Friday, December 18, 2020

Hala Tuju UMNO?

 Akhir-akhir ini, pertembungan para pemimpin UMNO kelihatan Nampak secara terang. Faktor pertama, perwakilan UMNO memilih DS Ahmad Zahid sebagai Presiden sedangkan ramai yang mahu Dato Seri Mohamad menjadi Presiden. Dato Mohamad hanya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO. Perwakilan bagaikan tidak diberi pilihan. Dua calon Presiden UMNO yang lain ialah Tengku Razeleigh, seorang veteran dan ada sejarah hitam sebagai pengkhianat parti. Calon kedua, Khairy Jamaludin seorang urban dan liberal yang kurang disenangi oleh kelompok tradisi dan konservatif dalam UMNO. Pemilihan Ahmad Zahid menandakan UMNO masih mengekalkan status quo, masih berada dalam orde lama dan masih dibayangi oleh DS Mohd Najib. Kesannya, UMNO dilihat tidak mahu insaf dan masih tidak sedar akan kesilapan yang berlaku.

 

Menurut DS Ahmad Maslan, pertembungan yang berlaku dalam UMNO kerana pemimpin utama dalam UMNO (Presiden-Timbalan-Naib-Naib Presiden) tiada jawatan dan kuasa dalam kerajaan. Pemimpin utama tiada pengaruh dan hilang kawalan terhadap pemimpin dan ahli parlimen sendiri terutamanya yang berjawatan menteri atau timbalan menteri. Oleh sebab itu, ada kelompok dalam UMNO mahu UMNO sebagai kuasa dominan dalam Kerajaan PN.

 

Menurut TS Anuar Musa, UMNO berpecah kepada tiga kelompok iaitu kelompok yang mahu bersama PN melalui kerjasama UMNO-PPBM-PAS. Mereka kebanyakan yang berjawatan dalam kerajaan. Kelompok kedua mahu kerjasama UMNO-PAS melalui MN tanpa PPBM.  Kelompok mahu PRU dipercepatkan. Kelompok ketiga, mahu bersama DS Anwar Ibrahim dan rela bersama DAP. UMNO dan BN sudah beberapa kali menegaskan dalam keputusan mesyuarat menolak kerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.

 

Bagi Anuar Musa, segala keputusan muktamad perlu dipulangkan kepada akar umbi UMNO melalui persidangan UMNO. Walaupun UMNO perlu mendapat sokongan akar umbi, paling baik ialah pemimpin membuat keputusan dan melakukan penerangan kepada ahli. Pemimpinlah yang perlu memimpin ahli mengikut dan menerima keputusan kepimpinan. Pemimpin tidak boleh mengikut kehendak pandangan popular dalam parti. Pemimpin kena memimpin ahli dan rakyat ke arah kebenaran dan kebaikan. Ini yang berlaku semasa pemimpin memutuskan melakukan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional. Pemimpin memimpin ahli mengikut keputusan kepimpinan.

 

UMNO mesti berkorban dan mengalah demi kelangsungan politik Melayu-Islam bukannya kepentingan perut masing-masing. Ingatlah, kuasa politik Melayu-Islam berada pada tahap paling lemah sejak merdeka. Tanpa kekuatan dominasi politik Melayu-Islam dalam kerajaan, kestabilan politik telah terjejas. UMNO mesti mengutamakan penyatuan ummah. Sebagaimana kes dengan PAS, UMNO kena balut luka yang dalam dengan PPBM melalui semangat penyatuan ummah. Barulah UMNO boleh memulakan ‘road map’ menuju PRU 15 dengan tenang.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...