Sunday, December 24, 2017

Rangkaian ‘Islam Amerika’



Pada dekad tahun 1990an, muncul istilah Islam Amerika yang seringkali digunakan oleh para pemimpin gerakan Islam tertentu menyindir para pemimpin gerakan Islam yang pro kerajaan.

Rangkaian ‘Islam Amerika’ (RIA) muncul di Barat (Eropah dan AS) apabila pemimpin Ikhwanul Muslimin Generasi Muda dari Mesir, Syria dan Iraq berhijrah ke sana. Ia juga dibantu oleh pimpinan muda Jamaati Islami dari Pakistan.

Mereka telah menubuhkan pelbagai organisasi Islam dan berkhidmat dalam pelbagai institusi pendidikan di sana. Secara fikrah dan aspirasi,  mereka membawa Ikhwanul Muslimin dalam bentuk baru yang sesuai dan serasi dengan kebudayaan dan ketamadunan Barat.

Pemimpin Ikhwanul Muslimin Generasi Baru ini juga menubuhkan organisasi Islam peringkat antarabangsa terutamanya sayap belia, pemuda dan mahasiswa seperti World Assembly of Muslim Youth (WAMY)[1] dan The International Islamic Federation of Student Organizations (IIFSO)[2]. Anwar Ibrahim terlibat dalam WAMY[3] dan IIFSO[4]. Mereka dibiayai oleh Arab Saudi terutamanya pada zaman Raja Faysal (memerintah sejak 2 November 1964 – 25 Mac 1975) yang pro Ikhwanul Muslimin.

Pada akhir tahun 1970an,  pemimpin muda tadi menjarakkan diri mereka daripada gerakan haraki-siasah beralih kepada gerakan intelektualisme. Ketika inilah munculnya The International Institute of Islamic Thought (IIIT) pada tahun 1981. Antara pengasas IIIT ialah Dr. Jamal Bazinji, Dr. Hisham Yahya Altalib, Dr. 'Abdul Hamid Ahmad Abu Sulayman. Mereka semua adalah pemimpin Ikhwanul Muslimin Generasi Muda.

Sejurus Anwar Ibrahim berada dilantik Menteri Pendidikan, pendokong RIA dilantik dalam kepimpinan Universiti Islam Antarabangsa. Antaranya Rektor UIA ialah Dr. 'Abdul Hamid Ahmad Abu Sulayman. Pejabat IIIT Malaysia diwujudkan di UIA Petaling Jaya.  ISTAC pula ditubuhkan pada tahun 1987 dibawah kepimpinan Syed Muhammad Naquib al Attas.

Perubahan gerakan haraki-siasah kepada gerakan intelektualisme dilihat satu usaha menjarakkan pemikiran Sayyid Qutb berubah kepada pemikiran Malik Ben Nabi yang bertunjangkan ketamadunan, kebudayaan, keilmuan dan pendidikan.

Punbegitu RIA masih mempunyai harapan politik mereka kepada Anwar Ibrahim dalam usaha mereka menjadikan Malaysia sebagai model kenegaraan mereka. Mereka cuba mengaplikasikan gagasan pemikiran mereka melalui Anwar Ibrahim.

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dilihat atas usaha pemimpin IIIT, Dr Ismail al-Faruqi yang menasihati Dr Mahathir menerima Anwar Ibrahim sebagai anggota UMNO. Adakah benar Anwar Ibrahim menjadi agenda RIA? Hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Secara pastinya, perhubungan RIA dengan Anwar Ibrahim kelihatan ada dan terancang.

Perkara ini dapat dilihat apa sahaja agenda RIA menjadi agenda Anwar Ibrahim seperti [1] Islamisasi, [2] Masyarakat Madani dan [3] Muslim Demokrat. Cuba kita telusuri gagasan pemikiran ini dan kita akan ketemui perkaitan yang tak pasti sama ada kebetulan atau tidak sengaja.

Antara sifat RIA ialah

1. Mengutamakan istilah, konsep dan teori berbanding praktikal
2. Mengutamakan ilmu dan pendidikan daripada kenegaraan dan perundangan Islam
3. Mengutamakan dialog peradaban, pengkongsian dan kebersamaan dengan Barat berbanding perseteruan dan jalan jihad dengan Barat.
4. Mencari keserasian Islam dengan prinsip-prinsip Barat. Kebanyakan hasilnya ialah nilai dan prinsip Islam seringkali tunduk dengan aspirasi dan kehendak Barat. Contoh, konsep Muslim Demokrat.
5. Kerjasama dengan Barat dari pelbagai aspek termasuk dana, sokongan moral dan lain-lain.
6. Islamisasi





[1] WAMY diasaskan Arab Saudi pada tahun 1972. WAMY dipimpin oleh Sheikh Hassan Abdullah (Presiden) dan Dr Abdullah Omar Nasief (Naib Presiden). Kedua-dua dari Arab Saudi. Tunggak utama adalah Dr Abdullah Omar Nasief yang merupakan Setiausaha Agong MWL (Muslim World Leage) dan bekas rektor Universiti King Abdul Aziz.

Setiausaha Agong dan Timbalan Setiausaha Agong dijawat oleh Dr Ahmad Abdul Kadir Bahafzallah dan Dr Ahmad Totonji.

Manakala Ahli Jawatankuasa WAMY terdiri daripada; Anwar Ibrahim (Perwakilan dari Asia), Dr Abdul Hamid Abu Sulaiman (Perwakilan Amerika Syarikat), Dr Muhamad Yaqub Mirza (Perwakilan Amerika Syarikat), Dr Jamal Barzanji (Perwakilan Amerika Syarikat) dan Mustafa Al Tahan (Perwakilan dari IIFSO).
[2] The International Islamic Federation of Student Organizations (IIFSO) hasil inisiatif pelajar Universiti Ibadan, Negeria pada tahun 1966. Pada tahun 1969 berlaku perbincangan di Mekah, Arab Saudi dan pada tahun 1971 ‘dilancarkan’ di Aachen, Jerman yang dikenali sebagai pusat gerakan Ikhwanul Muslimin Syria. Dr. Ahmed Totonji dilantik sebagai SUA  IIFSO yang pertama.
[3] Anwar Ibrahim menjadi wakil/Ahli Jawatankuasa WAMY di peringkat Asia Tenggara selama 6 tahun bermula pada tahun 1976
[4] Anwar Ibrahim dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa IIFSO

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...