudah nak jumpa, orang yang bijak berkata-kata inilah ramai yang menipu.

Wednesday, March 21, 2018

Faham Demokrasi Tun Mahathir (3): Mengaru Kepala PH



Tulis Pakar Strategi itu lagi,
Tun M mentadbir-urus negara ini dengan cara demokrasi kacukan atau demokrasi dengan kuku-besi sekaligus melahirkan sebuah negara yang dinobatkan sebagai sebuah “Snycretic State” dalam Sains Politik. Dalam bahasa seorang professor yang menklasifikasikan demokrasi di Malaysia sebagai salah sebuah Negara yang mengamalkan “Electoral Authoritarianism”.
Tun M  tidak pernah mempercayai bahawa demokrasi mesti diamalkan secara menyeluruh dan penuh. Beliau percaya bahawa kerajaan mesti “melaksanakan demokrasi dengan had dan batasnya”.
Bagi Tun M, mustahil untuk melaksanakan ‘utopia demokrasi’ yang berteraskan “kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat”  kerana akan berakhir dengan satu kebuntuan. Demokrasi mesti ada ‘ubahsuaian’ dan rakyat ‘berkorban’ sedikit untuk kita dapat memanfaatkan  sistem demokrasi ini.
Beliau telah ‘mencekik’ dan ‘menjerut’ demokrasi dengan segala akta-akta draconian dan ‘rimba’ yang meragut hak kebebasan rakyat yang sebenarnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.  Baru rakyat faham bahawa Tun M dan Umno-BN memerlukan semua ‘ubahsuai’ (adjustment) dengan ‘undang-undang’ semasa mereka berkuasa dengan 2/3 majoriti untuk ‘mentadbir negara’ dulu.
Contoh Kebebasan berpolitik dan berhimpun diragut dengan ISA dan Akta Polis, Kebebasan menerbit-berkarya dicekik dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984), hak kepada maklumat dengan OSA, hak mahasiswa-akademik berpolitik dengan AUKU.
 Tun M ini tetap akan buta demokrasi dan tidak akan celik dengan erti pencerahan minda tentang demokrasi sampai keliang lahadnya.
(Dalam bahagian ini, aku tersenyum melihat perkataan ‘TETAP’,  ‘TIDAK AKAN’ dan ‘SAMPAI KE LIANG LAHADnya’. Bahayanya tulis-lisan kita menhujahi diri kita sendiri pada masa akan datang)
Dengan demokrasi yang kononnya  diubahsuai itulah telah berleluasa dan sarat amalan rasuah dan salah-guna kuasa kerana rakyat tidak mendapat capaian maklumat untuk ‘menyemak-imbang’ kerajaan yang menyalahguna kuasa.
Ini menjadikan negara hilang daya-saing dan amalan kroni kapitalisme serta penyampaian kerajaan(Aku: dalam pengurusan projek-projek kerajaan). Sebagai contoh Perjanjian konsesi utility mega (IPP, Tol Lebuhraya)dirahsiakn atas nama OSA. Skandal besar seperti PKFZ yang menelan RM 12 b makan tahun untuk dikesan berbanding kalau rakyat bermaklumat dan punya informasi!
(Demokrasi bukannya menghalalkan pemimpin)bermaharajalela dengan kuasa serta ‘membutakan rakyat’ dengan ‘ketakutan’ dan sedikit ‘gula-gula’ kononnya pemberian sebuah kerajaan yang ‘prihatin dan mendahulukan rakyat.

Sah Tun M adalah seorang dictator yang bersembunyi disebalik pakaian demokrasi yang beliau sangat membencinya! Sebab itu Tun dan semua pimpinan Umno-BN sangat takut dengan ‘Arab Spring’ yang merupakan kebangkitan rakyat Arab menjatuhkan pimpinan dictator dan regim kukubesi yang telah berdekad menafikan rakyat kebebasan dan demokrasi sebenar!
 Jelas mengapa Tun M secara terang-terangan‘memandul kekebalan raja’, memecat seorang Ketua Hakim Negara dan segala yang perbuatan zalim atas nama ‘adjustment’ kerana ‘demokrasi itu ada batasnya’ dan diktator inilah dan regim umno-BN inilah yang menentukan batas-batas HAK yang boleh diberikan kepada rakyat!

Faham Demokrasi Tun Mahathir: Machiavelli Menangis Melihatnya



Aku tak menulis
Aku hanya menulis kembali, menyusun dan
mengolah kembali tulisan pakar strategi ini.

(Pakar strategi  inimembicarakan tentang kefahaman seorang Mahathir terhadap demokrasi. Tulisan ini bukan tulisan Aku.)

Faham demokrasi Mahathir Mohamad selalu mudah: demokrasi harus ada batasannya, harus diiringi dengan tanggungjawab, dan berfungsi untuk tujuan pembangunan.

Mahathir turut menegaskan bahawa sekiranya mahu mengubah pemerintahan, cukuplah dengan kotak undi. Ini dapat dilakukan lima tahun sekali. Selain itu, nilai pemimpin, bagi Mahathir, ialah idea dan strategi yang dimilikinya. Sesuai dengan faham ini, maka Mahathir sama sekali tidak melihat Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi liberal.

(Aku: Tidak hairanlah Tun M kembali dalam PRU 14. Beliau kembali untuk siapa?)

Faham demokrasi Tun kabur dan mengelirukan. Antara ciri-ciri faham demokrasi Tun M ialah

1. demokrasi mestilah difahami bersama batasannya.  Mahathir begitu bimbang dengan kebebasan mutlak. Padahal, tidak ada siapa pun yang mempertikaikan. Memang, kita semua tahu bahawa takkan ada kebebasan mutlak.

(Aku: Tun M menyatakan demokrasi ada batasan dan sempadan. Cuma sempadan dan batasan itu pada ukuran pandangan dirinya sendiri)



2. Jika Tun M berbicara tentang demokrasi, beliau akan menyentuh persoalan  tanggungjawab berbanding konsep yang lebih besar iaitu hak. Ukuran tanggungjawab itu ditentukan oleh siapa? Adakah soal tanggungjawab ini  mengawasi dan mengawal segala tingkah-laku  dan fikiran rakyat

3. Mahathir meletakkan makna kehidupan bernegara adalah pembangunan semata-mata. Adakah dengan melakukan pembangunan, maka sempurnalah makna demokrasi?

4. Mahathir menekankan bahawa yang terpenting dari kualiti pemimpin adalah kemampuannya dalam merangka strategi dan idea untuk kemakmuran negara. Benarkah yang terpenting ialah kualiti pemimpin, bukannya kualiti sistem (demokrasi)? Jadi, individu lebih penting dari sistem.


5. Mahathir beranggapan bahawa cukuplah untuk mengubah pemerintah saat pilihan raya umum. Bermakna, menurut Mahathir, proses mengubah pemerintah hanya boleh dilakukan setiap lima tahun, lewat kotak undi. Lalu, pertanyaannya: apakah yang warga harus lakukan di antara dua pilihan raya, atau dalam tempoh lima tahun tersebut? Sepanjang itu rakyat hanya patuh semua titah pemimpin?

Tulisan pakar strategi itu lagi,

Andai kata Machiavelli masih hidup sekalipun, tentunya takkan bersependapat dengan Mahathir ini. Kerana, Machiavelli bukanlah seorang Machiavellian, seperti Mahathir. Sebaliknya, Machiavelli adalah seorang republikan, yang menghargai aspirasi rakyat.

Manakala, Mahathir pula dalam diam-diam adalah seorang diktator, yang selalu mencipta pemujanya yang fanatik, sepanjang waktu, selagi mana faham totalitarianisme terus saja bermaharajalela.

(AKU: ‘selalu mencipta pemujanya’. Inilah kesedihan melihat pejuang-pejuang yang ketumpulan gigi.  Mereka geli digelitik oleh Mahathir. Ingatlah membersih kekotoran jangan melalui kekotoran, kelak lebih kotor. Rakyat akan terus dikotorkan)


Friday, March 16, 2018

Terus Muhasabah Diri: Satu Pegangan


1. Kita perlu belajar dengan ramai guru/ulamak. Kita mesti menghormati dan beradab dengan mereka walaupun mereka banyak kelemahan dan kesilapan. Kita menghormati dan beradab dengan mereka kerana ketinggian ilmu, akhlak yang terpuji dan istiqamah beramal bukannya kita taksub kepada nama, batang tubuh orangnya, pemikiran, kepuakan/organisasi dan aliran pemikiran mereka. Kita mesti mengurangkan keterikatan  kita dengan hanya SEORANG guru/ulamak. Kita terikat pada ILMU yang bersumberkan al-Quran dan as Sunnah.

2. Kita kasih, sayang dan menolong semua pihak/NGO/organisasi/individu yang mahu menegakkan Islam dalam kehidupan tanpa mengira siapa dan pendekatan mereka. Paling penting ia tidak melanggar syariat Islam.

3. Jemaah Islam terbaik ialah Jemaah masjid di kawasan komuniti kita tinggal. Setelah mantap, barulah kita menabur jasa ke lapangan dakwah yang lebih besar. Setiap orang berjasa pada posisi masing-masing dan berdasarkan kemampuan masing-masing. Tidak perlu mempersoalkan jasa orang lain melainkan diri sendiri berusaha berjasa kepada Islam. Pilih gerakan Islam/organisasi yang disukai dan serasi dengan diri selagi tidak bertentangan dengan syariat dan tidak bermusuh dengan Islam yang syumul dan addin.

4. Ulamak, pemimpin institusi dan organisasi Islam pada waktu ini terdedah dengan unsur-unsur keuntungan diri sendiri, perniagaan dan puak sendiri. Mereka juga terdedah dengan penyusupan pihak musuh yang cuba merosak kehidupan mereka. Justeru, berwaspadalah dan berhati-hati menerima berita, maklumat dan pandangan yang kita perolehi. Berhati-hati dengan penunggang agama.

5. Kita percaya, Islam itu addin dan syumul. Islam jalan penyelesaian ke atas segala permasalahan dunia dan akhirat. Kita percaya Islam perlu ditegakkan dalam kehidupan kita meliputi ekonomi, sosial dan politik. Kita percaya Islam mesti ditegakkan  dalam diri sendiri terlebih dahulu. Negara Islam perlu ditegak dalam diri individu terlebih dahulu sebelum menubuhkan Negara Islam yang sebenar. Jalan Islam adalah jalan damai bukannya keganasan, permusuhan dan perbalahan.

6. Kita berpegang kepada al-Quran, as Sunnah, Ijma’ Ulamak dan Qiyas. Kita berpegang kepada pandangan sahabat Rasulullah SAW dan para ulama yang berada dalam lingkungan 300 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Pendekatan terbaik dalam belajar ialah kita menuntut ilmu secara berguru yang mempunyai sanad dan menambahkan ilmu dengan banyak membaca buku merentasi pelbagai bidang keilmuan. Kita berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab.

7. Kita menolak politik kepartian sempit. Walaupun kita seorang simpatis atau menyertai parti politik Islam, kebenaran lebih kita cintai. Kita boleh mempunyai pandangan sendiri tetapi perlu akur dengan keputusan bersama yang diputuskan dalam mesyuarat. Kita mesti menghormati keputusan syura dan kebijaksanaan seseorang Amir Jemaah. Jika khilaf terus berlaku, kita tawaquf tanpa keluar daripada perjuangan. Keluar daripada perjuangan Islam apabila dasar Islam dicabut daripada perlembagaan wadah/gerakan Islam/organisasi. Politik Islam mementingkan ukhwah, politik sepakat-muafakat: ta’awun siyasi dan tahaluf siyasi, politik yang memilih mudharat lebih kecil dengan menolak mudharat lebih besar. Kita sedia menerima gagasan politik seperti UG, Kerajaan Teknokrat, Selamat Malaysia dan Konsensus Nasional demi perpaduan ummah dan kestabilan politik negara. Kita menghormati setiap ijtihad yang dikeluar oleh ulamak dan pemimpin Islam daripada semua pihak walaupun kita tidak menyetujuinya.

8. Kita menolak pandangan berdasarkan persepsi, fitnah, andaian dan ramalan. Setiap suatu kesalahan memerlukan saksi yang jujur, bukti yang cukup, disiasat dan dibawa ke mahkamah. Kita menolak membuka aib orang dan menerima penafian seseorang dengan terbuka, kemudian segala urusan orang itu kita serahkan kepada Allah. Kita mengakui fitrah kemanusiaan seseorang tetapi kita menolak pemikiran/ideologi ciptaan akal-nafsu manusia yang bertentangan dengan Islam.

9. Kita tidak mengetahui tujuan atau niat seseorang. Kita hanya mampu menilai perkara zahir bukannya perkara yang tersembunyi dalam hati mereka. Kita percaya setiap wadah/gerakan Islam tidak sempurna kerana setiap anggota hanyalah makhluk Allah yang lemah dan imannya boleh berbolak-balik. Dalam setiap kumpulan sudah tentu ada pihak yang bermudah-mudahan dalam pendirian dan amalan Islam, pihak yang ekstrem dan pihak yang suka ambil kesempatan. Perkara seumpama ini mesti kita waspada.

10. Tiada berguna kita membenci seseorang. Kita hanya membenci sifat bukannya orangnya. Pupuk diri kita agar tidak membenci orang lain. Semaikan kasih sayang. Kita boleh mengkritik, kritik secara membina bukannya kritik memusnahkan. Jaga tulis-lisan kita, jaga akhlak kita.

Thursday, March 15, 2018

Sebuah Kerajaan Islam




Antara perkara asas sebuah kerajaan ialah pemimpin, sumber pemerintahan (perlembagaan) dan rakyat mendokonginya.

Seorang pemimpin Islam mempunyai syarat-syarat tertentu.

Sumber pemerintahan pula menentukan tahap kedaulatan Islam dalam sesebuah kerajaan dan negara. Sumber utama pemerintahan Islam ialah a-Quran, as Sunnah, Ijma’ ulamak dan Qiyas. Bagi sesetengah pandangan, pelaksanaan hukum hudud adalah syarat untuk memenuhi asas ini.

Rakyat yang mendokong Islam, barulah Kerajaan atau Negara Islam dapat dilaksanakan. Tanpa sokongan rakyat, pelaksanaan sebuah negara Islam tidak dapat dilakukan.

Adakah Negara Malaysia sebuah Negara Islam?

Bergantung kepada SIAPA yang ditanya. Orang tersebut mempunyai kadar ilmu dan hujah yang tersendiri untuk menyokong atau menolak Malaysia sebuah Negara Islam.

Pada pandangan kita, Negara Islam digerakkan oleh kerajaan Islam daripada parti Islam yakni daripada pemimpin Islam. Kita membahagikan Negara Islam kepada

a. Negara Islam sepenuhnya
b. Negara Islam separuh
c. Negara belum Islam

Malaysia terletak pada perkara [b]. Tiada dalam dunia ini mencapai tahap negara Islam pada perkara [a]. Sebagai Negara Islam Separuh, kita berada dalam proses melaksanakan Islam secara menyeluruh. Kenapa Negara Islam separuh? Ia disebabkan Malaysia masih belum mengamalkan Islam secara menyeluruh dan Islam sebagai ‘addin’ masih belum kelihatan. Sebuah Negara Islam (mencapai tahap perkara [a]) perlu memenuhi asas kerajaan atau negara Islam tadi ialah pemimpin Islam, sumber pemerintahan (pelaksanan hukum hudud umpamanya) dan rakyat mendokongi Islam.

Dalam kontek negara moden pada hari ini, status Negara Islam boleh terlucut apabila tiada lagi Kerajaan Islam yang diperintah oleh parti Islam atau pemimpin Islam. Parti Islam atau pemimpin Islam mesti mengembalikan status Negara Islam dalam sesebuah negara moden (demokrasi).

Adakah Kerajaan Islam tidak melakukan kesalahan, kesilapan dan tiada kelemahan?. Manusia makhluk yang lemah dan iman kita boleh berbolak-balik. Justeru kelemahan, kesilapan, kegagalan dan kesalahan sentiasa ada. Kita tidak dapat lari daripada kesalahan dan kesilapan. Dan kita tahu setiap manusia yang beriman itu tidak maksum.

Kelemahan, kesilapan, kegagalan dan kesalahan Kerajaan Islam perlu dibaiki. Prestasi Kerajaan Islam perlu dipertingkatkan. Pemantauan mesti dilaksanakan secara berterusan.

Negara Barat adalah Negara yang Adil dan bertamadun?. Adil dan bertamadun itu subjektif bergantung kepada SIAPA yang mendefinisikannya. Adil hanya boleh dilaksanakan oleh seorang pemimpin yang Adil tanpa mengira seorang itu Islam atau tidak.

Sebagai seorang Islam yang mahu keredhaan Allah, mempercayai Hari Akhirat, mendamba syurga dan mencari pahala, ingin menjauhi azab neraka dan kubur serta menolak perkara dosa, kita mahu definisi Negara Adil dan Bertamadun itu berdasarkan rujukan al-Quran dan as Sunnah serta Sirah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda bukannya daripada konteks Barat yang merujuk kepada ideologi/pemikiran ciptaan akal-nafsu manusia.

Tuesday, March 13, 2018

IKRAM dan Persoalan Politik



Kita dihebohkan dengan kemasukan Dr Mazslee Malik, pensyarah UIA merangkap pemimpin JIM-IKRAM menyertai PPBM pimpinan Tun Mahathir. Begitu juga mantan pimpin JIM dan PAS, YB Ir Dato Amirudin Hamzah juga menyertai PPBM.
[1]
5 Persoalan
Persoalan ini dikemukakan oleh seorang pakar gerakan Islam pada tahun 2010.
[a] Apakah kehadiran mereka (IKRAM) ini akan menambah kekuatan force politik gerakan Islam atau sebalinya melemahkannya lagi.
[b] Apakah kehadirannya (IKRAM) akan dapat menyaingi gerakan Islam semasa dan seterusnya dimanipulasi oleh musuh gerakan Islam bagi memecahbelahkan kebangkitan Islam itu sendiri
[c] Apakah kehadiran IKRAM dalam bentuk sebuah GAGASAN yang meMAYUNGI beberapa gerakan (Islam) seperti JIM, HALUAN, ISMA dan lain-lain tidak membayangkan IKRAM lebih dominan dari PAS yang telah pun berusaha memayungi gerakan Islam menerusi NAUNGAN POLITIKnya.
[d] Apakah NAUNGAN DAKWAH yang diusahakan oleh IKRAM itu lebih AMPUH dan MAMPU merentasi perBEZAan politik antara PAS dan UMNO atau hanyalah RETORIK semata-mata kerana perbezaan IDEOLOGI inilah yang membezakan STATUS mereka sebagai sebuah gerakan Islam atau sebaliknya.
[e] Apakah percubaan ini tidak dilihat sebagai ulangan cadangan penyertaan ahli-ahli IRC ke dalam PAS dan UMNO bagi menguasai kepimpinan kedua-duanya tetapi dalam bentuk yang lebih terbuka bagi mengelakkan prasangka.
[2]
Hala Tuju Politik IKRAM.
Menurut pakar gerakan Islam itu lagi (2010),
[f] “Mungkin dalam masa 5 tahun atau setelah merasakan dirinya (IKRAM) kuat dan dikehendaki, IKRAM boleh mengisytiharkan dirinya sebagai sebuah parti politik atau menjadi AFILIASI politik kepada mana-mana parti politik yang hauskan IMEJ dan pendekatan Islam yang berBEZA dengan PAS”
IKRAM diluluskan pendaftaran pada 22 Oktober 2009. Manakala Parti Amanah Negara ditubuhkan pada tahun 2015. Lebih kurang 6 tahun.
Kehadiran Parti Amanah Negara sangat mendekati pandangan perkara [f]. Sebuah parti Islam kedua ditubuhkan yang memiliki Imej dan pendekatan Islam yang berbeza dengan PAS. Kehadiran parti Islam kedua memecah-belahkan gerakan Islam di Malaysia apabila NAUNGAN Politik gerakan Islam melalui PAS telah dipecahkan oleh Parti Amanah.
[3]
Ramai anak muda IKRAM sangat emosi apabila kita menyebut tentang sejarah dan pendekatan keparasitan para pengasas mereka. Kita tidak menafikan jasa, kealiman dan kesalehan para pengasas mereka, cuma kita tidak bersetuju dengan kefahaman dan pendekatan tertentu yang dilakukan oleh para pengasas mereka.
Ramai anak muda IKRAM menolak pandangan IKRAM adalah IRC, menolak adanya grand design IRC dan menolak adanya pendekatan menumpang-penyusupan (parasit) oleh IRC. Sewajarnya, anak muda IKRAM menyapu bersih hingusan mereka dengan membaca sejarah.
IKRAM bukan IRC. Sudah tentu jawapannya YA Betul. Dari segi perlembagaan pertubuhan, perundangan dan keahlian, IKRAM semestinya bukan IRC. Cuma para pengasas IKRAM adalah otai-otai IRC.
Sebagaimana Ikhwan Alami, keanggotaan dan keahlian secara zahir dalam sesebuah organisasi bukanlah sesuatu yang penting kerana mereka disatukan oleh kesatuan pemikiran, satu aspirasi, satu cita-cita dan satu kesatuan ukhwah melalui pengaulan mereka (usrah). Pengkastaan atau pemeringkatan dalam keahlian dan jurang generasi memisahkan generasi pengasas al Jamaah-IRC-JIM-IKRAM dengan anak muda IKRAM.
Sejarah telah membuktikan jalur berasaskan kesatuan pemikiran ini wujud. Kemunculan IKRAM sendiri, Parti Amanah Negara, kehadiran tokoh IKRAM dalam PKR, perpecahan PAS, penyusupan pemimpin IRC-JIM ke dalam PKN, UMNO, PAS dan ABIM. Selepas kemasukan DS Anwar Ibrahim ke UMNO, dua tahun Muktamar ABIM diganggu oleh pimpinan IRC umpamanya.
[3]
Orang lama dalam perjuangan gerakan Islam menceritakan suasana persaingan dalaman dalam gerakan Islam tertentu secara tertutup. Cerita tentang grand design dan kaedah parasit adalah cerita disebalik tabir dan diceritakan secara dalaman. Begitulah ‘resmi’ gerakan Islam tidak gemar memburuk-buruk gerakan Islam lain secara terbuka atau mengeluarkan kenyataan rasmi. Ini kerana IRC sendiri adalah anak-beranak gerakan Islam. Cuma terdapat perbezaan dari segi kefahaman dan pendekatan. Dan ada s pemimpin gerakan Islam dipenjara dengan sifat dengki, ego dan dendam peribadi yang menjadikan perseteruan berlanjutan.
[4]
Penulis sendiri sebagai orang awam yang menyanjung Islam tertarik dengan konsep ummah centric. Kita boleh menolong semua gerakan Islam yang ada. Tetapi bagi pemimpin gerakan Islam, menyetujui konsep ummah centric boleh menyebabkan kecelaruan pemikiran, kegoncangan kesetiaan kepada pemimpin dan jemaah Islam dan boleh menjuruskan ke arah fitnah.
Mana mungkin kita mempunyai dua keyakinan dan 2 kesetiaan dalam waktu yang sama. Bagaimana jika keyakinan dan kesetiaan ini bertembung atau berkonflik antara satu sama lain, keyakinan dan kesetiaan mana satu yang kita dambakan?.
Inilah yang berlaku dalam kes YB Ir Saari Sungip semasa Langkah Kajang. Bagaimanakah ahli PAS boleh wala’ kepada pemimpin parti lain? Ingat! PAS adalah sebuah gerakan Islam. Pak Abu Urwah lebih memahami persoalan ini.
Isu wala’ sentiasa relevan.
[5]
Parti Amanah Negara didominasi oleh tiga jalur tarbiah iaitu jalur al-jamaah-IRC-JIM-IKRAM, Jalur PKPIM-ABIM dan Jalur Tarbiah PAS dari UM (atau Jalur Tarbiah TG Yahya Othman).
Sewajarnya, IKRAM mengambil ruang dan peluang memperkasakan kedudukan mereka dalam Parti Amanah. IKRAM mesti menjadi ‘saluran darah’ membekalkan pemimpin pelapis kepada Parti Amanah Negara. Sebaliknya apa yang berlaku, sesetengah pemimpin IRC-JIM-IKRAM masih dieksport ke dalam parti politik lain seperti PKR dan PPBM. Ini menunjukkan IKRAM masih mengunakan [1] kaedah parasit dan [2] mencari keuntungan politik.
IKRAM terlampau percaya ahli dan pemimpin mereka yang mempunyai satu pemikiran, satu aspirasi, satu cita-cita dan satu ikatan ukhwah mampu bergerak dalam politik kepartian dalam ikatan dan arahan jemaah. Iman boleh berbolak-balik. Kebarangkalian, jemaah Islam gagal mengawal pemimpin dan ahli mereka boleh berlaku. Kepercayaan ini juga memberi ruang kepada pemimpin bersifat pragmatik dan mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara.

Tuesday, March 06, 2018

Satu Pendedahan



[1] Ada orang lebih berminat perihal peribadi (aib peribadi) atau suka melakukan ‘serangan peribadi’ terhadap musuh politik mereka. Umpamanya, isu ‘ponteng’ sidang parlimen. Menariknya, tokoh yang dihentam hanya orang dibenci oleh mereka sahaja. Tokoh sendiri tidak hadir sidang parlimen tidak dikritik. Kesipuan sungguh.
[2] Ada pula berminat tentang dasar-polisi, strategi-pendekatan, penambahbaikan atau kritikan terhadap urus tadbir kerajaan/parti dan isu-isu penyelewengan-penyalahgunaan kuasa.
Pada pendirian kita, perkara [2] lebih baik kita santuni.
Kita masih boleh menerima pendedahan yang dilakukan oleh YB Rafizi, kritikan YB Dato Paduka Husam Musa terhadap Kerajaan Islam Kelantan dan terjahan-kritikan pedas para aktivis NGO dalam isu orang Asal dan hutan di Kelantan. Kritikan bersifat membina sangat kita tagih.
Dalam kes kelemahan-kesilapan dan salah urus tadibir Kerajaan Islam Kelantan dan para pemimpinnya, amat dialu-alukan pendedahan yang ikhlas untuk membaiki Kerajaan Islam Kelantan. Tiada kesempurnaan bagi seseorang pemimpin yang mentadbir sebuah organisasi. Kelemahan dan kesilapan cuba dibaiki sebaik mungkin.
Dalam kes salah urus tadbir dan penyelewengan serta penyalah-gunaan kuasa sesebuah Kerajaan Islam, amat wajar ia didedahkan agar kesalahan para pemimpin dan ijtihad mesyuarat itu tidak terpalit kepada Islam. Pihak yang bersalah mesti dihukum meskipun ia anggota Parti Islam atau Gerakan Islam. Kita mesti ingat, individu atau kelompok yang berkepentingan sentiasa ada dalam mana-mana organisasi. Mereka bersedia ambil peluang demi keuntungan sendiri, kroni dan keluarga. Pihak sebegini perlu diadili dan dihukum dengan tegas oleh mahkamah dan rakyat.
Cuma yang perlu kita berwaspada tentang pendedahan yang bermotif tertentu termasuk permainan  politik dan keuntungan politik oleh sesetengah pihak. Justeru, tidak cukup hanya pendedahan melalui sidang akhbar dan kemudian laungkan ‘sila saman’. Begitu dengan pendedahan dalam ceramah atau tulisan dan kemudian mencabar ‘kita debatlah’. Ia mengambarkan sifat politik keanak-anakan kita.
Paling baik, setiap kes perlu dibawakan bukti yang menyeluruh, sahih dan jelas kepada pihak berkenaan seperti SPRM dan Polis untuk disiasat dan dibuktikan bersalah seterusnya diadili di mahkamah. Baru kelihatan lebih profesional.
Kita tidak mahu sesuatu pendedahan yang menghasilkan fitnah berpanjangan dan kestabilan politik negara terjejas dengan maklumat palsu.
Akhir zaman, maklumat palsu berleluasa. Fitnah bermaharajalela.

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...