Monday, July 19, 2021

Gerakan Islam/Islamis Memperalatkan Islam?

 Ramai ulama ternama tidak bersetuju dengan kewujudan dan tindak tanduk gerakan Islam dan para Islamis pada hari ini. Antara yang terkenal ialah Dr Ali Jumaah, Dr Usamah al Azhari, Dr Muhammad Said Ramadhan al Buti, Syeikh Abdullah Benbayyah dan lain-lain (terutamanya Majlis Hukama).

 

Antara kesimpulan pandangan mereka ialah

1.     Jangan memperalatkan Islam demi kepentingan dan keuntungan individu dan jemaah Islam (termasuk parti politik).

2.     Kecenderungan individu dalam jemaah terjerumus dalam budaya ekstrem, radikal, teroris, taksub, fanatik, jumud dan takfir. Jemaah dan parti lebih utama daripada Islam.

3.     Cenderung dengan kebencian, rasa diri lebih baik, kemarahan, dendam, dengki, buruk sangka, mencari salah, suka menghukum, maki memaki dan fitnah.


Pandangan mereka tidak salah, sebahagiannya adalah benar.


Dalam mana-mana organisasi, kelompok opurtunis, kelompok ekstrem dan lain-lain tetap ada. ia tidak dapat dielakkan. Ada yang taksub dan fanatik berdasarkan aliran dan tokoh. Ia sukar dielak.


Jaga niat kita. Jaga iman kita. Jaga akhlak kita. Jaga tindakan kita. Jaga tulisan dan lisan kita. 

Persoalannya, jika Islamis dan gerakan Islam berundur daripada dunia politik, siapakah yang mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan oleh Islamis dan gerakan Islam? Nak harapkan sekularis, pluralis, nasionalis, liberalis dan komunis memperjuangkan agenda Islam dalam politik?

 

Suka atau tidak, sekelompok daripada umat Islam kena menyertai politik kepartian. Ini tugas berat. Tanggungjawab dan amanahnya besar. Silap langkah jatuh ke lubang fitnah dan dosa. Kita wajar berterima kasih kepada mereka kerana mereka sudi dan sanggup masuk ke ruang mudarat ini bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar.

 

Dengan segala bagai masalah, cabaran dan fitnah dalam dunia politik yang mengoncangkan iman dan memburukkan akhlak, kelompok Islamis yang serba kurang, lemah dan tidak dapat lari daripada kesilapan ini terpaksa menceburi ruang politik yang serba tak kena itu. Kita sebagai rakyat kena pantau, tegur, nasihat, beri peringatan dan kritik segala kesilapan, kesalahan dan kealpaan mereka.

 

Secara idealnya, kita mahu Islam memerintah dengan kewujudan kekhalifahan, negara Islam dan pelaksanaan syariat. Kita melaungkan idealisme dan cita-cita serta impian kita sebagai muslim dengan  lantang. Hakikat sebenarnya,  dari segi realiti sekarang, perundangan, teknikal, kefahaman dan kesedaran serta cabaran rakan kongsi kuasa politik, ia bukanlah usaha yang mudah dan memerlukan masa untuk merealisasikan. Kesabaran dalam menghadapi pemeringkatan perubahan mesti ada bagi orang beriman.

 

Fokus sebenarnya politik umat Islam pada hari ini ialah penambah-baik urus tadbir negara, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan/kebajikan rakyat. Tugas terbesar gerakan Islam dan Islamis ialah menunjuk bukti dan prestasi dalam mengurus tadbir negara dengan taqwa dan berakhlak. Kemudian memberi kesedaran dan kefahaman agar pemimpin dan rakyat tentang agenda Islam.

 

Negara Islam dan pelaksanaan syariat Allah bukanlah dapat diselesaikan dalam masa sehari. Ia mesti dilaksanakan dengan bijak berdasarkan pertimbangan dan keutamaan tertentu. Fokus ekonomi dan kebajikan rakyat bukannya perundangan atau perlembagaan. Jangan ulangi kesilapan Presiden Morsi, FJP dan IM di Mesir.

 

Kesimpulan kita.

 

1.     Kita meraikan perbezaan pandangan ulama. Terimalah berdasarkan kemampuan dan konteks kita. Kita boleh cenderung kepada mana-mana pihak selagi dalam suasana beradab dan ilmiah. Betul atau salah kita bergantung kepada ilmu dan akhlak kita menangani perbezaan.

2.     Luruskan niat, patuhi syariat, tidak menyusahkan orang lain, doa dan jalan terus.

3.     Pada zaman ini, ulama dan pendakwah MESTI tunjuk akhlak orang baik yang CAKNA rakyat di lapangan rakyat melalui dialog, teman diskusi, majlis ilmu, ziarah rumah ke rumah, muzakarah dalaman, pertemuan 4 mata dan usaha/amal kebajikan dengan sifat ikhlas, kasih sayang dan tidak mahu menyesatkan saudaranya (al ghirah).

4.     Politik dalam Islam ialah mencari dan mendokong pemimpin adil yang faham agama dan memerintah dengan faham agama. Awalnya, ia tiada kaitan dengan parti atau jemaah. Dalam politik moden, (1)parti mempunyai kuasa mengarahkan pemimpin agar mengakuri keputusan parti dan (2)setiap parti menjadikan perlembagaan dan ideologi sebagai panduan yang perlu difahami dan diikuti oleh anggotanya. Dua perkara menyebabkan parti dain ideologi juga menjadi asas kepada kita dalam memilih pemimpin.

 

No comments:

Sebelum Loceng PRU 15 Melolong

 Sebelum Loceng PRU 15 Melolong a. Kerajaan 1. Kita perlu memahami bahawa kerajaan persekutuan pada hari ini berdiri atas sokongan para ahli...