Tuesday, December 29, 2020

Terlena- Buya Hamka

 TERLENA


Waktu berlalu begitu pantas menipu kita yang terlena

Belum sempat berzikir di waktu pagi, hari sudah menjelang siang, Belum sempat bersedekah pagi, matahari sudah meninggi.

Niat pukul 9.00 pagi hendak solat Dhuha, tiba-tiba azan Zuhur sudah terdengar..

Teringin setiap pagi membaca 1 juzuk Al-Quran, menambah hafalan satu hari satu ayat, itu pun tidak dilakukan.

Rancangan untuk tidak akan melewatkan malam kecuali dengan tahajjud dan witir, walau pun hanya 3 rakaat, semua tinggal angan-angan.

Beginikah berterusannya nasib hidup menghabiskan umur? Berseronok dengan usia?

Lalu tiba-tiba menjelmalah usia di angka 30, sebentar kemudian 40, tidak lama terasa menjadi 50 dan kemudian orang mula memanggil kita dengan panggilan "Tok Wan, Atok...Nek" menandakan kita sudah tua.

Lalu sambil menunggu Sakaratul Maut tiba, diperlihatkan catatan amal yang kita pernah buat....

Astaghfirullah, ternyata tidak seberapa sedekah dan infak cuma sekadarnya, mengajarkan ilmu tidak pernah ada, silaturrahim tidak pernah buat.

Justeru, apakah roh ini tidak akan melolong, meraung, menjerit menahan kesakitan di saat berpisah daripada tubuh ketika Sakaratul Maut?

Tambahkan usiaku ya Allah, aku memerlukan waktu untuk beramal sebelum Kau akhiri ajalku.

Belum cukupkah kita menyia-nyiakan waktu selama 30, 40, 50 atau 60 tahun?

Perlu berapa tahun lagikah untuk mengulang pagi, siang, petang dan malam, perlu berapa minggu, bulan, dan tahun lagi agar kita BERSEDIA untuk mati?

Kita tidak pernah merasa kehilangan waktu dan kesempatan untuk menghasilkan pahala, maka 1000 tahun pun tidak akan pernah cukup bagi orang-orang yang terlena.


Puisi Terlena oleh : Pak Hamka - Al Marhum Prof Hamka

Monday, December 28, 2020

YB Menteri Jatuh Lubang.

YB Menteri  jatuh lubang
Kecoh seluruh tanah air
Pihak berkuasa minta maaf
Syarikat swasta beri alat ganti.

Rakyat marhaen jatuh
Pergi mampus tanpa peduli.

YB Menteri, Khairy Jamaludin tersemban cedera kerana terlanggar lubang di jalan raya. JKR Hulu Langat minta maaf. Syarikat basikal mahu ganti basikal berharga RM45000. Untung menjadi orang berkuasa, kaya, dikenali dan elitis. Sakit dan derita mereka disantuni.


Kes lubang di jalan raya adalah serius boleh membawa kematian. Entah berapa orang anak dan isteri kematian ayah-suami dan hilang sumber pendapatan ekoran kemalangan jalan berlubang. Mereka tidak dibela dan tiada kemaafan.


Kelompok aktivis seperti Lando Brotherhood sudah lama menyuarakan isu jalan berlubang tetapi kurang diberi perhatian oleh pihak berkuasa sehingga mereka bertindak sendiri menampal lubang di jalan raya.


Semua ini menunjukka bagaimana masyarakat dilayan mengikut kelas sosial. Nyawa orang awam umpama sampah, nyawa orang kaya adalah intan berlian.


Kata Usman Awang, "Pemisahan dan perpecahan masyarakat adalah disebabkan oleh wang ringgit"

Orang miskin mampus tanpa nama tidak dikenali.
Tiada tanya khabar, tiada kemaafan apatah lagi bantuan
Orang miskin pergi mampus, biar orang kaya menerus hidup.

Sunday, December 27, 2020

Melayu- Usman Awang

 

Melayu

 

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan.

 

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar,

Janji simpan di perut

Selalu pecah di mulut,

Biar mati adat

Jangan mati anak.

 

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu,

Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah mua'alaf bertakrif Melayu

(Setelah disunat anunya itu)

 

Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan

 

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara

 

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

Terlalu ghairah pesta temasya

Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal

tanah sebidang mudah terjual

 

Meski telah memiliki telaga

Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi

 

Walaupun sudah mengenal universiti

Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak.

 

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan

 

Berdamai cara Melayu indah sekali

Silaturrahim hati yang murni

Maaf diungkap senantiasa bersahut

Tangan diulur sentiasa bersambut

Luka pun tidak lagi berparut

 

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan

Segala yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran"

 

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu

Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan.

 

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka "

 

NUKILAN

Usman Awang

Akar Negara Bangsa Malaysia

 

Akar Negara-Bangsa Malaysia[1]

 

Perpaduan rakyat negara Malaysia dilihat rapuh kerana ketumpulan kefahaman sejarah. Tanpa pengetahuan dan kefahaman sejarah, kita tidak tahu bagaimana Malaysia bermula. Kita juga akan mudah tertipu dengan ahli sejarah palsu dan politikus. Tanpa sejarah, kita tidak boleh faham zaman sekarang. Negara Bangsa tidak dibina dengan sains, negara bangsa dibina dengan ilmu sains sosial dan kemanusiaan..

 

***

 


Kefahaman Sejarah Rakyat Malaysia

Setiap kaum yang berada di Malaysia mesti memahami bahawa Tanah Melayu merupakan wilayah asal usul orang Melayu. Itu jelas. Sebanyak 9 buah kerajaan Melayu yang terdapat di Tanah Melayu. Mana ada dalam dunia ini, sebuah negara mempunyai dua orang Raja. Tanah Melayu mempunyai 9 orang Raja. Cukup aneh dan unik.

 

British ‘tidak menjajah’ 9 buah kerajaan Melayu tetapi mereka hanya menaungi Tanah Melayu melalui perjanjian untuk melindungi keselamatan dan membangunkan ekonomi wilayah ini. British hanya bekerja berdasarkan perjanjian untuk menolong mentadbir bagi pihak Raja-Raja Melayu (pemerintah). Kuasa kerajaan masih dibawah Raja Melayu. Hugh Clifford menyatakan British hanya penaung bukannya pemerintah. Setiap kerajaan ada Sultan.

 

British berjanji kepada Raja Melayu untuk menjaga kerajaan Melayu. Pada tahun 1910, imigran datang beramai-ramai ke Tanah Melayu untuk membeli tanah berikutan peningkatan harga getah. British telah mengubah enakmen Tanah Simpanan Melayu bagi melindungi jumlah pemilikan tanah orang Melayu agar tidak berkurang pada tahun 1913. Pada seksyen 2 enakmen, British telah mendefinisikan Melayu iaitu Melayu mesti Islam, bercakap dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan Budaya Melayu.

 

Tanah Melayu milik orang Melayu. Pada tahun 1931, Durbar (Persidangan Raja-Raja Melayu) telah memutuskan Malaya adalah tanah orang Melayu.

 

Tanah Melayu terbahagi tiga komponen negeri. Negeri-Negeri Selat merupakan tanah jajahan British. Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak) dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah dan Johor) merupakan negeri naungan British. Tiga komponen negeri ini banyak mempengaruhi perkembangan ekonomi, politik dan sosial masyarakat tempatan. Tiga komponen ini disatukan dibawah satu payung dengan penubuhan Pesekutuan Tanah Melayu 1948.

 

Sebelum tahun 1948, Tanah Melayu juga dikenali sebagai Malaya atau British Malaya. Malaya bukanlah istilah yang sah. Ia untuk memudahkan dalam pentadbiran kerana Tanah melayu mempunyai 9 buah kerajaan yang berlainan.

 

Secara perundangan, British ‘tidak menjajah’ Tanah Melayu walaupun pada hakikat sebenar, British adalah penjajah. British menjarah ekonomi Tanah Melayu secukup-cukupnya. Hasil penanaman getah dan bijih timah, hampir semuanya milik Kerajaan British.

 

Walaupun struktur  sosial tidak berubah, struktur politik Melayu diganggu-gugat dengan kewujudan para pentadbir British. Ramai pembesar tidak berpuas-hati dengan British.

 

Pengetahuan Tentang Perlembagaan Malaysia

Perlembagaan ialah undang-undang tertinggi dalam sebuah negara. Tiada pihak yang boleh mengatasinya. Di Malaysia, Raja Berperlembagaan bermaksud Raja yang menurut Perlembagaan Malaysia. Bagi menjamin kestabilan politik, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan negara yang berterusan, semua rakyat mesti hidup berdasarkan Perlembagaan Malaysia.

 

Di Malaysia, kita mengamalkan konsep pengasingan kuasa. Wakil Rakyat yang berada di Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan berbahas dan meluluskan undang-undang. Jika timbul masalah perundangan, badan kehakiman berperanan mentafsirkan undang-undang.

 

Perlembagaan Malaysia mengandungi unsur-unsur tradisi.

 

 

Tradisionalisme

British tidak mengubah struktur politik dan sosial tradisi orang Melayu. British hanya membalutkan struktur tradisional dengan pemodenan dan pembangunan. British hormat tradisi Kerajaan Melayu. Tradisi politik dan sosial orang Melayu menjamin kestabilan politik Tanah Melayu. British mahu Orang Melayu amal budaya British yang lemah lembut.

 

Tradisi politik Melayu tertumpu kepada Raja. Adanya Kerajaan kerana adanya Raja.  Kerajaan itu pada diri raja bukannya pada tanah/wilayah sebagaimana konsep feudalisme di Barat. Raja mempunyai kuasa dan wibawa disebabkan oleh konsep Daulat. Konsep ini berasal daripada konsep deva raja. Kemudian diIslamisasi sebagai Daulat. Ketaatan dan kesetiaan orang Melayu kepada raja mereka. Dalam tradisi Raja-Raja Melayu, kerajaan mula ditubuhkan oleh leluhur keturunan Raja Iskandar Zukarnain. Titisan leluhur keturunan Iskandar Zulkarnain cukup penting dalam penubuhan sesebuah kerajaan Melayu.

 

Dari segi penubuhan kerajaan, paling penting ialah siapa yang tubuh kerajaan bukannya siapa  paling awal datang dan tubuh kerajaan. Kerajaan Kedah lebih awal ditubuhkan daripada kerajaan Melaka. Tetapi Kerajaan Kedah hanya diabsahkan setelah mendapat pengiktirafan melalui pemberian nobat daripada Kerajaan Melaka. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mendapat mandat kuasa melalui pemberian nobat Kerajaan Kedah setelah dipohon oleh Tunku Abdul Rahman.

 

Pada tahun 1745, Bugis telah menguasai dan memerintah Selangor. Pemerintah Selangor bernama Raja Lumu tidak mengunakan gelaran Sultan. Raja Lumu pergi ke Kota Lumut, Perak menyembah ampun bertemu Sultan Perak untuk meminta izin menubuhkan Kerajaan Selangor. Selepas itu barulah Raja Lumu memakai gelaran Sultan. Leluhur Sultan Perak berasal daripada keturunan Sultan Melaka. Di Tanah Melayu, hanya Perlis dan Johor Moden tidak mendapat kekuasaan daulat daripada keturunan Sultan Melaka.

 

Johor Moden mendapat pengiktirafan Ratu Britain manakala Perlis mendapat pengiktirafan Kerajaan Siam.

 

 

 

Pendidikan dan Sukan

Pada tahun 1927, Tagore menyatakan, ‘untuk menubuhkan sebuah negara, lebih awal perlu menubuhkan sekolah’. Didik pelajar mengenal siapa diri mereka. Pendidikan bermula daripada latihan guru.

 

British sangat mementingkan undang-undang. Anak semua bangsa di Malaysia tidak memahami perlembagaan dan undang-undang negara. Ini merupakan satu kerugian dalam pembentukan jati-diri sebagai warganegara ini.

 

Ilmu sejarah adalah mementingkan rekod, bukti atau fakta yang boleh diuji. Tanpa bukti, ahli sejarah hanya mampu membuat kesimpulan sementara. Sejarah apa yang pernah wujud dan berlaku pada masa dahulu. Sejarah berasaskan rekod dan boleh dibuktikan.

 

Menurut Khoo Kay Kim, akar umbi masalah perpaduan Bangsa Malaysia disebabkan [1] kegagalan sistem persekolahan kebangsaan, [2] tiada penyertaan parti-parti politik dalam jawatankuasa perpaduan negara dan [3] Rakyat mengabai rukun kelima rukun negara.

 

Khoo Kay Kim menyatakan sistem persekolahan kebangsaan telah menjadi sekolah berasaskan komunal apabila didominasi oleh kaum Melayu sahaja. Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil sebagai pilihan di sekolah kebangsaan.

 

Pengajaran dan pembelajaran sejarah banyak difokuskan kepada sejarah politik bukannya sejarah budaya padahal dengan pengajaran dan pembelajaran sejarah budayalah kita dapat mengenali kaum-kaum dan etnik-etnik yang berada di Malaysia.

 

Khoo Kay Kim melihat aktiviti masa lapang seperti sukan bola sepak antara cara memupuk perpaduan pelbagai kaum di Malaysia.

 

Penulis bersetuju dengan pandangan Khoo Kay Kim. Bagi memupuk perpaduan didalam negara ini, setiap kaum mesti memahami [1] sejarah dan Perlembagaan negara ini dan [2] interaksi/pengaulan (paling berkesan iaitu sukan dan majlis makan-makan). Ubat paling mujarab untuk mengubati masalah perpaduan Bangsa Malaysia ialah reformasi pendidikan melalui pelaksanaan sistem persekolahan kebangsaan, memansuhkan sekolah vernakular dan kewajiban pengunaan Bahasa Melayu.

 

 

Konsep Negara-Bangsa

Negara: Tanah atau  kawasan yang ada sempadan

Bangsa: Semua rakyat yang ada dalam negara. Bangsa bukannya kaum. Di negara Malaysia, bangsanya dikenali Bangsa Malaysia.

 

Tamadun Melayu tidak mengunakan konsep negeri. Tamadun Melayu mengunakan konsep kerajaan (kingdom dan monarki). British bertanggungjawab menukar konsep pemerintahan Orang Melayu daripada konsep kerajaan kepada konsep negeri. Konsep kerajaan terletak kepada diri raja itu sendiri manakala konsep negeri terletak kepada sempadan negeri. Biasanya kerajaan Melayu akan mengunakan ayat seperti Kerajaan Terengganu dan tanah jajahan takluknya.  Sungai menjadi pusat kerajaan dan sempadan kerajaan.

 

Orang Melayu yang dilahirkan di negeri Melayu dikenali rakyat raja. Orang keturunan Indonesia yang merantau di negeri Melayu seperti Orang Kerinchi, Orang Jawa, Orang Banjar dan Orang Rawa dikenali orang Melayu yang lain (the Other Malayan). Manakala orang bukan Melayu dikenali sebagai orang tidak bernegara atau tanpa kerakyatan (stateless). Orang Melayu yang melakukan kesalahan berat akan dibuang negeri buat sementara manakala orang tanpa kerakyatan yang melakukan kesalahan berat akan dihantar pulang ke negara asal. Orang yang lahir di NNS adalah rakyat British termasuk orang Melayu.

 

Pada tahun 1927, Orang India Muslim menubuhkan Persatuan Melayu Pulau Pinang. Kesatuan Melayu Singapura mengetatkan keahlian kepada Orang Melayu sahaja. Pada tahun 1939, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu diadakan, Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Persatuan Melayu Pulau Pinang tidak dijemput. Menurut Khoo Kay Kim, beliau diberitahu oleh Samad Ahmad bahawa KMM tidak dijemput kerana anggotanya kebanyakan Boyan. Boyan, Banjar, Jawa, Maidaling, Kerinchi dan Rawa adalah the Other Malayan. Dari segi parti politik, orang Melayu menyertai UMNO manakala The Other Malayan menyertai PKMM.

 

Adakah orang Cina dan India itu kaum pendatang atau imigran? Ya, sebelum tahun 1948. Selepas tahun 1948, orang Cina dan India mendapat warganegara melalui jus soli. Mereka berhak mendapat semua perkara disisi Perlembagaan Malaysia. Mereka sebagai warganegara  tidak boleh dipanggil sebagai pendatang.

 

Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu tidak merdeka. Sebab negara ini tidak pernah dijajah dari segi perundangan. Negara kita hanya dinaungi. Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah menjadi satu Negara-Bangsa baru yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Pemindahan kuasa daripada Daulat Raja-Raja Melayu kepada ketuanan Rakyat yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Malaysia. Raja-Raja Melayu sendiri mesti mengikut Perlembagaan Malaysia.

 

Kesilapan British

British tidak mengubah struktur politik orang Melayu. Pada masa yang sama British cuba memodenkan orang Melayu terutamanya kelompok pemerintah iaitu kelompok bangsawan (Sultan dan pembesar). Kelompok bangsawan dilatih untuk menjadi pentadbir.

 

Kesilapan terbesar British ialah mereka menganggap orang Melayu itu sebagai petani. Mereka cuba melatih orang Melayu menjadi petani.

 

Orang Melayu bukan petani. Mereka adalah pedagang. Pada tahun 1885, di News York, orang Melayu dikenali sea nomad. British mahu orang Melayu menjadi petani. Disinilah bermulanya orang Melayu dikatakan sebagai pemalas.

 

Orang Melayu kalah disebabkan oleh modal dan teknologi. Penggunaan kapal api/wap menyebabkan orang Melayu tidak mampu berdagang di lautan. Mereka mula berdagang melalui jalan sungai.

 

Pembinaan jalan kereta api telah merosakkan ekonomi orang Melayu kerana menghapuskan jalan sungai. Ekonomi orang Melayu lumpuh.

 

Perkembangan bandar yang dipenuhi oleh kaum bukan Melayu juga merisaukan British. Bandar Kuala Lumpur diasaskan oleh Sutan Puasa. Sutan Puasa menjemput orang Cina dari Sungai Ujong ke Kuala Lumpur. Bagi mengatasi ketiadaan orang Melayu di KL, British menubuhkan kampung pertanian yang dikenali sebagai Kampung Baru.

 

Kesimpulan

Kestabilan politik dan ketenangan masyarakat Melayu kerana adanya RAJA. Raja melambangkan keutuhan kerajaan dan negara-bangsa. Semua warga negara Malaysia yang terdiri daripada anak-anak semua bangsa mesti melindungi institusi Raja Melayu di negara kita.

 

Pendidikan dan sukan merupakan alat penting memupuk perpaduan rakyat negara ini. Kefahaman terhadap sejarah dan perlembagaan negara penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat pada masa depan.



[1] Tulisan ini mengambil apirasi daripada gagasan pemikiran Prof. Emiritus Dr Khoo Kay Kim.

Kenapa Tokoh Islam Menerima Sosialisme Islam dan Nasionalisme?

Seingat penulis, ramai tokoh menerima istilah-konsep sosialisme dan nasionalisme. Ada yang menamakan nasionalisme Islam dan Sosialisme Islam. Jika tidak salah, Agus Salim, Raden Haji Omar Said Tjokroaminoto, Dr Syed Hussein Alatas dan Dr Burhanuddin al Helmy menggunakan istilah-konsep sosialisme Islam. Tokoh tertentu seperti Imam Hassan al Banna bersetuju dengan konsep istilah-nasionalisme.

Kenapa situasi sebegini berlaku?

Ia disebabkan berlaku proses konkretiasasi dimana perubahan makna berlaku mengikut tafsiran pembaca. Seseorang pembaca atau pentafsir mempunyai kadar ilmu dan latar belakang yang berbeza menyebabkan kefahaman mereka berbeza. 

Selain itu, sifat berubah-ubah isi dan erti istilah-konsep mengikut perubahan zaman dan tempat juga menghasilkan perbezaan kefahaman. Penerimaan atau penolakkan istilah-konsep harus mengambil kira isi dan erti yang berubah-ubah. Mungkin istilah-konsep sebegini dilakukan Islamisasi agar isi dan ertinya lebih mendekati Islam.


Apapun, secara peribadi penulis menolak menerima istilah-konsep bikinan manusia ini (walaupun sama dari segi fitrah kemanusiaan) kerana ia membawa mudarat lebih besar dan kurang manfaat. Ia mengelirukan kefahaman orang awam dan anak muda  sehingga membawa ke arah kesesatan.

Konsep Negara Islam Dalam Konteks Negara Bangsa

Konsep Negara Islam Dalam Konteks Negara Bangsa Malaysia

 

Sejak tumbang UMNO-BN, dominasi kuasa politik Melayu-Islam semakin terhakis. Pada waktu yang sama, kerajaan yang ada tidak utuh sehingga memerlukan penawaran politik bagi mengukuhkan kerajaan. Oleh sebab itu, muncul naratif dan wacana politik baru dimana banyak pertimbangan perlu diambil kira dalam membuat keputusan politik. Pertimbangan yang adipenting ialah

1.     Institusi Beraja

2.     Kedudukan Melayu-Islam-Bumiputera

3.     Masyarakat Majmuk

4.     Pengaruh politik wilayah Sabah-Sarawak

5.     Pengkongsian kuasa

 

Satu lagi ibrah ialah sekuat mana kuasa dominasi Melayu-Islam, pertimbangan masyarakat majmuk, pengaruh politik wilayah Sabah-Sarawak dan pengkongsian perlu diambil kira. Itu hakikat sebenar politik Malaysia.

 

Perjuangan menegakkan konsep Negara Islam mengikut jalan damai menurut Perlembagaan Malaysia. Justeru, kemenangan pilihan raya dan penguasaan politik sangat penting bagi mencapai matlamat tersebut.

 

Cabaran terbesar ialah cabaran dalaman iaitu [1]tahap kefahaman umat Islam yang masih rendah. Umat Islam pada zaman ini mengalami krisis taqwa, iman dan adab. Tiada guna para Islamis menegakkan Negara Islam tetapi tidak didokong oleh rakyat terutamanya orang Islam sendiri. Kedua [2], masalah ahli politik Islam yang tidak mempunyai kefahaman Islam sebagai addin dan terikat dengan arahan pimpinan dan parti sehingga tidak berani menyokong dasar atau usul yang melibatkan kepentingan dan kelangsungan Islam.

 

Cabaran luaran pula bagi menegakkan Negara Islam dan pelaksanaan syariat Islam ialah masyarakat majmuk, pengkongsian kuasa dan pengaruh politik Wilayah Sabah-Sarawak.

 

Dalam tradisi Islam, terdapat pengkategorian dhimmy (orang kafir dilindungi) dan harbiy (Orang kafir dipercayai). Minoriti bukan Islam lemah berada dalam majoriti masyarakat Islam yang kuat. Kerajaan Islam menaungi orang bukan Islam. Masalah yang ada ialah Malaysia mempunyai masyarakat majmuk. Jumlah umat Islam hampir. Dalam aspek tertentu, masyarakat  bukan Islam lebih kuat daripada masyarakat Islam terutamanya dari segi kekuatan ekonomi. Selain itu, konsep kewarganegaraan negara bangsa adalah sama dan tidak dipisahkan oleh agama.

 

Apabila pengaruh dominasi politik Melayu-Islam lemah, pengaruh politik wilayah Sabah-Sarawak semakin meningkat. Kerajaan Sabah dan Sarawak bersama pembangkang serta NGO menjadi kingmaker yang membikin pelbagai desakan dan ugutan menyebabkan kerajaan persekutuan bergantung harap kepada mereka. Tanpa sokong parti Sabah dan Sarawak, kerajaan persekutuan boleh tumbang.

 

Dalam konteks politik Malaysia, pengkongsian kuasa tidak dapat dielakkan dan sangat penting. Suasana politik hari ini, kerajaan tidak stabil dan utuh. Rakan kongsi kuasa boleh meruntuh dan menguat sesebuah kerajaan. Penawaran  dan pemujukan politik sentiasa berlaku bagi menggelakkan keruntuhan sesebuah kerajaan. Maka, ruang dan peluang melaksanakan negara Islam dan pelaksanaan syariat semakin sukar dan sempit.

 

Umat Islam mesti melakukan perubahan dalam strategi dan pendekatan politik demi kelangsungan politik Islam. Antara yang perlu difikir-buat ialah

1.     Ahli politik Islam mesti mendahulukan kepentingan umat Islam bukan lagi arahan parti

2.     Penerangan kepada ahli politik Islam dan bukan Islam mesti diteruskan

3.     Kuasa dominasi politik MIB mesti diperkuatkan kembali

Pelaksanaan syariat Islam dan negara Islam bergantung kepada kemahuan, nekad politik (political will), kemampuan, kesediaan dan kebijaksanaan strategi para pelaksana.

 

RUU355 umpamanya dilihat satu-satu usul yang menguji sokongan dan kebersamaan ahli politik Islam dalam mengutamakan isu kelangsungan umat Islam atau memilih mengakuri arahan parti. RUU355 menjadi satu program beransur-ansur dan berperingkat-peringkat. Pelaksanaan Syariat dan menegakkan Negara Islam perlu dilakukan mengikut senarai keutamaan yang disusun mengikut pertimbangan strategik dari segi keperluan, kemampuan dan kesediaan.

Saturday, December 26, 2020

Konsep Nasihat PM kepada YDPA

Penulis tertarik dengan istilah 'nasihat PM' kepada YDPA. Pada zaman British, dikatakan  nasihat Residen atau penasihat kepada sultan MESTI dituruti kecuali dalam hal ehwal adat istiadat Melayu dan agama Islam. Adakah konsep 'nasihat PM' kepada YDPA diguna-pakaikan sebagaimana nasihat residen kepada sultan?


Institusi Yang di-Pertuan Agong penjaga Perlembagaan

 

Oleh Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil - Jun 8, 2020 (BH)

KEDUDUKAN Yang di-Pertuan Agong satu-satunya jawatan unik di dunia. Yang di-Pertuan Agong dipilih Majlis Raja-Raja dalam kalangan sembilan Raja Melayu bagi tempoh lima tahun, sekali gus tidak memegang jawatan itu seumur hidup seperti raja lain di dunia.

 

Institusi Yang di-Pertuan Agong sangat signifikan bagi rakyat kerana ia disanjung tinggi dan berperanan penting dalam kestabilan politik, ekonomi serta sosial negara. Ia bukan hanya bersifat ceremonial dan rubber stamp, sebaliknya institusi tertinggi berdasarkan Perlembagaan bagi mengetuai Persekutuan Malaysia.

 

Menurut Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Tertinggi yang kedudukannya mengatasi semua orang lain di Persekutuan Malaysia dan tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah kecuali di Mahkamah Khas diwujudkan mengikut Bahagian XV Perlembagaan Persekutuan.

 

Kewujudan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja berperanan sebagai juruaudit tambahan dari segi Perlembagaan seperti dibuktikan dalam Laporan Suruhanjaya Reid yang menyebut peranan sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, pelindung hak baginda, mempertahankan agama Islam, bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan hak kewarganegaraan orang bukan Melayu.

 

Malaysia mewarisi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen daripada sistem Westminster dari England. Dalam menjalankan tugas, Yang di-Pertuan Agong dikehendaki mendengar nasihat Perdana Menteri.

 

Baginda tidak diberi kuasa secara Perlembagaan menjalankan tugas sesuka hati, sebaliknya bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri kecuali dalam perkara disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

 

Yang di-Pertuan Agong ialah ketua negara, tetapi bukan ketua badan eksekutif. Kuasa eksekutif itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang diperuntukkan dalam Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan (Perkara 39). Namun, baginda boleh menggunakan budi bicara, melantik Perdana Menteri mengetuai Kabinet.

 

Bagaimanapun, dalam melantik seseorang Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong perlu memastikan individu dilantik mendapat kepercayaan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen. Selepas pelantikan itu, baginda hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik Jemaah Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen sama ada Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

 

Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen, beliau perlu meletak jawatan daripada Kabinet.

 

Apabila Perdana Menteri didapati tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan tidak mahu meletakkan jawatan, undi tidak percaya boleh dibuat di Dewan Rakyat.

 

Sekiranya undi itu menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah meletak jawatan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Namun, baginda boleh atau tidak, mengikut budi bicara membubarkan Parlimen.

 

Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri. Namun, Perdana Menteri berkuasa memecat menteri Kabinet yang boleh dibuat dengan surat dikeluarkan Perdana Menteri dengan memaklumkannya kepada baginda tanpa perlu kepada perkenan. Ia boleh dirujuk dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim lawan Perdana Menteri [1995] 5 MLJ 193.

 

Begitu juga, apabila Perdana Menteri meletak jawatan, seluruh anggota Kabinetnya juga akan terungkai. Ini kerana, Perdana Menteri ialah Ketua Kabinet, manakala Kabinet dilantik Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda dalam menjalankan tugas baginda. Kabinet secara kolektifnya bertanggungjawab kepada Parlimen.

 

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara pembubaran Parlimen. Hak ini tidak perlu diikuti walaupun dinasihati Perdana Menteri. Kuasa perkenan atau tidak adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

 

Dalam menjalankan tugas, Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa perlu memanggil Parlimen untuk bersidang dan hendaklah memastikan persidangan Parlimen tidak melangkaui tempoh enam bulan daripada persidangan lalu. Satu kuasa besar diberi kepada baginda ialah boleh menangguh atau membubar Parlimen.

 

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa mutlak dalam memperkenankan perisytiharan darurat. Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyebut, Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati keselamatan, kehidupan ekonomi rakyat dan ketenteraman awam tergugat, boleh membuat perisytiharan darurat. Namun, perisytiharan itu tidak semestinya mengikut nasihat Perdana Menteri. Baginda boleh menolaknya.

 

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dan tanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak, selain melindungi kepentingan komuniti lain.

 

Dalam hubungan dengan kehakiman, Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi tertentu dan mempunyai hubungan dengan badan itu dalam beberapa perkara, antara lain merujuk kepada Mahkamah Persekutuan dalam mendapatkan pandangan mengenai sebarang persoalan Perlembagaan.

 

Baginda juga berfungsi melantik hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan termasuk Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Borneo, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara.

 

Baginda juga mempunyai kuasa untuk melucut atau menggantung Hakim Mahkamah Persekutuan tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, selain berkuasa melantik ahli Suruhanjaya Kehakiman dan Undang-Undang.

 

Yang di-Pertuan Agong juga pemerintah tertinggi angkatan tentera Persekutuan, iaitu jawatan kanan tertinggi dalam struktur pemerintahan angkatan bersenjata Malaysia.

 

Justeru, sebagai Ketua Negara, baginda berperanan penting dalam memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan betul mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Baginda bertindak sebagai penyemak dan pengimbang supaya ketua bagi ketiga-tiga badan eksekutif, perundangan dan kehakiman menjalankan tugas dengan adil serta penuh tanggungjawab demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

 

Meskipun Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, baginda mempunyai kuasa besar diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan negara stabil dan aman.

 

Tanpa prejudis, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara menggantung Parlimen dan mengisytihar darurat bagi memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terpelihara. Ini demi memastikan keamanan, kepentingan dan kesejahteraan rakyat umum terpelihara.

 

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

 

 

Maksud nasihat mengikut Perlembagaan Persekutuan

 

Oleh Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain - Jun 7, 2018 (BH)

 

'NASIHAT' di bawah Perlembagaan secara umum merujuk kepada Perkara 40 yang menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memerintah menurut nasihat melainkan dalam perkara terletak pada budi bicara baginda.

 

Peruntukan itu berbunyi: "Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini ataupun undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali seperti diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri". Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan pula mensyaratkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

 

Sebelum membahaskan maksud 'nasihat' dalam Perkara 40 di atas, perlu ditegaskan bahawa Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara. Justeru, sebarang undang-undang, dasar, keputusan, nasihat atau pelaksanaan yang dibuat tidak boleh bercanggah dengan peruntukanPerlembagaan. Sekiranya ada, ia terbatal setakat percanggahan itu.

 

Sumpah Seri Paduka

 

1. Taat setia pada menjalankan pemerintahan menurut Perlembagaan.

 

2. Ikrar untuk memelihara pada bsetiap masa agama Islam.

 

3. Berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.

 

 

Bahkan, setiap ahli Jemaah Menteri, Ahli Majlis Parlimen, hakim mahkamah, ahli suruhanjaya di bawah undang-undang Persekutuan, wajib mengikrarkan sumpah jawatan sebelum melaksanakan fungsi masing-masing. Sumpah itu seperti dalam Jadual Keenam mempunyai lafaz "bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya".

 

Sumpah itu bermaksud setiap daripada mereka hendaklah menjunjung prinsip kedaulatan dan Perlembagaan dengan taat setia. Berdasarkan kedudukan di atas, maka nasihat di bawah Perkara 40 di atas adalah tidak mutlak.Setiap nasihat itu hendaklah diperhalusi dari sudut inti pati, tujuan dan implikasi. Sifat tidak mutlak itu selaras dengan ketinggian Perlembagaan Persekutuan seperti dijelaskan Perkara 4(1).

 

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong, tertakluk pada undang-undang. Jemaah Menteri dan pihak yang diberi kuasa di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan ialah pelaksana fungsi kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong.

 

Tidak salah untuk merumuskan bahawa Perkara 40 di atas ialah manifestasi kepada Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Atas prinsip itu, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak di atas nasihat sekiranya fungsi kuasa eksekutif itu sudah diwakilkan menurut undang-undang.

 

Prinsip nasihat

 

Raja bertindak atas nasihat satu daripada prinsip dalam Raja Berperlembagaan. Raja Berperlembagaan itu menuntut bukan sahaja Raja perlumemerintah berdasarkan undang-undang, bahkan hal yang sama ke atas setiap pelaksana fungsi kuasa eksekutif Persekutuan. Justeru, mereka terikat dengan prinsip kedaulatan yang dijunjung oleh Yang di-Pertuan Agong.

 

Lantaran, sebelum suatu nasihat dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, menjadi tanggungjawab kepada penasihat di bawah Perlembagaan untuk memastikan nasihatnya itu mematuhi peruntukan undang-undang.Ringkasnya, nasihat di bawah Perkara 40 dan 40(1A) juga tertakluk pada prinsip tadbir urus baik dan menjunjung kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang itu bermaksud suatu nasihat itu hendaklah dalam kerangka kedaulatan seperti termaktub dalam Perkara 181(1) dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

 

Sumpah Yang di-Pertuan Agong yang dimulai dengan "wallahi,wabillahi, watallahi" berserta lafaznya ialah manifestasi kepada kedaulatan negara yang berkonsepkan Raja-Raja Melayu sebagai pemegang amanah bersumberkan ajaran Islam, yang perlu dilaksanakan menurut peruntukan Perlembagaan. Sekiranya nasihat itu mematuhi syarat di atas berserta peruntukan berkaitan dengannya, itulah kedaulatan undang-undang.

 

Tanggungjawab untuk memastikannasihat yang betul terletak pada mereka yang dikehendaki oleh undang-undang menasihati Yang di-Pertuan Agong atas suatu perkara tertentu.

 

Kuasa tersimpan

 

Satu perkara yang sering dilontarkan ialah apabila berlaku keadaan Yang di-Pertuan Agong tidak bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri dalam perkara yang bukan dalam budi bicara baginda.Sekiranya keadaan itu berlaku, sebaik-baiknya Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri diberi ruang seluas-luasnya untuk melanjutkan rundingan.

 

Secara prinsipnya, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak menurut nasihat Perdana Menteri sekiranyaundang-undang memperuntukkan sedemikian. Sebaliknya, Yang di-Pertuan Agong boleh meminta Perdana Menteri untuk menimbangkan semula suatu nasihat sekiranya pada timbangan baginda nasihat itu tidak menepati atau bercanggah dengan mana-mana peruntukan undang-undang. Perlembagaan membenarkan Yang di-Pertuan Agong untuk merundingi Majlis Raja-Raja di bawah butiran 6 Jadual Kelima atau merujuk kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan pandangan.

 

Prinsip itu ialah prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dijamin oleh Perkara 181(1) dan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan. Ia dinamakan kuasa tersimpan. Dalam menguruskan perbezaan pandangan di antara Yang di-Pertuan Agong dengan Perdana Menteri, satu perkara perlu dihormati ialah Perdana Menteri dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memimpin kerajaan baginda. Setiap pandangan Yang di-Pertuan

 

Agong perlu dihormati dengan saksama dan wajar diberi pertimbangan oleh Perdana Menteri kerana akhirnya Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atasnasihat Perdana Menteri. Hubungan di antara Yang di-Pertuan Agong sebagai pemegang kuasa eksekutif Persekutuan dengan pelaksana fungsi kuasa eksekutif baginda pastinya menuntut kerjasama yang erat kerana kedua-duanya diamanahkan untuk menjunjung kedaulatan undangundang, seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Dalam apa juga keadaan, kedaulatan undang-undang itu perlu ditegakkan. Justeru, menjadi prinsip undang-undang bahawa setiap nasihat hendaklah sentiasa mematuhi dan menjunjung keluhuran Perlembagaan dan undang-undang negara.

 

Nasihat PM kepada Agong

 

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR | | 01 Mac 2020

PERLEMBAGAAN Persekutuan memperuntukkan kuasa pemerintahan atau eksekutif sebenar bagi Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong. Hal ini dinyatakan di dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Namun, Perkara 40 mengkehendaki Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas dan fungsi baginda atas nasihat Perdana Menteri.

 

 

Sewaktu menulis artikel ini, persoalan banyak dikemukakan kepada saya dalam situasi sekarang, adakah Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat nasihat Perdana Menteri jika mahu membubarkan Parlimen? Saya cuba memberi penjelasan di sini tanpa merujuk kepada mana-mana blok politik dalam pendirian sebegini. Ulasan saya hanya berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa memberi sokongan atau sanggahan kepada mana-mana pihak.

 

Di Malaysia, pembubaran Parlimen diperincikan dengan lebih lanjut dan jelas dalam Perkara 55 iaitu antara lain Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari masa ke masa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya. Selanjutnya Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

 

 

Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.Apabila Parlimen bubar, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh ​60 hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh itu.Oleh itu, adalah jelas Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 55 mempunyai tiga kuasa yang utama iaitu:

 

1. Memanggil sidang Parlimen

 

2. Memprorog Parlimen

 

3. Membubarkan Parlimen

 

Perkara 55(2) di atas secara spesifik tidak menyatakan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Hal ini juga hanya terhad kepada memprorog dan membubar Parlimen.Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Seri Paduka juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.

 

Membubarkan Parlimen begitu biasa bagi kita. Walau bagaimanapun memprorog Parlimen masih belum lazim dicatatkan dalam sejarah perundangan negara sepertimana tindakan yang diambil Perdana Menteri Britain baru-baru ini dan juga Raja James di Britain pada tahun 1600 selain di Malaysia pada tahun 1969. Peruntukan mengenai memprorog Parlimen ini masih belum diuji di mahkamah Malaysia dan tiada penghakiman telah dibuat mengenainya sebelum ini.

 

Berbalik kepada isu keperluan nasihat Perdana Menteri sebelum membubarkan Parlimen, persoalan timbul adakah Perkara 40 dan Perkara 55 di atas perlu dibaca bersama yang menjadikan satu keperluan untuk nasihat Perdana Menteri tersebut? Pada pandangan saya Perkara 40 menyentuh isu tanggungjawab berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong manakala Perkara 55 berkaitan kuasa Seri Paduka Baginda. Ia dua perkara berbeza dan tidak boleh dibaca bersama.

 

Malah berdasarkan prinsip undang-undang yang menyatakan perkara spesifik mengatasi perkara umum, boleh juga dikatakan Perkara 55 (yang merupakan hal spesifik berkaitan prorog dan bubar Parlimen) tidak menyebut keperluan nasihat Perdana Menteri mengatasi Perkara 40 yang bersifat umum.

 

Penggunaan perkataan-perkataan yang berlainan dalam Perkara 39 dan Perkara 40 juga perlulah diteliti. Perkara 39 menyatakan tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong manakala Perkara 40 menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri apabila menjalankan tugas-tugas dan fungsinya di bawah Perlembagaan, bukan dalam melaksana kuasa yang ada pada Seri Paduka.

 

 

 

Oleh yang demikian, pada pandangan saya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang jelas sekiranya Seri Paduka Baginda berkenan membubarkan Parlimen walaupun tanpa nasihat daripada Perdana Menteri.

 

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/72021/KOLUMNIS/Nasihat-PM-kepada-Agong

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

 

 

MENJUNJUNG KASIH KEBIJAKSANAAN RAJA-RAJA MELAYU

Zulaika Yusuf by Zulaika Yusuf  October 26, 2020 (Editor Malaysia)

Keputusan Yang DiPertuan Agong, setelah berbincang dengan Raja-Raja Melayu yang lain, menolak nasihat Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat pada masa ini disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat.

 

Saya perhatikan Raja-Raja Melayu sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah banyak memainkan peranan aktif baginda dalam menyempurnakan salah satu fungsi semak dan seimbang (check and balance) bagi mengelakkan kezaliman penindasan dan penyalahgunaan kuasa.

 

Keputusan Yang DiPertuan Agong menolak nasihat Perdana Menteri ini dikatakan kali pertama berlaku dalam sejarah negara. Sebagai payung kepada rakyat, Raja-Raja Melayu menjadi benteng kepada rakyat dan negara bagi mempastikan keadilan dapat ditegakkan.

 

Perkembangan terbaru ini memberi isyarat yang jelas bahawa konsep Raja BerPerlembagaan ini bukanlah dekorasi atau retorik semata-mata. Ia adalah benar dan berpijak di bumi yang nyata, masih diaplikasi dalam negara, bukan sudah dihantar ke muzium sahaja.

 

Perkembangan ini juga sangat menarik khususnya apabila kita meneliti Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini dikatakan Yang DiPertuan Agong terikat dengan nasihat Perdana Menteri. Perkembagan ini juga akan mengajak ahli akademik, peguam dan mahkamah membaca dan mentafsir semula ratifikasi perundangan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan ini, sejauh mana nasihat Perdana Menteri mengikat Yang DiPertuan Agong dan apakah perkataan ‘nasihat’ itu perlu ditafsirkan atau diberi makna harfiahnya.

 

Hal ini hanya boleh diputuskan dengan tuntas jika ia dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk pertimbangan.

 

Darurat bukanlah pertama kali akan berlaku di Malaysia sekiranya ia dilaksanakan. Sebelum ini juga proklamasi darurat telah beberapa kali dibuat. Walaupun proklamasi darurat yang paling dimaklumi ialah Darurat 13 Mei 1969, tetapi ada juga proklamasi darurat yang berlaku di Kelantan, Sarawak dan lain-lain lagi.

 

Namun saya tidak berhasrat menulis mengenai darurat kerana ia tidak diperkenan oleh Yang DiPertuan Agong.

 

Bagi mereka yang berminat mengenai isu ini boleh membaca penghakiman-penghakiman seperti di dalam kes Stephen Kalong Ningkan v Abang Openg and Tawi Sli (1968) 2 MLJ 238 dan kes Teh Poh Cheng v PP [1979] 1 MLJ 150.

 

Bagi golongan anti-monarki pasti mereka kini berada di dalam ‘conundrum’ kerana dalam mereka tidak mahu darurat diisytiharkan, mereka juga mahu Yang DiPertuan Agong terikat dengan nasihat Perdana Menteri. Mereka tidak menerima kuasa yang lebih besar dimainkan oleh Raja-Raja Melayu walaupun konsep Raja Berperlembagaan itu dijunjung. Apa yang mereka mahu ialah konsep demokrasi dilaksanakan sepenuhnya.

 

Namun sedarlah di Malaysia negara yang kita cintai ini, Raja-Raja Melayu adalah salah satu struktur asas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tanpa baginda Perlembagaan itu sendiri tidak dapat dilaksanakan.

 

Kedua-dua konsep ‘Raja Berperlembagaan’ dan ‘Demokrasi Berparlimen’ tidak disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi hal ehwal mengenai keduanya dihurai panjang di dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Apa juapun konsep yang dijunjung, kesejahteraan rakyat hendaklah diutamakan.

 

Sebenarnya sistem perundangan di Malaysia mempunyai kaedah semak dan seimbang melalui pembahagian kuasa. Pembahagian kuasa antara pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman sangat penting untuk dilaksanakan dan tidak di campur adukkan. Di Malaysia pula, di atas ketiga-tiga agensi pemegang kuasa tersebut Raja-Raja memainkan kuasa untuk semak dan seimbang ketiga- tiga cabang tersebut.

 

Titah Yang DiPertuan Agong agar ahli politik mengenepikan perbezaan politik antara mereka juga perlu diberikan perhatian. Desakan agar Perdana Menteri meletak jawatan tidak selari dengan titah baginda yang mahukan tumpuan diberikan kepada melawan pandemik Covid-19, dan mempastikan kesejahteraan rakyat dengan berpolitik dengan matang dan bertanggungjawab.

 

Marilah kita bersama-sama membangunkan negara dan bersatu melawan pandemik Covid-19.

 

Begitu juga titah Baginda agar pembentangan Bajet 2021 dapat dilakukan dan diluluskan, perlu juga diberikan perhatian oleh semua ahli Parlimen. Ini adalah disebabkan jika Bajet 2021 tidak diluluskan kerajaan tidak boleh berbelanja untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat pada tahun 2021.

 

Oleh itu pada pandangan saya Perdana Menteri tidak kalah semua, tetapi tidak juga mendapat semua yang dihajatinya. Apa yang penting ialah kesejahteraan rakyat diberikan keutamaan.

 

Kemelut politik ini bukan semata-mata kerana terdapat golongan yang mahu merebut kuasa, ia juga hasil daripada kegagalan menguruskan kuasa itu sendiri.

 

Hal ini bukan sahaja berlaku di dalam Perikatan Nasional, tetapi juga dalam Pakatan Harapan dahulu. Malah Barisan Nasional juga menghadapi masalah yang sama. Apabila sudah berada di puncak kuasa rakyat diketepikan. Pemimpin hanya mahu mendengar apa yang mereka suka dengar, bukan yang sepatutnya mereka dengar.

 

Lebih teruk lagi, mereka hanya mahu mendengar dari golongan yang sealiran dengan mereka sahaja, meminggirkan golongan profesional, NGO, alim ulama dan mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik atau peribadi.

 

Dalam premis di atas, saya mengajak kepada semua ahli politik, badan profesional dan NGO, alim ulama bersama-sama mengenepikan kepentingan sendiri dan mengutamakan kesejahteraan rakyat bagi membangunkan negara yang kita cintai ini sejajar dengan titah Yang DiPertuan Agong. Berundinglah di luar Dewan dan bawalah pemuafakatan itu ke dalam Dewan demi negara yang kita cintai ini.

 

Titah baginda yang sarat dengan hikmah itu bukan sahaja mesti dibaca secara tersurat tetapi di sebalik bait-bait titah baginda terdapat ibrah yang sangat besar bagi kita fahami dan laksanakan.

 

Patik menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku. Daulat Tuanku. Allahuakbar.

 

Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar

 

Presiden

 

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

 

26 Oktober 2020


Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...