Thursday, April 15, 2010

Arkib: Tamrin Jelas Fikrah

ARKIB : 02/09/2001

Gadis mangsa gerakan sulit

Mukadimah
WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS adalah seorang anak yatim miskin dari Kota Bharu, Kelantan. Dia baru berusia 22 tahun tetapi telah melalui liku-liku kehidupan yang menyedihkan.

Kedua-dua ibu bapanya sudah pun meninggal dunia, dan kerana latar belakang itu apabila dia melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai pada tahun 1998, dia menjadikan pertubuhan pelajar Islam di UTM sebagai tempat berlindung.

Malangnya tanpa disedari, dia telah terjebak dalam satu gerakan bawah tanah yang sistematik oleh para penyokong parti pembangkang di universiti itu untuk menanamkan kebencian pelajar Melayu-Islam terhadap kerajaan.

Melalui kaedah brainwash dan ugutan dalam sesi usrah dan tamrin, Wan Noor Hayati dipujuk untuk menentang kerajaan, diapi-apikan perasaan marahnya terhadap UMNO dan akhirnya dia terlibat membantu parti-parti pembangkang berkempen dalam pilihan raya umum 1999.

Dalam interviu dengan wartawan BAHAROM MAHUSIN, gadis yang hidup sebatang kara itu meluahkan kekesalannya. Dia gagal dalam pelajarannya di UTM. ``Hidup saya telah dianiayai oleh gerakan bawah tanah ini,'' katanya.

Mingguan: Apakah latar belakang saudari sebelum terpedaya dengan gerakan sulit penyokong pembangkang di universiti?

WAN NOOR HAYATI: Saya menerima tawaran memasuki UTM pada tahun 1998. Saya adalah anak yatim piatu. Saya telah kematian ayah sejak tahun 1993.

Pada bulan Jun tahun 1998 ketika saya baru beberapa minggu di universiti, ibu saya pula meninggal dunia. Ini menjadikan saya hidup sebatang kara.

Ketika saya baru memasuki UTM, saya telah mendaftarkan diri menyertai Persatuan Mahasiswa Islam. Saya kira wajarlah saya masuk persatuan itu sebab namanya Islam dan saya pun orang Islam.

Saya masuk persatuan itu dengan matlamat hendak membina diri saya sebagai seorang Islam yang lebih baik. Sebelum itu saya tidak tahu apa-apa mengenai apa yang berada di sebalik tabir Persatuan Mahasiswa Islam ini.

Yang saya tahu moto persatuan itu ialah membantu membimbing orang Islam. Oleh kerana latar belakang saya sebagai pelajar baru yang yatim piatu, saya telah diambil sebagai anak usrah persatuan berkenaan.

Kenapa saudari diambil sebagai anak usrah?

WAN NOOR HAYATI: Pada masa itu mereka menganggap saya sebagai anak usrah yang bermasalah. Saya tidak mempunyai ibu bapa dan tempat tinggal yang tidak menentu. Saya cuma tinggal di dalam kampus. Kebajikan saya tidak terjaga dan saya kesempitan wang kerana pada awal kemasukan saya ke UTM, saya tidak mendapat pinjaman.

Cuma selepas dua bulan barulah saya memperoleh pinjaman. Keadaan itu memberikan saya bermacam-macam tekanan. Saya pun terasa terhutang budi dengan persatuan itu kerana mereka telah memberikan saya seorang kakak angkat yang selalu ambil tahu fasal saya.

Kakak angkat itu berada dalam tahun berapa di UTM?

WAN NOOR HAYATI: Pada masa itu dia belajar di tahun empat dalam jurusan kejuruteraan mekanikal. Dia jaga saya dengan baik. Dia memakai tudung labuh, pakaiannya bersopan. Apa yang disampaikannya kepada saya lengkap dengan hujah hadis dan al-Quran, dan ini mendorong saya untuk bergiat aktif dalam persatuan itu.

Tambahan pula pada masa itu saya telah tidak ada ibu bapa. Saya tiada benda hendak dibuat. Dengan itu saya menghabiskan masa saya dengan persatuan itu yang saya fikir dapat membantu saya.

Selepas itu saya lihat mereka ambil anak-anak usrah yang bermasalah. Semua anak usrah itu berbangsa Melayu, beragama Islam, mereka yang ada masalah akademik dan sosial, mereka yang dulu jahat sekarang hendak jadi baik, mereka yang ada masalah peribadi dan keluarga.

Saya lihat orang yang ada masalah seperti saya mereka ambil kerana mereka fikir mereka boleh makan kami untuk berkhidmat dan memberi komitmen kepada persatuan itu bagi satu gerakan sulit lain. Waktu itu saya tidak tahu lagi dan belum didedahkan dengan gerakan sulit yang dipanggil Hizbi Islami itu yang merupakan sebuah gerakan bawah tanah tidak berdaftar yang berada di belakang persatuan berkenaan.

Gerakan itu menjalankan tamrin-tamrin untuk mempengaruhi pelajar. Ada lima tamrin yang dilaksanakan secara berperingkat. Saya sempat menyertai tiga daripadanya.

Apakah yang berlaku dalam tamrin-tamrin tersebut?

WAN NOOR HAYATI: Sebagai anak usrah yang berada dalam tahun satu UTM pada tahun 1998, saya diminta menyertai tamrin-tamrin itu. Melalui tamrin itu, mereka hendak tunjukkan kepada kita fikrah-fikrah yang terdapat di Malaysia. Fikrah itu adalah mengenai pegangan parti-parti politik yang mesti kita ikuti.

Semasa di dalam ceramah atau perbincangan tamrin, adakah disentuh soal politik?

WAN NOOR HAYATI: Ya, memang disentuh tetapi kita tidak nampak kerana ia disentuh secara halus. Baru sekarang saya sedar, rupa-rupanya mereka memang banyak selitkan benda itu. Mereka mempengaruhi kita mengenai politik secara psikologi dengan mengatakan wadah perjuangan Islam itu adalah perjuangan kerana Allah dan ia mesti diletakkan di tempat teratas.

Dalam tamrin itu, penganjur-penganjurnya menggambarkan musuh orang Islam adalah orang Islam sendiri dan musuh orang Melayu adalah orang Melayu sendiri. Mereka bariskan jemaah dan fikrah yang harus dipilih seperti ABIM, JIM, Pas, UMNO.

Maknanya mereka cuba menunjukkan kebaikan dan keburukan setiap jemaah itu untuk pelajar-pelajar yang terlibat dalam tamrin memilih?

WAN NOOR HAYATI: Ya. Mengenai UMNO, mereka cuba tunjukkan UMNO sejahat yang mungkin. Mereka kata bahawa UMNO suka bina bangunan yang besar tetapi lupa kepada rakyat yang miskin.

Inilah rupa UMNO yang mereka tunjukkan. Manakala Pas pula mereka gambarkan sebagai wadah Islam yang menggunakan al-Quran, berpegang kepada prinsip Islam dan hukum hudud. Mereka kata hukum Islam itu patut diletakkan di tempat yang atas; mereka tunjukkan seolah-olah Pas itu sahaja yang baik. Pertubuhan-pertubuhan Islam lain dianggap sebagai berada pada peringkat pertengahan seperti JIM dan ABIM.

Berapa besar kumpulan tamrin yang saudari sertai?

WAN NOOR HAYATI: Amat besar sebab dalam tamrin yang saya hadiri pada tahun pertama, mereka mengambil beberapa ratus orang pelajar dan lebih 80 peratus daripada pelajar itu adalah penuntut tahun pertama.

Bagaimanakah aktiviti tamrin itu dijalankan di UTM?

WAN NOOR HAYATI: Setiap aktiviti gerakan sulit itu telah diluluskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTM.

Semasa kertas kerja program itu dibentangkan, semuanya memang elok, jadi HEP luluskan sahaja dan beri peruntukan untuk melaksanakan program berkenaan. Tetapi apabila program itu dijalankan, semuanya berubah dari segi tempat dan waktu.

Pada tahun 1998, tamrin pertama yang saya sertai yang dinamakan Tamrin Jelas Fikrah diadakan di luar universiti.

Kami disuruh pergi ke satu tempat yang dirahsiakan pada waktu malam selepas sembahyang isyak dengan bas UTM. Kami tidak tahu ke mana kami dibawa dan kami tidak dibenarkan bertanya. Kami hanya naik bas dan dibawa tanpa kami tahu arah tujuan.

Sampai sekarang saudari tidak tahu ke mana tempat saudari dibawa dalam Tamrin Jelas Fikrah?

WAN NOOR HAYATI: Saya tidak tahu. Cuma yang saya pasti ialah tempatnya macam ladang kelapa sawit, kadang-kadang ia macam berdekatan dengan laut. Gambaran yang saya dapat ialah tamrin pertama yang saya sertai pada tahun 1998 dibuat di sebuah madrasah dalam sebuah kawasan kebun kelapa sawit.

Berapa jam perjalanan ke tempat itu?

WAN NOOR HAYATI: Agaknya dua tiga jam. Kami berkumpul semasa sembahyang maghrib dan bertolak selepas isyak. Apabila kami sampai ke tempat itu menjelang tengah malam, kami terpaksa berjalan kaki masuk ke dalam hutan.

Berapa jauh saudari dan rakan-rakan berjalan kaki dari jalan besar?

WAN NOOR HAYATI: Agak-agaknya dalam dua kilometer.

Di kiri kanan, apa yang saudari nampak?

WAN NOOR HAYATI: Pokok-pokok kelapa sawit, dan tempatnya saya tidak pasti. Tetapi saya rasa ia terletak berdekatan dengan hutan kerana saya dengar mereka hendak tamrin itu dibuat dengan cara ala komando. Saya pernah dengar ia dibuat di Kota Tinggi dan Mersing, tetapi saya tidak tahu di mana tempatnya.

Sepanjang perjalanan, adakah saudari dapat lihat sebarang penunjuk jalan?

WAN NOOR HAYATI: Tidak ada. Perjalanan dibuat pada waktu malam. Apabila sampai, kami terus turun dari bas. Mereka letakkan kami di kawasan pedalaman bagi memastikan kami tidak tahu di mana tempat tamrin itu berlangsung.

Modul-modul yang diberi semasa tamrin juga diambil semula. Kami tidak dibenarkan menyimpan apa-apa dokumen. Saya dapat tahu kemudian bahawa ia dibuat begitu supaya rahsia boleh dijaga. Sebelum kami keluar dari tempat itu, yang juga dibuat pada waktu malam, kami dipaksa bersumpah memilih sebuah parti politik dengan menyebut nama Allah.

Saudari memilih untuk berpegang kepada parti itu kerana terpaksa atau dengan kerelaan sendiri?

WAN NOOR HAYATI: Saya terpaksa kerana semasa tamrin, parti itu sahaja yang ditunjukkan kepada kami sebagai baik. Saya dan para pelajar tahun pertama lain menjadi keliru. Kami takut dan terpaksa membiarkan kami dibrainwash.

Berapa hari saudari berada di sana?

WAN NOOR HAYATI: Saya berada di sana selama tiga hari dua malam. Pada malam terakhir kami berpuasa dan menjalankan aktiviti ala komando.

Waktu itu mereka kata mereka hendak bekalkan kami dengan senjata kerana ada orang memberi syarahan mengatakan umat Islam di Ambon, Indonesia dibunuh kerana orang Islam tidak pandai mengendalikan senjata.

Selama di sana mereka mengawal kami secara psikologi. Waktu itu kami banyak bertanya soalan tetapi mereka seolah-olah tidak menjawabnya. Mereka meninggalkan kami dalam keadaan keliru. Kami bersumpah di sana untuk menyokong perjuangan Islam gerakan sulit itu dengan nama Allah.

Berapa ramai yang bersumpah?

WAN NOOR HAYATI: Ramai, kami bersumpah di hadapan barisan pemimpin gerakan itu yang kami tidak diberitahu siapa nama mereka. Cuma yang kami tahu ialah mereka orang luar.

Mereka orang muda atau orang tua?

WAN NOOR HAYATI: Mereka berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an tapi saya percaya mereka kebanyakannya adalah bekas pelajar universiti atau pelajar tahun akhir.

Bagaimana perwatakan mereka?

WAN NOOR HAYATI: Semuanya baik. Wanitanya bertudung labuh dengan pakaian berwarna gelap dan lelakinya pula berkopiah. Kami tidak diberitahu siapa penceramah yang datang dan identiti mereka. Selepas bersumpah, kami diletakkan kononnya di satu tempat rahsia. Maknanya kalau kami bocorkan tempat rahsia itu bermakna kami tidak taat dan kami akan ditimpakan bala oleh Allah.

Jadi perasaan takut terhadap apa yang akan diturunkan oleh Allah telah wujud dalam diri kami. Saya difahamkan kemudian bahawa semasa dibentangkan kepada HEP UTM, majlis itu dinamakan Seminar Pemantapan Akidah tetapi apabila dilaksanakan, ia telah menjadi satu program lain.

Daripada beratus-ratus orang pelajar baru yang mengikuti Tamrin Jelas Fikrah tadi, apa yang terjadi kepada mereka apabila mereka kembali ke kampus?

WAN NOOR HAYATI: Ada yang menarik diri terus daripada Persatuan Mahasiswa Islam. Mungkin pegangan mereka masih kuat lagi dan masalah mereka tidak seteruk yang lain. Mereka mungkin masih lagi mampu berfikir secara rasional.

Bagaimanapun, dalam kes saya dan beberapa pelajar lain yang menjadi pengikut kuat, kami tidak ada tempat bergantung. Jadi saya terus terlibat secara tidak sedar dalam Persatuan Mahasiswa Islam.

Apakah yang berlaku selepas itu?

WAN NOOR HAYATI: Sesuatu yang aneh selepas tamrin pertama ialah kami seolah-olah telah diberi suntikan fikiran supaya memegang rahsia gerakan. Kami cuma bertemu seminggu sekali. Tidak lama kemudian, saya dipanggil sekali lagi untuk menyertai tamrin peringkat kedua yang dinamakan Tamrin Walaq. Walaq bermakna ketaatan kepada pemimpin.

Berapa lama jarak tempoh antara Tamrin Jelas Fikrah dan Tamrin Walaq?

WAN NOOR HAYATI: Ia dibuat pada cuti semester.

Di manakah tempatnya kali ini?

WAN NOOR HAYATI: Tempatnya berlainan tetapi cara dan bila kami bertolak dan cara identiti tempat itu disembunyikan adalah sama. Kali ini tempatnya adalah kawasan pantai. Saya tidak tahu di mana, mungkin di Mersing.

Apabila saya menerima surat jemputan itu, saya cuba mengelak kerana saya ada ujian. Saya juga berasa marah kerana mereka asyik memilih saya sedangkan pada waktu itu saya sedang cuba menyesuaikan diri dengan keadaan ketiadaan ibu bapa, tetapi mereka datang ke bilik saya mengajak saya secara halus dengan mengatakan kita berjuang kerana Allah dan Allah pasti akan membalasnya.

Oleh kerana mengenangkan jasa kakak angkat saya, dan diberitahu kononnya majlis itu dinamakan Kem Penghayatan Islam, maka saya pun pergi.

Apabila sampai di sana baru saya tahu majlis itu dipanggil Tamrin Walaq yang tujuannya untuk membina kesetiaan kami. Selepas tamrin itu, mereka menanamkan pada kami cara menjaga rahsia. Para peserta yang tidak dapat menjaga rahsia akan direndam dalam air laut. Saya sendiri telah direndam selama hampir tiga jam dari pukul 3 pagi hingga pukul 5.30 pagi.

Mengapakah saudari direndam?

WAN NOOR HAYATI: Dalam satu aktiviti tamrin yang dijalankan, kami kena sampaikan mesej tertentu kepada amirah (ketua wanita) tapi kami tidak diberitahu siapa amirah itu. Dalam aktiviti itu mereka wujudkan beberapa pengacau bagi mengelirukan amirah yang sebenar. Jadi kerana terkeliru, kami mendedahkan rahsia mesej itu kepada amirah yang salah.

Kerana seorang ahli tidak dapat menjaga rahsia, kumpulan saya seramai 30 orang semuanya telah direndam dalam air laut.

Berapa ramai yang terlibat dengan tamrin kali kedua ini?

WAN NOOR HAYATI: Pelajar perempuan ada kira-kira 30 orang. Jumlahnya lebih kecil selepas tamrin kali pertama kerana mereka telah membuat tapisan ke atas siapa yang mereka boleh percayai.

Apa terjadi kepada pelajar yang mengikuti Tamrin Walaq apabila mereka balik ke kampus?

WAN NOOR HAYATI: Kami lebih taat kepada pemimpin tanpa usul periksa. Contohnya saya sendiri telah diarahkan untuk membuat kerja-kerja membantu parti pembangkang dalam pilihan raya umum bulan November 1999 di Batu Pahat, Rengit, Kluang dan Mersing.

Dua bulan sebelum pilihan raya umum itu, saya telah pun menghadiri satu taklimat pilihan raya di sebuah markas parti politik di Pulai, Johor.

Ketika itu saudari berada pada tahun berapa pengajian?

WAN NOOR HAYATI: Saya berada pada tahun kedua. Waktu itu pelajaran saya amat merosot kerana terlalu menumpukan kepada gerakan itu. Keputusan saya dalam peperiksaan bulan Disember 1999 iaitu selepas pilihan raya umum itu amat-amat teruk. Ketika itu saya betul-betul terbeban.

Apakah yang dibebankan?

WAN NOOR HAYATI: Saya terbeban kerana saya telah dilatih menerima arahan tanpa merungut. Saya seolah-olah telah menjadi seperti komputer yang diprogramkan dan motonya adalah berjuang kerana Allah. Hanya selepas itu baru saya tahu bahawa saya secara diam-diam telah terlibat dalam satu gerakan sulit yang dinamakan Hizbi Islami.

Berapa kerap perjumpaan Hizbi Islami itu dibuat?

WAN NOOR HAYATI: Perjumpaan sulit Hizbi Islami dibuat setiap minggu di aras bawah masjid UTM untuk membincangkan isu-isu gerakan. Misalnya, bagaimana hendak tarik pelajar-pelajar lain masuk Hizbi Islami, bagaimana mengatasi masalah pelajar yang cuba menarik diri daripada taat kepada Hizbi Islami. Saya telah jadi teramat takut. Setiap minggu kami dibrainwash dalam perjumpaan itu. Saya adalah bendahari Lujnah Ekonomi Hizbi Islami UTM.

Adakah pihak universiti tahu aktiviti itu?

WAN NOOR HAYATI: Saya rasa mereka tahu atau mereka buat-buat tidak tahu. Gerakan ini sudah lama bertapak, saya fikir sudah lebih daripada 10 tahun memandangkan Hizbi Islami sudah mempunyai barisan pelapis.

Daripada penglibatan dalam Hizbi Islami inilah, pemilihan seseorang dibuat untuk bertanding dalam pilihan raya universiti dan menentukan siapa yang bakal menjadi pemimpin persatuan-persatuan pelajar Islam.

Mengenai kerja-kerja semasa pilihan raya umum 1999, bolehkah saudari jelaskan apa yang saudari lakukan?

WAN NOOR HAYATI: Saya melakukan kerja-kerja menaip teks-teks propaganda pembangkang, merentang kain sepanduk, memeriksa daftar pemilih menggunakan komputer, berkunjung dari rumah ke rumah dan melakukan kerja-kerja lain.

Berapa ramai pelajar UTM terlibat?

WAN NOOR HAYATI: Saya tidak pasti kerana kami diarahkan pergi ke tempat-tempat yang berlainan.

Apakah perbezaan antara Persatuan Mahasiswa Islam dan Hizbi Islami?

WAN NOOR HAYATI: Mereka adalah daripada kumpulan yang sama tetapi ada di kalangan mereka yang bergerak dalam Persatuan Mahasiswa Islam tidak tahu kewujudan Hizbi Islami.

Maklumat-maklumat yang saya terima ialah kebanyakan pelajar universiti yang ditangkap dalam mana-mana demonstrasi di seluruh Malaysia adalah anggota PMI dan Hizbi Islami.

Bagaimana saudari tahu tentang Hizbi Islami?

WAN NOOR HAYATI: Selepas Tamrin Walaq berakhir, mereka berusaha menyediakan barisan pelajar yang bakal bertanding dalam pilihan raya kampus UTM. Dalam pilihan raya pelajar itu, kami diarahkan supaya menyokong calon-calon kumpulan Barisan Alternatif (BA) dalam pilihan raya kampus dan bukannya calon-calon mahasiswa yang menyokong kerajaan dan UMNO.

Semasa pilihan raya umum 1999, adakah saudari sedar apa yang saudari lakukan?

WAN NOOR HAYATI: Saya tidak pasti tentang apa yang saya buat tetapi saya tidak boleh tanya apa-apa kepada mereka. Kami hanya pengikut. Kami telah menjadi manusia yang diprogramkan.

Ketika itu kalau diletakkan pedang di leher kami pun kami tidak takut kerana kami diajar bahawa kalau kami mati semasa membuat kerja-kerja itu, kematian kami itu nanti adalah mati syahid.

Sesetengah kami juga diajar menipu ibu bapa dengan tidak memberitahu mereka kami pergi membantu kempen pilihan raya.

Semasa kempen pilihan raya itu, kami tidak dibenarkan memakai tudung labuh seperti semasa di universiti. Kami diminta memakai baju kurung berwarna-warni dan bertudung biasa kerana menurut orang yang membawa kami ke sana, jika kami berpakaian tudung labuh, kami sukar diterima umum.

Kami dibolehkan berpakaian sedemikian hanya pada waktu pilihan raya untuk tujuan penyamaran.

Semasa dalam kempen itu, adakah saudari berjumpa dengan mana-mana pemimpin pembangkang?

WAN NOOR HAYATI: Ya, saya ada berjumpa dengan calon wakil rakyat pembangkang di sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri tetapi dia tidak tahu siapa kami. Kami juga diminta menjaga rahsia dan taat dengan tidak mendedahkan identiti kami.

Kuasa baiah yang kami buat semasa tamrin dulu begitu kuat hingga kami sanggup menipu kononnya untuk jihad.

Apa yang berlaku selepas saudari balik ke universiti apabila pilihan raya umum 1999 selesai?

WAN NOOR HAYATI: Kami melakukan aktiviti mingguan seperti selalu dan memikirkan program-program untuk menarik pelajar baru meneruskan perjuangan Hizbi Islami.

Hizbi Islami ini bukan organisasi formal dan ia tidak diketahui ramai. Adakah ia sebuah pertubuhan yang besar?

WAN NOOR HAYATI: Ia tidak besar dari segi aktivis tetapi mempunyai pengaruh yang kuat ke atas program agama di kampus dan ke atas pertubuhan-pertubuhan pelajar Islam peringkat universiti dan kebangsaan.

Apakah yang Hizbi Islami lakukan bagi menarik pelajar-pelajar menerima ideologinya?

WAN NOOR HAYATI: Ia dibuat melalui matlamat perjuangannya menentang UMNO dan berjuang bagi membantu parti pembangkang tertentu tetapi mereka tidak menggunakan nama parti itu dalam kempen-kempen di universiti.

Bilakah saudari keluar daripada Hizbi Islami?

WAN NOOR HAYATI: Pada akhir bulan Mac tahun 2000, kira-kira empat bulan selepas pilihan raya umum 1999 berakhir. Ketika itu saya sudah hampir-hampir gagal dalam peperiksaan saya di UTM. Saya telah dipulihkan oleh seorang juru kaunseling di UTM. Selepas itu saya diajak semula memasuki Hizbi Islami tetapi saya tidak mahu dan saya menerima banyak ugutan, pujukan dan panggilan telefon. Mereka ugut saya dengan berkata saya akan diturunkan bala oleh Allah kerana saya tidak taat lagi kepada mereka.

Adakah saudari berani bertanggungjawab atas semua yang saudari ceritakan kepada saya ini?

WAN NOOR HAYATI: Saya berani demi kebaikan anak bangsa saya sendiri.

Apakah yang saudari paling bimbangkan dengan gerakan sulit ini? Apa akan terjadi jika ia dibiarkan?

WAN NOOR HAYATI: Pelapis-pelapis gerakan ini apabila mereka keluar nanti akan menjadi pemimpin yang boleh membuat huru-hara seperti di Ambon. Mereka boleh membunuh sesama sendiri seperti di Afghanistan. Mereka akan jadi radikal dan terlibat dalam kumpulan ekstremis.

Kenapa kerajaan patut berbuat sesuatu untuk membanteras gerakan sulit ini?

WAN NOOR HAYATI: Saya takut jika satu tindakan tegas tidak dilakukan, masa depan golongan muda Melayu-Islam di negara ini akan dihancurkan sedangkan merekalah yang akan memimpin negara pada masa depan. Bayangkan apa yang bakal terjadi jika mereka telah dibrainwashkan sejak mereka di universiti.

Apakah nasihat saudari kepada pelajar-pelajar universiti?

WAN NOOR HAYATI: Mereka patut berhati-hati dalam membuat pilihan semasa mula-mula masuk universiti. Saya menasihatkan mereka supaya berfikir secara rasional. Jangan jadi mangsa seperti saya sehingga pelajaran saya terbengkalai.

Gerakan mereka ini dibuat secara sulit, terancang tetapi tidak secara terang-terangan. Benda yang tidak dibuat secara terang-terangan biasanya mengandungi kejahatan.

No comments:

Sebab-Akibat

Sebab-akibat antara elemen penting dalam ilmu sejarah. Pemikiran sebab-akibat ini penting bagi mengelakkan kita membuat ramalan dan andaian ...