Tuesday, December 08, 2020

Falsafah Hidup Anak Muda Gerakan Islam

 Anak muda dan mahasiswa khususnya menghadapi krisis identiti dalam mencari kedewasaan dan kematangan hidup. Biasanya mereka diselimuti oleh [1] keterujaan terhadap suatu yang baru dan [2] kekecewaan terhadap tokoh, sejarah, budaya, sikap dan tradisi. Sifat ekstrem dan kebodohan muncul apabila mereka meletakkan semangat pada tempat yang salah.

 

Keterujaan anak muda terhadap ilmu, pengetahuan, budaya, pengalaman dan pengaulan serta  teknologi baru menyebabkan mereka mahu melakukan perubahan secara mendadak. Begitulah juga dengan kekecewaan mereka terhadap tradisi, tokoh dan budaya menyebabkan mereka putus asa terhadap pihak tertentu dan menimbulkan penentangan terhadap status quo.

 

Anak muda dan mahasiswa daripada gerakan Islam biasanya terdiri daripada anak-anak pemimpin gerakan Islam, orang yang ditarbiah daripada zaman sekolah, aktif persatuan remaja Islam dan berada dalam lingkungan pengaulan dengan orang yang saleh dan alim. Mereka bukanlah sebarang orang. Mereka adalah insan yang terpilih untuk ditarbiah.

 

Anak-anak pemimpin gerakan Islam ada yang mendapat impak positif dan ada juga mendapat impak negatif setelah melihat dan merasai menjadi anak pemimpin gerakan Islam yang sentiasa hidup berjuang. Ada anak mahu meneruskan perjuangan ibubapa, ada yang tidak sanggup dan ada yang kecewa ekoran berbelah bahagi kasih sayang (hilang kasih sayang). Akibat kehilangan kasih sayang, mereka memprotes. Jemaah dan ibubapa mereka dalam kandang pesalah.

 

Anak muda yang ditarbiah dan aktif persatuan remaja/pelajar Islam. Pada masa ini, mereka tidak lagi merasai budaya ‘brutus tikam caesar’ secara realiti. Mereka hanya kenal tok guru dan ustaz yang diidola insan terbilang tanpa kelemahan dan jauh daripada kesilapan. Akhirnya mereka silap, tok guru dan ustaz panutan mereka hanyalah manusia biasa yang kaya dengan kelemahan, kekurangan dan kesilapan. Perkara ini ditambah lagi apabila mengetahui dan merasai keperitan peristiwa disebalik keindahan majlis/peristiwa dan kepimpinan gerakan Islam.

 

Sepanjang sekolah dan universiti, mereka berada dalam lingkungan orang yang satu jiwa, satu akhlak dan satu pemikiran. Fikrah mereka terpelihara. Keluasan pengaulan dan pengalaman menyebabkan lingkungan kesalehan terbuka ruang dicemari oleh kemaksiatan, kelaghaan dan aliran pemikiran yang sesat. Mereka rimas, jiwa kacau dan ada yang terpengaruh dibuai badai kemaksiatan dan kesesatan.

 

Ada anak muda gerakan Islam teruja dengan ilmu dan pengetahuan baru. Selama ini hanya membaca buku haraki, peluang di universiti membaca buku dan berwacana  tentang ateis, sekularisme, liberalisme dan pluralisme tanpa bimbingan ulama dan dipengaruhi oleh kelompok berpemikiran orientalisme, evangelis kristian, sekular, liberalis dan pluralis. Mereka merasakan diri mereka sudah genius mengungguli kepimpinan. Mereka sudah menjadi manusia renaissance. Mereka teruja menyertai kursus indoktrinisasi anjuran kelompok SEPILIS dan terpengaruh dengan keseronokan wacana SEPILIS. Mereka mula merasakan bahawa ulama dan agama seumpama agama Kristian dan paderi ketika zaman gelap. Mereka mula berpendapat agama dan ulama yang mengongkong pemikiran mereka. Mereka mahu menjadi hero melawan ketabuan agama dan ulama.

 

Anak muda gerakan Islam juga teruja dengan pengalaman dan pengaulan baru mementingkan kepelbagaian, nilai hak asasi manusia (kemanusiaan), keadilan sosial, demokratik dan nilai sekularisme-liberalisme-pluralisme melangkaui pandangan alam Islam. Mereka mula terkeliru antara pluralisme dengan pluraliti. Mereka terus terkeliru antara syariat dengan maqasid syariah. Mereka tenggelam dalam keasyikan wacana ilmu yang palsu dan keliru. Mereka lemas dengan nilai SEPILIS yang khayali dan sesat. Paling malang, mereka mula mempertahankan SEPILIS dan ada yang menyertai perjuangan kelompok SEPILIS dan Evangelis Kristian.

 

Anak muda yang kekal dengan fikrah asli dimaki dan kritik sebagai ekstrem, konsevartif, jumud dan taksub manakala mereka merupaka kelompok progresif, reformis dan islah. Ini bertambah buruk apabila kelompok yang kekal bersama jemaah Islam tidak mahu mengimbangi dengan melakukan perubahan berdasarkan semangat zaman dan mengambil kebijaksanaan daripada tradisi lama. Bahkan ada yang bersemangat memarakkan sifat taksub, radikal, keras dalam beragama, ekstrem dan kebodohan yang melampau dalam bercakap, berfikir dan bertindak sehingga melepasi akhlak Islam.

 

Begitulah penulis nampak sebahagian besar yang berlaku terhadap pemimpin besar gerakan mahasiswa, pelajar dan anak muda Islam. Adakah amal dan berdisiplin beragama pada zaman tarbiah di sekolah lebih baik daripada diri mereka pada hari ini?, cuba muhasabah diri. Malang diri kita apabila kebergantungan kepada Allah semakin terhakis ekoran ilmu sudah banyak dan pendapatan sudah tinggi.

 

Penulis juga melihat bagaimana Sheikh Umar kecewa dengan puak progresif mereka sendiri setelah kecewa dengan kepimpinan ulamak PAS, akhirnya menyertai DAP. Anak-anak  muda PAS di Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan yang ditarbiah oleh Ustaz Abdullah, Cikgu Anuar dan Cikgu Nasir dengan penuh disiplin mula berubah arah apabila sudah ada ilmu dan luas pengaulan. Lihat juga kekecewaan para pengasas Ameerah dan para pimpinan penjenamaan semula Nisa kecewa dengan tokoh panutan mereka Ustazah Mumtaz. Dr Aziz Baru kecewa dengan pendekatan PKR.

 

Begitulah kisah tentang teruja dan kecewa. Harapan dan cita-cita tinggi, genius, banyak membaca, sikap progresif dan islah, semuanya baik jika diletakkan pada landasan yang betul. Rahsianya pada ADAB dan DISIPLIN serta AKUR arahan KETUA dan SYURA. Tiada perkara ini, tiada istiqamah dalam perjuangan.

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...